Saturday, December 13, 2008

Zalim..

Ayah ceritakan pada saya tentang doktor-doktor Ikhwanul Muslimin. Ramai pesakit yang tidak sabar untuk berjumpa dengan doktor-doktor yang punya fikrah islam ini. Mereka tidak kisah menunggu, tidak kisah untuk berbaris panjang asalkan dapat bertemu dan bertentang mata dengan doktor kesayangan mereka. Itulah doktor yang fikrahnya adalah Islam semata-mata sehinggakan akhlaq yang lahir menyentuh hati nurani manusia lain. Kata ayah, khidmat mereka pada masyarakat membuatkan setiap insan tertarik pada keindahan Islam. Hati kecil saya berbisik mahu menjadi seperti doktor-doktor itu.

Perbualan antara saya dan ayah ini tercetus apabila melihat bil hospital. Semalaman di hospital sahaja, bil saya mencecah RM 658.70.

Doktor MO yang mengarahkan jururawat agar memberi suntikan kepada saya sahaja dibayar RM 40 . Doktor pakar yang bukan memberi konsultasi, sebaliknya bertanya tentang kolej saya dibayar RM 80 untuk konsultasinya. RM 80 lagi dibayar untuk prosedur ultrasound yang tidak sampai 30 saat. RM 80 lagi untuk ward review. Saya tanyakan pada jururawat, bila saatnya doktor bertemu saya di wad. Tiada langsung ward review yang dijalankan. Jururawat bertanya saya kembali, “Lain tu kat mana awak jumpa doktor?” Saya membalas bahawa saya bertemu doktor hanya di klinik. Kata jururawat, itu dikira sebagai ward review.

Terduduk saya seketika. Kezaliman apakah ini? Setelah disuntik, kedua-dua mata saya membengkak kerana alergi ubat dan saya disuntik lagi. Kos suntikan pula di dalam bil yang lain. Khidmat jururawat yang tidak melakukan apa-apa adalah RM75. Pemeriksaan vital sign – RM5. Kos ubat RM175. Kos ubat tersebut hanya untuk pain management sahaja. Seolah-olah tidak masuk akal dibuatnya. Kos bilik RM85. Tiada langsung pemeriksaan darah atau ujian lain yang dijalankan dan bil saya mencecah RM658.70 setelah dicampur dengan hal-hal seperti pengurusan bil, pendaftaran dan hal lainnya. Sungguh saya terpana.

Saya tertanya-tanya, apakah doktor tersebut tidak takut pada doa orang yang dizalimi? Apakah kehidupan doktor tersebut masih punya keberkatan lagi? Berapa banyak sumpah seranah yang telah diterima oleh doktor tersebut atas kezaliman yang dilakukannya? Saya sendiri jadi takut untuk memikirkannya..

Entahlah, saya ingin menjerit semahunya bahawa saya tidak mahu menjadi doktor yang zalim seperti ini. Saya benci dengan sistem kuffar yang menanam kefahaman sesat dalam minda benak doktor-doktor ini sehinggakan kerjaya yang begitu mulia ini menjadi begitu hina.

Saat diberitahu mengenai bil, ayah belum lagi tiba. Pada mulanya saya diberitahu bil adalah sekitar RM500. Saya mengeluarkan wang yang saya ada sekitar RM600 kerana tidak mahu menyukarkan ayah. Apabila mahu membayar, saya diberitahu bahawa bil yang sebenar adalah RM658.70. Saya menelefon ayah dan kami membuat keputusan untuk claim insurans. Saya telah didiscaj pada pukul 10 pagi. Tapi menunggu urusan insurans sehingga ke Asar. Akhirnya ayah terpaksa membayar bil tersebut kerana pihak insurans mahu urusan dilakukan di kemudian hari.

Sudahlah doktornya zalim belaka, syarikat insurans pula membuat hal. Saya sendiri tidak pasti sama ada syarikat insurans akan bertanggungjawab di atas bil tersebut. Sistem kapitalis benar-benar membunuh. Saya sudah puas menangis. Entah ini kali ke berapa saya menyusahkan ayah dan ibu. Saya rasakan bahawa saya adalah ujian yang terlalu berat buat mereka Saya mohon maaf pada mereka atas segalanya.

Pada saya, wang bukan segalanya. Keberkatan dan ketenangan hidup yang saya cari. Saya membuat keputusan untuk berkhidmat di hospital kerajaan kelak melainkan saya mendapat peluang untuk membuat kebajikan yang lebih luas di luar. Saya tidak mahu menjadi zalim seperti ini kepada pesakit-pesakit saya. Saya juga memikirkan kepentingan dakwah dan peluang yang luas di hospital kerajaan. Andai saya telah bergelar MO kelak, saya mahu membawa usrah untuk kakitangan jururawat. Biarlah Islam matlamat hidup saya, dan bukannya wang. Saya mohon pada Allah agar saya tidak tamak kelak. Setiap ilmu yang Allah kurniakan adalah amanah, bukan asbab untuk menjadi kaya. Saya tidak mahu mengkhianati ilmu yang telah Allah berikan.

Saya sedar kini. Doktor yang baik itu umpama sebutir mutiara di celahan kaca yang bersepah. Saya mengkagumi doktor-doktor yang mulia ini. Saya lebih menghargai doktor yang mulia ini setelah bertemu dengan doktor yang zalim. Semuanya adalah tarbiah Allah untuk menyedarkan saya realiti di luar.

Teringat pengisian seorang pensyarah saya dahulu, Pastinya kita tahu mengenai kisah seorang pelacur yang diampunkan dosanya oleh Allah, dibukakan pintu syurga dan Allah berterima kasih padanya kerana memberi minum seekor anjing. Ganjaran yang begitu besar kerana ehsan kepada haiwan. Tapi doktor merawat manusia. Pastinya ganjaran yang menanti lebih besar. Setiap kali seorang doktor bertemu pesakit, dia akan mendapat peluang diampunkan dosanya oleh Allah, dibukakan pintu syurga buatnya dan Allah berterima kasih padanya. Pahala yang berlipat ganda menanti seorang doktor yang bekerja ikhlas kerana Allah.

Saya terkesan setelah saya mengetahui kerjaya ini diiktiraf oleh Allah di dalam Al Quran– “..Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya..” (AlMaidah :32) Pekerjaan ini sememangnya menjanjikan pahala yang lumayan buat mereka yang benar-benar mahukannya.

No comments: