Friday, November 20, 2009

Nak!

Teruja yang amat sangat bila tahu kelas Islamic Medicine pada sesi petang adalah dengan Dato'Dr Harun Din. Bersyukur sangat rasanya apabila Allah berikan peluang untuk belajar dari ulama' yang agung sepertinya. Saya rasa Allah memberi saya jawapan terhadap doa-doa saya indirectly.

Banyak perkara yang disebutnya membuatkan hati begitu teruja. Rasa macam banyak sahaja yang ingin saya coretkan tetapi masa terlalu mencemburui.

Saya rasa mengidam sangat nak lihat syurga saat dia berbicara mengenai ayat-ayat penyembuh migraine dan juga mengubat penyakit hasad. Ayat-ayat tersebut adalah nikmat di syurga.
la yusaadda'una anha wa la yunzifun (Surah AlWaqiah:19)

Yusadda'una mengikut tafsiran ustaz tadi adalah sakit kepala yang teruk, manakala yunzifun adalah pendarahan di dalam kepala. Waaah, kat syurga tiada semua itu. Tidak sakit kepala langsung. Masya Allah..

Ini pula ayat untuk mereka yang punya penyakit hasad dengki. Ayat ini boleh dibaca oleh para ibu dan bapa yang mempunyai anak-anak yang sering cemburu di antara satu sama lain. Boleh juga diamalkan oleh para lelaki yang berpoligami untuk menyatukan hati isteri-isteri mereka.
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan". (7:43)

Indahnya syurga. Teringat kata-kata brother dari Palestin. Bila Allah tunjukkan syurga kat orang beriman, dia terlupa segala masalah yang pernah dilaluinya di dunia, seolah-olah dia tidak pernah diuji. Dan apabila Allah tunjukkan neraka kat orang kafir, mereka terlupa segala nikmat yang pernah mereka rasai di dunia.

Nak syurga!

Kenapa entah rasa macam zuuq sangat setiap kali ustaz bacakan ayat Quran. Bila ustaz cerita kisah lebah, rasa teruja. Kata ustaz ada Bees University yang kaji tentang lebah ini. Saya suka nak tahu pasal lebah sejak baca buku Harun Yahya yang ditulis untuk kanak-kanak. Boleh baca kat sini. Rasa excited sangat baca buku itu. Bentuk sarang lebah yang berbentuk heksagon itu pun ada sebab musababnya.

"Dan Rabbmu mewahyukan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Rabbmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang-orang yang memikirkan. (QS. An Nahl [16]: 68-69)

Bila ustaz sebut tentang sihir, hati rasa lain sangat. Rasa ngeri. Tidak sangka memang betul ada sihir yang nak pisahkan suami isteri. Waaah, detailnya Quran cerita. Banyaknya yang saya tidak tahu tentang Quran. Setiap hari belajar benda baru. Quran tidak pernah membosankan.

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui. (Al Baqarah:102)

Terasa bahawa sentuhan murabbi agung begitu hebat kesannya pada hati manusia. Nak jadi macam itu!

Banyaknya yang saya nak!

Thursday, November 19, 2009

Sekali...

Saya dah tengok filem Ketika Cinta Bertasbih 1. Cerita yang baik. Teringat entri saya setahun yang lalu saat membaca novelnya.

Cerita itu benar. Seorang wanita bukanlah nak seorang lelaki yang berpelajaran sangat pun. Cuma satu sahaja yang seorang wanita itu nak – lelaki yang berprinsip. Saya tidak puas hati part Azzam cakap dengan wartawan yang dia cuma penjual tempe. Kenalah izzah kalau buat benda yang betul. Pengalaman hidup saya pun menemukan mereka yang hebat akademik tapi hancur bab lain sehingga saya hilang keyakinan dengan ahli akademik yang ‘tidak akademik’ bab lainnya.

Selain itu, cerita ini memang baik. Saya suka part Azzam nasihatkan Eliyana tentang kesucian perhubungan lelaki dan wanita. Sebenarnya susah jadi daie bila semua orang percayakan kita dan cerita masalah mereka kat kita. Antara masalah yang selalunya telinga kita tadah adalah masalah cinta. Lingkungan mad’u kita ramai. Ada yang di kalangan anak usrah, ada juga di kalangan kawan biasa. Sentuhan yang perlu diberi bagi setiap individu perlu sesuai dengan individu itu sendiri. Dengan kawan biasa, saya senang memberi link cerita ini. Mahu sebut tidak halal bercouple agak sukar sebabnya kawan sendiri. Kehadiran filem-filem sebegini saya kira amat baik untuk tackle sesetengah mad’u.

Saya juga sudah menonton filem Sang Murabbi. Cerita ini lebih realistik. Sebabnya KCB sama sahaja macam cerita Cinderella, Snow White dan lainnya. Hero jumpa heroin. Sedangkan kehidupan tidak berhenti setakat itu sahaja. Ada dunia dakwah yang kita cintai, ada dunia anak-anak, dunia masyarakat dan lainnya. Maka filem Sang Murabbi lebih relevan dengan kehidupan manusia-manusia yang berjuang di jalan dakwah.

KCB boleh jadi melalaikan seandainya mahu ditonton untuk kali kedua. Cukuplah sekali sahaja untuk tahu sedikit sebanyak tentang fiqh cinta.

Ada kerja lain lagi kan? Seperti bicara Sang Murabbi – ‘Adakah kita bisa cinta dakwah?’

Buat dakwah dan cinta dakwah pasti berbeza. Semoga kita cinta dakwah dan mencintai segala perkara yang mendekatkan kita pada dakwah.

Wednesday, November 18, 2009

Nectar..

Ayah saya beli buku Raheeq Makhtum masa tahun 2000 lagi. Saya mengkagumi ayah sebab dia tidak pernah lokek untuk belikan buku. Saya pula baru sahaja nak menghargai buku itu. Dulu zaman Jahiliah, saya suka baca novel-novel yang teruk. Terasa macam dah lama usia saya dibazirkan.

Best sangat buku Raheeq Makhtum ini. Kalau ada yang berminat, saya ada buku ini dalam format pdf. Nanti tinggalkan sahaja email, saya kirimkan.

Bolehlah dikatakan buku ini adalah buku sirah yang terbaik. Buku ini memenangi hadiah pertama di dalam “Sayembara Buku Sirah Nabawiah” yang dianjurkan oleh Rabitah al-Alam al-Islami. Buku ini mengalahkan 170 buku lainnya dalam pertandingan ini.

Saya suka sangat nama Raheeq Makhtum ini. Maksudnya The Sealed Nectar. Diambil dari ayat 25 Surah Mutaffifin.Yusqauna mirraheeqim makhtum (83:25)

Bestlah buku ini. Dialah teman saya di kala kesunyian. Tadi baru baca kisah perang Badar. Perang Badar ini kalau nak lagi touching, bacalah Surah Anfaal. Sedap sangat! Delicious! Saya tahu kadang saya exaggerate bila cerita tentang ayat Quran tapi kalau saya exaggerate macam mana pun, tidak terkalahkan kehebatan dan kelazatan AlQuran. Susunan Surah Anfal cantik sangat. Dia tak cerita kisah perang itu terus. Mula-mula dia cerita tentang masalah besar dulu, kisah bila dah menang. Lepas itu baru flashback satu persatu. Jawapan persoalan pertama pula kat ayat 41. Mantaplah Quran! Dan Quran ini berjuta kali best bila buat kerja dakwah, bila ada kat medan. Memang terliur sangat nikmat Quran ini masa itu.

Ahad lalu kami buat program. Ya Allah, susah sangat rasanya bila syura memutuskan program itu dibuat hari Ahad. Semua perlu disiapkan dalam masa seminggu. Khamis hingga Sabtu kena pergi International Humanitarian Conference. Ahad program. Isnin dah mula exam final posting. Memang terasa berat sangat masa itu. Memang dah mengalir air mata. Kereta saya pula masih kat bengkel di Seremban. Keluarga datang hujung minggu. Nak kena settlekan pasal kereta juga. Nak kena pujuk anak usrah. Kena juga pujuk anak usrah orang lain. Ya Allah, saya terasa berat sangat.

Syaitan pun datang menganggu, menggoyahkan hati tentang keputusan syura. Terasa macam tiada siapa yang faham. Tapi benda ini hakikatnya bukan jemaah yang tentukan, Allah yang tentukan. Kita ini memang nak senang, tapi Allah ada perancangannya sendiri.

Perang Badar mengusik hati saya. Perang Badar never meant to be a war. Masa itu sahabat-sahabat cuma nak rampas harta mereka sebab kafilah Abu Sufian ambil harta sahabat Muhajirin yang mereka tinggalkan kat Mekah semasa hijrah dan nak jual pula harta itu. Abu Sufian ini tidak bawa senjata sangat pun. Tapi dia contact Abu Jahal. Datanglah tentera Abu Jahal yang ada senjata dan kelengkapan perang.

Ceritanya detail kat Raheeq Makhtum. Cerita yang saya cerita ini ringkas sangat. Ada satu part itu Allah describe hati para sahabat ini.

Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya; (8:7)

Semua orang nak senang. Sahabat nabi pun kalau boleh nak berperang dengan kabilah Abu Sufian sebab kabilah ini tiada apa-apa. Tapi Allah nak diorang bertemu dengan kabilah Abu Jahal yang lengkap bersenjata.

Nak cerita betapa menariknya part ini, bacalah Raheeq Makhtum. Sampaikan bila sampai kat telaga Badar, sahabat terjumpa dua orang suruhan orang Quraisy. Sahabat tangkap diorang ini dan tanya, diorang ini kabilah Abu Sufian atau Abu Jahal? Diorang kata diorang kabilah Abu Jahal. Sahabat tidak puas hati. Sahabat belasah diorang. Rasulullah SAW sedang solat masa itu. Last-last sebab teruk sangat kena belasah, orang suruhan ini pun cakap diorang ini kabilah Abu Sufian. Bila Rasulullah SAW dah selesai solat, sahabat beritahu hal itu. Rasulullah SAW kata – “Korang ini, orang ini cakap betul korang belasah. Bila dia cakap salah, korang biarkan.”

Sebabnya sahabat-sahabat pun nak perang yang senang. Nak jumpa kabilah Abu Sufian yang bawa harta dan bukannya kabilah Abu Jahal yang bersenjata. Tapi cantik tak tarbiah Allah? Cantik sangat. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Benda yang kita tak nak itu, mungkin itulah yang terbaik bagi kita.

Saya merasai ayat ini tempoh hari. Memanglah kita nak buat dakwah ini bila masa senang, tapi Allah tahu apa yang terbaik buat kita sebenarnya. Ada banyak lagi nak cerita. Kan best kalau suara kita ini boleh menulis? Tak perlu saya taip panjang-panjang. Huhu…saya dah mula merepek.

Tuesday, November 17, 2009

Peristiwa...

Bila saya tengok orang yang pergi haji, saya teringin sangat nak pergi. Dulu semasa saya darjah 6, saya dah pernah pergi umrah Cuma masa itu saya tidak faham apa-apa. Saya pasti andai saya berpeluang menjejakkan kaki ke sana lagi, perasaan itu pasti berbeza.

Dulu saat melihat kuburan para tentera Uhud, saya tidak terasa apa. Hari ini mungkin saya faham sedikit sebanyak maksud kuburan itu sendiri. Saya mungkin telah faham didikan Allah kepada para sahabat. Untuk mentarbiah sahabat-sahabat agar mematuhi perintah Rasulullah SAW, ada nyawa yang perlu terkorban. Betapa Allah tahu bahawa manusia itu perlu ditarbiah dengan peristiwa. Betapa Allah tahu teori semata-mata tidak cukup untuk menambahkan iman seseorang. Ya Allah, dahsyat sungguh tarbiah yang perlu para sahabat lalui.

Tarbiah Allah ini lebih terasa dengan suasana atau peristiwa. Tarbiah itu mampu dirasai andai kita berada di medan. Dulu bila dengar kuliah tentang Badar, jarang hati mahu terasa. Tapi bila terlibat di dalam medan, saya mula merasai kehangatan peperangan Badar. Bila saya tersepit di antara pihak yang atas dan anak buah di bawah, kisah-kisah di dalam AlQuran datang memujuk hati dan perasaan.

Ramai orang tidak mampu istiqamah di jalan ini sebabnya banyak yang perlu dikorbankan. Hati, perasaan, ego dan lain-lain lagi. Sampaikan ada yang merasa senang andai mereka boleh pergi jauh dari jalan ini. Tapi bagi saya jalan ini membahagiakan kerana dengan tekanan, saya memahami Quran. Saya rasa bahagia yang amat bila saya faham satu ayat AlQuran. Benda itu pada saya lebih baik dari dunia ini rasanya. Saya rasa tersentuh dan terasa yang amat saat membaca setiap peperangan yang Allah nukilkan di dalam Quran, Allah describe keadaan hati mereka yang ada di medan ini. Masya Allah, dahsyat!

Sebabnya mungkin hati orang lain itu lain, hati saya lain. Apa yang membuatkan saya terasa barangkali biasa sahaja di hati yang lain.

Pernah saya balik dari hospital dan saya baca email, sakit kepala saya menjadi-jadi. Kenyataan saya kadangkala dirasakan hanya semata-mata kenyataan saya dan bukan kenyataan orang bawahan saya. Pernah saya rasa begitu sukar untuk mematuhi satu arahan dan saat saya tersedar, rasa sedih yang amat dengan diri sendiri seolah-olah saya tidak pernah ditarbiah. Tapi benarlah bahawa peristiwa lebih banyak mengajar kita dari teori semata-mata. Hal itu lebih menyentuh hati kita sebenarnya.

Nantilah saya tambah entri lagi. Alhamdulillah semangat sebab dah habis exam.

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (94:7)

Sunday, November 15, 2009

Hubungan hati...

Entri sebelum ini mengundang ramai insan untuk berkunjung ke blog ini. Pelik sungguh! Mengapa entri ini yang mendapat perhatian, mengalahkan musim-musim entri lain yang saya kira lebih bermakna.

Adakah kerana perasaan itu dirasai oleh ramai orang yang berada di dalam tarbiah ini? Saya rasa ada satu sebab lain lagi kenapa kita tidak menceritakan masalah kita kepada murabbi. Sebabnya kerana kita merasakan dia juga seorang manusia yang punya seribu satu masalah. Kita rasa kerdil untuk meluahkan masalah kita.

Sebenarnya saya takut sekali andai entri itu mencetuskan salah faham. Meskipun saya di ambang kemuncak peperiksaan, saya perlu menulis entri baru kerana bimbang andai saya meninggal dunia esok misalnya, saya telah menulis sesuatu yang tidak sepatutnya saya nukilkan.

Saya ingin untuk berkongsi satu personaliti unggul seorang sahabat Rasulullah SAW yang terlalu saya kagumi kisahnya. Kalau esok lusa saya ada anak lelaki, maka saya akan mencuba sedayanya untuk menamakan anak saya dengan nama sahabat ini. Dialah Mus’ab bin Umair.

Seorang lelaki yang terlalu tampan, seorang lelaki yang meliurkan hati setiap gadis, seorang lelaki yang kaya tapi setelah mengenali Islam, segalanya sanggup ditinggalkannya. Matinya bermandikan darah, tanpa dua belah tangan, dan kafannya tidak cukup menutupi seluruh tubuhnya di dalam peperangan Uhud. Bila ditutup kepalanya, terdedahlah kakinya, bila ditutup kakinya, terdedahlah kepalanya. Akhirnya Rasulullah SAW menyuruh kepalanya yang ditutup dan kakinya ditutup dengan daun.

Apa yang membuatkan saya mengkagumi dirinya? Kerana perjuangannya di jalan dakwah. Bila dia dihantar ke Madinah, dia contact Rasulullah SAW ke? Dia telefon Rasulullah SAW? Dia sms dengan Rasulullah SAW? Dia chatting, email, utus surat kat Rasulullah SAW? Tak langsung.

Tapi kerana kefahamannya terhadap Islam, tanpa hubungan langsung dengan murabbi tercinta, dia tetap meneruskan perjuangannnya. Tiada satu kawasan di Madinah tanpa tapak kakinya. Cuba fikirkan seketika, adakah Madinah itu kecil sahaja keluasannya? Madinah terlalu luas. Cuba tanya kawan-kawan yang dah pergi umrah atau haji tentang keluasan Madinah. Dapat bayangkan bagaimana hebatnya perjuangan Mus’ab?

Hubungan kita dengan murabbi adalah hubungan hati, sukar untuk diceritakan sebenarnya kerana Allah yang menyatukan hati-hati. Saat Rasulullah SAW tiba di Madinah, Mus’ab dah buat kerja dakwah kat sana sampaikan suasana sambutan kehadiran Rasulullah SAW itu seolah-olah Rasulullah SAW telah menghantar ramai utusan. Mus’ab mengislamkan satu bandar Madinah dengan izin Allah SWT. Tanpa hubungan secara langsung dengan Rasulullah SAW selama dia di Madinah, kekuatan hubungan hati itu terus-terusan menggerakkannya di persada dakwah.

Memang adakalanya kita ingin dibelai oleh murabbi/murabbiah di jalan dakwah ini, tapi kobarkan semangat untuk mencontohi Mus’ab.

Bagi anonymous yang bertanya bagaimana caranya andai kita tidak sukakan naqibah sendiri, banyakkan bersabar kerana adab di dalam usrah adalah bersabar dengan murabbi/naqib kita. Banyakkan bersolat jemaah dengan naqibah, banyakkan membaca doa rabitah, banyakkan berlapang dada.

Ok, doakan saya yang ketandusan masa belajar sebenarnya.

Friday, November 13, 2009

Persoalan...

Saya tidak mahu ada yang bersetuju dengan tulisan ini. Ini cumalah satu catatan pemerhatian saya yang kerdil selama berada di jalan dakwah dan tarbiah yang usianya cuma baru setahun jagung.

Entahlah, saya tertanya-tanya mengenai ukhwah sebenarnya. Ada beberapa persoalan yang bermain di fikiran saya.

Contohnya, kamu ada keluarga yang bermasalah, adakah kamu sanggup untuk meluahkannya pada murabbi/murabbiah, sahabat seusrah kamu?

Contohnya, kamu jatuh cinta, adakah kamu sanggup untuk meluahkannya pada murabbi/murabbiah, sahabat seusrah kamu?

Contohnya, kamu ada masalah akademik yang sangat teruk, adakah kamu sanggup untuk meluahkannya pada murabbi/murabbiah, sahabat seusrah kamu?

Contohnya kamu ada masalah kewangan yang sangat meruncing, adakah kamu sanggup untuk meluahkannya pada murabbi/murabbiah, sahabat seusrah kamu?

Contohnya, kamu sudah berkahwin dan mempunyai masalah dengan pasangan, adakah kamu sanggup untuk meluahkannya pada murabbi/murabbiah, sahabat seusrah kamu?

Contohnya, kamu terasa berat melalui jalan dakwah ini dengan segala macam tuntutan yang kamu ada, adakah kamu sanggup untuk meluahkannya pada murabbi/murabbiah, sahabat seusrah kamu?

Contohnya, kamu tidak mampu lagi menerima taklifan, adakah kamu sanggup untuk meluahkannya pada murabbi/murabbiah, sahabat seusrah kamu?

Saya tertanya-tanya berapa ramai yang sanggup untuk meluahkan masalah mereka pada murabbi/murabbiah atau sahabat seusrah? Mengikut pengalaman saya yang baru setahun jagung dalam dunia dakwah dan tarbiah ini, saya rasa ramai yang tidak sanggup meluahkannya pada murabbi/murabbiah atau sahabat seusrah mereka. Mereka cuba melindungi segala masalah dengan perisai yang kuat. Mereka sanggup untuk terus-terusan terluka dan berdarah.

Kenapa? Kerana murabbi/murabbiah dan sahabat seusrah hanya melihat kamu sebagai manusia yang sempurna, terlupa bahawa kamu hanya hamba Allah yang punya berjuta kelemahan.

Andai kamu menjadi murabbi/murabbiah kelak atau kamu menjadi seorang sahabat, belajarlah untuk menerima kelemahan insan/ anak usrah / mutarabbi kamu kerana mereka manusia yang lemah.

Usah sekali-kali terfikir hal-hal ini – Mereka ini dah lama dalam usrah pun macam gini? Kahwin dengan orang jemaah pun banyak masalah? Dah kena tarbiah pun ada masa nak jatuh cinta? Dah belajar 10 muwasafat tarbiah pun, masih gagal menyusun masa dan gagal dalam peperiksaan?

Ingatlah, kesempurnaan tidak mungkin ada dalam kamus manusia-manusia yang kamu temui. Mereka hanya hambaNya yang dianugerahi seribu satu kelemahan agar mereka tunduk pada Pencipta mereka.

Arrrggghhhhhhh…….:(

Tuesday, November 10, 2009

DFU...

DFU

Saya tengok kuliah-kuliah agama yang ada di dalam bahasa Inggeris di laman-laman maya. Ya Allah, terliurnya nak dengar. Pernah saya cakap dengan seorang adik di sini, “Bestnya kalau kita belajar pasal Islam sahaja kan?” Adik itu punya perasaan yang sama juga dengan saya cuma dia kata tidak boleh nak cakap macam itu sebabnya ilmu perubatan ini pun ilmu Allah juga.

Minggu depan exam. Dah nak habis dah posting orthopaedic ini. Tadi pagi terjumpa seorang pesakit yang punya ulcer di kaki – Diabetic Foot Ulcer (DFU). Teringat pengalaman pertama berkenalan dengan penyakit ini di dalam posting Internal Medicine. Kaki pesakit itu berwarna kemerahan. Prof tanya saya apa itu? Saya diam sebab macam terblur sangat dan memang tidak tahu pun sebab itu pengalaman pertama saya. Tak pasal-pasal Prof marah, “Awak tidak akan cakap dengan lelaki ke?” Opss, macam tiada kaitan langsung tapi saya cuba lupakan hal kena marah itu. Hikmahnya, insya Allah saya akan ingat benda itu adalah cellulitis sampai bila-bila.

Tentang pesakit pagi ini pula, umur pesakit itu sama dengan ayah saya – 48 tahun. Ngeri sangat tengok kaki dia. Dia adalah podiatrist. Dia cuba rawat kaki dia sendiri. Benda itu melarat. Kaki dia betul-betul keadaannya macam baru lepas kena bom. Dan saya rasa dia dalam keadaan denial. Dia ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang yang newly diagnosed, dah kena dialisis.

Saya faham bahasa Tamil. Pernah ada seorang pesakit India seperti ini masa awal-awal posting dahulu. Semasa ward round, doktor tidak explain apa-apa kat pesakit. Isteri pesakit ini macam mengamuk kat telefon. Dia cakap doktor potong kaki suami dia tanpa beritahu apa-apa. Ya Allah, masa itulah saya faham betapa pentingnya untuk berkomunikasi dengan pesakit.

Bila tengok kes pagi ini, saya rasa macam tertanya-tanya juga kenapa nak jadi doktor, siap berbisik dengan kawan di sebelah, “Why you want to become a doctor?”

Kadang itu macam tiada motivasi bila tengok kes-kes macam ini, bila tengok muka pesakit yang dah putus asa untuk hidup, rasa macam kehidupan doktor ini begitulah menyedihkan. Saat-saat beginilah, saya nakkan sangat booster agar saya bermotivasi. Terbaca hadis ini dan saya rasa macam menemukan kembali semangat yang hilang.

Besar pahala jadi doktor ini.

“Sesungguhnya seorang Muslim yang menziarahi saudaranya yang sakit akan berada di dalam kebun buah-buahan syurga sehinggalah ia pulang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a.: “Apabila seorang muslim itu menziarahi saudaranya yang sakit pada waktu pagi, 70 000 malaikat akan mendoakan keampunannya hingga ke petang. Dan apabila dia menziarahinya pada waktu petang, 70 000 malaikat akan mendoakan keampunannya hingga ke pagi, dan akan dikurniakan kepadanya sebuah taman di syurga.” (Hadith Riwayat Abu Dawud & Tirmidzhi)

Semangat!

Muhasabah

Bila lihat pesakit-pesakit, saya rasa itulah masa terbaik untuk saya bermuhasabah. Ujian yang saya lalui adalah kecil sangat nak dibandingkan dengan mereka. Teringat seorang perempuan yang berumur dalam 20-an tapi dah ada diabetic foot ulcer. Masa mula-mula nampak wajah yang muda di wad tapi menghidap penyakit ini, saya jadi pelik dan tertanya-tanya sebab kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit ini adalah orang tua. Rupanya-rupanya dia penghidap Diabetis Mellitus Type 1, penyakit autoimmune yang menyerang kanak-kanak dan remaja. Hanya Allah sahaja yang tahu sebab musababnya. Dia dah ada penyakit diabetis sejak kecil lagi. Kalau Diabetis Mellitus Type 1, ubatnya bukan pil. Insulin terus. Tahu tak macam mana pesakit ambil insulin? Kena suntik. Bayangkan dia kena suntik diri dia 3 kali setiap hari kat perut, lengan dan paha, sampai bengkak-bengkak. Hebatnya dugaan yang Allah berikan kat dia. Wajah dia cantik sangat tapi Allah berikan dia ujian itu.

Betul nasihat makcik saya kat saya. Jangan sekali-kali tanya, kenapa kita diuji, tapi katakan bahawa ujian yang kita lalui itu sangatlah kecil jika nak dibandingkan dengan orang lain.

Palestina

Dah lama saya tidak menulis berkenaan Palestina. Saya rindukan bumi itu. Kat Terendak, saya banyak menghadiri lecture berkenaan dengan kes-kes orthopaedic di kawasan bencana. Kadangkala terasa macam Allah sedang menyediakan saya untuk satu misi.

Bila tengok kaki pesakit pagi ini, saya teringat Palestina. Walau seteruk mana keadaan pesakit di sini, teruk lagi apa yang berlaku di Palestina. Di sana mereka diserang dengan fosforus yang membakar dan terus membakar tanpa henti, kematian yang perlahan. Ya Allah, kuatkan saudara-saudaraku di sana. Bantulah mereka ya Allah. Berikanlah aku peluang untuk ke sana dan membantu mereka ya Allah.




Monday, November 09, 2009

24 jam...



Otak manusia ini bukan macam komputer, boleh sahaja nak delete apa yang berlaku. Segalanya terakam dan tersemat rapi.

Tadi baru baca berita kemalangan yang berlaku di Pahang. Baru sahaja mahu cuba melupakan, teringat kembali kemalangan tempoh hari. Saya tahu hikmahnya besar.

Teringat tarikh 22hb April yang lalu. Hari itu hari jadi Aiman. Saya sedang belajar dalam posting surgery dan oncall hari itu. Ada seorang doktor pakar Cina mengajak kami untuk melihat post mortem. Memang excited masa itu. Tapi itulah pengalaman yang paling mengerikan sepanjang saya belajar dalam bidang perubatan. Saya menangis sehabisnya di sebalik mask yang saya pakai. Seorang remaja lelaki seusia Aiman dibedah siasat hari itu. Saya tidak mampu nak tidur malam tersebut kerana mengingatkan post mortem tersebut. Saya takutkan kemalangan juga kerana insiden tersebut.

Kadang bila lihat pesakit yang quadriplegic (lumpuh bahagian atas dan bawah) atau pesakit paraplegic (lumpuh separuh bahagian bawah tubuh) di dalam posting orthopaedic ini kerana terlibat dalam kemalangan, saya tahu saya benar-benar perlukan Allah 24 jam sehari. Dan saya bersyukur kerana saya ditarbiah untuk mengamalkan Mathurat, formula terbaik yang telah Allah bekalkan agar kita ini dijaga olehnya selama 24 jam. Saya bersyukur pada Allah kerana saya dan kawan selamat dalam kemalangan tersebut walaupun ianya adalah high impact accident.

Saya tahu saya perlu melafazkan setinggi kesyukuran buat Allah, infiniti pengabdian kepadaNya. Maafkan diri ini ya Rabb di saat imanku tersungkur. Maafkan diri ini ya Rabb andai aku tercongak persoalan kiraan takdirMu. Maafkan aku ya Rabb atas segalanya.

Mulia...

Saya dah bersemangat untuk meneruskan hidup hari ini. Saya nak ambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih buat manusia-manusia yang mulia yang hadir dalam hidup saya yang terus memberi sokongan buat saya setelah kemalangan tempoh hari. Saya tahu bahawa saya tidak akan sesekali mampu membalas jasa kalian, hanya Allah sebaik-baik pemberi balasan. Buat semua kawan, sahabat, keluarga yang tidak saya sebutkan nama mereka di sini, percayalah bahawa Allah mengetahui setiap amalan yang kalian lakukan dengan ikhlas.

Keluarga

Saya ingat lagi kuliah Imam Suhaib Webb. Dia ada membicarakan ayat ini.

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". (Surah Yusuf:4)

Kalaulah sebelas bintang itu digambarkan sebagai adik beradik nabi Yusuf, siapa pula bulan dan matahari dalam ayat tersebut? Ada ulama’ yang mengatakan bahawa matahari dan bulan adalah gambaran ibu dan ayah Nabi Yusuf. Itulah gambaran ayah dan ibu kita.

Ayah dan ibu saya adalah manusia terbaik yang pernah hadir dalam hidup saya. Mereka menyinari hidup saya yang kadangkala kebuntuan. Mereka kawan baik saya. Saya tidak boleh nak menipu atau merahsiakan sesuatu dari mereka. Apabila ayah saya mendengar berita kemalangan tersebut, dia terus bertolak dari Johor. Bertemu dengan mak dan ayah begitu menenangkan saya. Kadang itu rasa sedih sangat sebab sayalah satu-satunya anak yang paling banyak menyusahkan mereka tapi mereka tidak memarahi saya. Perkara pertama yang ayah saya sebut – “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”.

Saya amat berterima kasih dengan mereka. Saya bercita-cita untuk menjadi seperti mereka jua buat anak-anak saya kelak.

Mekanik

Saya tidak mengenali lelaki mekanik tersebut. Dia saudara jauh saya. Tapi dia sanggup datang untuk membantu saya di Seremban. Dia yang menguruskan perihal berkenaan kereta.

Saya berbual panjang dengan isteri dan anaknya. Anaknya berbual dalam bahasa Inggeris. Rupa-rupanya mereka sekeluarga berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah. Latar belakangnya dari pendidikan agama tapi dia begitu bermotivasi dalam hidupnya. Dia tahu bahasa Melayu, Arab, Inggeris, Cina dan India. Dalam usia yang muda sudah punya rumah, kereta dan keperluan lain yang mencukupi buat keluarganya.

Saya mengkagumi manusia-manusia seperti ini yang begitu bermotivasi untuk hidup. Saya mengkagumi manusia-manusia yang punya keberkatan dalam hidup mereka kerana memiliki hati yang hebat untuk membantu manusia lain.

Pakcik dan makcik

Dulu semasa saya di awal remaja, saya begitu mencemburui seorang makcik saya kerana saya merasakan bahawa ayah dan ibu saya begitu menyayanginya. Tapi kini saya memahaminya. Saya merasakan dia terlalu layak untuk kasih sayang tersebut. Hatinya begitu mulia. Melihat dia, saya merasakan semangat untuk terus berjuang. Dia meniti segalanya dengan sabar. Dia melayan dan memberi saya motivasi dengan sabar.

Pengorbanannya yang paling besar adalah apabila dia memberikan saya keretanya. Siapa yang sanggup mempercayai saya yang baru sahaja kemalangan untuk memandu keretanya? Saya kira tiada siapa yang akan sanggup. Tapi dia dan suaminya memberi saya pinjam kereta tersebut tanpa berbelah bahagi. Ya Allah, kurniakan aku hati sebaik mereka.

Saya mengkagumi dia juga kerana dialah contoh anak yang baik. Meskipun dia sudah berkahwin tetapi tidak sesekali dia mengabaikan atuk dan nenek di kampung. Saya ingat lagi bicara Aiman saat melihat atuk dan nenek memakai kasut pemberian makcik dan pakcik, “Mampu ke kau nak belikan mak dan ayah kau kasut yang lebih baik dari apa yang engkau pakai?” Ya Allah, dia terlalu mulia. Dari jauh dia menguruskan kebun tanaman buat atuk dan nenek saya agar mereka tidak terlalu berharap pada anak lelaki. Dialah wanita gigih di akhir zaman ini.

Saya juga kagum melihat cara dia mendengar segala permasalahan anak-anaknya. Dia memiliki 3 orang anak lelaki yang terlalu aktif tetapi dia cuba memahami mereka. Dia sedang mengandung anak yang keempat saat ini tapi semangatnya hanya Allah yang tahu. Sebagai wanita bekerjaya, dia masih boleh menyiapkan nota buat anak lelakinya untuk memudahkan proses pembelajaran anaknya. Kadangkala saya tertanya-tanya, kenapa dia bekerja? Rupa-rupanya dia ingin membantu ayah dan ibunya.

Hidup menemukan kita dengan manusia-manusia yang hebat. Banyak hikmah yang perlu kita kutip. Banyak lagi ujian kehidupan yang perlu kita lalui. Benarlah bahawa hidup ini adalah ujian.

Sunday, November 08, 2009

Rasuah...

Towtruck

Saya ceritakan dahulu pengalaman buruk yang saya lalui semasa kemalangan tempoh hari. Tidak sampai 10 saat kemalangan tersebut berlaku, towtruck sudah menghadirkan diri. Saya yang kebingungan saat itu sudah nyaris memberikan kereta. Kata lelaki India itu, kereta saya sudah tidak boleh dibawa lagi, perlu segera dibawa ke bengkel.

Kawan saya yang bersama-sama saya saat itu menasihatkan saya. Katanya, lelaki itu menipu sebenarnya. Ini adalah kebiasaan yang ada di mana-mana. Towtruck akan segera mengambil kesempatan. Ini adalah pengalaman pertama saya. Syukur Allah menghadirkan seorang kawan saat itu yang sudah punya pengalaman.

Pelik sangat melihat lelaki India itu menipu. Katanya dia telah melihat tangki bawah kereta saya pecah dan macam-macam lagi cerita lain. Dia boleh hadir dalam sekelip mata. Inilah pengalaman pertama saya dan mengajar saya untuk lebih mengenali manusia-manusia yang ada di luar sana. Di saat kita takut untuk menganiaya manusia, masih ada jutaan manusia yang tidak takutkan Tuhan.

Rasuah

Saya dan lelaki Cina, pemandu kereta Alfa Romeo itu membuat keputusan untuk membuat laporan polis. Saya disaman. Meskipun lelaki Cina itu juga sedar bahawa dia juga melakukan kesalahan kerana membrek mengejut tapi undang-undang jalan raya mengatakan bahawa saya yang bersalah kerana saya yang melanggar kereta lelaki tersebut. Itu juga adalah pengalaman pertama bagi saya. Saya baru tahu tentang hal itu. Terlupa segala ilmu memandu semasa mengambil lesen dahulu.

Ini adalah kali kedua saya ke balai polis. Pertama kali dahulu saat saya menghilangkan name tag, kad pengenalan hospital. Kali ini, saya bertemu dengan seorang sarjan perempuan. Saya merayu dengan sarjan perempuan itu agar saman saya dikurangkan. Dia setuju untuk mengurangkannya dari RM 300 kepada RM 200. Saya meminta bantuan kawan yang juga datang untuk membantu untuk mengeluarkan duit di Petronas berdekatan. Kami semua dalam perjalanan pulang dari Hospital Terendak untuk kembali ke Cyberjaya menghadiri kelas common session hari itu.

Ayah meminta saya menyimpan resit pembayaran saman. Saya kembali ke balai setelah mengeluarkan duit. Sarjan perempuan tersebut membawa saya bertemu dengan seorang lelaki di bilik hujung yang jauh tersembunyi.

“Kalau saya bayar ini, dapat resit ke?”

“Tidak. Kami belum key in lagi data. Minggu depan awak boleh datang ambil resit. Tapi saya nak jelaskan baik-baiklah. Saya tak nak awak cakap apa-apa pasal kami. Saya tak nak awak fikir apa-apa. Awak akan bayar RM200, tapi resit yang dikeluarkan adalah RM150. Kami nak bantu awak sebab urusan ini melibatkan Bukit Aman”.

Apa saya ini begitu bodoh untuk tidak memahami maksud kata-kata itu? Halusnya bahasa rasuah, tapi kalau tanya nenek dan atuk di kampung pun, mereka memahami bahawa itu adalah rasuah.

“Saya telefon ayah saya dulu ye encik untuk tanya berkenaan hal ini sebab saya nakkan resit”.

Saya telefon ayah untuk melarikan diri dari isu ini. Saya katakan pada lelaki tersebut bahawa saya tidak mahu membayarnya hari ini. Saya akan cuba membayar saman tersebut dalam tempoh masa yang diberikan. Saya inginkan resit kerana seandainya saya membayarnya terlebih dahulu, tiada bukti pembayaran.

Lelaki tersebut menaikkan suaranya.

“Cik tolonglah faham! Ini melibatkan Bukit Aman. Kalau tak nak bayar sekarang, cik perlu bayar RM300!”.

“Takpe encik. Saya akan bayar RM 300 dalam tempoh tersebut”.

Saya melarikan diri. Kata kawan lelaki saya, saman tersebut boleh dikurangkan sehingga RM50 sebenarnya.

Satu kejadian tetapi menyedarkan saya tentang realiti kehidupan. Rasuah dah membarah sehingga ke akar umbi di negara ini. Bencinya!

Saturday, November 07, 2009

Trauma...

Saya tidak tahu cara terbaik untuk memulakan catatan ini. Saya masih lagi dalam keadaan trauma. Saya kemalangan semalam di kilometer 262, highway berhampiran dengan susur keluar Seremban. Saya bersama seorang kawan saat itu. Syukur Allah menghadirkan dia bersama saya, menenangkan saya yang gelabah.

Ada kemalangan sebelum itu. Sebuah kereta terlanggar divider jalan. Kereta di hadapan saya membrek secara mengejut. Saya yang sedang memandu laju membrek tiba-tiba. Takdir Allah saya melanggar kereta Alfa Romeo yang ada di depan. Alhamdulillah saya dan kawan selamat cuma kereta saya agak teruk keadaannya di bahagian hadapan. Kata kawan, melihat kepada mekanisma kemalangan, kami tidak sepatutnya hidup. Tapi Allah masih memberi peluang untuk saya menghirup udaranya lagi.

Banyak pengajaran yang saya pelajari dari kemalangan ini. Namun saya masih lagi dalam keadaan trauma. Pagi ini ada program dan meeting di kolej. Saya menggagahkan diri untuk pergi. Saya meminjam kereta pakcik. Tapi dalam perjalanan pulang, saya kebuntuan. Semuanya menghantui diri dan saya mula menangis.

Saya kehilangan diri barangkali. Dah lama saya tidak dihantui oleh perasaan ini. Kali terakhir saya merasai semua ini semasa saya mengetahui diagnosis penyakit saya. Begitu perit untuk saya menghadam QadarNya. Ternyata iman masih lemah dan masih banyak yang perlu dibaiki.

Aiman, adik lelaki saya mengingatkan saya akan qadar Allah. Mempercayainya adalah termasuk dalam rukun iman. Mendalaminya terasa sukar.

Siapa yang tidak pernah diuji? Bibir yang tersenyum jarang mengungkapkan rahsia hati. Ujian yang kelihatan kecil di mata yang lain terasa berat di bahu sendiri. Andai kapasiti setiap manusia sama untuk berhadapan dengan ujian, maka tiadalah variasi dalam liku-liku kehidupan. Tiadalah manusia berlumba-lumba untuk menjadi terbaik. Dan saya merasai iman saya jatuh merudum saat ini. Terasa malu dengan orang sekeliling yang diuji lebih hebat lagi.

Saya ingin bangkit kembali. Saya tidak ingin dihantui oleh perasaan yang begitu pahit ini. Terasa menyesal dengan suara hati dan bicara sendiri. Betapa hebatnya godaan syaitan dan nafsu dalam menghadapi ujian ini. Saya terasa lemah sekali.

Ya Allah
Aku ingin kekuatan
Aku ingin kesabaran
Aku ingin hati yang redha dengan segala ketentuan

Ya Allah
Aku ingin melupakan segalanya
Aku ingin untuk bangkit kembali

Ya Allah
Ampunilah segala dosaku
Berikanlah aku keimanan
Cabutlah rasa takut dari hatiku

Ya Allah
Kurniakan kesabaran buat manusia di sekelilingku
Berilah mereka rasa kasih terhadap diriku

Ya Allah
Cabutlah segala hijab yang menjadi penghalang antara aku dan Engkau
Bersihkan diriku dari dosa dan syirik
Cabutlah nyawaku di dalam kemuncak keimananku padaMu
Usah Kau cabut nyawaku dalam keadaan imanku yang lemah ini

Thursday, November 05, 2009

Teknologi...

Walaupun saya tidak suka nak masuk OT, tapi saya cuba mencari hikmah. Mahu melawan isu tersebut perlukan ilmu, perlukan kertas kerja dan banyak lagi. Kalau ada yang rasa saya introduce infection dengan cara itu, satu sahaja argument saya. Kenapa buku, pen, file pesakit yang tidak steril, yang dah dipegang oleh ramai orang boleh dibawa masuk ke dalam OT? Rasa macam tidak adil sangat. Tapi bagus juga ada isu ini. Semakin hari Allah tunjuk jalan yang terbaik untuk saya pilih.

Kalau ada benda yang saya tidak suka sangat, saya sedaya upaya mencari hikmah agar kepayahan yang saya lalui tidak sia-sia. Semalam Allah nak saya mendalami ayat-ayat Allah yang pernah saya pelajari. Pengalaman dan kesukaran yang kita lalui adalah cara terbaik untuk mendalami ayat-ayat Allah.

Apa perkara yang paling menarik bila ada di dalam OT? Teknologi. Ya Allah, terlalu canggih. Banyak lagi rasanya nak belajar. Terfikir juga tentang akal manusia yang mencipta mesin-mesin yang hebat itu. Terfikir juga tentang kehebatan manusia yang perlu mengendalikan semua itu. Semalam tengok doktor buat diagnostic arthroscopy. Menarik sangat, boleh diagnosis penyakit kat lutut. Boleh nampak kehebatan Allah yang sangat hebat di sebalik semua itu.

Teringat kisah Nabi Daud sebenarnya saat berada di dalam OT.

Dari Abu Musa al-As’ari r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya “Sesungguhnya telah dikurniakan kepadamu suara merdu laksana seruling sebagaimana suara merdu laksana seruling keluarga Daud”. –Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Apa kehebatan Nabi Daud? Allah berikan dia suara yang sangat best sepertimana description Rasulullah SAW dalam hadis itu.

Disebabkan suara dia yang sangatlah best itu, alam ini pun bertasbih bersamanya. Cantik sangat ayat-ayat Allah yang menceritakan semua ini. Terasa ada aura.

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): "Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!" Dan juga telah melembutkan besi baginya; (34:10)

…Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. (21:79)

Bersabarlah (wahai Muhammad) terhadap apa sahaja yang mereka katakan, dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan ugamanya); sesungguhnya ia adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan bersabar mematuhi perintah Kami). Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari. Dan (Kami mudahkan juga) unggas turut berhimpun (untuk bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya); tiap-tiap satunya mengulangi tasbih masing-masing menurutnya. Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman).
(38:17-20)

Ada satu lagi kelebihan Nabi Daud ini. Besi lembut kat tangan dia (Wa alanna lahul hadid: 34:10). Dalam ayat 34:11, Allah ajar Nabi Daud untuk buat baju besi yang proportionate – w qaddir fissird. Kalau sebelum itu, baju besinya adalah sangat berat. Kiranya macam zaman itu, Nabi Daud ini macam mencipta satu teknologi yang baru. Tapi Allah tegaskan bahawa dia yang mengajar semua itu. Dan kalau kita tengok ayat 21:80 pula, meskipun Nabi Daud yang cipta baju besi itu, tapi Allah tanya adakah pengikut Nabi Daud itu bersyukur kepada Allah.

Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur? (21:80)

(Serta Kami wahyukan kepadanya): "Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan". (34:11)

Quran ajar kita untuk melahirkan kesyukuran itu hanyalah kepada Allah semata-mata. Quran ini sentiasa signifikan dengan kita, apatah lagi dengan kita yang hidup di zaman teknologi ini,

Ada satu pelajar kat Perancis ini. Dia buat research yang amatlah baik setelah empat tahun berhempas pulas. Dia tulis kat muka hadapan research dia – “All credits goes to Allah and if there is any mistake in this research, it is because of me”. Pensyarah dia yang atheis tidak mampu nak menerima kata-kata itu. Dia melihat pelajarnya berusaha sehabis daya, tapi memberikan semua credit kepada Allah. Pelajar ini pun cakap kat pensyarah dia yang dia tidak akan mampu melakukan apa-apa tanpa izinNya.

Kadang kita rasa teknologi terlahir secara coincidence sahaja. Kita rasa penemuan penicillin, ciptaan lampu, hukum graviti itu satu kebetulan tapi tidak pada hakikatnya semua itu terjadi kerana Allah yang menghantarkan ilham buat manusia. Kadang bila kita subconsciously mengkagumi manusia, ingatlah ayat-ayat ini. Manusia itu lemah sangat dan Allah yang Maha Berkuasa. Teknologi adalah ujian buat manusia yang menghasilkannya dan juga buat mereka yang menggunakannya. Hendaklah kita selalu melafazkan syukur kepada Alla. Naik kereta pun bersyukur kat Allah. Guna mesin apa-apa pun bersyukur pada Allah sepertimana Nabi Daud dan Nabi Sulaiman.

Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman". (27:15)

Oklah, saya nak belajar. Moga Allah permudahkan segala urusan.

Wednesday, November 04, 2009

Tidak selesa...

Terlalu sukar jalan untuk belajar di dalam bidang perubatan. Salah satu perkara yang paling saya tidak suka adalah apabila saya dikehendaki untuk masuk ke dalam operation theatre (OT). Ada sister OT yang tidak skema, tapi ada sister yang sangatlah skema tentang pemakaian terutamanya kat Hospital T. Terasa kesukaran yang amat untuk memakai baju OT yang benar-benar tidak menyelesakan. Semalam pun saya nangis. Tapi saya dah cuba sedaya mampu untuk menjaga aurat saya.

Saya pakai baju OT yang paling besar. Sister tak benarkan pakai stoking. Saya ambil seluar yang paling labuh dan tutup kaki saya. Saya berstokin tapi seluar yang labuh itu menyembunyikannya. Saya pakai tudung kat dalam meskipun sister tak benarkan. Dan saya lapis dengan tudung steril yang jarang. Tidak nampak aurat saya. Dan saya pakai juga sarung tangan meskipun sister tak benarkan. Nampak sahaja sister, saya sembunyikan tangan. Alhamdulillah berjaya juga saya menyembunyikan diri dan mempertahankan aurat di sebalik semuanya.

Saya nangis kat mak semalam bila fikir nak masuk OT hari ini. Tapi tadi pagi kena tegur direct dengan Allah bila dengar mp3 kuliah semasa memandu.

Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun. (Surah Yusuf: 42)

Ulama menafsirkan ayat ini berkenaan dengan kesilapan Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf pernah menafsirkan mimpi dua orang pemuda. Dan dia meminta salah seorang pemuda tersebut untuk menyampaikan perihalnya kepada si raja agar kelak dia boleh dibebaskan. Tapi dia terlupa. Bukankah Allah yang telah membersihkan namanya dari fitnah? Bukankah Allah jua yang menyelamatkannya dari saudaranya? Bukankah Allah yang telah bersamanya saat dia di dalam sumur? Lantas mengapa dia meminta pertolongan kepada pemuda tersebut? Kerana sebab itu, dia berada di dalam penjara selama beberapa tahun lagi.

Terasa yang amat saat mendengar tafsir ayat ini. Terlupa Allah dalam percaturan kehidupan. Mengapa perlu saya luahkan pada ibu terlebih dahulu dan bukannya Allah? Hanya Allah sebaik-baik penjaga aurat dan hijab saya sebenarnya. Maafkanku ya Rabbi…

Saturday, October 31, 2009

Afrigh...

Al Quran adalah satu realiti. Cerita-cerita di dalam Quran itu bukanlah fantasi untuk kita. Buat mereka yang berada di jalan dakwah, Quran mengubat kelelahan. Kadangkala kita tidak tahu cara terbaik untuk menyampaikan cerita-cerita di dalam Quran itu untuk semua orang kerana kebanyakan ceritanya hanya relevan untuk mereka yang berada di jalan dakwah ini. Tapi kita meyakini bahawa setiap saat akan ada manusia yang terus menyahut seruan dakwah ini dan kita mampu menceritakan kepada mereka semua ini.

Membaca ayat-ayat Allah bermula dari ayat 246 Surah Al Baqarah membuat hati merenungi realiti.

Tidakkah engkau ketahui, tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. (Surah Al Baqarah:246)

Ini adalah realiti. Setiap masa kita nak sangat semua orang pikul kerja dakwah ini sama-sama. Kita memanggil manusia untuk menyahut seruan ini. Ramai yang akan bersemangat. “Jom berperang. Jom berdakwah”. Sama seperti ayat tersebut – “Mengapa kita tidak berperang? Kita mesti berperang punyalah. Keadaan kita dah macam gini, macam gini dan gini. Ummah dah semakin teruk. Semua harta kita dah dirampas”. Semua orang bersemangat. Tapi dakwah bukan kerja sehari dua, atau setakat satu atau dua program, tapi dakwah adalah perjuangan jangka masa panjang. Kerana panjangnya perjalanan dakwah ini, yang memerlukan pengorbanan sepanjang masa, setiap saat dan ketika, di saat beban akademik semakin bertambah, di saat masa kian suntuk, maka angka-angka yang akan terus bekerja itu terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kerja yang ada.

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan fizikal". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (Surah Al Baqarah: 247)

Ini pun adalah realiti. Mereka tidak bersetuju nak lantik Talut sebagai pemerintah sebab Talut tiada pengaruh dan tiada kekayaan. Selalunya kita pandang sesetengah orang sebab pengaruh yang dia ada atau kekayaan yang dia ada. Zaman ini kalau kat kampus, kita pandang orang yang hebat gila akademik, kita pandang orang yang boleh mempengaruhi orang lain. Tapi nabi Allah membetulkan persepsi ini. Pemilihan ini akan dilakukan oleh Allah SWT dan apa dia dua ciri yang perlu ada sebagai pemimpin? Ilmu dan kekuatan. Tapi kekuatan yang diterangkan oleh ayat ini bukan kekuatan fizikal semata-mata tapi kekuatan untuk memegang post tersebut. Sebabnya kalau kita tengok sirah, Khalid al Walid memiliki fizikal yang kuat dan dia dilantik menjadi jeneral peperangan, tetapi kenapa dia tidak dilantik menjadi khalifah? Sebabnya setiap post memerlukan kekuatan tertentu. Kalau kita masih lagi ingat kisah Sheikh Ahmad Yassin, dia adalah seorang yang buta, lemah fizikal, perlu disorong dengan kerusi roda, tapi dialah yang mengobarkan semangat pejuang-pejuang Hamas untuk terus berjuang. Musuh menggeruninya dan akhirnya dia syahid.

Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman". Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (Surah al Baqarah: 248-249)

Kalau kita tengok ayat ini, kita akan faham bahawa jalan dakwah akan sentiasa dibersihkan. Mereka-mereka yang tidak layak akan diuji sehingga mereka gugur dari jalan ini. (Ya Allah, janganlah kau sesekali menjadikan kami dari kalangan yang gugur.) Peperangan Hunain mengajar kita bahawa di kalangan 12 000 tentera Islam, hanya 100 sahaja yang bertahan. Hanya 0.1% sahaja yang bertahan.

Di dalam kisah ini juga begitu. Dari 80 000 orang, 76 000 meminum air tersebut. Hanya 4000 sahaja yang bertahan. Bukan senang ujiannya. Cuba bayangkan kalau kita kena berjalan di padang pasir yang sangatlah panas. Tiba-tiba kita ternampak sungai. Kita diberi pilihan, tidak minum atu hanya minum menggunakan dengan satu tangan. Nak minum dengan satu tangan pun bukan senang. Kalau dah minum, syaitan akan buatkan kita rasa air itu sangatlah nikmat, mampukah kita nak menahan godaan? Betapa susahnya pilihan yang kita ada. Tetapi itulah realiti di jalan dakwah. Ujiannya bukan biasa. Kita terlalu memerlukan Allah untuk terus istiqamah. Dan dalam 4000 orang, ada yang bercakap, mana mungkin bilangan yang sedikit ini nak mengalahkan Jalut? Inilah realiti. Angka-angka yang nak memikul kerja dakwah ini terlalu sedikit dan mad’u pula adalah terlalu ramai. Kita pun kadang mula menyoal, boleh ke kita bertahan? Boleh ke kita nak sebar luaskan lagi dakwah ini? Akhirnya kerana tekanan yang ada dan bayang-bayang kemenangan itu kadangkala tidak mampu dilihat, maka akan ada yang gugur juga di jalan ini.

Lepas itu, hanya 300 lebih sahaja yang bertahan. Apa yang dikatakan oleh mereka yang beriman ini? Apa kualiti iman mereka? Allah kata mereka ini adalah orang yang meyakini pertemuan denganNya. Dakwah bukan diukur dengan kejayaan di dunia atau diukur dengan kemenangan. Tapi sejauh mana kita meyakini hari akhir, hari pertemuan kita dengan Allah SWT. Apa kata orang yang meyakini pertemuan dengan Allah ini – “Betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah”. Masya Allah. Inilah kekuatan kita. Allah bersama dengan orang yang sabar.

Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir". (Surah Al Baqarah: 250)

Ayat ini best sangat. Bila mereka bertemu dengan musuh, mereka berdoa. Apa doa mereka? Rabbana afrigh alaina sabran. Kalimah yang digunakan adalah afrigh. Dalam bahasa Arab, kita guna afrigh/ifragh ini contohnya macam nak describe bahawa kita menuang air baldi ke atas seseorang. Dan mereka meminta agar disimbah atau dituang dengan kesabaran. Kenapa? Sebab jalan yang kita pilih bukan setakat memerlukan kesabaran yang biasa-biasa sahaja tetapi terlalu luar biasa. Doa ini terlalu hebat untuk kita hayati.

Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam. Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah. (Surah Al Baqarah:251-252)

Janji Allah tetap benar. Deen ini pasti menang akhirnya! Ya Allah, kurniakanlah kami kesabaran yang panjang dan jadikanlah kami istiqamah sehingga kami bertemuMu.

Buka pintu...

Saya ingat lagi bicara akhi dari Palestin dalam satu pertemuan. Dia menamatkan bicaranya dengan hadis berkenaan niat. Sentuhannya hari itu menggegarkan hati yang lain. Saya mohon pada Allah agar dikurniakan hikmah agar sentuhan saya terhadap mad’u juga boleh begitu.

Seorang soleh mengatakan, dahulu apabila mereka melakukan sesuatu pekerjaan, mereka akan memikirkan minima 7 niat untuk mengerjakannya. Contohnya, apabila rumah mereka diketuk oleh seseorang, maka si pemilik rumah yang soleh ini akan membukakannya dengan niat – Apabila orang yang saya temui di hadapan pintu adalah orang yang memerlukan bantuan, maka saya akan membantunya. Apabila orang yang saya temui adalah orang faqir yang meminta wang, maka saya akan memberikannya wang. Apabila orang yang saya temui adalah orang yang meminta tempat penginapan, maka saya akan memberikannya tempat penginapan, dan seterusnya hingga minima 7 alasan diniatkan sebelum membuka pintu.

Aduh, refleksi untuk diri sendiri pastinya, apatah lagi dengan tanggungjawab yang kian bertambah. Gambatte!