Friday, December 19, 2008

Kudrat...

Padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan RabbNya yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar redha”. (Surah AlLayl:19-21)

Ayat ini diturunkan untuk membela Saidina Abu Bakar apabila ada yang mengatakan bahawa dia menebus Bilal kerana membalas budi. Entahlah, ayat ini yang bermain-main di hati saat ini.

Masih saya ingat lagi dalam satu sesi usrah, ada seorang senior yang memberitahu keterbukaannya dalam dakwah sehinggakan usrah pertamanya dengan anak buahnya adalah di McD. Saya pun tanya, “Boleh ye makan kat McD?” Bagi senior saya, demi dakwah, McD boleh diturutkan. Saya menghormati pendapatnya, namun saya punya pendapat sendiri. Terpulang pada individu untuk menafsirkannya. Seringkali saya terbeli barang yang perlu diboikot adalah kerana terlupa bukan kerana sengaja. Kehidupan saya dikelilingi oleh insan-insan yang sukar memahami derita Palestina. Usah salahkan mereka, mungkin saya sendiri sering terlupa.

Kisah Saidina Abu Bakar menebus Bilal merupakan satu kisah yang sentiasa menyentuh hati saya.

Saat melihat penyiksaan ke atas Bilal , Saidina Abu Bakar berkata, “Tidakkah kamu merasa kasihan kepada orang yang lemah ini!” Umayyah kemudian menjawab, “Kasihanilah sendiri”. Abu Bakar membalas, “Ya! Berapa yang kamu inginkan?

“Aku menjualnya dengan harga sembilan uqiyah emas”. Abu Bakar lantas menjawab, “Baik, aku beli!”

Mendengar jawapan Abu Bakar, Umayyah bin Khalaf lantas tertawa dan berkata, “Tahukah kamu Abu Bakar, sekiranya kamu katakan kepadaku bahawa kamu hanya akan membelinya dengan empat uqiyah, nescaya aku akan menjualnya kepadamu”. Abu Bakar membalas kata-kata tersebut dengan tegas, “Demi Allah, sekiranya kamu meminta seratus uqiyah, nescaya aku akan membelinya darimu!” Setelah itu Abu Bakar membawa Bilal dan memerdekakannya.

Mahal bukan harga saudara seislam? Saya bukan Saidina Abu Bakar yang kaya raya untuk membeli nyawa setiap saudara di Palestina. Saya cuma insan biasa yang punya sedikit kudrat untuk memboikot sedayanya. Maafkan saya Palestina atas dosa dan ketidakmampuan ini..

No comments: