Thursday, December 11, 2008

Asbab...

Jururawat marah. Katanya saya perlu tutup komputer riba ini dan berehat. Saya degil dan mungkin juga saya takut dengan baki hayat yang saya ada. Saya perlu melakukan sesuatu. Komputer riba yang saya ada bukan hanya membantu menukilkan kisah-kisah di sini, tapi juga untuk keperluan lainnya. Kemudahan 3G yang Allah beri perlu saya gunakan dengan baik.

Saya di katil hospital lagi. Kadang terasa bosan dengan kehidupan sebagai pesakit. Saya pernah bertemu Stephani, penghidap kanser rahim tahap keempat. Stephani juga merupakan penghidap Turner Syndrome. Bezanya dengan saya, Stephani sukakan hospital. Dia suka bertemu manusia. Saya bencikan hospital sekiranya saya perlu berada di sini dengan status pesakit. Tapi mungkin itu tarbiah Allah agar saya mengerti kehidupan pesakit. Tarbiah agar saya menjadi doktor yang baik kelak buat pesakit-pesakit saya.

Tadi semasa di jabatan kecemasan, saya melihat seorang nenek yang menjerit nama Allah di hadapan katil saya. Teringat pengalaman lalu dan saya menjadi takut. Sakit yang datang seringkali mengingatkan hakikat kematian. Dan baru sebentar tadi saya tahu bahawa nenek tersebut telah meninggal dunia. Innalillah..Dan saya juga merasakan baru sebentar tadi malaikat maut menziarahi saya. Ya Allah, saya terasa takut sekali..

Saya merenungi kekerdilan diri. Sayakah insan yang merindui syahid? Bukankah perindu syahid tidak pernah takutkan kematian?

Benar kata-kata Dilah saat saya kongsikan perasaan takut ini padanya – “Bagi mukmin, kecintaan utamanya tumpah kepada Allah. Bila beriman dengan Hari Pertemuan, maka percayalah hanyalah hari perpisahan dengan dunia pintu untuk ke pertemuan bersama Allah. Bukankah Allah itu kekasih mukmin? Kekasih tidak akan menyakiti kekasihnya. Benar bukan? Lalu, bila Kekasih memenggil untuk bertemu, mengapa kamu harus bersedih? Mengapa mesti takut? Bukankah waktu untuk bertemu kekasih waktu yang mendebarkan rasa hati? Kerana rindu akan langsai.Usah rasa takut lagi, usah risau lagi. Bersiap-siap sahaja untuk hari bertemu kekasih yang satu ini, kerana di panggil pulang bermakna cintaNya terlalu sarat untuk kita!”

Suntikan yang saya terima melegakan kesakitan. Semuanya dengan izin Allah. Esok akan bertemu doktor pakar. Moga Allah mempermudahkan urusan.

Dalam renungan, saya juga memendam kekecewaan melihat doktor dan jururawat yang mengulang kerja seharian mereka sehari-hari tanpa rasa ubudiyah kepada Allah. Layanan double standard yang diberikan sungguh mengecewakan. Saya hanya melihat segala sandiwara. Saya cuma memberi maklumat menggunakan layman term sahaja. Malas mahu menzahirkan diri sebagai pelajar perubatan. Entahlah. Kita bukan robot di muka bumi Allah. Kita manusia yang Allah pikulkan tanggungjawab untuk bergelar Khalifah. Kita dikurniakan hati untuk belajar memahami. Mengapa ilmu hanya dipraktiskan di sekolah perubatan sahaja dan dibiarkan lemas dalam helaian kertas sesudah bergelar doktor? Moga Allah mengurniakan taufiq dan hidayahNya buat mereka.

Saya sudah mahu berehat. Benar kata Dilah, tidur adalah ibadah yang paling senang dan ikhlas untuk dilakukan. Saya sudah mahu melelapkan mata. Semua yang terjadi adalah bukti cinta Tuhan yang menjadi asbab berlaku setiap kejadian…

Maafkan saya atas segalanya…

2 comments:

Anonymous said...

salam kak.afeera:)

moga terus tabah ya!doa kami sentiasa mengiringi.sbnrye dh lama jd pembaca blog ni.jd silent reader je:D hehe.

rabbuna yusahhilna.

Ummu Afeera said...

jadilah pembaca kepoh:) hehe...