Langit...

Tuesday, December 15, 2009

Saya nak sangat menyambung tulisan perjalanan di Kedah tapi minggu ini sibuk sangat. Esok dah mid-posting exam. Cuma nak berkongsi sesuatu. Tulisan ini ditulis dalam pukul 6.30 petang semasa di dalam kelas. Masa itu hujan dan kelas sudah benar-benar membosankan bagi saya sebabnya semua yang ada di slide dah ada di dalam CPG (Clinical Practice Guidelines). Saya dah mula rasa macam orang bacakan buku untuk buatkan saya tertidur. Afeera, kamu kena menghargai hasil kerja orang lain!

Saya rasa amat bagus untuk menulis masa itu. Paling kurang menulis membuatkan saya sedar dan tidak tertidur lagi.

Apa-apa sahaja!

Kudengar bunyi guruh
Dentumannya datang dari langit
Adakah langit membawa khabar?
Adakah guruh cuba menyedarkan?
Aku ingin mengetahui rahsia langit
Hatiku membuak untuk menyelongkarnya
Akhirnya aku sedar
Tidak mungkin manusia berdaya
Kerana diri hanyalah hamba

Rahsia langit tentu sukar difahami
Langit cuma mematuhi perintah RabbNya
Aku amati irama langit dan guruh
Apakah langit dan guruh bermuram durja?
Tidak tertahan menanggung segalanya?
Hakikatnya tidak
Keduanya berzikir
Memuja Tuhan
Menyedarkan manusia yang alpa

Wahai pencipta langit dan guruh
Kau mendengar segalanya
Kau memerhati segala yang di bumi
Dan yang ada di atas dan di bawah sana
Dengarlah hatiku
Kuatkan jiwaku
Pegangi rahsiaku
Ampunkan dosaku
Dekati aku seakrabnya
Kerana ternyata aku lemah tidak berdaya

Tahu tak ada surah dalam quran nama Arra'd yang membawa maksud guruh? Allah abadikan mengenai guruh di dalam kalamNya. Bunyi guruh yang menakutkan kita itu zikir.

Dia lah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir), dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air). Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya. (Surah Arra'd:12-13)

Tapi kita tak pernah memahami tasbih guruh kan?

"...Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun". (Quran 17:44)

Read more...

Pengalaman...

Sunday, December 13, 2009

Ya Allah, ingin sekali rasanya aku menukilkan setiap sudut perjalanan hidupku ini agar setiap satu hikmah yang aku temui dalam hidupku ini mampu menjadi renungan buatku di saat badai menghampiri. Aku juga amat berharap agar setiap tulisan ini mampu aku wariskan pada generasi seterusnya. Sungguh kau memberikanku pengalaman yang tidak terkira manisnya. Dan setiap satunya mempunyai titisan hikmah yang terlalu manis.Bukan hanya kemanisan yang kau berikan, adakalanya kau berikan aku merasai sedikit kelemahan dalam perjalanan tarbiah, namun akhirnya Kau temukan juga aku dengan hikmah.

Perancanganku pada minggu ini sebenarnya adalah mahu menghadiri program Triple I di UIA, Kuantan. Tapi cantik sungguh Kau menyusunnya. Program itu ditunda dan aku akhirnya berpeluang bersama teman-teman yang lain menghadiri program Le Tour de Kedah. Sejak awal lagi Kau menyusunnya . Aku merancang, Kau merancang dan perancangan Mu adalah yang Maha Hebat.

Kau mengetahui rahsia hati. Kau mendengar bisikan hati bahawa aku ingin sekali merasai kemanisan bersama dengan Islam. Kegembiraanku yang paling besar tentang program ini adalah pergabungan jemaah Islam untuk menjayakan suatu program.

Bagi adik-adik yang pernah membaca buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam tulisan Fathi Yakan pastinya akan sedar tentang dua komponen besar di dalam buku tersebut. Pertamanya kepentingan menjadi seorang Muslim dalam seluruh aspek kehidupan. Keduanya setelah bergelar Muslim yang sejati, adik-adik perlu menggabungkan diri ke dalam sebuah jemaah Islam. Di bumi Malaysia ini, jemaah-jemaah Islam tumbuh bagai cendawan. Di sini akan timbul satu persoalan dalam diri adik-adik, jemaah mana yang perlu dipilih?

Izinkan akak sebagai seorang yang pernah terlibat dalam kekeliruan ini, berada dalam dilema untuk beberapa tahun berkongsi tips buat adik-adik pembaca. Maaf andai diri ini membahasakan diri sebagai akak. Mungkin akak sukar mengubah mentaliti senior-senior di jalan dakwah ini tapi akak percaya adik-adik mampu dilentur sedari awal dalam dunia tarbiah. Akak punya ibu bapa yang datang dari tarbiah lain, akak pula hanya sedar tentang Islam dan dakwah saat di matrikulasi. Setahun di matrikulasi adalah masa yang singkat untuk memahami semua ini. Akak ditarbiah dengan tarbiah yang lain di matrikulasi dan kemudiaannya ditarbiah dengan tarbiah yang lain pula semasa di kampus.

Sejujurnya tiada masalah andai adik mahu memilih jalan adik sendiri. Terpulang pada budi bicara dan minat masing-masing. Tapi satu perkara yang paling penting adalah adik-adiik sendiri perlu membuat kajian tentang sejarah kepelbagaian jemaah (taadud jemaah) ini. Dengarlah pelbagai versi taadud jemaah dan buat sendiri sedikit kajian.

Tips yang seterusnya dan yang paling penting yang perlu adik-adik setkan di dalam minda kepala adik-adik adalah mencari kebaikan dalam setiap jemaah. Adik perlu menjadi agen perubahan yang memikirkan soal kesatuan. Pernah adik-adik dengar kisah Assyahid Dr Abdullah Azzam? Adik-adik perlu mencari kisahnya yang mengobarkan semangat kita. Dia bersusah payah menyatukan mujahideen di Afghanistan yang berpecah-pecah kepada pelbagai gerakan dan jamaah. Di atas usaha beliaulah dan dengan izin Allah SWT, akhirnya mujahideen bersatu di atas satu payung, iaitu ISLAM. Natijah dari penyatuan itu adalah tersingkirnya tentera beruang merah soviet union di bumi gersang Afghanistan. Tidak teringinkah kita untuk melihat sejarah yang sama di bumi Malaysia ini? Tidak mahukah kita untuk bersatu?

Tips yang seterusnya adalah mencari titik persamaan di antara semua jemaah ini. Pernah seorang murabbi berbicara –“Kita dengan jamaah lain terlalu banyak persamaan. Tuhan yang sama, Rasul yang sama, Al-Quran dan Al-Hadis yang sama, kiblat yang sama, rukun iman dan islam yang sama dan terlalu banyak lagi persamaan yang lain. Perbezaan kita terlalu sedikit, hanyalah perbezaan kaedah penyampaian dakwah dan sistem tarbiyyah. Persamaan yang terlalu banyak, perbezaan yang terlalu sedikit, yang diperbesar-besarkan adalah perbezaan. Mengapa kita tidak berbincang di atas titik-titik persamaan yang begitu banyak tersebut?”

Sebagai seorang yang terlibat dengan taadud jemaah, akak sendiri pernah mencari hakikat perbezaan yang sedikit ini tapi kemudiaannya Allah menemukan akak dengan titik persamaan. Akak amat berharap adik membaca setiap catatan ini dengan minda yang terbuka.

Mengapa program Le Tour de Kedah (LTDK) sangat best buat akak? Program ini adalah program mesra rakyat Dun Tanjung Dawai dan merupakan anjuran bersama di antara Kolej Universiti Perubatan Islam Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Tanjung Dawai dan Pejabat Daerah Kuala Muda. Satu yang menarik tentang kerajaan Kedah, fokus mereka bukan parti tapi rakyat. Kalau tengok kebanyakan program atau pembangunan di bawah pemerintahan BN, maka akan ditulis di sana bahawa “Projek ini adalah projek kerajaan Barisan Nasional”. Tapi di Kedah ini tidak terjadi. Inilah yang sepatutnya terjadi. Bila kita dah menang, sepatutnya fokus kita adalah rakyat dan bukannya parti. Akak ingin berbicara tentang politik tapi akak tangguhkan dahulu hajat ini. Insya Allah catatan seterusnya akan menyusul setelah catatan ini.

Bagi setiap remaja, umur 14-21 tahun adalah umur yang kritikal. Adik-adik perlu mencari haluan sendiri, membentuk diri adik-adik sendiri. Tidak kisah andai perjalanannya panjang tapi sewaktu adik menemui jawapan kepada persoalan-persoalan kehidupan ini, adik akan menemui ketenangan yang luar biasa. Apabila adik disuap dengan Islam tanpa melalui proses pencarian, sukar bagi adik untuk terus memegang Islam itu. Pencarian akan membuatkan adik menghargai setiap titis ketenangan yang adik perolehi.

Bagaimana untuk mencari? Salah satunya adalah pengalaman dan pengalaman ini boleh dicari dengan permusafiran. Akak sendiri banyak bermusafir dengan menyertai program. Meskipun semua itu hanya di dalam Malaysia tapi cukup untuk membuka minda akak. Moga satu masa nanti Allah memberikan peluang untuk bermusafir ke luar negara pula. Antara negeri yang pernah akak kunjungi kerana program adalah – Johor, Melaka, Terengganu, Perak, Kedah, Sabah dan beberapa tempat lagi. Satu faktornya juga adalah untuk mencari bumi tempat di mana kita mampu terus memberi selepas bekerja kelak. Akak ingin mencari tempat yang sesuai yang dapat menjamin tarbiah dan dakwah akak. Permusafiran akan menemukan kita dengan ramai manusia dan kita mengutip hikmah dari setiap personaliti ini. Allah jualah yang menemukan kita dengan mereka agar semua itu menjadi satu tarbiah buat kita.

Dalam program kali ini akak berkenalan dengan YB Dr Hamdan, Adun Tanjung Dawai. Blog YB boleh dibaca di sini. Kelakar sangat pertemuan itu. Masa itu kami di table Sunathon, YB datang dan YB tanya, “Wah, apa yang putih itu?” Dengan keyakinan yang luar biasa, akak menjawab, “Yang putih itu smegma. Kita kena bersihkan bahagian itu.” Kawan-kawan yang lain dan MA yang ada sudah mula tergelak. Ops, rupanya YB adalah seorang doktor. Alhamdulillah kulit gelap, kalau tidak mesti dah merah sebab menahan malu.

Untuk menutup rasa malu, akak cuba teruskan perbualan. “YB dah lama ke jadi Adun?” Jawab YB, “Jadi Adun baru sahaja, jadi doktor dah lama”. Haiyya, malu sungguh.

Kata seorang teman yang menetap di Kedah, klinik YB sangat daif sehingga boleh menitiskan air mata mereka yang melihatnya. Semalam malam YB turut bercerita tentang kliniknya. Arkiteknya adalah nelayan. Penghadang yang ada juga daripada kayu. Dapat kamu bayangkan ada lagi doktor sebegini di zaman ini? Kata YB, doktor ini tiada persatuannya sendiri yang akan berjuang untuknya. Gaji hakim dan peguam ditentukan oleh badan kehakiman. Tapi gaji doktor ditentukan oleh JPA. YB kata semua orang ingat doktor kaya. Tapi tidak pada hakikatnya. Gaji doktor hanya melebihi gaji seorang guru beberapa ratus sahaja.

Kata YB, doktor seperti lilin. Membakar dirinya sendiri untuk memberikan cahaya pada yang lain. Kata YB, kalau Adun itu seorang doktor, bantuan yang diperolehi sedikit kerana stigma yang ada mengatakan bahawa doktor adalah kaya.

Ada juga saya bertanya pada YB, “YB bekerja bawah PAPISMA ke?” Kata YB, tidak. Dia bekerja dengan Yayasan AMAL. YB banyak ke tempat bencana dan peperangan. YB pernah sampai ke Iran, Acheh, Palestin dan lainnya. Cuma setelah bergelar Adun, YB tidak lagi berkesempatan untuk aktif.

Sebenarnya YB tidak pernah terfikir akan menang dalam pilihanraya. Sebelum menang, dua kali YB kalah. Tapi YB tidak kisah. Hari ini kalah, esok ke klinik seperti biasa. Pesakit tanya, "YB kalah?" Jawab YB, "Aah kalah" dan dia meneruskan kehidupannya sepeti biasa dengan memberi. Tapi siapa sangka Allah memberikan kemenangan setelah dua kekalahan. Dan kini YB berusaha memenuhi kemenangan demi Islam. Saya berpeluang mendengar bicara Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam program ini. Insya Allah, itu juga memerlukan catatan yang lain. Di akhir bicara ustaz, dengan suara yang sebak ustaz berkata, "Sebagai pemimpin, kita bukan nak fikirkan tantang jalan, lampu dan lainnya. Hal itu perlu juga. Tapi sebagai pemimpin, ada satu perkara yang terlalu kita takuti iaitu andai rakyat di bawah kepimpinan kita ditarik untuk dimasukkan ke dalam neraka". Masya Allah!

Perjalanan saya menemukan saya dengan pejuang-pejuang yang hebat. Pengalaman di dalam taadud jemaah juga menemukan saya dengan murabbi yang hebat. Mereka berjuang semata-mata demi Islam yang tercinta. Kerana semua ini, saya masih mencari titik persamaan dan mengabaikan sedikit perbezaan. Cita-cita saya yang paling tinggi adalah untuk melihat kesatuan jemaah Islam. Ingin sekali sebenarnya melihat figur-figur yang hebat dari latar belakang jemaah yang berbeza ini duduk sekali membincangkan hala tuju yang sama iaitu ISLAM.

Insya Allah, saya akan cuba menyambung tulisan ini. Doakan agar Allah mengurniakan kesempatan masa. Pagi ini pukul 4 baru sampai. Esok kelas sudah bermula seperti biasa. Tanggungjawab dakwah yang lain seperti usrah juga tidak boleh diabaikan. Moga Allah memberi keberkatan masa untuk terus menulis.

Read more...

Memberi...

Monday, December 07, 2009

Terlalu banyak hikmah yang saya kutip selama dua hari program Sunathon semalam di Kampung Parit Lapis Bangas, Johor . Ia adalah pengalaman yang terlalu berharga bagi saya.

LA

3 tahun lebih saya menunggu. Saya takut nak berikan pesakit LA- local anesthesia (bius) kepada mana-mana kanak-kanak. Apatah lagi setelah pembedahan yang pernah saya lalui dulu. Saya takut nak sakitkan pesakit kerana terlalu memahami makna sakit. Tapi Dr A berikan saya peluang membuat LA. Dia memberi sepenuh kepercayaan. Terima kasih! Dan dia berikan saya peluang menggunakan quartery untuk memotong lapisan luar bahagian sulit yang perlu dibuang semasa proses berkhatan.

Dalam hidup ini, kita hanya memerlukan seseorang atau satu insiden sahaja untuk melangkah lebih jauh. Saya rasa terharu sangat sebabnya saya memang takut nak berikan LA sebelum ini. Tapi bila dah buat sekali, keyakinan itu bertambah. Dan saya berjaya juga memberi LA untuk pesakit seterusnya dengan izin Allah.

Sejujurnya saya teringin nak jadi seorang pensyarah satu masa nanti. Saya rasa hal itu akan berikan saya kepuasan. Saya nak jadi pensyarah yang baik sama seperti pensyarah-pensyarah saya.

Mathurat

Saya pernah hadiahkan pada keluarga angkat Mathurat sebelum ini. Tidak sangka ayah angkat saya benar-benar mengamalkannya. Ayah angkat saya banyak bertanyakan perihal Mathurat tersebut.

Bukan senang untuk terjun kepada dunia masyarakat. Saya sendiri berfikir banyak kali tentang dakwah. Bagaimana perjalanan saya ini dapat digunakan demi dakwah? Dan saya mula sedar bahawa masyarakat di luar sana begitu menginginkan dakwah cuma tidak ramai yang sudi memberi.

Erti hidup pada memberi

Ayah angkat saya ada bertanyakan soalan, “Kamu tidak penat ke? Hujung minggu datang sini dan esoknya sudah ke kelas seperti biasa?”

Agak-agaknya penat tak? Sejujurnya penat tapi saya terangkan pada ayah angkat bahawa semuanya kerana Islam. Islam yang membuatkan kami sentiasa berfikir bahawa hidup adalah untuk memberi.

Majalah Solusi bulan ini juga mengupas tentang topik ini. Saya beli majalah tersebut untuk dibaca semasa dalam perjalanan. Tapi saya hadiahkan juga majalah tersebut buat ayah angkat dan keluarga. Moga-moga mereka memahami.

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (94:7)

Akhirat

Teringat kata-kata arwah Ammar – “Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat, melihat dunia dari jendela akhirat”.

Saya rasa akhirat itulah yang membuatkan setiap dari kami bermotivasi. Mungkin ada banyak sebab musabab kenapa join sunathon. Tapi motivasi saya paling besar adalah akhirat.

Sebabnya kita hanya penat sehari tapi pahala itu adalah pahala yang berterusan. Apabila anak-anak kecil ini bersembahyang dan mengerjakan amalan Allah dalam keadaan yang bersih setelah berkhatan, insya Allah sahamnya ada juga buat kita. Itu yang memberikan saya motivasi terus menerus. Kata prof, ianya juga bertali arus untuk setiap generasi. Perhubungan lelaki perempuan dalam konteks suami isteri yang baik juga bermula dari amalan berkhatan.

Teringat juga bicara Syed Qutb – “Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan.

Sabar

Ya Allah, saya rasa menguruskan lebih 10 pesakit di table sendiri dengan beberapa orang yang lain sehingga tengahari begitu mudah. Tiada tekanan. Tapi ada seorang kanak-kanak yang mahu proses tersebut dijalankan tanpa ada orang lain di dalam balai raya yang begitu menguji kesabaran saya. Dialah kanak-kanak terakhir untuk hari itu.

Memujuk kanak-kanak tersebut memerlukan kesabaran yang amat. Kawan saya begitu sabar untuk terus memujuk. Di atas table juga, begitu sukar untuk memberi LA. Pegang sahaja kaki tanpa melakukan apa-apa, kanak-kanak tersebut sudah mula menjerit. Saya sudah tidak mahu memujuk. Sebolehnya saya mahu kanak-kanak tersebut melaluinya pada waktu yang lain. Banyak lagi yang perlu dilalui olehnya. Nak bersihkan smegma, nak potong dan buang bahagian lapisan atas, dan sebanyak 6 jahitan lagi. Kalau LA sendiri sukar dilakukan, bagaimana dengan lainnya? Tapi kawan saya terus memujuk. Ya Allah, serius dia seorang yang penyabar.

Kemudian datang seorang doktor muda. Dia menggunakan teknik potong menggunakan gunting. Proses tersebut begitu lama dan begitu banyak pendarahan. Ya Allah, saya nak sangat doktor itu dengan rendah hatinya meminta bantuan. Tapi tidak dan darah terus mengalir. Akhirnya panggil juga Prof di masjid.

Masya Allah, saya rasa kagum sangat melihat wajah Prof. Tenang sangat. Dia baru habis solat. Dan dia kata dia akan datang. Saya dah gelabah tapi Prof tenang sangat. Masya Allah!

Bila Prof datang, dengan tenangnya dia cuba berhentikan pendarahan. Akhirnya pendarahan berhenti. Tidak tahu nak cakap macam mana. I really admire him so much. I really want that skills and knowledge so that I can contribute to ummah. Saya nakkan sangat ketenangan yang dia ada. Saya begitu cemburukan dia. Dua manusia yang boleh dicemburui, orang yang ada ilmu dan diajarkan pada yang lain dan keduanya orang yang ada harta dan dia gunakan pada jalan Allah.

Macam nak nangis pun ada dengan tarbiah Allah, melihat murabbi-murabbi agung sepanjang perjalanan ini. Banyak lagi yang perlu saya lalui dalam tarbiah ini. Ya Allah, kurniakan aku kesabaran!

Dakwah umum dan dakwah khusus

Sejujurnya saya tahu peranan dakwah khusus seperti usrah dan wadah tarbiah yang lain. Tapi belajar di kolej ini juga mengajar saya kepentingan dakwah umum, kepentingan untuk bersama dengan masyarakat. Masyarakat kat luar sana begitu mendambakan sentuhan kita. Dan benarlah bahawa title ‘doktor’ yang akan kita perolehi kelak mempunyai seribu satu peranan buat ummah. Title tersebut benar-benar berperanan dalam menjayakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Saya mula mencintai bidang ini.

Sepanjang dari tahun pertama sehingga kini, banyak program sunathon yang saya hadiri. Namun setiap satunya mengajar saya hikmah yang berlainan. Tidak pernah program seperti ini hanya menjadi rutin buat saya. Setiap saat saya menggali hikmah dan jujur harga setiap hikmah itu tidak mampu dibeli oleh apa-apa di dunia ini. Terima kasih Allah kerana mengajar aku semua ini.

Third party

Dalam posting family medicine, saya belajar satu perkara. Pesakit tidak suka kalau kita menggunakan pengalaman sendiri sebagai contoh. Mereka rasa menyampah. Amat baik untuk menggunakan third party sebagai contoh. Misalnya, Dr Mahathir makan vitamin.

Saya tidak tahu berapa ramai yang menyampah dengan blog ini sebab asyik menggunakan pengalaman sendiri. Tapi sejujurnya saya tidak menulis untuk orang lain di sini. Hanya menulis sebagai muhasabah untuk diri sendiri terlebih dulu pastinya.

Read more...

Observant...

Friday, December 04, 2009

Saya gembira di dalam posting Family Medicine ini. Kadang saya rasa posting ini agak childish sebabnya dalam log book ada bahagian Assigned Individual Reading dan Study Plan. Takkanlah bab yang kena baca pun kena tulis dalam log book? Takkanlah proses pembelajaran pun nak tulis dalam log book? Tadika dulu pun tidak macam itu.

Tapi banyak skill yang saya pelajari dalam posting ini. Malah saya dah jatuh cinta dengan bidang perubatan di dalam posting ini. Dulu saya suka bidang ini tapi sekarang saya belajar mencintai bidang ini. Sebabnya saya belajar tentang manusia.

Ada sekali itu masa percepting session, saya kena consult pesakit sambil diperhatikan oleh pensyarah saya dan kawan-kawan yang lain. Semua symptom yang saya tanya, semuanya pesakit ini ada. Huhu, kepala saya sudah mula memikirkan bermacam-macam jenis penyakit. Bila periksa, semuanya normal. Pensyarah saya pun tanya kat pesakit ini, kenapa tidak pergi klinik panel? Dia kata sebab kena bayar mahal. Nak dipendekkan cerita, pesakit ini datang semata-mata nak MC. Saya tidak dapat pun identify hidden agenda pesakit ini.

Lepas itu kena juga pelajari cara dan teknik menolak memberikan MC. Kalau dalam rekod perubatan menunjukkan pesakit dah banyak kali ambil MC, mestilah sebagai doktor kita fikir pesakit itu datang lagi sebab nak MC, kan? Tapi tidak sepatutnya seorang doktor buat pre-mature judgement macam itu. Entah-entah pesakit ada masalah psikiatri. Kena pula fikirkan satu lagi perkara, apa pula maksud kesihatan? Adakah sihat tubuh badan semata-mata? Kalau ikut definisi WHO - Health is a state of complete physical, mental and social well-being and not merely the absence of disease or infirmity.

Sebagai doktor, kenalah pula tengok ketiga-tiga komponen itu. MC bukan hanya diberikan bila pesakit ada masalah dari sudut lahiriah sahaja, tapi juga seandainya pesakit punya masalah dalaman yang lain.

Untuk orang lain, macam remeh temeh sahaja bab MC ini. Tapi nak jadi doktor, nak dapat semua skill itu punyalah susah. Ada doktor sampai kena cakap cam gini, “Saya kalau kasi awak MC ini tanpa sebab yang jelas, saya berdosa. Apa saya nak cakap depan Allah?”

Banyak lagi skill yang saya kena pelajari. Ada seorang pesakit yang saya temui di Terendak pernah mimpi jumpa Rasulullah SAW dan Saidina Hamzah. Serius saya tahan ketawa masa ambil maklumat pesakit ini. Dia kata dia dapat stroke dan dia berjalan dengan gaya pesakit stroke. Huhu, saya ingatkan dia ada masalah di bahagian otak. CT scan dia semuanya normal. Pensyarah saya suruh saya melihat gaya dia berjalan. Saya tidak faham apa-apa masa itu. Rupanya ada gaya jalan spesifik pesakit stroke dan gaya jalan pesakit ini sama sekali tidak serupa. Sebab itu dalam bidang perubatan ini ada satu kata-kata yang popular – What brain doesn’t know, the eyes cannot see. Huhu, banyaknya lagi ilmu yang saya kena belajar. Lagi bertambah ilmu, rasa lagi kerdil sebab banyak lagi ilmu Allah yang saya tidak tahu.

Ada penyarah saya yang tengok kuku pesakit pun boleh tahu bila pesakit itu kahwin. Tanda inai yang beransur hilang dapat memberitahu hal itu. Sebabnya pertumbuhan kuku itu pun ada kadar ukurannya. Menarik kan?

Tadi belajar pasal Shaken Baby Syndrome. Tak boleh goncang bayi. Tidak boleh macam baling-baling bayi sebab nak main-main dengan dia. Tidak boleh enjut bayi dalam buaian. Saya suka belajar benda-benda macam ini. Rasa best. Rasa macam seronok bila bertambah ilmu tentang manusia. Ada sesetengah bayi tidak merangkak, terus berjalan. Ibu bapa ingatkan benda itu adalah baik. Diorang fikir mungkin bayi itu cerdik. Hakikatnya benda itu salah. Setiap bayi akan belajar banyak benda semasa proses merangkak itu sendiri. Ramai orang tidak tahu kan?

Contoh lain lagi, orang selalu rasa madu itu benda baik. Ya, memang baik. Tapi tidak boleh bagi madu kat kanak-kanak di bawah umur setahun sebab madu boleh menyebabkan bayi mati andai dia mendapat penyakit Infant Botulism. Boleh membaca lanjut di sini.

Contoh lain lagi, ada satu kes di klinik yang mana si ayah cuba menyedut hingus bayinya dengan mulut. Dia juga cuba keluarkan kahak dari mulut bayi itu dengan menggunakan tangannya. Hakikatnya benda itu salah sebab bayi sangatlah mulus. Struktur dalaman bayi sangat halus dan mudah cedera. Tindakan si ayah boleh sahaja menyebabkan kecederaan yang teruk pada bayi. Ramai ibu bapa yang tidak tahu hal-hal ini.

Kawan non muslim saya cadangkan agar semua orang yang teringin nak kahwin, kena belajar terlebih dahulu tentang dunia kanak-kanak. Sesetengah orang rasa parenting skill boleh diperolehi once bila dapat anak. Hakikatnya itu juga adalah satu kesilapan. Even teknik menyusukan anak pun kena belajar. Huhu…

Banyak lagi ilmu Allah yang kena gali. Pensyarah saya selalu menyuruh kami jadi observant sebab banyak sangat sign/tanda pada manusia yang boleh memberitahu seribu satu cerita. Dan benda ini amatlah praktikal bagi mereka yang bergelar daie yang mana topic sehariannya adalah manusia.
Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? (Surah Adzzariyat:21)

Read more...

Penyair..

Thursday, December 03, 2009

Saya sedih andai ada yang tertunggu-tunggu entri baru memandangkan masa yang saya ada kian kurang untuk menulis. Saya galakkan pembaca menggunakan Google Reader, senang untuk mengetahui entri terbaru blog-blog favourite. Saya andaikan Google Reader ini seperti satu blog yang menghimpunkan semua blog-blog favourite. Tidaklah masa terbuang untuk ke setiap satu laman kegemaran semata-mata untuk melihat kewujudan entri baru.

Hakikatnya saya perlu bersemangat untuk menulis. Tadi baru membaca perkongsian seorang akak.

سَتَبْلىَ اليَدُ مِنِّي فِي التُّرَاب # َويَبْقَى الخَطّ بَعْدِي فِي اْلكِتَاب

فَيَالَيْتَ اَّلذِي َيقْرَأ حُطُوطِي # دَعَالِي النَجَاة مِنَ اْلعَذَاب

Tanganku akan hancur di dalam tanah
Yang tinggal hanya tulisanku di dalam buku
Moga sesiapa yang membaca tulisanku
Doakanlah keselamatanku dari Azab (api neraka).

Betulkan kata-kata itu? Tangan ini akan hancur. Kita dan seluruh jasad kita akan hancur. Yang tinggal hanyalah amalan.

Tidak semua faham tujuan kita menulis. Hakikatnya kita tidak sebaik mana pun. Cuma kita ingin berbuat sesuatu, tidak menambah beban di muka bumi Allah. Yang paling penting, kita nak sangat jadi logam yang berharga untuk Islam. Kalau tidak jadi orator untuk Islam, jadilah penulis Islam. Kalau tahu memandu, pandulah kereta ke tempat dakwah. Kalau tahu memasak, memasaklah untuk dakwah. Hakikatnya, Allah mesti beri kita satu kelebihan. Terpulang pada kita sama ada kita nak explore kelebihan itu atau tidak.

Ayat-ayat Allah ini sering menjadi refleksi saya saat mahu menulis:

Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. (Surah Assyuara': 224-227)

Takutnya andai saya menulis dengan ciri-ciri penyair yang sesat. Ya Rabb, izinkan aku menulis dengan ihsan, merasai kehadiranMu dalam setiap titis pena yang aku ungkapkan. Ya Rabb, izinkan manusia-manusia yang membaca setiap titis pena yang aku nukilkan menyedari bahawa setiap kebaikan hanyalah dariMu dan setiap keburukan adalah dari kelemahanku semata-mata dan hakikatnya kedua-duanya adalah dariMu.

Read more...

Alasan...

Seronok ke dengan kesibukan? Saya rasa saya perlu bersyukur sangat atas nikmat sibuk yang Allah kurniakan. Ramai manusia yang tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan dan alangkah beruntungnya saya kerana Allah tidak menjadikan masa saya sia-sia. Tapi saya tidak pasti sejauh mana orang sekeliling saya dapat memahami kesibukan saya.

Saya kira artikel Ustaz Hasrizal amatlah baik untuk dihayati – Di dalam dunia yang serba TIDAK PATUT ini.

Artikel itu saya kira bukan hanya untuk pasangan suami isteri doktor atau salah seorang pasangan adalah doktor. Artikel ini amat baik hatta untuk ibu bapa dan semua yang menginginkan adanya seorang doktor dalam keluarga mereka.

Saya rasa kehidupan seorang doktor tidak pernah mudah hatta sejak hari pertama mereka melangkah kaki untuk bergelar pelajar perubatan. Maka amatlah perlu untuk setiap manusia yang berada di sekeliling mereka memahami mereka.

Saya pernah bertemu dengan seorang ibu yang menginginkan anak lelakinya berkahwin dengan guru dan bukan seorang doktor. Semua orang amat tidak terbuka saya kira untuk menerima kehidupan seorang doktor. Tapi tidak ke mereka mementingkan diri? Entahlah, manusia punya pilihan masing-masing.

Pada saya, dunia hanya sebentar cuma. Beruntunglah mereka yang sedia berkorban untuk dunia yang fana’ ini. Berbahagialah mereka yang memikirkan kehidupan di alam sana yang abadi. Tidak mahu ke mereka syurga yang tertinggi? Tidak mahukah mereka syurga yang tidak pernah terdengar oleh telinga, tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah terlintas di hati? Tidak mahukah mereka berbulan madu di syurga Allah yang hebat itu, di saat ada sungai-sungai madu, susu dan arak yang mengalir di tepi mereka? Tidak ada sakit kepala, tidak ada lagi cemburu.

Bila ye syurga akan jadi magical word untuk kita sehingga kita boleh berkorban segala-galanya?

Semakin lama saya hidup di dalam tarbiah, saya bahagia. Tarbiah yang juga mengajar saya bahawa kerjaya doktor itu hanyalah sub-kerja saya yang lebih besar iaitu menjadi khalifah Allah.

Pensyarah-pensyarah saya juga adalah role model yang baik. Mereka hadir usrah, mereka buat dakwah umum dan khusus, punya keluarga yang bahagia. Saya ingat lagi kata prof – “Dulu-dulu orang ingatkan doktor sibuk dan tidak boleh datang usrah, tapi kita kena buktikan benda itu salah”. Doktor boleh! Dan kalau doktor boleh buat semua itu setelah oncall, setelah bermatian di hospital, mengapa yang lain tidak boleh? Saya rasa kita tidak punya alasan. Dan kalau kita masih punya alasan, fikir-fikirkan sahaja sama ada alasan itu boleh diterima oleh Allah ataupun tidak. Berikan alasan yang boleh diterima oleh Allah!

Perjalanan ini bukan pelancongan
Jangan cuba ditakrif penat
Lupakan saja erti rehat
Kerana matlamat kita masih maya
mungkin telah terbayang di mata
namun di tangan digenggam tidak

Read more...

Haus...

Friday, November 27, 2009

Cuba bayangkan kamu ini adalah newly married couple. Bulan madu yang masih hangat. Dan Allah kurniakan seorang cahaya mata untuk menambahkan lagi kebahagian yang ada. Bayangkan moodnya saat itu. Bayangkan perasaan si isteri. Bayangkan perasaan suami yang begitu menghargai isterinya kerana telah menyerikan kehidupan mereka dengan kehadiran seorang cahaya mata.

Apa agaknya yang akan seorang suami lakukan dalam mood yang begitu membahagiakan itu?

“Wahai isteriku, ayuh kita pergi berbahagia di suatu tempat percutian untuk meraikan kebahagian ini”. Pastinya ramai suami yang akan begini.

Begitulah seakan-akan moodnya dalam kehidupan sepasang suami, Nabi Ibrahim dan Siti Hajar. Tapi bukan itu yang terjadi. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk membawa isterinya, Hajar dan anaknya Ismail ke Mekah. Lalu bergegaslah ketiga beranak itu ke sana. Hajar mengikut tanpa soalan. Pastinya segala perkara yang dilakukan oleh suaminya adalah yang terbaik.

Bayangkan seketika perjalanan itu. Siang dan malam di padang pasir. Debu-debu halus, batu bata yang kasar. Setelah berhari-hari perjalanan, mereka tiba di Mekah.

Tiba-tiba Nabi Ibrahim berbicara, “Aku akan meninggalkan kau dan Ismail di sini”.

Bayangkan suasana itu. Tidak kelihatan langsung sumber makanan. Bayangkan ketakutan hati seorang wanita di padang pasir itu. Bagaimana dia akan menghadapi malam-malam hari dengan anaknya? Binatang buas? Desert storm? Dan suaminya memberitahu semua itu tanpa memberinya peluang untuk berfikir.


Nabi Ibrahim tidak berpaling lagi dan meneruskan kembali perjalanannya ke Palestin kerana tahu itu adalah perintah Allah. Tapi Siti Hajar masih belum mengetahuinya. Tapi bayangkan juga perasaan seorang ayah yang akan meninggalkan bayi ciliknya yang paling disayanginya. Bayangkan perasaan seorang suami yang begitu mencintai isterinya. Tapi dia tidak berpaling lagi. Tidak ada rasa berbelah bahagi dalam mematuhi perintah Allah. Masya Allah!

Lantas Si Hajar mengikut jejak suami. Mengapa wahai Ibrahim kau mahu meninggalkanku? Mengapa? Mengapa? Berlinangan air mata tumpah meminta suami berhenti. Bayangkan seketika perasaan Ibrahim saat mendengar pujuk rayu sang isteri yang paling dicintainya. Tapi dia tetap tegar melaksanakan perintah RabbNya.

Tiba-tiba Hajar berbicara, “Adakah ini perintah Allah?”

“Ya”, balas Ibrahim. Terus Siti Hajar berbicara, “Maka pastinya Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang beriman”.

Masya Allah! Bayangkan kalau kita di tempat Hajar.

“Apa? Allah suruh tinggal kat sini? Apa aku nak makan kat sini? Apa nak jadi dengan anak aku”.


Mungkin itu bicara kita. Tapi dia redha menerima ketentuan Tuhannya.

Cuba bayangkan seketika saat dia melihat bayinya yang mugil itu. Kekuatan yang diharapkannya hanyalah dari Allah SWT. Bayinya mula menangis. Mungkin lapar seketika mampu dipujuk. Bayangkan saat anaknya kian lemah, menangis kerana starvation, kelaparan pada tahap melampau dan mungkin juga mati andai tidak mendapat makanan. Bayangkan seketika perasaan seorang ibu saat itu.

Lantas dia berlari-lari di antara Safa dan Marwa. Andai ada yang sudah pergi ke Mekah, perjalanan Safa dan Marwa hari ini adalah di atas susunan mozek, ditutupi oleh bumbung Masjidil Haram tetapi hakikat yang perlu dilalui oleh Hajar bukan begitu. Yang memayunginya adalah terik mentari sahara, yang menantinya adalah fatamorgana, jejak-jejak yang perlu dilaluinya adalah debu pasir yang berbatu.

Tidak sedikit pun dia mengeluh, “Ya Allah, mengapa kau melakukan aku begini?” Tidak sesekali dia berbicara begitu. Bayangkan semangat yang ada pada dirinya saat dia perlu melakukan semua itu selama 7 kali. Lantas turunlah pertolongan Allah, terbinalah telaga zam zam yang bukan hanya mengairi dan menghilangkan haus tekak Hajar dan Ismail, tapi jutaan manusia sehingga kini. Hebat! Semua itu kerana keikhlasan Hajar.

“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. (Surah Attalaq:2-3)

Berjalanlah pula Ibrahim jauh dari tempat ditinggalkan isteri dan anaknya. Di belakang sebuah gunung dia berdoa.

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim:37)

Indah sungguh susunan doa tersebut. Bayangkan kita seorang ayah dan berada di tempat Ibrahim, mungkin sahaja doa kita begini, “Ya Allah, aku tinggalkan anak dan isteriku di tempat yang tiada siapapun, kurniakan mereka makanan dan minuman, kurniakan mereka keselamatan”.

Tapi bukan itu doa Ibrahim. Dia berharap agar dalam keadaan yang begitu terdesak itu, anak dan isterinya akan mendirikan solat. Masya Allah! Dia ingin anak dan isterinya sentiasa berhubungan dengan Allah. Kemudiannya barulah disebabkan perihal hal-hal yang lain agar anak dan isterinya terus bersyukur.

Ibn Abbas said, "'The Prophet Salla Allahu Alayhi Wasallam said, 'May Allah bestow His Mercy upon Isma'eel's mother! If she had left Zamzam - or if she had not cupped her hand - Zamzam would have been a flowing spring.' Ibn Abbas then said, 'So she drank and nursed her son. The angel then said to her, 'Do not fear abandonment, for a House for Allah (the Kaa'bah) will be built in this area by this boy and his father, and most certainly, Allah does not abandon His people.' [Al-Bukhari].

Kisah ini sangat panjang. Ada lagi yang lainnya. Semuanya menaikkan semangat kita untuk terus berjuang. Eid mubarak! Moga terus bersemangat!

Sumber yang sahih dan dalil kisah ini boleh diperolehi di sini.

Read more...

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP