Thursday, May 15, 2008

5 minit dan 60 tahun...

Rayhana, rinduku padamu terubat saat menitip hasil penamu. Mungkin juga aku cemburu saat kau menceritakan padaku pengalaman musafirmu ke bumi Jordan. Aku pasti kau menghirup aroma ilmu yang tiada penghujungnya sejak kau bergelar thalibah di sana. Memori lalu beraja kembali. Teringat saat kita berdua dikhabarkan tawaran belajar di bumi anbiya’ itu. Kau pergi dan aku pula menurut kemahuan keluargaku yang mahu aku belajar di istana ilmu di bumi Malaysia ini sahaja.

Rayhana, perpisahan bukan mudah. Kupujuk hati bahawa manusia tidak pernah memiliki tetapi hanya diberi pinjam. Ku harap andai kita ditakdirkan tidak lagi bersua, Allah menemukan kita di kamar syurgaNya. Kau berpesan, harapkan tarbiah hanya dariNya. Usah mengemis tarbiah manusia. Sesiapa yang memperoleh tarbiah dariNya pasti mendapat tarbiah insani juga. Rayhana, aku akur dengan kata-katamu lantas aku memohon agar Dia menemaniku dalam rona kehidupan yang punya seribu rencam ini.

Rayhana, benar sekali alunan wahyu di dalam Surah AlBaqarah yang pernah kau titipkan padaku dulu. Usah membenci sesuatu kerana hal itu mungkin baik bagiku. Benar Rayhana, kebencianku pada istana ilmu ini dulunya kian membuahkan bunga-bunga cinta dalam hatiku. Pengalamanku di sini bagai menjalurkan sebuah kisah yang mungkin sahaja terlalu berharga buat diriku. Pastinya Allah tahu dan mentakdirkan yang terbaik buat kita berdua.

Rayhana, ingin kukhabarkan padamu sesuatu yang merasuk kepalaku beberapa hari ini. Ingin sekali aku berusaha untuk menemukan muara bagi persoalan ini namun aku tewas. Bayangan memori latihan yang kuhadiri selama dua hari bagi madah Disaster and Relief Medicine seakan bergentayangan di kasus mindaku.

Sahibahku yang aku kasihi kerana Allah, pengalaman cemas sewaktu latihan ‘evacuation process’ itu tidak sesekali mampu aku lupakan. Kau pastinya mengingati latihan kebakaran sewaktu kita bersama mengutip dedaunan ilmu dahulu. Latihan ‘evacuation process’ itu juga seperti itu. Cuma serasanya pengalaman kali ini lebih mencemaskan. Kami di’bom’ di khemah-khemah kami pada pukul 5 pagi. Hadaf latihan ini untuk menguji persediaan kami menghadapi bencana. Aku sendiri tidak bersedia menghadapi latihan itu. Aku terlupa bahawa selipar rupanya perlu dipusingkan saat masuk ke khemah agar senang untuk menyarungnya kelak andai bencana terjadi. Sejujurnya Rayhana, terlalu banyak lagi persediaan yang perlu dilakukan. Mungkin kau boleh menghadam buku SPHERE yang boleh dimuat turun secara percuma di laman sesawang yang ada untuk mengetahui hal lainnya.

Rayhana, salah satu ‘bom’ itu meletup di hadapanku. Aku seakan mengalami gangguan pendengaran buat seketika. Seorang kawanku juga menerima tempias cebisan ‘bom’ itu dan tangannya terluka. Namun syukur padaNya, kami berjaya melalui latihan itu dalam masa 5 minit. ‘Bom’ itu hanyalah mercun bola sahaja sebenarnya. Kau pastinya tersenyum sinis mendengarkan hal itu. Namun mungkin sahaja tiada siapa yang sanggup membuat kerja gila untuk meletupkan hatta mercun bola di hadapan dirinya sendiri.

Rayhana, saat aku melalui semua itu yang ada di atmaku hanyalah Palestin. Bagaimana mereka melalui derita yang disebabkan dendam yang penuh kesumat ini? Rayhana, kau pasti lebih arif dariku akan makna Nakbah. Penguasaan lughah Arabku kian merudum akhir-akhir ini lantaran kerana sibuk menghadami buku-buku perubatan yang kesemuannya dalam bahasa Inggeris itu. Kufahami bahawa Nakbah itu membawa makna malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Nilai Palestin itu begitu difahami oleh Yahudi Zionis yang bangsat itu. Mereka tahu untuk menguasai dunia, Palestin perlu dikuasai. Rom berkuasa di saat mereka menguasai Palestin. Zionis juga berkuasa saat ini di saat mereka menguasai bumi milik umat Islam itu. Adakah umat Islam terlupa bahawa mereka juga pernah menguasai dunia di saat mana bumi anbiya’ itu berada di dalam genggaman mereka? Bagaimana untuk aku memahamkan umat akan hakikat ini?
Rayhana, hari ini genap sudah 60 tahun Nakbah Palestin. Pengalamanku saat melalui latihan ‘evacuation process’ itu tidak sedikitpun mampu mengungkapkan hatta setitis bencana yang mereka lalui. Ilmu hisabku juga seakan tidak mampu meneruskan hisabnya. 60 tahun dikalikan dengan 360 hari, dikalikan dengan 24 jam, dikalikan dengan 60 minit....aku tidak punya jawapan sahibahku..

Rayhana, peluru dan bom yang mengasak mereka pastinya tidak mampu dibayangkan oleh minda benak sesiapa sahaja. Seorang penceramah pernah mengungkapkan bahawa peluru yang ada di sana begitu spesifik untuk membakar kulit manusia. Tidak membakar baju, hanya kulit. Rayhana, saat ini derita itu bernanar dengan necrosis yang lebih hebat lagi. Pada hari Sabtu, 29 Mac 2008 para khakham (ulama besar) Yahudi telah meluluskan fatwa menghalalkan darah warga Arab Palestin (Islam dan Kristian) sebagai balasan kepada pembunuhan kader-kader mereka di bandar al-Quds melalui majalah rasmi kumpulan ultra ortodoks Yahudi itu bertajuk ‘Darah Yahudi lebih mahal dari emas’. Tahukah umat Islam yang lainnya akan hakikat ini?
Perasaan resah dan gelisah tidak mampu aku tempis saat aku perlu mencerna buku SPHERE yang digunakan sepenuhnya dalam madah Disaster and Relief Medicine ini. Andai kau berpeluang menghadaminya pastinya kau akan menemui istilah ’minimum standard’ berkali-kali. Terlalu banyak garis panduan piawaian minimum dari segala macam aspek. Namun kukira semua standard minimum yang dibicarakan dalam buku itu hanya fantasi belaka. Realiti yang ada di Palestin terlalu jauh dari hakikat mematuhi standard minimum yang ditetapkan. Sememangnya benar naluriku. Mengikut data dari WHO, kebersihan bekalan air disana jauh lebih rendah dari standard minimum yang ditetapkan badan dunia itu. Titis jernih yang mengalir dari tubir mata seakan mengiktibari segala yang terjadi. Di mana ummahku di saat kebiadapan ini berlaku?
Rayhana, seorang sahibahku pernah membawa rohku menerobos derita Palestina melalui tulisannya. Diajaknya aku untuk berkelana seketika memikirkan Palestin. Bagaimana jika ayah yang kita sayangi ditangkap hanya kerana mempertahankan kebun Zaitun miliknya? Dengan kebun Zaitun itu si ayah menyara hidup keluarganya. Dengan secebis rezeki itu, anak-anaknya mampu belajar, punya makan dan pakai yang lengkap. Kini, ayah ada di penjara dan diseksa kejam Israel, kebun keluarga dirampas, dan si anak pula terpaksa berhenti universiti untuk membantu ibu mencari sesuap makan. Sedangkan hakikatnya si ibu pula menderita sakit kanser dan tidak dapat menerima bantuan yang wajar kerana hospital tidak dapat beroperasi akibat tiada bekalan elektrik.Ambulans-ambulans tersadai kerana tiada petrol untuk menggerakkan. Saudara mara ramai yg meninggal dunia akibat tidak dirawat dengan sepenuhnya.Hatta pembedahan juga dilakukan tanpa sedikit bius pun kerana sesetengah ubatan dan bius disekat di sempadan. Tidak mungkin sahibahku yang satu ini bercerita sesuatu yang bukan benar. Kuakui dia bercerita dengan imannya. Syed Qutb pernah berpesan, kuatnya kata-kata kerana iman yang berkata. Iman sahibahku yang menyayangi Palestin ini membuatkan dirinya berupaya menyoroti derita ummah di sana.

Rayhana, segalanya yang diceritakan oleh sahibahku itu benar belaka sepertimana yang tercatat di dalam buku Rakyat Palestin Bersuara tulisan saudari Alijah Gordon. Buku itu tidak mampu aku khatami. Saudaraku di Palestin ada yang kudung kaki kirinya ditembus peluru sesat Zionis, ada yang hilang kedua-dua tangan, malah ada yang syahid tika berjuang melawan Yahudi laknatullah.Ada juga yang kehilangan sebelah mata akibat serpihan bom ketika operasi tanpa belas dikawasan perumahan mereka. Pemuda-pemuda ramai yang menjadi penganggur kerana tidak dibenarkan bekerja oleh penjajah Yahudi. Kanak-kanak di sana melumurkan patung mainannya dengan cat merah dan meminta dibelikan senapang sebagai hadiah ulang tahun. Malah jiran-jiran seusia mereka juga bermain dengan peluru, darah dan senjata. Kegembiraan zaman kanak-kanak mereka telah lama dirampas. Mereka tidak kenal apa itu chess, sahibba atau computer games, tapi mereka di’sajikan’ dengan darah dan air mata. Akan kuingati kata-kata mahsyur Nahr Al Barid di Kem Pelarian Palestin, “Kuwarnai salji hitam kerana kami takut pada hari-hari yang menjelang”.

Benar kata-kata sahibahku. Kebenarannya melebihi segala kebenaran yang ada. Kakak-kakakku di Palestina yang baru melahirkan dan bayinya menggigil kesejukan dalam selimut nipis. Suami mereka telah lama syahid setelah diburu Zionis kerana terlibat dalam brigade al-aqsa.Tiada bekalan elektrik, tiada pemanas udara dalam pekat malam dibawah paras beku musim sejuk.Hanya lilin dan beberapa botol air bersih yang ada meskipun mereka juga telah bertukar menjadi biru didalam dingin malam itu. Apakah rasanya andai semua itu terjadi padaku? Apakah rasanya hidupku? Dapatkah aku merasakan?
Rayhana, sejujurnya aku cemburu dengan sahibahku itu. Dia berpeluang menghadiri sesi TOT (training for trainers) di Putrajaya. Rasa cemburu yang membakar terubat saat membaca tulisanya. Dia sempat bertemu empat mata dengan Abu Hisyam dan Isa Al Imad. Abu Hisyam dalam ucapannya membawa khabar:

Di gaza pada masa ini, 105 orang pesakit meninggal dunia setiap hari kerana kekurangan bantuan perubatan akibat catuan dan penutupan sempadan

Serangan berterusan di kawasan awam dan perumahan. 3-10 penduduk awam meninggal setiap hari akibat serangan.”


“Sempadan yang dibom tempohari telah ditutup kembali. Kita hanya mampu berdoa moga sempadan itu kembali dibuka dan dapatlah rakyat Palestin menerima bantuan dan keperluan asas”

“Dan ini pula adalah 3 keadaan di Quds sekarang..


1) Masjid al-Aqsa disekat sepenuhnya dari penduduk. Telah dibina tembok yang sangat tinggi yang menghalang dari orang islam untuk memasuki masjid Aqsa

2) Israel telah membawa lebih banyak rakyat mereka ke kawasan Al-Quds dan setakat ini telah ada 700 penempatan baru dibina Israel disekitar Al-Quds.

3) Penduduk asal yang berada disana dihalau secara paksa dan rumah- rumah-rumah orang islam telah dihapuskan."

Aku bersetuju dengan kata-kata sahibahku ini. Kalaulah kita mendengar semua ini, kemudian masih berpeluk tubuh, periksalah hati dan jiwa...benarkah kita mengaku sebagai orang islam?”

Isa al-imad dengan jelas menegaskan:

Al-Quds adalah akidah.kalau kamu beriman kpd Allah tiada ada pilihan bagi kamu. Tidak sempurna iman selagi kita tidak berusaha membebaskan Aqsa!!!”

Katanya, umat islam sekarang lebih tertumpu pada kelemahan. Bila ditanya kelemahan, berjela-jela dapat dijawap. Bila ditanya kekuatan, semua tersipu-sipu malu menjawap. Mengapa harus malu? Mengapa? Mengapa tidak kita gunakan kekuatan kita??? Usir rasa malu itu, bina kekuatan dan jadikannya sbg senjata!!

“Tidak boleh bekerja berseorangan untuk membantu Aqsa. Perlu bekerjasama, lebih ramai, lebih baik. Jadikan perbezaan diantara kamu sebagai satu kekuatan. Apabila semua yang memiliki keistimewaan dan anugerah yang berbeza digabungkan, maka akan wujudlah suatu kuasa yang besar dan dapat membantu menyelamatkan Aqsa”

Rayhana, aku kongsikan kata-kata yang diucapkan oleh Isa al-Imad yang dicoretkan oleh sahibahku itu di penghujung pena ini.

“Susahkah wahai saudaraku untuk kamu meluangkan hanya 5 minit dalam sehari, menadah tangan, berdoa untuk kesejahteraan dan dipermudahkan urusan saudara-saudara di Palestin? Banyakkah andai kamu setiap hari hanya mengeluarkan RM1 untuk membantu mereka yang berjuang bermati-matian disana? Dan banyakkah masa selama 5 minit setiap hari untuk kamu membicarakan soal Palestin kepada mereka-mereka yang masih belum mengetahui? Saudaraku, HANYA 10 MINIT & RM1 SETIAP HARI, adakah kamu tidak mampu?”
Moga Allah memberikan kita kekuatan untuk berjuang demi AlQuds yang tercinta...

Musafir –perjalanan
Thalibah – palajar perempuan
Bumi anbiya’ - bumi para nabi
Tarbiah – pendidikan
Sahibah – sahabat perempuan
Hadaf – objektif
Nakbah – bencana / malapetaka
Evacuation – proses berpindah ke tempat yang lebih selamat
Necrosis - istilah patologi yang digunakan oleh pelajar perubatan membawa makna kematian sel. Dalam tulisan ini, digunakan untuk menggambarkan luka yang dalam.
Ilmu hisab - ilmu matematik
Madah - subjek
Lughah - bahasa

No comments: