Sunday, November 08, 2009

Rasuah...

Towtruck

Saya ceritakan dahulu pengalaman buruk yang saya lalui semasa kemalangan tempoh hari. Tidak sampai 10 saat kemalangan tersebut berlaku, towtruck sudah menghadirkan diri. Saya yang kebingungan saat itu sudah nyaris memberikan kereta. Kata lelaki India itu, kereta saya sudah tidak boleh dibawa lagi, perlu segera dibawa ke bengkel.

Kawan saya yang bersama-sama saya saat itu menasihatkan saya. Katanya, lelaki itu menipu sebenarnya. Ini adalah kebiasaan yang ada di mana-mana. Towtruck akan segera mengambil kesempatan. Ini adalah pengalaman pertama saya. Syukur Allah menghadirkan seorang kawan saat itu yang sudah punya pengalaman.

Pelik sangat melihat lelaki India itu menipu. Katanya dia telah melihat tangki bawah kereta saya pecah dan macam-macam lagi cerita lain. Dia boleh hadir dalam sekelip mata. Inilah pengalaman pertama saya dan mengajar saya untuk lebih mengenali manusia-manusia yang ada di luar sana. Di saat kita takut untuk menganiaya manusia, masih ada jutaan manusia yang tidak takutkan Tuhan.

Rasuah

Saya dan lelaki Cina, pemandu kereta Alfa Romeo itu membuat keputusan untuk membuat laporan polis. Saya disaman. Meskipun lelaki Cina itu juga sedar bahawa dia juga melakukan kesalahan kerana membrek mengejut tapi undang-undang jalan raya mengatakan bahawa saya yang bersalah kerana saya yang melanggar kereta lelaki tersebut. Itu juga adalah pengalaman pertama bagi saya. Saya baru tahu tentang hal itu. Terlupa segala ilmu memandu semasa mengambil lesen dahulu.

Ini adalah kali kedua saya ke balai polis. Pertama kali dahulu saat saya menghilangkan name tag, kad pengenalan hospital. Kali ini, saya bertemu dengan seorang sarjan perempuan. Saya merayu dengan sarjan perempuan itu agar saman saya dikurangkan. Dia setuju untuk mengurangkannya dari RM 300 kepada RM 200. Saya meminta bantuan kawan yang juga datang untuk membantu untuk mengeluarkan duit di Petronas berdekatan. Kami semua dalam perjalanan pulang dari Hospital Terendak untuk kembali ke Cyberjaya menghadiri kelas common session hari itu.

Ayah meminta saya menyimpan resit pembayaran saman. Saya kembali ke balai setelah mengeluarkan duit. Sarjan perempuan tersebut membawa saya bertemu dengan seorang lelaki di bilik hujung yang jauh tersembunyi.

“Kalau saya bayar ini, dapat resit ke?”

“Tidak. Kami belum key in lagi data. Minggu depan awak boleh datang ambil resit. Tapi saya nak jelaskan baik-baiklah. Saya tak nak awak cakap apa-apa pasal kami. Saya tak nak awak fikir apa-apa. Awak akan bayar RM200, tapi resit yang dikeluarkan adalah RM150. Kami nak bantu awak sebab urusan ini melibatkan Bukit Aman”.

Apa saya ini begitu bodoh untuk tidak memahami maksud kata-kata itu? Halusnya bahasa rasuah, tapi kalau tanya nenek dan atuk di kampung pun, mereka memahami bahawa itu adalah rasuah.

“Saya telefon ayah saya dulu ye encik untuk tanya berkenaan hal ini sebab saya nakkan resit”.

Saya telefon ayah untuk melarikan diri dari isu ini. Saya katakan pada lelaki tersebut bahawa saya tidak mahu membayarnya hari ini. Saya akan cuba membayar saman tersebut dalam tempoh masa yang diberikan. Saya inginkan resit kerana seandainya saya membayarnya terlebih dahulu, tiada bukti pembayaran.

Lelaki tersebut menaikkan suaranya.

“Cik tolonglah faham! Ini melibatkan Bukit Aman. Kalau tak nak bayar sekarang, cik perlu bayar RM300!”.

“Takpe encik. Saya akan bayar RM 300 dalam tempoh tersebut”.

Saya melarikan diri. Kata kawan lelaki saya, saman tersebut boleh dikurangkan sehingga RM50 sebenarnya.

Satu kejadian tetapi menyedarkan saya tentang realiti kehidupan. Rasuah dah membarah sehingga ke akar umbi di negara ini. Bencinya!

No comments: