Sunday, October 16, 2011

Sesak...

Kehidupan yang sangat menyesakkan, menakutkan dan menggoncangkan hati. Itu serasanya perasaan saya kini saat mahu ke hospital. Syukur Allah masih mengurniakan kekuatan jasad untuk hadir ke program tarbiah walau untuk tidur di sana. Penat tapi saya amat memerlukan program tarbiah. Paling kurang saat saya ke sana, saya merasakan bahawa saya tidak keseorangan.

Jujur saya rasakan sukar yang amat untuk menjadi Muslim. Ada kalanya saya sendiri mempersoalkan keikhlasan hati sendiri. Saat semuanya menyesakkan, kadangkala saya terasa seperti tidak mampu lagi menanggung bebannya. Saya amat berharap Allah tahu bahawa saya masih bermujahadah setiap masa.

Saya cuma mengharapkan ihsan - merasakan Allah melihat kita dari insan-insan yang ada di sekeliling saya. Tapi tiada. Masih ada doktor yang baik, yang akan mengajar kita. Tapi bilangannya sedikit. Pedulikan hal hospital...

Saya merenung kembali tulisan Assyahid Syed Qutb dalam muqaddimahnya. Menitis air mata. Itulah perasaan saya kini...

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?


Dunia menganggap cita-cita untuk menyirami dunia dengan embun Islam adalah mimpi tapi tidak bagi kita. Allah menjadi saksi setiap amal manusia.

Apabila kita melihat manusia-manusia yang hebat dengan ideologi dan teknologi mereka, pasti kita berasa kagum. Bangunan yang mencakar langit, ideologi yang berapi membuatkan setiap insan terjegil kehairanan. Tapi Syed Qutb menggambarkan bahawa semua itu hanyalah seperti kanak-kanak dan mainannya. Kita pun pernah menjadi kanak-kanak, pernah ambil periuk dan kuali di rumah dan bermain masak-masak dengan menggunakan pasir. Saat itu kita duduk dalam dunia sendiri. Kita marah apabila ada yang mengganggu sedangkan kita hanya bermain pasir. Itulah analogi kepada setiap ideologi yang ada di atas muka bumi ini. Manusia merasa dirinya hebat dengan pemikiran mereka padahal semua itu hanyalah seperti mainan yang tidak berguna. Tiada nilaian hatta satu sen pun pemikiran-pemikiran yang diada-adakan oleh manusia apabila semuanya tidak membawa dirinya kepada Allah.

Saya masih berharap agar Allah terus mengurniakan kekuatan untuk saya mempraktiskan Islam dan Allah memaafkan setiap khilaf saya.

Kita pasti pernah melihat anak kecil. Mereka pernah dimarahi atau dipukul oleh ibu mereka. Tapi mereka terus kekal dan memeluk rapat si ibu.

Siapa lagi yang kita ada kalau bukan Allah? Saat kita mengecewakanNya, kita masih berharap agar dia masih melihat kita. Kita masih terus berharap kerana hanya harapan yang menghidupkan kita.

Maafkan diri ini ya rabb saat aku tidak mampu memberikan yang terbaik..

Sunday, October 09, 2011

Kanan dan kiri...

Allah akan mentarbiah kita dengan cara yang sangat indah. Minggu ini saya tidak dapat hadir usrah saya sendiri kerana berkerja dan semua itu menambah sesak dalam diri saya. Setiap kali mesej bertandang memberitahu berkenaan dengan program tarbiah dan saya tidak menghadirkan diri, saya menangis. Saat-saat begini terasa yang amat betapa kita yang memerlukan tarbiah.

Membaca mesej seorang ukhti di FB:

Kate air hostess, "Apabila topeng oksigen muncul dari atas kabin, segeralah menyarungkan topeng ini ke wajah, seperti ini. (kendian air hostess akan tunjuk cara pakai topeng oksigen tu). Tetapi HARUS DIINGAT, PAKAI TOPENG ANDA DAHULU SEBELUM MENYARUNGKANNYA KEPADA ANAK DI BAWAH JAGAAN ANDA."

So maknanya, keselamatan diri lebih utama.

begitulah dalam dakwah dan tarbiah ini. kalau sibuk sarung topeng anak bawah jagaan kite, sebok miting kerana nak bincang cara sarung topeng tu, sebok ke sana ke mari kejar anak2 yg berlari2, tapi tak ambil atau tak disiplin ambil bekalan oksigen SECUKUPNYA..... jangan hairan kalau kamu dapati kamu tiba2 sudah di alam lain.

KAMU MATI.


Allah! Moga saya tidak mati lagi. Moga ada bekal yang saya kutip semasa menjaga adik-adik.

Dan jujur tarbiah Allah yang paling indah. Adakalanya Allah hadirkan ayat-ayat Quran yang sangat indah hatta ketika kita sedang berdepan dengan pesakit.

Ada dua pesakit di wad yang mempunyai sacral sore yang sangat besar dan dalam. Saya pernah ambil darah seorang dari mereka dan pernah juga menjaga seorang lagi. Terlalu besar sacral sore mereka. Salah seorang mendapat sacral sore kerana lama terlantar di wad. Seorang lagi pesakt psikiatri. Tiada siapa yang menjaganya di rumah. Dia bukan sahaja mempunyai pressure sore di belakang punggungnya tetapi juga di kepala.
sacral sore/pressure sore

Saat melihat mereka, ayat Allah ini hadir di hati saya.

“Dan kamu mengira mereka itu bangun, pada hal mereka tidur, dan Kami membalik-balikkan badan mereka ke kanan dan ke kiri , sedangkan anjing mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua, dan jika kamu melihat mereka tentulah kamu akan berpaling melarikan diri dan hati mu dipenuhi dengan ketakutan kepada mereka”. (Surah Kahfi ayat 18)


Saya pernah kongsikan ayat ini di dua entri saya yang lama dulu.

Rhabdomyolysis

Anjing

Ayat Allah sangat indah. Setiap kali ia hadir, kita pasti akan memperolehi hikmah yang lain pula. Saya kongsikan secebis hikmah yang saya perolehi. Setiap pesakit perlu bergerak. Andainya mereka statik di atas katil untuk jangka masa yang lama, mereka mudah mendapat sacral sore.

Hebat bukan ayat Allah tersebut? Allah membalik-balikkan badan pemuda-pemuda Kahfi itu ke kanan dan kiri semasa mereka tidur selama ratusan tahun. Dan mereka tidak mendapat sacral sore.

Saya bukan mahu mensainskan ayat tersebut, cuma Allah menambah iman saya saat ayat ini hadir ketika melihat pesakit. Betapa hebatnya pemuda Kahfi tersebut sehingga Allah menjaga mereka saat mereka tidur selama ratusan tahun. Manusia-manusia biasa boleh mendapat sacral sore hatta dalam jangka masa yang cuma seminggu dua, tetapi pemuda Kahfi tidur selama ratusan tahun dan tidak mendapat semua itu. Apa yang membuatkan mereka begitu istimewa?

Innahum fityatyn amanu birabbihim wazidnahum huda! Mereka adalah PEMUDA-PEMUDA yang beriman kepada Tuhan mereka dan Allah menambahkan petunjuk kepada mereka! Ya, iman merekalah yang menyelamatkan mereka dari segalanya. Dan Allah sebut spesifik dalam ayat 13 di dalam Surah Kahfi bahawa mereka adalah fityah -PEMUDA! Dan Allah beritahu pada kita, nahnu naqussu naba ahum bilhaq - dan Kami ceritakan kisah ini kepada kamu dengan HAQ! - dengan kebenaran. Rasa tak ayat-ayat Allah itu? Betapa hebatnya pemuda-pemuda ini..

Buka Quran dan tadabbur surah Kahfi. Baca kalimah-kalimah yang dituturkan oleh pemuda-pemuda yang beriman ini.

Kita tiada pilihan. Kita perlu menjadi pemuda yang beriman pada Allah dan moga Allah terus menambah petunjuknya pada kita dan menyelamatkan kita di zaman yang penuh dengan kefasadan ini.

Allah! Allah! Allah!

jalan ini tidak dihampar ros-ros merah..

Tidak ramai doktor yang akan menulis catatan pengalaman mereka lantaran kesibukan yang menggunung. Saya tidak menafikan hal itu. Sebolehnya masa rehat yang ada mahu digunakan sepenuhnya untuk berehat. Tapi semua itu bukan untuk kita yang bergelar daie. Nahnu du’at qabla kulli syai. Kita ada duat/daie sebelum segala sesuatu. Kita adalah daie sebelum kita adalah doktor. Lantas izinkan saya berkongsi secebis pengalaman melalui hari-hari saya bergelar pegawai perubatan siswazah selama dua minggu. Ya, saya baru off tagging. Setiap hari dari pukul 7 pagi sehingga 10 pagi yang mana tidak pernah sehari pun saya balik tepat pada masanya. Pernah juga balik pada pukul 1 pagi. Setelah 6 hari, ada 1 hari off.

Minggu lepas, hari off tersebut saya bersama dengan seorang akak yang membentangkan ISK (Ini Sejarah Kita) untuk adik-adiknya. Itulah hari yang paling dzuq dalam minggu tersebut. Setelah 6 hari tidak merasakan udara iman dan ukhwah, saya dapat merasainya. Dan kemudiannya bertemu dengan adik-adik sendiri yang terlalu bersemangat untuk ditarbiah, semuanya mengecas saya semula untuk melalui minggu seterusnya.

Ya, dakwah dan tarbiah adalah motivasi terbesar untuk kita terus berada di sini. Saya mengambil bidang perubatan semata-mata kerana dakwah dan tarbiah. Sungguh itulah motivasi terbesar saya.

Namun terkadang kita cuma manusia biasa. Memulakan hari sebagai pegawai perubatan siswazah ternyata bukan mudah. Terlalu sukar. Terasa kitalah manusia paling ‘bodoh’ atas muka bumi ini. Lebih-lebih lagi saya di hospital IT. Banyak yang perlu dipelajari.

Pernah sekali seorang HO cina bertanya tentang universiti saya. Tidak pasti tujuan dia berbuat begitu. Cuba meremehkan saya barangkali, dan hati terasa panas. Pulang ke rumah, saya menangis. Sedih sangat. Saya beritahu Aiman hal tersebut, dan betapa mulut saya terkatup rapat lantaran mungkin rasa kebergantungan kita pada mereka untuk mengajar kita di hospital. Aiman menyuruh saya melawan sahaja mereka. Saya katakan pada Aiman, merekalah yang akan mengajar kita. Dan Aiman, adik lelaki saya katakan dengan tegas bahawa ilmu itu hanya dari Allah semata-mata.

“Assyahid Sheikh Ahmad Yassin pernah katakan dengan tegas saat dia dibuang universiti – Bukan universiti ini yang akan memberi aku ilmu, tetapi Allah yang akan memberi aku ilmu! “.

Memang terkena batang hidung sendiri saat Aiman mengatakan semua itu. Betapa lama kita dalam tarbiah, tetapi terkadang masih ada rasa kebergantungan kita pada makhluk. Dan sejak hari itu, setiap kali saya ke hospital, saya akan berpesan dengan hal tersebut. Bukan HO, bukan MO, bukan pakar yang akan memberi saya ilmu, tetapi hanya Allah semata-mata. Allah! Allah! Allah! Allah!

Jujurnya juga terkadang saya rasakan diri saya sebagai seorang yang ‘asing’ di hospital ini. Segalanya asing. Pernah saya balik dan saya katakan pada Zaid, betapa saya takut saya akan hanyut dalam dunia yang karam ini.

Dan Zaid, adik lelaki menghantar mesej semasa saya di hospital.

Sang kekasih pernah berseru. Addeen ini asing pada mulanya. Penghujungnya juga asing. Dengan nada mulia, dia mengotakan jaminan bahawa yang asing itu pasti gembira.

Secubit semangat dari insan yang dahagakan ‘asing’..




Menangis baca mesej itu. Saat Jahiliah di sekeliling kita membaham dengan buas, sehingga terkadang terasa hancur lumat iman sendiri, percayalah Allah ada! Allah ada untuk menemani kita sepanjang perjalanan ini. Dan Allah akan menghantar insan-insan yang akan membakar himmah kita semula.

Selalu ingat Allah! Allah! Allah! Allah!

Thursday, September 22, 2011

HO...


Terkadang saya rasakan mood untuk menulis seakan tiada. Namun saat seorang daie itu menghentikan langkahnya, Jahiliah terus mengaum dengan kuatnya. Hati-hati manusiawi di saat ini masih berbara. Mereka cuma menanti seseorang untuk meniupkan seruan agung dari langit yang kelak hati mereka seakan api yang menyala yang akan menghidupkan hati-hati yang lain.Lantas seorang daie tidak akan menghentikan langkahnya. Mereka khuatir diamnya mereka akan menyebabkan bara api terpadam terus dari hati umat ini.

Esok saya akan melapor diri sebagai seorang house officer. Bermula satu lagi episod dalam kehidupan saya. Segalanya terlalu cepat. Dan hakikat sebenarnya, kita sedang mendekati akhirat yang abadi. Pernah ustaz melukis satu garisan yang panjang. 1 cm dari garisan tersebut diandaikan usia kita di dunia. Dan panjang garisan lainnya yang sebenarnya panjangnya adalah infiniti diibaratkan dengan kampung akhirat yang abadi. Garisan yang infiniti panjangnya, nasibnya ditentukan oleh garisan yang panjangnya hanya 1 cm itu. Alangkah ruginya juga mereka yang beramal dengan sangat hebat di garisan sepanjang 1 cm itu namun tiada keihlasan. Amal mereka menjadi zero. Nauzubillah..

Saya mulakan kehidupan dakwah dan tarbiah dengan nafas baru juga di bumi Johor. Semuanya masih baru namun alhamdulillah mengikut perancangan. Saya tidak lagi bersama dengan IPT, namun kini bersama dengan adik-adik yang belajar di sekolah menengah kebangsaan agama. Namun mereka terlalu bersemangat. Semangat mereka membuatkan saya tidak terkilan tidak dapat lagi bersama di medan IPT.

Pertama kali tiba di Johor, saya diberikan nama seorang adik. Dia menolak. Penolakannya buat saya belajar bersyukur saat bertemu dengan adik-adik yang saya bawa kini. Tidak semua orang mampu menerima kita. Dan semua itu mengajar kita hikmah yang mendalam.

Adik-adik di sini sangat ramai, penggeraknya kurang. Jomlah datang Johor dan jumpa adik-adik yang super semangat ini!

Satu perkara yang saya pelajari, Allah mentadbir hidup kita dengan sangat indah. Maka belajarlah bersabar dan terus bersabar.

Moga esok lebih indah!

Tuesday, September 13, 2011

Kalbumu...

Terbaca buku Kunci Memahami AlQuran yang merupakan koleksi tulisan Assyahid Imam Hassan Al Banna (IHAB) dari beberapa risalahnya iaitu pendahuluan dalam tafsir, bersama tafsir Al Fatihah dan awal-awal Surah Al Baqarah. Buku ini diterbitkan tahun 1981 oleh Pustaka Nasional, Singapura. Terjumpa dalam koleksi yang ada dalam buku-buku di rumah.

Saya petik pendahuluan buku ini..

Dalam bahagian terakhir dari muqaddimah tafsir ini, IHAB pernah ditanya, "Tafsir apakah yang paling baik dan jalan apakah yang paling dekat untuk memahami Kitabullah?" IHAB menjawab, "KALBUMU".

Begitulah kalau kalbu memang enthusias kepada suatu ilmu apalagi AlQuran yang memang diturunkan Allah untuk dipaham dan dijadikan pedoman dasar, maka segalanya akan dimudahkan Allah, semua rintangan akan disingkirkan dan kelabunya kalbu akan diterangi. Sesuai pula dengan janji Allah:

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (AlAnkabut: 69)

Saya memetik bahagian terakhir muqaddimah tafsir ini..

Salah seorang sahabat bertanya kepada saya (IHAB) tentang gerangan apakah tafsir yang lebih baik dan jalan yang paling dekat untuk memahami kitabullah? Maka jawab saya (IHAB) singkat, "KALBUMU!"

Mengapa? Sebab kalbu seorang mukmin tidak diragukan lagi adalah tafsir kitabullah yang paling baik dan jalan yang paling dekat untuk memahamnya. Yaitu dengan cara membacanya dengan tadabbur dan khusyuk, memohon pimpinan kepada Allah, menumpukan fikiran yang merana ketika membaca AlQuran, memadukannya dengan sirah nabi, lebih-lebih sunnah yang berkenaan dengan asbabun nuzul serta kaitannya dengan permasalahan. Cara semacam ini besar sekali pertolongannya untuk memahami AlQuran dengan benar. Maka apabila dia membaca kitab-kitab tafsir, kemudian berhenti pada satu makna lafaz yang sangat halus sekali, atau susunan yang belum jelas maksudnya atau tambahan pengetahuan yang dapat menolong memaham kitabullah, semuanya itu merupakan bantuan untuk memaham. Dan kalau sudah paham, maka sinar AlQuran itu akan memancar dalam lubuk hati.

Kerana itu salah satu wasiat Ustadzul Imam Sheikh Muhammad 'Abduh kepada salah seorang muridnya ialah, "Biasakanlah membaca Quran, dan fahamlah larangan dan perintah-perintahnya, serta nasihat dan 'ibrahnya, sebagaimana Quran itu pernah dibacakan di hari turunnya wahyu. Kemudian berhati-hatilah dalam melihat bermacam-macam tafsir hanya sekadar untuk memaham kata yang tidak diketahuinya seperti apa yang dimaksud oleh orang Arab, atau hubungan satu kata dengan kata lain yang tidak kamu ketahuinya. Kamudian teruskanlah kepada pembentukan keperibadian AlQuran dan bawalah dirimu kepada arah yang dituju oleh AlQuran".

Tidak diragukan lagi, bahawa barangsiapa yang mengambil AlQuran dengan cara demikian, maka pada satu waktu dia akan mendapatkan pengaruhnya di dalam jiwanya yang mampu memberikan pengertian terhadap jiwa AlQuran, dan akan merupakan cahaya yang dapat menyinarinya, di dunia ini sampai di akhirat kelak. Insya Allah!

Muhasabah tentang kalbu pastinya. Zaman ini tidak perlu keluar rumah untuk merosakkan kalbu. Komputer, TV dan macam-macam ada untuk merosakkan kalbu dari hari ke hari sehingga kalbu tidak lagi terasa dengan AlQuran. Aduh..

Mudah-mudahan Allah terus membantu kita bertahan di zaman yang mana Jahiliah menusuk kita dari setiap arah..


Sunday, August 21, 2011

AlQuds...

Hari ini adalah hari AlQuds sedunia. Ya, hari ini 21 Ogos.

Semalam hari yang indah buat saya. Subuh semalam berimamkan seorang akh dari Palestin. Masya Allah! Terlalu indah. Bacaan Quran yang panjang seakan nikmat yang mendamaikan. Tidak kenyang-kenyang dengan solat. Subuh semalam sememangnya kerehatan.

Adik-adik lelaki saya yang pada malam sebelumnya sempat berterawikh dengan akh tersebut bercerita. Mereka membayangkan bahawa mereka bersolat di masjidil Aqsa. Indah! Dan mereka rindu kerana akh tersebut membacakan Surah Isra’, dan berhenti dengan penuh kesyahduan saat menyebut masjidil aqsa.

Kiranya Subuh semalam, saya juga membayangkan hal yang sama, membayangkan solat Subuh di AlQuds. Air mata turun mencurah-curah. Rindu! Cinta!

Sungguh AlQuds menanti kebebasan!

Tazkirah akh tersebut benar-benar mengesankan. Katanya, kita kini di sepuluh terakhir Ramadhan. Menurutnya Allah bersumpah dengan 10 hari ini di dalam Surah AlFajr. Betapa agungnya 10 yang terakhir ini kerana Allah sendiri yang bersumpah dengannya.

Menurutnya lagi, dirikan malam dengan qiyamullail. Menurutnya, TARBIAH HAKIKI bagi seorang mukmin adalah qiamullail apatah lagi bagi mereka yang bekerja untuk Islam. Hadis tentang Ramadhan bukan hanya man soma (mereka yang berpuasa) tetapi juga man qoma (mereka yang mendirikan qiamullail).

Paling syahdu, saat dia mengingati Somalia, mendahulukan dan memikirkan Somalia sebelum Palestina.

Benarlah satu status di FB - When the children of Gaza collect money for the children of Somalia, the world should be crying in shame.

Ya Allah, bebaskan AlQuds dan Libya. Bebaskan semua tanah yang di dalamnya ada orang Islam. Berikanlah kami kemenangan sepertimana Kau memberi kemenangan kepada tentera-tentera Badar. Bantulah saudara-saudara kami di seluruh dunia ini.

Selamat hari AlQuds sedunia!

Friday, August 12, 2011

Quwwatal jama'ah (Kekuatan jemaah) 2...


Seterusnya kita tadabbur surah Annur ayat 37, bahagian kedua rasmul bayan (peta minda) ini. Kita akan melihat ciri-ciri ahli yang hidup dalam jemaah yang akan membuatkan jemaah mendapatkan cahaya Allah yang agung.

Pertamanya, dalam ayat 37 tersebut, Allah menggunakan kalimah rijalun, dengan lafaz nakirah (lafaz umum). Pemuda tersebut tidak semestinya seorang lulusan agama, para sheikh dan lainnya. Tapi pemuda tersebut mempunyai ciri-ciri yang disebutkan Allah SWT.

1) Tidak dilalaikan oleh perdagangan dari mengingati Allah (al mas’uliyah) – tidak melalaikan tanggungjawabnya terhadap Allah. Perdagangan bukan hanya merujuk pada urusan jual beli tapi apa-apa jua urusannya. Mereka meletakkan Allah sebagai prioriti utama kehidupan mereka.

2) Melaksanakan solat (ibadah) – menjaga semua hak-hak Allah

3) Menunaikan zakat (al-‘adalah) – prinsip keadilan (memberikan hak kepada yang berhak) – ketika setiap kader dakwah mengemban dakwah, maka dia harus bersikap adil dengan dirinya, dengan seluruh amanahnya. Mereka memberikan setiap yang berhak haknya.

4) Takut dengan satu hari yang ketika itu bergoncang hati (almuhasabah) – Mereka ini sentiasa memerhatikan segala aktiviti kehidupan mereka. Ketika Rasulullah SAW mengatakan manusia akan dibangkitkan dalam keadaan tidak pakai baju, Aisyah r.a bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, apakah sebahagian mereka tidak melihat sebahagian yang lain?” Maka jawab Rasulullah Saw, “Urusan pada hari itu jauh lebih besar“. Semua manusia terlalu merisaukan amalan mereka pada saat itu sehingga tidak mungkin memandang aurat saudaranya. Kalaulah tiada siapa melihat kita, sesungguhnya Allah melihat kita!

Seterusnya bila amal-amal dan ciri-ciri ini telah ada, maka bertemulah cahaya Allah dengan cahaya pelita manusia. Cahaya Allah yang sangat hebat.
Ustaz umpamakan manusia keseluruhannya seperti sebuah misykat (keseluruhan pelita). Dan hati manusia seperti misbah, cahaya pelita. Azzujajah (kaca) digambarkan sebagai fikrah kita yang jelas. Andai hati kita telah bercahaya, yang terpancar hanyalah sinar-sinar yang bergemerlapan hasil dari nurul qalb, cahaya hati kita. Syajaratun mubarakah, pokok yang berkat itu diibaratkan dengan kesempurnaan syariat Islam yang telah sempurna. Semua ini membawa hidayah Allah, cahaya di atas cahaya yang tidak dapat digambarkan kehebatannya.

Antara poin-poin lain yang disampaikan ustaz:

1) Andai hati ini cahayanya malap – noda hitam akan bertapak di hati. Carilah jalan untuk menghilangkan noda hitam itu, antaranya dengan “ikuti kesalahan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya”.

2) Prinsip: Apa yang tidak dapat kita gapai 100%, maka hendaklah kita penuhi sebahagian besarnya (bukan jangan tinggalkan semuanya).

3) Jagalah amalan yang kita biasa lakukan, agar iman tidak menurun lagi.

4) Kita amat memerlukan lingkungan yang baik. Sangat perlu kita rindu dengan saudara seiman kita.

5) Ketika bingkai rumahtangga dibangunkan atas dasar dakwah, maka ia bisa mempertahankan dakwah kita.

6) Carilah nutfah solehah untuk anak-anak kita.

7) Cari jalan untuk kita tingkatkan keimanan misalnya melalui bacaan.

7) Berikan masa untuk dakwah, bukan masa-masa sisa. Habil vs Qabil: Habil memberikan yang terbaik yang dimiliki.

8) Harus kita sentiasa ingat, kita berdakwah bukan kerana ingin dipuji, tapi kerana kita khuatir nanti depan Allah kita akan dipertanggungjawabkan. Boleh je kita cipta alasan di depan ikhwah/akhawat - Ana tak boleh hadir kerana ana kurang sihat. Tapi, Allah Maha Tahu. Depan Allah nanti nak jawab apa?

9) Kita jangan sampai lemah bila orang lain lemah - jangan ikut-ikutan!

10) Rasulullah bersabda : ‘Tidak ada orang yang ikut perang dalam sabilillah kemudian dia mendapatkan ghanimah kecuali dia mengambil dua pertiga pahala akhirat sehingga masih sepertiga. Jika tidak mendapatkan ghanimah maka sempurnalah pahalanya”(HR.Muslim Kitab Al Imarah). Ertinya jika ada orang yang ikut berperang selamat dan mendapatkan ghanimah , pahalanya sedikit daripada pahala orang yang gugur atau selamat tetapi tidak mendapatkan ghanimah. Ghanimah (rampasan perang) merupakan imbalan sebagian dari pahala jihad. Apabila mendapatkan ghanimah , berarti mengambil bagian dua pertiga dari pahala akhirat. Dan ghanimah ini sudah masuk dalam hitungan pahala akhirat.

11) Kita harap sangat Allah menyimpan semua pahala kita di akhirat kelak!

Wednesday, August 10, 2011

Quwwatal jama'ah (Kekuatan jemaah)...



Hari ini insya Allah kita tadabbur surah An-nur ayat 35-37 berdasarkan rasmul bayan (peta minda) yang pernah disampaikan oleh seorang ustaz dari Indonesia suatu masa dulu. Catatan ini saya temui di dalam buku nota dan ternyata menguatkan saya kembali.

Berdasarkan pada peta minda tersebut, kita akan melihat bahawa kekuatan jemaah bergantung pada dua faktor utama. Pertamanya, amal yang dilakukan oleh ahli jemaah (‘amalaituha – 24:36) dan keduanya adalah muwassofat atau ciri-ciri yang ada bagi orang yang berada di dalam jemaah tersebut (a’dhauha – 24-37).

Keberhasilan sesebuah jemaah juga bergantung pada jalan yang ditempuhnya untuk merealisasikan tujuan (hazihi thoriqi – 12:108)

Kekuatan jemaah adalah suatu kemestian agar kita dapat mewujudkan tujuan besar. Harakah Islamiyyah (gerakan Islam) kalaulah ia exist dengan kekuatan yang dikehendaki, pastilah banyak manfaatnya pada umat manusia.

Buyuti dalam surah Annur ayat 35 disebut dengan lafaz umum. Kiranya di mana-mana rumah atau jemaah yang mahu berjaya, yang nur dakwahnya akan menguasai serata langit dan bumi perlulah memastikan bahawa amal-amal mereka selari dengan yang disebut oleh Allah dalam ayatNya.

1. An turfa’a (mengangkat syiar agama Allah): apapun profesi yang kita berada di dalamnya, kita boleh meninggikan islam dengannya. Segala hal yang boleh membuat Islam ditinggikan, maka itu adalah bidang kerja jemaah kita. Semua hal yang boleh membuat Islam ditinggikan, kita perlu membuatnya. Itulah tugas kita. “Jangan sampai kekalahan Islam itu datang dari pintu yang kita jaga”.

2. Wa yuzkaru fiihaa (diangkat nama Allah): berhasilnya dakwah di sesebuah tempat kerana ada ikhwah di situ. Prinsipnya “Nahnu du’aat qobla kulli syai’in” – kita adalah du’at (pendakwah) sebelum apa-apa. Kita adalah du’at sebelum kita seorang doktor. Kita adalah du’at terlebih dahulu sebelum kita seorang guru. Yakinlah, kalau kita tunjukkan kualiti dan mas’uliyah kita kepada orang lain, nescaya mereka akan timbul jadi simpati dgn kita. Rabtul am (ikatan-ikatan umum kita) tidak menjadikan mad’u sebagai kader dakwah, tapi ia akan menjadi penyokong dakwah walaupun tidak ikut serta dengan jemaah. Seorang akh di Indonesia yang dulunya kerja tentera, seminggu minimum 20 rumah dia ziarahi. Tapi ternyata yang dapat dia tarik hanyalah 5 orang daripada 20 rumah ini. Maknanya, yang penting bukan jumlah atau hasil tapi rencana, management dan usahanya.

3. Bil ghuduwi wal asal (pada waktu paqi dan petang) – dakwah ini sifatnya berterusan (mustamirah) untuk memastikan dakwah terus berkesinambungan.

Semua mereka yang mempunyai anasir-anasir baik ini disatukan di atas satu jemaah yang akan mengikuti thoriqah (jalan) yang baik. Semua ini dapat difahami dengan mentadabbur surah Yusuf ayat 108.

1) Qul (katakanlah) – perintah Allah. Inilah yang Allah Taala perintahkan pada kita.

2) Ha zihi sabili (Ini adalah jalanku) - Tiada seorang pun melainkan harus mengatakan kata-kata ini, bahawa ini jalan yang diikutinya. Dia perlu izzah dengan jalan yang dipilihnya.

3) Ad’uu (aku menyeru) – fi’il mudhari’ (present tense) menunjukkan ia berterusan – gerak dakwah harus terus berjalan, tidak boleh hilang kerana hilang semangat kita, tidak boleh kurang kerana kurangnya perhatian kita.

4) Ilallah (kepada Allah) – Kita membawa semua manusia kepada Allah. Semakin besar dakwah ini, semakin besar tentangan duniawinya. Di mana saja kita berada, maka kita hiduplah dengan musykilah di tempat itu. Jangan hanya mengatakan, “Oh bagusnya dakwah di tempat itu, oh untungnya kamu di tempat ini”. Tapi hiduplah dengan apapun musykilah di tempat kita. Ketika penduduk Mekah menolak dakwah Rasulullah SAW, Rasulullah SAW ke Taif dan biarpun ditentang, Allah kurniakan Addas. Addas berasal dari Parsi. Seolah -olah Allah mahu mengatakan, kalaulah seluruh Tanah Arab tidak mahu menerimamu, maka pasti ada tempat lain yang akan menerima dakwah kamu. Kemudian setelah tahun huzni (kesedihan), berlakulah peristiwa isra’ mikraj pula. Seolah-olah Allah nak katakan, kalaupun seluruh penduduk bumi menolak kamu, penduduk langit mahu menerimamu. Prinsip inilah kita kena pegang. Kalaulah penduduk di sini tak boleh terima dakwah kita, pasti ada tempat lain yang akan menerima dakwah kita. In tansurullaha yansurkum. Sekiranya kamu menolang agama Allah, nescaya Dia akan menolong kamu. Apapun yang berlaku, Allah pasti akan bantu kita, dan betapa banyaknya saat-saat ketika Allah bantu kita dari pelbagai arah yang tidak disangka-sangka.

5) ‘ala bashirah (di atas bashirah) – Perlu ada bashirah, ada buktinya. Kita menyeru kepada agama Allah berdasarkan hujah yang terang dan jelas; serta ilmu dan pengetahuan yang cukup berkenaan apa yang disampaikan.

6) Ana, wa manittaba’ani (aku dan mereka yang mengikutiku) – sekiranya kita adalah qiyadah (pemimpin), maka yang kita perlukan qiyadah yang mukhlisah (ikhlas). Kalau kita jundi, jadilah jundi yang mu’ti’ah (para kader yang taat).

Inilah formula jemaah Islam. Moga-moga Allah terus menuntuni kita. Insya Allah bahagian kedua bersambung…

Dr Norra 2...

Pesanan terakhir Dr Norra, hasil tulisan seorang teman. Moga terus menjadi ingatan buat diri ini.

Some of arwah Dr. Norra's last message for us~

Dear all, I'm still trying to deal with all the sadness, i really cant believe shes gone..

last 2 weeks ago, S**** and I managed to her pay her a visit in PPUM.. She looked really okay, and she was smiling and everything, she just looked a bit tired thats all. I really thought she was going to make it, but Allah knows best..

She asked about all of us..

She also told us that she prays we all get good hospitals that will be good teaching grounds for us, and our future, so we will become great doctors, and even greater then her.. but i know that, there will only be one Dr. Norra.. and she was a legend indeed...

She said that make sure we toughen up during houseman, even when we're tired, even when we're completely knocked down, she said just don't complaint. and do your best.. and make sure you give it all you got, in these 2 years.. she wishes that we get good specialists that will train us to be among the best.. she also said jangan berkira sangat dengan your other colleagues, cover for them, have a good teamwork!

She also expressed her hatred towards the new shift system and how its a failure. and how the government people are bongok... hehe Dr Norra just keeping it real, being her!

anyways, while talking about all of that, she told me that time dulu, on calls tak dapat allowance pon.. and she and a few friends from MMA, fought for it for 10 years, and finally.. the government bagi oncall allowance! and now the shift system is to cut back on that allowance, n thats why she hates it.. so lets all hate it together for Dr Norra..because it was her 10 years of fight that got us those allowances!

She was a fighter indeed.. she fought for a lot of things, not just for herself, but mostly for the wellbeing of doctors in malaysia and the betterment of the very corrupted healthcare system in malaysia....

i hope that we will always be inspired by her...

her daughter was next to her masa tu, and she cakap betul tak, mama tak pernah complain.. letih macam mana pon, mama tak complaint kan?.. and her daughter said YES! with a smily face...she was a loving mother, a caring daughter (sanggup travel all the way to seremban to stay with her parents, while being a very busy consultant and HOD),a gifted and dedicated lecturer, a wonderful colleague to all her friends, an amazing paediatrics consultant!.....

I really dont know how the daughters are going to deal with her loss.. i pray Allah give them all the strength inshaallah..

DR. NORRA, you will be truly missed....
and you will always be in our prayers..

take care guys.

Saturday, August 06, 2011

Dr Norra...

Saya menulis entri tersebut 3 tahun yang lalu. Ya, entri itu adalah semasa bulan Ramadhan juga. Entri tersebut berkenaan Dr Norra, seorang guru yang benar-benar telah menyentuh hati dan nubari saya.

Hari ini saya kehilangannya. Dia meninggal dunia 12 tengah malam tadi. Innalillahi wa innalillahi raji’un.

Dia merupakan seorang guru yang teramat baik buat saya. Pediatrik adalah posting pertama saya semasa tahun klinikal dan dia benar-benar menjadi inspirasi buat saya. Pernah sekali semasa ward round, dia memegang dan memeluk bahu saya. Dia benar-benar istimewa..

Seusai posting pediatric semasa di tahun 3, saya ke posting O&G. Kawan-kawan lain yang kemudiannya berada di posting pediatric dan salah seorang dari mereka menceritakan, dia menyebut nama saya, “Ummu mana?” Saya yang kerdil punya tempat di hatinya.

Saya masih ingat sambutan raya semasa saya di tahun 3. Dia menjemput kami ke rumahnya. Dia punya ibu dan ayah yang sangat tua. Di hadapan doktor-doktor pakar dan tetamu-tetamu yang datang, ayahnya kencing di hadapan rumah. Namun dengan penuh kesabaran, tanpa ada riak malu dia menguruskan ayahnya. Saat itu saya tahu dia benar-benar seorang yang baik. Dia banyak mengajar saya hikmah kehidupan..

Saya bukan pelajar yang cemerlang, tapi Dr Norra merupakan salah satu di antara guru yang banyak memberi dorongan buat pelajar-pelajarnya. Markah saya untuk semester akhir, yang terbaik adalah pediatric – A-. Pesakit-pesakitnya juga terlalu menyayanginya..

Dia bersama-sama kami sehingga peperiksaan terakhir kami. Semuanya dia catatkan dia laman mayanya. Pemergiannya benar-benar sebuah kehilangan.. Dialah guru, kawan, dan contoh buat kami. Moga Allah merahmatinya. Moga kita bertemu lagi di JannahNya. Dr Norra, selamat kembali ke kampung abadi! AlFatihah..

Kata-kata Dilah suatu masa dulu menguatkan saya kembali…

Wednesday, August 03, 2011

Attin...


Ramadhan ini target saya adalah untuk mentadabbur sebanyak mungkin ayat-ayat Allah. Sudah bertahun-tahun saya membaca Alquran, namun tidak dapat memahaminya.

Setiap kali saya dapat memahami ayat-ayat Allah, excited sangat perasaannya. Nanti saya sambung entri asas-asas dakwah dan tarbiah dari surah-surah pendek. Semalam saya tadabbur surah Attin. Best bangat!
Blog saya bukan blog tafsir, banyak yang saya tulis di sini adalah tadabbur. Apa beza tafsir dan tadabbur? Tafsir adalah yang menambah potensi akal, sedang tadabbur adalah apa yang menambah potensi hati. (47:24) Quran diturunkan untuk mengubah hati atau akal? Hati jawapannya. Saya cuma berkongsi sedikit sebanyak yang saya dapat dari Alquran. Itu sahaja..

Selalunya bila membaca Surah Attin ini, terbayang kebaikan buah tin dan zaitun. Selepas itu tentang Bukit Tursina. Dan negeri yang aman iaitu Mekah. Ada yang akan menceritakan kebaikan buah tin dan zaitun dan macam-macam lagi pendapat tentang tiga ayat pertama. Pokok tin misalnya adalah selfless tree sebab sebelum akarnya tertancap dengan kuat lagi, si pokok sudah mengeluarkan buah.

Cuma bila diceritakan, ada pendapat yang mengatakan bahawa Attin ini adalah Bukit Attin , tempat berlabuhnya kapal nabi Nuh. Az Zaitun, tempat Nabi Isa mendapat wahyu illahi, yakni di bukit Zaitun di daerah Syam, Palestina, kemudian disusul lagi dengan Thur Sina yaitu di Sinai, wilayah Mesir yang merupakan tempat Nabi Musa as mendengar kalam ilahi dan memperoleh bimbinganNya. Dan terakhir dengan Al - Amin, yakni kota Mekah yang aman tempat Nabi Muhammad SAW pertama kali menerima al-Qur'an.

Nampak tak perkaitannya? Nabi Nuh adalah rasul yang pertama. Dan benarlah kata-kata Assyahid Syed Qutb dalam muqaddimah zilal.

Oleh sebab manusia mempunyai darjah kemuliaan dan ketinggian yang seluhur ini, maka Allah telah menjadikan tali hubungan yang mengikat umat manusia itu ialah tali hubungan yang diambil dari tiupan ilahi yang mulia, iaitu tali hubungan ‘aqidah kerana Allah. Oleh itu ‘aqidah seseorang Mu’min merupakan tanahairnya, kaumnya dan keluarganya dan di atas ‘aqidah inilah umat manusia harus bersatu padu bukannya seperti haiwan yang berpadu kerana rumput, kerana padang ragut, kerana kumpulan dan kerana pagar.

Orang yang beriman mempunyai keturunan yang amat tua yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh. Dia adalah salah seorang dan angkatan manusia yang mulia yang dipimpin oleh para rasul yang mulia, iaitu Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’kub, Yusuf, Musa, ‘Isa dan Muhammad alayhimus-salam.


Apa perasaannya saat kita memikul dakwah dan tarbiah ini? Kita rasa akrab dengan para nabi Allah. Kita nampak jalur keturunan kita yang sangat panjang. Nabi-nabi Allah pun buat kerja yang sama dengan kita. [Boleh rujuk entri ini juga]


Selepas itu Allah cerita tentang penciptaan manusia yang sangat indah. Manusia yang diciptakan dalam keadaan fitrah, dicipta sebaik-baiknya. Ada pendapat tentang ayat 4 dan 5 ini. Ada yang kata ayat 4 ini adalah tentang masa muda kita, dan ayat 5 itu merujuk tentang usia kita yang semakin tua. Kiranya setelah Allah bersumpah dari ayat 1-3 itu, Allah nak sangat kita perhatikan usia muda kita. Gunakan masa muda kita ini untuk deen Allah.

Antara pendapat yang kuat adalah bahawa ayat 4 itu merujuk kepada keadaan fitrah manusia yang sentiasa mengagungkan Allah. Dan kemudian di dalam ayat 5, Allah gunakan kalimah thumma. Apa beza thumma dan fi? Fi adalah cepat sementara thumma adalah merujuk sesuatu yang mempunyai jangka masa yang lebih lama. Kiranya, manusia secara beransur-ansur mengotorkan fitrah mereka.

Seterusnya Allah gunakan kalimah illa – kecuali. Illa ini ada dua jenis. Illa yang definite, contohnya – semua ini adalah buah-buahan kecuali pensil. Kiranya pensil itu memang tiada kaitan dengan buah-buahan pun. Tapi illa dalam ayat ini merujuk bahawa terdapat perkaitan di antara golongan yang terkecuali dengan golongan yang disebut dalam ayat 5. Sebab apa? Sebab membuktikan bahawa di sana ada pintu-pintu keampunan dari Allah. Ada harapan dari Allah. No sin that is greater than Allah’s rahmah. Mungkin satu masa kita pernah hidup dalam kelompok Jahiliah, dan kini Allah memilih kita. Dan kita hendaklah sentiasa termotivasi untuk berubah. Quran adalah motivasi terbaik yang kita ada.

Ayat 6 itu best, Allah gunakan kalimah fa. Fa ini serta merta. Serta merta Allah berikan pahala yang tidak putus-putus. Lahum itu pun best sangat. Sebabnya Allah letakkan lahum itu ditengah-tengah ayat. Apa tujuannya? Memang istimewa untuk mereka, Allah janjikan pahala yang tidak putus-putus. Macam entri sebelum ini. Untuk siapa? Untuk mereka yang beriman dan beramal soleh. Iman pasti akan melahirkan amal. Quran tidak mengasingkan iman dan amal. Iman adalah sesuatu yang bergejolak dalam hati kita dan tak sabar-sabar untuk mengairi hati-hati yang lain.

Dan kemudiannya Allah sebut tentang mereka yang mendustakan agama. Macam pelik sangat setelah kita diangkat ke darjat yang tinggi, kita mendustakan agama. Setelah kita diletakkan dalam posisi yang sangat istimewa, kita mendustakan Allah.

Sehingga Allah guna kalimah fama – ma. Kenapa Allah tak gunakan kalimah man? Man selalunya merujuk pada manusia, sedang ma merujuk pada benda yang tidak berakal. Allah merujuk mereka yang mendustakan agama ini sebagai mereka yang tidak mempunyai akal. Sedih kan?

Alaisallahu biahkamil hakimin. Hakimin ini ada dua makna. Hakim merujuk kepada pengadil atau hikmah. Cukuplah Allah sebaik-baik pengadil. Cukuplah Allah yang mengetahui segala hikmah.

Wednesday, July 27, 2011

Annas..

Jujurnya kenikmatan itu dapat dirasai oleh mereka yang berada di atas jalan dakwah dan tarbiah. Nikmat yang paling berharga adalah ketika Allah memberi peluang memahami kalamNya. Menitis air mata saat Allah memberi kefahaman yang sangat mendalam. Dan Quran itu sememangnya menggerakkan hati.

Sudah hari ketiga kami berprogram bersama. Program masih belum tamat. Namun berada di sini, merasai udara-udara iman yang indah begitu menggelorakan hati.

Dan jujur hati ini sangat cemburu dengan ustaz kerana dia dapat mentadabbur sebegitu rupa. Kami ambil masa sehari untuk tadabbur surah Annas sahaja. Kami belajar asas dakwah dan tarbiah dari surah Annas. Serasanya memang saya tidak sempat untuk menulis keseluruhan bahan yang disampaikan. Cuma beberapa poin yang saya rasakan begitu menyentuh hati saya.

Kenapa surah Annas diletakkan sebagai surah terakhir? Sebab surah Annas ini adalah penutup, kesimpulan AlQuran itu sendiri, merangkumi perkara yang sangat-sangat penting.

Saat ustaz huraikan Allah sebagai Malik - Allah sebagai raja, hati ini begitu tersentak. Bila kita sebut raja, pasti seorang raja memiliki rakyat di bawahnya, ada perlembagaan yang diasaskannya dan juga tanah jajahannya.

Cuba kita tanya diri kita sendiri. Adakah hak-hak Allah sebagai raja telah dipenuhi? Apa yang telah berlaku pada tanah jajahan Allah? Apa berlaku pada rakyat Allah? Adakah perlembagaan Allah telah dijalankan? Begitu dahsyat rakyat Allah memperlakukan Allah. Mereka telah menggulingkan Allah dari takhta kekuasaanNya!

Pernah tak kita rasa semua itu? Bukankah kita khalifah Allah? Bukankah kita yang sepatutnya menjadi wakil Allah di atas muka bumi ini? Adakah kita telah meletakkan Allah di tempat yang sepatutnya? Adakah kita sememangnya rakyat Allah? Apa kewarganegaraan kita? Cukup setakat cakap kita ini rakyat Malaysia? Di atas jalan dakwah dan tarbiah, kita tidak disempitkan dengan ideologi dan tanah jajahan yang sempit itu. Seluruh muka bumi ini adalah milik Allah dan rakyat Allah perlu memakmurkannya.

Tanggungjawab siapa semua ini? Tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula hak-hak Allah.

Saat Allah mengatakan dia menciptakan kita sebagai sebaik-baik kejadian. Saat dia mengungkapkan bahawa saat Dia mencipta, dia hanya mencipta untuk kita, apa yang telah kita lakukan?

Jom tadabbur satu ayat – surah Baqarah ayat 29.
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (2:29)
Kalau kita belajar bahasa arab, dalam satu ayat akan ada fa’el (pembuat), fe’el (perbuatan) dan juga maf’ulum bih (yang kena buat). Misalnya, Ali bermain bola. Ali adalah fa’el (pembuat), bermain adalah fe’el (perbuatan) dan bola ialah maf’ulum bih (yang kena buat).

Bila Allah cerita ayat ini, Allah kata – Aku menciptakan segala yang ada di bumi untuk kamu. Huwallazi khalaqa lakum mafil ardhi – kalau terjemah direct bahasa Arab – Dia yang menciptakan untuk kamu segalanya yang ada di bumi. Kiranya – pembuat dalam ayat ini adalah Allah. Apa fe’el dia? Apa perbuatannya? Perbuatan dalam ayat ini adalah mencipta. Apa yang dia cipta? Apa maf’ulum bih dalam ayat ini? Segala yang ada di bumi. Tapi tiba-tiba di dalam ayat ini, di tengah-tengah ayat ada perkataan lakum – untuk kamu. Allah mendahulukukan lakum sebelum maf’ulum bih.

Kalau kamu nak belikan hadiah untuk seorang teman, apa yang kamu lakukan terlebih dahulu? Kamu beli hadiah dulu, baru cari orangnya. Atau kamu dah pasti siapa orangnya, baru beli hadiah? Mesti kamu dah pasti dulu siapa orangnya kan? Sebabnya kamu pastikan hadiah itu begitu istimewa untuk dirinya kan?

Begitulah Allah. Dia pastikan segala ciptaannya begitu istimewa untuk manusia. Dia mendahulukan lakum – untuk kamu, untuk kita!
Misalnya Allah telah menyediakan bumi berjuta tahun sebelum kita dijadikan. Maha hebat Allah!

Cuba fikirkan mengenai kejadian petroleum. Saintis sendiri mengatakan bahawa pembentukan petroleum mengambil masa berjuta tahun. Petroleum dijadikan dari daun, pokok dan bahan lain. Semua itu mengambil masa berjuta tahun lamanya. Kalau ikut sejarah nabi Adam dengan masa kini, semuanya itu mengambil masa dalam 10000 tahun sahaja. Firaun berapa ribu tahun? Mengikut pakar arkeologi adalah 2000-3000 tahun. Maksudnya Nabi Musa sehingga Nabi Adam dalam 10 000 tahun sahaja. 10 000 tahun belum cukup untuk menghasilkan petroleum. Itulah buktinya bahawa Allah menciptakan bumi ini berjuta tahun sebelum kejadian manusia. Bukankah proses penciptaan Nabi Adam sendiri dari tanah yang diambil di bumi? Cuba fikirkan seketika. Jin iblis pun sudah tinggal di bumi lama sebelum kita. Pernah tidak jin iblis menggunakan petroleum? Tidak pernah kan? Hanya manusia yang datang selepas berjuta tahun sahaja yang menggunakannya. Itulah gambaran betapa alam ini dijadikan semata-mata untuk manusia dan agar manusia menggunakannya sebagai alat untuk berubudiah kepada Allah.

Di atas semua keistimewaan yang Allah berikan, di atas segala nikmat cintaNya yang kita kecapi, Allah sebagai Rabb yang menciptakan segalanya untuk kita, tidak inginkah kita untuk menjadi hamba yang bersyukur? Tidak terlintaskah di hati kita untuk meletakkan Allah di takhtaNya semula? Lantas bergeraklah, teruslah bergerak membawa manusia…

Tuesday, July 19, 2011

Menghindari...

Banyak yang terjadi dalam beberapa hari ini. Minggu lepas, saya sempat menghadiri Wacana Tarbawi Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya Dalam Membangunkan Masyarakat yang disampaikan oleh Sheikh Jum’ah Amin.

Semalam baru pulang dari Acheh setelah 4 hari di sana mengikuti Bakti Ikhlas Siswazah Acheh 2011. Pena terlalu ingin menarikan rentaknya, melukiskan hikmah-hikmah yang saya kutip untuk dikongsikan dalam kanvas maya peribadi ini.

Namun segala yang terjadi hari ini ternyata lebih menyengat diri untuk menulis. Allah menguji dalam menghadapi mad’u di bumi ini. Bertahun-tahun menulis, tulisan saya kepadanya disalah erti. Masih ramai rupanya yang belum mampu memahami bahasa-bahasa saya sehingga makna tulisan mampu berubah tiga ratus enam puluh darjah.

Dakwah, pasti ada cubaan. Saya kelelahan menghadapi remaja belasan tahun yang seorang ini. Itulah dakwah. Saya masih belajar. Belajar menghadapi hari-hari baru. Belajar dari kesilapan sendiri. Kita pasti tersilap apabila melakukan sesuatu. Saat kita tidak pernah tersilap, pasti kita tidak pernah melakukan sesuatu.

Dan percaturan pertama itu ternyata menguji. Moga Allah terus menuntuni. Semasa di Acheh tempoh hari, saya membeli satu lagi buku tulisan Salim A. Fillah yang bertajuk Dalam Dekapan Ukhwah. Dan ada satu hadis yang begitu terkesan buat diri ini.

Dalam dekapan ukhwah, ada pilihan untuk meraih rumah di surga dengan menghindarinya. “Aku menjaminkan sebuah rumah di tengah-tengah surga”, kata Sang Nabi dalam riwayat Abu Daud, “Untuk orang-orang yang menahan diri dari debat, meski dia benar”. – Dalam Dekapan Ukhwah


Dan hari ini saya belajar menghindari. Moga Allah menuntuni saya dan dia.

Monday, July 04, 2011

Rahmat...

Ukhti bercerita. Pernah dalam usrahnya, terdapat seorang ukhti yang bermasalah. Tidak mahu bergerak, tidak mahu membina. Dia hanya mahu menumpang gerabak dakwah ini. Lantas mereka memberitahu naqibah mereka. Kata si naqibah, "Serahkan hal itu pada Allah. Biar Allah mengadilinya".

Tidak lama selepas itu, ukhti yang bermasalah itu pun gugur dari jalan dakwah. Dia sendiri yang menjauh, tidak mahu lagi memikul beban dakwah ini.

Ukhti yang menceritakan kisah tersebut bertanya, "Apa pandangan antunna terhadap kisah ini? Adakah ia hanya sebuah kisah? Adakah ini cuma tentang ukhti yang bermasalah tersebut? Tidak sama sekali. Persoalannya adalah bagaimana seandainya kitalah ukhti tersebut dan Allah menapis kita dari jalan ini. Bagaimana ukhti? Setiap hari yang kita lalui di atas jalan dakwah dan tarbiah hanyalah kerana rahmat Allah. Beradanya kita di atas jalan ini hanyalah kerana pilihan dan rahmat Allah. Ia bukan sekali-kali pilihan kita. Hanya kerana ALLAH, kita masih di sini!".

"Lantas ukhti, kita perlu sentiasa berdoa agar secorot mana pun kita, Allah masih ingin memilih kita di jalan ini. Dan kita perlulah membuat kerja dakwah ini dengan bersungguh-sungguh agar melayakkan kita untuk terus berada di jalan ini!".

Sayunya...

Kayu ukur...

Aku memang mengkagumi akhawat. Malah aku bersyukur ditakdirkan untuk berada di bumi ini. Hati terasa basah dengan segalanya. Himmah pun menguat. Seakan-akan tak sabar untuk terus bergerak. Banyak yang aku pelajari dalam hari-hariku di sini.

Sungguh aku kagum dengan mereka yang bergerak di jalan ini. Kata seorang ukhti, "Kita harus melihat anak-anak binaan kita seperti Solahuddin Al Ayyubi, Sultan Muhammad Fateh dan lainnya. Kita melihat Solahuddin Al Ayyubi, Sultan Muhammad Fateh dan lainnya berlari-lari ke arah kita. Kita ingin lahirkan insan-insan yang apabila mereka faham, mereka akan menjadi seperti generasi terdahulu. Kerana cita-cita kita begitu tinggi. Kita mahu mencapai ustaziatul alam."

Masya Allah! Sungguh aku malu melihat mereka. Terlalu tinggi kayu ukur yang diletakkan oleh mereka. Pernah kita berfikiran sebegitu?