Alhamdulillah, berakhir sudah hari-hari pengajian di semester ini. Mula bercuti dan akan menduduki peperiksaan pada akhir bulan ini. Lama sudah saya tidak menulis. Seakan tangan kaku untuk menulis semula.
Kelmarin seorang adik usrah bercerita pengalamannya membawa usrah suatu ketika dulu. Katanya, dia bahagia sekali bila dapat bergerak. Anak-anak binaannya ramai. Namun ketika dia meninggalkan tempat tersebut, adik-adiknya hanyut di dalam lembah jahiliah semula. Dia sedih. Dia bermuhasabah. Katanya, selama ini dia membawa manusia kepada dirinya dan bukan kepada Allah.
Muhasabahnya itu adalah muhasabah bagi diri saya pastinya. Adakah saya membawa manusia pada saya atau pada Allah? Adakah tulisan-tulisan di sini membawa kalian menuju Allah atau menuju saya? Ya Rabb, sucikan hati ini agar ikhlas untukMu..
Saya mahu menceritakan pengalaman. Pengalaman merasai jatuhnya iman. Saat murabbi saya memberitahu berkenaan program daurah, saya merasakan hal itu adalah hal yang terlalu berat. Saya perlu ke daurah pada hari Sabtu dan Ahad. Kerja pula begitu banyak. Tuntutan akademik begitu menggunung. Peperiksaan pula kian hampir. Sabtu tersebut saya punya kelas. Dan saya amat-amat berharap kelas tersebut habis lewat agar saya tidak perlu ke daurah. Namun Allah mengizinkan kelas tersebut habis awal. Dan saya tidak punya alasan..
Jujur saya malas ke daurah. Daurah pada hari Sabtu adalah berkenaan Kitab Tauhid Zindani. Jujur saya rasakan saya tahu keseluruhan buku. Tidak usah daurah untuk mengulangkaji hal yang sama. Buku tersebut saya rasakan terlalu kering untuk hati saya. Kitab Tauhid Zindani adalah kitab aqidah yang membincangkan penemuan-penemuan sains yang dikaitkan dengan AlQuran. Saya rasakan malas yang amat. Buku tersebut telah dihadam di dalam usrah. Mengapa perlukan daurah untuk hal yang sama?
Saya rasakan tidak perlu sains untuk mengajar saya tentang Islam. Saya nak kefahaman yang sama seperti sahabat. Sahabat tidak pernah membincangkan sains dalam memahami Islam.
Entahlah. Mengimbas perasaan-perasaan yang berkecamuk itu, saya rasakan amat mustahil untuk saya ke daurah tersebut. Daurah pula di KL. Tapi Allah jualah yang memimpin hati saya untuk ke daurah. Di tengah perjalanan, saya sesat. Saat itu juga, saya rasakan mahu pulang sahaja. Tanpa Allah, saya tidak mungkin ke daurah tersebut.
Saya tiba di tempat daurah. Saya nampak murabbiah-murabbiah saya yang telah lama di jalan dakwah juga hadir. Saya rasakan malu yang amat. Mereka masih menadah ilmu. Masih merendah diri di hadapan Allah, sedang saya...
Saya solat terlebih dahulu dan kemudian menyertai daurah tersebut. Saat itu ustaz sedang membentangkan berkenaan klorofil. Ya Rabb, betapa hati ini rasa tidak berbaloi yang amat untuk hadir.
“Aku ini dah belajar medic. Tidak perlulah nak tahu tentang klorofil...”, bentak hati saya..
Dan saya mula membuat kerja-kerja lain. Saya tidak menumpukan perhatian.
Kemudian ustaz bercerita tentang kiblat. Dan ustaz tunjukkan video berkenaan kiblat. Ego saya cair tika itu. Dan saya bersaksi nabi Muhammad itu pesuruh Allah setelah menonton video tersebut. Terus bergelora hati dan fikiran saya..terasa zuuq yang amat..
Nanti saya sambung semula ye entri ini.. Insya Allah saya akan beritahu gist buku ini dan juga mengenai penulisnya.. Moga Allah kurniakan saya kelapangan masa..
No comments:
Post a Comment