Friday, December 31, 2010

Attakathur...

Alhamdulillah, saya lulus semester ini dan akan ke semester akhir. Terlalu banyak yang terjadi sehingga saya merasakan urusan peperiksaan adalah terlalu kecil. Semalam misalnya usrah saya dirombak. Sahabat-sahabat yang telah bekerja akan ke medan lain. Jujur ada kesedihan dalam lubuk hati saya yang paling dalam. Mereka telah banyak membantu saya selama ini berada di medan pelajar dan kini mereka telah tiada. Sungguh Allah menjadi saksi atas nikmat ukhwah yang terbina. Pertemuan dan perpisahan sering menjadi rona kehidupan. Lebih membuatkan hati kesedihan kerana anak-anak usrah saya membincangkan berkenaan ukhwah di sebelah petangnya dan Allah membuatkan saya merasai semua itu di malamnya pula.

Setelah keputusan dikeluarkan semalam, kami adakan sesi makan-makan dengan seorang pensyarah kami. Terlalu hebat mehnah dan tribulasi yang perlu dilalui oleh para pensyarah saat ini. Saat melihat perjuangan mereka, saya rasakan syurga Allah itu terlalu jauh dengan diri saya. Perjuangan mereka terlalu hebat. Ujian Allah buat mereka bukan calang-calang. Saya doakan moga Allah memberikan mereka kekuatan untuk terus bertahan.

Oklah, jom kita tadabbur Quran. Tidak tahu kenapa Allah membuatkan saya memilih surah ini untuk dibincangkan dengan adik-adik semalam. Surah ini macam dekat sangat dengan saya barangkali. Ada satu lagi surah, tapi nanti saya ceritakan.

Kita bukan nak tambah ilmu belajar Islam ini, tapi kita nak sangat faham Islam ini. Kita nak apa yang kita fahami itu mengalir dalam urat, sel, hati-hati kita sehingga segala-galanya hanyalah berlandaskan kerana Allah sahaja. Untuk mempelajari sesuatu itu mudah, tapi adakah apa yang kita tahu itu meresapi diri kita? Adakah ia akan menjadi dye yang akan mewarnakan pakaian? Akan masuk ke celah-celah diri kita? Itulah apa yang Allah panggil sebagai sibghah.
”Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah?.....” (Al Baqarah: 138).


Dan kita nak sangat sibghah (celupan) Allah itu terus-terusan mewarnai diri kita. Kita nak mengaplikasikan Quran dalam kehidupan kita. Quran itu sentiasa bermain-main dalam kehidupan kita, berdesir di telingan kita, mengairi hati kita.

Bagaimana nak berinteraksi dengan Allah? Salah satu perkara yang boleh kita lakukan adalah mempraktikkan dalam kehidupan kita. Kita dah saling mengenali. Bila kita duduk dalam kehidupan kita, kita cuba menjadikan apa yang kita faham dalam diri kita. Kita saling menasihati sahabat-sahabat kita. Kita tidak akan malu mengingatkan saudara-saudara kita. Kita nak relate segala yang berlaku dalam kehidupan kita dengan apa yang kita fahami.
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), - Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu - demi sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (Surah Attakathur)


Surah yang kita nak bincangkan hari ini adalah Surah Attakathur. Surah ini adalah surah yang ke 102 dalam jujusan ayat-ayat Allah. Surah ini sebagaimana surah-surah dalam juzuk ini adalah surah-surah yang pendek. Allah Taala ceritakan pada kita mengenai surah ini tidak sebagaimana surah-surah lain. Sesetengah surah datang dengan sumpah seperti Al Asr, Addhuha. Ada surah yang dimulakan dengan Qul. Tapi surah ini mula terus dengan tajuk. Allah Taala terus sedarkan kita dalam keadaan kita terlupa. Allah nak ceritakan satu hakikat pada kita dalam keadaan kita tak sedar. Alhakumuutakkathur..

“Eh, kau ni semua telah dilalaikan oleh Attakathur.” Attakathur itu fai’l, alha itu fe’el, kummaf’ul bih. Allah Taala kata attakathur ini seolah-olah satu manusia yang telah mengganas dan mengganggu kamu. Macam kucing kacau kamu. Tapi ini bukan kucing. Benda ini adalah sesuatu yang telah melalaikan kita.

Contoh macam Akademi Fantasia. Beribu-ribu nak masuk uji bakat. Orang yang tengok pula tak boleh nak tinggal. Apa yang manusia dapat? Mereka ini dah jadi lalai. Allah Taala kata ada satu lagi benda yang manusia lalai. Ada satu benda lagi yang telah melalaikan. Dalam hal ini attakathur telah melalaikan kamu. Apa attakathur ini? Takathur ini datang dari kalimah kathura yang bermaksud banyak. Attkathur adalah perlambangan untuk banyak atau perasaan nak banyak. Attakathur bukan untuk dalam hal-hal kebaikan. Attakathur dalam tafsir adalah tentang duniawi, bukan tentang ukhrawi.

Saidina Abdul Rahman dan Saidina Abu Bakar misalnya tidak mahu harta jatuh ke tangan orang kafir atau jatuh ke tangan orang fasiq. Kalau jatuh kat tangan orang kafir, mereka akan guna untuk jauhkan umat Islam. Ada juga kemungkinan harta ini akan jatuh ke tangan orang yang tidak gunakan harta. Mereka cemburu tengok orang kafir. Kita pun perlu sebegitu dalam seluruh kehidupan kita. Kita kena rasa cemburu kalau ada satu jawatan yang penting yang tidak digunakan oleh Islam untuk membantu islam. Kalau orang itu memegang jawatan itu, kena rasa cemburu. Itu adalah attakathur yang betul. Kita tidak suka ahli maksiat banyak duit sebab mereka akan mengggunakannya untuk maksiat. Kalau berebut macam itu, itu adalah kebaikan.

Alha – ini maksudnya lalai. Kita bukan dilalaikan oleh attakathur. Kita buat sesuatu kena ada niat yang baik. Manusia semuanya mempunyai fitrah inginkan attakathur. Ada orang suka harta yang banyak. Ada yang suka anak yang banyak. Bagi orang arab dulu, anak-anak ini adalah penyokong. Dia ada sistem kabilah. Anak cucu dia semuanya jadi penyokong dia tidak kira dia betul atau salah.

Salah ke kalau kita naik pengikut kita itu ramai? Dalam Muntalaq bab 15, Allah taala ajar kita sebut dalam quran – waj’alna lilmutttaqiina imamam. Jadikan aku ini imam orang-orang yang bertakwa. Menjadi ikutan. Dalam ayat itu, Allah ajarkan kita supaya menjadi ketua yang akan diikuti oleh ramai orang bertaqwa. Dia akan jadi pemandu untuk orang-orang bertaqwa. Kita suka jadi ketua yang membawa orang kepada Allah Taala. Perasaan nak bawa orang kepada Allah, ini bukan alhakumuttakathur. Kita berlumba-lumba nak dapat kebaikan dunia itu salah kalau untuk dunia. Tapi kalau berlumba-lumba nak dapat dunia ini untuk akhirat, tidak salah. Sahabat macam orang yang lapar, ayam yang tidak makan seminggu, bila campak makanan itu, berebut-rebut nak makan. Tapi sebab kejar pahala.
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (3:133)


Ummu Aiman misalnya sampai naik kapal ikut suami sebab nak tawan Istanbul. Wa fi zalika falyatanafasil mutanafisun. Berebut-rebut.
Meterainya kasturi; - dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; (83:26)

Kalau sembahyang jemaah, kena berebut nak dapatkan saf pertama untuk lelaki. Nabi saw kata, kalau orang yang azan ini pahala yang besar. Berebutlah untuk kebaikan.

Apa lagi attakathur? Nak glamour. Macam bola sepak baru ini. Sukan nak dapat apa? Nak dapat nama? Nak hadiah? Nak pecah rekod? Kalau kita buat sukan kerana Islam itu macam mana? Fikir-fikirkan sama ada itu adalah attakathur yang betul atau tidak. Kita belajar kenapa? Nak dapat straight A kenapa? Nak kahwin kenapa? Nak dapat anak kenapa? Fikir-fikirkan..

Allah swt kata dalam ayat 2, kalau aqidah kamu tidak betul, benda ini tidak akan habis, tidak akan selesai sehingga hatta zurtumul maqabir. Ada dua pendapat dalam ayat dua itu. Pertama,kita akan berhenti kalau kita dah mati. Pendapat kedua kata mungkin perasaan itu hilang kalau kita menziarahi kubur. Buat sesuatu yang mengingatkan kamu tentang mati. Ada yang pergi kubur tidak rasa apa-apa sebab dia penggali kubur, mungkin kan? Doktor misalnya dah imun tengok orang mati kan? Kena buat sesuatu agar kita merasai hakikat kematian itu. Menziarahi kubur adalah saranan tarbiah.

Kalla- sekali kali tidak. Dalam bahasa arab – dah3x..jangan kamu sibuk lagi. Quran ini ada irama dia. Quran ini ada balaghah dia. Jagalah! Jaga! Nanti kamu tahu nanti! Jaga! Jaga! Nanti kamu tahu nanti. Allah ulang sampai 3 kali. Allah ingatkan betul-betul, dilalaikan dengan nak banyak ini kena sedar. Akhirnya perkara yang dia nak, yang dia rebut itu tiada faedah. Sama macam dapat result. Tapi untuk apa? Bila main bola, masuk gol. Peluk-peluk. Giler-giler sangat. Nanti kamu tahu nanti. Nanti kamu tahu nanti. Kalaulah kamu yakin betul-betul dengan ilmu yakin, kamu akan lihat neraka itu. Kamu tidak akan buat macam itu. Kalau kami yakin dengan ilmu yakin, kamu tidak akan dilalaikan oleh attakathur. Betapa jauhnya orang yang tiada kesedaran. Nanti kamu akan lihat dalam neraka Jahim. Attakathur akan membawa kamu kepada Jahim itu. Nanti kamu akan lihat dengan mata yakin Jahim itu. Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu tentang na’im, tentang nikmat-nikmat yang Allah berikan.

Ada satu cerita tentang na’im itu. Kita bayangkan nikmat itu nikmat rumah, harta, anak, jawatan. Sahabat kata kat nabi itu, sahabat tiada nikmat. Sahabat bukan macam kita yang hidup mewah ini. Sahabat cuma ada dua benda sahaja – kurma dan air. Sahabat tanya, adakah dua ini pun akan ditanya? Rasulullah kata dua nikmat itu pun akan ditanya. Kita yang dah banyak sangat nikmat ini, fikir-fikirkan berapa puluh ribu soalan yang kita nak jawab nanti? Nikmat iman dan islam yang kita tak share kat orang, berapa banyak kita nak jawab dengan Allah?

Kata Rasulullah SAW, ada dua nikmat yang banyak manusia lalai iaitu masa kosong dan sihat. Hanya orang sibuk sahaja mengerti betapa berharganya masa. Macam nak exam, satu jam pun bermakna. Macam pelari yang dapat pingat perak, satu saat sahaja yang memisahkannya dari gold medal. Kalaulah kita sedar umur dunia ini pendek sangat, mesti kita tak buang masa lagi kan?

Oklah, saya akan mula bermukhayyam petang ini. Insya Allah jumpa lagi..

Wednesday, December 29, 2010

Istighfar...

Hebat kan apa yang dinamakan dengan perasaan? Sungguh ia adalah kejadian Allah yang unik. Sedih, marah, takut, cinta dan segalanya.

Esok final paper saya. Entahlah, buat pertama kali rasanya saya rasakan saya tidak takut sangat dengan peperiksaan. Barangkali asbabnya kerana Allah menyibukkan saya dengan urusan lain.

Saya sempat pergi berenang tadi. Terjumpa dengan kawan yang berkerja sebagai pharmacist. Kami tidak rapat semasa di kolej tapi boleh pula berbual di kolam renang. Dia satu batch dengan saya kiranya cuma memandangkan farmasi hanya 4 tahun, dia telah menamatkan pelajarannya terlebih dahulu.

Banyak yang kami bualkan. Katanya, alam kerjaya adalah terlalu mencabar. Malah dia stress dengan kehidupannya. Kami juga berbual mengenai perihal kawan-kawan lain.

“Kenal tak X?”

“Kenal”.

Saya mengenali X semasa di tahun pertama dulu.

“Dia keguguran anak ketiga sebab stress sangat bekerja dan suaminya baru meninggal dunia minggu lepas”.

Masya Allah! Kita rasa ujian kita berat sangat kan? Tapi ujian yang Allah kurniakan kepada manusia lain jauh beribu kali lebih berat. Melihat kehidupan manusia lain, saya rasakan exam itu kecil sangat. Kumanlah kiranya.

Sukar saya membayangkan kesedihan yang terpaksa X lalui. Dia berkahwin awal. Suaminya yang banyak membantunya selama ini. Betapa beratnya ujian yang Allah berikan padanya.

Membaca juga perihal Palestin. Membaca kesyahidan dua tokoh HAMAS membuat saya bermuhasabah. Saya masih dengan kertas, buku dan exam. Sedang mereka berada di medan jihad.

Exam.. exam.. apalah yang ada pada kamu? Semua manusia ketakutan. Ada kawan saya yang menangis. Dan examlah yang menyebabkan semua orang suddenly jadi baik. Semua saling bermaafan. Saling menjaga hati masing-masing. Ada yang tidak tengok cerita Korea. Ada yang rajin qiam. Ada yang rajin solat hajat setiap waktu solat.

Hebat penangan exam dunia. Exam akhirat? Fail exam dunia boleh re-sit lagi. Fail exam akhirat? Sebab akhirat itu adalah sesuatu yang kita tak nampakkan, sebab itulah semua orang tidak menyiapkan diri untuk kehidupan di sana kan?

Apa yang mahu saya sampaikan sebenarnya? Bercampur baur perasaan saya sebenarnya. Saya menanti sesuatu yang tidak pasti sebenarnya. Dan ia tersangatlah menyeksakan. Insomnia...

Kita tadabbur ayat Quran nak tak? Mengubat hati sedikit. Ayat ini Prof beritahu semasa revision class kami yang terakhir.


“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh 10-12)


Itulah kata-kata Nabi Nuh pada kaumnya. Kalau awak rasa nak hujan, nak kaya, nak anak, nak pasangan dan nak...nak...nak... banyak-banyakkanlah istighfar pada Allah.

Istighfar dengan sepenuh pengharapan pada Allah akan menjadi azimat yang berguna.

Oklah, doakan saya. Moga Allah permudahkan urusan saya dan urusan kamu semua.

Friday, December 24, 2010

Siang dan malam...

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (3:190)

Bila membaca tentang ayat-ayat Allah mengenai langit dan bumi, pertukaran siang dan malam, saya merasakan tadabbur saya sungguh surface sahaja. Saya cuma membayangkan kejadian langit dan bumi yang hebat itu. Kejadian langit yang tidak bertiang. Kejadian bumi dari sudut geografinya. Pergiliran siang dan malam yang sangat hebat dari sudut sainsnya.

Sungguh surface. Bila membaca buku Futuhusyam, saya diberi tasawwur berbeza. Ramai yang lupa di sebalik pergiliran siang dan malam itu, Allah sedang menyebut juga dengan hari-hari yang telah berlalu. Sejarah misalnya. Dan hari-hari yang berlalu itu merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah bagi mereka yang mahu memikirkannya.

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa. (32:5)


Masa adalah bukti kekuasaan Allah bagi mereka yang mahu memikirkan. Saya petik petikan dari buku Futuhusham tentang ayat tersebut.

He regulates every affair from the Heavens to the Earth then it goes up to Him in one day the length whereof is 1000 years of your reckoning. (32:5)

One tafsir of this verse is that one thousand years before an event comes to pass Allah SWT creates such things which eventually leads to its materialisation one thousand years later. Thus an examination of such events will make one realise that there is a Power higher than Man which control events - that there is one All-Powerful Creator, Allah.


Membayangi kejadian-kejadian yang terus berlaku dalam kehidupan saya, sungguh pantas masa berlalu. Bimbang dengan peperiksaan, tetapi saya telah menduduki satu paper hari ini. Ada empat paper lagi yang masih berbaki. Dan masa terlalu pantas berlalu.

Moga Allah permudahkan segalanya...

Saturday, December 18, 2010

Innalillah...

Saya ingatkan saya tidak akan mengupdate blog sehingga tamat Professional Exam saya yang bermula Jumaat ini. Tapi membaca pemergian seorang blogger, saya tidak mampu menahan diri dari menulis. Pemergian Dr Mas Afzal sesungguhnya menjadi peringatan yang amat besar bagi saya. Blognya telah lama saya ikuti. Catatannya meninggalkan kesan di dalam qalbu saya. Dan sungguh saya menangis hari ini.

Beberapa hari yang lepas juga saya bercerita dengan seorang teman mengenai blognya. Lama saya tidak mengikuti updatenya. Ternyata rupanya dia sedang menghadapi saat-saat terakhir kehidupannya.

Terkadang kita mengejar sesuatu yang tidak pasti. Kita mengejar dunia yang tidak pasti ini. Siapa yang pasti bahawa dia akan menduduki peperiksaan? Siapa yang pasti dia akan berkahwin dan menimang anak? Siapa yang pasti bahawa kehidupannya penuh dengan rona keindahan? Tiada siapa yang pasti semua itu. Tapi kematian adalah sesuatu yang PASTI. Sungguh PASTI.

Bagi mereka yang tahu hakikat kematian itu PASTI, pasti juga tidak akan melupakan diri menyediakan amal untuk dibawa pulang bertemu Ilahi.

Tadi ada kelas revision yang terakhir untuk exam. Dr S tunjukkan kami video-video tentang beberapa penyakit untuk membantu pemahaman kami.

Sungguh medicine is too much. Terlalu banyak yang perlu diketahui. Huntington Disease, Spinocerebellar Ataxia dan deretan lagi penyakit-penyakit yang ada di dunia ini hakikatnya menunjukkan kekuasaan Allah. Sungguh Dia sangat berkuasa.

Dari sekecil-kecil malignant melanoma yang ada di kulit, ia mampu merebak (metastasis) ke tempat lain. Masya Allah! Dan sungguh Allah berkuasa.

Teringat lagi kata-kata seorang pesakit psikiatri saat ditanya mengapa dia tidak mampu tidur pada waktu malam. Katanya, "Cuba bayangkan sijil kelahiran awak adalah sijil kematian awak".

Allahu Akbar! Mungkin kita tidak banyak mengingati mati. Namun ingat-ingatkanlah diri akan mati yang PASTI itu. Ingat-ingatkanlah diri akan pertemuan dengan Allah yang Maha Berkuasa!

Moga Allah memberkati pemergian Dr Mas Afzal. Sungguh dia telah berjuang sehingga akhir kehidupannya. Moga Allah memberikan kita juga khusnul khatimah. Ameen.

Friday, December 10, 2010

Ikan, laron dan semut...

Mendalam maksud lagu ini terutamanya untuk insan yang cepat bosan seperti saya..


Aku senang, aku senang
Tapi bingung, aku bingung
Aku senang, aku senang
Tapi heran, aku heran..

Dan akupun bertanya..
Pada semua ikan di kolam
Tiadakah kau bosan, disitu...
Dan diapun menjawab,tiada bosan
Walau berada di tempat sekecil ini
Karena ku di sini, setiap hari, bersama Tuhanku

Dan akupun bertanya..
Pada laron-laron berterbangan
Kenapa kau hidup semalam...
Dan Iapun menjawab,Tiada tersiap..
Walau hanya semalam aku hidup di dunia
Karna dalam semalam..
aku hidup, Ku sebut Tuhanku...

Dan akupun bertanya..
Pada semut-semut di sarangnya..
Tidakkah kau merasa lelah bekerja...
Dan Dia pun menjawab, Tiada lelah..
Walau sepanjang hidup aku terus bekerja,
Karna setiap saat dalam bekerja, bersama Tuhanku..

Dan ikanpun menjawab,tiada bosan
Walau berada di tempat sekecil ini
Karena ku di sini, setiap hari, bersama Tuhanku

Dan laronpun menjawab,Tiada tersiap..
Walau hanya semalam aku hidup di dunia
Karna dalam semalam,aku hidup, Ku sebut Tuhanku...

Dan semutpun menjawab, Tiada lelah..
Walau sepanjang hidup aku terus bekerja,
Karna setiap saat, dalam bekerja, bersama Tuhanku..

Dan aku bertanya, pada jiwaku
Sejauh apa...hidup tanpa Tuhanmu
Dan aku bertanya, pada hatiku
Sedalam (selama) apa...hidup tanpa Tuhanmu
Dan aku bertanya, pada diriku
Sekeras apa... kerja tanpa Tuhanmu

Aku malu dengan ikan, laron dan semut...
aku bertanya pada jiwaku, hatiku, dan diriku....

Sunday, December 05, 2010

Aqidah...

Seorang adik mengatakan bahawa dia tidak mahu menulis tentang bahan yang diperolehinya terlebih dahulu. Dia inginkan bahan tersebut mengakar di dalam hatinya dulu.

Mungkin segala yang saya tuliskan ini belum mengakari dan mengairi hati saya sendiri. Lantas saya mengharapkan kebaikan dari Allah juga. Mudah-mudahan Allah akan menanamkan kefahaman yang jitu dalam diri saya dengan kebaikan mengongsikan bahan ini pada manusia lain.

Antara isi khutbah Rasulullah SAW: "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Mudah-mudahan kalian yang membaca tulisan ini mampu mengongsikannya pada yang lain kerana mungkin kalian adalah insan yang lebih memahami berbanding diri ini. Allahu A’lam.

Insya Allah, kita sambung kembali perbincangan mengenai Kitab Tauhid. Kenapa agaknya perlu mengaitkan AlQuran dengan sains? Kenapa agaknya kita perlu belajar buku Kitab Tauhid itu yang merupakan silibus sekolah rendah di Yaman? Kenapa agaknya Sheikh Abdul Majeed Zindani ini menubuhkan Comission on Scientific Signs in the Quran and Sunnah? Kenapa agaknya buku ini dijadikan sebagai silibus oleh ikhwan? Kenapa inilah buku yang dijadikan silbus di permulaan tarbiah?

Sebabnya di luar sana terlalu ramai insan yang tidak beriman dengan AlQuran dan Sunnah. Mereka perlukan bukti. Dan inilah bukti-bukti yang perlu kita sampaikan pada mereka.

Apa gist buku ini? Sekiranya kalian telah membacanya, telah melihat bukti-bukti yang ada di hadapan mata seperti penemuan dua jenis lautan, kejadian manusia, pembuktian arah kiblat, insya Allah akan tertanam di dalam hati kalian dengan sebenarnya aqidah imaniyyah.

Sekiranya kalian telah beriman dengan apa yang ada di hadapan mata, sekiranya kalian telah beriman dan yakin bahawa setiap kata-kata Rasulullah SAW adalah wahyu, maka apa outcomenya? Outcomenya adalah kalian akan beriman dengan sebenarnya segala perkara yang belum dilihat lagi. Syurga, neraka, akhirat, pahala, dosa dan segalanya.

Bagaimana kita nak menanamkan dalam diri anak usrah kita kebenaran alam ghaib? Alam yang kita sendiri belum tahu? Bagaimana kita nak ceritakan tentang syurga yang indah itu seandainya belum tertanam keimanan yang benar-benar kukuh terhadap AlQuran?

Inilah gist buku ini. Sekiranya antum sudah beriman dengan bukti-bukti yang ada di depan kalian, insya Allah dengan pasti kalian akan beriman dengan alam yang belum pernah dilihat.

Inilah kerja Rasulullah SAW selama 13 tahun. Penanaman aqidah. Sehinggakan sahabat-sahabat itu sentiasa melihat dunia dari kaca mata akhirat. Tergila-gilakan syurga.

Kenapa agaknya di permulaan tarbiah, kita ditanam dan diulang-ulang dengan tafsir juzu’ 30? Tidak lain tidak bukan kerana juzu’ 30 ini tujuannya adalah penanaman aqidah.

Kita lihat contohnya Surah AlMuthaffifin. Kisahnya tentang peniaga yang curang. Kalau dia berjual beli dengan orang, dia nak orang itu penuhkan takaran dia. Mesti kena exact dan accurate bahan timbangan itu. Tapi kalau dia jual kat orang, dia kurang-kurangkan. Apa ayat Quran selepas itu? AlQuran ceritakan tentang hari kebangkitan, AlQuran ceritakan tentang sijjin. AlQuran ceritakan tentang kitab amal. Masalah peniaga yang curang itu cuma sign and symptoms je. Etiology atau pathologynya adalah mereka ini tidak beriman dengan akhirat.

Kita tengok lagi surah AlHumazah. Allah ceritakan tentang pengumpat dan pencela. Kemudian apa yang Allah ceritakan? Allah ceritakan tentang hutamah. Tentang neraka yang membakar sampai ke hati. Mengumpat dan mencela itu cuma symptom. Masalah utamanya adalah mereka ini tidak beriman dengan akhirat.

Ini adalah trend AlQuran. Ustaz kata mereka yang malas nak bawa usrah,malas nak pergi usrah, malas nak attend program, semua ini cuma symptom sahaja. Masalah utama adalah pada aqidah. Tidak beriman dengan hari akhirat. Tidak menggilai syurga Allah itu.

Sahabat-sahabat faham Quran. Beriman dengan Quran. Bila sahabat-sahabat baca Surah Annur ayat 55, sahabat yakin Islam ini akan menang. Sahabat yakin Allah akan kurniakan mereka dengan kemenangan sehinggakan sahabat-sahabat tidak akan berpatah balik dari medan peperangan setelah melihat jumlah musuh yang ramai. Sebabnya sahabat faham maksud ‘janji Allah’. Sahabat faham janji Allah pasti tertunai. Di dalam ayat tersebut Allah gunakan kalimah ‘wa’ada’, past tense. Seolah-olah cara Allah ceritakan ayat itu dengan sepenuh keyakinan bahawa janji ini akan terlaksana.

Bila sahabat-sahabat baca Surah Yassin ayat 55 misalnya, sahabat membayangkan syurga itu. Allah gunakan kalimah ‘syugulin fakihun’. Sibuk dalam kesenangan. Kalau sibuk di dunia ini mesti sangat tidak best kan? Tapi Allah kata sibuk dengan kesenangan. Macam mana ye sibuk dengan kesenangan? Tidak dapat nak dibayangkan. Sibuk dengan apa? Ayat 57 Allah sambung bahawa mereka sibuk dengan pasangan mereka yang of courselah cantik dan hensem kan?

Semasa saya baca buku Futuhusham, ada satu part yang menarik, kisah tentang seorang musuh. Nama dia Jonah. Tapi akhirnya dia memeluk Islam dan nama Islam dia Yunus. Bila dia dah masuk Islam, dia berjihad dengan sebenarnya. Bila dia jumpa isteri dia semula, isteri dia dah jadi nun sebab kecewa dengan dia. Kali kedua jumpa isteri dia, isteri dia bunuh diri di hadapan mata Yunus sendiri. Sedihlah Yunus ini. Sahabat-sahabat dapat tawan seorang wanita cantik. Sahabat beritahu Yunus suruh ambil yang paling cantik untuk dijadikan isteri. Sahabat-sahabat tidak faham pun bahasa Rom. Yunus ini buallah dengan perempuan yang paling cantik itu. Rupa-rupanya perempuan yang cantik itu adalah puteri musuh Allah. Yunus kata dia tak layak untuk perempuan itu. Dia pun pergi berjihad. Dia bersumpah tak mahu kahwin dengan wanita dunia, dia nak kahwin dengan Aina, bidadari kat syurga. Akhirnya dalam medan pertempuran itu, dia syahid.

Seorang sahabat mimpikan Yunus ini. Dan Yunus ini beritahu yang Allah telah mengampuninya dan memberikan dia 70 bidadari yang mana kata Yunus ini, kalau bidadari itu ada di dunia akan eclipse/overshadow sinaran matahari dan bulan. Best kan?

Alaa! Itu untuk lelaki je. Mana ada bidadara untuk perempuan? Adalah! Allah janjikan wildanun mukhalladun. Nanti buka ayat 56:17 dan 76:19 ye.

Tidak dapat nak dibayangkan kan syurga itu? Kalau kita dah ada kereta Mercedes, dan orang kata ada kereta yang best sejuta kali dari kereta Mercedes itu, mesti kita tidak pandang dah kan Mercedes itu? Inilah yang sahabat fahami. Apa class nikmat dunia dibandingkan dengan akhirat? Itulah sebabnya sahabat infaqkan semua pada jalan Allah. Kalau tengok kembali surah Yassin, ayat 57, Allah sebut bahawa mereka dikurniakan apa sahaja yang mereka inginkan. Wa lahum ma yadda’un. Analoginya macam seorang teman membawa kamu ke hotel 5 bintang. Dia dah sediakan makanan, dan dia menyuruh kita makan. Katanya, dia belanja. Kita tukar scenario. Dia bawa kita ke hotel 5 bintang dan meminta kita order apa-apa sahaja. Dia belanja. Mana yang lagi best? Dah disediakan atau minta apa sahaja? Mestilah minta apa sahaja kan? Inilah nikmat syurga. Disediakan dan juga boleh meminta apa-apa sahaja. Best tak? Best bangat...

Ustaz ceritakan kisah Abu Dahdah. Saya pernah menulisnya dahulu di sini. Abu Dahdah yang merupakan seorang peminat pokok kurma sanggup memberikan kebun kurmanya yang indah demi kebun di syurga Allah kerana dia memahami dengan sebenarnya nikmat syurga.

Ustaz ceritakan juga tentang seorang wanita yang sakit. Wanita ini menghidap sawan. Dia pergi bertemu Rasulullah SAW. Dia mengadu mengenai sakitnya. Kata Rasulullah SAW, dia akan mendoakan kesembuhan wanita tersebut namun sekiranya wanita ini bersabar maka Allah akan memberikannya syurga. Dan wanita ini memilih syurga. Cuma dia meminta Rasulullah SAW agar mendoakan supaya auratnya terjaga saat dia terkena sawan.

Hebat kan wanita tersebut? Sanggup memilih syurga Allah, bersabar di atas setiap musibah yang menimpanya. Tambah ustaz lagi, wanita hari ini tidak kena sawan pun terdedah sana sini. Huhu..

Bila kan kita nak memahami semuanya sama seperti sahabat memahaminya? Mudah-mudahan Allah memberikan kita kefahaman yang akan terus menggerakkan kita.

Ya Rabb, aliri hati kami dengan kefahaman yang jitu dan iman yang mendalam.. Ameen..

Saturday, December 04, 2010

Hadaiq Iman...

Siapa Sheikh Abdul Majeed Zindani yang tulis buku Kitab Tauhid itu? Kami selalu menyebut buku Kitab Tauhid tersebut dengan sebutan buku Tauhid Zindani

Siapa sheikh ini? Dia seorang yang sangat hebat. Semasa saya belajar di dalam posting Internal Medicine, saya dan seorang kawan present case HIV/AIDS. Di akhir presentation, Prof ceritakan berkenaan penemuan rawatan untuk AIDS. Tapi tidak digembar gemburkan. Sebabnya AIDS/HIV adalah perniagaan yang sangat menguntungkan untuk musuh-musuh Allah. Kos rawatannya mencecah ribuan ringgit.

Siapa yang temui rawatan AIDS/HIV ini? Sheikh Abdul Majeed Zindani ini. Nanti saya cerita sebab musabab fokus dia pada sains ini masa saya ceritakan gist buku ini nanti.

Best sangat Universiti Iman yang diasaskan oleh beliau. Wajib solat subuh di masjid. Siapa yang tidak solat subuh berjemaah tidak boleh tinggal di hostel. Perjalanan dari rumah ke universiti pula jauh. Kalau kena buang hostel, memang terlalu sukar. Dan kelas akan dimulakan terus selepas subuh.

3 tahun pertama kena belajar semua. Tiada pengkhususan. Sebabnya mustahil seseorang itu boleh buat pengkhususan misalnya dalam bidang AlQuran Sunnah sekiranya dia tidak pernah sekalipun membedah sirah. Sirah yang akan menentukan kefahaman dalam AlQuran Sunnah. Di Universiti Iman, semua orang kena belajar semua bidang Islam dalam 3 tahun pertama.

Di universiti ini, bukan teori sahaja. Bas-bas akan disediakan dan pelajar-pelajar akan dihantar ke kampung-kampung untuk misi dakwah. Best kan praktikal diorang? Sememangnya universiti yang sangat hebat. Tenaga pengajar juga tinggal di dalam universiti. Keakraban di antara pengajar dan pelajar tidak mampu dinafikan.

Malaysia pernah hantar pelajar sebelum ini ke universiti tersebut tapi dah tak hantar lagi disebabkan universiti ini dikaitkan dengan pengganas. Kalau baca di Wikipedia, tiada yang baik pun mengenai universiti ini.

Seorang orator yang terlalu saya kagumi, Sheikh Anwar Awlaki juga pernah menjadi tenaga pengajar di sini.

Saya sertakan video berkenaan universiti tersebut di sini. Ada subtitle bahasa Melayu. Dengarlah bicara Dr Yusuf Qardhawi berkenaan universiti ini dan juga mengenai pengasasnya. Ramai ulama besar yang hadir semasa pembukaan universiti ini. Semangat pastinya! Mudah-mudahan satu masa nanti akan lahir Universiti Iman di bumi Malaysia ini sehinggakan setiap cendekiawan Muslim yang lahir juga akan menjadi daie dan daiyah yang membawa mesej dakwah ini ke mana sahaja.






Bicara Sheikh Abdul Majeed Zindani mengenai Hamas yang benar-benar menggentarkan hati dan perasaan...

Friday, December 03, 2010

Rendah diri...

Alhamdulillah, berakhir sudah hari-hari pengajian di semester ini. Mula bercuti dan akan menduduki peperiksaan pada akhir bulan ini. Lama sudah saya tidak menulis. Seakan tangan kaku untuk menulis semula.

Kelmarin seorang adik usrah bercerita pengalamannya membawa usrah suatu ketika dulu. Katanya, dia bahagia sekali bila dapat bergerak. Anak-anak binaannya ramai. Namun ketika dia meninggalkan tempat tersebut, adik-adiknya hanyut di dalam lembah jahiliah semula. Dia sedih. Dia bermuhasabah. Katanya, selama ini dia membawa manusia kepada dirinya dan bukan kepada Allah.

Muhasabahnya itu adalah muhasabah bagi diri saya pastinya. Adakah saya membawa manusia pada saya atau pada Allah? Adakah tulisan-tulisan di sini membawa kalian menuju Allah atau menuju saya? Ya Rabb, sucikan hati ini agar ikhlas untukMu..

Saya mahu menceritakan pengalaman. Pengalaman merasai jatuhnya iman. Saat murabbi saya memberitahu berkenaan program daurah, saya merasakan hal itu adalah hal yang terlalu berat. Saya perlu ke daurah pada hari Sabtu dan Ahad. Kerja pula begitu banyak. Tuntutan akademik begitu menggunung. Peperiksaan pula kian hampir. Sabtu tersebut saya punya kelas. Dan saya amat-amat berharap kelas tersebut habis lewat agar saya tidak perlu ke daurah. Namun Allah mengizinkan kelas tersebut habis awal. Dan saya tidak punya alasan..

Jujur saya malas ke daurah. Daurah pada hari Sabtu adalah berkenaan Kitab Tauhid Zindani. Jujur saya rasakan saya tahu keseluruhan buku. Tidak usah daurah untuk mengulangkaji hal yang sama. Buku tersebut saya rasakan terlalu kering untuk hati saya. Kitab Tauhid Zindani adalah kitab aqidah yang membincangkan penemuan-penemuan sains yang dikaitkan dengan AlQuran. Saya rasakan malas yang amat. Buku tersebut telah dihadam di dalam usrah. Mengapa perlukan daurah untuk hal yang sama?
Saya rasakan tidak perlu sains untuk mengajar saya tentang Islam. Saya nak kefahaman yang sama seperti sahabat. Sahabat tidak pernah membincangkan sains dalam memahami Islam.

Entahlah. Mengimbas perasaan-perasaan yang berkecamuk itu, saya rasakan amat mustahil untuk saya ke daurah tersebut. Daurah pula di KL. Tapi Allah jualah yang memimpin hati saya untuk ke daurah. Di tengah perjalanan, saya sesat. Saat itu juga, saya rasakan mahu pulang sahaja. Tanpa Allah, saya tidak mungkin ke daurah tersebut.

Saya tiba di tempat daurah. Saya nampak murabbiah-murabbiah saya yang telah lama di jalan dakwah juga hadir. Saya rasakan malu yang amat. Mereka masih menadah ilmu. Masih merendah diri di hadapan Allah, sedang saya...

Saya solat terlebih dahulu dan kemudian menyertai daurah tersebut. Saat itu ustaz sedang membentangkan berkenaan klorofil. Ya Rabb, betapa hati ini rasa tidak berbaloi yang amat untuk hadir.

“Aku ini dah belajar medic. Tidak perlulah nak tahu tentang klorofil...”, bentak hati saya..

Dan saya mula membuat kerja-kerja lain. Saya tidak menumpukan perhatian.

Kemudian ustaz bercerita tentang kiblat. Dan ustaz tunjukkan video berkenaan kiblat. Ego saya cair tika itu. Dan saya bersaksi nabi Muhammad itu pesuruh Allah setelah menonton video tersebut. Terus bergelora hati dan fikiran saya..terasa zuuq yang amat..

Jujur saya tidak pernah tahu gist buku Tauhid Zindani. Saya tidak mengenali penulisnya. Tidak mengetahui perjuangannya. Namun ustaz yang bercerita hari itu adalah ustaz yang pernah belajar di Universiti Iman, Yaman yang diasaskan oleh Sheikh Abdul Majeed Zindani.

Nanti saya sambung semula ye entri ini.. Insya Allah saya akan beritahu gist buku ini dan juga mengenai penulisnya.. Moga Allah kurniakan saya kelapangan masa..

Wednesday, November 24, 2010

Futuhusham..

Saya ingat lagi malam itu. Kami bermukhayyam dan saya agak kepenatan. Malam sebelumnya, tidur sekejap cuma. Tapi bicara seorang murabbiyah menghilangkan rasa ngantuk. Dialah insan yang berkongsi kisah pembukaan Syria pada kami. Hilang terus rasa ngantuk. Berkali-kali melalui ISK (Ini Sejarah Kita), tapi setiap saat dan ketika Allah akan memberi nafas baru. Macam-macam soalan yang diajukan dan kami gagal menjawabnya. Siapa Dhirar? Siapa Khawlah? Siapa Ummu Banin?

Dia katakan pada kami, amat mudah kita menulis angka-angka sahabat yang terlibat dalam satu-satu peperangan. Dengan mudah kita membentangkan ISK. Tapi tahukah kita perasaan, emosi dan suasana yang dilalui sahabat? Senang ke nak berjalan di padang sahara? Dengan sangat excited, dia bercerita malam itu. Dia menyebut tentang satu buku tapi saya gagal menangkapnya malam itu.

Beberapa hari yang lepas, saya bertemunya di kampus dan bertanyakan tentang buku tersebut. Tajuk buku tersebut adalah Futuhusham. Buku miliknya masih ada di dalam kargo. Dia baru sahaja pulang ke Malaysia dan barang miliknya masih belum tiba. Sedih juga sebab memang rasa nak sangat baca buku itu.

Tapi janji Allah memang benar!

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami... (QS. 29:69)


Kalau kita nak, mesti Allah beri kan? Jumpa e-book buku ini. Boleh download di sini.

Benar seperti kata murabbiyah tersebut. Kalau dah start membaca buku ini, tidak boleh berhenti. Meskipun pagi ini saya exam, semalam malam pun masih sempat membaca. Posting emergency medicine memang memenatkan tapi saat membaca buku ini, kekuatan itu mengalir. Esok dua hari juga masih punya program dan masih ada lagi kelas. Tapi insya Allah, roh buku ini membasahkan saya kembali.

Ramai sahabat saya yang mungkin tidak berpuas hati dengan program-program tarbiah yang terlalu banyak sedang Professional Exam tidak sampai sebulan pun lagi. Saya sendiri pun rasa kelelahan yang amat. Tapi Allah menguatkan saya semula dengan buku ini.

Tentang buku ini, saya mencari mengenai penulisnya. Sedih sangat baca kenyataan di Wikipedia:

Imam Shafi'i says that,"The books written by Al-Waqidi are nothing but heaps of lies".


Saya tidak berpuas hati. Alhamdulillah, Allah tunjukkan satu website yang membersihkan nama penulis ini. Seorang yang thiqah pastinya.

Saya baru membaca beberapa helai tapi rasa nak berkongsi sangat kat sini bahagian-bahagian yang menyentuh hati saya. Percayalah, setiap muka surat buku ini ada aura dan roh yang tidak mampu digambarkan. Saya percaya musuh-musuh Islam tidak ingin sesaat pun kita membaca buku-buku seperti ini.

Sahabat-sahabat tidak penat ke? Sahabat-sahabat pun penat. Buku ini mengajar kita sahabat pun sama seperti kita. Sahabat adalah manusia. Tapi Allah berikan mereka izzah dan kekuatan dengan Islam. Ada satu bahagian itu, diceritakan bagaimana perjalanan mereka itu sehingga unta dan kuda yang mereka bawa menjadi kurus. Air dan bekalan makanan kehabisan. Khalid Al Walid pun tanya kat Rafi’ AlUmayrah pendapat. Dan Rafi’ pun melakukan sesuatu. Dia biarkan 30 unta kehausan selama 7 hari dan kemudian baru beri minum. Unta boleh menyimpan air dipunuknya dan Allah memang ciptakan unta boleh bertahan di sahara. Dan bila keadaan dah sangat mendesak, sahabat-sahabat sembelih 10 ekor unta. Air dari unta ini mereka berikan pada kuda, dan daging unta itu untuk dimakan. Dan hal ini berlaku sehingga unta yang terakhir.

Mereka meneruskan perjalanan tapi akhirnya air yang mereka ada kehabisan dan Khalid Al Walid kerisauan, rasa ketakutan bahawa mereka akan berakhir dengan kematian sebab sumber air tetap tidak dijumpai. Dia tanya Rafi’ sekali lagi. Rafi’ kata tunggu sampai mereka tiba di Qaraqir dan Sawa. Dalam perjalanan menuju Qaraqir dan Sawa, ada sahabat yang tertinggal sebab memang betul-betul tidak larat. Bila sampai di Qaraqir dan Sawa, Rafi’ jumpa pokok Arak dan melaungkan Allahu Akbar dan minta sahabat mula menggali dan air keluar memancut-mancut. Mereka berikan air tersebut pada binatang tunggangan. Sebahagian pula menghantar air pada sahabat yang tertinggal di belakang dan akhirnya mereka bersatu kembali.

Masya Allah! Hebat kan? Kita ingat senang je sahabat-sahabat buka kota-kota itu kan? Tapi tidak. Mereka berjuang sehingga nyaris mati. Penat sampai dah tidak boleh bangun lagi tapi masih meneruskan perjalanan. Baca kisah ini, rasa macam nak ludah je muka sendiri. Letih sedikit dah rasa tidak larat. Malu sangat dengan sahabat.

Ada satu part itu pula diceritakan bagaimana ada seorang pemuda misteri yang tiba-tiba mengharungi tentera Rom. Hebat sangat pemuda itu. Mengharungi musuh tanpa ada ketakutan. Skill dia memang hebat gila. Mukanya ditutup. Semua orang cakap, mesti dia Khalid AlWalid. Tapi bukan Khalid AlWalid sebab Khalid ada je dengan sahabat-sahabat lain. Semua orang pergi tanya kat dia tapi dia tak nak jawab. Bila Khalid AlWalid jumpa dia, baru dia beritahu. Dialah Khawlah, seorang wanita. Menangis Khalid saat itu. Khawlah nak sangat bebaskan abang dia, Dhirar. Dan saat Khalid hantar Rafi’ ke Hims untuk bebaskan Dhirar, Khalid benarkan Khawlah turut serta.

Hebat kan seorang wanita Islam? Kita ini pula lembik sangat. Malunyaaa..

Semangat gila baca buku ini. Kalau boleh nak pergi beritahu semua orang untuk baca buku ini.

Bacalah ye...Dalam muqaddimah buku ini, diceritakan bagaimana Hindu ekstremis pun baca buku ini. Huhu..

Ada peta dalam beberapa muka surat terawal, dan ditulis di peta tersebut:

Note the thousands of kilometres of harsh, empty desert the Sahabat crossed to bring us this deen.


Moga kita mengerti betapa mahalnya Islam yang kita pegang hari ini.

Monday, November 22, 2010

2:30 & 51:56

Terkadang terlalu sukar member kefahaman kepada manusia. Memberi tahu mudah, memberi faham sukar. Dan aku bermuhasabah kembali. Menulis ini tujuannya memberi tahu atau memberi faham?

Apa yang kita fahami, itulah juga yang kita ajarkan pada manusia lain. Dan terkadang kita tersilap. Saat dianalisis, rupanya kefahaman kita juga tersilap. Aku berikan contoh pengalamanku sendiri. Aku berkongsi dengan adik-adik kisah ghulam. Lantas saat adik-adik diuji kefahaman mereka, mereka mengatakan bahawa mereka mahu menjadi doktor yang hebat untuk islam, belajar sihir demi menyihir hati manusia kepada islam.

Lantas aku dimuhasabah. Terima kasih kak! Terlalu lama merindui insan yang sudi memuhasabah diri ini. Kata akak, kalau adik-adik masih menyebut ‘doktor’ sebagai misi terbesar mereka, maka silaplah. Tidak kira istilahnya, ‘dokor Islam’, ‘doktor akhirat’ atau apa-apa sahaja.

Kata akak-akak, adik-adik perlu bulat dan faham sepenuhnya maksud khalifah (2:30) dan ibadah (51:56). Faham dengan hati bahawa itulah misi terbesar mereka. Bagai seorang ibu yang bekerja, tidak kira oncall, tidak kira kerja, tidak kira ke hulu ke hilir, tetap tidak lupa peranannya sebagai ibu. Walau sesibuk mana sekalipun, si ibu akan tetap menjaga kebajikan anaknya. Kita mahu melahirkan insan sebegitu. Insan yang mengalir di setiap urat darahnya, di setiap celah-celah selnya, di setiap tulang belulangnya bahawa misi terbesar mereka adalah khalifah (2:30) dan ibadah (51:56). Tidak lupa-lupa itulah tugas mereka.

Bagai ghulam. Saat beberapa kali terselamat, dia masih tidak melarikan diri. Dia kembali. Misinya ke atas muka bumi Allah perlu dilunasi. Tidak membesar-besarkan kerja sihir tersebut, sebaliknya di setiap perjalanan hidupnya dipenuhi dengan misi khalifah (2:30) dan ibadah (51:56). Mengalir di seluruh tubuhnya dua misi utama hidupnya.

Kenapa kita selalunya hanya dapat memberi tahu dan bukan memberi faham? Kerana kita juga hanya tahu dan tidak memahami. Belum mengalir di setiap urat darah kita, kecintaan yang 100% pada dakwah. Kita belum hidup dengan dakwah, lantas mungkinkah kita memahamkan manusia lain?

Aku dimuhasabah lagi. “Kak, kenapa benda yang kita tahu masih gagal untuk kita sampaikan? Kenapa benda itu tidak sampai pada hati-hati manusia?” Jujur akak memberitahu, “Kerana awak pun tidak settle lagi. Ada benda-benda dalam diri awak yang tidak settle lagi”.

Saat aku merefleksi kata-kata itu semula, aku akan menangis. Banyak lagi yang aku tidak settle. Saat aku tidak dihidang dengan Jahiliah, aku kuat. Saat aku dihamparkan dengan permaidani Jahiliah, aku masih hanyut.

Terlalu sukar merentasi jalan dakwah. Itulah sebabnya perjalanan ini terlalu panjang. Untuk membersihkan diri yang penuh dengan karat Jahiliah itu sukar. Perlu mengambil masa.

Lantas, adakah kerana ketidaksempurnaan itu kau mahu berhenti? Tidak. Kita hanya akan belajar dengan terus bertatih di jalan ini. Berbuatlah dan Allah akan terus menuntuni.

Semalam aku hadami kisah Abu Dzar AlGhifari. Saat dia menerima Islam sebagai deen, dia tidak sabar-sabar untuk mengkhabarkan keislamannya. Dan dia dibelasah. Dia tidak kisah. Iman itu tidak menyorok di dalam hati. Iman itu pelita,mahu menyinari hati-hati yang lain.

Pernah dengar kisah pembukaan Syria? Sahabat juga manusia. Dikhabarkan bagaimana ada sahabat yang mahu ke Syria kerana makanan yang ada di sana sedap. Tapi tetap di hati menjunjung tugas khalifah (2:30) dan ibadah (51:56) sepenuh hati. Sanggup merentasi padang sahara. Kalau sahabat pergi, sahabat angkut semua barang-barang mereka. Tidak tinggal satu pun di kampung halaman. Sebabnya sahabat tidak pernah pasti adakah mereka akan kembali. Kenapa sahabat sanggup melakukan semua itu? Sebab di dalam hati mereka, Islam menyala-nyala. Rasa excited sangat untuk sampaikan pada yang lain. Nak sangat semua orang menikmati nikmat iman dan hidayah sepertimana mereka.

Pernah dengar tentang Ummu Banin? Aku juga tidak pernah mendengar tentangnya. Kata seorang murabbi, kami kurang membaca. Ummu Banin adalah pencetus pembinaan R&R. Dia mengarahkan pembinaan R&R di sepanjang perjalanan menuju Syria walau apa jua kosnya. Bukan seperti kita yang mahu berehat-rehat melepaskan penat dalam perjalanan percutian di R&R. Tapi sahabat-sahabat menggunakan R&R itu sebagai kawasan rehat setelah berpenat-penat melakukan tugas khalifah (2:30) dan ibadah (51:56).

Aku tidak pernah belajar di luar negara. Pasti yang pernah belajar di luar negara pernah mendapat perkhabaran tentang tiket murah untuk pulang ke tanah air. Lantas dikhabar-khabarkan pada semua tentang tiket murah itu. Tapi kenapa kita tidak pernah mengkhabarkan pada insan lain tentang tiket ke syurga Allah? Kenapa kita tidak excited nak beritahu insan lain tiket ke syurga Allah?

Pernah lihat pengawas di sekolah? Mereka sangat hebat kan? Pastinya pelajar yang hebat sehingga dianugerahkan pangkat sebegitu rupa. Dan mereka mengawas sekolah. Dapat bayangkan bila mereka tidak melakukan tugasan mereka? Dapat bayangkan bila mereka berkata, “Aku tidak mampu. Aku tidak boleh”. Kucar kacir jadinya sekolah.

Duhai insan, begitulah analoginya tanggungjawab kita. Allah muliakan kita dengan tugas khalifah (2:30) dan ibadah (51:56). Tapi sayang, kita insan yang mengatakan ‘tidak mampu’, ‘tidak kuat’ saat melihat Palestina dibantai, saat melihat hukum-hukum Allah dirobek. Di mana kita hari ini? Selagi tugas khalifah (2:30) dan ibadah (51:56) belum bersemadi sepenuhnya dalam urat darah kita, selagi itulah kita akan diinjak-injak.

Wednesday, November 17, 2010

Adha...

Pernah dengar hadis ini tak? Awak carilah ye. Tidak pun tanya mana-mana orang alim. Saya tiada ilmu, cuma pernah bincang hadis ini. Tapi semasa mukhayyam baru-baru ini, saya diberi tasawwur yang berbeza mengenai hadis ini. Awak bacalah dulu hadis ini. Di hujungnya nanti, baru saya beritahu.

Dalam suatu hadis riwayat Muslim diriwayatkan, dari Abu Hurairah mendengar Rasulullah bersabda : 3 golongan orang yang pertama kali diadili di hari kiamat adalah : golongan syuhada, golongan orang-orang yang belajar dan mengajar ilmu agama serta sering membaca al quran, dan golongan orang kaya yang diberi banyak harta.

Diceritakan dalam hadis tersebut bagaimana Allah menunjukan kenikmatan–kenikmatan pada tiap golongan itu dan merekapun mengenali kenikmatan tersebut. Kemudian Allah bertanya apa yang mereka lakukan dengan kenikmatan tersebut...

Golongan syuhada berkata mereka berperang untuk mencari redha Allah, golongan ulama berkata mereka belajar dan mengajar agama untuk mendapatkan redha Allah, dan golongan orang kaya berkata mereka tidak akan membiarkan ada jalan yang tidak mereka sedekahi juga demi mengejar redha allah. Namun apa jawaban Allah?? “KALIAN BERDUSTA!!!!!”

Allah yang Maha Mengetahui isi hati tahu benar ketika para syuhada berperang, mereka ingin mendapatkan title syuhada, dan mereka telah mendapatkannya di dunia. Ketika ulama dan qari mempelajari, membaca dan mengajar al quran demi mendapatkan penilaian baik dari manusia dan mereka telah mendapatkannya di dunia dengan gelaran ulama, ustaz, dan sebagainya. Allah mengetahui isi hati orang kaya yang berinfaq dalam rangka mendapatkan title dermawan di dunia dan mereka telah mendapatkannya. Kemudian Allah menyuruh malaikat menyeret mereka di atas wajahnya dan melemparkannya ke dalam neraka.

Setiap kali membicarakan hadis ini, kita kegerunan kan? Takut sangat Allah tidak menerima amalan kita.

Tapi semasa mukhayyam, seorang murabbiyah memberitahu kami sesuatu. Awak pernah belajar dengan mana-mana best student tak? Diorang selalu dapat markah yang baik kan? Pernah awak tengok diorang dapat markah yang kurang baik tak, misalnya C? Kalau diorang dapat C, mesti kita rasa kita fail kan?

Cuba awak bayangkan perasaan itu saat melihat pengadilan Allah. Begitulah analogi hadis ini. Orang-orang yang di hadapan awak, yang semuanya excellent pun fail hari itu, awak rasa nasib awak pula camane?Mesti lagi teruk kan? Dapat bayangkan perasaan pada hari pengadilan Allah itu?

Lain itu, dah tahu teruk, masih lagi nak main-main di dunia ini? Bekerjalah.

Oh, hari ini hari raya aidil adha. Eid Mubarak! Saya nak beritahu awak satu kisah benar.

Dulu semasa saya sekolah, ada seorang pelajar ini. Anak guru sekolah saya. Nama dia Zul. Saya tidak ingat nama penuh dia. Dia ini hebatlah. Setiap kali perhimpunan, dia akan membacakan ayat-ayat Allah. Kiranya dia ini antara pelajar yang popular disebabkan kehebatannya membaca AlQuran. Dia menang banyak kali rasanya dalam pertandingan qari dan lain-lain.

Lama saya tidak dengar khabar dia. Rupanya dia dah jadi hafiz AlQuran. Saya tak tahu detail ceritanya. Adalah jabatan di Johor ini yang memberikannya tiket menunaikan haji. Awak tahu apa dia buat? Dia hadiahkan tiket tersebut untuk ibunya. Semasa hari wukuf di Arafah baru-baru ini, saat ayah dan ibunya di bumi Mekah menunaikan ibadah haji, Zul kemalangan dan meninggal di bumi Malaysia.

Sayu sangat dengar cerita ini. Dia pergi dalam keadaan baik. Allah panggil orang-orang yang baik pergi menghadapnya. Kita?

Eh, cerita sedihlah pula. Ala kulli hal, Eid Mubarak! Maaf, entri ini tidak tersusun.

Saturday, November 13, 2010

Ilah...


Antara tahu dan faham, kedua-duanya berbeza kan? Kita boleh tahu banyak benda, tapi untuk memahami mungkin mengambil masa. Pengalaman hidup mengajar saya begitu. Allah menciptakan jalan takdir yang indah untuk saya memahami ayat-ayat Allah. Dan saat ayat-ayat ini hadir dalam kehidupan saya dan memberikan nafas dalam segenap jiwa raga saya, saya rasakan bahawa Allah terlalu menyayangi.

Tadi kami berusrah. Tidak sangka akak tanyakan kami soalan tersebut, “Apa perkara yang paling sukar untuk ditinggalkan dan selalu bermain di hati?” Air mata begitu laju menitis. Hebatnya ilham yang Allah berikan buat si akak. Seakan-akan memahami segala yang bergejolak di lubuk hati kami. Ada adik yang sukar untuk meninggalkan cerita Korea. Saya cuma memberitahu masalah hati sendiri. Saya terlalu sukar untuk meredhai. Hati saya yang selalu tidak redha ini terlalu sukar untuk saya kawali.

Pagi tadi misalnya, saya dikritik hebat oleh pensyarah tentang presentation saya. Frustnya. Dah cuba sedaya mampu untuk memberikan yang terbaik namun masih sukar memuaskan hati pensyarah. Kita tahu teorinya bahawa Allah melihat usaha dan tidak melihat hasil, namun saat kita melaluinya, masih ada sekelumit hati yang tidak meredhai.

Kita tahu bahawa Allah hanya menjanjikan yang terbaik namun hati sering sukar untuk akur, bukan?

Kami mentadabburi Surah Annas. Kata akak, mungkin saya akan kebosanan. Tidak sesekali Quran membosankan kan? Walaupun surah itu pernah kita tadabburi, tapi Allah sentiasa akan memberi nafas cinta yang begitu mendesah dalam setiap kalamNya kan?

Dan benar. Saya belajar banyak perkara. Akak tanyakan kami maksud rabb, malik dan ilah yang terkandung dalam ayat 1 hingga 3. Itu adalah revisi bagi saya. Dan akak sebutkan kembali maksud ilah. Benarkah Allah menjadi ilah kita 24 jam sehari? Mungkin cerita Korea yang menjadi ilah kita kan? Contoh lain lagi, macam buku akademik. Kata pensyarah, nak jawab peperiksaan kena pakai buku yang namanya X. Kita pula tiada buku itu. Dan kita rasa macam tidak boleh hidup kan tanpa buku itu kan? Halus kan perasaan itu? Tapi hakikatnya buku itulah Ilah kita saat itu. Kita rasa pergantungan sangat dengan buku itu sedangkan sepatutnya pergantungan kita pada Allah adalah 100% kan? Kata akak, kalau dah benda-benda kecil itu pun tidak settle, apatah lagi benda lain kan? Mendalam kan maksud ilah? Itu sebabnya dalam Quran, disebutkan juga manusia yang menjadikan nafsunya sebagai ilah.

Sudahkah engkau melihat orang yang menjadikan keinginannya sebagai tuhannya. Apakah engkau akan menjadi pelindungnya? (Surah AlFurqan: 43)

Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah membiarkannya sesat? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran? (Surah AlJasiyah: 23)


Teliti hati sendiri. Berapa kali kita membiarkan hati dan perasaan kita bermaharajalela kan? Kita biarkan hati dan perasaan kita menjadi Ilah. Peringatan yang terlalu bermanfaat untuk diri ini.

Dan kita berlindung dengan Rabbinnass, Malikinnas, Ilahinnas di dalam surah ini. Kata akak, andai kita membaca Fi ZIlalil Quran, Assyahid Syed Qutb membawakan pengertian yang begitu mendalam. Kata assyahid, seakan-akan Allah mengajak kita bersungguh-sungguh untuk berlindung di bawahNya. Seperti anak kecil yang ketakutan melihat guruh, maka ibunya memanggilnya agar duduk bersama si ibu di bawah selimut. Mesti anak kecil itu bahagia dan tiada ketakutan lagi di hatinya. Itulah yang diajarkan oleh surah ini. Siapa yang mengambil Allah sebagai pelindungnya, maka tiada lagi kesedihan dan kebimbangan di dalam hatinya.

Masya Allah, hebat kan surah ini? Sebabnya bukan senang nak bertarung dengan bisikan-bisikan yang datang. Bukan senang untuk bertarung dengan godaan yang ada di dalam hati. Hanya Allah sahaja yang sebaik-baik tempat untuk kita bersandar.

Ya Allah, buangkan ilah-ilah yang ada di dalam hatiku selain diriMu…

Banyak lagi point akak yang menyentuh hati saya, antaranya:

1) Masa adalah penawar.

2) Tidak semestinya orang yang lambat di atas jalan dakwah dan tarbiah, tidak akan sampai ke garisan penamat. Dan tidak semestinya orang yang laju di atas jalan dakwah dan tarbiah akan sampai ke garisan penamat.

Izinkan aku untuk sampai ke garisan penamat, ya Allah. Izinkan aku mengecap syahid di jalanMu. Kurniakan aku wildanun mukhalladun. Dan izinkan aku untuk menatap wajahMu ya Rabb yang menghilangkan segala kesusahan yang pernah aku lalui di dunia ini.

Tulisan dulu-dulu tentang Surah Annas - Klik sini.

Wednesday, November 10, 2010

Tanah...

tanah yang buruk = tanaman yang buruk
tanah yang baik = tanaman yang subur

Dan tanah yang baik, tanam-tanamannya tumbuh subur dengan izin Tuhan, dan tanah yang buruk, tanam-tanamannya yang tumbuh merana. Demikianlah kami menjelaskan berulang-ulang tanda-tanda (kebesaran Kami) bagi orang-orang yang bersyukur. (Surah Al A’araf: 58)


Sayu sangat baca ayat-ayat Allah ini. Setiap saat diri ini melakukan dosa. Dan sebenarnya aku terlalu bimbang dengan anak-anak jagaan, mutarabbi sendiri. Bimbang kitalah tanah yang tidak baik yang menghasilkan tanam-tanaman yang buruk. Nauzubillah..

Sedih sangat mengenangkan dosa-dosa sendiri. Bimbang diri menjadi asbab menghalang hidayah Allah dari menitis ke dalam qalbu mereka yang berada di jalan ini. Seringkali aku menjadi takut untuk berbicara, mendidik mutarabbi, apatah lagi menjadi penyampai.

Jujur diri ini bimbang dengan dosa-dosa yang dilakukan. Ya Rabb, usahlah Kau menghalang hidayahmu dari membasahi hati-hati mereka lantaran dosa-dosaku.

Ampuni aku ya Rabb. Jagalah aibku ya Rabb.

Sunday, November 07, 2010

Wa la tajassasu...


49:12 O ye who believe! Avoid suspicion as much (as possible): for suspicion in some cases is a sin: And spy not on each other behind their backs. Would any of you like to eat the flesh of his dead brother? Nay, ye would abhor it...But fear Allah. For Allah is Oft-Returning, Most Merciful.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (49: 12)


Untuk saya memahami ayat Allah ini, Allah kurniakan saya pengalaman yang sangat menyakitkan 3 tahun yang lalu. Baik-baik mahu mencegah maksiat, saya tercampak ke dalam kesalahan mencari-cari keaiban saudara sendiri. Saat mendengar tafsir ini oleh Ustaz Zahazan, saya rasa bersalah sangat. Dan saya meminta maaf kepada seorang teman.

Wa la tajassasu. And spy not on each other behind their backs. Mudah kan Islam? Tidak perlu pun awak susah-susah mengintip atau mencari kesalahan orang. Sakit kepala je tahu dosa orang. Sakit kepala je fikir banyak-banyak tulisan orang.

Pelik sangat masa diberitahu oleh pensyarah, usah menulis sesuatu yang mencemarkan nama kolej di blog. Ada kes yang mana seorang pensyarah memberitahu pihak atasan mengenai blog seorang pelajar yang menulis hal bukan-bukan.

Saat diberi amaran, terpaksa juga saya edit dan save as draft beberapa tulisan. ‘Ala kulli hal, saya tidak pernah mengaku saya belajar di mana. Saya rasa pelik. Saya pelik sebab hal mengintip kesalahan ini berlaku di kalangan golongan professional. Kan senang kalau kita tidak fikirkan sangat tulisan orang atau aib orang?

Dunia maya ini mengajar kita untuk tajassasu, mengintip aib orang. Jujurnya saya memakai Statcounter di blog untuk memberi saya idea mengenai penerimaan pengunjung blog ini. Sedikit sebanyak saya tahu mengenai pengunjung blog ini dan memang ada beberapa entri yang naik trafiknya. Pelik kan? Bertahun-tahun saya menulis, orang tetap nak fokus entri yang mungkin saya tulis dalam emosi.

Kadang ada orang yang suka forwardkan link-link website yang menghina Islam, sesat dan lain-lain. Pada saya manusia-manusia ini tidak bijak. Sebenarnya tidak semua website atau blog adalah popular. Malah website dan blog ini tidak menduduki traffic yang tinggi di laman-laman pencarian seperti Google dan lainnya. Blog dan website yang popular adalah kerana trafik pengunjung. Siapa yang menaikkan traffic blog dan website ini? Mereka yang tiada kerja, suka tajassasu, mencari-cari aib orang. Tidak pun nak cegah sangat maksiat dan kemungkaran, terlupa yang sepatutnya kita fokus pada menggalakkan kebaikan. Kan best kalau traffic website dan blog yang baik meningkat? Bolehlah kebaikan itu menghapuskan keburukan.

Pening fikirkan manusia. Allah baik-baik ajar kita kebaikan. Beri kita kerja yang mudah. Tidak perlu tahu pun kesalahan orang, kalau boleh menutup kesalahan orang seperti asma Allah, Assitteer. Tapi tetap juga manusia ini suka sangat buat benda yang Allah tidak suka kan? Ramai yang tulis kebaikan, tidak pula diforward-forwardkan. Benda yang kecil-kecil itu jugalah yang manusia suka.

…Would any of you like to eat the flesh of his dead brother? Nay, ye would abhor it...But fear Allah. For Allah is Oft-Returning, Most Merciful. (49: 12)


Itu ayat-ayat Allah. Bukan saya cakap. Bukan dunia realiti sahaja awak perlu baik. Kalau boleh, biarlah dalam dunia maya juga. Saya percaya blog pelajar itu pun tidak popular, tapi popular sebab tajassasu.

Dunia maya ini ibarat lautan. Kalau melayarinya tanpa bersama Allah, tenggelam dan karamlah jawapannya.

….fear Allah. For Allah is Oft-Returning, Most Merciful. (49: 12)


Suka sangat entri di blog Imam Suhaib Webb tentang asma Allah, Assitteer. Belajarlah tentang kebaikan dalam tulisan tersebut. Kalau nak marah saya sebab cakap direct sangat, saya rasa salah. Sebab saya cuma beritahu ayat-ayat Allah je kan? Nak marah Allah ke?

Saturday, November 06, 2010

Lega...

Lega sangat bila posting internal medicine untuk semester 9 dah berakhir. Semalam bila dapat bersama dengan akhawat semula dalam meeting tarbiah, hati saya puas. Rasa baru dapat bernafas kembali. Rasa seolah hidup kembali. Dakwah adalah kehidupan kita kan?

Semalam edit semula entri kupasan hadis ghulam. Diberi nafas baru mengenai kisah ghulam. Dalam hadis tersebut, ghulam tidak disuruh sesekali untuk berhenti belajar sihir oleh si rahib. Malah dalam keadaan yang terdesak pun, si rahib hanya meminta ghulam ‘menipu’ sahaja.

Saya amat berharap ilmu perubatan yang saya kejar itu dapat saya manfaatkan sepenuhnya untuk Islam. Persis ghulam. Ghulam belajar ilmu sihir itu dengan matlamat yang benar. Matlamatnya apa? Perjuangan aqidah yang hak. Hatta sehingga akhir hayatnya. Kalau kita tidak faham matlamat hidup kita, jadilah kita tukang sihir selama-lamanya. Jadilah kita doktor yang tidak pernah tahu tujuan penciptaannya. Dan kita akan terus diperkudakan. Macam orang Indonesia yang tolong bina KLCC itu. Dia buat kerja susah-susah, tapi orang lain dapat nama. Dia dipergunakan.

Ghulam bukan begitu. Sihirnya menyebabkan dirinya hebat. Hatta memperkudakan sang raja. Dia arahkan raja buat macam-macam semata-mata nak membolehkan raja membunuh dirinya. Tapi bukan tujuannya nak mati sia-sia. Dia memperkudakan raja agar perjuangan aqidah itu sampai kepada matlamatnya. Di hadapan semua manusia, kalimah tauhid itu berjaya ditegakkan. Kita pun perlu begitu. Jadi doktor yang hebat. Tujuannya semata-mata agar perjuangan aqidah ini sampai kepada matlamatnya. Agar Islam ini mencapai ustaziatul alam.

Saya mahu begitu. Pagi ini ada kelas lagi. 6 minggu lagi Professional Exam 2. Semester 9 akan berakhir. Semangat belajar! Semangat juga untuk kerja-kerja dakwah! Minggu depan, mukhayyam adik-adik. Semangat!

Minggu lepas saya baca tafsir Fi Zilalil Quran Surah AlInsyiqaaq. Dan saya menangis. Hebat tulisan Assyahid Syed Qutb. Kata teman, dia tidak faham tulisan Assyahid. Entahlah, bagi saya tulisan Assyahid adalah tulisan yang paling dekat di hati sanubari saya. Seolah-olah bicaranya seakan memahami gelora di jiwa. Kata akak, kita ini hidup kena selalu brainwash dengan Quran. Kalau tidak dibrainwash dengan Quran, nescaya dibrainwash dengan benda lain. Pernah saya cakap dengan akak mengenai sebuah buku haraki. Saya kata tidak faham. Akak kata, kalau saya masih di jalan ini dan jelas dari segi fikrah, nescaya saya akan memahami buku tersebut.

Saya kongsikan sedikit tafsiran ayat 6 Surah AlInsyiqaq.
“Wahai manusia” yang telah dijadikan Allah dengan limpah ihsanNya, dan dikurniakan dengan sifat insaniyah yang menjadikannya satu makluk yang unik di alam ini, juga dengan sifat-sifat yang sepatutnya boleh menjadikannya satu makhluk yang lebih mengenali Allah dan lebih mematuhi Allah dari langit dan bumi. Allah meniupkan roh ciptaanNya pada manusia dan melengkapkanNya dengan daya kebolehan untuk berhubung denganNya dan untuk menerima pancarah nur dariNya. Manusia juga telah dikurniakan kesediaan untuk menerima limpah hidayahNya supaya ia dapat membersihkan dirinya dan meningkat naik setinggi-tingginya hingga sampai ke darjat yang sempurna yang direncanakan Allah untuk umat manusia, dan ufuk-ufuk kesempurnaan ini amatlah tinggi dan jauh.
Maksudnya, wahai insan! Engkau berpenat lelah meredah jalan pengembaraan hidupmu, engkau berpenat lelah memikul beban dan tanggunganmu, engkat berpenat lelah berusaha dan berjuang dan engkau berpenat lelah berjalan untuk sampai kepada Allah di akhir perjalananmu. Ya, engkau akan pulang kepada Allah setelah engkau berpenat lelah dalam hidupmu.

Wahai insan, engkau terpaksa berpenat lelah walaupun untuk mencapai kenikmatan dan kesenangan hidupmu. Engkau tidak akan mencapai kenikmatan itu di bumi ini melainkan dengan kesungguhan bekerja dan berpenat lelah berusaha, sama ada kepenatan tubuh badan dan kerja kuat atau kepenatan berfikir dan meluah perasaan. Pengalaman sedemikian dialami oleh semua orang yang berada atau orang yang tidak berada. Cuma yang berbeza ialah jenis kesungguhan bekerja dan kepenatan yang dialaminya. Oleh itu, kepenatan dan kejerihan itu merupakan suatu hakikat yang tetap dalam kehidupan manusia. Kemudian seluruh manusia akan mengakhiri penjelajahan hidupnya dengan kepulangan kepada Allah.

Wahai insan! Engkau tidak akan menemui kerehatan di muka bumi ini buat selama-lamanya. Kerehatan ini hanya berada di akhirat untuk mereka yang patuh dan menyerah diri kepada Allah. Kepenatan dan kejerihan hanya satu sahaja di bumi dalam kehidupan dunia walaupun berlainan warna dan rasa, tetapi akhirnya berlain-lainan apabila engkau sampai kepada Tuhanmu. Di sana ada orang yang menerima kepenatan dan kesusahan yang mengatasi segala kepenatan dan kesusahan di muka bumi ini, dan ada orang yang menerima kenikmatan yang menghapuskan segala penderitaan yang pedih dan jerih yang dialaminya di bumi ini seolah-olah ia tidak pernah mengalami kepenatan dan kejerihan.

Wahai insan yang dikurniakan dengan sifat-sifat kemanusiaan yang istimewa! Pilihlah untuk dirimu jalan yang layak dan sesuai dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan Allah kepadamu! Pilihlah jalan yang memberi kerehatan kepadamu dari segala kepenatan semasa engkau menemui Allah kelak.

Saturday, October 30, 2010

Cemas...


Semalam saya ikut ward round. Dan tiba-tiba ada patient collapse. Doktor pun kelam kabut. Buat CPR dan macam-macam lagi. Tapi akhirnya pesakit itu mati. Pesakit itu cina. Hisap heroin lagi. Dalam wad pun dan dalam keadaan nazak itu, masih hisap heroin lagi. Mak dia bekalkan heroin itu. Kawan saya ternampak dan memberitahu doktor. Pesakit itu ingatkan dengan hisap heroin itu, kematiannya akan menjadi mudah. Semua orang macam frust dengan pesakit itu. Abaikan, bukan tugas kita untuk mengadili. Sebagai doktor, mahu atau tidak, kena juga selamatkan pesakit sebegini. Buat sedaya mampu.

Saya melihat permandangan yang agak kelam kabut itu dari mula lagi. Macam-macam perkara yang bermain di fikiran. Semalam saya bentangkan tafsir surah AlQiyamah semasa usrah. Dan tafsir ini seolah-olah begitu dekat dengan saya lantaran pengalaman yang Allah berikan itu.

Jom lihat tafsir Fi Zilalil Quran ayat 26-30 Surah AlQiyamah. Saat membaca tafsir ini, hati saya menjadi hiba. Segala yang ditulis oleh Assyahid Syed Qutb sememangnya benar. CPR dan segala macam usaha yang dilakukan oleh doktor tidak mampu menyelamatkan pesakit tersebut. Alangkah ngerinya hakikat maut itu.

Jika kekuatan permandangan-permandangan Qiamat dan kesannya di dalam hati diambil dari kekuatan hakikat yang tersembunyi di dalam permandangan-permandangan itu sendiri, di samping diambil dari kekuatan penyampaian AlQuran yang membuat permandangan-permandangan itu seolah-olah hidup, maka surah ini selepas menayangkan permandangan itu, menayangkan pula satu permandangan yang lain dari jarak yang amat dekat seolah-olah terjelma di hadapan mata iaitu permandangan yang sentiasa wujud dan berlaku berulang-ulang kali. Permandangan ini dihadapi oleh manusia pada setiap detik yang dilalui mereka di bumi ini, permandangan ini menerjah mereka dengan kuat, jelas dan berat.

Itulah permandangan maut yang menjadi titik kesudahan bagi setiap yang hidup. Tiada yang hidup dapat mempertahankan dirinya dari maut dan tidak pula dapat mempertahankan maut dari orang lain. Maut yang memisahkan di antara kekasih-kekasih, maut yang terus berlalu tanpa berhenti dan tanpa berpaling, maut yang tidak menghiraukan jerit pekik orang yang susah, tidak mempedulikan hasrat dan harapan orang yang berpisah, tidak mengindahkan keinginan orang yang bercita-cita, dan ketakutan orang yang takut. Maut yang menumbangkan gergasi-gergasi semudah ia menumbangkan orang-orang kerdil. Maut yang menumpaskan orang-orang yang berkuasa sama seperti ia menumpaskan orang-orang yang lemah. Maut yang tidak dapat dihadapi manusia dengan tipu dayanya, tetapi walaupun itulah sifat-sifat maut, namun manusia tidak mahu memikirkan kuasa agung yang menjalankannya.

Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong, (75: 26)

Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: “Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?” (75: 27)

Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan; (75: 28)

Serta kedahsyatan bertindih-tindih; (75: 29)

Itulah permandangan orang-orang yang sedang menghadapi naza’ maut yang digambarkan oleh AlQuran dengan begitu hidup seolah-olah terbentang di depan mata. “Tidak sekali-kali begitu, apabila nyawa sampai ke pangkal dada”, yakni apabila roh sudah sampai ke halqum, maka itulah naza’ yang terakhir. Itulah detik-detik kesengsaraan maut yang membingung dan membeliakkan mata. Sekalian yang hadir di sekelilingnua memandang satu sama lain dan mencari ikhtiar menyelamat roh yang menderita itu. “Lalu ditanya: siapakah yang boleh menyembuhkannya?” Semoga ada jampi yang berguna untuk menyelamatkannya dari kesengsaraan dan naza’ maut. “Lalu berpautlah betis (kanan) dengan betis (kiri)”, tetapi segala ikhtiar itu sia-sia dan tidak beruapaya untuk menahankan kedatangan maut. Hanya satu jalan sahaja yang kelihatan iaitu jalan penghabisan yang membawa setiap yang hidup kepada Tuhannya.

Pada hari itu, (seluruh manusia) dibawa kepada Tuhanmu. (75: 30)

Gambaran maut itu begitu hidup, seolah-olah begerak dan bercakap. Setiap ayat melukiskan gerak geri dan permandangan yang membuat keadaan hampir mati itu terlukis begitu jelas dengan suasana-suasana cemas, bingung, terharu menghadapi hakikat yang kejam dan pahit yang tidak dapat ditolak dan dielakkan itu. Kemudian berlakulah penghabisan yang tidak dapat dihindari.


Gerunnya hati ini memikirkan hakikat maut itu……

Golongan...

Saya tahu terkadang tulisan saya seakan keanak-anakan. Tapi tulisan-tulisan tersebut menguatkan saya semula dengan izinNya. Malah tulisan-tulisan yang lama itu adalah muhasabah bagi saya. Terkadang saya di atas, dan terkadang pula saya di bawah. Merangkak menyusuri kehidupan adalah persis air sungai yang mengalir. Terkadang tenang dan terkadang deras alirannya. Kehidupan dakwah dan tarbiah juga begitu. Adakalanya nikmat di jalan ini umpama angin bayu yang mengasyikkan, terkadang jalan ini juga menggerunkan hati saat dilandai angin kencang.

Di saat kita bahagia, jangan lupa Allah. Saat kita berasa nikmat dengan tarbiah, berdoalah agar Allah menthabatkan kita di jalanNya. Percayalah, ingatan kita pada Allah di saat bahagia, insya Allah menjadi asbab untuk Allah mengurniakan kita kekuatan saat kita kelelahan.

Beberapa hari yang lalu, saya di’belasah’ dengan ayat-ayat Allah. Terima kasih kak! Benar kata-kata akak. Akak cuma menjadi alat perantaraan di antara Allah dan saya. Terima kasih kerana memahamkan saya kalamNya.

Jujurnya dalam kehidupan sebagai pelajar perubatan, apabila kita dapat menyelesaikan puzzle penyakit yang dihadapi oleh pesakit, ada kegembiraan yang menyelinap lubuk hati kita. Perasaan gembira mengetahui sesuatu itu ada. Tapi jujur, nikmat mengetahui dan memahami AlQuran adalah keasyikan yang terlalu luar biasa sekiranya nak dibandingkan dengan nikmat-nikmat itu. Saya rasakan terlalu mahal harga yang perlu dibayar untuk memahami beberapa baris AlQuran. Kalau awak ada mp3 bertimbun pun tentang tafsir, tetap Allah jualah yang akan menentukan sama ada awak akan memahaminya atau tidak.

Terima kasih Allah kerana membuatkan diri yang hina ini memahami kalamMu dan ayat-ayat itu telah mengembalikan semula semangat yang malap. Dan ayat-ayat ini datang dalam keadaan saya yang kelelahan dan mengembalikan semula semangat saya yang sirna.

Dan bertanyalah kepada mereka mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik. (7:163)


Kisah hari Sabtu ini adalah kisah mengenai syariat yang pernah diturunkan oleh Allah kepada golongan Yahudi satu masa dulu. Kejadian ini menimpa penduduk suatu desa, yang hidup di tepi pantai, di mana mata pencarian mereka adalah menangkap ikan di laut. Allah telah melarang mereka untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, karena hari itu adalah hari khusus untuk beribadah.

Namun mereka melanggarnya. Allah menguji mereka. Caranya, di hari Sabtu itulah ikan-ikan bermunculan dengan jumlah yang sangat banyak, tapi di selain hari Sabtu yang terlarang itu, ikan-ikan seolah lenyap dari laut.

Karena itulah sebagian dari penduduk desa itu melakukan kecurangan. Yaitu mereka memasang perangkap pada hari Jumat petang menjelang masuknya hari Sabtu. Pada hari Sabtu mereka tetap beribadah. Dan pada hari minggu, perangkap-perangkap itu telah dipenuhi ikan. Cara yang mereka tempuh ini tetap dianggap sebuah pelanggaran juga.

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”. (7:164)


Kalau awak tadabbur ayat ini, sebenarnya ada berapa golongan yang disebutkan dalam ayat ini? Masa kami bincang ada yang kata dua. Tadabburlah nanti baik-baik. Ada tiga golongan sebenarnya. Pertama, mereka yang melakukan kemaksiatan itu. Kedua, mereka yang demotivate semangat orang lain untuk berdakwah. “Korang ini buat apa susah-susah nak buat kerja dakwah ini? Tidak perlu susah-susahlah”. Yang ketiga, golongan yang terus menasihati dengan harapan agar terlepas dari azab siksa Allah. Hebat tak Quran? Hebat sangat. Realiti yang sama masih berlaku sehingga kini kan?

Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”. (7: 165-166)

Ada berapa pula golongan dalam ayat ini? Kalau ikut saya, saya kata 3 lagi. Kiranya orang yang menasihati tadi diselamatkan. Tapi yang ditimpa azab itu ada dua, yang demotivate orang lain dan keduanya orang yang melakukan kemaksiatan itu. Tapi kata akak, ada dua golongan. Allah tidak sebut pun apa yang terjadi kat golongan yang demotivate orang lain itu. Macam insignificant dan hina sangatlah orang yang demotivate orang lain itu. Macam orang masuk rumah, tak pandang pun. Mestilah tidak significant kan? Teruk tak? Teruklah kiranya kalau kita ini termasuk dalam golongan yang demotivate orang lain. Macam orang munafik, dosa dia lebih teruk dari orang kafir, diletakkan dalam neraka yang lebih bawah dari orang kafir. Nauzubillah.

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Ia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat). (7: 167-168)


Ini adalah sunnatullah yang berlaku pada golongan Bani Israel. Kita tengok ayat seterusnya.

Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab. Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti? (7: 169)

Ayat ini significant untuk kita yang bermalas-malasan nak buat kerja dakwah. Kadang kita macam confident sangat kan kita akan dimaafkan oleh Allah atas kerja-kerja kita yang sambil lewa? Sama je dengan golongan yang Allah sebutkan dalam kalamNya itu. Kita pun dikurniakan kitab AlQuran tapi tidak pegang sepenuhnya. Ambil separuh-separuh. Dan kita suka sangat terkejar-kejar dengan dunia ini kan? Kita lupa negeri akhirat kan? Perasan tak nada ayat itu? Ayat itu correlate keadaan manusia di zaman dulu itu dan zaman ini. Kisah itu adalah untuk kita. Dan Quran ini memang sangat relevan dengan kita. Dia merawat kita di saat kita kelelahan. Kalau rasa nak penat-penat, ingatlah ayat-ayat Allah itu. Adakah kita termasuk dalam golongan itu? Yang tahu semuanya, tapi masih bermalas-malasan dan nak kejar sangat dunia ini?

Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya). (7: 170)

Mudah-mudahan kita menjadi orang yang berpegang teguh dengan prinsip-prinsip di dalam Kitabullah, dalam prinsip-prinsip dakwah kita juga. Moga Allah terus menjadikan kita manusia-manusia yang bergerak demi redhaNya.

Tuesday, October 26, 2010

Jzkk...

Saat adik lelaki saya Aiman menerima hadiah di atas kecemerlangan akademiknya baru-baru ini, ada wartawan yang menemubual mak. Mulanya mahu menemubual ayah, tapi ayah menyuruh menemubual mak. Kata mak pada wartawan, anak-anaknya belajar sendiri dan dia tidak bersama menemani. Jujur saya rasakan mak dan ayah merasakan kami berjaya di atas izin Allah dengan usaha kami yang secebis cuma. Mak dan ayah lupa betapa mereka telah menyumbang sesuatu yang terlalu besar dalam pembentukan kami adik beradik.

Mak dan ayah saya bukan orang besar. Di tempat saya belajar, ramai anak-anak Dato’ dan Prof yang hebat-hebat belaka. Tapi mak dan ayah saya adalah manusia terhebat pernah saya temui. Terlalu hebat dalam memahami naluri anak-anak. Mak dan ayah tidak pernah memaksa kami adik-beradik belajar tapi menyokong segala tindakan kami. Zaid misalnya tidak berminat lagi dengan kejuruteraan bio-perubatan di UM. Zaid berhenti dari UM beberapa minggu yang lalu. Saat dia melafazkan hasratnya, keesokan harinya pula mak dan ayah telah tiba di KL membantu urusannya untuk berhenti. Mungkin ke ada ibu bapa yang terlalu memahami anak-anaknya sehingga sebegitu?

Mak dan ayah adalah kawan baik saya dan adik-adik. Terlalu baik. Menemani setiap liku perjuangan ini. Tadi saya luahkan perasaan saya pada ayah. Jarang saya melakukannya. Namun hati ini terlalu perit. Dan pertama kali ayah menasihati saya dalam keadaan menangis. Dua jiwa menyatu dalam titisan air mata. Ahad lalu ayah terlibat dalam kemalangan. Sebagai anak, baru hari ini saya mengetahuinya. Ya Allah, ampuni kealpaanku ini. Bukan salah ayah, tapi orang yang dilanggarnya. Tapi ayah risau sangat. Panik saat itu. Lelaki tersebut pula berlumuran darah dan tidak sedarkan diri. Ayah tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Beberapa minit selepas itu lelaki tersebut sedar dan ayah membawanya ke hospital. Dan Alhamdulillah, tiada kecederaan besar yang menimpa lelaki tersebut. Meskipun lelaki tersebut yang bersalah, ayah menghulurkan duit. Kata ayah, dia tidak dapat membayangkan kehidupan isteri dan anak-anak lelaki tersebut seandainya ada apa-apa yang terjadi pada lelaki tersebut.

Dan saat semua itu berlaku, ayah teringatkan anak-anaknya. Kata ayah, perasaannya terlalu kusut saat itu. Namun Allah yang menjadikan perkara yang besar itu menjadi kecil. Saat ayah menghubungi lelaki tersebut untuk hari-hari berikutnya, lelaki tersebut meminta ayah mendoakannya. Dan kata ayah, kekuatan kita adalah doa. Berdoalah selalu dalam musibah yang melanda dan berdoalah setiap ketika. Dan Allah pasti akan memberi jalan keluar dalam semua asakan masalah yang kita lalui. Allah akan membuatkan masalah yang kita rasa besar itu terlalu kecil. Allah akan membantu kita.

Kata ayah lagi, kehidupan ini mungkin penjara bagi kita. Tapi pesan ayah, fikirkan Zainab AlGhazali. Fikirkan Assyahid Syed Qutb. Fikirkan perjuangan mereka, sebatan-sebatan yang mereka lalui. Adakah berat penyiksaan yang menimpa kita dibandingkan dengan mereka? Jujur saya menangis saat itu. Apalah sangat ujian kita dibandingkan dengan mereka.

Mak pula berpesan, “Dunia ini sekejap je. Afeera tak nak akhirat yang kekal abadi itu ke? Kita bersusah-susah ini untuk akhirat. Bukan calang-calang orang Allah pilih untuk berada dalam kursus perubatan. Pahala jadi doktor itu besar. Memang ada pekerjaan lain. Buat business, macam-macam lagi. Tapi kerja yang menjanjikan pahala akhirat yang terlalu besar, bersama-sama dengan saham dunia adalah doktor. Mestilah susah belajar. Sebab Allah nak beri pahala yang sangat besar lepas ini”.

Masya Allah! Betapa kaki ini ingin berhenti melangkah, namun dikuatkan semula dengan bicara mak dan ayah.

Mak ingatkan saya tentang Aiman. Mak kata dia tidak pernah tidur nyenyak. Setiap malam dia sakit. Terkadang mak nak sangat membelainya. Tapi Aiman tidak suka simpati manusia. Dia tidak pernah mengeluh tentang sakitnya. Mak kata, belajar redha dari Aiman. Lebih hebat, Aiman juga sedang buat perubatan. Kata mak, mak tidak tahu rahsia Allah. Kenapa anak-anak mak yang mak rasakan lemah ini yang Allah pilih untuk ambil kursus ini? Ujar mak, mesti Allah tahu rahsianya.

Kata mak, insya Allah bahagia itu akan ada. Biarlah puas menangis di dunia, tapi bahagia dan tersenyum di akhirat. Saya luahkan perasaan rindu yang terlalu mencengkam ini. Kata mak, bila rindu ambil Quran. Mak tanya amal fardi saya tadi. Huhu, lemah sedikit. Terima kasih mak kerana ingatkan.

Ya Allah, aku bersyukur padaMu atas kurniaan yang terlalu besar ini. Bersama keluarga, ada sakinah dan mawaddah. Aku terlalu mencintai mereka keranaMu ya Allah. Ya Allah, temukan kami semula di syurgaMu. Berikan kami sekeluarga kebahagian di saat kami bertemuMu yang Rabb. Naungi kami di Mahsyar di saat tiada naungan lain selain naunganMu. Kurniakan kami mahligai yang indah di JannahMu..

Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. (Surah Ibrahim: 41)


Ok semangat Afeera! Prepare untuk ward round esok..
There was an error in this gadget