Hatiku berbisik. Adakah kau tidak mahu menulis peristiwa yang terjadi pada umat dua hari yang lalu? Adakah kau mahu memberitahu Allah bahawa peperiksaan pada esok hari itu lebih utama dari darah saudaramu? Apa yang telah kau lakukan untuk menyedarkan saudaramu yang terlupa? Lantas aku bisikkan pada hati, secebis bicara itu perlu. Nasihat itu pasti amat berguna buat insan yang beriman yang mahu mengambil pengajaran di atas segala yang berlaku.
Aku masih ingat program yang dikelolakan oleh kolejku. Program itu bertujuan membincangkan Usul 20 yang disusun oleh Assyahid Imam Hassan Al Banna. Hatiku tidak bersetuju dengan cara program tersebut disusun. Pelajar dibahagikan beberapa tajuk dan perlu membentangkannya. Aku tidak rasa cara diskusi, kaedah pembentangan yang sering digunakan semasa belajar perubatan diaplikasikan dalam konteks mempelajari Usul 20. Aku kira perlu ada seorang insan yang mahir dalam ilmu tersebut untuk membicarakannya.
Kumpulanku dikehendaki membentangkan usul yang pertama dan beberapa usul yang lain. Tiba-tiba pensyarahku berbicara,
“Mengapa kamu perlu menghuraikan satu persatu perkara yang ada di dalam usul pertama? Usul itu cuma mahu menekankan bahawa Islam adalah syumul, meliputi seluruh aspek kehidupan. Semua orang faham hal itu”.Saat itu aku terdiam. Tapi hatiku tidak pernah berpuas hati dengan segala perkara yang aku perolehi. Lantas aku menghubungi Kak Fiza untuk membantuku. Alhamdulillah, Allah mengurniakan kefahaman yang lebih jitu melalui perantaraan Kak Fiza. Mutiara-mutiara berharga itu mengubah persepsiku. Setiap susunan ayat di dalam Usul yang pertama itu terlalu bermakna.
Andai ada yang mengatakan bahawa aqidah itu adalah perkara paling penting di dalam Islam, murabbiku memberitahu bahawa kefahaman itu lebih penting berbanding aqidah. Kefahaman itu berada lebih atas dari aqidah.
Ayat 19 dari Surah Muhammad itu dalilnya.
‘Fa’lam annahu lailahaillallah’.«Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, » (Surah Muhammad : 19)
Andai
‘lailahaillallah’ itu adalah aqidah,
‘fa’lam’ yang membawa makna kefahaman itu adalah lebih utama.
Usul yang pertama itu menggamit hatiku.
Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.Kenapa Assyahid Imam Hassan Al Banna (IHAB) menyebut daulah dan watan terlebih dahulu? Kenapa IHAB mengemudiankan akidah yang benar dan ibadah yang sahih. Kenapa IHAB menyebut perihal daulah, watan dan hal lainnya dan di hujung ayat menggunakan kalimah ‘
kama huwa’ (sama seperti) aqidah yang benar dan ibadah yang sahih di bahagian akhir?
Kerana pada ketika ini, manusia umumnya sedar dan tahu akan kepentingan AQIDAH DAN IBADAH dalam Islam, malah mereka kebanyakannya mengamalkan konsep ini dengan sangat baik. Alhamdulillah.
Tapi sayang sekali mereka lupa akan 2 konsep besar ini iaitu ISLAM JUGA IALAH NEGARA DAN TANAH AIR.
Bukankah sejarah Tanah Melayu itu juga buktinya? Sultan menyerahkan soal politik kepada British manakala soal agama dan soal adat istiadat diuruskannya. Sultan saat itu juga terlalu keliru memahami Islam, terlupa bahawa politik juga adalah sebahagian dari Islam.
Kenapa IHAB berpandangan umat Islam sudah lupa akan hakikat ini?
Sejarahnya bermula apabila IHAB menulis usul 20 ini dalam tahun 1940-an. Pada ketika itu, diketahui bahawasanya pemerintahan Mesir dikuasai oleh Perdana Menterinya, Jamal Abdul Nasser dan golongan sekularisme. Mereka memerintah negara Mesir (Islam kononnya), namun sistem politik dan pemerintahan negara amatlah tidak islamik. Rakyat di ambang kemusnahan.
Terlakar dalam lipatan sejarah
national costume mereka ialah
blouse dan skirt pendek. Masya Allah! Tiada tempat solat hatta di universiti terkemuka.
Malah, pada ketika itu kekeliruan dalam agama teramatlah ketara. Ia jelas tergambar pada tuan syeikh Al-Azhar yang terkemuka. Mereka mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan ummat yang berbunyi ,
“Nabi Muhammad saw secara tidak sengaja (coincidentally) telah menjadi Ketua Pemerintah Kerajaan Madinah. Hal itu tidak bersangkutan dengan Islam’.Kenyataan ini amat besar kesannya kepada pemikiran umat ketika itu. Mereka berfikir bahawa Islam itu tidak ada kena mengena dengan sistem politik dan pemerintahan negara. Subhanallah…
Lantas apakah itu WATAN?
Ia membawa makna tanahair. Tanahair itu bermaksud tempat tumpah darah, tempat kesayangan yang sentiasa dekat di hati kita. Ia bukan sebarang tempat semestinya, bukan? I
a bukan tempat yang sekadar kita jejakkan kaki hanya untuk meninggalkan kesan. Tentunya bukan sekadar itu! Ia tempat yang paling kita cinta dan sentiasa kita ingat.
Andai ia sebuah tempat yang jauh, kita termimpi-mimpi untuk pulang kembali ke sana. Andai kata ia sebuah tempat yang dirampas penjajah, maka kita mengimpikan untuk syahid memperjuangkannya. Itulah maksud watan.Watan (tanah air) yang sebenarnya adalah semua tanah yang di dalamnya terdapat manusia yang mengucap
‘lailahaillallah’ dan semua tanah yang pernah berada di bawah pemerintahan Islam. Bahasa mudahnya Spain, Morocco, Irian Jaya, Palestin dan semua negara yang dulunya pernah berada di bawah pemerintahan Islam adalah watan (tanah air) kita.
Zaman ini, kita punya watan (tanah air), tetapi kita tiada daulah (negara) Islam. Tiada mana-mana negara di muka bumi ini yang meletakkan Allah dan RasulNya di tempat yang tertinggi.
MASHA ALLAH.
Dan ketahuilah, para sahabat baginda mengembara jauh mengelilingi dunia setelah kewafatan baginda. Merekalah yang bertanggungjawab menyebar agama ini sehingga datang ‘menyeru’ kita di Tanah Melayu.
Anda tidak percaya? Sedikit sekali kubur para sahabat di Mekah dan Madinah. Ini bermakna mereka tidak meninggal dunia di tanah mulia kelahiran mereka.
Apabila ditanyakan kepada mereka (sahabat-sahabat),
“Di manakah TANAH AIRMU?”Mereka akan menjawab,
“Ia di mana ada umat Islam menetap”.
Memahami makna watan membuatkan diri memahami perjuangan Salahuddin AlAyyubi. Roh perjuangannya ditiup oleh Sheikh Shamsudin. Sheikh Shamsudin memahamkan Salahuddin bahawa Palestin juga adalah watannya. Itulah sebabnya meskipun Salahuddin adalah seorang Kurdish tetapi dia sanggup berjuang demi Palestin.
Assyahid Abdullah Azzam juga memahami makna watan ini dengan sebenarnya. Meskipun dilahirkan di Palestin, dia akhirnya menyertai jihad di bumi Afghanistan kerana memahami bahawa Afghanistan adalah watannya juga.
Memahami makna watan membuatkan aku melihat filem Tjoet Njak Dhien dengan penuh semangat. Sejarah Acheh bukan hanya sejarah Acheh. Sejarah Acheh adalah sejarahku juga kerana Acheh adalah watan tanah airku juga.
Maka, apa efeknya kepada kita?
Peristiwa yang terjadi dua hari lalu di Selatan Thai pastinya memberi makna yang terlalu besar buat setiap insan yang memahami hal ini. Terbunuhnya 11 jemaah saat Solat Isya’ di Masjid Al- Furqan pasti menghiris setiap hati yang memahami. Bukankah selatan Thai itu adalah watan kita?
Jangan sampai kita semua tertipu oleh borderline hasil lukisan Zionis dan sekutunya di atas peta dunia. Itu hanyalah lakaran untuk mematikan semangat PERSAUDARAAN.
Sedarlah umatku. Di sana ada jutaan kerja yang menanti.