Saturday, June 29, 2019

Kahfi..


Kadang itu saya rasa ‘tercungap-cungap’ dengan kehidupan saya. Bekerja, oncall, collect data di hospital X, kerja di hospital Y, buat poster, pergi tambah ilmu, present CME dan lain-lain membuatkan saya rasa ‘semput’. Terkadang saya tertanya-tanya, apa yang sedang saya lakukan. Anak-anak kadangkala terbiar. Tekanan kadang terbawa-bawa ke rumah. 

Adakalanya kerjaya kita memberikan kita inspirasi, namun tak kurang juga ujiannya.

Bila kita meminta MRI untuk pesakit, dan diberi. Jawapannya adalah apa yang kita syaki iaitu vasculitis membuat kita rasa ‘worth it’ membuat yang terbaik untuk pesakit. Adakalanya bila kita bertemua orang hebat seperti interventional radiologist yang sanggup membuat biopsi yang sukar membuat kita rasa terinspirasi.

Bila kita syaki pesakit kita menghidap kanser berdasarkan ultrasound yang menunjukkan banyak lesion di hati dan GCS pesakit drop, dan kita rasa baiknya seandainya kita mampu meneruskan membuat CT Brain, Thorax, Abdomen dan Pelvis sekaligus dan permintaan tersebut diluluskan. Dan keputusan menunjukkan gall bladder tumour with lots of metastasis. Dan kita berbincang tentang advance directive. Semua itu membuatkan kita rasa ‘worth it’ berjuang untuk pesakit. Berbaloi untuk mencari jawapan. Bersyukur bertemu dengan orang-orang yang memudahkan.

Namun ada hari yang sukar. Ada hari kita bertemu orang bawahan yang lebih ‘cerewet’. Mahu meminta ultrasound lower limb dan doppler. 

“Fever dulu ke discharge dulu?”

“Buat op 5 tahun lepas itu di hospital mana?”

“Well’s score berapa?” Bila jawab 5, ditanya pula, “Apa komponen Well’s score?”

Entahlah. Bila saya jumpa orang begini, seringkali saya tertanya-tanya apa yang sedang saya lakukan. Berbaloi ke semua ini? Adakalanya saya rasakan, berbincang dengan orang atasan yang hebat-hebat lebih mudah dari yang dibawah. Terkadang untuk kebaikan pesakit, kita harus ‘mengemis’. 

Begitulah hari-hari yang dilalui. Bersyukur bila ditemukan dengan cahaya, merintih bila bertemu kegelapan.

Semalam pergi ke kursus mengenai kanser peparu. Saya lihat seorang doktor bukan muslim, consultant histopathologist. Dalam usia yang mudah, telah lebih 6000 slide yang dibaca. Merata pergi mencari ilmu agar mampu memberikan interpretasi biopsi pesakit dengan baik. 

Bila kita melihat manusia-manusia besar, dunia kita terbuka luas. Dan bila melihat manusia-manusia kecil, horizon pandangan kita juga mengecil. Pengalaman ini begitu memuhasabah. 

Dan terkadang tertanya-tanya juga, adakah aku adalah insan yang sering merasakan diriku betul?😭😭 Sukar. Dan aku masih bermujahadah dan bermuhasabah.

Sunday, June 16, 2019

Masjid..

Setiap kali saya pulang ke kampung halaman, saya akan memberitahu anak-anak supaya tak ke masjid. Beberapa surau/ masjid sekitar adalah ‘keras’ dengan anak-anak kecil. Berkali-kali si datuk dan ayah ditegur. Seringkali juga anak balik menangis.

Semalam saya solat di masjid Kotasas, Kuantan. Seusai terawih, saya lihat ramai anak-anak lelaki berkumpul di belakang. Rupanya dibuka stadium Beyblade besar dan ramai bermain sekali. Wow! Sememangnya masjid yang mesra ibadah. Terbayang keseronokan anak-anak hendak ke masjid, tempat pertemuan yang ‘best’ pastinya untuk mereka.

Pada pandangan saya yang kerdil, masjid/ surau sewajarnya menjadi tempat yang paling mesra bagi anak-anak terutamanya anak lelaki. Saya percaya kedekatan kita pada solat mampu mencegah perkara mungkar. Masjid sewajarnya menjadi pusat komuniti untuk semua. Masjid di zaman rasul memiliki peranan yang luas. Anak-anak lelaki kini berdepan dengan cabaran yang luar biasa. Saban masa, kegerunan melihat kes-kes di hospital. Hati anak-anak perlu dididik dengan kecintaan terhadap masjid/ surau sejak kecil lagi.

Seandainya khusyuk yang kita cari di masjid/ surau sehingga menghalang anak-anak kecil ke masjid, menghalangi fitrah insani mereka, mungkin boleh kita menelaah tulisan Salim A Fillah bertajuk Ektase Mi’raj.

Saya memetik sedikit tulisannya:

“Sang Nabi adalah manusia yang paling khusyu’. Dan alangkah indah kekhusyu’annya. Kekhusyu’an yang seringkali mempercepat shalat ketika terdengar olehnya tangis seorang bayi. Atau memperpendek bacaan saat menyadari kehadiran beberapa jompo dalam jama’ahnya. Kekhusyu’an yang tak menghalanginya menggendong Umamah binti Abil ’Ash atau Al Hasan ibn ’Ali dalam berdirinya dan meletakkan mereka ketika sujud. Kekhusyu’an yang membuat sujudnya begitu panjang karena Al Husain ibn ’Ali main kuda-kudaan di punggungnya.”

Di lain masa, mungkin kita perlu menziarahi tempat-tempat seperti Drug Intervention Community Malaysia, penjara-penjara supaya kita mendalami realiti umat ini dan mengerti mengapa masjid/ surau ini perlu dikembalikan fungsinya. Turunkanlah ego. Biarlah anak-anak ini akrab dengan figur lelaki dalam hidup mereka, si ayah / atuk. Biarlah mereka berpimpin tangan ke masjid-masjid yang mampu mendidik mereka. Biarlah masjid ini tempat yang ‘best’ bagi mereka, bukan tempat yang mengusutkan hati anak-anak. Berilah ruang supaya kami mampu mengatakan, masjid adalah best!

Thursday, April 11, 2019

Sahabat...

Beberapa tahun lepas, saya berdepan dengan kes kematian pesakit yang akan menghantui seumur hidup saya. Saya ingat kes tersebut dibincangkan dengan seseorang, dan jawapannya ketika tahu kes itu berakhir dengan kematian adalah, “Jangan sesekali sebut kes ini dibincangkan dengan aku”.  Entahlah, Tuhan masih menetapkan saya di jalan ini. Ada ramai sahabat saya yang meninggalkan dunia klinikal kerana pengalaman sebegitu. Dan mortaliti sesetengah kematian denggi atau ibu mengandung menghantui mereka sehingga mereka lebih rela meninggalkan pengalaman bertahun lamanya dan akhirnya berada di jabatan lain. Hatta, saya juga tidak tahu sehabis mana saya mampu bertahan. Tiada siapa yang menilai pesakit yang berjaya diselamatkan, tapi satu pesakit yang gagal itulah yang diperbesarkan. Sememangnya berada di mesyuarat morbiditi adalah sangat menggerunkan. Terasa andai begitu gerunnya mesyuarat dunia, entah bagaimana mesyuarat akhirat.

Dan Tuhan mengajar sesuatu. Saya melihat satu kes pesakit muda. Kes kemalangan dua minggu lalu, dimasukkan ke wad ortopedik kerana disyaki patah tulang leher. Semasa di dalam wad dia dimasukkan tiub kencing yang kemudiannya dicabut keluar. Dia datang semasa saya oncall.

Selepas keluar wad dia sakit ketika kencing. Semua simptom tanda jangkitan kencing ada. Dia datang dengan sepsis, jangkitan yang teruk. Tinggi darah putih. Renal punch sebetul-betul positif di sebelah kiri. Diagnosis saya adalah pyelonephritis / renal abscess ketika itu. Dan saya cuba yang sebaiknya merawat sepsis, dan membuat plan untuk ultrasound keesokan harinya.

Sahabat saya Nur Aida yang melihat kes tersebut keesokan harinya. Dan dia mendalami lebih dalam tentang mekanisma kemalangan. Rupanya high impact injury. Total loss kedua-dua kereta yang terlibat. Dan kami berbincang. Dia yang mengusulkan mungkin ada kecederaan dalaman. Tapi lactate tak berapa tinggi. Tiada dokumentasi free fluid dan lainnya. Kemalangan sudah 2 minggu.

Dari keputusan ultrasound yang dibuat, rupanya adalah high possibility of renal hematoma (pendarahan di buah pinggang) dan mungkin early abscess (nanah).

Dengan pengalaman saya yang tak berapa banyak, saya tak berfikir bahawa renal hematoma adalah salah satu differential. Tapi sahabat saya mengajarkan apa yang dipelajari dari jabatan urology. Kecederaan di buah pinggang kadang mengambil masa yang lama untuk termanifestasi. The effect is slow until the capsule of the renal stretched. 

Saat dia passover di whatsapp group, banyaklah persoalan yang timbul dari pakar dan consultant. Ada yang berunsur provokasi dan sebagainya. “Kenapa medical? CAP?” Dan sahabat saya ini sebolehnya tak mahu saya menggali kubur sendiri. Dia juga menjawab secara selektif soalan-soalan yang ditanya.

Ala-ala politik. Tak semua benda perlu dijawab. Lagi dijawab, lagi terbakar netizen. Lagi banyak provokasi. Begitulah dia menasihatkan. Saya pula tak mahu dia dilihat buruk. 

“Aku tak kisah nampak buruk di mata manusia. Ini dunia. Yang penting pesakit selamat. Yang penting Allah lihat. Ini dunia. Kita ini ada akhirat lagi. Dunia ini sementara, tempat ujian. Akhirat itu yang kekal”. 

Begitulah sahabat saya seorang ini mengajarkan. Saya tahu 6 bulan untuk kembali ke hospital X adalah hari yang sukar, tapi entahlah Tuhan mengirimkan dia untuk menguatkan saya.

Dialah yang sentiasa mengingatkan. You need to have differential. Berkali-kali dia ingatkan. Begitulah juga dengan kes ini. 

Teringat juga semasa usrah, sahabat saya seorang lagi, Nadzirah Basri berkongsi kisah. Kisah seorang ibu yang memiliki profesyen yang baik, namun berhenti kerja kerana menjaga anak autisme. Hari-harinya sukar kerana sikap orang-orang di sekeliling yang sering mempersoalkan keputusannya berhenti kerja. Dan motto hidupnya hanya satu. Seharian kehidupannya yang berlalu, apa jawapan yang telah dia persiapkan dan usahakan untuk Allah. Dia tak perlu menjawab pada sesiapa, cukuplah Allah mengetahui segala jawapannya.

Hari ini saya sangat terkesan dengan mereka-mereka ini, yang bersikap seperti manusia akhirat, melihat dunia ini dari jendela akhirat. 

Dan jujurnya antara nikmat yang besar yang Allah kurniakan untuk diri ini, di usia ini adalah sahabat yang baik. Moga Allah merahmati sahabat-sahabat saya ini. 

Teringat satu hadis. Ingat lagi pesan seorang syuyukh, wajib hafal dan dalami. Hadis tentang 7 golongan yang dinaungi Allah ketika tiada naungan selain naunganNya. Perlu berusaha sedaya upaya untuk termasuk dalam 7 golongan ini. Dan salah satunya adalah dua manusia yang bertemu dan berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah. 

Moga Tuhan menghimpunkan kami dalam naunganNya.

Friday, March 22, 2019

Liqa..

Baru ini pergi liqa’ mingguan. Ada seorang adik dari usrah lain yang hadir. Masih belajar. Melihat dirinya, terasa suci murni. Hati yang masih penuh ke’hamas’an. Ala-ala kita 10 tahun dahulu. Hati yang berkobar-kobar. Bak kata sahabat seliqa’, sungguh ‘Hamas’ zaman itu, pergi kelas pakai mafla Palestin. Andai tadabbur Quran, begitu mendalam. Mathurat tak tinggal. Lagu-lagu lagha tak dengar.

Di mana kita yang itu? Begitulah muhasabah diri yang panjang.

Tapi kehidupan kini adalah realiti. Punya keluarga sendiri. Ujian hidup yang bertalu-talu. Tanggungjawab-tanggungjawab yang perlu dilunasi. Menyambung pengajian, dengan harapan juga untuk ummat. Kehidupan kerjaya, dunia realiti yang kita depani sehari-hari. Dalam melalui hari-hari itu, moga hati-hati kita tak jauh, moga ke’hamas’an kita tak futur.

Lantas peristiwa yang berlaku di bumi Kiwi itu sangat mengesani kita. Tiada siapa yang mengingati si pembunuh, seperti tiada siapa mengenali pembunuh Assyahid Sheikh Ahmad Yassin, Assyahid Imam Hassan AlBanna, Assyahid Syed Qutb dan lainnya. Sejarah membuktikan, tiada siapa mengingati si pembunuh yang kejam! Yang ada adalah ingatan terhadap para syuhada’ yang gugur. Yang hatta dalam kehidupan ini, telah terbukti betapa hidupnya mereka, mewangi seantero dunia.

Siapa mereka? Siapa mereka yang telah Allah pilih dari serantau dunia. Yang pada logik akal kita, tak mungkin syahid di satu bumi yang asing. Sering kita gambarkan syahid itu di Palestina, Syria dan lainnya. Mustahil sungguh untuk beroleh syahid di bumi sebegitu. Namun Allah membuktikan. Dia memuliakan siapa yang dia kehendaki. Ada yang baru tiba di bumi asing itu dua minggu yang lalu. Satu takdir yang teliti disusun. Nama-nama syuhada yang akan dipilih dan akan dimuliakan sebegitu rupa.

Terngiang-ngiang ayat dari surah Waqiah, “Wa qalilumminal akhirin”. Mereka adalah golongan kecil di zaman ini yang dimuliakan Allah sedemikian rupa. Tidak ramai yang akan terpilih berada di dalam golongan tersebut di zaman ini. Terasa sentapnya hati.

Dan mereka adalah yang berbuat sebaiknya dalam kehidupan sehari-hari. Dari sekecil-kecil tanggungjawab yang dipikul, mereka melakukan semuanya dengan sebaiknya. Sebagai ayah, sebagai jurutera, sebagai isteri, sebagai doktor dan lainnya, yang pasti mereka mengesankan manusia-manusia yang pernah bertemu mereka. Diam, ketulusan dan keikhlasan mereka dinilai Allah.

Hatta keluarga yang mendapat syafaat syahid itu juga bukan sebarangan. Tiada dendam. Ketenangan yang luar biasa. Senyuman yang menggugah. Temuramah yang mengesankan hati jutaan manusia.

Sungguh peristiwa di bumi Kiwi itu menyentak jiwa-jiwa yang futur. Moga Rejab, Syaaban dan Ramadhan yang sedang dilalui menjadi madrasah mentarbiah diri yang terlupa. Moga peristiwa tersebut menyedarkan diri yang terlena, bahawa dunia ini fana hakikatnya. Bahawa kejayaan sebenar adalah khusnul khatimah.