Wednesday, December 10, 2008

Mata hati..


Puas saya mengembara di dalam bumi Malaysia setahun dua ini. Adakalanya saya kira nama saya perlu ditukar dari Afeera kepada Musafirah kerana banyaknya permusafiran saya di bumi yang kian fana’ ini. Perjalanan bercuti bersama keluarga ke Perak, Kedah, dan Pulau Pinang ingin saya abadikan di teratak maya yang kerdil ini.

Sejujurnya perjalanan ini mengundang penat, namun masih jauh lagi insan di luar dari dakwah yang dimulakan oleh saya sendiri. Teringat kepada Utbah bin Nafi’ yang melakukan perluasan kuasa dengan matlamat dakwah semata-mata. Dialah insan yang memulakan misi perluasan kuasa ke kawasan utara Afrika. Usahanya itu berjaya sehingga ke Maghribi. Beliau kemudiannya turun ke Laut Atlantik bersama kudanya sehingga kudanya hampir lemas. Kata-katanya tidak pernah saya lupa, “Sekiranya aku tahu di hujung sana masih ada tanah, aku akan teruskan”.

Bilakah saatnya permusafiran saya hanya kerana dakwah semata-mata? Soalan ini bermain-main di perjuru fuad untuk saya bermuhasabah.

Saya hanya mahu menjadi seorang manusia yang melihat segalanya dengan kaca mata hati. Saya sukakan tulisan seorang sahabat berkenaan ayat 179 dari Surah Al Aaraf. Kamu boleh membacanya di sini. Mengapa Allah membuat perumpamaan bahawa manusia yang sesat itu seperti binatang ternak? Mengapa lebih teruk dari binatang ternak? Mengapa bukan binatang liar?

Saya tinggalkan dulu catatan ini. Insya Allah, saya akan menyambungnya kelak, mungkin dengan bicara atau mungkin dengan sisipan gambar.

No comments: