Sunday, December 21, 2008

Pengorbanan atau memberi sumbangan...

Kadang kita macam sibuk sangat. Waktu usrahlah, sms bertimbun-timbun masuk.

“Kena hantar dummy table dan literature review malam ini”.


“Kena translate questionnaire”

Tidak cukup semua itu, dalam kepala sendiri sahaja, ada bertimbun kerja yang perlu difikirkan. Laporan yang memeningkan dan saya masih kelabu dengan jawatan.

Saat menyiapkan laporan, ada yang memberi mesej di YM.

Salam..Adik, saya nak beritahu awak, ada banyak perkara berlaku di ofis saya. Dan sekarang saya ada kesimpulan..saya ni jahat orangnya. tak guna pun solat 5 waktu… Salam, bye.”

Terkejut juga rasanya. Kudrat saya serasanya tidak mampu menampung kehendak dan tuntutan manusia ke atas saya. Adakalanya saya tidak membalas SMS dan hal lainnya.

Teringatkan hadis mengenai harapan dan agak sukar mahu memutuskan harapan manusia.

“Dengarkanlah baik-baik. Perlu kau ketahui, aku mendengar dari Abu Zinad dari Al-A’raj dan Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:”Siapa yang memutuskan harapan orang yang datang kepadanya, Allah akan memutuskan harapannya pada hari kiamat dan tidak akan masuk syurga”

Saya cuba menjawab sedayanya. Allahu A’lam.

Semasa usrah, saya gagal untuk fokus pada mulanya. Saya memanggil hati ke titik fokus, “Afeera, sekarang ini fikirkan tentang usrah. Fokus betul-betul. Balik nanti fokus kerja lain”. Saya tahu Allah tidak mencipta dua hati dalam diri manusia. Sebagai manusia, kita hanya mampu fokus pada satu-satu perkara sahaja sebenarnya. Kalau hati itu milik Allah, tidak adalah benda lain untuk mendiami hati tersebut. Kalau bukan Allah di hati, celaru dunia ini. Hebatnya manusia yang hanya ada Allah di hatinya. Kadangkala saya jadi malu dengan Allah. Dengan keadaan masih menyesuaikan diri di rumah sewa di Sepang, saya tersalah arah kiblat. Memang malu sangat kat Allah. Hati saya masih ada Allah atau menanggung beban dunia yang tiada hentinya?

“Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya;…” (Surah Al Ahzab: 4)

Kadang kita tidak mampu nak ceritakan pada sesiapapun permasalahan kita. Memang tidak akan ada yang faham. Pada sesetengah manusia, mungkin kita kelihatan seperti memberatkan sesuatu. Itu sebabnya Allah menjadi tempat mengadu yang utama. Hanya Allah yang mengetahui kelemahan dan kekuatan kita.

Semalam seorang akak memberitahu sesuatu mengenai ‘pengorbanan’ dan ‘memberi sumbangan”. Kadangkala kita ini di dalam perjuangan hanyalah insan yang memberi sumbangan, bukan melakukan pengorbanan.

Contohnya kita ada RM100, kita memerlukan RM80 dan kita memberi baki RM20 pada perjuangan. Itu bukan pengorbanan. Itu hanyalah sumbangan. Pengorbanan adalah apabila kita mengorbankan sebahagian dari RM80 yang sangat-sangat kita perlukan pada Islam.

Contoh lain lagi, macam hal usrah dan dakwah. Ya, kerja kita bertimbun. Tapi kalau kita hanya mahu berdakwah, pergi ke usrah hanya semasa kita punya masa, itu dikira hanyalah memberi sumbangan pada Islam. Tapi pengorbanan adalah bilamana kita melakukannya di saat kesempitan masa yang kita ada, di saat kita amat memerlukan masa.

Pengorbanan dan memberi sumbangan, saya masih di tahap memberi sumbangan. Malunya saya pada Allah..


“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Assaff: 10-11)

1 comment:

Anonymous said...

salam,ya ukhti...

jazakillah ats penulisan ukht ttg topik pengorbanan ni...ana mmg serius terkesan :')
troskn ya ukhti!moga Allah gnjari amln mu ini..