Saturday, April 12, 2008

Hakikat kesedaran..

Di kolej saya ini, setiap minggu akan diadakan sesi reflection (muhasabah) kumpulan bersama mentor masing-masing. Kami perlu merancang ‘goal’ kami untuk cognitive (akademik) dan juga affective (bukan akademik) tiap-tiap kali sesi reflection berlangsung. Saya teringat insiden reflection beberapa minggu yang lepas. Seorang kawan mencadangkan ‘affective goal’ kami pada minggu itu adalah untuk menyertai kuiz sambil menderma di laman web www.freerice.com .

Tanpa berfikir panjang saya menanyakan dia soalan. Kenapa perlu bermain kuiz untuk menderma? Bagi satu soalan yang betul, kami hanya menderma 20 butir beras. Apa yang mampu dilakukan oleh 20 butir beras? Kalau nak derma, derma sahajalah kan? Kenapa nak sertai kuiz ni?

Lantas mentor saya memberikan jawapan. Sekiranya kami menganjurkan kempen untuk menderma, orang ramai akan menderma. Seusai derma, semua akan melupakan kempen tersebut. Tapi dengan menyediakan kuiz seperti ini, kita bukan sahaja mengajak orang menderma sebaliknya turut memberi kesedaran kepada manusia lain. 20 butir nasi tersebut mungkin sahaja tidak bermakna kepada kita tapi amat bermakna kepada insan lain. Saya cuba untuk memahami.

Dan saat ini saya lebih memahami hakikat ini selepas membaca beberapa halaman terawal buku Gaza Diserang!. Terharu rasanya membaca pesanan ringkas Menteri Luar Palestin, Dr Mahmoud Zahar. Baru kini saya memahami hakikat kempen USD1 daripada setiap Muslim untuk Palestin. Tujuannya bukan untuk mengajak orang ramai menderma tapi untuk menyedarkan umat Islam lain akan hakikat perjuangan yang terus berlangsung di bumi tersebut.

”Mengapa kami merayu USD1 daripada setiap Muslim? Adakah semata-mata untuk mengisi perut kami? Tidak sekali-kali!”

”Jika anda merasakan bahawa kami (rakyat Palestin) ingin mengemis duit anda untuk mengisi kekosongan perut kami, anda sememangnya telah melakukan kesilapan yang amat besar!”

”Rakyat Palestin telah biasa hidup dalam kesusahan. Kami rela hidup dalam kesengsaraan dan kepayahan demi menjalankan tanggungjawab kami mempertahankan Masjid Al Aqsa dan bumi Palestin. Pengorbanan kami akan menjadi jawapan kami dihadapan Allah s.w.t. nanti. Kami akan terus berkorban dan berjuang demi keredhaan Ilahi”.

”Tujuan utama rayuan tersebut adalah simbolik untuk memberitahu umat Islam bahawa isu Palestin dan isu Masjid Al Aqsa adalah isu ummah dan bukan hanya isu rakyat Palestin. Kami ingin umat sekali lagi mengulangi sejarah untuk membawa umat Islam kembali memainkan pesanan mereka”.

Baru kini saya memahami. Rakyat Palestin tidak pernah mengharapkan derma untuk sesuap makanan. Saya masih mengingati kisah yang diceritakan oleh seorang sister di dalam suatu program. Kisah seorang datuk yang telah tua di Palestin. Di kawasan tempat tinggal datuk yang tua ni hanya tinggal sepohon lagi pohon zaitun. Namun datuk yang telah tua ini menegaskan – ”Kami rakyat Palestin tidak pernah kisah sekiranya kami terpaksa untuk memakan dahan ranting pohon zaitun ini selagi mana kami tahu bahawa di luar sana ada saudara-saudara kami yang mendoakan kami”. Kadangkala saya merasakan rakyat Palestin terlalu berbaik sangka dengan saudaranya yang ada di benua lain. Kata Dr Mahmoud Zahar lagi, umat Islam dari benua lain turut bersama dalam perjuangan ini walau hanya dengan doa sekalipun. Mereka bermohon kepada Allah agar kita berada bersama mereka di syurga nanti seandainya kita tidak jemu membantu dan mendoakan mereka. Ya Allah, terlalu mulianya mereka. Namun doa sahajakah yang mampu kita lakukan untuk bumi Israk Mikraj yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan yang ada di dalamnya masjid ketiga suci itu?

Saya tertarik juga dengan contoh yang diberikan oleh Dr Mahmoud Zahar untuk menunjukkan betapa universalnya bumi Palestin di dalam hati umat Islam sedunia. Bumi ini milik umat Islam sedunia dan bukan milik rakyat Palestin semata-mata. Saidina Umar AlKhattab pada tahun 16 Hijrah dari Madinah telah bertanggungjawab mengislamkan bumi Palestin yang merupakan sebahagian daripada wilayah Syam. Sewaktu tentera Salib menawan Baitul Maqdis selama hampir seratus tahun, Salahudin Al Ayubi yang berketurunan Kurdi dari Mesir telah memerdekakannya. Ketika Tartar ingin menyerang Baitul Maqdis, Sultan Muzafar Qutz yang berketurunan Parsi dari Mesir telah menyelamatkannya pula. Seakan tertanam dalam diri tiada mustahilnya andai satu masa nanti rakyat Malaysia yang akan memerdekakan bumi ini.

Seandainya sebelum ini saya mempromosikan buku ini dengan niat utama bahawa keuntungan dari jualan buku ini akan disalurkan buat Palestin, namun saat ini fokus utama saya mempromosikan buku ini adalah di atas faktor memberi kesedaran kepada yang lain akan isu Palestin. Ya, saya akui ia hanya antologi cerpen (cerita pendek) dan bukannya cerpan (cerita panjang) dan ianya masih jauh untuk menerjemahkan kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Palestin. Namun izinkan kami menyuntik dan menyirami hati kalian akan isu ini. Ada sahabat yang mengatakan cerpen saya terlalu jiwang. Izinkan saya mencoretkan sesuatu di sini. Lihatlah penderitaan saudaramu di sebalik jiwangnya cerpen itu kerana telah saya selitkan kisah benar Souad Sroar Merii di dalam cerpen tersebut. Kredit buat sahabat saya, Fadhilah kerana saya meminjam kata-katanya yang saban waktu menguatkan diri saya di dalam cerpen tersebut. Moga buku kecil ini mampu membantu memberi kesedaran buat ummah untuk membantu Hamas yang menjadi barisan hadapan umat Islam dalam melawan musuh Allah yang ingin meruntuhkan Masjid Al Aqsa dan membunuh kesatuan umat Islam.

”...akan sentiasa ada sekelompok umat Islam di Baitul Maqdis dan di sekeliling Baitul Maqdis yang akan sentiasa berjihad menentang musuh Allah . Mereka akan berkekalan dan tetap di atas perjuangan sehingga hari kiamat..” – petikan salah satu hadis di dalam kitab hadis Musnad Imam Ahmad.

No comments: