Sunday, December 28, 2008

Nabiyyin...

Al Quran tidak pernah sesekali membosankan. Ayatnya akan menyentuh hati meskipun telah berkali-kali kita membacanya.

Beberapa hari lepas, saya dalam tekanan yang amat. Ada kerja-kerja berkaitan akademik yang perlu saya selesaikan dan dalam masa yang sama saya juga perlu menghadiri program tarbiah. Bila kita sudah berada pada jalan perjuangan ini, sebolehnya kita mahu menyelesaikan tugasan dunia dengan cepat agar kita mampu fokus pada kerja-kerja islam.

Saya berkejar untuk menyelesaikan kerja saat itu. Ayah menelefon. Katanya sudah tiba di Nilai dan mahu bertemu. Tapi saya menolak permintaannya memandangkan kerja-kerja yang perlu dilunaskan begitu banyak. Sejujurnya saya amat sedih saat itu.

Tiba di tempat program, saya mendengar bicara pensyarah. Di akhir ucapannya, dia menggulung semuanya dengan ayat 111 dari Surah Attaubah :

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah Attaubah :111)

Saya menangis saat prof menyebut mengenai jiwa. Berperang dengan jiwa juga bukan mudah. AlQuran sememangnya motivasi terbesar dalam kehidupan manusia meskipun kita seolah-olah telah mendengar ayatnya puluhan kali. AlQuran berbicara di saat kita memerlukannya. Kita tidak pernah sesekali mampu memahamkan manusia lain mengenai situasi yang kita hadapi. Kita tidak pernah mampu untuk menceritakan pada manusia kelemahan dan kekuatan kita. Tapi Allah sentiasa ada untuk mendengarnya. Allah memahami sedalam-dalamnya tentang kita. Di saat Allah berbicara serasanya hati menemui ketenangan.

Saya setuju dengan kata-kata Anwar Awlaki - Quran does not open up its secrets to you unless you open up your heart to it. Quran does not spill its pearls to the undeserving.

Kadang kita boleh merasakan di saat kita lama tidak membaca Quran, Quran seakan tidak mahu berbicara dengan kita. Quran seakan-akan merajuk dengan kita. Tapi kalau kita selalu bersama Quran, Quran menjadi sahabat kita yang paling baik. Dan kita sememangnya merasai sentuhan Quran di dalam ujian yang kita lalui.

Nabiyyin

Sebenarnya saya mahu menyambung huraian Dr Wahbah berkenaan ayat ayat 69 dari surah Annisa’ berkenaan mereka yang an’amallahu ‘alaihim (insan yang dikurniakan nikmat). Entri ini adalah sambungan entri sebelum ini.


"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)." (Surah Annisa’: 69)

Saya akan ceritakan mengenai nabiyyin dahulu. Andai saya punya masa lagi, saya akan menyambung lagi mengenai golongan siddiqin dan syuhada’. Semasa ustaz mengatakan bahawa ada signifikan Allah menyebut nabiyyin di dalam ayat ini, saya jadi tertanya-tanya. Mestilah para nabi dikurniakan nikmat dan mereka merasai nikmat tersebut kerana mereka adalah nabi. Apa yang Allah cuba sampaikan sebenarnya?

Allah sedang menceritakan mengenai iman sebenarnya kerana iman para nabi adalah iman yang terbaik sekali. Saya tertanya-tanya, bukankah iman para malaikat yang terbaik sekali? Ustaz seolah-olah memahami persoalan hati. Katanya bukan, kerana iman malaikat adalah statik sedang iman para nabi sentiasa naik dengan bertambahnya masa.

Hakikat dunia memerlukan kita pada keimanan yang mantap. Dan di saat kita membaca Fatihah di dalam solat, inilah satu golongan yang kita minta saban waktu agar Allah menunjukkan kita jalan mereka. Mereka inilah yang telah berjuang di jalan Allah yang penuh liku.

Kata prof, salah satu golongan yang khusyuk solatnya adalah mereka yang mempunyai harapan dan harapan itu lahir dari keimanan yang mantap bahawa Islam akan memimpin dunia ini kembali. Ya, iman yang membuatkan kita masih di sini dan masih terus berada di jalan ini. Tiada maknanya kehidupan ini tanpa iman di hati...

No comments: