Monday, November 09, 2009

Mulia...

Saya dah bersemangat untuk meneruskan hidup hari ini. Saya nak ambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih buat manusia-manusia yang mulia yang hadir dalam hidup saya yang terus memberi sokongan buat saya setelah kemalangan tempoh hari. Saya tahu bahawa saya tidak akan sesekali mampu membalas jasa kalian, hanya Allah sebaik-baik pemberi balasan. Buat semua kawan, sahabat, keluarga yang tidak saya sebutkan nama mereka di sini, percayalah bahawa Allah mengetahui setiap amalan yang kalian lakukan dengan ikhlas.

Keluarga

Saya ingat lagi kuliah Imam Suhaib Webb. Dia ada membicarakan ayat ini.

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". (Surah Yusuf:4)

Kalaulah sebelas bintang itu digambarkan sebagai adik beradik nabi Yusuf, siapa pula bulan dan matahari dalam ayat tersebut? Ada ulama’ yang mengatakan bahawa matahari dan bulan adalah gambaran ibu dan ayah Nabi Yusuf. Itulah gambaran ayah dan ibu kita.

Ayah dan ibu saya adalah manusia terbaik yang pernah hadir dalam hidup saya. Mereka menyinari hidup saya yang kadangkala kebuntuan. Mereka kawan baik saya. Saya tidak boleh nak menipu atau merahsiakan sesuatu dari mereka. Apabila ayah saya mendengar berita kemalangan tersebut, dia terus bertolak dari Johor. Bertemu dengan mak dan ayah begitu menenangkan saya. Kadang itu rasa sedih sangat sebab sayalah satu-satunya anak yang paling banyak menyusahkan mereka tapi mereka tidak memarahi saya. Perkara pertama yang ayah saya sebut – “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”.

Saya amat berterima kasih dengan mereka. Saya bercita-cita untuk menjadi seperti mereka jua buat anak-anak saya kelak.

Mekanik

Saya tidak mengenali lelaki mekanik tersebut. Dia saudara jauh saya. Tapi dia sanggup datang untuk membantu saya di Seremban. Dia yang menguruskan perihal berkenaan kereta.

Saya berbual panjang dengan isteri dan anaknya. Anaknya berbual dalam bahasa Inggeris. Rupa-rupanya mereka sekeluarga berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah. Latar belakangnya dari pendidikan agama tapi dia begitu bermotivasi dalam hidupnya. Dia tahu bahasa Melayu, Arab, Inggeris, Cina dan India. Dalam usia yang muda sudah punya rumah, kereta dan keperluan lain yang mencukupi buat keluarganya.

Saya mengkagumi manusia-manusia seperti ini yang begitu bermotivasi untuk hidup. Saya mengkagumi manusia-manusia yang punya keberkatan dalam hidup mereka kerana memiliki hati yang hebat untuk membantu manusia lain.

Pakcik dan makcik

Dulu semasa saya di awal remaja, saya begitu mencemburui seorang makcik saya kerana saya merasakan bahawa ayah dan ibu saya begitu menyayanginya. Tapi kini saya memahaminya. Saya merasakan dia terlalu layak untuk kasih sayang tersebut. Hatinya begitu mulia. Melihat dia, saya merasakan semangat untuk terus berjuang. Dia meniti segalanya dengan sabar. Dia melayan dan memberi saya motivasi dengan sabar.

Pengorbanannya yang paling besar adalah apabila dia memberikan saya keretanya. Siapa yang sanggup mempercayai saya yang baru sahaja kemalangan untuk memandu keretanya? Saya kira tiada siapa yang akan sanggup. Tapi dia dan suaminya memberi saya pinjam kereta tersebut tanpa berbelah bahagi. Ya Allah, kurniakan aku hati sebaik mereka.

Saya mengkagumi dia juga kerana dialah contoh anak yang baik. Meskipun dia sudah berkahwin tetapi tidak sesekali dia mengabaikan atuk dan nenek di kampung. Saya ingat lagi bicara Aiman saat melihat atuk dan nenek memakai kasut pemberian makcik dan pakcik, “Mampu ke kau nak belikan mak dan ayah kau kasut yang lebih baik dari apa yang engkau pakai?” Ya Allah, dia terlalu mulia. Dari jauh dia menguruskan kebun tanaman buat atuk dan nenek saya agar mereka tidak terlalu berharap pada anak lelaki. Dialah wanita gigih di akhir zaman ini.

Saya juga kagum melihat cara dia mendengar segala permasalahan anak-anaknya. Dia memiliki 3 orang anak lelaki yang terlalu aktif tetapi dia cuba memahami mereka. Dia sedang mengandung anak yang keempat saat ini tapi semangatnya hanya Allah yang tahu. Sebagai wanita bekerjaya, dia masih boleh menyiapkan nota buat anak lelakinya untuk memudahkan proses pembelajaran anaknya. Kadangkala saya tertanya-tanya, kenapa dia bekerja? Rupa-rupanya dia ingin membantu ayah dan ibunya.

Hidup menemukan kita dengan manusia-manusia yang hebat. Banyak hikmah yang perlu kita kutip. Banyak lagi ujian kehidupan yang perlu kita lalui. Benarlah bahawa hidup ini adalah ujian.

No comments: