Wednesday, June 30, 2010

Akhlaq...

Dulu pernah orang tanya ustaz, “Ustaz, kenapa tiada penafsir di kalangan wanita?”

Kata ustaz, “Mereka adalah wanita yang ikhlas, tidak perlu dunia untuk mengiktiraf mereka. “

Benar kan? Di sebalik setiap ulama’ yang hebat, andai dikaji sejarahnya, pasti di belakang tabir kehidupan mereka ada wanita yang tidak kurang hebatnya.

Dulu ada yang bertanya, “Kenapa di dalam quran tiada nama perempuan melainkan Maryam? Kenapa tiada nama ummahatul mukminin?” Sehingga ada yang mengatakan bahawa nama seorang perempuan juga boleh menimbulkan fitnah sehingga tidak dirakam dalam Quran. Kisah Maryam adalah kisah istimewa untuk membersihkan namanya.

Terkadang rasa bersalah untuk terusan menulis di sini dengan nama sebenar.

Naqibah saya selalu berpesan. Hari ini ruang untuk wanita melibatkan diri dalam masyarakat begitu terbuka. Hari ini wanita boleh keluar belajar. Hari ini seorang wanita boleh memandu sendirian. Hari ini seorang wanita boleh duduk berjauhan tanpa kedua ibu bapanya. Sebenarnya dengan keterbukaan yang terlalu luas ini, datang tanggungjawab yang besar. Banyak yang perlu dijaga.

Ini pesan saya pada diri sendiri. Banyak yang perlu dijaga. Terlalu banyak. Kalau difikirkan betapa banyaknya muamalat yang saya tidak jaga, saya rasa macam tidak mahu keluar lagi dah. Duduk rumah sahaja. Sukar sebenarnya nak bermujahadah. Terkadang pula terlupa.

Semalam semasa usrah, kami bicara tentang tafsir surah Abasa. Surah ini diulang kesekian kalinya. Tapi Quran tidak pernah membosankan. Pasti mutiara baru kita temui dalam ulangan. Kalau selama ini pengajarannya mengenai kisah sang Rasul dengan Abdullah Ibn Ummi Makhtum, naqibah bawakan pengajaran yang lain pula.

Katanya, dalam surah ini Allah memuhasabah nabi. Makanya orang yang berada di jalan dakwah, perlu sentiasa memuhasabah dan sentiasa dimuhasabah. Perlu sentiasa sedia menerima teguran. Kalau tidak, kita akan berada di puncak kepimpinan di satu masa dengan hati yang penuh noda.

Saya duduk merefleksi diri hari ini. Banyaknya akhlaq yang tidak terjaga. Aduh, sukarnya menjaga diri di zaman ini.

Dulu saya selalu inginkan naqibah dari kalangan akak-akak. Tapi Allah takdirkan naqibah saya seorang makcik. Makciklah yang banyak menegur mengenai adab dan muamalat. Pernah sekali makcik cerita pengalaman kawannya ke luar negara. Kawannya yang seusia dengannya bertemu dengan penggerak dakwah di kalangan remaja. Remaja ini memang semangatnya dalam dakwah berapi. Tapi di sana ada kelemahan. Mereka lemah dalam bermuamalat dengan makcik tersebut. Disangkanya makcik tersebut juga akhawat yang sama sahaja dengan mereka, lantas dilayan biasa-biasa sahaja. Kata makcik, orang tua tetap perlu dilayan seperti orang tua walau mereka juga terlibat dalam dakwah. Dari situ saya mula bermuhasabah. Memang benar kita bersemangat, tapi sejauh mana pula akhlaq kita dalam berurusan dengan yang lebih tua dan lainnya?

Makcik juga yang banyak menyedarkan saya tentang generasi masa hadapan. Kata makcik, fikirkan tentang generasi seterusnya dengan akhlaq kita yang entah apa-apa. Keadaan zaman dan bagaimana caranya mahu mendidik anak-anak. Memang benar. Di saat menggunakan Facebook, saya lihat juga ikhtilat yang terjadi di dalamnya. Bagaimana saya mahu mendidik zuriat saya dengan semua ini? Peritnya seandainya kita fikirkan dengan sebenarnya seketika…

Persoalan-persoalan yang perlu dirungkai terlalu banyak kan?

Insaf...

Saya delete akaun Facebook saya yang tidak sampai 24 jam saya gunakan. Mungkin tindakan itu bodoh di mata yang lain, tapi saya rasakan itu untuk kebaikan saya sendiri. Apa yang saya dapat dari pengalaman yang tidak sampai sehari itu?

1) Mula-mula niatnya mahu mencari mutarabbi. Tapi bukan mutarabbi yang dijumpai, tapi jumpa yang lain-lain. Niat asal memang dah jauh. Biarlah selepas ini akhawat lain je yang melaporkan. Saya tidak cukup kuat menghadapi arus ini.

2) Memang peluang dakwah besar. Tapi itu bukan sifir haraki. Dakwah haraki saya rasakan tidak akan sesuai dengan dunia Facebook.

3) Kalau kita ada cita-cita pun, kita keseorangan. Sedang dakwah memerlukan kerja secara berjemaah. Bukan saya yang berdakwah di Facebook, saya akan kecundang lebih jauh lagi.

4) Masuk beberapa profile yang bukan halal bagi saya. Alhamdulillah, berjaya mujahadah. Tapi saya tidak rasa saya boleh mujahadah setelah berhari-hari atau setelah hari ini.

5) Kalau saya tengok movie, saya tahu berapa jam yang saya bazirkan. Tapi dengan Facebook, saya tidak sedar berapa jam yang saya bazirkan. Satu keasyikan, kelalaian, dunia fantasi yang saya tidak sedar pengaruhnya. Kalau nak upload gambar pun membazir masa.

6) Rasa bersalah. Hati saya tidak tenang dengan Facebook. Tiada sakinah di Facebook.

7) Kerja saya banyak. Ada yang meminta saya memberi komitmen untuk menulis artikel. Kalau saya masih kekal dalam Facebook, saya tidak akan punya masa untuk menulis.

8) Kerja yang menjadi tanggungjawab saya tidak saya lunaskan.

9) Saya jumpa gambar-gambar saya yang diletakkan tanpa kebenaran. Baik-baik tidak sakit hati, buat hati jadi parah sahaja. Lepas itu jumpa juga gambar-gambar daiyah yang membuat hati saya bersedih. Saya dah ada banyak kesedihan dan saya tidak mahu menambah sesak dengan melayari Facebook. Saya tidak cantik. Mungkin hujah manusia akan mengatakan, mengapa perlu peduli? No one will see you. Tapi di sana ada kerja syaitan yang akan berusaha mencantikkan hatta wajah macam cap bulan.

10) Ukhwah yang saya rasakan palsu. Lebih indah pertemuan dengan akhawat dalam program-program sebelum ini. Kerana manisnya ukhwah di jalan dakwah, maka tiada kemanisan yang mampu menggantikannya. Saya rasakan dunia Facebook adalah tempat mencapap (cari publisiti) dan dunia hipokrit yang hebat.

11) Masa studi saya sedikit. Atau mungkin tidak berkembang langsung ilmu saya sejak semalam. Professional Exam bulan Disember nanti. Cita-cita saya mahu menebus kesilapan lalu. Impian itu kelihatan jauh dengan Facebook.

12) Mungkin menulis di sini tidak lagi relevan dengan adanya dunia Facebook. Tapi ada 80 followers di sini, dan mengikut Google Reader, jumlah sebenar ialah 132. Itu yang subscribe link blog ini. Kalau kira betul-betul, insya Allah saya mungkin ada paling kurang 10 mad’u yang lebih komited di sini. Facebook bukan bidang saya. Saya perlu gunakan kekuatan yang telah saya miliki. Untuk dapatkan 132 orang, perlu menulis 5 tahun. Untuk membina kekuatan yang sama di Facebook, terlalu jauh lagi perjalanannya bagi saya.

Itu secebis pengalaman tidak sampai 24 jam menggunakan Facebook. Saya diberikan tempoh 14 hari untuk menilai semula keputusan saya mendelete Facebook. Bagi pengguna Facebook yang mungkin membaca blog ini, boleh saya tanya sesuatu? Kamu boleh kongsikan pengalaman kamu. Sejujurnya, di antara kebaikan dan keburukan menggunakan Facebook, mana yang lebih banyak? Kebaikan atau keburukan? Bagaimana kamu menjaga hati semasa melayari Facebook?

Saya rasalah kan, blog ini pembacanya soleh dan solehah kot, tanpa mengenali betapa bangkainya penulisnya. Peliklah sebab pembaca blog ini terlalu malu melihat gambar Ambiguous Genitalia. Tidak ramai rasanya yang berlatarbelakangkan perubatan yang membaca di sini. Untuk ustaz dan ustazah yang membaca blog ini dan mungkin menggunakan Facebook, boleh kamu ajarkan saya bagaimana cara untuk menjaga ikhtilat dalam dunia Facebook? Bagaimana caranya nak dapat iman yang kuat yang boleh mujahadah dan beruzlah di Facebook?

Saya tanya dengan nada yang serius sebenarnya. Kamu punya jawapan?

Entahlah…

Hakikatnya bersyukur juga padaNya yang mengenalkan saya dengan satu dunia ‘Jahiliah’. Saya consider Facebook sebagai ‘Jahiliah’. Namun mungkin Facebook adalah kekuatan bagi anda.. Jangan salah menilai kata-kata saya ye..

Perkenalan kita dengan Jahiliah mungkin akan membuatkan kita lebih memahami iman. Allahu A’lam..
Satu lautan yang ganas
Terlalu ganas
Menenggelamkan sang nakhoda kapal
Mungkinkah hujung muara kita temui?
Andai karam di awal perjalanan..

Ya Rabb
Dunia ini asing buatku..
Ciptakan bagiku dunia yang indah
Di bawah naunganMu..

Tuesday, June 29, 2010

Alhamdulillah...

Tawakal

Alhamdulillah, thummalhamdulillah.. Segala pujian itu hanya layak bagi Allah. Hidup ini amat100X memerlukan Allah SWT. Infiniti kesyukuran hanya padaNya.

Kesihatan yang tidak berapa baik menyebabkan kerja-kerja akademik saya tertangguh. Hari ini pula ada PMS (Patient Management Session). Semalam saya meminta Allah nikmat sihat. Selepas mengambil ubat, saya tidur awal. Alhamdulillah bangun awal dan barulah berdaya mengisi log book saya.

Sampai hospital, saya beritahu seorang sahabat yang saya takut session PMS. Dia kata, “Tawakallah kat Allah. Bukan ke kau yang beri tazkirah tentang tawakal?” Dush..Dush.. Kena batang hidung semula. Tazkirah yang diberi semasa liqa’ murabbi kelmarin tengiang kembali. Sebab itulah kena memberi, kerana akan ada yang mengingatkan. Dan memang fitrah manusia untuk lupa. Ungkapan ‘insan’ itu sendiri dari kalimah nasiya yang bermaksud lupa.

Lantas saya berbisik pada hati. Tawakal ‘alallah. Logbook saya yang menjadi pilihan pertama untuk sesi tersebut. Alhamdulillah, Allah membantu saya menjawab segalanya dengan baik. Di akhirnya juga doktor memberi pujian dan sememangnya pujian itu hanya layak untuk Allah.

Nak difikirkan, sedikit pun hal itu bukan dari saya. Semua itu hanya dari Allah. Kerana kita tidak sihat, kita bertawakal pada Allah. Kerana kesempitan masa yang kita ada, kita bertawakal pada Allah. Sebak sangat rasanya dengan pertolongan Allah. Allah memang membantu kita.

Teringat kisah Assyahid Imam Hassan Al Banna dan Abbas Assissi saat itu..

Ya Allah, aku terlalu mencintaiMu… dan bantulah aku untuk terus mencintaiMu hatta walau ujian yang buruk menimpaku..

Facebook

Semasa liqa’ murabbi hari itu, seorang pensyarah menggalakkan untuk menggunakan Facebook untuk mengetahui perkembangan mutarabbi. Mungkin dah sampai seru untuk menggunakkannya demi keperluan. Dan moga ini bukan dalil untuk menjustifikasikan penggunaan Facebook. Insya Allah, akan menggunakannya untuk matlamat yang lebih besar.

Monday, June 28, 2010

Kecilnya dunia..

Hebat aturan Allah. Dah empat hari saya demam. Demamnya tidak panas sangat. Kejap ada, kejap tiada. Tapi bila bangun tidur, kepala rasa sangatlah berat. Dan sangat tidak larat nak ke hospital. Memang malas nak makan ubat. Harapnya mudah-mudahan viral fever sahaja, dan baik sendiri dengan izin Allah. Tapi bila pagi tadi masih sakit kepala dan tak larat nak puasa, saya gagahkan diri ke klinik berdekatan. Bimbang juga sebab demam selepas swimming. Macam-macam dalam kepala differential diagnosisnya... Mulalah saya merepek yang bukan-bukan..

Lamalah duduk di klinik. Sambil tu baca buku. Tapi macam tidak masuk. Dan kepala sangatlah berat menghadam huruf-huruf tersebut. Pergi ke kaunter darah, kena marah. Belum tanya lagi, dah kena marah. Last-last ada seorang lelaki marah staf tersebut semula bila dia buat perkara yang sama kat lelaki tersebut. Klinik kerajaan, faham-faham sahajalah...

Lepas itu pergi kaunter screening. Itu adalah perkhidmatan percuma sebenarnya. Boleh pula staff nurse itu tanya, "Doktor suruh ke?" Huhu.. Malaysia ini memang hebat dengan slogan sahaja. Tak pun hebat dengan CPG (clinical practice guideline) sedang hakikatnya di klinik terbaik konon-kononya di Malaysia pun, servisnya jauh bebenar dari apa yang dicatatkan di dalam CPG.. Hampeh betul..

Sambil itu tengoklah gelagat pesakit. Ada ramai budak sekolah. Diorang tengok kat screen yang tayangkan cara-cara membasuh tangan yang betul. Kelakar sangat bila budak-budak itu cakap, "Basuh tangan pun lebih 5 minit ke?". Agaklah.. Diorang tak masuk OT lagi... kalau mereka diajar cara-cara scrub, lagi terkejut beruk kot...

Takpelah..

Dah lama menanti, masuklah untuk bertemu doktor. Memang berharap sangat jumpa doktor perempuan. Dan Allah berikan doktor yang lebih baik. Tudungnya labuh. Sedaplah mata memandang. Minta slip juga dari dia. Adalah nama doktornya. Bila dia tanya belajar di mana, saya cuma sebut lokasi sahaja. Tidak mahu doktor itu tahu saya pelajar perubatan.

Balik rumah, saje je surfing nama doktor itu. (Seriously tade kerja) Rupanya doktor itu belajar di Sekolah Hidayah. Keduanya terjumpa profile sahabat seusrah saya. Rupanya dia adalah akak sahabat saya. Huhu.. Selalunya balik usrah tumpangkan sahabat saya itu, tapi baru tahu akak dia doktor. Kelakar pun ada bila chatting dengan sahabat saya itu. Baru nak minta dia rahsiakan, tapi dia dah call akak dia dan beritahu..

Huhu.. Kecilnya dunia ini. Mula-mula rasa nak balik je bila tengok pesakit yang sangat ramai. Tapi sanggup juga tunggu lebih 3 jam. Rupa-rupanya Allah nak temukan kita dengan seorang ukhti yang insya Allah tidak lama lagi akan bersama dalam medan di sini kerana saat ini dia bekerja di kawasan yang lain.. Dari 9 doktor yang ada di klinik kesihatan itu, Allah takdirkan kita bertemu dengan ukhti itu...Masya Allah..

Dunia ini memang kecil sangat. Ya Allah, bestnya kalau satu masa nanti kiri kanan, depan belakang, utara selatan, timur barat semuanya adalah ikhwah akhawat... Semuanya adalah mereka yang bersama mahu menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini..

Rindunya nak melihat ustaziatul alam... Satu mimpi yang pasti terealisasi!

Saturday, June 26, 2010

Novel...

Lama sangat sebenarnya saya tidak membaca novel. Mungkin bertahun sudah saya meninggalkan tabiat itu. Di rumah ada sahaja novel yang dibeli tapi tersadai. Tapi novel Tuesdays with Morrie berjaya saya lunasi dalam dua hari. Novel yang sarat dengan pengajaran hidup.

Terkadang saya terlalu penat dengan kehidupan. Benar-benar merasakan bahawa dunia ini tidak indah. Semalam housemate saya semasa usrah juga membangkitkan isu penat. Tidak tahu apa yang kami penatkan tapi yang pasti kami merasakan tiada yang menarik di dunia ini.

Novel ini yang memberi saya motivasi kembali. Terlalu sarat pengajaran sehingga setiap perkataan terasa bermakna. Saya temui hikmah yang tiada kesudahan. Hari ini saya menonton filemnya pula. Air mata turun mencurah-curah. Demam pula menambah sebak saat menonton filem tersebut.

Barangkali kerana kehidupan di hospital yang menemukan saya dengan cerita kehidupan membuat saya lebih merasai novel ini. Baru-baru ini saya jumpa seorang ibu yang menghidap Myasthenia Gravis dan anaknya yang ketiga datang ke hospital dengan stridor. Dalam bahasa mudahnya stridor itu seperti pernafasan yang terlalu kuat yang boleh didengar dari jauh. Susahnya nak terjemah istilah-istilah perubatan ini. Kemungkinan juga si anak menghidap Myasthenia Gravis. Allahu A'lam..Saya hanya mendengar kawan saya berbicara dengan pesakit ini. Hebatnya ujian Allah buat mereka. Dan saya boleh melihat ketabahan yang tiada taranya dalam diri si ibu.

Saya juga punya seorang sahabat baik. Saya tidak memenuhi hak-hak ukhwah yang sewajarnya saya beri. Dia sakit. Baru ini dia bercerita bahawa dia pengsan di lab. Terkadang mungkin saya tidak mahu bertanya kerana saya tidak mahu memikirkannya. Terkadang saya tidak mahu bertanya khabarnya kerana saya tiada jawapan yang selayaknya saya beri. Tidak tahu bicara apa yang perlu saya ungkapkan. Kadang saya tidak tahu cara terbaik untuk berhadapan dengan manusia. Kelemahan saya barangkali...

Tapi novel ini mengajar saya banyak perkara. Terlalu banyak. Terima kasih Allah kerana menemukan saya dengan hikmah yang sebegini banyak.

Kalau kamu ada kawan non muslim, cuba kamu tanya dia tentang kematian. Jarang mereka yang non muslim mahu berbicara secara terbuka mengenai mati. Ramai Muslim juga begitu.Tapi novel ini membincangkan perkara-perkara yang kita takutkan secara terbuka.

Novel ini telah mengajar saya mengenai banyak persoalan kehidupan yang saya takutkan.

Lumpuh...

Setiap kali usrah mesti terasa. Begitulah jadinya bila banyak dosa. Moga-moga tarbiah yang diterima menjadi pemangkin diri ke arah yang lebih baik.

Tadi ada beberapa perkara yang menyentuh hati saya. Makcik cerita mengenai uzlah dalam keramaian. Kisah rasul tercinta juga disebut. Tahu tak macam mana Rasulullah SAW menaiki Gua Thur bersama Saidina Abu Bakar? Untuk menyelamatkan dan membawa Islam itu, Rasulullah SAW menggunakan hujung kakinya untuk mendaki. Begitu sukar laluan tersebut. Kalau pernah mendaki gunung, mesti dapat bayangkan kesusahan itu. Kita nak mendaki dengan tapak kaki yang penuh itu pun sukar, apatah lagi sekiranya hanya menggunakan hujung tapak kaki.

Dan dalam gua yang kecil itu, Saidina Abu Bakar digigit dengan kala jengking. Sakit sangat. Begitu sukar sebenarnya misi dakwah ini kan? Rasa tak Islam yang kita dapat ini mahal harganya? Islam yang kita dapat ini adalah perjuangan orang dulu. Agak-agaknya kalau kita tak berjuang, anak-anak kita dapat tak islam ini? Atau diorang tak tahu pun islam itu apa? Entah-entah diorang tanya, “Islam? Makhluk apa itu?”
Kerja kita banyak kan? Makcik berbicara juga mengenai Assyahid Sheikh Ahmad Yassin. Dia lumpuh tapi mampu menggerakkan HAMAS dan memimpin jihad di Palestina. Kita pula sihat walafiat tapi hakikatnya lumpuh.

Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang lumpuh…

Wednesday, June 23, 2010

Sempurna...

Sebak rasanya membaca Surah Arrahman. Terngiang-ngiang bicara tafsir Ustaz Zahazan saat membicarakan surah ini, likulli syai’in ‘arussun, wa ‘arusulquran arrahman, setiap perkara ada pasangannya dan pasangan bagi Al Quran adalah Arrahman.

Surah ini adalah surah yang hebat, menusuk jauh ke dalam kalbu. Ulangan fabiaayyi ala irabbikuma tukazziban, maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan tidak mampu sesekali disanggah.

Hari-hari di hospital membuatkan saya merasai surah ini. Ada sekali kami membincangkan mengenai penyakit Congenital Adrenal Hyperplasia. Hanya kerana satu hormon yang tiada di dalam badan, seorang kanak-kanak mungkin sahaja menghidap ambiguous genitalia (khunsa). Doktor ceritakan mengenai satu kes yang mana team pakar membuat keputusan bagi seorang bayi yang menghidap ambiguous genitalia untuk dibesarkan sebagai perempuan, tapi di saat anak tersebut memasuki peringkat baligh, suaranya berubah seperti lelaki.
ambiguous genitalia
Banyak lagi yang dibincangkan. Hanya kerana tiada satu hormon, kebanyakan mekanisme yang lain tidak dapat dijalankan oleh badan. Tidak larat rasanya untuk menulis. Hanya fikirkan seketika andai Allah menciptakan kita sebegitu. Bagaimana agaknya perasaan kita di alam remaja yang penuh kritikal itu saat mengetahui hakikat fizikal kita seandainya kita dilahirkan dengan menghidap ambiguous genitalia? Kesyukuran ke hadrat Allah atas kesempurnaan kita yang tiada taranya.

Dan terasa betapa hebatnya kekuasaan Allah. Dia membuktikan kekuasaannya dalam setiap penyakit yang ada di atas muka bumi ini. Terkadang saya rasakan perubatan satu bidang yang susah. Bagaimana caranya untuk saya berdepan dengan ibu bapa yang dikurniakan dengan anak yang menghidap penyakit sebegini? Pernah sekali semasa di tahun tiga, saya ikut doktor ke wad neonatalogi. Saya mendengar doktor reveal pada satu pasangan suami isteri mengenai diagnosis penyakit anak mereka. Anak tersebut menghidap Down Syndrome. Respons pertama si ibu, “Tidaklah doktor. Anak saya sama sahaja dengan yang lain”. Kemudian doktor pun tunjuk satu persatu ciri-ciri Down Syndrome yang ada pada anak tersebut. Susah kan jadi doktor? Huhu..

Semalam semasa di klinik, ada seorang remaja perempuan berumur 14 tahun menghidap Diabetes Mellitus Type II. Saya pun tidak percaya sebab selalunya di dalam usia yang muda adalah Type I. Tanya doktor tapi doktor suruh balik dan baca. Budak perempuan tersebut didiagnose menghidap penyakit tersebut sejak berumur 11 tahun. Saya tidak dapat bayangkan perasaan budak tersebut. Dalam usia yang begitu muda, diuji dengan ujian yang sangat berat. Tidak dapat bayangkan pun setiap hari dia perlu menyuntik insulin. Perlu cek kandungan gula setiap hari.

Saya tahu doktor tersebut concern dengan pesakitnya. Macam-macam yang disuruhnya agar pesakit tersebut menjaga kesihatannya. Disuruhnya budak tersebut menyidai pakaian, menyapu lantai rumah, membasuh tandas, membasuh kereta, berjogging and the list goes on.. Ya Allah, saya yang melihat terasa gila. Dan budak tersebut akhirnya menangis.

Sebaknya. Life is a test. Banyak sangat ujian Allah. Budak tersebut menghidap penyakit tersebut sejak 11 tahun. Sedang saya sudah berusia 23. Nikmat sihat yang Allah berikan selama ini juga perlu saya syukuri. Kehidupan pesakit di hospital kadangkala membuat hati saya sebak seandainya memikirkannya dengan mendalam. Moga Allah kurniakan mereka kekuatan untuk meneruskan liku kehidupan.

Kadang saya terlalu rindukan syurga. Saya tahu saya tidak layak namun dalam masa yang sama saya tidak ingin sesekali ke neraka. Bestnya syurga. Bestnya para syuhada’ yang mengecapinya. Di sana tiada kesedihan, tiada ujian, tiada penyakit, tiada sakit kepala, tiada study, tiada exam, tiada manusia yang nak sakitkan hati. Segalanya bahagia. Rindunya dengan syurga Allah yang hebat itu.

Ya Rabb, kurniakan kami syurgaMu yang tertinggi walau kami tidak pernah layak…


Hey Brother
Won't You Listen To Me
You're My Brother So Listen Carefully

This Life That We're Living
Wasn't Made For Nothing
Life Is A Test From Allah Almighty

There Are Many Times
When Allah Will Test You
To See If You Will Obey Or Betray

This Life Is A Life Of Test
Need Patience For Success
So Is Your Iman Strong Enough
Or Would You Fail Just Like The Rest

Obey For Allah's Love
Betray Be Sorry For Yourself
When You're Standing Helpless There
In Front Allah The Almighty

Life Is A Life Of Test...Believe It
You Must Strengthen Your Faith...Hey Brother
And Don't You Fail Like Others

Hey Brother
What's There For You To Say
It's Up To You If You Want To Believe Me

Allah Created Us
Give Us Everything
So Be Greatful And Don't Betray

Laugh At Me If You Wish
Say I'm Crazy If You Want
You'll Bite You Your Fingers One day
When You Find Out The Truth

Believe Me Or Do Not
It's A Change For You To Choose
Just Don't You Cry One Day
When It's Already Too Late

You Would Be Sorry
If You Choose To Betray
There Is No One There To Help You

If You'd Follow Allah's Way
You'd Be Safe In Paradise
If You'd Listen To Me
I Could Lay My Mind To Rest

You'd Then Be Happy
There Is No Need To Worry
You Would Live Forever Happy

You Would Be Happy
If You Just Follow Allah's Way

Sunday, June 20, 2010

Globe putih...


Saya suka bahagian cerita ini mengenai globe putih. Saya ingin melihat sesuatu yang satu. Saya punya satu cita-cita. Namun belum berjaya. Dulu saya ingatkan X itu menginginkan satu, namun tidak. Akhirnya saya tidak mampu lagi menggapai cita-cita yang satu itu.

Sebuah cita-cita mungkin mengambil masa yang lama untuk berjaya. Yang pasti satu masa nanti globe putih itu akan ada. A, B, C, D sehingga Z akan bergabung. Itu pasti. Akan wujud satu ustaziatul alam pastinya.

Buat masa ini, saya mengikut arus. Hari ini saya menghadiri pelancaran IKRAM. Berharap dan terus berharap agar satu masa nanti globe putih itu akan lahir di bawah satu lembayung aqidah.

Yang pasti, kerja selepas ini akan lebih banyak. Terlalu banyak.

Yang jelas, saya terlalu gerun memikirkan diri sendiri. Islam sedang menang. Adakah saya masih bersama kafilah kemenangan ini sehingga akhirnya? Allahu A’lam. Proses penapisan sedang dan akan terus berlaku. Ya muqallibal qulub, thabbit qulubana ‘ala deenik..

p/s - cerita ini ada part laghanya, tidak digalakkan untuk ditonton. Allahu A'lam

Friday, June 18, 2010

Dompet...

Terkadang itu rasa berputus asa itu hadir. Dan adakalanya kita mengeluh pada manusia. Dan ramai yang memberi sepatah kata.

“Takpe Afeera, kalau dah tidak boleh itu, berhenti sahaja”.

Ada juga ukhti yang memberitahu kata-kata ibunya, “Ramai yang aktif dulu-dulu semasa zaman ibunya, kini tiada lagi di dalam jemaah”.

“Ada yang aktif di kampus akhirnya keluar tanpa ijazah”.

Macam-macam lagi. Tapi kata-kata itu juga tarbiah Allah hakikatnya. Semasa kita keletihan, terkadang kita tidak mahu mendengar kisah Tabuk, Uhud mahupun Badar. Kita rasa kita bukan seperti sahabat Rasulullah SAW. Atau kita rasa, “Senang je kau cakap, kau tidak rasa apa yang aku rasa”.

Tapi bila manusia mengungkapkan kata-kata yang boleh melemahkan kita, bukan dengan kisah kekuatan, ia juga boleh menjadi tarbiah Allah. Kata-kata itu macam reverse psychology. Kita rasa nauzubillah kalau nak berhenti. Kita ingat Allah secara tiba-tiba. Kita teringat inilah jalan perjuangan. Dan akhirnya kita mengungkapkan kata,”Takpelah, doakan saya ye”.

Hidup ini penuh tarbiah. Kelemahan juga adalah tarbiah. Macam kisah Hatib. Berulang kali saya baca kisah Hatib dan saya akan menangis.

Takpelah, abaikan sahaja semua itu.

Hari ini saya beri kongsikan sesuatu dari buku Hazaddeen.

Kata Assyahid Syed Qutb, “Iman yang sebenar tidak akan mantap di hati kecuali setelah hati ini bermujahadah melawan manusia kerana secara tidak langsung ia sebenarnya telah bermujahadah melawan dirinya sendiri. Mereka selama-lamanya tidak akan memahami fenomena alam ini jika masih memerap diri, duduk dalam keadaan aman dan selesa. Sebaliknya dengan iman, mereka akan dapat memahami fenomena alam ini. Mereka juga tidak akan dapat memahami dengan jelas segala realiti manusia dan realiti kehidupan ini melainkan setelah mereka melalui proses ini. Jiwanya, emosinya, fikirannya, adatnya, nalurinya dan reaksinya tidak akan dapat merasai apa yang dirasainya kecuali apabila mereka melalui pengalaman yang sukar dan perit ini”.

Dahsyat kan kata-kata itu? Iman adalah keyakinan. Kita tidak akan yakin betul-betul seandainya kita tidak bermujahadah. Iman tidak akan mantap tanpa mujahadah. Kita dapat iman ini simple kan? Ada orang suap. Iman kita longgar sebab tiada mujahadah. Samalah keadaannya iman ini seperti memegang dompet. Kalau kita rasa tempat itu selamat, kita pun mesti pegang biasa-biasa sahaja. Tapi kalau kita tahu tempat itu banyak peragut, kita mesti pegang dompet itu kuat-kuat kan? Begitulah iman. Kena mujahadah. Cuba tengok sahabat nabi dapat iman macam mana. Tengok Bilal dapat iman macam mana. Tengok Sumayyah pula. Mereka dapat iman itu dengan kesusahan. Sebab itulah jalan ini susah. Kita kena lawan nafsu kita dalam mendapatkan iman itu.

Apa maksud mujahadah? Ramai sahaja yang menggunakan istilah mujahadah ini. Ada yang guna masa exam. Ada yang kata mujahadah melawan hawa nafsu. Maksud Assyahid Syed Qutb, mujahadah adalah dengan bencikan kebatilan dan mujahadah memindahkan manusia dari alam batil kepada kebenaran. Itulah cara dan manhaj Rasulullah SAW. Baginda mengajar para sahabatnya membenci Jahiliah dengan sebenarnya dan selepas itu membawa manusia pula. Usaha begitulah yang dipanggil mujahadah.

Kesabaran atas mehnah menjadikan seseorang itu tetap teguh tetap dan terus mara. Kalau kita tidak buat dakwah ini, kita tidak rasa iman. Kalau kita buat dakwah ini di saat sukar, dan datang pertolongan Allah, masa itulah kita yakin dengan jalan yang kita pilih ini. Saat itulah iman kita bertambah-tambah.

Pernah sekali, sehari nak exam dan saya masih berprogram. Penat sangat. Saya rasa tawakal ‘alallah sahaja pergi exam. Saat sampai di lif hospital, saya terjumpa kawan. Dia kata Prof tak boleh ambil exam clinical hari itu, esok baru Prof ada. Masya Allah, nak menangis saat saat itu. Nak sujud syukur terus je. Rasa sangat bantuan Allah. Dan akhirnya saya punya sehari lagi untuk praktis.

Ada sekali semasa exam orthopedic, saya tidak sempat nak praktis. Case di ward pun melambak. Mana-mana case pun boleh dapat. Tapi saya cuma praktis examination Diabetic Foot Ulcer. Saya revise banyak kali topik itu pagi hari nak exam itu. Semasa exam, saya dapat case foot abscess. Patient itu ada diabetis juga. Tidak banyak beza dengan apa yang saya ulangkaji. Saat itu terasa bahawa benarlah janji Allah. Saya tahu keputusan saya tidak sehebat yang lain. Tapi merasai perasaan ketika itu begitu indah.

Hakikat iman dan kehidupan manusia tidak akan terbuka ufuqnya tanpa mujahadah dan melalui kepenatan. Penatlah yang akan membuka banyak ufuk terhadap iman ini.

Semalam conduct program. Program itu benar-benar menguji saya. Stressnya begitu membukit. Menangis sahaja kerja saya. Kata seorang adik, “Tawakal ‘alallah”. Hati saya membentak. Bagaimana nak tawakal? Di saat akhir juga, Allah masih menguji. Tapi di akhirnya, Alhamdulillah atas segalanya. Saat itulah, saya membenarkan kata-kata adik tersebut, “Tawakal ‘alallah”.

Teringat satu kisah yang pernah saya baca. Tapi semalam Allah mengajar kisah ini dengan hati. Benar, nak dapat iman itu perlu buat. Usah bertawakal dengan usaha kita dalam gerak kerja dakwah kita, bertawakallah hanya semata-mata kerana Allah. Allahu A’lam. Terpanjang pula entri ini.

Nak baca kisah tersebut, boleh baca di sini.

Allahu A’lam.

Wednesday, June 16, 2010

Susahnya..

Saya tahu saya tiada masa untuk menulis. Tapi terkadang tekanan itu ada dan tulisan sebaik-baik rawatan dan teman yang mujarab bagi saya.

Tahun akhir memang susah. Tapi saya rasa gerak kerja dakwah beribu kali susah. Susahnya nak berkomunikasi dengan manusia. Susahnya nak buat kerja. Susahnya nak menarbiah adik-adik. Susahnya mendidik diri sendiri. Susahnya nak beramal jamaie. Susahnya segala-galanya.

Terkadang ingin sahaja saya luahkan pada naqibah, saya mahu berhenti. Tapi semalam naqibah sendiri meluahkan betapa sukarnya jalan dakwah yang dilaluinya. Betapa susah mengumpul manusia. Saya tidak mampu meluahkan tekanan yang ada dalam diri saya sendiri. Saya tidak mahu menambah beban di pundaknya. Itulah sebabnya jalan ini amat memerlukan Allah. Itulah sebabnya jalan ini amat memerlukan pemikulnya berqiamullail.

Gunung pun tidak mahu kerja ini. Makhluk lain juga tidak mengingininya. Terpikullah kerja ini di bahu manusia.

Hari ini dakwah dan tarbiah bukan dicari, sebaliknya duat itu perlu menawarkan. Lebih sukar begitu. Tapi seandainya berjaya, maka itu adalah lebih baik dari dunia dan seisinya. Itulah motivasi kita.

Terkadang tertanya-tanya, mengapa manusia memilih kita yang seperti bangkai dan tahi ini?

Senang sahaja manusia mencalonkan. Sedang yang memikulnya benar-benar dalam kepayahan.

Saya tidak menginginkan jawatan ini. Saya rasa hanya orang gila sahaja yang menginginkan hal-hal ini. Saya rasa tidak layak,hatta sekecil zarah kelayakan juga tiada. Saya benar-benar tidak mahu. Beratnya kerja ini ditambah dengan beban akademik yang bertimpa menambah sesak di dada. Tapi qadarNya mengkehendaki begitu. Bukan manusia yang memilih, tapi Dia. Allah sedang menarbiah pastinya...

Saya amat berharap Allah tidak menfuturkan saya kerana semua perasaan yang bercampur baur ini.

Saya nak sangat istiqamah tapi saya merasakan jalan ini terlalu susah. Sangat-sangat susah. Mampu ke saya istiqamah?

Terkadang saya mencari sebab-sebab kefuturan di kalangan duat lepasan universiti? Adakah disebabkan kepenatan bekerja semasa di universiti dahulu sehingga merasa serik dengan jalan ini?

Saya tahu soalan-soalan ini tidak patut saya ajukan. Cuma terkadang ingin mengetahui asbab agar saya dapat mengelak dari semua itu.

Saya terlalu takut akan kefuturan.

Ya Allah, aku tidak mungkin istiqamah tanpa kuasaMu..

Ya Allah, aku tidak mungkin kuat tanpa pimpinanMu..

Aku mengharap diriMu bersamaku dalam perjalanan ini.

Ya Allah, tariklah nyawa ini semasa imanku berada di puncaknya...

Ya Allah, tariklah nyawa ini semasa aku masih berada di atas jalan dakwah dan tarbiah..

Ya Allah, seandainya Kau tahu bahawa aku tidak mungkin istiqamah, panggillah aku untuk bertemuMu sebelum semua itu terjadi...

Sungguh diri ini tidak berdaya...

Sunday, June 13, 2010

70 000~

Esok seandainya masih menghidup udara Allah, saya akan memasuki tahun akhir pengajian. Tidak mungkin saya tahu perkara yang tertakdir. Posting pertama adalah pediatrik. Ada keresahan dalam hati. Bagaimana saya akan melalui tahun ini? Bisik hati, serahkan sahaja sepenuhnya pada Allah.

Semalam berbual dengan mak di telefon. Saya balik awal kerana meeting dan lainnya. Sukar juga mahu menepis rasa rindu pada rumah. Bual dengan mak, saya luahkan rasa bosan. Menatap buku pediatrik, ada rasa jemu yang datang. Minggu lepas saya melawat kawan di hospital. Aroma hospital juga menambah sesak. Inilah kehidupan saya di hari-hari mendatang. Inilah jalan yang saya pilih.

Mak ingatkan tentang satu hadis. Semasa minggu pertama cuti, ada program. Balik dari program, saya beritahu mak hadis tersebut. Dan mak yang mengingatkannya semula.

Seorang ustazah yang sampaikan hadis ini…

Sesiapa yang menziarahi seorang pesakit di waktu pagi, nescaya 70 000 malaikat akan berselawat ke atasnya sehinggalah ke petang. Jika pada waktu petang, nescaya 70 000 malaikat akan berselawat ke atasnya hingga waktu pagi. (HR Ahmad)


Ustazah kata mereka yang diberi peluang belajar perubatan perlu bersyukur kerana berpeluang melawat pesakit berhari-hari. Of courselah niat itu kena perbetulkan, bukan di atas dasar kerja semata-mata. Minggu lepas juga saya bertemu dengan akhawat UIA. Ada seorang adik yang berasa sedih kerana tidak berpeluang belajar dalam bidang perubatan. Ramai manusia yang tergila-gila bidang ini, tapi Allah jua yang memilih hambaNya. Dan pastinya kita perlu yakin, Allah hanya mentakdirkan yang terbaik.

Bila ustazah dah sebut tentang syukur, ustazah tanya tentang rukun syukur. Saya tidak tahu pun syukur itu ada rukunnya. Rukun syukur ada tiga. Pertama kita mengiktiraf nikmat yang Allah berikan itu. Kedua, kita menyebut-nyebut nikmat itu. Ketiga, kita taat pada Allah yang mengurniakan nikmat itu.

Analogi yang ustazah berikan adalah seperti orang yang dapat tajaan JPA. Dia mengiktiraf bahawa JPA menajanya. Kemudian dia beritahu satu kampung mengenai tajaan JPA yang diperolehinya. Dan kemudian, mak bapa dia kata tidak boleh lawan kerajaan (taatlah kononnya)…

Kena sebut-sebut nikmat yang Allah berikan. 70 000 malaikat? Tidak tergambar rasanya. Hadis ini yang memotivasikan saya untuk melalui hari esok. Terima kasih juga pada mak yang mengingatkan.

Ustazah pernah ingatkan juga dulu mengenai usrah semasa exam. Ustazah kata, lagi nak exam, lagilah gila berusrah. Sebabnya malaikat turun semasa majlis ilmu. Majlis ilmu kan taman syurga. Kata ustazah, malaikat yang turun itu berlapis-lapis sampai langit Allah. Kalau study, duduk sorang-sorang, belum tentu lagi doa kita diangkat. Kalau datang usrah, berlapis-lapis malaikat yang nak mengangkat doa kita ke langit Allah. Tidak mahu ke? Maka, silalah gila berusrah, membawa usrah dan diusrahkan…

Sebut pasal syukur, ustazah sebut juga tentang iklan-iklan di TV. Ramai manusia yang tidak mengiktiraf nikmat yang Allah berikan. Kulit mahu diputihkan, rupa mahu disolek sebanyaknya. Mereka menafikan nikmat Allah. Baru saya tahu, mereka yang dalam iklan itu tidak bersyukur rupanya…

Bicara saya melompat-lompat. Mudah-mudahan ada yang yang memahaminya.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan hambaNya yang bersyukur…

Ameen ya rabbal a’lameen…

Thursday, June 10, 2010

Children Around the Prophet...

Ada lagi kisah yang penceramah ceritakan selain kisah Rasulullah SAW dan burung Abu Umair. Kisahnya berkenaan dengan seorang wanita yang mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW.

"Ada seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah SAW sedang dirinya hamil kerana berzina. Dia berkata: Wahai Rasulullah aku telah melakukan kesalahan yang menyebabkan aku terkena hudud, maka laksanakanlah hudud itu kepadaku. Kemudian Rasulullah SAW memanggil wali perempuan ini dan bersabda: Berbuat baiklah kepadanya apabila sudah melahirkan bawalah dia kepadaku." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Kemudian selepas wanita itu melahirkan dan cukup tempoh penyusuan bayinya, dia dijatuhkan hukuman hudud. Sesudah dia meninggal dalam hudud, baginda mensolatkannya. Umar RA bertanya: Wahai Rasulullah mengapa engkau mensolatkan wanita ini padahal dia berzina. Rasulullah bersabda: Wanita ini benar-benar bertaubat seandainya taubat itu dibahagi kepada 70 orang Madinah nescaya masih cukup. Pernahkah kamu mendapatkan orang yang lebih utama daripada seorang yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Azza Wa Jalla".

Selalunya bila dengar kisah ini, tergambar keadilan islam. Itu sahaja yang saya nampak. Tapi penceramah membuatkan saya melihat kisah ini dari sudut pandang yang lain.

Pernah tak kita terfikir mengenai anak yang dilahirkan oleh wanita ini? Saya tidak pernah terfikir pun. Tapi hakikatnya Rasulullah SAW memikirkannya. Rasulullah SAW memikirkan nasib anak ini. Rasulullah SAW membenarkan anak ini disusukan.

Pernah tak terfikir perasaan anak ini setelah dia besar? Pastinya dia berterima kasih pada Rasulullah SAW kerana memberi peluang dia merasakan kasih sayang sayang ibunya dan berpeluang disusukan oleh ibu kandungnya sendiri. Paling utama, anak ini yakin dan membesar dengan keyakinan bahawa Allah SWT telah mengampuni ibunya. Tiada siapa boleh mengatakan sesuatu berkenaan dengan ibunya.

Banyak lagi hikmah yang perlu kita gali dalam catatan sirah kan? Sirah mengumpul jutaan hikmah. Benarlah bahawa baginda memiliki akhlaq yang terbaik.

Seandainya berminat, bolehlah cari di laman maya koleksi kuliah Children Around the Prophet oleh Dr Hesham Al Awadi. Best untuk para murabbi dan menambah kecintaan yang amat kepada sang rasul.

Nughair..


Kelmarin semasa memandu, saya dengar kuliah mengenai kekasih agung, Rasulullah SAW. Mendengar kisah yang diceritakan, saya jadi sangat rindu pada kekasih Allah itu.

Kisahnya berkenaan dengan Rasulullah SAW dan Abu Umair. Abu Umair ini bukan bapa orang tapi dia adalah seorang kanak-kanak kecil yang masih menyusu atau baru di peringkat umur setelah menyusu. Kenapa dipanggil dengan panggilan Abu di hadapan namanya? Di dalam Islam, ada sesuatu yang dipanggil Kunyah, meletakkan nama Abu atau Ummu di hadapan nama supaya anak-anak lebih cepat matang. Allahu A’lam umur Abu Umair ini berapa. Dan Abu Umair ada seekor burung kecil. Namanya Nughair. Setiap kali Rasulullah SAW jumpa Abu Umair, Rasulullah SAW sentiasa bertanya, “Wahai Abu Umair, bagaimana Nughair?”

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan hadits Anas, dia bercerita : Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan aku memiliki seorang saudara yang biasa dipanggil dengan sebutan Abu 'Umair (dia (perawi) berkata : Saya kira, anak baru disapih). Beliau datang, lalu memanggil : Wahai Abu 'Umair, apa yang sedang dilakukan oleh si Nughair kecil. Sementara anak itu sedang bermain dengannya.

Saat Anas riwayatkan hadis ini, Anas mulakan dengan menyebut bahawa Rasulullah SAW mempunyai akhlaq yang terbaik. Sahabat dapat melihat serba serbi kelakukan Rasulullah SAW yang hebat itu meskipun baginda dengan seorang anak kecil. Cara Anas menceritakan hadis ini seakan-akan menjadi rutin Rasulullah SAW untuk menziarahi Abu Umair.

Satu hari Rasulullah SAW melihat Abu Umair bersedih. Burung Abu Umair, Nughair sakit dan mati. Rasulullah SAW bertanyakan Abu Umair, “Wahai Abu Umair, bagaimana Nughair?” Macam orang tanya khabar, kadang memang nampak jelas orang itu sihat walafiat tapi kenapa tanya? Sebabnya untuk menunjukkan keprihatinan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW prihatin sangat dengan kanak-kanak, prihatin dengan perasaan anak itu. Seakan Rasulullah SAW memberitahu Abu Umair tidak salah bersedih. Siapa peduli dengan matinya seekor burung? Tapi kisah ini terakam dalam hadis. Rasulullah SAW peduli dan Rasulullah SAW tahu nama burung itu. Dan kita semua akan membaca hadis ini sehingga kiamat dan semua orang tahu burung Abu Umair adalah Nughair. Best kan jadi Abu Umair, semua orang tahu berkenaan burung kesayangannya.

Kemudian Nabi SAW duduk sebentar bermain dengannya. Ketika para sahabat sedang lewat, mereka mendapati Nabi SAW sedang bermain-main dengan Umair. Nabi SAW melihat mereka dan bersabda, "Nughair telah mati dan aku ingin bermain-main dengan Abu Umair."

Hebat kan Rasulullah SAW. Siapa baginda? Seorang panglima tentera, seorang murabbi, seorang mujahid, seorang suami, seorang ayah and the list goes on. Tapi dia masih mampu memperuntukkan masanya untuk seorang anak kecil.

Kadang aktifnya kita membuat orang sekeliling kita terasa. Kitalah insan yang sentiasa tiada di rumah, jarang berkunjung ke rumah saudara. Aktifnya kita kadangkala membuat teman yang tidak bersama kita dalam medan terasa. Kitalah manusia yang perasan sibuk.

Kadang tertanya-tanya kehabatan baginda Rasulullah SAW. Bagaimana dia membahagiakan masanya? Mungkin kita ini belum ikhlas dalam kerja-kerja kita sehinggakan kita belum menguasai masa lagi, sedang masa pula ditundukkan buat baginda.

Muhasabah diri lagi nampaknya…

Monday, June 07, 2010

Guatemala...

Sink hole: This incredible picture shows a 200ft-deep hole in an intersection in downtown Guatemala City. In the top left of the intersection stood a three-storey building


Membaca sekilas berita di Star. Di sebalik berita utama, catatan kecil mengenai kejadian di Guatemala dibaca. Hebatnya kuasa Allah. Dengan kun fayakun, lubang sedalam 200 kaki tercipta di tengah-tengah bandar. Di dalam Star, ahli geologinya masih belum mengetahui punca kejadian. Membaca di laman maya, ahli geologinya mengatakan bahawa proses itu terjadi dengan mengambil masa beratus tahun. Tapi kita yang muslim percaya kuasa Tuhan. Kun fayakun, maka jadilah dia.

Saya bermuhasabah...

Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.(3:26)


Hari ini Allah memuliakan segelintir golongan. Mudah-mudahan diri tidak lupa. Mudah-mudahan kita tidak berkompromi dengan kebatilan setelah ditunjukkan dunia popular. Hari ini Allah berkuasa memuliakan, esok dia berkuasa menghinakan manusia.

Dunia ini menipu sedang kerja daie tidak pernah menjanjikan kepopularan. Sunnatullah jalan dakwah ini pasti. Bukan dunia glamour yang menanti di jalan ini.

Terkadang musuh bekerja. Dihidangnya kita dengan dunia popular. Hanyut dan karam kita di dalamnya.

Ada ustaz yang ikhlas kerja dakwah dan tulisannya akhirnya berkompromi dengan penghasilan drama yang jelas menunjukkan kebatilannya. Dunia popular terkadang menjejaskan keikhlasan kita. Mungkinkah kebaikan bercampur dengan kebatilan?

Ada ustaz rock yang dulu popular. Media memujanya dan kemudian menjatuhkannya. Hari ini manusia mengecam perkahwinan keduanya. Manusia lupa dakwahnya. Dunia ini menipu lagi. Dan terkadang daie itu lupa. Dia cuba menjustifikasi tindakannya. Sedang segalanya adalah salah.

Dalam buku fiqh dakwah, sheikh kita pernah menulis. Di sana ada manusia yang sedang menyalakan manusia lain sedang dirinya terbakar. Sama seperti lilin tapi dirinya tidak beroleh apa-apa di sisi Allah.

Ada yang menulis kata-kata indah, namun keindahannya berakhir dengan berakhirnya dia kerana keikhlasannya tiada.

Ada yang berbicara dengan kata-kata indah sehingga manusia menangis tapi keesokan harinya manusia terlupa mengenai dakwah yang dibawanya kerana tiada ikhlas di hatinya.

Sedang di sana ada insan yang terus bekerja. Kata-katanya menyebabkan manusia mengantuk namun keikhlasannya membuat dakwah ini terus bertebaran di seluruh pelusuk alam.

Ingat lagi kisah mengenai seorang ikhwan? Dia berada di enam tempat dalam satu malam tapi kemudiannya dia yang paling awal ke tempat kerja dan bekerja tanpa tersisa kepenatan di wajahnya. Dia cuba sedayanya menjaga keikhlasannya. Tiada siapa tahu kerjanya di malam sebelumnya.

Kita? Mungkin sekali bekerja dalam seminggu namun manusia keseluruhannya tahu kepenatan kita.

Betapa dunia ini menipu.

Membaca kisah aktivis di Indonesia yang ditembak di dada. Kata-katanya sewajarnya menjadi renungan.

HD: Apa kesan Surya atas peristiwa ini?

SY: Nggak tahu nih mas. Saya hanya berfikir, apa pelajaran bagi saya atas peristiwa ini? Mengapa Allah masih menyelamatkan saya? Jangan-jangan, saya mungkin belum pantas syahid. Tapi dari semua itu, saya akan jaga amanah Allah atas keselamatan dan kesehatan ini, insya Allah.


Mengapa bukan kita yang dipilih Allah? Mudah-mudahan ini adalah muhasabah buat kita..

Dunia indah menipu
Perangkapnya kan menjeratmu
Segera bebaskan dirimu
Jadikan Qur'an pemandu
Tetapkan azzam di jiwa
Jihad dakwah di jalanNya
Serahkan diri padanya
Raih kemenangan nyata

Binalah diri dengan agama suci
Ikhlas hati hanya tuk Illahi
Kibarkan tinggi panji Robbul Izzati
Wujudkan kehidupan Rabbani

Muhasabah ini pastinya untuk saya terutamanya...

Wednesday, June 02, 2010

Kijang...

Semalam pergi demonstrasi. Saya, dan keluarga tiba lewat. Tidak sempat untuk bersama dengan demonstrasi bantahan NGO-NGO Islam yang bermula lebih awal. Akhirnya ikut berdemonstrasi dengan kumpulan PAS dan PKR.

Ramai nama-nama besar yang hadir. Tapi bagi saya ucapan yang paling menyentuh hati datang dari seorang CIna. Siapa? Tian Chua. Dia memulakan ucapannya dengan salam. Dan kemudian di akhirnya melaungkan beberapa kali – Hidup Palestin! Hidup Palestin! Hidup Palestin!

Masya Allah. Jujur saya rasakan hatinya lebih Islam dari orang Islam sendiri. Teringat surat-surat Maryam Jamilah dan Maududi. Sebelum Maryam Jamilah melafazkan keislamannya, pernah Maududi mengirimkan surat dan memulakannya dengan lafaz salam. Hal itu menimbulkan kehairanan dalam diri Maryam Jamilah dan dia bertanyakan Maududi hal itu. Kata Maududi, dia dapat merasakan bahawa hati Maryam saat itu telah disirami dengan sinar Islam. Masya Allah! Moga Allah melimpahkan sinar hidayahNya buat Tian Chua.

Pelik kan bila seorang Cina mempunyai rasa hati terhadap Palestina. Naqibah saya seorang Penolong Kanan di sekolah. Ada guru Melayu yang mengatakan padanya, “Kenapa susah-susah konvoi ini? Kita memang tidak boleh kalahkan Israel itu. Kenapa nak berdemonstrasi?”

Jujur saya katakan dari kaca mata saya yang kerdil, di Malaysia sensitivitinya kurang. Demonstrasi semalam pun sedikit. Mungkin kita yang ditarbiah faham bahawa mereka yang namanya Muslim ini tidak pernah diberikan kefahaman bahawa Palestin adalah aqidah. Tapi pelik sangat bila mereka tiada common sense, tidak rasa sedikit pun isu ini dari sudut kaca mata kemanusiaan. Hati itu dah jadi hati binatang ke? Hati itu dah jadi keras macam batu ke?

Mungkin betul bicara dalam Muntalaq. Kita adalah anak singa yang bertukar menjadi kijang yang pengejut. Kita sudah terdoktrin dengan AF, Mentor dan beribu juta jahiliah yang ada sampai tak sensitif langsung hal ini.

Petikan dari buku AlMuntalaq:

Pejuang-pejuang muda dan anak-anak singa dididik supaya berlembut dan tunduk kepada syahwat, mengikut hawa nafsu, karam dalam keseronokan seks dan kemewahan hidup.

Seterusnya mereka padamkan sejarah umat Islam yang bertamadun tinggi. Mereka hapuskan kisah kisah para ulama’ kerana bimbang ia akan menjadi lampu penyuluh untuk generasi baru muslim, ditakuti menunjukkan jalan kerja kepada mereka semula.

Kandungan madah penyair Islam Muhammad Iqbal Rahimahullah membongkar taktik kotor mereka:

Zaman satu bangsa yang hina tidak pernah sunyi dari ilmuan, sasterawan dan orang yang arif bijaksana!
Mereka dipecahbelahkan dengan berbagai ideologi tetapi semua ideologi itu tertumpu kepada satu rencana:
Mereka ajar anak singa agar menjadi kijang yang pengecut dan mereka hapuskan kisah-kisah singa pada bicara zaman silam
Cita-cita mereka, menggembirakan hamba dengan perhambaan
Seluruh pengajaran mereka hanyalah penipuan cendekiawan.

Rancangan mereka telah benar-benar berjaya. Inilah mercu tanda perancangan kaum Yahudi dan Kristian. Mereka asuh anak anak singa Islam menjadi kijang yang pengecut. Mereka padamkan kisah singa-singa Islam dari kalangan para ulama’, ahli zuhud dan para pejuang Islam dari sejarah abad pertama Islam.

Sistem pendidikan jahiliyah dan taghut Yahudi Kristian ini telah melahirkan kijang-kijang yang pengecut, tidak lagi mampu menerkam. Kijang-kijang ini tidak mahu lagi memikul apa-apa tanggungjawab dan sentiasa cuba melarikan diri seboleh-bolehnya….!

Inilah generasi baru dari putera-putera Islam…! Mereka itu adalah anak-anak singa yang bertukar menjadi kijang yang pengecut. Sebenarnya mereka itu adalah putera-putera muslimin yang merdeka, Mereka diperhambakan, lalu mereka bergembira.

Perancangan mereka telah berjaya. Apa yang berlaku sekarang, kita dapati terdapat sesetengah orang yang ikhlas lebih cenderung untuk beruzlah, mengasingkan diri dan takut berganding bahu bersama-sama umat Islam.. tidak lain melainkan adalah akibat pengaruh daripada kesan pendidikan tersebut. Ini jelas membuktikan keberkesanan perancangan mereka.

Ianya bukanlah suatu yang menghairankan. Kalaulah mereka telah berjaya menjauhkan ramai orang Islam dari Islam sendiri, maka tentu lebih mudah bagi mereka untuk menjauhkan lebih ramai lagi orang Islam dari sebahagian dari Islam. Mereka meyakinkan kebanyakan orang Islam dengan perlunya mengasingkan diri (beruzlah) dan lebih baik berjaga-jaga dari sebarang kerja yang mengundang risiko kepada mereka (jihad dan amal Islam).

Ketika itu, bermulalah fasa kedua musuh-musuh Islam. Berlakulah proses
peralihan cepat dari Islam kepada jahiliyyah...!

Begitulah muhasabah hari ini. Allahu A’lam.

Hebatnya...

Saya malu dengan diri sendiri. Hati saat ini perlu dibasuh dan dipolish.

Tadi semasa usrah, seorang ukhti berkongsi kata-kata makcik Mahiza, isteri kepada Ustaz Hasanudin yang menyertai konvoi - Suamiku antara kekasih hatiku dan kekasih Allah; aku merelakan kekasih hatiku dijemput menjadi kekasih Allah.

Apa yang kamu doakan untuk peserta konvoi dalam doa kamu? Saya doakan keselamatan mereka pergi dan balik. Tapi dengarlah bicara Ustaz Hasanudin sebelum pergi - "Doakan ana tidak pulang. Jika rezeki ana, insya Allah syahid menanti ana. Jika rezeki jemaah, insya Allah ana pulang dan akan bekerja untuk jemaah".

Masya Allah, dia minta agar didoakan agar dia tidak balik.

Hebatnya. Malu sungguh diri ini. Terkesima sebentar menghayati kata-kata beliau.

Kata naqibah saya, tidak pernah terfikir pun ikhwah dari Malaysia akan diberi peluang untuk syahid di bumi Palestin. Tapi Allah sudah membuka peluang tersebut.

Mungkin satu masa nanti kita pula yang dipilih. Takbir! Allahu Akbar!

Maka saat ini menjadi kerja kita untuk memenuhi syarat-syarat untuk dipilih oleh Allah.

Ya Rabb, kurniakan kami syahid di jalanMu. Pilihlah kami untuk syahid di jalanMu. Ameen Ya Rabbal 'Alamin.

Tuesday, June 01, 2010

Buku...

Malam ini terlalu panjang. Terlalu sukar rasanya untuk tidur. Saya mengulang membaca buku Hazaddeen. Buku ini saya rasakan terlalu dekat. Bukan taksub pada Assyahid Syed Qutb, cuma jujur saya rasakan tulisannya terlalu hebat.

Berada dalam dakwah dan tarbiah, terkadang rasa frustration itu ada. Ada sahaja rasa hati untuk menjadi pengganas. Mahu memberontak. Benci benar rasanya melihat segala kezaliman yang berlaku. Sungguh buku ini yang merawat segalanya. Hazaddeen ditulis oleh Assyahid Syed Qutb pasca kegilaan penindasan gerakan Islam oleh golongan nasionalis di timur tengah terutamanya di Mesir dengan Rejim Jamal Abdul Naseer yang menangkap, menyiksa dan membunuh pejuang-pejuang Islam ini secara besar-besaran. Wujudnya satu perasaan down di kalangan penggerak Islam di waktu itu akibat tekanan yang memuncak dari kerajaan dan kurang yakin kepada janji Allah akan kemenangan Islam dan hilangnya kepercayaan mereka akan keberolehan kemenangan melalui manhaj yang mereka imani sebelumnya. Reaksi dari situasi ini adalah wujudnya dua pihak dari golongan wasatiyyah Islamist; mereka yang radikal dalam perjuangan dan mereka yang meninggalkan perjuangan.

Itu yang saya rasakan. Frust dan down. Dan Assyahid Syed Qutb menulis buat mereka yang merasai perasaan ini.

Tadi mak tanya, “Kenapa Allah ciptakan orang Israel?” Jujur kalau sebelum membaca dan membedah buku ini, soalan tersebut dan banyak lagi soalan yang bermain di hati saya. Kenapa Islam tidak menang? Kenapa Allah biarkan musuh Islam biadab sangat? Kalau Islam ini benar dan milik Allah, kenapa Allah tidak tolong agama ini? Mana malaikat? Mana pertolongan Allah?

Kata Syed Qutb, soalan ini tidak akan ditanya oleh mereka yang beriman dengan sebenarnya kepada Allah. Soalan ini hanya diajukan oleh mereka yang kufur. Nauzubillah. Kata Syed Qutb lagi, seorang yang beriman tidak akan mempersoalkannya kerana beliau seorang yang tahu berbudi bahasa dengan Allah. Beliau memahami zat dan sifat-sifat Allah. Beliau juga amat memahami tabiat dan batas kemampuannya sebagai manusia. Sebagai manusia beliau tidak diberikan kemampuan untuk memahami kesemua perkara ini. Agama ini milik Allah, suka hati Allah, siapa kita untuk mempersoalkannya?

Dalam buku ini diterangkan tabiat jalan agama ini. Agama ini hanya akan menang dengan usaha manusia. Itu sunnah yang Allah tetapkan. Allah tidak mahu manhaj ini terlaksana melalui cara yang luar biasa dan pelik!

Membaca peristiwa Uhud yang Syed Qutb nukilkan dalam buku ini juga membuatkan hati saya hiba. Kenapa Allah Taala kalahkan tentera Uhud? Uhud adalah perang yang kedua, sebelum itu perang Badar. 300 vs 1000 tapi 300 boleh menang. Timbul dalam hati orang Islam, bahawa Islam pasti menang dalam Uhud. Tidak semestinya. Sekiranya kita tidak memenuhi syarat yang Allah janjikan, kita akan kalah. Terkadang Allah mengajar kita dengan darah. Dah berapa kali Allah ajar kita dengan darah?

Tarbiah kali ini sebenarnya meruntun hati. Namun janji Allah pasti datang. Seperti juga yang Syed Qutb tuliskan, masa depan adalah milik agama ini.

Jujur buku ini saya rasai rohnya. Kekalutan akibat tekanan dan penyiksaan dan kegilaan pendokong Nasionalist merobohkann binaan-binaan Islam telah menggerakkan hati Asy-Syahid untuk menghasilkan satu karya tribute untutk pendokong-pendokong Islam ini, dan hasilnya, lahirlah Hazaddeen sebagai ubat untuk melempar jauh perasaan down di kalangan du’at Islam dan memacu mereka agar yakin dengan janji Allah.

Hazaddeen adalah karya yang penuh dengan motivasi untuk para duat, fakta-fakta yang tak terfikirkan oleh kita tentang Islam, ciri-ciri Islam yang sering dilupai dan tidak diperkudakan untuk kemajuan da’wah, pengajaran dari seerah silam dan seribu satu lagi suntikan-suntikan yang sememangnya diperlukan oleh seorang da’i.

Allahu A’lam

Catatan...

Tadi sempat bersolat hajat dengan sahabat sahibah kenalan ayah. Allah memberi peluang bersembahyang di sebelah Dr Fauzanah, zaujah Dr Arbaie, salah seorang peserta konvoi. Masya Allah, terdetik kekaguman melihat peribadi dan kesabarannya dalam menghadapi segalanya.

Moga Allah memberi kekuatan buat para pejuang dan juga keluarga mereka.

Sungguh saya rasakan diri ini terlalu bodoh apabila terlalu kaku dan tidak mampu melakukan apa-apa untuk Palestina.

Berikut adalah catatan-catatan yang pernah ditulis sebelum ini, moga ada khairnya.