Friday, October 24, 2008

Mengumpat...

Ini luahan hati saya. Saya menulisnya dua hari lalu sehingga terlambat ke hospital. Tidak sedar masa berlalu saat itu kerana saya sungguh tertekan saat itu. Saya tidak bercadang untuk memaparkannya di blog ini. Tapi soalan seorang sahabat di Jordan membuatkan saya ‘meniru menampalkan’ tulisan ini. Tulisan ini penuh dengan kesalahan saya. Tapi saya akan mengupas satu persatu kesilapan tersebut di akhir catatan ini sebagai pengajaran.

--------------------------------

Zaman jahiliahnya pahit. Bertemu dengan tarbiah membuatkan dia berubah sedikit demi sedikit. Dia masih jahat. Tapi tidak seteruk dulu. Ketika berada di zaman jahiliah, dia pernah membenci lelaki. Hatta dia tidak suka bersalam dengan ayahnya sendiri. Manusia lain menganggap bahawa dia ekstrim dalam beragama. Tapi tidak. Dia punya masalah psikologi barangkali suatu ketika dahulu sehinggakan melakukan semua itu.

Dunia tarbiah memahamkan dirinya bahawa dia perlu menganggap lelaki-lelaki di luar sana sebagai saudaranya sendiri. Dia mula mengubah pandangannya pada lelaki. Cuba menerima kehadiran lelaki. Mula bersikap baik dengan mereka di dalam hal-hal yang dibolehkan. Namun kini dia menghadapi masalah apabila terpaksa berhadapan dengan seorang lelaki tidak beretika. Sifat jahiliahnya yang dahulu keluar satu persatu. Mulutnya menjadi begitu berlaser. Tidak mampu dibendung lagi. Dia tidak ingin membenci posting Obstetrik dan Ginekologi yang sedang dilaluinya hanya kerana seorang lelaki. Namun entahlah… Dia membenci posting ini apabila terpaksa menjadi ‘chaperon’ untuk lelaki tersebut. Dia mula membenci hatta namanya sendiri apabila sebutan nama tersebut keluar dari mulut lelaki tersebut. Mengapa? Kerana lelaki tersebut tidak pernah menghormati wanita dan juga tidak menghormati diri dan pegangannya.

Dia tidak kisah andai lelaki tersebut tidak memahami agama. Semua itu boleh diajar. Tapi amat sukar apabila lelaki tersebut tidak langsung mempunyai ‘common sense’ di dalam hidupnya. Kadangkala Allah tidak perlu menghantar beratus manusia sebagai ujian, tetapi cukuplah seorang manusia untuk menguji dirinya dengan sebenarnya.

Di saat lelaki tersebut mentertawakan wanita yang sedang sakit bersalin, dia seperti mahu memberikan tamparan sahaja agar lelaki tersebut sedar. Di masa yang lain dia bertanyakan jururawat, “Ini anak nombor dua kan? Kenapa nampak macam bermasalah sangat?” Soalan yang diajukan dengan nada sinis itu benar-benar menyakitkan hatinya. Dia sudah mencebikkan wajah dan menggelengkan kepada. Hendak sahaja dia marah waktu itu, “Eh kau ingat sakit bersalin itu sekali je ke?” Tapi syukur jururawat yang ada juga menjawab soalannya, “Lain tu, awak ingat tak sakit lagi ke?”

Soalan lelaki tersebut padanya juga menyakitkan hati. “Eh kau tidak nangis lagi ke tengok proses kelahiran ini?” Waktu itu dia nak sahaja menjawab,“Aku bukan binatang untuk tengok semua ini tanpa perasaan! Binatang pun entah-entah ada perasaan”.

Sebagai seorang lelaki Muslim, adakah selayaknya dia meminta dirinya untuk menghantar lelaki bukan Muslim selepas waktu oncall di saat jam menunjukkan hampir 1 pagi?

Dia tidak dapat bertahan dengan lelaki ini selama dua hari. Bagaimana dia akan menghabiskan masa selama dua bulan di dalam posting ini? Sewajarnya seorang lelaki yang baik, bukan hanya perlu menjaga hati pesakit, tetapi juga menjaga hati kawan perempuannya yang lain.

Dia tidak membenci semua lelaki. Pensyarahnya juga lelaki tetapi terlalu berdedikasi. Ada kawan lelakinya juga yang lebih mengambil berat keberadaan pesakit berbanding dirinya. Masih ramai lagi lelaki baik di dalam kehidupan ini.

Amat sukar apabila manusia tidak beragama. Lebih sukar lagi apabila tiada langsung nilai dalam kehidupan mereka.. Sudahlah syariatullah tidak dijaga, hal-hal sunnatullah pula hancur…

-------------------------------

Ok, sekarang saya kupas satu persatu kesalahan saya.

1) Mengumpat

Kerana terlalu tertekan, saya telah mengumpat lelaki ini. Alasan tertekan merupakan alasan yang tidak masuk akal untuk mengumpat. Selepas ini, saya perlu membayangkan bahawa saya memakan daging lelaki tersebut setiap kali saya mengumpatnya seperti yang dipaparkan di dalam video ini.



2) Allah Penciptanya
Saya tidak sepatutnya mengumpat lelaki ini di hadapan manusia. Manusia tidak mampu melakukan apa-apa. Allah yang menciptakan lelaki ini. Mengapa saya tidak mengumpat sahaja lelaki ini di hadapan Allah? Saya tidak sepatutnya mencari manusia lain untuk meluahkan rasa. Allah sepatutnya menjadi tempat luahan hati saya yang aula.

3) IM
Saya gagal membentuk diri saya sendiri sebagai individu muslim (IM) kerana mengumpat. Kata ustaz, kalau gagal dalam pembentukan menjadi individu muslim (buat kerja lagha macam tengok cerita korea, mengumpat dan lain-lain), adakah saya mampu membentuk baitul muslim? Mustahil. Ada yang kata bahawa manusia tidak pernah sempurna. Takkan nak tunggu sempurna sebelum melangkah ke alam baitul muslim? Tapi ustaz kata nak capai ustaziatul alam (islam menjadi world order) adalah satu kerja yang serius. Kalau dah gagal dalam pembentukan individu muslim, rasa-rasanya mampu ke nak capai ustaziatul alam? Ustaziatul alam menjadi mimpi yang tidak berguna sahaja bagi manusia-manusia yang gagal dalam pembentukan individu muslim. Jauh sebenarnya perjalanan nak membentuk ustaziatul alam. Gagal di anak tangga pertama sungguh memalukan.



Kalau gagal dalam exam, kita pasti menangis. Pernah tak nangis sebab gagal membentuk diri menjadi individu muslim? Saya nak nangis…Gagal membentuk individu muslim lebih teruk dari gagal dalam peperiksaan….

4) Housemate
Housemate saya ceritakan tentang adab berbicara yang dia temui di website iluvislam. Allah tegur saya melalui manusia lain. Boleh membaca artikel tersebut di sini. Terasa gilaaa…Saya sepatutnya diam. Banyakkan istighfar setiap kali saya bertemu dengan lelaki ini.

5) Bahan Tarbiah
Artikel di link ini juga membuatkan saya terasa gila nak mati.

“Dakwah itu dijasadkan dalam diri da’ie. Jangan sampai kebencian manusia kepada da’ie membawa kebencian manusia kepada dakwah ini.”

Manusia pasti rasa tak tenang kalau ada orang sedang mengumpat. Pasti manusia lain tak tenang dengan saya. Saya gagal jadi daie. Nak nangissss......

6) Husna
Husna merupakan sahabat saya. Dia berasal dari Indonesia. Katanya, dia rasa sungguh bersemangat. (Semua orang bersemangat, saya je yang asyik down. Huhu..sedihnya.. )Saya tanyakan Husna, apa yang membuatnya rasa bersemangat. Jawapannya juga membuatkan saya terasa teguran Allah..

”Hidup untuk penilaian Allah. Setiap hari adalah hari untuk mengukir kenangan di akhirat”.

Masya Allah. Hidup untuk penilaian Allah. Kalaulah saya mampu melihat buku report amalan saya sekarang ini, alangkah memalukan. Penuh dengan noda dan titik hitam. Malunya...

7) Buku

Saya baca buku Jejak Sang Junjungan tulisan Amru Khalid.

”Lihatlah dalam perang Uhud! Ketika beliau mengalami luka setelah salah seorang kaum musyrikin memukul kepala Nabi SAW sehingga putus dua gigi beliau dan mengalirlah darah dari wajah beliau yang mulia, dan ketika itu para sahabat memintanya mendoakan kehancuran mereka, apa jawab beliau? Beliau menjawab dengan jawapan orang yang penuh dengan kasih sayang:

”Sesungguhnya Allah tidak mengutusku sebagai tukang tuduh dan tukang laknat. Akan tetapi Dia mengutusku sebagai daie dan membawa rahmat. Ya Allah, berilah petunjuk kaumku, kerana mereka tidak mengetahui”

Huhu...Menangis baca semua ini. Rasulullah SAW sampai patah gigi tapi masih boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu lagi. Allah tidak uji saya sampai macam itu pun tapi saya dah gagal.....

8) Lari
Saya memang terasa nak lari sangat dari semua manusia. Nak hidup sorang-sorang jap. Tapi apabila membaca hadis ini, rasa bermotivasi kembali.

“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”.

Seolah-olah hadis ini berkata pada saya bahawa memang perit berhadapan dengan manusia dan sebaiknya saya bersabar. Saya tahu kalimah sabar mudah dituturkan tetapi sukar dilaksanakan. Saya perlu memohon padaNya untuk mengurniakan saya kesabaran…

Saya berharap bahawa saya telah membantu menjawab persoalan sahabat saya dengan menulis entri ini…Segala yang baik datang dariNya, dan segala kelemahan itu datang dari saya..

6 comments:

Mama Hazim said...

saya suka sekali membaca tulisan kamu.saya pasti banyak juga hati-hati lain tersentuh dengan tulisan kamu di sini. teruskan menulis.. semoga Allah memberimu petunjuk dalam setiap tingkahmu.

Sungguh tersentu dengan ”Hidup untuk penilaian Allah. Setiap hari adalah hari untuk mengukir kenangan di akhirat”.

waahh..^^,

Nur said...

subhanallah..insaf dgn kekhilafan diri..syukran ya ukhti utk tulisannya..keep it up..:)

Anonymous said...

Allah takdirkan agar saya menjumpai post ini. Kerana Allah turut meguji saya dgn peristiwa yang sama, tapi berlainan. Kali ini, satu kumpulan dengan 2 shbt untuk 2 semester.

Usrah, sahabat2 banyak menguatkan hati ini.

Paling istimewa ialah rawatan dr Allah sendiri, apabila kita mengadu kepadaNYA, diam2 menangis ketika waktu mlm yg sepi..'Wallai li iza saja.'

Kita tak mahu fail ujian ini..Jom, akhwatku..bangkit kembali!! ^_^

Ummu Afeera said...

kuchinque/ KD kan? kita pernah jumpa kat fatih, bukan? student UPSI kan? hmm..kata-kata itu dari Husna sebenarnya, seorang ukhti yang sentiasa membuatkan manusia lain berfikir dengan kata-katanya..tulisan KD juga sangat baik..teruskan menulis buat ummah:)

ayatunnisa', salam ukhwah...belajar medic kat indon ye? di mana? segala yang baik datang dari Allah:)

hanna, terima kasih atas kata-kata motivasinya..saya terharu..betapa berharga nikmat ukhwah di dalam Islam...saya tak pasti kita pernah bertemu atau tidak..tapi pastinya saya telah menganggap hanna dan lainnya sebagai saudara sendiri...terharu atas segalanya..

Anonymous said...

Salam a'ah di bandung. ukhti ni clinical year atau housemen?? terkesan dengan penulisannya. Sy nak bertanya camne kite nak btul2 ikhlas dlm belajar especially medic? sy cube utk ke arah itu tp byk godaannya. harap ukhti blh membantu. jazakallahu khairan kathira.

Ummu Afeera said...

saya hanyalah 3rd year medical student..ukhti? bagi soalan yang seterusnya, insya Allah, saya akan cuba menjawabnya dalam entri seterusnya...segalanya biiznillah..:)