Thursday, December 11, 2008

Ombak..


Rasulullah telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud dari Thauban : Hampir sahaja seluruh bangsa dari setiap penjuru dunia, berebutan terhadap kamu, sebagaimana orang-orang yang makan berebut terhadap mangkuk makanannya. Para sahabat bertanya, “Apakah jumlah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Bahkan pada saat itu jumlah kamu sangat banyak, tetapi kewujudan kamu tidak ubah seperti buih air bah, sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari dada musuh-musuhmu terhadap kamu dan akan melemparkan rasa wahan ke dalam hati kamu”. Para sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Cinta dunia dan takut mati”.

Gambar buih ini diambil semasa saya berada di atas feri. Buih-buih itu tidak bermakna sama sekali, bukan? Jutaan persoalan menerpa minda saat melihat buih-buih tersebut. Sayakah buih itu? Adakah saya kian hilang seperti buih-buih itu?

Ada saatnya saya kuat. Adakalanya saya terasa lemah sekali. Melawan rasa lemah itu terlalu sukar. Mujahadah itu pahit. Namun bukankah ada manis di hujungnya? Lantas mengapa perlu dilayan rasa sedih itu?

Saya hanya mahu menjadi ombak yang akan menenggelamkan seluruh jahiliah yang ada. Saya mahu menjadi ombak yang memusnahkan rasa lemah yang ada di dalam diri. Saya bukan buih dan saya tidak pernah mahu menjadi buih. Saya mahu menjadi ombak.

Saya tidak boleh merasa keseorangan. Saya bukan insan beriman andai merasakan bahawa Allah tidak pernah peduli. Kekuatan saya telah Allah akui sehingga diberi uji. Lantas saya perlu redha. Kuat kembali. Ada tugas yang menanti. Saya harus mencuba sekali lagi. Kegagalan ini akan saya tebus. Saya akan kembali..

No comments: