Penyakitku, Kau mampu membunuh fizikalku Kau mampu membunuh usiaku Tapi tidak sesekali kau mampu membunuh semangatku
Penyakitku Aku tewas padamu di saat aku lemah Aku menang di saat aku berjuang melawanmu Meskipun mungkin di saat itu kau telah membunuhku
Penyakitku Allah telah memberi persepsi padaku Bahawa setiap pejuang akan terus hidup Mati itu juga kulihat sebagai kehidupan Penting sekali untuk aku terus berjuang Agar Dia memilihku Ameen
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. (Surah Ali Imran:169)
Apabila Allah menggerakkan hati kita untuk melakukan sesuatu, lakukanlah. Usah bertangguh. Itu pengajaran berguna yang saya pelajari sepanjang berada di alam klinikal ini. Saya masih mengingati posting pediatrik yang baru dua minggu sahaja berakhir. Saat itu, Allah menggerakkan hati saya untuk ke klinik. Dan Allah memberi saya peluang untuk melihat bayi yang menghidap penyakit Pierre Robin Syndrome. Buat mereka yang membaca blog ini, mungkin boleh mencari mengenai penyakit ini di laman maya. Bayi yang saya lihat mengalami masalah pernafasan dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Bayi ini juga memerlukan banyak lagi bantuan lainnya.
Tahu apa yang terjadi kepada bayi tersebut? Ayahnya sudah menolak bantuan perubatan bagi bayi tersebut. Kehidupan keluarga tersebut sangat sukar. Si ayah hanya bekerja part time sahaja. Si ibu pula menghidap kanser dan sudah melalui 6 kali rawatan kemoterapi. Dan bayi yang saya lihat itu sebenarnya sedang menunggu masa untuk pergi meninggalkan dunia ini selamanya. Sedih sangat waktu itu. Ramai manusia di luar sana yang mana kehidupan mereka adalah terlalu sukar. Betapa sebagai manusia kita perlu bersyukur di atas segala nikmatNya..
Selama dua minggu belajar di dalam posting obstetrik dan ginekologi juga menemukan saya dengan mutiara berharga. Selama dua hari, saya menunggu di hospital sehingga hampir pukul 4 pagi. Dan pastinya Allah menemukan saya hikmahNya..
Pada pukul 2 pagi, Allah memberi saya peluang melihat proses kelahiran bayi yang menghidap Anencephaly. Ataupun dalam bahasa mudahnya tanpa tempurung kepala. Proses kelahiran bayi tersebut sangat sukar. Tapi doktor tidak cemas kerana bayi ini telah meninggal di dalam kandungan lagi. Bayi ini dilahirkan dalam keadaan normal tapi doktor terpaksa mencederakan tangan bayi itu bagi memudahkan proses kelahiran. Di saat kepala bayi sudah mula kelihatan, doktor MO yang ada memberitahu saya dan insan lain yang ada di bilik bersalin itu sesuatu.
“Bayi yang mahu kita sambut ini adalah ahli syurga. Bayi inilah yang akan memberi syafaat buat ayah dan ibunya di akhirat”.
Masya Allah. Sememangnya saya dapat melihat kriteria-kriteria yang ada pada diri si ayah dan ibu ini sehinggakan Allah memilih mereka. Si ayah tidak putus-putus menadah tangan dan berdoa. Adakalanya dalam keadaan yang kritikal itu masih mampu menguntumkan senyuman. Ketenangan ada di wajahnya. Si ibu pula meskipun melalui proses kelahiran yang sangat sukar tidak langsung menuturkan kalimah sakit. Sabar itu sangat sukar, tidak semudah menuturkannya.
Saya sendiri masih mengingati pembedahan yang saya lalui. Saat tube mahu ditarik keluar, saya rasakan seperti pisau menikam perut saya. Saya menjerit saat itu. Saya sendiri tidak mampu bersabar dan apabila saya melihat si ayah dan ibu ini, fahamlah saya sebab musabab Allah mentakdirkan mereka untuk memiliki anak yang merupakan ahli syurga.
Ustazah saya pernah menceritakan mengenai ayat ini semasa saya berada di sekolah menengah dahulu. Ayat 172 dari Surah AlAaraf ini adalah ayat yang menceritakan mengenai perjanjian kita dengan Allah di alam roh. Dan ustazah memberitahu bahawa bayi-bayi yang meninggal di alam kandungan adalah mereka yang tidak mampu untuk memikul perjanjian ini.
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
Ingatkah kita bahawa kita pernah berjanji dengan Allah? Tunaikanlah janji itu…
“Nurse, awak ada buat apa-apa ke kat dia sampai dia menangis begini?” tanya doktor MO kepada jururawat apabila melihat saya menangis ter’over’ sedikit malam itu. Entahlah, selama ini pun saya menangis tapi masih dapat menyembunyikan tangisan. Tapi tidak malam itu apabila melihat seorang akak melahirkan anaknya dalam situasi yang memang terlalu sukar. Suaminya sudah mula marah-marah. Siap memukul kaki isteri. “Nak sangat bersalin! Lepas ni tak payah bersalin!”, marah si suami.
Jururawat menasihati si suami. “Kami tidak cakap apa-apa pun encik. Jangan cakap macam ini”. Jururawat kemudiannya bertanyakan si isteri, “Dah minta maaf kat suami?” Kata si isteri, “Sudah”. Kesukaran mengandung tersebut mungkin disebabkan si isteri meminum air selusuh sebelum tiba masanya. Dan anak tersebut adalah anak yang pertama, si ibu mungkin tidak tahu teknik meneran yang betul. Rentak jantung bayi pula sudah mula perlahan. Semua yang ada di sana memberi tekanan kepada ibu tersebut. Sudah hampir sejam meneran dalam keadaan yang terlalu sukar dan dahsyat, akhirnya bayi keluar juga. Si suami yang mulanya marah kerana tidak sabar melihat isterinya yang tidak reti meneran terus memeluk isteri apabila melihat kebesaran Allah. Dan apabila si suami keluar dari bilik bersalin, dia menangis teresak-esak.
Memang malam tersebut saya menyaksikan satu proses kelahiran yang sangat sukar. Banyak yang diujarkan oleh jururawat kepada ibu muda itu.
“Lepas ini nak datang bersalin, minta maaf kat mak ayah dulu. Awak ini degil sangat ini”.
Semasa menjahit kawasan yang terkoyak, si ibu asyik menyebut “Sakit! Sakit!” Kata jururawat, “Janganlah asyik cakap sakit, cubalah berselawat sikit masa sakit itu. Korang ini semua asyik ingat sakit. Cuba ingat Tuhan”.
Kata si ibu dia berselawat di dalam hati. Balas jururawat,“Inilah orang Melayu, semuanya dalam hati”. Saya agak pelik juga melihat ayah-ayah yang mengazankan anak-anak di wad bersalin. Semuanya mengazankan di dalam hati. Pelik benar..
Kenapa saya menangis? Setiap hari saya meminta Allah agar jangan menjadikan hari-hari saya adalah hari yang biasa. Saya mahu hari-hari yang saya lalui sentiasa adalah hari yang luar biasa. Saya ingin perasaan dramatis, berkobar-kobar, bercampur baur dan lainnya sentiasa saya rasai. Saya tidak mahu menjadi doktor yang terbiasa melihat semuanya tanpa membawa makna dalam kehidupan mereka.
Kadangkala kita melihat kejadian siang dan malam pun tanpa perasaan. Sedangkan semua itu adalah sangat luar biasa. Buat adik dari Indonesia yang bertanya di ruangan komen, satu tips untuk ikhlas belajar medic adalah sentiasa berdoa dan merasakan hari-hari yang adik lalui adalah sangat luar biasa. Keberadaan adik di dalam dunia perubatan adalah ketetapanNya. Tidak sia-sia. Akan tiba saatnya adik memahami semua ini. Insya Allah, akak akan cuba bercerita pengalaman melihat ibu melahirkan anak tanpa tempurung kepala dan juga pengalaman lainnya. Percayalah, tiada yang sia-sia dalam kehidupan ini. Setiap hari adalah luar biasa….Sangat luar biasa…
Di saat Allah mentakdirkan akak ke hospital semalam dan kelmarin sehingga hampir pukul 4 pagi sungguh menyedarkan akak bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan kehidupan akak. Hatta pagi ini akak menghadiri usrah bersama keluarga yang dikenali semasa di matrikulasi dulu dalam keadaan fizikal yang penat, tapi Allah menemukan akak dengan mutiara-mutiara ilmu dan hikmah yang tidak mampu akak tafsirkan dengan kata-kata.
Seorang sahabat pernah bertanyakan akak soalan, “Benda apa yang Allah ciptakan paling cantik dalam setiap kejadian?” Akak katakan manusia. Katanya, jawapan akak salah. Jawapannya adalah HIKMAH kerana dalam setiap kejadian dan keadaan ada HIKMAHnya yang tersendiri.
Akak kongsikan sedikit lirik lagu Alhamdulillah. Akak tidak memandang lagu ini dari aspek personaliti penyanyinya cuma yang pastinya lagu ini punya makna yang mendalam.
“Aku yang memandang di dalam lubuk hati,mencari-cari zat rahsia yang katanya tersembunyi Aku yang melihat alam meliputi wujud menyertai lalu ku pindahkan alam ke dalam mata hati Aku hakiki,aku mengerti segala yang terjadi di langit dan di bumi Gunanya tiada fantasi, pelik dan benar,qada’ dan qadar kau berilah ku kekuatan”.
Ini luahan hati saya. Saya menulisnya dua hari lalu sehingga terlambat ke hospital. Tidak sedar masa berlalu saat itu kerana saya sungguh tertekan saat itu. Saya tidak bercadang untuk memaparkannya di blog ini. Tapi soalan seorang sahabat di Jordan membuatkan saya ‘meniru menampalkan’ tulisan ini. Tulisan ini penuh dengan kesalahan saya. Tapi saya akan mengupas satu persatu kesilapan tersebut di akhir catatan ini sebagai pengajaran.
--------------------------------
Zaman jahiliahnya pahit. Bertemu dengan tarbiah membuatkan dia berubah sedikit demi sedikit. Dia masih jahat. Tapi tidak seteruk dulu. Ketika berada di zaman jahiliah, dia pernah membenci lelaki. Hatta dia tidak suka bersalam dengan ayahnya sendiri. Manusia lain menganggap bahawa dia ekstrim dalam beragama. Tapi tidak. Dia punya masalah psikologi barangkali suatu ketika dahulu sehinggakan melakukan semua itu.
Dunia tarbiah memahamkan dirinya bahawa dia perlu menganggap lelaki-lelaki di luar sana sebagai saudaranya sendiri. Dia mula mengubah pandangannya pada lelaki. Cuba menerima kehadiran lelaki. Mula bersikap baik dengan mereka di dalam hal-hal yang dibolehkan. Namun kini dia menghadapi masalah apabila terpaksa berhadapan dengan seorang lelaki tidak beretika. Sifat jahiliahnya yang dahulu keluar satu persatu. Mulutnya menjadi begitu berlaser. Tidak mampu dibendung lagi. Dia tidak ingin membenci posting Obstetrik dan Ginekologi yang sedang dilaluinya hanya kerana seorang lelaki. Namun entahlah… Dia membenci posting ini apabila terpaksa menjadi ‘chaperon’ untuk lelaki tersebut. Dia mula membenci hatta namanya sendiri apabila sebutan nama tersebut keluar dari mulut lelaki tersebut. Mengapa? Kerana lelaki tersebut tidak pernah menghormati wanita dan juga tidak menghormati diri dan pegangannya.
Dia tidak kisah andai lelaki tersebut tidak memahami agama. Semua itu boleh diajar. Tapi amat sukar apabila lelaki tersebut tidak langsung mempunyai ‘common sense’ di dalam hidupnya. Kadangkala Allah tidak perlu menghantar beratus manusia sebagai ujian, tetapi cukuplah seorang manusia untuk menguji dirinya dengan sebenarnya.
Di saat lelaki tersebut mentertawakan wanita yang sedang sakit bersalin, dia seperti mahu memberikan tamparan sahaja agar lelaki tersebut sedar. Di masa yang lain dia bertanyakan jururawat, “Ini anak nombor dua kan? Kenapa nampak macam bermasalah sangat?” Soalan yang diajukan dengan nada sinis itu benar-benar menyakitkan hatinya. Dia sudah mencebikkan wajah dan menggelengkan kepada. Hendak sahaja dia marah waktu itu, “Eh kau ingat sakit bersalin itu sekali je ke?” Tapi syukur jururawat yang ada juga menjawab soalannya, “Lain tu, awak ingat tak sakit lagi ke?”
Soalan lelaki tersebut padanya juga menyakitkan hati. “Eh kau tidak nangis lagi ke tengok proses kelahiran ini?” Waktu itu dia nak sahaja menjawab,“Aku bukan binatang untuk tengok semua ini tanpa perasaan! Binatang pun entah-entah ada perasaan”.
Sebagai seorang lelaki Muslim, adakah selayaknya dia meminta dirinya untuk menghantar lelaki bukan Muslim selepas waktu oncall di saat jam menunjukkan hampir 1 pagi?
Dia tidak dapat bertahan dengan lelaki ini selama dua hari. Bagaimana dia akan menghabiskan masa selama dua bulan di dalam posting ini? Sewajarnya seorang lelaki yang baik, bukan hanya perlu menjaga hati pesakit, tetapi juga menjaga hati kawan perempuannya yang lain.
Dia tidak membenci semua lelaki. Pensyarahnya juga lelaki tetapi terlalu berdedikasi. Ada kawan lelakinya juga yang lebih mengambil berat keberadaan pesakit berbanding dirinya. Masih ramai lagi lelaki baik di dalam kehidupan ini.
Amat sukar apabila manusia tidak beragama. Lebih sukar lagi apabila tiada langsung nilai dalam kehidupan mereka.. Sudahlah syariatullah tidak dijaga, hal-hal sunnatullah pula hancur…
-------------------------------
Ok, sekarang saya kupas satu persatu kesalahan saya.
1) Mengumpat
Kerana terlalu tertekan, saya telah mengumpat lelaki ini. Alasan tertekan merupakan alasan yang tidak masuk akal untuk mengumpat. Selepas ini, saya perlu membayangkan bahawa saya memakan daging lelaki tersebut setiap kali saya mengumpatnya seperti yang dipaparkan di dalam video ini.
2) Allah Penciptanya Saya tidak sepatutnya mengumpat lelaki ini di hadapan manusia. Manusia tidak mampu melakukan apa-apa. Allah yang menciptakan lelaki ini. Mengapa saya tidak mengumpat sahaja lelaki ini di hadapan Allah? Saya tidak sepatutnya mencari manusia lain untuk meluahkan rasa. Allah sepatutnya menjadi tempat luahan hati saya yang aula.
3) IM Saya gagal membentuk diri saya sendiri sebagai individu muslim (IM) kerana mengumpat. Kata ustaz, kalau gagal dalam pembentukan menjadi individu muslim (buat kerja lagha macam tengok cerita korea, mengumpat dan lain-lain), adakah saya mampu membentuk baitul muslim? Mustahil. Ada yang kata bahawa manusia tidak pernah sempurna. Takkan nak tunggu sempurna sebelum melangkah ke alam baitul muslim? Tapi ustaz kata nak capai ustaziatul alam (islam menjadi world order) adalah satu kerja yang serius. Kalau dah gagal dalam pembentukan individu muslim, rasa-rasanya mampu ke nak capai ustaziatul alam? Ustaziatul alam menjadi mimpi yang tidak berguna sahaja bagi manusia-manusia yang gagal dalam pembentukan individu muslim. Jauh sebenarnya perjalanan nak membentuk ustaziatul alam. Gagal di anak tangga pertama sungguh memalukan.
Kalau gagal dalam exam, kita pasti menangis. Pernah tak nangis sebab gagal membentuk diri menjadi individu muslim? Saya nak nangis…Gagal membentuk individu muslim lebih teruk dari gagal dalam peperiksaan….
4) Housemate Housemate saya ceritakan tentang adab berbicara yang dia temui di website iluvislam. Allah tegur saya melalui manusia lain. Boleh membaca artikel tersebut di sini. Terasa gilaaa…Saya sepatutnya diam. Banyakkan istighfar setiap kali saya bertemu dengan lelaki ini.
5) Bahan Tarbiah Artikel di link ini juga membuatkan saya terasa gila nak mati.
“Dakwah itu dijasadkan dalam diri da’ie. Jangan sampai kebencian manusia kepada da’ie membawa kebencian manusia kepada dakwah ini.”
Manusia pasti rasa tak tenang kalau ada orang sedang mengumpat. Pasti manusia lain tak tenang dengan saya. Saya gagal jadi daie. Nak nangissss......
6) Husna Husna merupakan sahabat saya. Dia berasal dari Indonesia. Katanya, dia rasa sungguh bersemangat. (Semua orang bersemangat, saya je yang asyik down. Huhu..sedihnya.. )Saya tanyakan Husna, apa yang membuatnya rasa bersemangat. Jawapannya juga membuatkan saya terasa teguran Allah..
”Hidup untuk penilaian Allah. Setiap hari adalah hari untuk mengukir kenangan di akhirat”.
Masya Allah. Hidup untuk penilaian Allah. Kalaulah saya mampu melihat buku report amalan saya sekarang ini, alangkah memalukan. Penuh dengan noda dan titik hitam. Malunya...
7) Buku
Saya baca buku Jejak Sang Junjungan tulisan Amru Khalid.
”Lihatlah dalam perang Uhud! Ketika beliau mengalami luka setelah salah seorang kaum musyrikin memukul kepala Nabi SAW sehingga putus dua gigi beliau dan mengalirlah darah dari wajah beliau yang mulia, dan ketika itu para sahabat memintanya mendoakan kehancuran mereka, apa jawab beliau? Beliau menjawab dengan jawapan orang yang penuh dengan kasih sayang:
”Sesungguhnya Allah tidak mengutusku sebagai tukang tuduh dan tukang laknat. Akan tetapi Dia mengutusku sebagai daie dan membawa rahmat. Ya Allah, berilah petunjuk kaumku, kerana mereka tidak mengetahui”
Huhu...Menangis baca semua ini. Rasulullah SAW sampai patah gigi tapi masih boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu lagi. Allah tidak uji saya sampai macam itu pun tapi saya dah gagal.....
8) Lari Saya memang terasa nak lari sangat dari semua manusia. Nak hidup sorang-sorang jap. Tapi apabila membaca hadis ini, rasa bermotivasi kembali.
“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”.
Seolah-olah hadis ini berkata pada saya bahawa memang perit berhadapan dengan manusia dan sebaiknya saya bersabar. Saya tahu kalimah sabar mudah dituturkan tetapi sukar dilaksanakan. Saya perlu memohon padaNya untuk mengurniakan saya kesabaran…
Saya berharap bahawa saya telah membantu menjawab persoalan sahabat saya dengan menulis entri ini…Segala yang baik datang dariNya, dan segala kelemahan itu datang dari saya..
Teringat program yang saya hadiri minggu lepas. Murabbi membentangkan suatu topik bertajuk “Dakwah kita adalah dakwah kebangkitan semula dan penyelamat”. Dia benar-benar mahu memahamkan kami perenggan pertama yang tercatat pada helaian kertas sehinggakan dia mengambil masa hampir berjam. Pada saya, itulah bezanya pengisian yang membentuk kefahaman berbanding pengisian untuk menghabiskan silibus semata-mata.
Dia benar-benar mahu kami faham. Perenggan pertama itu perlu dihayati sehingga lahir amal dari diri kami. Antara catatan perenggan pertama kertas tersebut - “Kita ditakdirkan hidup di zaman kemerosotan umat yang sangat dahsyat. Aqidah, politik, ekonomi, budaya, sosial, ilmu, harta, mentaliti dll. Beban adalah berat. Mesti lakukan dakwah dalam erti kata yang amat luas”. Dia membentangkan satu persatu kemerosotan umat yang menyedarkan kami akan hakikat ketenatan dan penyakit yang menimpa ummah ini. Katanya, andai kami boleh terfikir untuk duduk bersantai dan berehat tanpa kerja, kunjungi Bukit Bintang dan lihatlah realiti umat agar kami tersedar dari lena.
Saya tatap kembali helaian kertas tersebut tadi di wad. Bagai mahu menangis kerana saya mula memahami catatan di dalam kertas tersebut dengan lebih mendalam. Keberadaan saya di wad ginekologi yang saya anggap sebagai membosankan pada mulanya menjadi sangat bermakna. Bertemu dengan remaja berusia 16 tahun yang menghidap penyakit Pelvic Inflammatory Disease membuatkan empang air mata seakan tidak mampu ditahan lagi. Ummah sudah begitu tenat..
Pengakuan remaja itu menyesakkan hati dan nurani saya. Seolah-olah saya mahu teman dakwah untuk saya ajak berbicara. Saya seakan-akan memerlukan seorang pendokong saat itu. Namun saya sedar Allah ada di sisi. Cukuplah Dia bersama saya dalam mengharungi kefasadan ummah ini.
Mengenali seks seawal usia 14 tahun, mempelajari teknik melakukan seks dengan menonton video, membenci Tuhan kerana merasakan Tuhan tidak adil, mahukan kematian dan rasa hatinya yang lain menghiris hati saya sendiri. Seolah-olah saya mahu menjerit saat itu. Ya Rabb, ummahku terlalu tenat… Penyakitnya sememangnya disebabkan oleh perlakuannya sehari-hari.
Saya mengajaknya berbicara. Saya perlu berdakwah padanya. Saya katakan padanya bahawa saya menyayanginya. Islam menemukan kami. Pertemuan kami adalah tanda kasihNya.
Saya mahu bercerita kisah sahabat padanya. Namun dia tidak memahami hatta makna ‘sahabat Rasulullah”. Dia benar-benar tidak mengenali Islam. Ya Allah, sukarnya... Bagaimana saya mahu memulakan dakwah ini? Namun teringat lagi kata-kata murabbi – “Kita membawa dakwah terbaik, terkuat dan paling adil!!” Saya wajib mengimani semua itu.
Teringat nasyid Arruhul Jadid. Lagu tersebut diambil dari kata-kata Assyahid Imam Hassan Albanna - ayyuhal ikhwan, antum lastum jami'yah khairiyyah, wa la hizban siyasiya, wa la maudhaiyah liagradhi mahdudatil maqasid..wa lakinnakum ruhu jadid yasri fi qalbi hazihilummah. ..dan seterusnya..
Kata-kata tersebut bermaksud - Wahai saudaraku, kamu bukanlah persatuan kebajikan, ataupun parti politik atau pun persatuan untuk melaksanakan maqasid tertentu, tetapi kamu adalah ROH BARU yang berjalan di dalam hati ummah ini..
Assyahid menggunakan kalimah ROH kerana roh akan berjalan di dalam hati-hati manusia tanpa mengira fikrah dan kefahaman mereka dan roh sifatnya boleh memasuki mana-mana jasad.
Kerana mempercayai semua itu, saya masih di sini. Mempercayai dakwah ini dan insya Allah mahu terus berkerja. Saya percaya bahawa dakwah ini mampu mengubahnya 360 darjah seandainya dia memahami Islam sepertimana kefahaman Saidina Umar, Sumayyah dan lainnya. Saya mahu menjadi Ansarullah dan mati sebagai Ansarullah. Saya mahu melakukan sesuatu buat ummah ini. Segalanya biiznillah…
Dua tahun menulis di blog. Apa faedahnya? Saya menulis konflik diri dan berbicara dengan diri sendiri sebenarnya. Segalanya yang tercoret adalah peringatan untuk saya pastinya.
Kadangkala menulis blog seperti membuka pekung sendiri. Tidak tahu siapa pembacanya. Segala kelemahan diri saya dapat ditafsirkan dengan mudah. Tapi saya belajar sesuatu dari Surah Abasa. Surah yang menceritakan teguran Allah kepada Rasulullah SAW kerana bermasam muka terhadap Ibnu Ummi Makhtum.
Kalau Allah menegur kamu, adakah kamu akan memberitahu insan lain kesilapan, aib dan teguranNya? Pastinya kita berasa malu. Tapi tidak Rasulullah SAW. Dia mengkhabarkan Surah Abasa tanpa cacat cela kepada kita sehingga kita pun mempelajari hal-hal keutamaan dakwah dari surah tersebut. Di antara insan yang berpengaruh dan insan yang mahukan Islam, siapakah yang selayaknya dipilih…
Surah tersebut menjadi contoh buat saya. Mencoret segala teguran yang saya terima sepanjang hidup ini agar saya sendiri belajar dari kesilapan tersebut dan juga berharap agar manusia lain tidak mengulangi kesilapan tersebut. Saya masih mahu menyambung tulisan berkenaan Surah Taubah yang sebenarnya merupakan teguran kepada diri saya sendiri. Moga dengan izinNya, saya mampu melangsaikan tulisan tersebut secepatnya. Moga Allah mempermudahkannya.
Membaca buku tulisan Zainon Ismail bertajuk Memoir Jihad Anak Melayu di Afghanistan membuatkan butir-butir air mata gugur. Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Non dan sering menggunakan nama pena C.N Afghani merupakan insan yang pernah ditahan di bawah akta ISA bersama Nik Adli di atas tuduhan terlibat dengan KMM. Fitnah tetap fitnah. Membaca buku tersebut membuka mata akan kazaliman pemerintah. Sejarah Malaysia terlalu pahit untuk diceritakan.
Cukuplah soalan di dalam bab yang terakhir tersebut menyentak hati saya. “Pemilihan Assyahid Fauzi Ismail oleh Allah untuk bersama mujahidin di bumi Afghanistan dan mendapat tiket syuhada’ harus menjadi tumpuan dan penelitian rapi dari kita.Untuk itu, perlu kita bertanya pada diri sendiri, kenapa beliau yang dipilih, bukannya kita? Apakah kurang dan lemahnya kita?”
Andai saya mahu menjawab soalan tersebut, jujur saya akui bahawa terlalu banyak kelemahan saya.
Antara petikan lain di dalam buku tersebut:
“Dari kisah beliau itu, jelas kepada kita bagaimana kekayaan ilmu dan harta itu, bukanlah syarat untuk seseorang itu mendapat tiket syuhada”.
“Hati yang ikhlas tidak akan nyenyak tidur, tidak akan berselera untuk makan dan tidak akan ceria dikelilingi anak isteri”.
Sejujurnya saya sendiri masih gagal dalam berjihad tidak kira dari aspek pelajaran dan selainnya. Jihad adalah berusaha sehingga habis kemampuan. Seandainya kemampuan fizikal kita mampu belajar selama 12 jam, tetapi kita hanya belajar selama 11 jam, kita belumlah termasuk dalam kategori mereka yang berjihad. Sungguh saya sedar kelemahan saya terlalu banyak.…
Adakah kau mampu bertemu kebahagian selain daripada Islam? Tidak dan tidak akan ada. Aku bahagia bersama dengan Islam. Aku bahagia di saat aku bertemu akhawatku. Di saat ukhti F bertanyakan khabar kami di program semalam, kami menjawab beramai-ramai – Alhamdulillah! Luar Biasa! Allahu Akbar! Sungguh kami menjadi luar biasa bersama dengan Islam. Lupakan kisah kami. Aku perlu menyambung tinta berkenaan Surah Taubah…
Seterusnya kita lihat Surah Taubah ayat 39. Oklah, kalau kamu tak nak pergi berjihad pun tak pe. Bermakna kamu ini dah redha dunia berbanding akhirat. Tapi adakah cukup setakat itu? Allah kata tak cukup. Kamu ini, kalau kamu tak nak pergi (illa tanfiruu – illa datang dari kalimah in dan la. In – jika La tidak), kalaulah kamu tidak mahu berangkat , yuaazibkum azaban karima. Allah taala terus letakkan azab kat sini. Yuazzibkum azaban karima (disiksa dengan azab siksa yang pedih).
Kalau mengikut kaedah AlQuran, bila Allah taala sebut dalam AlQuran satu suruhan dan kemudian Allah sebut balasan, maknanya benda tu masuk dalam dosa besar. Samaada Allah sebut azab atau neraka atau apa-apa balasan, semua itu termasuk di dalam dosa besar. Apa dia dosa besar dalam ayat ini? Apabila diseru untuk berangkat pada jalan Allah maka dia tak nak pergi tanpa uzur syarie.
Uzur syarie ni apa? Kalau tengok dalam cerita 3 orang sahabat yang tidak pergi berperang, alasan uzur Kaab bin Malik dan kawan-kawan dia tidak boleh diterima sehingga nabi boikot mereka selama 40 hari. Nabi kalau nak ikutkan nak boikot sampai mati kalaulah tidak turun ayat yang memaafkan mereka. Allah taala menerima taubat mereka. Semasa tempoh pemboikotan, umat islam yang lain tidak boleh bercakap, tidak boleh bagi salam pada mereka. Isteri pun tidak boleh duduk dekat, kena berpisah. Itulah hukuman tidak pergi berjihad tanpa uzur yang syarie.
Kaab bukan tak nak pergi. Dia dah siap dah, Cuma teragak-agak, lambat sikit, orang dah berangkat dah. Dia pun fikir. Eh, orang dah pergi dah? Tengok syaitan kan, dia main-mainkan kita. Sama macam kes kita juga. Konon dah terlamat. Lepas tu tengok-tengok bas dah tinggal dah. Sepatutnya bas dah tinggal, kena kejarlah kan. Bas banyak. Tade duit? Duit melambak itu buat apa? Takkan nak simpan nak pergi Paris. Konon dah beli tiket dah janji dengan kawan. Janji dengan Tuhan macam mana? Janji dengan kawan boleh jaga, janji dengan Tuhan tidak boleh nak jaga. Betul tak? Kita ni tak reti-reti bahasa. Tak faham-faham lagi. Kalau kata aku dah melaksanakan tanggungjawab, tanggungjawab apa? Dengan JPA? Dengan Mara? Itu nak tunaikan sangat. Nak jaga amanah sangat. Tapi tak jaga amanah Syahadatul Haq.
Siapa yang bagi duit kat aku? Bukannya JPA. Bukannya MARA. Siapa yang bagi? MARA tu sendiri Tuhan yang bagi. Siapa bagi? Bukannya mesim ATM yang bagi kat kita. Kalau mesin ATM yang kasik, tunggulah mesin ATM. Pasang khemah, tunaikan amanah. MARA tu sendiri Tuhan boleh lingkupkan. Jadi Allah yang bagi rezeki kat kita. Hal-hal ini kita tak nampak. Tunailah amanah tu patut-patut.
Lepas tu kita beri alasan. Mak tak kasik pergi program. Mak tak kasik pergi daurah. Kita ikut apa yang mak suruh. Tuhan tak nak ikut? Itu sayang mak kerana apa itu? Itu macam anak lembu sayang mak lembu. Betul tak eh? Sayang naluri namanya. Bukan sayang faham. Kalau sayang faham, kalau mak tak bagi kita sembahyang, kita tetap sembahyang. (Mak aku baik, benarkan aku pergi program).
Ok, seterusnya…Illa tanfiruu yu’azzibkum azaban karima. Kalau kamu tak nak berangkat,. Allah taala akan azab kamu dengan azab yang pedih, azab yang besar. Tak cukup macam itu lagi, Allah tambah lagi wa yastabdil qauman ghairakum. Maksudnya kamu ini memang orang yang dah tak boleh pakai lagi. Takpelah. Tuhan boleh ganti orang lain. Yastabdil – Dia akan gantikan, qauman qhairakum – kaum yang lain. Maksudnya, kamu tak nak sedar, Allah bagi kat orang lain. Ramai lagi Allah Taala boleh bagi hidayah macam itu je. Kalau dulu orang arab tinggalkan Islam ini, tak nak pegang amanah ini, Allah bagi orang lain. Allah bagilah kepada orang Parsi ke atau orang lain. Kalau kita tengok zaman tamadun Islam, majoriti tamadun Islam ini bukan ditegakkan oleh orang arab pun. Majoriti adalah orang Parsi, orang sebelah Khurasan, orang sebelah Bukhara. Semua ahli-ahli hadis kecuali Nasaie dan Abu Daud, semua orang Parsi sebab orang arab dah tak tahu dah tanggungjawab. Jadi Allah taala boleh ganti kita. Maksudnya, Allah Taala boleh jadikan kita ini langsung tak de guna pun. Boleh tinggalkan Islam macam itu je. Serupa macam orang Spain, orang Andalus. Bila tak nak buat kerje itu, Allah ganti dengan orang lain, Allah ganti dengan golongan murabitun dan jugak almuwahidun. Murabitun datang dari Morocco. Diorang pulak tolong jaga Andalus itu sedangkan orang Andalus sendiri tolong bergaduh, duduk mewah, dan duduk minum air teh dengan lemon.
Wala tadhurruhu shai a. Kamu tidak boleh memberi mudarat sedikit pun kepadaNya. Maknanya kalau kita tak nak pun tak pe, kamu tidak boleh memberi mudarat sedikit pun kepada Allah. Maknanya kita tak tolong Allah, adakah Allah ini akan jadi rendah? Tak jadi pape pun kat Allah. Waallahu Ala Kulli Shai-in Qadir. Dan Allah Maha Berkuasa di atas segala sesuatu…
Aku harus menulis semua ini sebagai kafarah. Moga aku sendiri yang menghadam tulisan ini dengan sepenuh hati. Bicara seorang adik menusuk perasaanku. Jagalah iman. Jangan dibiarkan iman jatuh sesaat. Andai iman mula jatuh, jatuhnya sangat dahsyat! Imanku jatuh dan aku harus memulihkannya semula. Mungkin juga kejatuhan ini dariNya agar aku sedar.
Insan yang menceritakan padaku semua ini adalah insan yang telah mengorbankan seluruh jiwanya pada jalan dakwah. Kata-kata yang lahir dari lidahnya menusuk jiwa. Sejujurnya aku bukan insan yang layak untuk menulis tinta ini. Namun dakwah ini memerlukan generasi pewaris. Aku mahu menjadi pewaris itu meskipun aku tidak sempurna.
Saat aku mendengar semua ini, aku terasa begitu gerun. Aku takut dan bimbang. Bacaan Surah Taubah bermula dari ayat 38 itu sahaja sudah cukup untuk menggentarkan hatiku.
Ingin aku khabarkan tentang kisah yang menjadi asbab turunnya ayat ini. Ayat ini turun semasa peperangan Tabuk. Kebanyakan ayat di dalam Surah Taubah ini turun pada akhir-akhir fasa Madinah. Perang Tabuk ini terjadi pada tahun 9 hijrah. Saat itu adalah musim panas dan juga musim buah. Buah sudah ranum dan sudah hampir masanya untuk gugur. Namun di saat itu, para sahabat perlu menghadapi satu tentera yang paling besar sekali di dalam sejarah di zaman itu iaitu tentera Rom. Para sahabat telah mendengar bahawa tentera Rom telah berkumpul di Tabuk, di satu kawasan di utara Tanah Arab ataupun di utara Arab Saudi sekarang ini. Perang ini adalah cubaan terakhir dari Allah SWT untuk menguji orang mukmin. Di dalam perang ini juga, Allah SWT mahu menapis orang Mukmin. Mengapa? Kerana di kalangan orang Mukmin itu sendiri, ada di kalangan mereka orang-orang yang tidak benar janjinya dengan Allah. Ketundukan mereka tidak sepenuhnya pada Allah.
Sungguh ayat ini juga adalah ayat yang sangat relevan dengan kita yang sedang menyahut seruan ketika kebanyakan manusia tidak begitu ramai di atas dunia ini yang mahu mendengar seruan untuk berjihad.
Jihad bukan ertinya tentera. Jihad dan ketenteraan adalah dua benda yang berbeza. Jihad adalah rasa persediaan dan kesungguhan untuk melaksanakan apa yang Allah Taala perintahkan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk Islam. Jadi apabila diserukan pada peperangan Tabuk ini, ramai di kalangan sahabat walaupun mereka ini adalah hebat dan telah mendapat tarbiah dan sebagainya tapi mereka merasa berat. Kita juga mungkin pernah merasai hal yang sama, merasa berat dengan perjuangan mungkin dalam suasana exam, suasana tiada duit dan sebagainya. Situasi sahabat pula di saat itu adalah musim ketika buah sudah hampir gugur. Sekiranya mereka pergi tiada siapa yang boleh diharapkan untuk mengambil buah tersebut. Cuaca pula adalah terlalu panas. Kau juga maklum bukan bahawa di Arab Saudi cuacanya kadangkala boleh mencecah 40, 45 atau 49 darjah celcius. Perjalanan menuju peperangan ini adalah terlalu jauh. Tempat tuju mereka adalah Tabuk tapi tiada siapa yang pasti lagi. Adakah berjumpa dengan musuh di sana atau di tempat lain. Keadaan-keadaan ini menjadi cubaan. Apabila ada di kalangan sahabat yang memiliki perasaan ini, rasa nak berlambat-lambat, issaqaltum tabataqtum, rasa macam tak cergas, rasa macam nak pergi atau tak nak pergi, di saat itulah ayat ini turun.
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.
Di permulaan ayat ini, Allah menyeru dengan seruan ‘wahai orang-orang yang beriman’. Apa yang perlu kau dan aku lakukan apabila terdengar seruan ini? Kau dan aku perlu menyahutnya dengan semangat. YA! Semua itu kerana keinginan yang menggunung agar Allah memasukkan kita ke dalam golongan orang yang beriman.
Seterusnya Allah menyebut ‘ma lakum’. Kalau mengikut tafsir, ia adalah satu bentuk ‘istifham bittaubih’, suatu bentuk soalan tetapi bernada marah. Ma itu apa. La itu bagi. Kum itu kamu. Di saat Allah berfirman “ma lakum’, Allah sedang bertanya kepada kita dengan nada yang marah – APA DAH JADI DENGAN KAMU INI?! ‘Iza qiila lakum’ – apabila dikatakan kepada kamu ‘infiru fi sabilillah’ –berangkatlah kamu di jalan Allah, kamu issaqalatum ilal ardh. Saqaltum maknanya berat. Ilal Ardhi maksudnya tanah. Issaqaltum ilal Ardhi maknanya kamu merasa berat dengan tanah. Kamu seolah nak melekat macam ada gam di kaki kamu itu sehingga kamu ini tak nak berangkat dan tak nak pergi. Jadi Allah SWT marah kepada kita. Kalau kamu ini beriman kenapa apabila dikatakan infiru fi sabilillah kamu issaqaltum fil ardhi. APA DAH KENA DENGAN KAMU INI? PENYAKIT APA INI?! Aradhitum bilhayatiddunya. Adakah kamu ini nak kehidupan dunia minal akhirah? Suka hidup dunia ini lebih dari akhirat? Fama mata’ul hayatiddunya illa qalil. Tidak adalah kenikmatan dunia ini berbanding dengan akhirat melainkan sangat sedikit.
Jadi kadang-kadang dalam diri kita datang perasaan ini iaitu rasa malas. Duit Allah bagi. Kesihatan Allah bagi. Kita sendiri pun Allah bagi. Allah yang ciptakan kita kan. Allah sedang tanya kat kita, KAMU NAK APA? Kamu ini betul-betul ke nak akhirat? Betul ke nak syahid? Orang yang syahid itu dia tak mati. Orang yang mati je mati. Kalau kamu bukan nak syurga, kamu nak apa lagi? Syahid itu tidak mati pun tapi terus terus masuk syurga. Zero time. JADI APA YANG KAMU TAKUT? Dalam ayat yang lain, Allah nak beli dari kita, diri dan harta dengan diberikan syurga. Allah nak beli dari kita sedangkan barang itu adalah barang dia. Allah nak beli, kita tak nak jual pulak. Allah seolah-olah sedang bertanya pada kita. kamu ini manusia fesyen apa ini? Allah boleh je nak hilangkan duit kita yang kat dalam akaun tu. Pergi tengok-tengok, tiada satu sen pun. MARA kata dah masuk. JPA kata dah masuk tapi tengok-tengok tade. Kita pun pergi report. Entah dapat entah tak. Kalau Allah nak ambil, kejap je. Allah nak matikan kita pun, kejap je. Tengok-tengok keluar dari rumah, kita pun mati. Jadi Allah nak ambil free pun boleh. Tapi dia nak ambil bayar kat kita dengan harga, dengan syurga tapi kita tak nak jugak. Jadi memang BODOH betullah kita ini kan?
Ayat 38 itu adalah ayat Allah marah kepada kita. Dalam ayat ini juga, Allah menyebut bahawa penyakit orang yang tak nak pergi berangkat ini apabila diseru ialah penyakit dia satu sahaja iaitu redha dengan dunia melebihi daripada akhirat. Bukan aku yang kata. Tapi Allah yang kata. Kalau orang yang tak nak pergi tu, tak nak pergi berjihad, tak nak pergi berangkat buat kerja-kerja Islam ini, inilah soalan yang paling layak kita tanya kat dia. Aradhitum bil hayatiddunya. A – adakah, radhitum - kamu redha, bilhayatiddunya dengan kehidupan dunia, minal akhirah - daripada akhirat. Kalau kita kata kat kawan kita macam ini, mesti dia marah. Tapi kalau Allah kata, takkan nak marah jugak? Jadi hafal ayat ini baik-baik. Kalau kita pun rasa tak nak pergi, kita pun tulis kat mana-mana - aradhitum bil hayatiidunya minal akhirah – Afeera! Adakah kamu ini dah redha dengan dunia berbanding dengan akhirat?! Kamu nak dunia lebih dari akhirat ke?! Tampal. Kalau tak faham jugak, tampat kat atas dahi. Di akhirnya, Allah bandingkan kehidupan dunia dengan akhirat bahawa kehidupan ini sangatlah sedikit nak dibandingkan dengan akhirat….
Apabila kegembiraan menghuni hati, diri jadi begitu bimbang. Takut semua itu ujian. Saya minta nasihat dan doa dari seorang sahabat. Meminta padanya agar sahabatnya ini dikurniakan taufiq dan hidayah dariNya. Syukur pada Allah kerana mengurniakan saya sahabat yang baik. Bicaranya membuat saya terharu..
Orang yang mendapat hidayah tidak semestinya selalu akan menangis. Ada juga yang langsung jadi periang. Kan bagus macam itu. Jadi penawar untuk orang lain. Penawar itu pula boleh jadi macam-macam. Cherish the condition u r right now. Mana kita tahu lepas ini kita akan jadi orang yang paling penyedih dalam dunia pula. Masa itu semua orang yang pernah kita jadi penawarnya akan jadi penawar kita pula. Jangan pernah lupa untuk selalu bersangka baik dengan Allah. Kan keadaan seperti itu dengan izinNya juga, jadi hikmahNya pasti.
Rindu pada sahabat, akhawat dan biah yang baik. Saya bimbang saya semakin hanyut sebenarnya.
--------------------------------------------
Apabila membaca komen anonymous berkenaan entri watan, saya rasa saya gagal memahamkan manusia lain segala yang saya fahami. Mungkin juga saya silap kerana menggunakan ‘budak Kelantan’ sebagai contoh. Bukan contoh yang penting. Saya hanya mengharapkan kamu dapat memahami makna watan dengan baik.
Antara komen anonymous: Emmm .. tapi tak pernah lagi saya dengar orang Kelantan mengaku Johor dan Kedah itu tanah air, sama sekali tidak pernah !
Di mana anda mendengar nya ?
Huhu..Saya berikan contoh watan itu seperti Spain, Irian Jaya dan lain-lain lagi. Kalau negara-negara itu sahaja sudah menjadi watan, Johor, Kedah dan lainnya lebih-lebih lagi. Kadang saya merasakan saya gagal dalam menulis. Gagal memahamkan manusia lain. Saya perlu sentiasa mengingati bahawa urusan hidayah adalah milikNya.
Entri kak Zakiah berkenaan The Law of the Seed sangat best. Allah faham permasalahan kita. Lepas baca entri itu, saya tetap mahu terus menulis. Tidak kisahlah orang faham atau tidak. Saya akan gagal berkali-kali dalam penulisan dan kehidupan saya. Semua itu normal sahaja. Pentingnya saya bangkit kembali.
Bayangkan bahawa bersama kita ada seorang kawan. Dan satu hari dia meminjamkan kita keretanya. Kita pun dengan rasa riang menggunakan kereta tersebut. Setelah beberapa lama kawan kita ini datang semula. Katanya dia mahu membeli kereta tersebut dengan harga 1 juta. Kalau nak diikutkan, dia boleh je nak ambil kereta itu sebab kereta itu milik dia tetapi dia nak beli dan itu pun dengan harga yang tidak pernah kita bayangkan pun.
Itulah analogi ayat Quran ini..
Allah SWT telah berfirman dalam Surat at Taubah, ayat 111:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”.
Diri, harta, kesihatan, keluarga dan semua yang ada pada kita adalah milik Allah. Kalau Dia nak cabut benda-benda itu dari kita, bila-bila masa pun Dia mampu melakukannya. Tapi apa yang Allah katakan? Dia nak beli semua itu. Dengan apa? Dengan syurga yang terlalu mahal.
Hebat bukan kasihNya pada kita? Sebak rasanya apabila memahami ayat ini…
--------------------------
Semasa berada di zaman jahiliah dulu, saya pernah meminati kumpulan Mirwana. Apabila bertambah kefahaman Islam, saya sudah meninggalkan semua itu. Cuma teringat lagu Khabar Cinta tentang syurga saat menulis entri ini…
Tak pernah terlihat pandangan mata Tak pernah terdengar bisikannya Tak terlintas di hati Anugerah Ilahi
Pada saya peperiksaan adalah satu cara untuk menilai darjah ‘kehipokritan’ kita dengan Allah. Punyalah takut dengan pemeriksa sampaikan muka pun pucat, baca buku gila-gila, tidak tidur dan macam-macam lagi perkara tidak masuk akal yang kita lakukan. Pemeriksa itu pun Allah yang cipta. Pernah tak takut dengan Allah sampai tidak tidur sebab fikir dosa yang bertimbun? Pernah tak takut dengan Allah sampai baca Quran gila-gila? Sahabat nabi sampai pengsan-pengsan meskipun hanya baca Fatihah. Pernah tak muka kita pucat macam sahabat nabi sebab takutkan Allah? Ya Rabb, ampunkan dosa kami ini…
Exam tadi? Alhamdulillah. Saya dah buat yang terbaik. Allah pastinya mentakdirkan yang terbaik. Ada 4 orang dalam kumpulan saya. Saya calon yang pertama. 3 dari kami adalah Muslim dan seorang lagi bukan Muslim. Seandainya saya menjadi kawan yang bukan Muslim itu, pastinya saya tertarik dengan keindahan Islam. Sungguh keindahan Islam itu terlihat apabila kami berhenti untuk solat Asar dan Maghrib meskipun dalam suasana peperiksaan. Apapun, hidayah milik Allah. Moga Allah mentakdirkan yang terbaik buatnya.
Ada sesuatu yang menyentuh hati saya sepanjang peperiksaan tadi iaitu semasa kami berhenti untuk solat Maghrib. Pemeriksa saya yang menjadi imam. Dia merupakan seorang pakar neonatalogi dan juga pejuang Islam yang hebat. Dia tidak membaca ayat AlQuran tersebut dengan berlagu tapi sentuhannya seakan begitu bermakna di hati. Ayat yang biasa didengar tetapi menjadi begitu bermakna saat itu. Surah Ali Imran ayat 26-27…
[26] Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan.Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[27] Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.
Ayat ini serasanya begitu signifikan dengan suasana peperiksaan dan terlalu bermakna buat mereka yang menyelami kemanisan nikmat iman dan Islam. Terasa begitu sebak mendengar ayat ini dan ia menjadi begitu bermakna apabila dilantunkan oleh insan yang berjuang di jalanNya..
Ada sesetengah manusia, bicaranya meskipun sepatah sudah begitu bermakna. Ada yang menulis sebaris kata tapi menyentak jiwa. Ada yang membaca ayatNya tanpa lagu tapi sudah cukup untuk menusuk jiwa. Ya Rabb, aku mahu menjadi seperti itu..
Dalam kesibukan mahu berdepan dengan peperiksaan, lagi kerap saya menulis. Mungkin juga mahu melupakan tekanan yang ada.
Bersemangat rasanya apabila Allah beri kefahaman mengenai usul 20 yang ditulis oleh Assyahid Imam Hassan Al Banna di dalam rukun AlFahmu. Saya telah berkenalan dengan usul 20 ini beberapa kali. Cuma kali ketiga berkenalan, barulah saya diberi kefahaman yang sebenarnya. Pencarian mengenai usul 20 ini juga punya cerita yang panjang. Saya bukan mahu bercerita tentang itu sebenarnya.
Saya baru memahami perbezaan di antara daulah (negara) dan watan (tanah air). Memahami makna watan, membuatkan saya rasa bersemangat. Rupa-rupanya watan (tanah air) yang saya fahami selama ini ternyata jauh dari sasaran.
Saya berikan contoh agar kamu memahaminya. Contohnya, di antara Tumpat dengan Narathiwat adalah terlalu dekat, bukan? Tapi tidak pernah jumpa pun mana-mana budak Kelantan yang akan cakap Narathiwat itu adalah watan (tanah air) mereka. Tetapi mereka akan mengaku bahawa Kedah dan Johor misalnya, yang terlalu jauh dengan tempat mereka sebagai tanah air mereka. Itulah antara contoh semangat nasionalis yang dipupuk penjajah di dalam minda saya dan lainnya.
Watan (tanah air) yang sebenarnya adalah semua tanah yang di dalamnya terdapat manusia yang mengucap ‘lailahaillallah’ dan semua tanah yang pernah berada di bawah pemerintahan Islam. Bahasa mudahnya Spain, Morocco, Irian Jaya, Palestin dan semua negara yang dulunya pernah berada di bawah pemerintahan Islam adalah watan (tanah air) kita.
Zaman ini, kita punya watan (tanah air), tetapi kita tiada daulah (negara) Islam. Tiada mana-mana negara di muka bumi ini yang meletakkan Allah dan RasulNya di tempat yang tertinggi.
Memahami makna watan membuatkan saya memahami perjuangan Salahuddin AlAyyubi. Roh perjuangannya ditiup oleh Sheikh Shamsudin. Sheikh Shamsudin memahamkan Salahuddin bahawa Palestin juga adalah watannya. Itulah sebabnya meskipun Salahuddin adalah seorang Kurdish tetapi dia sanggup berjuang demi Palestin.
Assyahid Abdullah Azzam juga memahami makna watan ini dengan sebenarnya. Meskipun dilahirkan di Palestin, dia akhirnya menyertai jihad di bumi Afghanistan kerana memahami bahawa Afghanistan adalah watannya juga.
Memahami makna watan membuatkan saya melihat filem Tjoet Njak Dhien dengan penuh semangat. Sejarah Acheh bukan hanya sejarah Acheh. Sejarah Acheh adalah sejarah saya juga kerana Acheh adalah watan (tanah air) saya juga. Mulanya saya tertanya-tanya juga mengapa filem ini tidak sepopular filem lainnya. Rupanya usia filem ini menjangkau usia saya. Huhu..
Semangat Tjoet Njak Dhien seakan mengalir dalam diri saya setelah memahami makna watan dengan sebenarnya. Cerita ini meniup api semangat dan jihad. Saya bencikan kafir-kafir dalam cerita ini. Filem ini memahamkan saya dengan lebih mendalam kepada Snouck Hurgronje dan konconya. Di sebalik kepahitan sejarah, saya temukan juga mutiara.
Saya sertakan bahagian pertama filem Tjoet Njak Dhien di sini. Bahagian seterusnya boleh ditonton di Youtube.
Pukul 4 pagi tadi saya tahu mengenai insan yang akan menjadi pemeriksa saya bagi exam OSCE untuk final posting pediatric ini. Dan sejak 4 pagi itu, saya berasa bimbang dan takut yang amat. Pemeriksa saya seorang Dato’ dan merupakan seorang pakar neonatalogi yang hebat.
Saya mengadu padaNya hakikat kelemahan dan kejahilan saya. Saya rasakan diri saya hanya seperti seekor nyamuk yang serba lemah dan tidak berdaya. Bagaimana saya mahu berhadapan dengan manusia yang begitu hebat sepertinya? Saya rasa benar-benar tidak berdaya. Tiada sesiapa yang mengetahui sedalamnya ketakutan ini melainkan Dia.
Allah menunjukkan jalanNya. Seorang insan mahu menjadikan saya ‘kawan’nya di laman maya Youtube. Salah satu video favouritenya adalah video di bawah ini. Mencurah-curah air mata saya melihat video ini. Video yang menceritakan kehebatan Allah sebagai Pencipta yang agung yang mencipta nyamuk. Masya Allah, terlalu hebat.
Saya rasakan Allah begitu dekat. Allah mengetahui segalanya tentang seekor nyamuk yang begitu halus. Pastinya Allah mengetahui ketakutan saya. Allah mengetahui kelemahan dan dosa yang saya lakukan. Sungguh Dia Maha Mendengar dan terlalu hampir dengan hambaNya…
Manusia tidak pernah mampu menenangkan saya..Hanya Dia yang mampu meredakan gejolak hati ini…
Buatlah segala kebaikan pada si ibu dan kamu tidak pernah mampu membalas hatta setitis susu yang diberikan oleh si ibu. Kasih si ibu sahaja tidak mampu dibalas insan apatah lagi kasihNya yang tidak pernah mampu untuk diceritakan…
A pernah bertanyakan B, “B, bagaimana caranya untuk menyedarkan manusia lain mengenai sekularisme?” B pun berfikir. Tidak salah padanya apabila A bertanyakan soalan itu. Bukan mudah untuk menyedarkan manusia lain mengenai fahaman sekularisme yang telah mengakar begitu lama dalam minda benak umat Islam.
B pun menjawabnya. B bercerita tentang sejarah. A rasa terpana. Macam pernah dengar sahaja kisah sejarah itu semasa di sekolah menengah dahulu. Betullah, memang pernah belajar. Tapi A tidak pernah sedar itu titik mula sekularisme.
Perjanjian Pangkor itu contoh mudah permulaan sekularisme. A ingat-ingat lupa mengenai perjanjian itu. Perjanjian di antara Sir Andrew Clarke dengan Raja Muda Abdullah.
Syarat perjanjian menurut Wikipedia, sumber paling dekat untuk mendapat maklumat:
“Raja Muda Ibrahim diangkat menjadi Sultan Perak, Bendahara Ismail bekas Sultan itu dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda; Sultan Perak hendaklah menyediakan tempat Residen itu, nasihat British Residen hendaklah diikuti kecuali pada perkara-perkara yang mengenai agama dan adat orang-orang Melayu; fasal menjaga dan memungut segala cukai dan hasil negeri, demikian pula aturan pemerintahan Am hendaklah ditetapkan dengan nasihat British Residen.”
B pun berpesan, Nanti rajin-rajin, bukalah buku teks adik-adik kat rumah. Ada banyak perjanjian macam gini kan? Sultan ambil urusan agama dan adat istiadat Melayu manakala British uruskan hal lain. Sultan pun mangkuk jugak. Eh, tak baik cakap macam itu. Betul ke tidak baik? Entahlah..
Sultan pun tidak faham sekularisme. Sultan tidak tahu peranan seorang pemimpin adalah dalam semua perkara. Islam bukan hanya baca Quran sahaja. Islam itu macam apa yang Assyahid Imam Hassan Al Banna katakan dalam usul pertama rukun AlFahmu : Islam itu adalah negara, tanah air dan bla…bla..bla.. Islam itu syumul, Tuanku…
B pun bertanya pada A. “A, kau tahu tak bila perjanjian ini ditandatangani?”. A pun garu kepala. Bila ye? 20 Januari 1874. Cuba kau kira dah berapa tahun perjanjian ini? 2008 – 1874 = 134
Dah 134 tahun. Kesan perjanjian ini dah pun 134 tahun. Sir Andrew Clarke itu dah menanam fahaman ini sejak 134 tahun lalu. Dia pun dah mampus. Tengah kena siksa dalam kubur sekarang ini. Dia pun tidak tahu punyalah berkesan perjanjian bodoh yang dia reka itu.
Apa yang perlu kau lakukan, A? Kau dan aku perlu bersama-sama terangkan kat orang lain pasal Islam yang syumul. Janganlah kau harap sangat perubahan yang drastik akan berlaku. Sabar. Jalan dakwah ini panjang. Sir Andrew Clarke tu tanam kefahaman selama 134 tahun. Dia tidak sedar pun akan kesan tindakannya itu. Eh, mungkin jugak dia sedar. Memang dia dan kafir-kafir tu dah lama merancang nak memisahkan umat Islam dari ajaran sebenar. Kau tahu kan?
Teruskan usaha dakwah. Mungkin esok bila saatnya kau dan aku sudah berada di dalam kubur, Islam sudah gemilang. Usaha hari ini adalah untuk melihat hari esok yang gemilang. Yakin dengan janji Allah dan terus bekerja…
“Baguslah Astro ini. Dah ada saluran yang islami – Astro Oasis. Rancangannya pun best”. Itulah respons saya semasa berkenalan dengan Astro Oasis. Saya sukakan zikir munajatnya dan banyak lagi rancangan lainnya.
Akhirnya Allah menunjukkan saya jalanNya. Dia menyedarkan saya bahawa saya tersilap dalam percaturan dan pemikiran saya. Allah ‘mencuci’ pemikiran saya yang bersarang dengan sekularisme melalui hambaNya yang lain.
Sekular? Adakah selama ini saya tidak mengetahui hakikatnya? Saya tahu definisinya tapi bukan makna di sebaliknya. Mudah sahaja definisinya. Mengikut Kamus Dewan, sekular itu membawa maksud berkaitan dengan keduniaan; bersifat duniawi dan tidak berkaitan dengan keagamaan. Bahasa mudahnya, sekular itu mengasingkan agama dengan perkara lainnya.
Bukan susah hendak tahu mengenai definisi. Tapi sukar untuk menilainya. Entri “Segalanya bercampur..” yang saya tulis sebelum ini adalah berkenaan dengan sekularisme. Segalanya bercampur sehinggakan saya sendiri tidak sedar bahawa saya mengiktiraf sekularisme dalam kehidupan saya.
Bagaimana saya mengiktiraf sekularisme?
Saluran Astro Oasis itu misalnya. Dalam ratusan saluran yang ada, tiba-tiba terselit satu saluran Islami. Saluran yang lain itu bukan Islam ke? Boleh ke ada satu Islam, satu bukan Islam? Tidak boleh… Apabila ada pemisahan seperti itu, itulah sekular.
Surat khabar misalnya. Ada berita dalam negara, ada berita sukan, ada berita luar negara dan tiba-tiba ada satu kolum khas untuk ruangan agama. Itulah sekular. Apabila kamu melihat ada suatu kolum khas untuk agama, itulah sekular. Berita dalam negara, luar negara, dan berita sukan tu bukan Islam ke? Islam bukan seperti biskut chipsmore. Kejap ada. Kejap tak de. Itu bukan Islam namanya. Islam itu 24 jam. Islam itu meliputi semua.
Contoh lain lagi? Macam dengar radio. Ada lagu yang bukan-bukan. Tiba-tiba ada rentak muzik padang pasir. Deejay pun berkata - Ya, telah sampai masanya untuk membicarakan tentang agama. Huhu… Itulah sekular. Islam kejap-kejap.
Televisyen pun sama. Ada Forum Perdana. Ada AlKuliyyah. Tapi dalam masa yang sama ada rancangan hiburan. Huhu.. Islam kejap-kejap.
Itu baru fahaman yang diserap dalam pemikiran kita. Belum lagi tentang perlakuan. Kejap baca quran. Kejap lagi tengok rancangan tidak berfaedah di televisyen. Huhu..sekularnya…
Banyak lagi contohnya… Bila saya rajin nanti, saya tambah entri lagi… Insya Allah, saya akan menulis mengenai puncanya nanti.. Islam itu syumul, meliputi seluruh aspek kehidupan.
Bertemu dengan X sungguh menyakitkan kepala saya. Katanya, saya tidak mengikut AlQuran dan Sunnah. Dia akan bertanya saya, di manakah Allah? Soalan yang tidak sepatutnya disoal. Paling menyesakkan jiwa adalah persoalan bidaah. Segalanya bidaah. Paling tidak tahan apabila dia mengeluarkan buku-buku yang mengecam Ikhwanul Muslimin (IM) . Katanya saya berfahaman Ikhwan. Tajuk bukunya seperti – IM: Penyebar Bidaah Terbesar. Huhu..Ada bidaah yang lebih besar selain tidak tertegaknya khalifah Islamiah di atas muka bumi ini? Saya paling tidak suka membincangkan isu ini. Saya masih ingat lagi soalan seorang teman, “Bidaah itu apa?” Dalam keadaan realiti masyarakat yang masih belum memahami Islam, persoalan bidaah tidak sewajarnya menjadi fokus.
Katanya saya tidak mengikut Sunnah. Saya tanyakan padanya. Rasulullah SAW tidak pernah menaiki kereta, tidak pernah menggunakan komputer. Adakah saya melakukan bidaah apabila saya menaiki kereta dan menggunakan computer?
Dia menjawab kembali dengan mengeluarkan hadis. Katanya, bidaah yang dimaksudkan dalam hadis adalah bidaah dalam beragama. Huhu..naik kereta, menggunakan computer, menggunakan stetoskop, merawat pesakit, belajar dan lainnya bukan urusan agama ke? Huhu…sekularnya… Saya benar-benar pening melayan golongan ini.
Saya mahu membincangkan topik yang berat. Tetapi masanya mungkin kurang sesuai dengan suasana raya ini. Selamat kembali kepada fitrah buat pembaca blog ini yang mana majoritinya adalah ‘lurker’ belaka. Saya seakan terkejut apabila mengetahui bahawa ada kawan sekuliah yang membaca blog ini semenjak saya berada di semester 1 dahulu dan mentertawakannya. Tidak jadi masalah bagi saya mengenai tingkahnya itu. Saya mohon maaf juga seandainya ada tersalah suku kata, tertambah ejaan, terkurang tanda bacaan, atau terlebih bisa sepanjang dua tahun saya menulis blog ini.
Sedih bukan mahu meninggalkan Ramadhan? Saya tidak berapa sihat semasa Ramadhan. Sememangnya sedih sekali tapi Ramadhan ini juga menemukan saya dengan mutiara-mutiara berharga. Dalam sibuk melayan kesedihan, Allah menegur saya saat menjenguk blog seorang teman. Kata-kata Dr Yusuf Qardhawi di dalam salah satu khutbah raya menyentak hati saya. – Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan sudah pergi dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka Dia sentiasa hidup, tidak pernah mati.
Segala amalan dan ibadah yang kita lakukan semasa Ramadhan tidak sewajarnya berhenti begitu sahaja kerana kita bukan penyembah Ramadhan, tetapi kita adalah insan yang menyembah Allah.
Allah kurniakan kita hati, mata dan juga telinga. Apa fungsinya? Allah berfirman di dalam Surah AlA’raf ayat 179 - Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
Sedih bukan apabila kita menggunakan hati untuk melayan benda yang bukan-bukan? Kita gunakan mata untuk menonton televisyen dan kita menggunakan telinga untuk mendengar lagu yang bukan-bukan. Kita menyimpan jutaan perkara tidak berfaedah di dalam folder computer. Apa yang Allah katakan tentang kita? Seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Saat kita menonton hal-hal yang tidak berfaedah, bayangkan diri kita seperti binatang ternak. Moga dengan memikirkan dan membayangkan hakikat diri yang seperti binatang ternak, kita sedar akan kesilapan yang kita lakukan.
Moga lebaran ini tidak bercampur dengan hal-hal maksiat. Ya Allah, jangan jadikan kami seperti binatang ternak atau mungkin lebih sesat lagi…
Eid Mubarak! Saya mohon maaf pada semua atas khilaf yang pernah saya lakukan sama ada secara sengaja, sedar, atau pun tidak…
(Tulisan yang terhasil adalah paling hampir dengan diri si penulis itu sendiri..Saya menulis adalah untuk mengingatkan diri saya terlebih dahulu)