Saya ingat lagi salah satu sesi taaruf (berkenalan) yang pernah saya sertai dalam satu program. Seronok sangat rasanya program taaruf itu. Ada lebih 80 orang dalam program tersebut dan kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Lepas itu, masing-masing perlu menulis beberapa perkara tentang diri mereka di atas kertas. Dan kemudian kertas tersebut bertukar di antara dua kumpulan ini tadi. Kertas itu pun diedarkan antara kami dan kami perlu mencari pemilik kertas yang sebenar.
Dalam kertas tersebut kami perlu menulis ayat Quran kegemaran kami. Dan semasa sesi memperkenalkan pemilik kertas yang kami cari, kami perlu menerangkan juga sebab-sebab kami menyukai ayat Quran tersebut. Sejujurnya rasa seronok sangat bila dengar ayat Quran yang menjadi kegemaran sahabat-sahabat yang lain. Lebih-lebih lagi apabila mereka menerangkan sebab musabab mereka menyukai ayat Quran tersebut. Terasa Al Quran ini sangatlah indah. Ayat Quran itu mampu menyentuh hati sesiapa sahaja. Kalau kita tersentuh dengan ayat ini, sahabat kita tersentuh dengan ayat yang lain. Ada seorang ini, dia tersentuh dengan ayat ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Dia merasakan ayat itu mencakupi seluruh makna.
Apa yang cuba saya sampaikan sebenarnya? Saya cuba sampaikan satu perkara sahaja. Quran ini sangat indah. Tiada pun yang tidak best. Semuanya best.
Bila kita baca surah jin misalnya, Allah ceritakan tentang jin yang beriman dalam ayat permulaan dan lepas itu Allah ceritakan tentang sikap musyrikin. Seolah-olah Allah nak cakap dengan kita, kalaulah jin yang penciptaannya second class itu pun boleh beriman dengan Allah, kenapa kita yang Allah cipta dengan penciptaan first class, sebaik-baik ciptaan masih kufur lagi dengan Allah?
Bila kita baca surah Arrahman pula, Allah ceritakan dengan begitu indah segala yang ada di bumi. Misalnya, Allah ceritakan tentang lautan yang begitu indah. Dari lautan itu keluar lu’lu’ dan marjan. Keluar mutiara putih dan mutiara merah. Terbayang indahnya mutiara yang begitu cantik. Tapi selepas itu, Allah cerita semua ini akan binasa, yang kekal hanyalah wajah Allah. Kita pun rasa tersentak. Di saat kita membayangkan kecantikan mutiara, Allah cuba sampaikan kat kita yang semua ini tidak kekal. Mengapa kita nak kejar benda-benda yang tidak kekal? Kejarlah Allah. Dia kekal dan yang lain akan fana.
Bila baca surah aadiyat misalnya, Allah ceritakan tentang kuda dan selepas itu Allah ceritakan tentang manusia yang engkar. Seolah-olah Allah nak cakap kat kita, kuda yang makan jerami itu pun boleh patuh pada tuan dia, bekerja bersungguh-sungguh. Allah gambarkan kehebatan kuda yang cuma makan jerami sahaja dalam Quran. Tapi kita yang Allah berikan seluruh dunia dan seisinya ini masih engkar. Dan kita pun terasa malu dengan kuda.
Bila baca surah ankabut misalnya, terbayang labah-labah yang Allah cipta. Labah-labah ini dia rasa bagus sahaja sarang dia. Dia cipta sarang dia dengan merasakan sarang dia hebat. Tapi sarang dia boleh hancur dengan begitu senang bila ditiup angin. Dan Allah beritahu kat kita dalam ayat 41, kalau kita nak bergantung pada selain daripada Allah, kita ni macam labah-labah yang buat rumah. Tempat pergantungan kita selain dari Allah itu akan fana dan binasa sepertimana binasanya rumah labah-labah. Kita nak ke jadikan benda-benda lain sebagai pelindung dan tempat pergantungan kita? Tak nak kan? Kita tak nak jadi macam labah-labah.
Sahabat-sahabat Rasulullah SAW bila dia baca ayat Quran mengenai musyrikin, munafiq dan ayat-ayat azab, mereka akan merasakan Allah menujukan ayat tersebut buat mereka. Mereka merasakan mereka terlalu hina di hadapan Allah. Dan itu juga yang perlu kita rasakan bila baca ayat Quran. Tidak siapa tahu pengakhiran kita. Bila kita baca tentang buah zaqqum misalnya, kita memohon pada Allah yang kita tak nak makan buah itu. Kita tidak nak makan buah yang dari kepala-kepala syaitan. Kita kena rasa insaf bila membaca AlQuran. Di saat kita lalai, kita mohon Allah berikan kita kekuatan untuk menggambarkan ayat-ayat azab dalam hati kita. Kita berdoa sepanjang masa biar Allah mematikan kita dalam keadaan kita beriman padaNya.
Seandainya kita rasa tertekan dengan kesukaran hidup, bacalah ayat-ayat mengenai syurga. Seakan-akan kita merasakan Allah memberi satu tawaran buat kita. Kita merasakan seolah-olah Allah bertanya kat kita, kamu tak nak ke syurga ini? Dan insya Allah dengan merasainya, hilang rasa tekanan dalam diri sebab kita tahu dengan setiap kesukaran yang kita lalui, Allah sebenarnya sedang menawarkan syurga buat kita. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW memahami syurga ini dengan sebenarnya. Syurga ini macam magical word buat sahabat. Dengar sahaja syurga, dah tidak ingat lagi dunia. Mereka sanggup pergi jihad dan mati syahid bila dengar mengenai syurga. Kita mohon kat Allah agar dia memberi kita kefahaman mengenai Quran sepertimana dia memberikan kefahaman kepada para sahabat.
Terlalu best Quran ini. Quran ini mengalahkan segala macam novel dan lagu yang ada di dunia. Bacalah...
”Bacalah dengan menyebut nama TuhanMu yang menciptakan”. (Surah Al Alaq:1)
No comments:
Post a Comment