Wednesday, June 30, 2010

Akhlaq...

Dulu pernah orang tanya ustaz, “Ustaz, kenapa tiada penafsir di kalangan wanita?”

Kata ustaz, “Mereka adalah wanita yang ikhlas, tidak perlu dunia untuk mengiktiraf mereka. “

Benar kan? Di sebalik setiap ulama’ yang hebat, andai dikaji sejarahnya, pasti di belakang tabir kehidupan mereka ada wanita yang tidak kurang hebatnya.

Dulu ada yang bertanya, “Kenapa di dalam quran tiada nama perempuan melainkan Maryam? Kenapa tiada nama ummahatul mukminin?” Sehingga ada yang mengatakan bahawa nama seorang perempuan juga boleh menimbulkan fitnah sehingga tidak dirakam dalam Quran. Kisah Maryam adalah kisah istimewa untuk membersihkan namanya.

Terkadang rasa bersalah untuk terusan menulis di sini dengan nama sebenar.

Naqibah saya selalu berpesan. Hari ini ruang untuk wanita melibatkan diri dalam masyarakat begitu terbuka. Hari ini wanita boleh keluar belajar. Hari ini seorang wanita boleh memandu sendirian. Hari ini seorang wanita boleh duduk berjauhan tanpa kedua ibu bapanya. Sebenarnya dengan keterbukaan yang terlalu luas ini, datang tanggungjawab yang besar. Banyak yang perlu dijaga.

Ini pesan saya pada diri sendiri. Banyak yang perlu dijaga. Terlalu banyak. Kalau difikirkan betapa banyaknya muamalat yang saya tidak jaga, saya rasa macam tidak mahu keluar lagi dah. Duduk rumah sahaja. Sukar sebenarnya nak bermujahadah. Terkadang pula terlupa.

Semalam semasa usrah, kami bicara tentang tafsir surah Abasa. Surah ini diulang kesekian kalinya. Tapi Quran tidak pernah membosankan. Pasti mutiara baru kita temui dalam ulangan. Kalau selama ini pengajarannya mengenai kisah sang Rasul dengan Abdullah Ibn Ummi Makhtum, naqibah bawakan pengajaran yang lain pula.

Katanya, dalam surah ini Allah memuhasabah nabi. Makanya orang yang berada di jalan dakwah, perlu sentiasa memuhasabah dan sentiasa dimuhasabah. Perlu sentiasa sedia menerima teguran. Kalau tidak, kita akan berada di puncak kepimpinan di satu masa dengan hati yang penuh noda.

Saya duduk merefleksi diri hari ini. Banyaknya akhlaq yang tidak terjaga. Aduh, sukarnya menjaga diri di zaman ini.

Dulu saya selalu inginkan naqibah dari kalangan akak-akak. Tapi Allah takdirkan naqibah saya seorang makcik. Makciklah yang banyak menegur mengenai adab dan muamalat. Pernah sekali makcik cerita pengalaman kawannya ke luar negara. Kawannya yang seusia dengannya bertemu dengan penggerak dakwah di kalangan remaja. Remaja ini memang semangatnya dalam dakwah berapi. Tapi di sana ada kelemahan. Mereka lemah dalam bermuamalat dengan makcik tersebut. Disangkanya makcik tersebut juga akhawat yang sama sahaja dengan mereka, lantas dilayan biasa-biasa sahaja. Kata makcik, orang tua tetap perlu dilayan seperti orang tua walau mereka juga terlibat dalam dakwah. Dari situ saya mula bermuhasabah. Memang benar kita bersemangat, tapi sejauh mana pula akhlaq kita dalam berurusan dengan yang lebih tua dan lainnya?

Makcik juga yang banyak menyedarkan saya tentang generasi masa hadapan. Kata makcik, fikirkan tentang generasi seterusnya dengan akhlaq kita yang entah apa-apa. Keadaan zaman dan bagaimana caranya mahu mendidik anak-anak. Memang benar. Di saat menggunakan Facebook, saya lihat juga ikhtilat yang terjadi di dalamnya. Bagaimana saya mahu mendidik zuriat saya dengan semua ini? Peritnya seandainya kita fikirkan dengan sebenarnya seketika…

Persoalan-persoalan yang perlu dirungkai terlalu banyak kan?

No comments: