Friday, December 31, 2010

Attakathur...

Alhamdulillah, saya lulus semester ini dan akan ke semester akhir. Terlalu banyak yang terjadi sehingga saya merasakan urusan peperiksaan adalah terlalu kecil. Semalam misalnya usrah saya dirombak. Sahabat-sahabat yang telah bekerja akan ke medan lain. Jujur ada kesedihan dalam lubuk hati saya yang paling dalam. Mereka telah banyak membantu saya selama ini berada di medan pelajar dan kini mereka telah tiada. Sungguh Allah menjadi saksi atas nikmat ukhwah yang terbina. Pertemuan dan perpisahan sering menjadi rona kehidupan. Lebih membuatkan hati kesedihan kerana anak-anak usrah saya membincangkan berkenaan ukhwah di sebelah petangnya dan Allah membuatkan saya merasai semua itu di malamnya pula.

Setelah keputusan dikeluarkan semalam, kami adakan sesi makan-makan dengan seorang pensyarah kami. Terlalu hebat mehnah dan tribulasi yang perlu dilalui oleh para pensyarah saat ini. Saat melihat perjuangan mereka, saya rasakan syurga Allah itu terlalu jauh dengan diri saya. Perjuangan mereka terlalu hebat. Ujian Allah buat mereka bukan calang-calang. Saya doakan moga Allah memberikan mereka kekuatan untuk terus bertahan.

Oklah, jom kita tadabbur Quran. Tidak tahu kenapa Allah membuatkan saya memilih surah ini untuk dibincangkan dengan adik-adik semalam. Surah ini macam dekat sangat dengan saya barangkali. Ada satu lagi surah, tapi nanti saya ceritakan.

Kita bukan nak tambah ilmu belajar Islam ini, tapi kita nak sangat faham Islam ini. Kita nak apa yang kita fahami itu mengalir dalam urat, sel, hati-hati kita sehingga segala-galanya hanyalah berlandaskan kerana Allah sahaja. Untuk mempelajari sesuatu itu mudah, tapi adakah apa yang kita tahu itu meresapi diri kita? Adakah ia akan menjadi dye yang akan mewarnakan pakaian? Akan masuk ke celah-celah diri kita? Itulah apa yang Allah panggil sebagai sibghah.
”Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah?.....” (Al Baqarah: 138).


Dan kita nak sangat sibghah (celupan) Allah itu terus-terusan mewarnai diri kita. Kita nak mengaplikasikan Quran dalam kehidupan kita. Quran itu sentiasa bermain-main dalam kehidupan kita, berdesir di telingan kita, mengairi hati kita.

Bagaimana nak berinteraksi dengan Allah? Salah satu perkara yang boleh kita lakukan adalah mempraktikkan dalam kehidupan kita. Kita dah saling mengenali. Bila kita duduk dalam kehidupan kita, kita cuba menjadikan apa yang kita faham dalam diri kita. Kita saling menasihati sahabat-sahabat kita. Kita tidak akan malu mengingatkan saudara-saudara kita. Kita nak relate segala yang berlaku dalam kehidupan kita dengan apa yang kita fahami.
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), - Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu - demi sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (Surah Attakathur)


Surah yang kita nak bincangkan hari ini adalah Surah Attakathur. Surah ini adalah surah yang ke 102 dalam jujusan ayat-ayat Allah. Surah ini sebagaimana surah-surah dalam juzuk ini adalah surah-surah yang pendek. Allah Taala ceritakan pada kita mengenai surah ini tidak sebagaimana surah-surah lain. Sesetengah surah datang dengan sumpah seperti Al Asr, Addhuha. Ada surah yang dimulakan dengan Qul. Tapi surah ini mula terus dengan tajuk. Allah Taala terus sedarkan kita dalam keadaan kita terlupa. Allah nak ceritakan satu hakikat pada kita dalam keadaan kita tak sedar. Alhakumuutakkathur..

“Eh, kau ni semua telah dilalaikan oleh Attakathur.” Attakathur itu fai’l, alha itu fe’el, kummaf’ul bih. Allah Taala kata attakathur ini seolah-olah satu manusia yang telah mengganas dan mengganggu kamu. Macam kucing kacau kamu. Tapi ini bukan kucing. Benda ini adalah sesuatu yang telah melalaikan kita.

Contoh macam Akademi Fantasia. Beribu-ribu nak masuk uji bakat. Orang yang tengok pula tak boleh nak tinggal. Apa yang manusia dapat? Mereka ini dah jadi lalai. Allah Taala kata ada satu lagi benda yang manusia lalai. Ada satu benda lagi yang telah melalaikan. Dalam hal ini attakathur telah melalaikan kamu. Apa attakathur ini? Takathur ini datang dari kalimah kathura yang bermaksud banyak. Attkathur adalah perlambangan untuk banyak atau perasaan nak banyak. Attakathur bukan untuk dalam hal-hal kebaikan. Attakathur dalam tafsir adalah tentang duniawi, bukan tentang ukhrawi.

Saidina Abdul Rahman dan Saidina Abu Bakar misalnya tidak mahu harta jatuh ke tangan orang kafir atau jatuh ke tangan orang fasiq. Kalau jatuh kat tangan orang kafir, mereka akan guna untuk jauhkan umat Islam. Ada juga kemungkinan harta ini akan jatuh ke tangan orang yang tidak gunakan harta. Mereka cemburu tengok orang kafir. Kita pun perlu sebegitu dalam seluruh kehidupan kita. Kita kena rasa cemburu kalau ada satu jawatan yang penting yang tidak digunakan oleh Islam untuk membantu islam. Kalau orang itu memegang jawatan itu, kena rasa cemburu. Itu adalah attakathur yang betul. Kita tidak suka ahli maksiat banyak duit sebab mereka akan mengggunakannya untuk maksiat. Kalau berebut macam itu, itu adalah kebaikan.

Alha – ini maksudnya lalai. Kita bukan dilalaikan oleh attakathur. Kita buat sesuatu kena ada niat yang baik. Manusia semuanya mempunyai fitrah inginkan attakathur. Ada orang suka harta yang banyak. Ada yang suka anak yang banyak. Bagi orang arab dulu, anak-anak ini adalah penyokong. Dia ada sistem kabilah. Anak cucu dia semuanya jadi penyokong dia tidak kira dia betul atau salah.

Salah ke kalau kita naik pengikut kita itu ramai? Dalam Muntalaq bab 15, Allah taala ajar kita sebut dalam quran – waj’alna lilmutttaqiina imamam. Jadikan aku ini imam orang-orang yang bertakwa. Menjadi ikutan. Dalam ayat itu, Allah ajarkan kita supaya menjadi ketua yang akan diikuti oleh ramai orang bertaqwa. Dia akan jadi pemandu untuk orang-orang bertaqwa. Kita suka jadi ketua yang membawa orang kepada Allah Taala. Perasaan nak bawa orang kepada Allah, ini bukan alhakumuttakathur. Kita berlumba-lumba nak dapat kebaikan dunia itu salah kalau untuk dunia. Tapi kalau berlumba-lumba nak dapat dunia ini untuk akhirat, tidak salah. Sahabat macam orang yang lapar, ayam yang tidak makan seminggu, bila campak makanan itu, berebut-rebut nak makan. Tapi sebab kejar pahala.
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (3:133)


Ummu Aiman misalnya sampai naik kapal ikut suami sebab nak tawan Istanbul. Wa fi zalika falyatanafasil mutanafisun. Berebut-rebut.
Meterainya kasturi; - dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; (83:26)

Kalau sembahyang jemaah, kena berebut nak dapatkan saf pertama untuk lelaki. Nabi saw kata, kalau orang yang azan ini pahala yang besar. Berebutlah untuk kebaikan.

Apa lagi attakathur? Nak glamour. Macam bola sepak baru ini. Sukan nak dapat apa? Nak dapat nama? Nak hadiah? Nak pecah rekod? Kalau kita buat sukan kerana Islam itu macam mana? Fikir-fikirkan sama ada itu adalah attakathur yang betul atau tidak. Kita belajar kenapa? Nak dapat straight A kenapa? Nak kahwin kenapa? Nak dapat anak kenapa? Fikir-fikirkan..

Allah swt kata dalam ayat 2, kalau aqidah kamu tidak betul, benda ini tidak akan habis, tidak akan selesai sehingga hatta zurtumul maqabir. Ada dua pendapat dalam ayat dua itu. Pertama,kita akan berhenti kalau kita dah mati. Pendapat kedua kata mungkin perasaan itu hilang kalau kita menziarahi kubur. Buat sesuatu yang mengingatkan kamu tentang mati. Ada yang pergi kubur tidak rasa apa-apa sebab dia penggali kubur, mungkin kan? Doktor misalnya dah imun tengok orang mati kan? Kena buat sesuatu agar kita merasai hakikat kematian itu. Menziarahi kubur adalah saranan tarbiah.

Kalla- sekali kali tidak. Dalam bahasa arab – dah3x..jangan kamu sibuk lagi. Quran ini ada irama dia. Quran ini ada balaghah dia. Jagalah! Jaga! Nanti kamu tahu nanti! Jaga! Jaga! Nanti kamu tahu nanti. Allah ulang sampai 3 kali. Allah ingatkan betul-betul, dilalaikan dengan nak banyak ini kena sedar. Akhirnya perkara yang dia nak, yang dia rebut itu tiada faedah. Sama macam dapat result. Tapi untuk apa? Bila main bola, masuk gol. Peluk-peluk. Giler-giler sangat. Nanti kamu tahu nanti. Nanti kamu tahu nanti. Kalaulah kamu yakin betul-betul dengan ilmu yakin, kamu akan lihat neraka itu. Kamu tidak akan buat macam itu. Kalau kami yakin dengan ilmu yakin, kamu tidak akan dilalaikan oleh attakathur. Betapa jauhnya orang yang tiada kesedaran. Nanti kamu akan lihat dalam neraka Jahim. Attakathur akan membawa kamu kepada Jahim itu. Nanti kamu akan lihat dengan mata yakin Jahim itu. Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu tentang na’im, tentang nikmat-nikmat yang Allah berikan.

Ada satu cerita tentang na’im itu. Kita bayangkan nikmat itu nikmat rumah, harta, anak, jawatan. Sahabat kata kat nabi itu, sahabat tiada nikmat. Sahabat bukan macam kita yang hidup mewah ini. Sahabat cuma ada dua benda sahaja – kurma dan air. Sahabat tanya, adakah dua ini pun akan ditanya? Rasulullah kata dua nikmat itu pun akan ditanya. Kita yang dah banyak sangat nikmat ini, fikir-fikirkan berapa puluh ribu soalan yang kita nak jawab nanti? Nikmat iman dan islam yang kita tak share kat orang, berapa banyak kita nak jawab dengan Allah?

Kata Rasulullah SAW, ada dua nikmat yang banyak manusia lalai iaitu masa kosong dan sihat. Hanya orang sibuk sahaja mengerti betapa berharganya masa. Macam nak exam, satu jam pun bermakna. Macam pelari yang dapat pingat perak, satu saat sahaja yang memisahkannya dari gold medal. Kalaulah kita sedar umur dunia ini pendek sangat, mesti kita tak buang masa lagi kan?

Oklah, saya akan mula bermukhayyam petang ini. Insya Allah jumpa lagi..

3 comments:

Wan Nur Aishah Wan Ali said...

Salam ukhti.

Mohon izin untuk share link ini, jazakillahu khayra.

Moga turut mendapat berkat.

Teruskan berjuang =)

anahazirah said...

Assalamualaikum

samapaikan salam ana pd akhwat2 sana w/pun ana tak kenal wajah tp dpt rasa kedekatannya:)

Unknown said...

salam ukhti..ana sangat tertarik dengan cara penerangan enti..alhamdulillah mudah difahami..kongsilah lagi tafsiran2 alquran lagi..terutmanya juzuk 'amma. suka ana membacanya..alhamdulillah