Monday, December 29, 2008

Pemuda Baiatul Aqabah...


Izinkan aku berbicara seketika mengenai syabab atau pemuda di ambang Maal Hijrah ini. Kau kenal pemuda-pemuda Baiatul Aqabah? Baiatul Aqabah itu dikenali juga dengan nama Baiatul Kubra kerana ianya merupakan satu perjanjian yang sangat besar di sisi Islam.

Perjanjian inilah kunci kepada hijrah. Mengapa? Kerana syabab-syabab di dalam perjanjian ini telah berjanji pada Rasulullah SAW untuk mempertahankan, menolong dan menyebarkan ajaran Rasulullah SAW kepada penduduk Yatsrib (Madinah). Itulah syabab yang berharga di sisi Islam. Mereka mengetahui hakikat kebenaran dan mereka berjuang demi kebenaran itu. Mereka telah bangun membela Islam. Kemana perginya syabab hari ini di saat Palestina dibantai dan menangis hiba?

Pernah kau menunaikan umrah atau haji ? Jarak di antara Mekah dan Madinah adalah 447 km. Hari ini perjalanan untuk ke sana telah menjadi mudah dengan adanya sistem bas dan jalanraya. Namun andai kau berfikir sejenak, pasti tiada sesiapa yang sanggup untuk merentas perjalanan yang telah menjadi mudah itu dengan menaiki unta atau berjalan kaki semata-mata. Tapi itulah secebis kisah yang pernah terakam dalam peristiwa hijrah.

Izinkan aku berkongsi kisah seorang wanita dalam kehangatan Maal Hijrah ini. Namanya Ummu Salamah. Setelah peristiwa Baiatul Aqabah, para sahabat mendapat izin untuk berhijrah. Bacalah kisah seorang wanita bernama Ummu Salamah di dalam peristiwa hijrah ini.

Ummu Salamah berkata:

“Tatkala Abu Salamah bertekad bulat untuk berhijrah ke Madinah, dia menaikkan aku ke untanya. Kemudian dia membawaku beserta anak laki-lakiku Salamah yang ada dalam pangkuanku. Tatkala orang-orang dari kaumku (Bani Mughirah) melihat kami, meraka datang menghampiri dan berkata: “Saat ini kamu telah terkepung, kabarkan kepada kami tentang Ummu Salamah? Atas dasar apa kami membiarkan engkau pergi dengannya ke negeri tersebut?” Mereka kemudian mengambil alih kekang unta dari tangan Abu Salamah dan memegangiku.

Perbuatan ini membuat Bani Abdul Asad (Bani Suamiku) marah dan menghampiri anak kami Salamah (untuk merebutnya) sambil berkata kepada orang-orang dari Bani Mughirah: “Tidak demi Allah, kami tidak akan membiarkan anak kami bersamanya (yakni bersamaku) tatkala kalian telah merampasnya dari teman kami.”

Lalu mereka menarik anak saya Salamah sehingga mereka saling merebut. Dan akhirnya orang-orang Bani Abdul Asad membawa pergi anak tersebut. Sedangkan Bani Mughirah menahan saya di sisinya. Kemudian pergilah suamiku ke Madinah dalam rangka menyelamatkan agama dan dirinya.

Beberapa hari setelah itu, aku mendapati diriku terkoyak-koyak sendirian karena dipisahkan dari suami dan anak. Sehingga setiap pagi aku pergi ke wadi yang luas, berpasir dan berkerikil dan aku duduk di tempat terjadinya peristiwa yang sangat menyakitkan itu. Aku ingin mengenang saat-saat dimana aku dipisahkan dengan suami dan anakku dengan tipu daya. Aku pun menangis sampai malam datang.

Selama kurang lebih 1 tahun aku dalam keadaan demikian. Hingga pada suatu hari seorang lelaki dari anak pamanku lewat di depanku. Dan ia termasuk orang yang memisahkan aku dengan anak dan suamiku. Melihat keadaanku, ia merasa kasihan kepadaku sehingga ia berkata kepada kaumku: “Mengapa tidak kalian biarkan saja wanita malang ini pergi, yang kalian telah memisahkan dia dengan suami dan anaknya?” Ucapan ini membuat hati mereka tersentuh, sehingga mereka berkata: “Susullah suamimu jika engkau menginginkannya.”

Kemudian setelah itu Bani Abdul Asad mengembalikan anakku. Aku pun menunggangi untaku dan kuletakkan anakku dalam pangkuan. Aku segera berangkat untuk menyusul suamikku di Madinah. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang menyertaiku dalam perjalanan menuju ke Darul Hijrah (Madinah). Tatkala aku sampai di Tan’im, aku bertemu dengan Utsman bin Thalhah.

Dia bertanya: “Engkau mau kemana wahai anak Bekal Safar?”

“Aku ingin menyusul suamiku di Madinah,“ jawabku.

Dia bertanya lagi: “Tidak seorang pun yang menyertaimu?”

“Tidak ada demi Allah, kecuali Allah kemudian anakku ini,“ jawabku.

Dia berkata: “Demi Allah, engkau tidak pantas dibiarkan.”

Kemudian dia memgangi untaku dan menuntunnya menuju Madinah. Demi Allah tidak ada lelaki yang menyertaiku dari bangsa Arab yang lebih mulia dan lebih baik darinya.

Ketika sampai di salah satu rumah dari rumah-rumah orang Arab, dia menempatkan aku, kemudian ia menjauh ke sebuah pohon untuk berbaring di bawahnya. Usai beristirahat, dia berdiri menuju ke tempat menderumnya unta, dan mempersiapkannya sebagai alat kendaraan. Kemudian dia mundur ke belakang dan berkata: “Naiklah engkau.” Setelah aku naik dan berada di atas unta, dia kemudian memegangi untaku dan menuntunnya. Dia senantiasa berbuat demikian sampai tiba di Madinah. Tatkala ia melihat desa Bani Amr bin Auf di Quba, dimana rumah Abu Salamah ada di sana, dia berkata: “Suamimu berada di desa itu, masuklah kamu dengan barakah dari Allah.” Kemudian dia berbalik untuk kembali ke Mekkah.”

Demikianlah Ummu Salamah, seorang wanita pertama kali masuk Madinah, sebagaimana dia juga salah seorang yang pertama kali berhijrah ke negeri Habsyah.

Dapatkah kalian merasai kisah ini? Kisah yang sesungguhnya begitu menyentuh hati. Perpisahan 3 beranak. Dapatkah kalian merasai bahang rindu yang perlu ditanggung akibat perpisahan. Dapatkah kalian menyelami perjalanan seorang wanita bersama anaknya merentasi padang pasir dan malam hari. Adakah mungkin ada lagi wanita seperti itu di zaman ini? Adakah kita akan menjadi syabab yang akan menuturkan kalimah bahawa Allah menemani kita dalam perjuangan ini di saat kita berseorangan?

Rasailah bahang hijrah ini. Rasailah bahang perjanjian Baiatul Aqabah yang mana natijah dari peristiwa ini Musaab bin Umair dihantar ke Madinah dan dia mengetuk pintu setiap rumah demi dakwah. Rasailah peristiwa hijrah ini. Rasailah makna sebuah perjuangan.

Seandainya perjuangan ini mudah, Rasulullah SAW sewajarnya menerima segala macam kemewahan pada jalan dakwah ini. Tapi tidak. Hatta gigi baginda patah di dalam perjuangan ini.

Wahai syabab-syabab sekalian, bangkitlah dan berhijrahlah. Andai kamu merupakan seorang pekerja, kamu akan berkerja dengan baik, dinaikkan pangkat dan memperolehi wang ringgit untuk diinfaqkan pada jalan dakwah. Andai kamu seorang peniaga, kamu akan berusaha membebaskan diri dari riba’ dan hutang, dan sesudah itu kamu akan berusaha menyumbangkan keuntungan yang ada pada jalan dakwah sepertimana yang pernah dilakukan oleh Saidina Abu Bakar dan sahabat lainnya. Andai kamu seorang pelajar, berusahalah bersungguh-sungguh dalam medan ilmu supaya kelak di saat kamu menjadi doktor, jurutera, peguam dan lainnya, manusia lain akan mendengar setiap bicara kamu mengenai Islam. Walau di penjuru bumi mana kamu berada, kamu perlu bangkit kerana inilah HIJRAH! Inilah HIJRAH yang akan mengembalikan semula Palestina pada kemuliaannya. Inilah HIJRAH yang akan mengembalikan Islam semula ke takhtanya. Inilah HIJRAH!

Sunday, December 28, 2008

Palestina dan Maal Hijrah..


Kamu baca mengenai Palestin hari ini? Ambillah masa untuk membacanya seketika di sini. Saya jadi lemah seketika saat membacanya. Dan saya dalam tangisan yang panjang. 230 yang syahid dan 750 lagi yang cedera. Apakah ini perkhabaran yang perlu saya baca di awal muharam ini?

Lantas bicara prof mengingatkan saya kembali tentang Ghazwatul Fikr, tentang serangan pemikiran.

Apa yang terjadi adalah serangan pemikiran. Yahudi sedang mengasak kita dengan peluru yang membenamkan kita ke dalam kelemahan yang panjang. Kita sedang diberitakan dengan kekalahan. Kita diberitahu bahawa kita lemah dan di akhirnya kita mengakui kelemahan itu.

Tidak ! Tidak ! Tidak sesekali kita lemah. Kamu baca AlQuran ? 90% dari Quran adalah penceritaan.

Di dalam AlQuran, Allah bercerita mengenai ujian-ujian yang perlu dilalui oleh sang hero. Tapi di akhirnya hero tetap menang jua. Kisah Nabi Nuh, kisah Nabi Musa, kisah Talut dan Jalut dan banyak lagi kisahnya menjadi bukti buat kita bahawa sang hero PASTI menang. Saya ingat lagi bicara prof. Prof ceritakan juga tentang pemuda di dalam Surah Yassin. Meskipun dia mati di dalam perjuangan, apa yang Allah khabarkan ?

(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya,"Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata, "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui, yentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan". (Surah Yassin : 26-27)

Allah mengkhabarkan berita gembira jua. Hero tetap menang dan dia dimasukkan ke dalam syurga Allah meskipun dia mati dalam perjuangan. 230 yang syahid itu sudah dimasukkan di syurga Allah.

Kembalillah pada AlQuran yang mengkhabarkan padamu mengenai hakikat kemenangan. Kembalikan dirimu agar ianya dibentuk dengan pemikiran Quran. Bangkitlah dengan AlQuran.

Hari ini di bumi Malaysia sendiri kita diasak kononnya hudud bukan yang terbaik. Semua ini juga adalah serangan pemikiran. Andai kita percaya bahawa ada yang lebih baik dari Islam, kita tewas saat itu juga. Kita yang perlu percaya bahawa Islam menjanjikan segalanya. Bangkitlah ummahku. Kembalikan dirimu di jalan Quran ini. Bebaskan dirimu dari serangan pemikiran ini. Biarkan AlQuran yang membentuk dirimu dan bukan anasir lain.

Berjuanglah…Kita PASTI menang akhiranya meskipun kita mati dalam renta perjuangan yang panjang ini. Salam Maal Hijrah!

Siddiqin, syuhada', 313...

Siddiqin

Entri ini merupakan sambungan entri sebelum ini.

Mengikut tafsiran ulama’, siddiqin (orang yang benar) ini merujuk kepada mereka yang berilmu. Dan hari ini, kita berada di jalan ini dan kitalah yang diharapkan oleh ummah untuk menebus kembali maruah Islam.

Berilmu di dalam ayat ini bukan sekadar menuntut ilmu tetapi juga membenarkan ilmu. Kerana itulah Saidina Abu Bakar dipanggil Assiddiq.

Segala yang ada di hati itulah yang akan menyentuh hati-hati yang lain. Keyakinan yang mantap di dalam diri Saidina Abu Bakar yang telah menyebabkan 6 orang sahabat yang dijanjikan syurga beriman di tangannya. Dialah insan yang tahu mengenai Islam dan membenarkan Islam dalam tiap saat dan ketika.

Agak-agaknya sudah berapa lama kita menuntut ilmu Islam ? Berapa tahun kita telah menjadi Muslim ? Pernahkah kita membenarkan segala ilmu Islam yang kita pelajari?

Syuhada’

Apa signifikan Allah menyebut syuhada’ di dalam Surah Annisa’ ayat 69? Allah sedang berbicara dengan kita bahawa hidup memerlukan perjuangan. Tanpa perjuangan, hidup menjadi sia-sia. Dan tiada orang yang perjuangannya lebih besar berbanding para syuhada’ kerana mereka telah mengorbankan hatta nyawa mereka pada jalan Allah.

Kamu tahu mengenai apa yang berlaku di Palestina hari ini? Mereka bermandian darah lagi. Ini bukan kesekian kalinya, hampir tiap-tiap hari mereka bermandian darah. Dapatkah kamu merasainya ? Boikotlah. Berjuanglah. Kamu bukan diminta mengorbankan nyawa, kamu hanya diminta mengorbankan sekelumit nafsu yang beraja. Hatta hari ini seandainya kamu berjaya memboikot McD, kamu telah melakukan pengorbanan. Allah menilai semua itu.

313
Izinkan saya berkongsi video yang telah menyentuh hati ini..



313 orang... Sahabat Rasulullah SAW saat itu cuma 313 orang. 13 tahun dakwah di Mekah, Rasulullah SAW hanya berjaya mengumpulkan 313 orang dari 10 000 orang penduduk Mekah. Hanya 3% setelah berusaha selama 24 jam setiap hari.

Kalau kitalah buat business, keuntungan yang kita dapat hanya 3%, apa yang akan kita lakukan? Business kita hancur bukan setelah 13 tahun berusaha selama 24 jam? Macam orang gila sahaja dan baik buat business lain bukan? Tapi Rasulullah SAW tidak sesekali berhenti berdakwah.

Apa yang berjaya Rasulullah SAW tunjukkan pada kita? 313 orang yang lahir itu adalah Qaidah Sulbah, tulang belakang sebuah perjuangan. Meskipun mereka sedikit tapi mereka berjaya membawa arus perubahan sehingga Islam menjadi world order. Mereka meruntuhkan segala Jahiliah yang ada.

Usah sedih dengan kuantiti. Kita mampu, kita mampu dan kita mampu untuk melakukannya..

Nabiyyin...

Al Quran tidak pernah sesekali membosankan. Ayatnya akan menyentuh hati meskipun telah berkali-kali kita membacanya.

Beberapa hari lepas, saya dalam tekanan yang amat. Ada kerja-kerja berkaitan akademik yang perlu saya selesaikan dan dalam masa yang sama saya juga perlu menghadiri program tarbiah. Bila kita sudah berada pada jalan perjuangan ini, sebolehnya kita mahu menyelesaikan tugasan dunia dengan cepat agar kita mampu fokus pada kerja-kerja islam.

Saya berkejar untuk menyelesaikan kerja saat itu. Ayah menelefon. Katanya sudah tiba di Nilai dan mahu bertemu. Tapi saya menolak permintaannya memandangkan kerja-kerja yang perlu dilunaskan begitu banyak. Sejujurnya saya amat sedih saat itu.

Tiba di tempat program, saya mendengar bicara pensyarah. Di akhir ucapannya, dia menggulung semuanya dengan ayat 111 dari Surah Attaubah :

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah Attaubah :111)

Saya menangis saat prof menyebut mengenai jiwa. Berperang dengan jiwa juga bukan mudah. AlQuran sememangnya motivasi terbesar dalam kehidupan manusia meskipun kita seolah-olah telah mendengar ayatnya puluhan kali. AlQuran berbicara di saat kita memerlukannya. Kita tidak pernah sesekali mampu memahamkan manusia lain mengenai situasi yang kita hadapi. Kita tidak pernah mampu untuk menceritakan pada manusia kelemahan dan kekuatan kita. Tapi Allah sentiasa ada untuk mendengarnya. Allah memahami sedalam-dalamnya tentang kita. Di saat Allah berbicara serasanya hati menemui ketenangan.

Saya setuju dengan kata-kata Anwar Awlaki - Quran does not open up its secrets to you unless you open up your heart to it. Quran does not spill its pearls to the undeserving.

Kadang kita boleh merasakan di saat kita lama tidak membaca Quran, Quran seakan tidak mahu berbicara dengan kita. Quran seakan-akan merajuk dengan kita. Tapi kalau kita selalu bersama Quran, Quran menjadi sahabat kita yang paling baik. Dan kita sememangnya merasai sentuhan Quran di dalam ujian yang kita lalui.

Nabiyyin

Sebenarnya saya mahu menyambung huraian Dr Wahbah berkenaan ayat ayat 69 dari surah Annisa’ berkenaan mereka yang an’amallahu ‘alaihim (insan yang dikurniakan nikmat). Entri ini adalah sambungan entri sebelum ini.


"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)." (Surah Annisa’: 69)

Saya akan ceritakan mengenai nabiyyin dahulu. Andai saya punya masa lagi, saya akan menyambung lagi mengenai golongan siddiqin dan syuhada’. Semasa ustaz mengatakan bahawa ada signifikan Allah menyebut nabiyyin di dalam ayat ini, saya jadi tertanya-tanya. Mestilah para nabi dikurniakan nikmat dan mereka merasai nikmat tersebut kerana mereka adalah nabi. Apa yang Allah cuba sampaikan sebenarnya?

Allah sedang menceritakan mengenai iman sebenarnya kerana iman para nabi adalah iman yang terbaik sekali. Saya tertanya-tanya, bukankah iman para malaikat yang terbaik sekali? Ustaz seolah-olah memahami persoalan hati. Katanya bukan, kerana iman malaikat adalah statik sedang iman para nabi sentiasa naik dengan bertambahnya masa.

Hakikat dunia memerlukan kita pada keimanan yang mantap. Dan di saat kita membaca Fatihah di dalam solat, inilah satu golongan yang kita minta saban waktu agar Allah menunjukkan kita jalan mereka. Mereka inilah yang telah berjuang di jalan Allah yang penuh liku.

Kata prof, salah satu golongan yang khusyuk solatnya adalah mereka yang mempunyai harapan dan harapan itu lahir dari keimanan yang mantap bahawa Islam akan memimpin dunia ini kembali. Ya, iman yang membuatkan kita masih di sini dan masih terus berada di jalan ini. Tiada maknanya kehidupan ini tanpa iman di hati...

Thursday, December 25, 2008

Dr Wahbah...


Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan terutamanya pengisian yang saya perolehi semasa di Nilai. Tapi rentak penulisan semakin perlahan. Tiada kekuatan untuk menyusun kata. Mungkin kerana sudah terlalu penat. Biarkan, kerana saya tetap perlu memberi buat ummah ini.

Antara pengisian yang menyentuh hati adalah berkaitan dengan pengalaman ustaz semasa beliau berpeluang bertemu Dr Wahbah Zuhaily. Ustaz melihat ketinggian taqwa dan iman dalam peribadi Dr Wahbah. Dr Wahbah menghadiahkan ustaz kesemua cenderahati yang diperolehinya. Katanya, “Aku datang ke sini dengan dua hingga tiga helai pakaian, izinkan aku kembali ke tempatku sepertimana saatnya aku datang ke sini”. Masya Allah, betapa hebatnya ketinggian tawadhu’ dalam diri seorang ulama. Sepanjang Dr Wahbah berada di hotel, dia hanya makan dua kali sehari. Itupun dia akan berkongsi sebiji epal dengan insan yang lain.

Sukar pastinya untuk bertemu dengan ulama yang sebegini hebat ilmunya dan ustaz meminta Dr Wahbah menuliskan nasihat buatnya di atas helaian kertas. Ustaz kongsikan nasihat yang ditulis oleh Dr Wahbah buat kami. Menitis air mata mendengar nasihat tersebut.

Pertamanya, khabarkan pada manusia tentang Islam. Ceritakan pada mereka kelazatan berada di dalam nikmat Islam.

Keduanya, usah sesekali membaca Quran tanpa Allah di hati.

Ketiganya, jangan sesekali melupakan tuntutan menuntut ilmu walau sesibuk mana.

Kemudian ustaz bertanyakan Dr Wahbah berkenaan Ikhwanul Muslimin. Kata Dr Wahbah, “Mereka adalah orang-orang yang baik dan mereka sentiasa melakukan kebaikan”.

Sheikh Prof Dr Wahbah Az-Zuhayhli ialah pengarang kitab fiqh moden terbesar al fiqh al Islami wa adillatuh dan tafsir moden terbesar al tafsir al munir. Lantas ustaz bertanyakan pada Dr Wahbah, siapakah mereka yang disebut sebagai insan yang dikurniakan nikmat di dalam Surah AlFatihah?

Lantas Dr Wahbah menerangkan berkenaan ayat 69 dari surah Annisa’ berkenaan mereka yang an’amallahu ‘alaihim (insan yang dikurniakan nikmat).

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)." (Surah Annisa’: 69)

Insya Allah, dalam kesempatan yang lain saya akan kongsikan signifikan nabiyyin, siddiqin dan syuhada’ di dalam ayat ini. Saya tidak ada nota berkenaan signifikan golongan solehin. Ada yang mahu kongsikannya dengan saya?

Saya sukakan juga fatwa Dr Wahbah berkenaan Malaysia Negara Islam. Boleh membacanya di sini.

Samar...


Mungkin saya di antara orang yang paling lambat berbicara mengenai isu yoga. Semasa mula-mula saya berhadapan dengan isu ini, ada beberapa persoalan yang berselirat di minda. Antaranya, kenapa ulama fokus pada isu yoga? Saya meninggalkan sahaja persoalan tersebut.

Sehinggalah pada Selasa yang lepas, saya menghadiri satu pengisian di Nilai. Pengisian ini diberikan oleh seorang ustaz yang saya percaya dan ini kali ketiga saya menghadiri pengisiannya. Ustaz sememangnya antara mereka yang terlibat dalam urusan berkenaan fatwa ini.

Saat itulah saya mula merasakan betapa seriusnya isu ini.

Ustaz cakap sampaikan dia mahu mengharamkan terus yoga kerana masalah ini bukan yoga puncanya tetapi krisis sikap umat Islam yang sangat serius.

Umat Islam hari ini menggadaikan nilai yang Allah beri. Mereka mengambil nilai selain daripada nilaian Allah. Yoga bukan satu masalah yang besar. Tapi apabila umat Islam mula menganggap apa yang ada pada agama lain lebih hebat dari Islam, itulah masalah yang tersangatlah serius.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (Surah AlMukminun :1-2)

Dalam Perang Khandak (betulkan saya andai tersilap), ketika kaum Muslimin penat menggali parit, Rasulullah pernah berkata kepada Bilal bin Rabah, "Ya Bilal! Akim as-salah wa arihna biha", maksudnya, "Hai Bilal! Dirikanlah solat dan rehatkan kami dengannya".

Islam ada penyelesaian bagi segalanya. Tapi hari ini umat Islam mempercayai nilai agama lain lebih hebat daripada Islam. Bukankah semua ini satu kecelaruan yang sangat serius ?

Di manakah ummah yang suatu ketika dulu apabila datang keputusan Allah dan rasulNya, mereka mengatakan sami’na wa ata’na ?

“Sesungguhnya jawaban orang-orang mu'min, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan:"Kami mendengar dan kami patuh." Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (an-Nuur 24:51)

Krisis ini begitu serius sehinggakan ada yang memanggil ulama’ sebagai idiot. Semoga Allah menjauhkan kita dari fitnah di akhir zaman ini yang mana semuanya kelihatan kelabu dan samar.

Gaduh...


Banyak yang ingin dicoretkan tapi segalanya terhenti gara-gara bergaduh dengan seorang lelaki. Saya rasa tidak layak untuk menulis kerana insiden itu. Saat itu saya tidak berupaya lagi menahan sabar dan akhirnya meletup.

Jujur saya katakan bahawa saya puas kerana insiden itu. Tekanan demi tekanan akhirnya meletuskan bara. Saya memaafkannya tapi tidak ingin memohon maaf. Tapi alhamdulillah saat ini Allah telah melembutkan hati. Saya akan kembali. Saya akan memohon maaf dari semua.

Allah menegur dengan kalamNya saat saya memohon fatwa berkenaan permasalahan ini. Kisah yang dipaparkan adalah kisah Nabi Musa di dalam Surah AlQasas bermula dari ayat 14. Paling terasa saat membaca ayat yang ke 19.

Maka ketika dia (Musa) hendak memukul dengan keras orang yang menjadi musuh mereka berdua, dia (musuhnya) berkata: “Wahai Musa! Apakah engkau bermaksud membunuhku, sebagaimana kelmarin engkau membunuh seseorang? Engkau hanya bermaksud menjadi orang yang berbuat sewenang-wenang di negeri ini, dan engkau tidak bermaksud menjadi salah seorang dari orang-orang yang mengadakan perdamaian”.

Entahlah. Saya terasa sungguh dengan ayat ini. Segala yang terjadi adalah pengajaran buat diri sendiri.

Hmm..Saya mahu menulis kembali. Terlalu banyak mutiara yang ingin dikongsikan. Saya mahu menghidupkan kembali yahoogroup generasi. Itu salah satu dari azam tahun baru…

Sunday, December 21, 2008

Harapan...


Percaya
Pada hari kedua kelas posting Community Medicine ini, prof bertanyakan setiap orang, “Kamu percaya tak ada penawar untuk penyakit Diabetes Mellitus?” Daripada 14 orang yang ditanya, hanya saya seorang sahaja yang menjawab bahawa saya percaya. Kawan-kawan yang lain dah mula memandang saya dengan pandangan yang lain. Saya sendiri jadi takut. Kenapalah saya mempercayai sesuatu yang tidak saya pelajari dan kemudiannya memperkatakannya di hadapan seorang professor? Semasa saya di matrikulasi, saya pernah dipanggil sebagai ‘tin kosong yang aneh’. Dahlah memang tin kosong, lepas tu suka memberi jawapan yang pelik-pelik.

Tapi respons prof adalah lain. Prof kata bahawa pesakit saya akan berpuas hati dengan saya. Kenapa? Sebabnya itulah kepercayaan seorang pesakit. Entahlah, saya percaya bahawa kawan-kawan saya yang lain melihat soalan tersebut dari kaca mata pelajar perubatan ataupun doktor, sedang saya melihatnya dari kaca mata pesakit kerana saya sendiri merupakan seorang pesakit.

Fisioterapi
Saya sangat sukakan pakar fisioterapi yang saya temui di Hospital Banting. Saya bertanyakan padanya mengenai rawatan yang diberikan kepada kanak-kanak. Dan setiap kali dia berbicara mengenai dunia kanak-kanak, dia akan melihat saya. Perasan tak saya?

Bukan itu sebabnya saya sukakan penerangannya. Saya sukakan penerangannya kerana sebab yang lain. Pertamanya semasa dia memberi respons mengenai penyakit cerebral palsy, satu keadaan kecacatan otak yang dialami bayi. Katanya, seandainya kecacatannya adalah sedikit, ada cara untuk memulihkannya. Namun sekiranya bahagian otak yang terjejas adalah besar, agak sukar untuk memulihkannya. Kata-katanya yang terakhir yang saya suka, “Mungkin ada penawarnya di zaman kamu nanti”. Saya sukakan kata-kata tersebut kerana meskipun pengalaman yang dilaluinya adalah berjuta, tetapi dia masih merendah diri. Tidak pernah sesekali dia bongkak dengan ilmunya. Dia percaya ada limitation pada ilmunya. Siapa tahu Allah akan membongkar mengenai misteri sesuatu penyakit di masa akan datang di tangan insan lain?

Keduanya saya sukakan penerangannya mengenai rawatan yang diberikan kepada pesakit strok, “Kita nak pesakit strok mempunyai harapan dan bangkit kembali apabila melihat pesakit strok lain yang telah sembuh”. Kata-kata itulah yang saya mahu dari setiap doktor ataupun sesiapa sahaja yang saya temui. Sebagai pesakit, kita pasti mahukan harapan. Namun harapan tersebut tidak pernah saya temui setiap kali bertemu dengan doktor. Doktor-doktor yang saya temui seringkali membunuh saya dengan kata-kata. Setiap kali setelah bertemu doktor, saya merasakan bahawa saya mahu mati saat itu sahaja.

Baru-baru ini pun, saya down setelah berjumpa doktor. Bagaimana saya bangkit kembali? Saya bangkit setelah bertemu dengan seorang tukang urut wanita. Kepercayaannya pada Allah mengingatkan saya yang lemah. Ya, saya bangkit kembali hanya dengan kata-kata seorang tukang urut. Dia mengingatkan saya kuasa Allah. Dia menceritakan pengalaman insan lain yang sembuh dengan izin Allah. Mengapa saya tidak pernah menemui semua ini dalam diri seorang doktor? Adakah kerana doktor begitu bongkak dengan ilmunya? Agak sukar untuk saya menjawabnya..

Update
Saya sibuk tapi masih sempat mengupdate blog. Mak saya pun pelik. Entahlah, ini satu cara saya meluahkan tekanan. Pembaca blog ini pasti stress membaca catatan saya yang entah apa-apa ini. Moga ada kebaikan dalam segalanya..

Pengorbanan atau memberi sumbangan...

Kadang kita macam sibuk sangat. Waktu usrahlah, sms bertimbun-timbun masuk.

“Kena hantar dummy table dan literature review malam ini”.


“Kena translate questionnaire”

Tidak cukup semua itu, dalam kepala sendiri sahaja, ada bertimbun kerja yang perlu difikirkan. Laporan yang memeningkan dan saya masih kelabu dengan jawatan.

Saat menyiapkan laporan, ada yang memberi mesej di YM.

Salam..Adik, saya nak beritahu awak, ada banyak perkara berlaku di ofis saya. Dan sekarang saya ada kesimpulan..saya ni jahat orangnya. tak guna pun solat 5 waktu… Salam, bye.”

Terkejut juga rasanya. Kudrat saya serasanya tidak mampu menampung kehendak dan tuntutan manusia ke atas saya. Adakalanya saya tidak membalas SMS dan hal lainnya.

Teringatkan hadis mengenai harapan dan agak sukar mahu memutuskan harapan manusia.

“Dengarkanlah baik-baik. Perlu kau ketahui, aku mendengar dari Abu Zinad dari Al-A’raj dan Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:”Siapa yang memutuskan harapan orang yang datang kepadanya, Allah akan memutuskan harapannya pada hari kiamat dan tidak akan masuk syurga”

Saya cuba menjawab sedayanya. Allahu A’lam.

Semasa usrah, saya gagal untuk fokus pada mulanya. Saya memanggil hati ke titik fokus, “Afeera, sekarang ini fikirkan tentang usrah. Fokus betul-betul. Balik nanti fokus kerja lain”. Saya tahu Allah tidak mencipta dua hati dalam diri manusia. Sebagai manusia, kita hanya mampu fokus pada satu-satu perkara sahaja sebenarnya. Kalau hati itu milik Allah, tidak adalah benda lain untuk mendiami hati tersebut. Kalau bukan Allah di hati, celaru dunia ini. Hebatnya manusia yang hanya ada Allah di hatinya. Kadangkala saya jadi malu dengan Allah. Dengan keadaan masih menyesuaikan diri di rumah sewa di Sepang, saya tersalah arah kiblat. Memang malu sangat kat Allah. Hati saya masih ada Allah atau menanggung beban dunia yang tiada hentinya?

“Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya;…” (Surah Al Ahzab: 4)

Kadang kita tidak mampu nak ceritakan pada sesiapapun permasalahan kita. Memang tidak akan ada yang faham. Pada sesetengah manusia, mungkin kita kelihatan seperti memberatkan sesuatu. Itu sebabnya Allah menjadi tempat mengadu yang utama. Hanya Allah yang mengetahui kelemahan dan kekuatan kita.

Semalam seorang akak memberitahu sesuatu mengenai ‘pengorbanan’ dan ‘memberi sumbangan”. Kadangkala kita ini di dalam perjuangan hanyalah insan yang memberi sumbangan, bukan melakukan pengorbanan.

Contohnya kita ada RM100, kita memerlukan RM80 dan kita memberi baki RM20 pada perjuangan. Itu bukan pengorbanan. Itu hanyalah sumbangan. Pengorbanan adalah apabila kita mengorbankan sebahagian dari RM80 yang sangat-sangat kita perlukan pada Islam.

Contoh lain lagi, macam hal usrah dan dakwah. Ya, kerja kita bertimbun. Tapi kalau kita hanya mahu berdakwah, pergi ke usrah hanya semasa kita punya masa, itu dikira hanyalah memberi sumbangan pada Islam. Tapi pengorbanan adalah bilamana kita melakukannya di saat kesempitan masa yang kita ada, di saat kita amat memerlukan masa.

Pengorbanan dan memberi sumbangan, saya masih di tahap memberi sumbangan. Malunya saya pada Allah..


“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Assaff: 10-11)

Saturday, December 20, 2008

Seorang...

Tadi semasa usrah, umi bangkitkan kisah seorang ukhti. Ukhti ini memang amat hebat amal islaminya. Umurnya 26. Tidak ada insan yang mahu berbaitul muslim dengannya hanya kerana dia kurang jelita.

Entahlah. Saat itu ringan sahaja mulut saya untuk bertanya, “Salah ke umi kalau tidak kahwin?” Tapi saya tidak punya kekuatan saat itu untuk bertanyakan soalan tersebut. Saya kira soalan tersebut akan mengundang diskusi yang lebih kontroversi.

Sejujurnya saya rasa kasihan dengan ukhti tersebut. Saya kongsikan kisah sendiri terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan kisah ini.

Saya ingat lagi hari saya mengetahui keputusan ujian ultrasound saya. Hari di mana saya mengetahui diagnosis penyakit sendiri. Saat itu, saya menangis. Bukan mudah untuk menerima kerana saya merupakan pelajar perubatan dan mengetahui hakikat penyakit tersebut. Setelah menangis buat seketika, saya teringatkan kisah Hafsah Ibn Sirin yang pernah saya baca. Saya berjanji pada Allah mahu menjadi seperti Hafsah Ibn Sirin. Saya mengingati hari tersebut kerana pada hari yang sama, saya memperolehi pinjaman pelajaran bagi meneruskan pengajian saya.

Hafsah Ibnu Sirin merupakan saudara kepada Muhammad Ibnu Sirin, seorang ulama’ terkenal terutamanya dalam cabang ilmu mentafsir mimpi. Hafisah merupakan seorang yang tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya. Hafisah, pada awal-awalnya semasa belum dikenali bertanyakan soalan yang sangat mencabar kepada seorang imam. Soalannya berkenaan dengan status jualannya. Hafsah selalu menggunakan lilin untuk menjahit baju. Satu hari, lilin beliau habis. Dalam gelap gelita itu, tiba-tiba pengawal daripada istana khalifah melintas dihadapan rumahnya, dan ada cahaya suluhan lampu terpasuk ke dalam rumah beliau. Dalam split second tersebut, Hafisah menggunakan cahaya daripada lampu tersebut untuk memasukkan benang ke dalam jarumnya untuk dia menyambung jahitannya. Dia merasa tidak senang hati dengan tindakannya mengambil cahaya yang asalnya daripada istana khalifah yang diragui asal halal haramnya. Maka dia bertanyakan kepada imam tersebut samada halal atau haramnya hasil daripada jahitan tersebut.

Imam terpegun dengan kebijaksanaan dan ketawadhukan wanita ini dan setelah habis mengajar, dia bertanyakan kepada pambantunya siapakah wanita itu. Pembantu imam mengikut daripada jauh wanita tersebut dan mendapatinya daripada rumah keluarga Ibnu Sirin, maka mereka mengetahui memang keluarga Ibnu Sirin terkenal dengan ahli-ahli yang berilmu dan tawadhu’ dan semenjak daripada itu ramai mula mempelajari daripadanya.

Hafisah, adalah seorang yang sangat disegani dan disanjung tinggi dan dianggap sebagai seorang ahli agama yang terhebat di zamannya (ketika ditanya kepada Ibnu Assakir-ulama biodata hadith dan Iyaz), zaman dimana terdapat Muhammad Ibnu Sirin, Hassan Al Basri dan lainnya. Muhammad Ibnu Sirin sering menyuruh orang-orang yang bertanyakan soalan yang tidak dapat dijawabnya supaya bertanyakan kepada Hafisah. Hafisah mengaji setengah daripada alQuran dalam satu malam, dan menggali kubur sendiri di dalam rumah beliau. Kadang kala beliau tidur di dalam kubur itu dan sangat kuat solat dan menangis. Hafisah seorang tabien; beliau sempat belajar daripada Saiyyadatina Aisyah ra, dan seperti yang disebutkan, tidak berkahwin.


Entahlah, usahlah percaya kata buruk masyarakat bahawa setiap wanita yang tidak mempunyai jodoh itu wanita jahat kerana Hafisah menggunakan kelebihannya untuk menuntut ilmu, beramal dan beribadat. Dia tidak menggunakan itu sebagai alasan untuk beliau lemah dan merasakan dirinya kurang. Beliau banyak menyumbang kepada masyarakat dalam banyak perkara-perkara kebaikan. Hidup berseorangan bukan penghalang, dan beliau sebenarnya pun bukan berseorangan, Allah bersamanya.

Entri ini bukan bertujuan mempromosikan seorang wanita untuk tidak berkahwin. Tapi bertujuan untuk merenungi sejenak realiti. Bukan senang mahu mencari seorang lelaki beriman dan baik amal dakwahnya yang mahu berkahwin dengan insan yang serba kekurangan. Bukan mudah kerana lelaki tersebut tetap lelaki. Saya sendiri pernah bertanya pada adik lelaki mengenai calon isteri pilihannya, “Kalau dia hebat amal dakwahnya tapi tidak jelita, bagaimana?” Dia membalas soalan saya dengan mengatakan bahawa dia mahu mencari seorang wanita yang memiliki pakej lengkap terlebih dahulu. Bukan semua lelaki seperti itu? Mahu yang cute-cute. Mahu yang comel-comel. Mahu yang jelita. Kerana mereka tetap lelaki walau iman setinggi langit.

Dan kalau mahu difikirkan mengenai realiti lagi, lelaki lebih sedikit bilangannya dari perempuan. Apatah lagi lelaki beriman. Adakah seorang wanita akan mempromosikan dirinya kerana semua ini? Oh tidak….

Kalau memang telah bertemu dengan lelaki yang baik amal dakwahnya dan lelaki tersebut sudi menerima kamu seadanya, berkahwinlah. Tapi kalau tidak jumpa, redhalah. Banyak lagi kerja yang menanti dari mahu memikirkan mengenai lelaki.

Entahlah, silapnya apabila segalanya mahu dilihat dari kaca masyarakat, bukan dari kaca mata Islam. Mengapa meragui bahawa Islam adalah jawapan kepada segala permasalahan?

Berkenaan dengan kemandulan juga, Islam punya jawapan. Isteri-isteri Rasulullah SAW seperti Saudah, Aisyah, Zaynab, Juwairiyya, Rayhana, Safiyya, dan Maimunah tidak memiliki cahaya mata. Mereka adalah Ummul Mukminin. Kita mengambil Rasulullah SAW sebagai suri tauladan, lantas mengapa kita mahu menilai seorang wanita hanya kerana kemampuannya melahirkan cahaya mata? Rasulullah SAW tetap menyayangi mereka kerana ukuran seorang Muslimah yang solehah itu lain dari kaca mata Islam. Islam tidak menilai seorang wanita dari segi statusnya sama ada dia berkahwin ataupun tidak. Islam juga tidak pernah menghukum wanita yang tidak mampu melahirkan cahaya mata. Persepsi moden hari ini telah membunuh persepsi Islam.

Saya juga tidak suka seandainya pasangan yang telah berkahwin asyik memprovokasi insan yang belum berkahwin di kalangan mereka. Hellooo…Bukan suka-suka orang tidak mahu kahwin.

Ada yang beri alasan bahawa perkahwinan adalah untuk melahirkan zuriat supaya ada yang akan menjaga apabila diri sudah tua. Saya beri contoh terdekat, nenek saya sendiri. Ada anak lelaki tetapi hampeh belaka. Anak perempuan yang lebih prihatin. Tapi kudrat seorang anak perempuan pastinya terbatas. Lantas siapa yang menjaga nenek dan atuk? Allah penjaga mereka. Allah ada meskipun kamu berseorangan. Yakinlah.

Sejujurnya kita punya banyak kerja dari hanya mahu memikirkan mengenai seorang lelaki...

Friday, December 19, 2008

Kudrat...

Padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan RabbNya yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar redha”. (Surah AlLayl:19-21)

Ayat ini diturunkan untuk membela Saidina Abu Bakar apabila ada yang mengatakan bahawa dia menebus Bilal kerana membalas budi. Entahlah, ayat ini yang bermain-main di hati saat ini.

Masih saya ingat lagi dalam satu sesi usrah, ada seorang senior yang memberitahu keterbukaannya dalam dakwah sehinggakan usrah pertamanya dengan anak buahnya adalah di McD. Saya pun tanya, “Boleh ye makan kat McD?” Bagi senior saya, demi dakwah, McD boleh diturutkan. Saya menghormati pendapatnya, namun saya punya pendapat sendiri. Terpulang pada individu untuk menafsirkannya. Seringkali saya terbeli barang yang perlu diboikot adalah kerana terlupa bukan kerana sengaja. Kehidupan saya dikelilingi oleh insan-insan yang sukar memahami derita Palestina. Usah salahkan mereka, mungkin saya sendiri sering terlupa.

Kisah Saidina Abu Bakar menebus Bilal merupakan satu kisah yang sentiasa menyentuh hati saya.

Saat melihat penyiksaan ke atas Bilal , Saidina Abu Bakar berkata, “Tidakkah kamu merasa kasihan kepada orang yang lemah ini!” Umayyah kemudian menjawab, “Kasihanilah sendiri”. Abu Bakar membalas, “Ya! Berapa yang kamu inginkan?

“Aku menjualnya dengan harga sembilan uqiyah emas”. Abu Bakar lantas menjawab, “Baik, aku beli!”

Mendengar jawapan Abu Bakar, Umayyah bin Khalaf lantas tertawa dan berkata, “Tahukah kamu Abu Bakar, sekiranya kamu katakan kepadaku bahawa kamu hanya akan membelinya dengan empat uqiyah, nescaya aku akan menjualnya kepadamu”. Abu Bakar membalas kata-kata tersebut dengan tegas, “Demi Allah, sekiranya kamu meminta seratus uqiyah, nescaya aku akan membelinya darimu!” Setelah itu Abu Bakar membawa Bilal dan memerdekakannya.

Mahal bukan harga saudara seislam? Saya bukan Saidina Abu Bakar yang kaya raya untuk membeli nyawa setiap saudara di Palestina. Saya cuma insan biasa yang punya sedikit kudrat untuk memboikot sedayanya. Maafkan saya Palestina atas dosa dan ketidakmampuan ini..

Tekanan...

Saya sukakan kepenatan. Penat yang akan membuatkan tidur menjadi nikmat berharga. Cuma kadangkala mengelak tekanan.

Tapi bukankah tekanan itu baik? Bukankah tekanan yang membawa kita kepada Allah? Bukankah tekanan yang membuat kita menangis hiba pada Allah?

Bukankah tekanan yang membuatkan rakyat Palestina berjuang, mengharapkan syurga Tuhan, dan mengharapkan syahid, sehinggakan setiap rumah mahukan seorang syuhada di rumah mereka?

Murabbi memberikan analogi. Cuba tekankan gabus ke paras terdalam sebiji gelas yang berisi air. Gabus itu terlantun bukan? Tekanan yang akan membuatkan kita membuat sesuatu yang tidak mampu difikirkan.

Saat membaca Mathurat, pasti diri tersentak setiap kali membaca petikan ayat dari Surah Al Baqarah. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ". (Surah Al Qasas: 77)

Dunia itu untuk memercu seorang hamba kepada TuhanNya. Tanamlah amal di sini untuk menuainya di akhirat.

Saya? Saya perlu malu pada Palestina andai merungut dengan tekanan yang ada.

Tuesday, December 16, 2008

Lihat..

Kami belajar berkenaan perisian SPSS hari ini. Kata prof, semuanya adalah mengenai minda yang berkaitan dengan cara kamu melihat sesuatu. Kalau kamu rasa susah, benda yang paling senang pun susah. Saya setuju.

Mengenai teknologi, saya pernah berbincang dengan adik lelaki saya, Zaid. Zaid menggunakan perisian Ubuntu. Kata Zaid kita malas dan takut untuk berubah. Seandainya kita sudah senang dengan sesuatu, kita jarang mahu meneroka. Sudah senang dengan Microsoft Office 2003 misalnya, malas mahu meneroka versi 2007. Orang lain sudah mencipta perisian, kadang untuk menggunakannya pun malas. Saya kira terlalu luas ilmu untuk diteroka. Bukankah hikmah itu adalah sesuatu yang telah hilang dari kita?

Dari satu sudut yang lain, saya juga teringatkan hal mengenai bosan. Bosan, jangan mengundang murka Allah. Saya juga pernah bertanya pada nenek yang hanya duduk berdua dengan atuk di kampung. Saya memanggilnya dengan panggilan mama. “Mama tidak pernah bosan ke?” Katanya, “Orang yang bosan itu tiada Allah dalam hidupnya”. Jadinya, saya tidak mahu menggunakan perkataan bosan sebolehnya dalam kamus hidup.

Memang ada perkara yang membosankan. Misalnya, menunggu bas di Larkin ataupun di Pudu. Saya tidak suka, tapi cuba mengubah cara saya melihatnya. Saya akan melihat reaksi kanak-kanak yang dimarahi ibunya. Saya akan melihat kepayahan dan keringat pakcik-pakcik penjual tiket. Ada yang diam tapi ada sahaja manusia yang membeli tiket dari mereka. Ada yang bising bagai mahu gila, tapi tidak ada yang mahukan tiket mereka. Entahlah, saya sendiri tidak pasti apa yang saya bicarakan hari ini.

Saya kongsikan video ini. Filem Taare Zameen Par sememangnya satu filem yang menemukan saya dengan hikmah Ilahi. Jutaan pengajaran di dalam filem ini. Dunia ini bergantung pada cara kamu melihatnya..



Terjemahan lagu ini, klik sini.

Usaha...

Sekarang ini saya di dalam posting Public Health, satu posting yang dikenali dengan panggilan Public Hell atau Public Holiday di kalangan kawan-kawan. Sukar mahu membuat impresi awal mengenai posting ini. Segalanya agak memeningkan dan terlalu banyak tugasan.

Saya tidak gemar berpindah randah. Namun untuk posting ini, saya perlu berpindah dari Putrajaya ke Sepang. Andai diri jutawan, mungkin tidak terasa sukar untuk membayar duit sewa kedua-dua rumah di Putrajaya dan Sepang, tidak juga sukar mengisi petrol. Tapi menjadi orang kebiasaan, saya terasa sukar. Saya malu mahu meminta. Dengan penyakit yang ada, saya sudah terlalu menyusahkan kedua orang tua.

Kata teman, ini jihad. Lantas saya kuatkan diri, tapi bukan mudah memupuk jiwa. Tapi kata-kata seorang adik menyedarkan kembali diri yang terlupa. Katanya, ramai manusia berjuang fisabilillah, tapi bukan berjuang fillah. Ramai yang berjuang pada jalan Allah, tapi bukan kerana Allah. Sungguh kata-kata itu menyedarkan kembali diri yang terlupa

Jalan raya di sini bersimpang siur, sempit dan terlalu banyak kenderaan berat. Saya merungut pada ayah. Semalam sendiri nyaris terlanggar. Lantas ayah berbicara – “Bagaimana nanti mahu ke tempat perang? Bagaimana nanti mahu ke tempat bencana?” Saya terpana seketika. Baiklah, saya mahu berusaha..

Sunday, December 14, 2008

Cahaya...


Empang mata seakan tidak mampu ditahan saat saya menghadam buku-buku yang ada di tangan. Semuanya seakan kebetulan, tapi sebagai Muslim saya tidak pernah percaya konsep kebetulan. Semua yang terjadi adalah ketentuan Allah.

Saya memilih untuk menulis untuk elektif saya semasa tamat pengajian di tahun 2. Dan saya berjaya menghasilkan 15 bab sinopsis novel. Untuk mencari nama-nama watak di dalam novel tersebut, saya benar-benar membuat pencarian. Dan siapa sangka heroin di dalam novel yang kini di dalam genggaman memiliki nama yang sama. Ceritanya juga sama dan ada kalanya bahasa yang digunakan juga hampir sama. Terkaku saya seketika.

Novel yang ada di genggaman itu datang kepada saya juga dengan caranya tersendiri. Novel ini seperti memberitahu saya sesuatu. Mungkin saya memahaminya tetapi seakan menafikannya.

Sejujurnya saya beriman sepenuhnya saat ini. Tulisan saya bukan dari saya. Tulisan ini milik Allah dan dia yang memberikan saya ilhamnya. Saya jadi malu sendiri membaca tulisan saya yang lama-lama kerana saya seakan dimakan oleh tulisan sendiri. Adakalanya saya merasakan Allah menunjukkan saya masa depan sendiri.

Sudah banyak kali hal ini berulang. Semua yang terjadi seolah-olah memberitahu sesuatu. Adakalanya saya sendiri jadi resah. Mengapa sampai begini petunjuknya?

Bukan dari aspek penulisan sahaja, petunjuk-petunjuk ini datang dalam warna berbeza. Adakalanya saya semakin jelas dan adakalanya saya semakin keliru.

Ya Rabb, berikan saya jalan keluar semua permasalahan ini. Jadikan segalanya jelas tanpa balam. Biarlah segala bayang-bayang yang menutup permasalahan ini hilang. Izinkan saya melihat kembali cahaya…

Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi… (Surah Annahl: 77)

Saturday, December 13, 2008

Malam...

Saya tiada kerja malam ini. Eh, ada. Cuma sedang menunggu kerja-kerja mendownload selesai.

Tadi saya berchatting dengan Dilah lagi. Dia seorang sahabat yang sering mendengar celoteh saya. Dan saya sangat sukakan dia kerana dia merupakan pendengar yang baik. Kata abi, daie perlu jadi pendengar yang baik. Saya bukan pendengar yang baik sebab saya amat mudah untuk blur. Di kalangan kawan-kawan, saya dikenali sebagai seorang yang suka menukar topik disebabkan tahap kebluran yang tinggi. Huhu.. Banyak benar kekurangan saya yang perlu dibaiki.

Tadi kami berchatting tentang alam. Dilah galakkan saya berjalan di atas rumput tanpa selipar ataupun kasut. Kata Dilah – “Setiap entiti dalam alam ini bertasbih dengan Allah. Bercakaplah dengan diorang, mintak doakan, tasbih makhluk-makhluk itu kalau ditimbang dengn amal kita, mesti jauh beza sangat”. Dilah adalah bakal environmentalist. Katanya lagi, “Ramai environmentalist hari ni bukan dari kalangan manusia akhirat. Bila jadi manusia dunia, jadilah kes-kes macam tanah runtuh baru-baru ini. Sibuk nak penuhkan kocek sendiri, tapi sudahnya kena habiskan untuk tebus dosa sendiri jugak”.

Teringat saya pada perjalanan ke Tropical Fruit Farm di Pulau Pinang. Ada banyak rumah-rumah kecil di lereng-lereng bukit yang tinggi. Masya Allah. Saya tertanya-tanya, bagaimana manusia-manusia ini boleh meneroka kawasan setinggi itu? Allah yang memudahkan segalanya. Perjalanan ke Kundasang, Sabah dan Cameron Highlands juga mengingatkan saya persoalan itu. Tapi jarang sekali kita mendengar ada rumah yang hancur atau tanah runtuh yang berlaku di kawasan itu.

Satu lagi persoalan yang bermain di fikiran adalah mengenai bala Allah. Seringkali semuanya terjadi di saat malam atau di saat manusia sedang tidur. Bisikan Surah Al Aaraf seakan menerpa jiwa.

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.” (Surah Al Aaraf: 96-99)

Autisme..

Mungkin ada yang pelik. Tulisan saya tidak pernah memaparkan kematangan. Adakalanya bercerita tentang hal yang remeh temeh. Kisah mengenai memerang yang hanya sesuai untuk kanak-kanak pun mahu saya ceritakan.

Sukar untuk saya memahamkan kamu. Topik kesukaan saya adalah alam dan manusia. Saya sukakan ilmu berkaitan kanak-kanak. Saya sukakan penulis yang mampu menulis untuk kanak-kanak. Teringat kata-kata seorang teman semasa di posting pediatrik yang berkaitan dengan kanak-kanak dahulu, “Sesiapa yang boleh buat posting pediatrik ini, insya Allah posting yang lain akan menjadi mudah baginya”. Saya setuju kerana dunia kanak-kanak terlalu sukar difahami.

Kanak-kanak itu unik. Ada sesetengah ibu bapa yang menyangka bahawa anak-anak yang terus berjalan tanpa melalui proses merangkak adalah bijak. Tapi hakikat sebenarnya, semasa proses merangkak juga anak-anak belajar sesuatu.

Kelmarin saya jumpa Roti Anas, seorang pesakit Down Syndrome. Saya pernah ceritakan tentang Roti Anas sebelum ini. Kata makcik yang menjaganya, dunia penghidap Down Syndrome ini juga unik. Dia pernah pergi ke pusat pembelajaran yang dikhaskan untuk pesakit Down Syndrome. Bagi pesakit yang jiwanya memberontak, guru mereka akan menyuruh memasukkan manik ke dalam benang untuk memupuk kesabaran mereka. Tapi tidak semudah itu untuk menjadi guru di sana. Apabila pesakit Down Syndrome ini hilang sabar, mereka akan membaling manik-manik tersebut dan guru tersebut akan mengutipnya. Entahlah, saya suka belajar hal-hal seperti itu. Saya teringin untuk belajar mengenai dunia mereka. Saya teringin mahu belajar mengenai bahasa pertuturan orang pekak dan bisu. Macam-macam lagi keinginan saya.

Saya menangis saat melihat video berkenaan seorang pesakit autisme ini. Masya Allah, meskipun mereka mempunyai kesukaran dari aspek komunikasi, tetapi Allah mengurniakan tahap kegeniusan yang luar biasa buat sesetengah mereka. Bukankah manusia itu unik? Melihat mereka, saya merasakan kekuasaan Allah yang terlalu luar biasa.

Saya merepek sahaja malam-malam ini…


Zalim..

Ayah ceritakan pada saya tentang doktor-doktor Ikhwanul Muslimin. Ramai pesakit yang tidak sabar untuk berjumpa dengan doktor-doktor yang punya fikrah islam ini. Mereka tidak kisah menunggu, tidak kisah untuk berbaris panjang asalkan dapat bertemu dan bertentang mata dengan doktor kesayangan mereka. Itulah doktor yang fikrahnya adalah Islam semata-mata sehinggakan akhlaq yang lahir menyentuh hati nurani manusia lain. Kata ayah, khidmat mereka pada masyarakat membuatkan setiap insan tertarik pada keindahan Islam. Hati kecil saya berbisik mahu menjadi seperti doktor-doktor itu.

Perbualan antara saya dan ayah ini tercetus apabila melihat bil hospital. Semalaman di hospital sahaja, bil saya mencecah RM 658.70.

Doktor MO yang mengarahkan jururawat agar memberi suntikan kepada saya sahaja dibayar RM 40 . Doktor pakar yang bukan memberi konsultasi, sebaliknya bertanya tentang kolej saya dibayar RM 80 untuk konsultasinya. RM 80 lagi dibayar untuk prosedur ultrasound yang tidak sampai 30 saat. RM 80 lagi untuk ward review. Saya tanyakan pada jururawat, bila saatnya doktor bertemu saya di wad. Tiada langsung ward review yang dijalankan. Jururawat bertanya saya kembali, “Lain tu kat mana awak jumpa doktor?” Saya membalas bahawa saya bertemu doktor hanya di klinik. Kata jururawat, itu dikira sebagai ward review.

Terduduk saya seketika. Kezaliman apakah ini? Setelah disuntik, kedua-dua mata saya membengkak kerana alergi ubat dan saya disuntik lagi. Kos suntikan pula di dalam bil yang lain. Khidmat jururawat yang tidak melakukan apa-apa adalah RM75. Pemeriksaan vital sign – RM5. Kos ubat RM175. Kos ubat tersebut hanya untuk pain management sahaja. Seolah-olah tidak masuk akal dibuatnya. Kos bilik RM85. Tiada langsung pemeriksaan darah atau ujian lain yang dijalankan dan bil saya mencecah RM658.70 setelah dicampur dengan hal-hal seperti pengurusan bil, pendaftaran dan hal lainnya. Sungguh saya terpana.

Saya tertanya-tanya, apakah doktor tersebut tidak takut pada doa orang yang dizalimi? Apakah kehidupan doktor tersebut masih punya keberkatan lagi? Berapa banyak sumpah seranah yang telah diterima oleh doktor tersebut atas kezaliman yang dilakukannya? Saya sendiri jadi takut untuk memikirkannya..

Entahlah, saya ingin menjerit semahunya bahawa saya tidak mahu menjadi doktor yang zalim seperti ini. Saya benci dengan sistem kuffar yang menanam kefahaman sesat dalam minda benak doktor-doktor ini sehinggakan kerjaya yang begitu mulia ini menjadi begitu hina.

Saat diberitahu mengenai bil, ayah belum lagi tiba. Pada mulanya saya diberitahu bil adalah sekitar RM500. Saya mengeluarkan wang yang saya ada sekitar RM600 kerana tidak mahu menyukarkan ayah. Apabila mahu membayar, saya diberitahu bahawa bil yang sebenar adalah RM658.70. Saya menelefon ayah dan kami membuat keputusan untuk claim insurans. Saya telah didiscaj pada pukul 10 pagi. Tapi menunggu urusan insurans sehingga ke Asar. Akhirnya ayah terpaksa membayar bil tersebut kerana pihak insurans mahu urusan dilakukan di kemudian hari.

Sudahlah doktornya zalim belaka, syarikat insurans pula membuat hal. Saya sendiri tidak pasti sama ada syarikat insurans akan bertanggungjawab di atas bil tersebut. Sistem kapitalis benar-benar membunuh. Saya sudah puas menangis. Entah ini kali ke berapa saya menyusahkan ayah dan ibu. Saya rasakan bahawa saya adalah ujian yang terlalu berat buat mereka Saya mohon maaf pada mereka atas segalanya.

Pada saya, wang bukan segalanya. Keberkatan dan ketenangan hidup yang saya cari. Saya membuat keputusan untuk berkhidmat di hospital kerajaan kelak melainkan saya mendapat peluang untuk membuat kebajikan yang lebih luas di luar. Saya tidak mahu menjadi zalim seperti ini kepada pesakit-pesakit saya. Saya juga memikirkan kepentingan dakwah dan peluang yang luas di hospital kerajaan. Andai saya telah bergelar MO kelak, saya mahu membawa usrah untuk kakitangan jururawat. Biarlah Islam matlamat hidup saya, dan bukannya wang. Saya mohon pada Allah agar saya tidak tamak kelak. Setiap ilmu yang Allah kurniakan adalah amanah, bukan asbab untuk menjadi kaya. Saya tidak mahu mengkhianati ilmu yang telah Allah berikan.

Saya sedar kini. Doktor yang baik itu umpama sebutir mutiara di celahan kaca yang bersepah. Saya mengkagumi doktor-doktor yang mulia ini. Saya lebih menghargai doktor yang mulia ini setelah bertemu dengan doktor yang zalim. Semuanya adalah tarbiah Allah untuk menyedarkan saya realiti di luar.

Teringat pengisian seorang pensyarah saya dahulu, Pastinya kita tahu mengenai kisah seorang pelacur yang diampunkan dosanya oleh Allah, dibukakan pintu syurga dan Allah berterima kasih padanya kerana memberi minum seekor anjing. Ganjaran yang begitu besar kerana ehsan kepada haiwan. Tapi doktor merawat manusia. Pastinya ganjaran yang menanti lebih besar. Setiap kali seorang doktor bertemu pesakit, dia akan mendapat peluang diampunkan dosanya oleh Allah, dibukakan pintu syurga buatnya dan Allah berterima kasih padanya. Pahala yang berlipat ganda menanti seorang doktor yang bekerja ikhlas kerana Allah.

Saya terkesan setelah saya mengetahui kerjaya ini diiktiraf oleh Allah di dalam Al Quran– “..Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya..” (AlMaidah :32) Pekerjaan ini sememangnya menjanjikan pahala yang lumayan buat mereka yang benar-benar mahukannya.

Empangan...



Ini gambar empangan Teluk Bahang. Saya suka melihat empangan juga kerana ia mengingatkan saya pada memerang. Memerang membina empangan dengan teknologi yang sama dengan manusia. Memerang membina empangan yang menyekat air pada sudut 45 darjah. Saya membaca semua itu dari buku Harun Yahya yang ditulis khas untuk kanak-kanak. Kamu boleh membacanya di sini.

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
( Surah An-Nuur: 45 )

Thursday, December 11, 2008

Ombak..


Rasulullah telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud dari Thauban : Hampir sahaja seluruh bangsa dari setiap penjuru dunia, berebutan terhadap kamu, sebagaimana orang-orang yang makan berebut terhadap mangkuk makanannya. Para sahabat bertanya, “Apakah jumlah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Bahkan pada saat itu jumlah kamu sangat banyak, tetapi kewujudan kamu tidak ubah seperti buih air bah, sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari dada musuh-musuhmu terhadap kamu dan akan melemparkan rasa wahan ke dalam hati kamu”. Para sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Cinta dunia dan takut mati”.

Gambar buih ini diambil semasa saya berada di atas feri. Buih-buih itu tidak bermakna sama sekali, bukan? Jutaan persoalan menerpa minda saat melihat buih-buih tersebut. Sayakah buih itu? Adakah saya kian hilang seperti buih-buih itu?

Ada saatnya saya kuat. Adakalanya saya terasa lemah sekali. Melawan rasa lemah itu terlalu sukar. Mujahadah itu pahit. Namun bukankah ada manis di hujungnya? Lantas mengapa perlu dilayan rasa sedih itu?

Saya hanya mahu menjadi ombak yang akan menenggelamkan seluruh jahiliah yang ada. Saya mahu menjadi ombak yang memusnahkan rasa lemah yang ada di dalam diri. Saya bukan buih dan saya tidak pernah mahu menjadi buih. Saya mahu menjadi ombak.

Saya tidak boleh merasa keseorangan. Saya bukan insan beriman andai merasakan bahawa Allah tidak pernah peduli. Kekuatan saya telah Allah akui sehingga diberi uji. Lantas saya perlu redha. Kuat kembali. Ada tugas yang menanti. Saya harus mencuba sekali lagi. Kegagalan ini akan saya tebus. Saya akan kembali..

Asbab...

Jururawat marah. Katanya saya perlu tutup komputer riba ini dan berehat. Saya degil dan mungkin juga saya takut dengan baki hayat yang saya ada. Saya perlu melakukan sesuatu. Komputer riba yang saya ada bukan hanya membantu menukilkan kisah-kisah di sini, tapi juga untuk keperluan lainnya. Kemudahan 3G yang Allah beri perlu saya gunakan dengan baik.

Saya di katil hospital lagi. Kadang terasa bosan dengan kehidupan sebagai pesakit. Saya pernah bertemu Stephani, penghidap kanser rahim tahap keempat. Stephani juga merupakan penghidap Turner Syndrome. Bezanya dengan saya, Stephani sukakan hospital. Dia suka bertemu manusia. Saya bencikan hospital sekiranya saya perlu berada di sini dengan status pesakit. Tapi mungkin itu tarbiah Allah agar saya mengerti kehidupan pesakit. Tarbiah agar saya menjadi doktor yang baik kelak buat pesakit-pesakit saya.

Tadi semasa di jabatan kecemasan, saya melihat seorang nenek yang menjerit nama Allah di hadapan katil saya. Teringat pengalaman lalu dan saya menjadi takut. Sakit yang datang seringkali mengingatkan hakikat kematian. Dan baru sebentar tadi saya tahu bahawa nenek tersebut telah meninggal dunia. Innalillah..Dan saya juga merasakan baru sebentar tadi malaikat maut menziarahi saya. Ya Allah, saya terasa takut sekali..

Saya merenungi kekerdilan diri. Sayakah insan yang merindui syahid? Bukankah perindu syahid tidak pernah takutkan kematian?

Benar kata-kata Dilah saat saya kongsikan perasaan takut ini padanya – “Bagi mukmin, kecintaan utamanya tumpah kepada Allah. Bila beriman dengan Hari Pertemuan, maka percayalah hanyalah hari perpisahan dengan dunia pintu untuk ke pertemuan bersama Allah. Bukankah Allah itu kekasih mukmin? Kekasih tidak akan menyakiti kekasihnya. Benar bukan? Lalu, bila Kekasih memenggil untuk bertemu, mengapa kamu harus bersedih? Mengapa mesti takut? Bukankah waktu untuk bertemu kekasih waktu yang mendebarkan rasa hati? Kerana rindu akan langsai.Usah rasa takut lagi, usah risau lagi. Bersiap-siap sahaja untuk hari bertemu kekasih yang satu ini, kerana di panggil pulang bermakna cintaNya terlalu sarat untuk kita!”

Suntikan yang saya terima melegakan kesakitan. Semuanya dengan izin Allah. Esok akan bertemu doktor pakar. Moga Allah mempermudahkan urusan.

Dalam renungan, saya juga memendam kekecewaan melihat doktor dan jururawat yang mengulang kerja seharian mereka sehari-hari tanpa rasa ubudiyah kepada Allah. Layanan double standard yang diberikan sungguh mengecewakan. Saya hanya melihat segala sandiwara. Saya cuma memberi maklumat menggunakan layman term sahaja. Malas mahu menzahirkan diri sebagai pelajar perubatan. Entahlah. Kita bukan robot di muka bumi Allah. Kita manusia yang Allah pikulkan tanggungjawab untuk bergelar Khalifah. Kita dikurniakan hati untuk belajar memahami. Mengapa ilmu hanya dipraktiskan di sekolah perubatan sahaja dan dibiarkan lemas dalam helaian kertas sesudah bergelar doktor? Moga Allah mengurniakan taufiq dan hidayahNya buat mereka.

Saya sudah mahu berehat. Benar kata Dilah, tidur adalah ibadah yang paling senang dan ikhlas untuk dilakukan. Saya sudah mahu melelapkan mata. Semua yang terjadi adalah bukti cinta Tuhan yang menjadi asbab berlaku setiap kejadian…

Maafkan saya atas segalanya…

Wednesday, December 10, 2008

Sawah padi..

Sekiranya kamu telah mengenali teratak kerdil saya ini buat jangka masa yang lama, kamu mungkin perasan bahawa saya pernah berbicara mengenai salah satu kegemaran saya iaitu hal-hal berkenaan timelapse. Saya sukakan alam. Panorama alam yang indah begitu menyenangkan hati.

Saya sukakan muzik Omar Akram juga kerana alam. Saya kira dia begitu asyik dengan alam sehingga mampu menghasilkan muzik yang mendamaikan. Alam ini seolah-olah berbicara pada manusia yang cuba memahami. Zikir alam pada Rabb yang agung menyejukkan hati dan nurani yang terbakar dek dunia yang rakus ini. Sedih sekali rasanya melihat kebiadapan manusia pada alam sehingga alam memuntahkan segala onar dan makar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.


Homestay yang menjadi tempat kami menginap sepanjang percutian berdekatan dengan sawah padi. Saya kongsikan gambar-gambar yang saya rakam pada waktu berbeza untuk menghayati kekuasaan Allah pada silih pergantian siang dan malam. Pastinya saya bukan jurugambar amatur. Dan pastinya juga mata yang Allah cipta merupakan kamera terbaik di dunia yang mana teknologinya tidak mungkin mampu ditandingi oleh mana-mana manusia.

"Dia-lah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Nama-Nama Yang Paling Baik. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surat Al Hasyr : 24)


"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya". (Surah Ali Imran:27)"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Surah Ali Imran: 190-191)


"Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka." (Surah Al An'aam: 1)

Mata hati..


Puas saya mengembara di dalam bumi Malaysia setahun dua ini. Adakalanya saya kira nama saya perlu ditukar dari Afeera kepada Musafirah kerana banyaknya permusafiran saya di bumi yang kian fana’ ini. Perjalanan bercuti bersama keluarga ke Perak, Kedah, dan Pulau Pinang ingin saya abadikan di teratak maya yang kerdil ini.

Sejujurnya perjalanan ini mengundang penat, namun masih jauh lagi insan di luar dari dakwah yang dimulakan oleh saya sendiri. Teringat kepada Utbah bin Nafi’ yang melakukan perluasan kuasa dengan matlamat dakwah semata-mata. Dialah insan yang memulakan misi perluasan kuasa ke kawasan utara Afrika. Usahanya itu berjaya sehingga ke Maghribi. Beliau kemudiannya turun ke Laut Atlantik bersama kudanya sehingga kudanya hampir lemas. Kata-katanya tidak pernah saya lupa, “Sekiranya aku tahu di hujung sana masih ada tanah, aku akan teruskan”.

Bilakah saatnya permusafiran saya hanya kerana dakwah semata-mata? Soalan ini bermain-main di perjuru fuad untuk saya bermuhasabah.

Saya hanya mahu menjadi seorang manusia yang melihat segalanya dengan kaca mata hati. Saya sukakan tulisan seorang sahabat berkenaan ayat 179 dari Surah Al Aaraf. Kamu boleh membacanya di sini. Mengapa Allah membuat perumpamaan bahawa manusia yang sesat itu seperti binatang ternak? Mengapa lebih teruk dari binatang ternak? Mengapa bukan binatang liar?

Saya tinggalkan dulu catatan ini. Insya Allah, saya akan menyambungnya kelak, mungkin dengan bicara atau mungkin dengan sisipan gambar.

Monday, December 08, 2008

Qalbun..

Eid Mubarak! Moga hari-hari yang dilalui penuh dengan nilai-nilai pengorbanan. Saya mohon maaf di atas setiap kesilapan yang saya lakukan kepada sesiapa sahaja. Andai ada yang masih tidak selesai di antara kita, utuskan sahaja marsum maya agar saya mengetahuinya.

Hari ini kita cerita sedikit tentang jantung dalam mood untuk terus mengingati Allah. Saya pernah menulis tentang jantung dalam entri saya sebelum ini. Boleh klik di sini untuk membacanya.

Saya pernah ceritakan bahawa jantung akan mengepam 5L darah dalam satu minit. Nilai tersebut hampir menyamai satu baldi air. Cuba bayangkan kalau kita perlu mengangkut baldi air dari satu kawasan ke kawasan yang lain, bagaimana agaknya ye keadaan kita saat itu? Penat bukan? Tapi itulah yang dilakukan oleh jantung sehari-hari. Masya Allah..

Saya baru belajar satu ilmu lagi dalam bahasa arab dan ilmu itu berkaitan dengan jantung yang ingin saya ceritakan. Di dalam bahasa arab, susunan huruf yang berbeza juga mempunyai perkaitan. Contohnya seperti di bawah.
Meskipun susunan kalimah ilmu dan amal itu berbeza dan membawa makna yang berbeza tetapi ada perkaitan di antara ilmu dengan amal, bukan? Tanpa ilmu, amal tidak berguna. Tanpa amal, ilmu tidak pernah bermakna.

Begitu juga dengan qalbun dan qabla. Qalbun itu hati dan qabla itu maknanya sebelum. Apa perkaitannya?
Qalbun ini dari segi zahirnya merujuk kepada jantung, dan dari segi maknawinya merujuk kepada hati.

Apa kaitan qalbun (jantung) dan qabla (sebelum)? Jantung telah membuat perjanjian dengan Allah sebelum kita lahir lagi.

"Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
(Surah Al Aaraf: 157)

Itu sebabnya jantung mematuhi setiap perintah Allah. Mengepam darah tanpa henti meskipun kita terus melakukan kemaksiatan.

Jantung itu kan ada masanya systole dan diastole? Ada masanya dia cuba memuatkan darah dalam setiap atrial dan ventriclenya (systole), dan adakalanya cuba melepaskan seluruh darah itu ke seluruh badan (diastole –relaks) Cuba kamu sebut Allah. All…lah… Sebutan All itu seakan-akan systole. Dan apabila jantung diastole iaitu relaks, ianya seakan-akan sebutan lah. All..lah..Allah..Allah…jantung itu berzikir sepanjang masa. Masya Allah..

Cuma yang menjadi masalah adalah qalbun maknawi iaitu hati. Ayuh sucikan hati maknawi dengan zikrullah.

Saya kongsikan lagu yang sungguh bermakna ini. Andai kamu punya liriknya atau semua lirik lagu dalam album Majesty oleh Aashiq AlRasul ini, sila kongsikan dengan saya ye.


Thursday, December 04, 2008

Taugeh...


Beberapa hari lepas, saya dan seorang sahabat berbicara mengenai manusia yang banyak ragamnya. Terasa masih baru saya mengatakan bahawa di sini semuanya bersatu. Tersenyum saya hari ini ketika melihat ideologi-ideologi manusia yang mula menunjukkan taringnya.

Di mana-mana penjuru bumi ada sahaja masalah tersebut saya kira. Dan saya perlu belajar menerima bahawa manusia seringkali berbeza dan tidak sempurna. Kesempurnaan itu hanya milik Allah semata.

Saya suka analogi yang diberikan oleh sahabat saya mengenai ideologi-ideologi manusia yang bercambah bagai taugeh-taugeh yang tumbuh dari kacang hijau yang basah:)

Ummu pernah tengok Dragon Ball?”

Ya, pernah”, balas saya semula. Sudah lama rasanya saya tidak menontonnya.

Saya suka menonton kartun Sailormoon semasa kecil dan kemudian akan menyambung menonton Dragon Ball. Tapi apabila sudah tua, saya sendiri tidak memahami bicara kartun-kartun tersebut.

Saya sudah mula melalut nampaknya. Ayuh kembali semula kepada titik asal bicara. Sahabat saya menyambung cerita, “Ada satu watak. Nama dia Cell.

Memori kepala saya tidak mampu mengingati watak tersebut, tapi cuba memberi perhatian pada bicaranya. “Sampai satu tahap, dia boleh berevolusi. Tapi ada satu tahap gap. Dia boleh buat mitosis. Cuma mitosis ini tidak normal, membelah diri dari satu sel yang sama tapi menghasilkan dua sel yang berbeza. Berbeza main control dan perangai.”

Saya juga suka analogi akhir yang diberikannya, “Agak-agaklah, kalau sel kulit buat perangai camni, mungkin tidak hairan apabila satu masa nanti tiba-tiba kat lengan tumbuh kidney”.

Saya setuju dengan kata-katanya. Entahlah, barangkali saya pening seketika hari ini melihat ragam manusia. Membawa ideologi sendiri. Mungkin terlalu sukar berlapang dada barangkali. Ideologi-ideologi kamu bukan pasak sebuah kejayaan. Di saat kamu berperang, mungkin kamu terlupa. Kejayaan ini milik Allah, pemberinya juga Allah. Usah berbangga dengan ideologi. Usah syirikkan Allah dengan ideologi.

Teringat kisah Saidina Umar yang memecat Khalid Al Walid yang hebat itu. "Siapa Umar untuk melanggar keputusan Rasulullah SAW melucutkan jawatan Khalid al-Walid? Siapa Umar untuk melucutkan jawatan jeneral Khalid walau dalam pemerintahan Abu Bakar? Siapa dia?" kata mereka.

Khalid Al Walid masih senyum. "Apakah ada beza aku jeneral dengan aku tentera biasa? Bukankah pedang aku ini masih boleh membunuh musuh kuffar? Sekiranya kalian beriman dengan Allah, maka patuhilah arahan pemimpin." Tenang beliau menjawab.

Mendengar kata-kata Khalid al-Walid, tentera Islam mendiamkan diri. Tapi hati masih penuh dengan rasa kurang berpuas hati. Lantaran ketidakpuasan hati, perkara tersebut telah menimbulkan fitnah di kalangan umat Islam.

Saidina Umar hanya senyum pada awalnya. Tapi apabila fitnah semakin panas, dia berkata,"Aku melucutkan jawatan Khalid Al-Walid kerana aku khuatir kamu akan berlaku syirik."

"Kenapa pula kami boleh berlaku syirik bawah pimpinan Khalid al-Walid?"

Lantas jawab Saidina Umar, "Kerana aku takut kalian mengatakan kemenangan tentera Islam adalah kerana pimpinannya, bukan kerana bantuan Allah."

Cerita itu meninggalkan pengajaran bagi yang mahu memahami. Mungkin kamu terlupa seketika bahaya syirik apabila berperang dengan ideologi.

Apa repekan saya malam ini dapat kamu fahami? Cuma catatan biasa. Mahu menamatkan kata-kata yang telah bermula.

Entahlah, doktor sesama doktor tidak pernah bergaduh. Jurutera sesama jurutera juga tidak pernah bergaduh. Tapi adakah mungkin apabila doktor atau sesiapa sahaja yang membaca kitab sehari dua, berprogram agama berminggu-mingu akan bergaduh? Kenapa? Mungkin kerana tidak mudah berlapang dada atau tersilap kefahaman agaknya.

Wednesday, December 03, 2008

Seorang akak..



Seorang akak..
Terima kasih buat Kak Lin. Sepi jiwa ini cuba diisinya. Semalam di ambang peperiksaan, dia masih sibuk berbakti buat seiisi rumah. Saat itu saya sedang menelefon mak yang sedang memasak. “Mak, saya bau masakan mak”, ujar saya tiba-tiba. Rindu yang telah saya simpan kemas di penjuru fuad seakan tidak mampu ditahan. Rupa-rupanya Kak Lin sedang memasak di bawah. Aroma masakan Kak Lin rupanya. Hati Kak Lin sungguh hebat untuk memuatkan cinta pada sahabat-sahabatnya. Saya tidak mungkin mampu membalas setiap pernik ukhwah dan rasa cinta yang dihamparnya. Hanya Allah yang mampu membalas cinta ini.


Hari ini..
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Pujian itu hanya untuk Allah dan hanya untuk Allah. Allah mencampakkan semacam rasa kepuasan dalam hati kecil saya. Saya puas dengan peperiksaan tadi. Saya bahagia meskipun saya tidak mengetahui keputusannya. Saya puas kerana saya telah melakukannya dengan sepenuh jiwa.

Sudah begitu lama saya tidak merasai kepuasan seperti ini. Sudah lama saya melayan rasa sehingga tidak menyempurnakan semuanya dengan sempurna. Dan Allah memberi saya kekuatan semula. Dan saya telah menyeka air mata dan berpesan pada jiwa bahawa Allah bersama saya dalam rona perjalanan ini. Allah.. Allah.. Allah.. Dia ada sentiasa..

Seorang adik yang bakal mengambil SPM bertanyakan soalan, “Kak, apa tips untuk berjaya?” Fikirnya mungkin pelajar perubatan semuanya hebat-hebat belaka. Tidak dik. Saya yang di sini hanya merangkak dalam dunia yang penuh liku. Namun saya sentiasa percaya satu perkara. Allah pasti di sisi saya.

Adik, tips untuk berjaya itu mudah namun tidak semudah menuturkannya. Lakukan yang terbaik dan serahkan seluruh rahsia di kemudian hari hanya padaNya. Tapi tidak semudah itu jalannya.

Andai diri telah bersedia dan menyerahkan diri padaNya untuk ditarbiah, bersedialah dengan duri yang penuh duka tapi pasti semua itu mengundang bahagia di hujungnya.