Thursday, December 25, 2008

Dr Wahbah...


Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan terutamanya pengisian yang saya perolehi semasa di Nilai. Tapi rentak penulisan semakin perlahan. Tiada kekuatan untuk menyusun kata. Mungkin kerana sudah terlalu penat. Biarkan, kerana saya tetap perlu memberi buat ummah ini.

Antara pengisian yang menyentuh hati adalah berkaitan dengan pengalaman ustaz semasa beliau berpeluang bertemu Dr Wahbah Zuhaily. Ustaz melihat ketinggian taqwa dan iman dalam peribadi Dr Wahbah. Dr Wahbah menghadiahkan ustaz kesemua cenderahati yang diperolehinya. Katanya, “Aku datang ke sini dengan dua hingga tiga helai pakaian, izinkan aku kembali ke tempatku sepertimana saatnya aku datang ke sini”. Masya Allah, betapa hebatnya ketinggian tawadhu’ dalam diri seorang ulama. Sepanjang Dr Wahbah berada di hotel, dia hanya makan dua kali sehari. Itupun dia akan berkongsi sebiji epal dengan insan yang lain.

Sukar pastinya untuk bertemu dengan ulama yang sebegini hebat ilmunya dan ustaz meminta Dr Wahbah menuliskan nasihat buatnya di atas helaian kertas. Ustaz kongsikan nasihat yang ditulis oleh Dr Wahbah buat kami. Menitis air mata mendengar nasihat tersebut.

Pertamanya, khabarkan pada manusia tentang Islam. Ceritakan pada mereka kelazatan berada di dalam nikmat Islam.

Keduanya, usah sesekali membaca Quran tanpa Allah di hati.

Ketiganya, jangan sesekali melupakan tuntutan menuntut ilmu walau sesibuk mana.

Kemudian ustaz bertanyakan Dr Wahbah berkenaan Ikhwanul Muslimin. Kata Dr Wahbah, “Mereka adalah orang-orang yang baik dan mereka sentiasa melakukan kebaikan”.

Sheikh Prof Dr Wahbah Az-Zuhayhli ialah pengarang kitab fiqh moden terbesar al fiqh al Islami wa adillatuh dan tafsir moden terbesar al tafsir al munir. Lantas ustaz bertanyakan pada Dr Wahbah, siapakah mereka yang disebut sebagai insan yang dikurniakan nikmat di dalam Surah AlFatihah?

Lantas Dr Wahbah menerangkan berkenaan ayat 69 dari surah Annisa’ berkenaan mereka yang an’amallahu ‘alaihim (insan yang dikurniakan nikmat).

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)." (Surah Annisa’: 69)

Insya Allah, dalam kesempatan yang lain saya akan kongsikan signifikan nabiyyin, siddiqin dan syuhada’ di dalam ayat ini. Saya tidak ada nota berkenaan signifikan golongan solehin. Ada yang mahu kongsikannya dengan saya?

Saya sukakan juga fatwa Dr Wahbah berkenaan Malaysia Negara Islam. Boleh membacanya di sini.

2 comments:

Anonymous said...

Ustaz mane ni ? untungnya jumpa dr. Wahbah.....

Ummu Afeera said...

sape ye anon ni?