Monday, March 30, 2009

Kegelapan...

Dulu semasa saya kecil, saya amat suka berilusi. Salah satu keinginan saya adalah berkawan dengan ikan paus. Saya benar-benar merepek bukan?

Tapi tadi saya mengulang tayang video-video di Youtube berkenaan ikan paus. Ada rasa gerun yang menyelinap di dalam hati. Mungkin juga rasa gayat semasa snorkelling di tengah-tengah laut dulu juga menambah rasa seram di hati.

Kisah saya tiada apa-apa. Cuma kisah yang dinukilkan di dalam AlQuran berkenaan Nabi Yunus membuatkan saya melayan rasa.

Betapa gerunnya perasaan seandainya diri ditelan oleh ikan paus. Bukan calang-calang kegelapan yang perlu dilalui. Bayangkan seketika andai diri perlu berhadapan dengan kegelapan di dalam perut ikan, kegelapan di dalam laut dan kegelapan malam. 3 kegelapan yang terlalu menggerunkan. Tapi itulah yang perlu dilalui oleh Nabi Yunus. Allah menyebut perihal kegelapan ini.
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri". Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami). (Surah Al Anbiya’:87-88)

Enzim-enzim yang dirembeskan oleh ikan adalah enzim yang paling ’kuat’ kerana ikan tidak mengunyah makanan mereka sebaliknya menelan makanan mereka. Allah menggunakan kalimah altaqamahu (menelan) bukannya akalahu (memakan) kerana itulah keistimewaan paus. Cuba bayangkan enzim tersebut terkena badan. Sakit bukan? Itulah yang dirasai oleh Nabi Yunus.
Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. (Surah Assaffat:142)

Kadangkala kita mudah berputus asa dalam dunia dakwah. Ada kalanya seakan tidak layak untuk berdakwah. Bayangkan semua ini perlu kita lalui lantaran lari dari jalan dakwah ini. Mampukah kita untuk menghadapinya?

Kisah Nabi Yunus ini menyentuh hati saya kerana beberapa sebab. Pertamanya perihal pengiktirafan doa Nabi Yunus.

..."Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri". (Surah Al Anbiya’:87)

Saya sendiri tidak dapat mengingati butiran dosa yang saya lakukan kerana ianya terlalu banyak. Doa ini terlalu bermakna buat insan seperti saya yang sering menzalimi diri sendiri.

Keduanya kerana sebab musabab Allah mengabulkan doa Nabi Yunus. Semua itu kerana tasbih. Mengapa bukan tahmid atau takbir? Tasbih merupakan pernyataan kekaguman manusia kepada sesuatu yang aneh. Tidakkah ajaib setelah ditelan ikan, baginda masih hidup?
Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. (Surah Assaffat: 143-144)

Nabi Yunus sentiasa mengingati Allah di saat senang, maka Allah mengingatinya di dalam kegelapan tersebut.

Betapa insan seperti saya perlu sentiasa mengingati Allah di saat bahagia, mudah-mudahan Allah mengingati saya di dalam kesukaran. Saya perlu mengingati Allah di saat sihat agar Allah mengingati saya di saat saya sakit.

Sayu rasanya hati menelaah kalamNya. Nikmat Allah yang berjuta itu perlu saya ingati selalu. Nikmat-nikmat yang Allah kurniakan buat saya adalah terlalu luar biasa dan saya lebih memahaminya kerana saya bergelar pelajar perubatan. Melihat insan-insan yang menderita kerana tidak dapat mendengar atau melihat cukup membuatkan saya merasakan nikmat Allah yang luar biasa itu. Betapa saya sebagai hamba perlu sentiasa merenung hakikat kekurangan diri. Moga Allah mengampunkan hambaNya yang lemah ini.

Lailaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzalimin..

2 comments:

Liyana said...

salam kak ummuafeera..

saya baca kisah ini sampai termasuk mimpi. terima kasih dengan perkongsian ini ya. ^^

Ummu Afeera said...

sama-sama dik...hmm..yang baik hanya dari Allah belaka:)