Wednesday, December 10, 2008

Sawah padi..

Sekiranya kamu telah mengenali teratak kerdil saya ini buat jangka masa yang lama, kamu mungkin perasan bahawa saya pernah berbicara mengenai salah satu kegemaran saya iaitu hal-hal berkenaan timelapse. Saya sukakan alam. Panorama alam yang indah begitu menyenangkan hati.

Saya sukakan muzik Omar Akram juga kerana alam. Saya kira dia begitu asyik dengan alam sehingga mampu menghasilkan muzik yang mendamaikan. Alam ini seolah-olah berbicara pada manusia yang cuba memahami. Zikir alam pada Rabb yang agung menyejukkan hati dan nurani yang terbakar dek dunia yang rakus ini. Sedih sekali rasanya melihat kebiadapan manusia pada alam sehingga alam memuntahkan segala onar dan makar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.


Homestay yang menjadi tempat kami menginap sepanjang percutian berdekatan dengan sawah padi. Saya kongsikan gambar-gambar yang saya rakam pada waktu berbeza untuk menghayati kekuasaan Allah pada silih pergantian siang dan malam. Pastinya saya bukan jurugambar amatur. Dan pastinya juga mata yang Allah cipta merupakan kamera terbaik di dunia yang mana teknologinya tidak mungkin mampu ditandingi oleh mana-mana manusia.

"Dia-lah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Nama-Nama Yang Paling Baik. Bertasbih kepada-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surat Al Hasyr : 24)


"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya". (Surah Ali Imran:27)"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Surah Ali Imran: 190-191)


"Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka." (Surah Al An'aam: 1)

No comments: