Jujurnya kenikmatan itu dapat dirasai oleh mereka yang berada di atas jalan dakwah dan tarbiah. Nikmat yang paling berharga adalah ketika Allah memberi peluang memahami kalamNya. Menitis air mata saat Allah memberi kefahaman yang sangat mendalam. Dan Quran itu sememangnya menggerakkan hati.
Sudah hari ketiga kami berprogram bersama. Program masih belum tamat. Namun berada di sini, merasai udara-udara iman yang indah begitu menggelorakan hati.
Dan jujur hati ini sangat cemburu dengan ustaz kerana dia dapat mentadabbur sebegitu rupa. Kami ambil masa sehari untuk tadabbur surah Annas sahaja. Kami belajar asas dakwah dan tarbiah dari surah Annas. Serasanya memang saya tidak sempat untuk menulis keseluruhan bahan yang disampaikan. Cuma beberapa poin yang saya rasakan begitu menyentuh hati saya.
Kenapa surah Annas diletakkan sebagai surah terakhir? Sebab surah Annas ini adalah penutup, kesimpulan AlQuran itu sendiri, merangkumi perkara yang sangat-sangat penting.
Saat ustaz huraikan Allah sebagai Malik - Allah sebagai raja, hati ini begitu tersentak. Bila kita sebut raja, pasti seorang raja memiliki rakyat di bawahnya, ada perlembagaan yang diasaskannya dan juga tanah jajahannya.
Cuba kita tanya diri kita sendiri. Adakah hak-hak Allah sebagai raja telah dipenuhi? Apa yang telah berlaku pada tanah jajahan Allah? Apa berlaku pada rakyat Allah? Adakah perlembagaan Allah telah dijalankan? Begitu dahsyat rakyat Allah memperlakukan Allah. Mereka telah menggulingkan Allah dari takhta kekuasaanNya!
Pernah tak kita rasa semua itu? Bukankah kita khalifah Allah? Bukankah kita yang sepatutnya menjadi wakil Allah di atas muka bumi ini? Adakah kita telah meletakkan Allah di tempat yang sepatutnya? Adakah kita sememangnya rakyat Allah? Apa kewarganegaraan kita? Cukup setakat cakap kita ini rakyat Malaysia? Di atas jalan dakwah dan tarbiah, kita tidak disempitkan dengan ideologi dan tanah jajahan yang sempit itu. Seluruh muka bumi ini adalah milik Allah dan rakyat Allah perlu memakmurkannya.
Tanggungjawab siapa semua ini? Tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula hak-hak Allah.
Saat Allah mengatakan dia menciptakan kita sebagai sebaik-baik kejadian. Saat dia mengungkapkan bahawa saat Dia mencipta, dia hanya mencipta untuk kita, apa yang telah kita lakukan?
Jom tadabbur satu ayat – surah Baqarah ayat 29.
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (2:29)Kalau kita belajar bahasa arab, dalam satu ayat akan ada fa’el (pembuat), fe’el (perbuatan) dan juga maf’ulum bih (yang kena buat). Misalnya, Ali bermain bola. Ali adalah fa’el (pembuat), bermain adalah fe’el (perbuatan) dan bola ialah maf’ulum bih (yang kena buat).
Bila Allah cerita ayat ini, Allah kata – Aku menciptakan segala yang ada di bumi untuk kamu. Huwallazi khalaqa lakum mafil ardhi – kalau terjemah direct bahasa Arab – Dia yang menciptakan untuk kamu segalanya yang ada di bumi. Kiranya – pembuat dalam ayat ini adalah Allah. Apa fe’el dia? Apa perbuatannya? Perbuatan dalam ayat ini adalah mencipta. Apa yang dia cipta? Apa maf’ulum bih dalam ayat ini? Segala yang ada di bumi. Tapi tiba-tiba di dalam ayat ini, di tengah-tengah ayat ada perkataan lakum – untuk kamu. Allah mendahulukukan lakum sebelum maf’ulum bih.
Kalau kamu nak belikan hadiah untuk seorang teman, apa yang kamu lakukan terlebih dahulu? Kamu beli hadiah dulu, baru cari orangnya. Atau kamu dah pasti siapa orangnya, baru beli hadiah? Mesti kamu dah pasti dulu siapa orangnya kan? Sebabnya kamu pastikan hadiah itu begitu istimewa untuk dirinya kan?
Begitulah Allah. Dia pastikan segala ciptaannya begitu istimewa untuk manusia. Dia mendahulukan lakum – untuk kamu, untuk kita!
Misalnya Allah telah menyediakan bumi berjuta tahun sebelum kita dijadikan. Maha hebat Allah!
Cuba fikirkan mengenai kejadian petroleum. Saintis sendiri mengatakan bahawa pembentukan petroleum mengambil masa berjuta tahun. Petroleum dijadikan dari daun, pokok dan bahan lain. Semua itu mengambil masa berjuta tahun lamanya. Kalau ikut sejarah nabi Adam dengan masa kini, semuanya itu mengambil masa dalam 10000 tahun sahaja. Firaun berapa ribu tahun? Mengikut pakar arkeologi adalah 2000-3000 tahun. Maksudnya Nabi Musa sehingga Nabi Adam dalam 10 000 tahun sahaja. 10 000 tahun belum cukup untuk menghasilkan petroleum. Itulah buktinya bahawa Allah menciptakan bumi ini berjuta tahun sebelum kejadian manusia. Bukankah proses penciptaan Nabi Adam sendiri dari tanah yang diambil di bumi? Cuba fikirkan seketika. Jin iblis pun sudah tinggal di bumi lama sebelum kita. Pernah tidak jin iblis menggunakan petroleum? Tidak pernah kan? Hanya manusia yang datang selepas berjuta tahun sahaja yang menggunakannya. Itulah gambaran betapa alam ini dijadikan semata-mata untuk manusia dan agar manusia menggunakannya sebagai alat untuk berubudiah kepada Allah.
Di atas semua keistimewaan yang Allah berikan, di atas segala nikmat cintaNya yang kita kecapi, Allah sebagai Rabb yang menciptakan segalanya untuk kita, tidak inginkah kita untuk menjadi hamba yang bersyukur? Tidak terlintaskah di hati kita untuk meletakkan Allah di takhtaNya semula? Lantas bergeraklah, teruslah bergerak membawa manusia…
1 comment:
sebab tu la apabila semua manusia dah dimatikan nanti, alam dan segalanya ini dihancur2kan [kiamat], sb alam dan segalanya yg ada ini sudah tidak brguna lagi tanpa manusia tika itu..
Post a Comment