Saturday, June 26, 2010

Novel...

Lama sangat sebenarnya saya tidak membaca novel. Mungkin bertahun sudah saya meninggalkan tabiat itu. Di rumah ada sahaja novel yang dibeli tapi tersadai. Tapi novel Tuesdays with Morrie berjaya saya lunasi dalam dua hari. Novel yang sarat dengan pengajaran hidup.

Terkadang saya terlalu penat dengan kehidupan. Benar-benar merasakan bahawa dunia ini tidak indah. Semalam housemate saya semasa usrah juga membangkitkan isu penat. Tidak tahu apa yang kami penatkan tapi yang pasti kami merasakan tiada yang menarik di dunia ini.

Novel ini yang memberi saya motivasi kembali. Terlalu sarat pengajaran sehingga setiap perkataan terasa bermakna. Saya temui hikmah yang tiada kesudahan. Hari ini saya menonton filemnya pula. Air mata turun mencurah-curah. Demam pula menambah sebak saat menonton filem tersebut.

Barangkali kerana kehidupan di hospital yang menemukan saya dengan cerita kehidupan membuat saya lebih merasai novel ini. Baru-baru ini saya jumpa seorang ibu yang menghidap Myasthenia Gravis dan anaknya yang ketiga datang ke hospital dengan stridor. Dalam bahasa mudahnya stridor itu seperti pernafasan yang terlalu kuat yang boleh didengar dari jauh. Susahnya nak terjemah istilah-istilah perubatan ini. Kemungkinan juga si anak menghidap Myasthenia Gravis. Allahu A'lam..Saya hanya mendengar kawan saya berbicara dengan pesakit ini. Hebatnya ujian Allah buat mereka. Dan saya boleh melihat ketabahan yang tiada taranya dalam diri si ibu.

Saya juga punya seorang sahabat baik. Saya tidak memenuhi hak-hak ukhwah yang sewajarnya saya beri. Dia sakit. Baru ini dia bercerita bahawa dia pengsan di lab. Terkadang mungkin saya tidak mahu bertanya kerana saya tidak mahu memikirkannya. Terkadang saya tidak mahu bertanya khabarnya kerana saya tiada jawapan yang selayaknya saya beri. Tidak tahu bicara apa yang perlu saya ungkapkan. Kadang saya tidak tahu cara terbaik untuk berhadapan dengan manusia. Kelemahan saya barangkali...

Tapi novel ini mengajar saya banyak perkara. Terlalu banyak. Terima kasih Allah kerana menemukan saya dengan hikmah yang sebegini banyak.

Kalau kamu ada kawan non muslim, cuba kamu tanya dia tentang kematian. Jarang mereka yang non muslim mahu berbicara secara terbuka mengenai mati. Ramai Muslim juga begitu.Tapi novel ini membincangkan perkara-perkara yang kita takutkan secara terbuka.

Novel ini telah mengajar saya mengenai banyak persoalan kehidupan yang saya takutkan.

No comments: