Saturday, November 06, 2010

Lega...

Lega sangat bila posting internal medicine untuk semester 9 dah berakhir. Semalam bila dapat bersama dengan akhawat semula dalam meeting tarbiah, hati saya puas. Rasa baru dapat bernafas kembali. Rasa seolah hidup kembali. Dakwah adalah kehidupan kita kan?

Semalam edit semula entri kupasan hadis ghulam. Diberi nafas baru mengenai kisah ghulam. Dalam hadis tersebut, ghulam tidak disuruh sesekali untuk berhenti belajar sihir oleh si rahib. Malah dalam keadaan yang terdesak pun, si rahib hanya meminta ghulam ‘menipu’ sahaja.

Saya amat berharap ilmu perubatan yang saya kejar itu dapat saya manfaatkan sepenuhnya untuk Islam. Persis ghulam. Ghulam belajar ilmu sihir itu dengan matlamat yang benar. Matlamatnya apa? Perjuangan aqidah yang hak. Hatta sehingga akhir hayatnya. Kalau kita tidak faham matlamat hidup kita, jadilah kita tukang sihir selama-lamanya. Jadilah kita doktor yang tidak pernah tahu tujuan penciptaannya. Dan kita akan terus diperkudakan. Macam orang Indonesia yang tolong bina KLCC itu. Dia buat kerja susah-susah, tapi orang lain dapat nama. Dia dipergunakan.

Ghulam bukan begitu. Sihirnya menyebabkan dirinya hebat. Hatta memperkudakan sang raja. Dia arahkan raja buat macam-macam semata-mata nak membolehkan raja membunuh dirinya. Tapi bukan tujuannya nak mati sia-sia. Dia memperkudakan raja agar perjuangan aqidah itu sampai kepada matlamatnya. Di hadapan semua manusia, kalimah tauhid itu berjaya ditegakkan. Kita pun perlu begitu. Jadi doktor yang hebat. Tujuannya semata-mata agar perjuangan aqidah ini sampai kepada matlamatnya. Agar Islam ini mencapai ustaziatul alam.

Saya mahu begitu. Pagi ini ada kelas lagi. 6 minggu lagi Professional Exam 2. Semester 9 akan berakhir. Semangat belajar! Semangat juga untuk kerja-kerja dakwah! Minggu depan, mukhayyam adik-adik. Semangat!

Minggu lepas saya baca tafsir Fi Zilalil Quran Surah AlInsyiqaaq. Dan saya menangis. Hebat tulisan Assyahid Syed Qutb. Kata teman, dia tidak faham tulisan Assyahid. Entahlah, bagi saya tulisan Assyahid adalah tulisan yang paling dekat di hati sanubari saya. Seolah-olah bicaranya seakan memahami gelora di jiwa. Kata akak, kita ini hidup kena selalu brainwash dengan Quran. Kalau tidak dibrainwash dengan Quran, nescaya dibrainwash dengan benda lain. Pernah saya cakap dengan akak mengenai sebuah buku haraki. Saya kata tidak faham. Akak kata, kalau saya masih di jalan ini dan jelas dari segi fikrah, nescaya saya akan memahami buku tersebut.

Saya kongsikan sedikit tafsiran ayat 6 Surah AlInsyiqaq.
“Wahai manusia” yang telah dijadikan Allah dengan limpah ihsanNya, dan dikurniakan dengan sifat insaniyah yang menjadikannya satu makluk yang unik di alam ini, juga dengan sifat-sifat yang sepatutnya boleh menjadikannya satu makhluk yang lebih mengenali Allah dan lebih mematuhi Allah dari langit dan bumi. Allah meniupkan roh ciptaanNya pada manusia dan melengkapkanNya dengan daya kebolehan untuk berhubung denganNya dan untuk menerima pancarah nur dariNya. Manusia juga telah dikurniakan kesediaan untuk menerima limpah hidayahNya supaya ia dapat membersihkan dirinya dan meningkat naik setinggi-tingginya hingga sampai ke darjat yang sempurna yang direncanakan Allah untuk umat manusia, dan ufuk-ufuk kesempurnaan ini amatlah tinggi dan jauh.
Maksudnya, wahai insan! Engkau berpenat lelah meredah jalan pengembaraan hidupmu, engkau berpenat lelah memikul beban dan tanggunganmu, engkat berpenat lelah berusaha dan berjuang dan engkau berpenat lelah berjalan untuk sampai kepada Allah di akhir perjalananmu. Ya, engkau akan pulang kepada Allah setelah engkau berpenat lelah dalam hidupmu.

Wahai insan, engkau terpaksa berpenat lelah walaupun untuk mencapai kenikmatan dan kesenangan hidupmu. Engkau tidak akan mencapai kenikmatan itu di bumi ini melainkan dengan kesungguhan bekerja dan berpenat lelah berusaha, sama ada kepenatan tubuh badan dan kerja kuat atau kepenatan berfikir dan meluah perasaan. Pengalaman sedemikian dialami oleh semua orang yang berada atau orang yang tidak berada. Cuma yang berbeza ialah jenis kesungguhan bekerja dan kepenatan yang dialaminya. Oleh itu, kepenatan dan kejerihan itu merupakan suatu hakikat yang tetap dalam kehidupan manusia. Kemudian seluruh manusia akan mengakhiri penjelajahan hidupnya dengan kepulangan kepada Allah.

Wahai insan! Engkau tidak akan menemui kerehatan di muka bumi ini buat selama-lamanya. Kerehatan ini hanya berada di akhirat untuk mereka yang patuh dan menyerah diri kepada Allah. Kepenatan dan kejerihan hanya satu sahaja di bumi dalam kehidupan dunia walaupun berlainan warna dan rasa, tetapi akhirnya berlain-lainan apabila engkau sampai kepada Tuhanmu. Di sana ada orang yang menerima kepenatan dan kesusahan yang mengatasi segala kepenatan dan kesusahan di muka bumi ini, dan ada orang yang menerima kenikmatan yang menghapuskan segala penderitaan yang pedih dan jerih yang dialaminya di bumi ini seolah-olah ia tidak pernah mengalami kepenatan dan kejerihan.

Wahai insan yang dikurniakan dengan sifat-sifat kemanusiaan yang istimewa! Pilihlah untuk dirimu jalan yang layak dan sesuai dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan Allah kepadamu! Pilihlah jalan yang memberi kerehatan kepadamu dari segala kepenatan semasa engkau menemui Allah kelak.

No comments: