Wednesday, December 03, 2008

Seorang akak..



Seorang akak..
Terima kasih buat Kak Lin. Sepi jiwa ini cuba diisinya. Semalam di ambang peperiksaan, dia masih sibuk berbakti buat seiisi rumah. Saat itu saya sedang menelefon mak yang sedang memasak. “Mak, saya bau masakan mak”, ujar saya tiba-tiba. Rindu yang telah saya simpan kemas di penjuru fuad seakan tidak mampu ditahan. Rupa-rupanya Kak Lin sedang memasak di bawah. Aroma masakan Kak Lin rupanya. Hati Kak Lin sungguh hebat untuk memuatkan cinta pada sahabat-sahabatnya. Saya tidak mungkin mampu membalas setiap pernik ukhwah dan rasa cinta yang dihamparnya. Hanya Allah yang mampu membalas cinta ini.


Hari ini..
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Pujian itu hanya untuk Allah dan hanya untuk Allah. Allah mencampakkan semacam rasa kepuasan dalam hati kecil saya. Saya puas dengan peperiksaan tadi. Saya bahagia meskipun saya tidak mengetahui keputusannya. Saya puas kerana saya telah melakukannya dengan sepenuh jiwa.

Sudah begitu lama saya tidak merasai kepuasan seperti ini. Sudah lama saya melayan rasa sehingga tidak menyempurnakan semuanya dengan sempurna. Dan Allah memberi saya kekuatan semula. Dan saya telah menyeka air mata dan berpesan pada jiwa bahawa Allah bersama saya dalam rona perjalanan ini. Allah.. Allah.. Allah.. Dia ada sentiasa..

Seorang adik yang bakal mengambil SPM bertanyakan soalan, “Kak, apa tips untuk berjaya?” Fikirnya mungkin pelajar perubatan semuanya hebat-hebat belaka. Tidak dik. Saya yang di sini hanya merangkak dalam dunia yang penuh liku. Namun saya sentiasa percaya satu perkara. Allah pasti di sisi saya.

Adik, tips untuk berjaya itu mudah namun tidak semudah menuturkannya. Lakukan yang terbaik dan serahkan seluruh rahsia di kemudian hari hanya padaNya. Tapi tidak semudah itu jalannya.

Andai diri telah bersedia dan menyerahkan diri padaNya untuk ditarbiah, bersedialah dengan duri yang penuh duka tapi pasti semua itu mengundang bahagia di hujungnya.

No comments: