Monday, October 27, 2008

Luar biasa...

Justify Full“Nurse, awak ada buat apa-apa ke kat dia sampai dia menangis begini?” tanya doktor MO kepada jururawat apabila melihat saya menangis ter’over’ sedikit malam itu. Entahlah, selama ini pun saya menangis tapi masih dapat menyembunyikan tangisan. Tapi tidak malam itu apabila melihat seorang akak melahirkan anaknya dalam situasi yang memang terlalu sukar. Suaminya sudah mula marah-marah. Siap memukul kaki isteri. “Nak sangat bersalin! Lepas ni tak payah bersalin!”, marah si suami.

Jururawat menasihati si suami. “Kami tidak cakap apa-apa pun encik. Jangan cakap macam ini”. Jururawat kemudiannya bertanyakan si isteri, “Dah minta maaf kat suami?” Kata si isteri, “Sudah”. Kesukaran mengandung tersebut mungkin disebabkan si isteri meminum air selusuh sebelum tiba masanya. Dan anak tersebut adalah anak yang pertama, si ibu mungkin tidak tahu teknik meneran yang betul. Rentak jantung bayi pula sudah mula perlahan. Semua yang ada di sana memberi tekanan kepada ibu tersebut. Sudah hampir sejam meneran dalam keadaan yang terlalu sukar dan dahsyat, akhirnya bayi keluar juga. Si suami yang mulanya marah kerana tidak sabar melihat isterinya yang tidak reti meneran terus memeluk isteri apabila melihat kebesaran Allah. Dan apabila si suami keluar dari bilik bersalin, dia menangis teresak-esak.

Memang malam tersebut saya menyaksikan satu proses kelahiran yang sangat sukar. Banyak yang diujarkan oleh jururawat kepada ibu muda itu.

Lepas ini nak datang bersalin, minta maaf kat mak ayah dulu. Awak ini degil sangat ini”.

Semasa menjahit kawasan yang terkoyak, si ibu asyik menyebut “Sakit! Sakit!” Kata jururawat, “Janganlah asyik cakap sakit, cubalah berselawat sikit masa sakit itu. Korang ini semua asyik ingat sakit. Cuba ingat Tuhan”.

Kata si ibu dia berselawat di dalam hati. Balas jururawat,“Inilah orang Melayu, semuanya dalam hati”. Saya agak pelik juga melihat ayah-ayah yang mengazankan anak-anak di wad bersalin. Semuanya mengazankan di dalam hati. Pelik benar..

Kenapa saya menangis? Setiap hari saya meminta Allah agar jangan menjadikan hari-hari saya adalah hari yang biasa. Saya mahu hari-hari yang saya lalui sentiasa adalah hari yang luar biasa. Saya ingin perasaan dramatis, berkobar-kobar, bercampur baur dan lainnya sentiasa saya rasai. Saya tidak mahu menjadi doktor yang terbiasa melihat semuanya tanpa membawa makna dalam kehidupan mereka.

Kadangkala kita melihat kejadian siang dan malam pun tanpa perasaan. Sedangkan semua itu adalah sangat luar biasa. Buat adik dari Indonesia yang bertanya di ruangan komen, satu tips untuk ikhlas belajar medic adalah sentiasa berdoa dan merasakan hari-hari yang adik lalui adalah sangat luar biasa. Keberadaan adik di dalam dunia perubatan adalah ketetapanNya. Tidak sia-sia. Akan tiba saatnya adik memahami semua ini. Insya Allah, akak akan cuba bercerita pengalaman melihat ibu melahirkan anak tanpa tempurung kepala dan juga pengalaman lainnya. Percayalah, tiada yang sia-sia dalam kehidupan ini. Setiap hari adalah luar biasa….Sangat luar biasa…

Di saat Allah mentakdirkan akak ke hospital semalam dan kelmarin sehingga hampir pukul 4 pagi sungguh menyedarkan akak bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan kehidupan akak. Hatta pagi ini akak menghadiri usrah bersama keluarga yang dikenali semasa di matrikulasi dulu dalam keadaan fizikal yang penat, tapi Allah menemukan akak dengan mutiara-mutiara ilmu dan hikmah yang tidak mampu akak tafsirkan dengan kata-kata.

Seorang sahabat pernah bertanyakan akak soalan, “Benda apa yang Allah ciptakan paling cantik dalam setiap kejadian?” Akak katakan manusia. Katanya, jawapan akak salah. Jawapannya adalah HIKMAH kerana dalam setiap kejadian dan keadaan ada HIKMAHnya yang tersendiri.

Akak kongsikan sedikit lirik lagu Alhamdulillah. Akak tidak memandang lagu ini dari aspek personaliti penyanyinya cuma yang pastinya lagu ini punya makna yang mendalam.

“Aku yang memandang di dalam lubuk hati,mencari-cari zat rahsia yang katanya tersembunyi
Aku yang melihat alam meliputi wujud menyertai lalu ku pindahkan alam ke dalam mata hati
Aku hakiki,aku mengerti segala yang terjadi di langit dan di bumi
Gunanya tiada fantasi, pelik dan benar,qada’ dan qadar kau berilah ku kekuatan”.


Alhamdulillah - Too Phat Feat. Dian Sastro,Yasin & Ahli Fiqir

No comments: