Saturday, March 03, 2007

Surah Al Mukmin


Awak. Perkataan itu acapkali saya gunakan sewaktu menulis blog ini. Awak tidak merujuk kepada manusia-manusia di luar sana semata-mata. Awak itu merujuk kepada saya sendiri. Saya menulis blog ini untuk menasihati diri saya sendiri. Saya tidak sempurna. Menulis di sini tujuan utamanya adalah peringatan untuk diri saya sendiri.

Abaikan apa yang saya tulis. Itu bukan topik utamanya. Saya sudah belajar begitu lama hari ini. Saya mahu meluangkan sedikit masa yang saya ada untuk blog ini. Salahkah?

Saya mahu bercerita mengenai hikmah (pelajaran) yang saya perolehi sewaktu menghadiri pengisian Theory of Knowledge (TOK). Pengisiannya benar-benar sesuai dengan jiwa saya. Saya akan bercerita sedikit mengenai Surah Mukmin. Ulang taip, Surah Mukmin. Bukan Surah Al Mukminun. Apa beza Mukmin dengan Mukminun? Mukmin merujuk kepada seorang, manakala Mukminun merujuk kepada ramai golongan manusia.

Di dalam surah ini terdapat kisah Nabi Musa dan Firaun. “Dan sesungguhnya telah Kami utus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami dan keterangan yang nyata. Kepada Firaun, Haman dan Qarun; maka mereka berkata, “(Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta”. (Surah Al Mukmin:23-24)

Mengapa satu pertiga dari kandungan Al Quran bercerita mengenai sejarah dan kisah umat terdahulu? Inilah yang dinamakan Sunnatullah. Kisah ini adalah peringatan buat kita. Kisah ini masih terjadi di dalam realiti kita hari ini. Cuma, dalam situasi yang berbeza.

Haman dalam ayat di atas merujuk kepada orang kanan. Manakala Qarun merujuk kepada orang yang menjaga harta. Dua komponen ini sangat penting dalam system pemerintahan sesuatu negara.

Cuma hari ini, Haman hidup dalam versi yang berbeza. Haman merujuk kepada media. Inilah kekuatan Yahudi. Yahudi hari ini menguasai hampir semua media. Dari Yahoo, Google, akhbar, televisyen dan segala macam jenis media adalah milik mereka. Setiap hari mereka mengkaji pergerakan umat Islam menerusi setiap saluran yang ada. Mereka mengkaji setiap halaman web yang bercerita mengenai Islam. Mereka mengkaji berapa ramai pengikut yang mengikuti web-web Islam. Setiap saat mereka mengkaji, di manakah tahap umat Islam kini. Mereka gembira apabila melihat kehancuran umat Islam yang disebut sebagai umat yang terbaik. Sedarkah umat islam??

Qarun pula merujuk kepada segala macam aset dan industri yang dimiliki oleh Yahudi. Tahu dari mana sumber kewangan mereka? Dari umat Islam sendiri. Umat Islam yang merokok menghabiskan duit mereka untuk Yahudi. Setiap sen yang mereka keluarkan untuk merokok digunakan untuk membunuh umat Islam. Sedarkah??

Ada yang sibuk mempertikai setiap tulisan yang bercerita mengenai Coca Cola dan Pepsi. Terlalu banyak yang mengarut. Sedarlah bahwa itu bukan persoalannya. Yahudi menjajah kita melalui makanan-makanan tersebut juga. Kita mengumpul banyak gula di dalam badan dan kemudian terkena penyakit kencing manis. Kita juga mengumpul banyak kolestrol dan kemudian membazir duit untuk mengurangkan kolestrol. Ubat kolestrol (Statin) itu adalah suatu perniagaan yang sangat menguntungkan buat Yahudi. Satu persepuluh dari hasil negara ini sendiri digunakan untuk mengubati rakyat Malaysia. Kita beli makanan dari Yahudi dan kemudian kita juga membeli ubat dari mereka. Manalah Yahudi tidak kaya-kaya.

Bila Nabi Musa menyampaikan dakwah, apa yang dikatakan oleh Firaun, Haman dan Qarun? Mereka menuduh Musa sebagai Sahirun Kazzab – ahli sihir yang pendusta. Istilah ini masih ada juga hari ini , cuma digantikan dengan penggunaan perkataan yang lain. Hari ini, umat Islam digelar sebagai pengganas, extremist, fundamentalist dan dengan macam-macam lagi istilah. Islamophobia di mana-mana meskipun tiada satu makhamah pun di dunia ini yang membuktikan bahawa ada seorang Muslim yang terlibat dalam serangan 11 September. Mengapa ini terjadi? Kerana Yahudi menguasai media.

Maka tatkala Musa datang kepada mereka membawa kebenaran dari sisi Kami mereka berkata: “Bunuhlah anak-anak orang-orang yang beriman bersama dengan dia dan biarkanlah hidup wanita-wanita mereka”. Dan tipu daya orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah sia-sia (belaka). (Surah Al Mukmin: 25)

Realiti yang berlaku dahulu kini terus berlaku dalam dimensi yang berbeza. Bunuh semua anak lelaki merujuk kepada arahan untuk menangkap semua orang Islam yang dicop sebagai pengganas. Bunuh semua orang Islam di Iraq, Palestin dan lain-lain. Hari ini nyawa orang Islam bagai tiada nilainya. Berita kematian beribu-ribu umat Islam hanya menjadi satu kolum kecil di akhbar-akhbar. Berita-berita mengenai artis lebih mendapat tempat dalam saluran media. Berita Britney Spears botak lebih popular dari nyawa umat Islam. Setiap saluran memaparkan berita Britney. Siang, malam, pagi dan petang. Yahoo dengan “She did it again” dan macam-macam lagi.

Pada penghujung ayat tersebut, Allah menyebut “dan tipu daya orang-orang kafir itu tak lain hanyalah sia-sia (belaka)”. Ya, tipu-tipu daya orang kafir itu hanyalah sia-sia.Di Australia misalnya, apabila orang Islam ingin membuat bantahan kepada terhadap Yahudi, mereka akan ditangkap. Tapi apa yang terjadi hari ini? Orang-orang bukan Islam yang melakukan demonstrasi membantah kezaliman Yahudi. Allah membuka hati mereka. Allah mencampakkan kebencian ke dalam hati mereka terhadap Yahudi.

Dan berkata Firaun (kepada pembesar-pembesarnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khawatir dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di muka bumi”. (Surah Al Mukmin: 26)

Signifikan ayat ini dapat kita lihat hari ini. Bush misalnya tidak mahu lagi mengambil pendapat ahli kongresnya. Dia melakukan tindakannya sendiri.

Dan Musa berkata : “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhanku dan Tuhanmu dari setiap orang yang menyombongkan diri yang tidak beriman kepada hari berhisab”. (Surah Mukmin: 27)

Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, “Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki hanya kerana dia menyatakan: “Tuhanku ialah Allah” padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika ia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika ia seorang yang benar niscaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu”. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta. (Surah Al Mukmin : 28)

Ayat ini menceritakan tentang seorang lelaki yang beriman. Allah tidak menyebut namanya, sekadar menyebut bahawa dia adalah seorang yang beriman. Dan dia dari kalangan pengikut Firaun yang telah menyembunyikan imannya. Siapakah lelaki itu? Insya Allah, saya akan menyambung lagi penulisan ini apabila saya telah mengikuti bahagian kedua pengisian Theory of Knowledge (TOK) ini nanti.

Exam...

Pernah menonton rancangan House? Saya pernah. Itu rancangan kegemaran saya. Cuma, saya tidak berpeluang menontonnya sekarang kerana tiada televisyen di sini.

Pernah lihat Dr. House menulis 5 perkara ini? Denial, Anger, Bargain, Depression and Acceptance. 5 perkara ini berkaitan dengan psikologi. Saya belum lagi belajar berkenaan psikologi. Cuma mahu berkongsi sedikit perkara yang saya tahu. Tahu apa signifikan 5 perkara ini? 5 perkara ini akan berlaku kepada pesakit apabila seorang doktor memberitahu padanya berkenaan penyakit serius yang dihadapinya.

Apa signifikannya dengan saya? Inilah yang terjadi setiap kali saya melihat keputusan exam saya yang kadangkala teruk. Di sini, tiap-tiap minggu ada peperiksaan. Tiap-tiap minggu keputusan akan ditampal. Saya bencikan exam sebenarnya. Belajar seolah-olah hanya untuk exam. Kadangkala saya cemburu apabila membaca profil ulama dahulu. Mereka bebas menuntut ilmu. Ilmu perubatan, ilmu agama, ilmu falaq dan bermacam-macam ilmu dikuasai dengan baik. Saya kira sistem berorientasikan peperiksaan hanya menyebabkan kemandoman seseorang pelajar bertambah. Dia hanya tahu bidangnya sahaja, sebut perkara lain dia tidak tahu.

Cuma mungkin kadangkala pelajar juga penyebabnya berlaku system berorientasikan peperiksaan ini. Belajar hanya bila ada exam. Hari lain, buku dibiarkan berhabuk, tidak berusik. Bilalah dunia mahu berubah??

Monday, February 26, 2007

Jantung...


Saya di dalam block cardiovascular sekarang ini. Di dalam block ini, saya belajar mengenai jantung.

Saya akan cerita serba sedikit tentang jantung. Banyak pelajaran berguna yang saya pelajari dariapada jantung ini. Jantung ini berakhlak mahmudah (akhlak yang terpuji). Jantung amanah. Dia tidak pernah mencuri. Jantung ini ada satu otot, namanya endocardium. Endocardium ini tidak akan mengambil darah yang beroksigen buat dirinya. 100% darah yang diterima, 100% darah yang berkualiti juga akan dipam semula. Tidak pernah sesekali dia menggunakannya buat keperluan dirinya.

Sekiranya coronary artey tersumbat, jantung tetap tidak akan mencuri. Apa yang akan terjadi? Kematian. Dan jantung menujukkan satu lagi sikap, lebih baik mati dalam kemulian daripada mati dalam kehinaan.

Jantung juga tidak mementingkan diri. Dia tahu organ-organ lain di dalam badan memerlukan bantuannya. Dia bekerja dalam jemaah, ada “team work”. Jantung mengepam 5 L darah dalam masa satu minit. Jumlahnya hampir-hampir satu baldi air. Dia bekerja tanpa rehat. Sekiranya manusia tidur, otaknya akan berehat. Tapi jantungnya akan terus menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah.

Jantung menerima arahan dari SA node. Bahasa mudahnya, SA node ini seperti seorang ketua dan jantung akan mematuhi arahan ketuanya. Dia tidak akan datang lambat. Dia tahu betapa penting dirinya. Dia perlu selalu berinteraksi, menjaga batas perhubungannya. Sekiranya dia berhenti berinteraksi, akan berlaku “sudden cardiac death”. Jantung akan tiba-tiba mati.

Satu lagi perkara mengenai jantung – dia tidak akan berhenti bergerak. Apa yang akan terjadi kalau jantung berhenti bergerak? Darah akan bergumpal dan seterusnya menyebabkan strok dan serangan sakit jantung. Jantung mengajar kita agar sentiasa belajar – menjadi continuous learning person. Jangan berhenti. Exam bukannya terminal (penamat) segalanya-galanya. Sebagai seorang muslim, perlu belajar sehingga ke liang lahad.

Jantung ini patuh pada siapa?? Jantung ini patuh pada penciptanya, Allah. Kalau dia patuh pada saya dan awak, dah lama jantung mati. Contohnya, awak beri arahan, sekarang berdegup cam gini…cam gini…Lepas tu, awak beri lagi arahan…berdegup cam gini…cam gini…Awak akan jadi gila, dan jantung juga akan mati kerana mematuhi peraturan yang tidak masuk akal.

Kadang kita tidak sedar betapa hebatnya kasih sayang Allah buat hambaNya. Derhaka macam mana pun, jatung tetap berfungsi dengan baik. Semua itu nikmat. Nasihat saya buat awak dan saya, bertaubatlah sebelum jantung itu berhenti berfungsi kerana mematuhi perintah RabbNya.

Thursday, February 22, 2007

Dakwah dan pelajaran…

Tadi saya sempat berchatting dengan seorang sahabat dari Indonesia. Sudah lama saya merindui bicaranya. Dia bercerita mengenai pelajarannya. Alhamdulillah, dia memperolehi yang terbaik.

Dia ingin mempertahankan prestasi terbaik untuk Allah, agama Allah. Di sudut lainnya, dia tidak suka mengejar dunia, bersaing untuk berasa hebat. Dia hanya ingin memberikan yang terbaik sebagai hamba Allah.

Dahulu dia bukan begitu. Dia pernah kecundang. Dia pernah bertanya kepada Allah - Ya Allah, kenapa engkau mentakdirkan prestasi yang baik buat temanku? Apakah temanku itu punya alasan yang kuat sehingga Engkau menolongnya. Aku mempunyai mimpi yang besar untuk menegakkan agamaMu melalui pergerakan dakwah. Maka aku mohon bahawa aku harus berjaya.

Lalu Allah memberitahu dirinya melalui suatu kisah sahabat yang dijamin masuk syurga, padahal seharian ibadahnya sama saja seperti sahabat yang lain. Dan ketika ditanya prinsip hidupnya, sahabat itu menjawab "Aku tak suka membanding-bandingkan apa yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya. Aku yakin Allah Maha Baik dan menjamin kebaikan untukku dalam situasi sulit atau lapang. Aku akan tetap redha kepada Allah dalam situasi apapun. Aku akan tetap bersaksi bahawa Allah adalah Robb yang Maha Esa, meskipun gunung-gunung harta itu milikku atau aku tak punya harta sedikit pun”.

Entah mengapa, saya amat tersentuh dengan kisah tersebut. Teringat perbualan saya dengan seorang lagi sahabat yang kini berada di UMS. Dia cukup tidak bersetuju apabila pelajar yang selalu pergi ke masjid, pointernye 2.5 dan ke bawah. Sampai orang keliling berkata - oh..dia budak masjid...banyak kerja dakwah yg dia kena buat. Tu yg jadi cam tu tu.

Baginya, berdosa seorang pelajar itu,apabila dia mampu mendapat yang jauh lebih baik, tapi cuma berpuas hati dengan apa yang dia dapat atas alasan nak dakwah! Sebabnya apa yang dia buat tu,langsung menutup mata orang dari dakwah dia,apa lagi islam.

Dakwah bukan je plainly cerita rububiyah ketuhanan,tapi banyak lagi skopnye..Bukan ke islam tu syumul?

Meniti kata-kata mereka berdua, banyak sekali input yang saya perolehi. Saya perlu banyak bermuhasabah (“,)

Terasa...

Perlukah saya ketawa tatkala membaca sms ini? Terasakah saya?

“Dalam riak wajah, ada pancaran dakwah. Dalam tutur bicara,ada gema tarbiah. Dalam gerak langkah, ada semangat mujahidah. Lupakan wajah yang layu. Tinggalkan bicara pilu. Kuburkan langkah yang lesu. Bangkitkanlah perjuangan. Tatkala yang hak mendabik megah dan kebatilan akur menyembah, Allah tahu, bahawa kita pernah bersama, menyeka peluh dan air mata demi ISLAM tercinta”.

Entahlah. Terlalu hyperbola rasanya mesej ni. Tidak pernah sesekali saya menyeka peluh untuk Islam. Saya bukanlah seperti Rasulullah SAW yang mana tapak kakinya ada di mana-mana lantaran kerja dakwah yang dilakukannya. Saya juga bukanlah seperti Assyahid Imam Hassan Al Banna, yang mana dikenali sehingga ke ceruk pergunungan yang tinggi disebabkan kerja keras beliau dalam berdakwah.

Wajah saya pun bukannya ada pancaran dakwah. Pasangan couple yang tengok saya masih meneruskan aksi mereka. Saya bukan seperti tentera Islam yang mana wajah mereka cukup digeruni lawan lantaran sifat taqwa yang ada dalam diri mereka.

Gerak langkah ada semangat mujahidah?? Hmmm, saya ni masih ada masa untuk benda-benda lagha. Entahlah, nak ketawa pun ada bila baca mesej ni. Terlalu hyperbola. Tapi terasa juga. Terasa…terasa…

Monday, February 19, 2007

Secebis bicara...

Sekiranya ada 1000 orang mujahidah di dunia ini, saya bermohon kepada Allah agar saya menjadi salah seorang dari mujahidah tersebut.

Sekiranya ada 10 orang mujahidah di dunia ini, saya bermohon kepada Allah agar saya tergolong dalam golongan mujahidah itu.

Sekiranya ada seorang mujahidah di dunia ini, saya memohon kepada Allah, sayalah mujahidah itu.

Sekiranya tiada lagi mujahidah di dunia ini, saya memohon kepada Allah bahawa saya telah dikurniakan kemanisan syahid.

Friday, February 16, 2007

Saya dan PERNIM..

Tulisan ini saya dedikasikan buat adik-adik yang saya temui di PERNIM, Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman.

------------------------------------------------------------------

Adik, permukiman akak sudah hamper satu semester di pusat pengajian ini. Terlalu lama akak berkelana memikirkan segalanya. Betapa suatu ketika dahulu, akak tertanya-tanya keberadaan akak di sini. Ini bukanlah tempat yang akak idam-idamkan. Cita-cita akak terlalu menggunung dan yang pasti segalanya bukan di sini. Hati tidak ingin sesekali untuk berada di sini. Hari pertama akak menjejakkan kaki di sini, seorang senior bertanyakan perasaan akak. Excited? Gembira? Mudah sahaja jawapan yang akak tuturkan – tiada perasaan. Akak merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan. Rencana Allah itu sangat unik, perjalanan hambaNya ini diacu dengan baik sekali, dan akak memahaminya kini.

Adik, tiap yang terjadi punya hikmah. Punya kemanisan sekalipun ianya pahit untuk ditelan.Wujudnya akak di sini menjadi asbab pertemuan kita.Bidang yang akak ceburi kini memerlukan akak untuk bertemu adik-adik. Pertemuan dua mata antara kita membuatkan manik-manik jernih mengalir. Akak cuba menahan air mata yang bertakung dari mengalir, tapi akak tewas. Kenapa mata akak berair? Akak nangis? Kantoi? Soalan-soalan tersebut masih bermain di penjuru jiwa dan fuad akak. Akak tewas berhadapan dengan realiti, yang selama ini tidak pernah akak mimpikan, khayalkan, hatta untuk menjadi fantasi. Realiti yang akak temui begitu pahit. Tidak mampu akak terjemahkan segalanya dengan bicara madah dan kata-kata. Cukuplah untuk akak katakan ia adalah ibrah yang mentarbiyah akak.

Sewaktu akak bermuqim, menggilap sisa-sisa perjuangan di matrikulasi suatu ketika dahulu, akak pernah hadir ke suatu program. Fasilitator mengajukan soalan yang begitu mudah, “Siapa Perdana Menteri Singapura?”. Terlalu mudah soalan yang diajukan. Namun kami sebagai peserta gagal menjawabnya dengan tepat. Konklusi dari soalan tersebut membuatkan akak terpukul. “Sekiranya kalian gagal menjawab soalan ini, cuba fikirkan, adakah kalian mengetahui rancangan musuh-musuh islam? Negara jiran sendiri tidak diketahui, adakah kalian dapat menyelami apa yang terjadi kepada saudara-saudara seaqidah di Palestin, Pakistan dan lainnya?” Pasti adik tertanya-tanya, apa yang ingin akak sampaikan. Putaran masa silam sebenarnya mengajar akak kehidupan hari ini, mengiktibari bilahan hari yang berlalu,. Melihat adik, akak tertanya-tanya, di mana saudara seagama. Baru kini akak tersedar kelemahan diri akak sendiri. Andai nasib adik sendiri tidak akak ketahui, apakah mungkin akak menyelami hati saudara seislam di Palestin, Iraq dan lainya.

Adik, gambar yang dihulurkan oleh penjaga adik begitu menyentuh hati. Kepingan tidak berbingkai itu adalah gambar bonda adik. Dia sama seperti adik. Seorang muslim. Namun dia mengambil tindakan untuk membunuh diri. Dahulu, tiupan kencang dan tempias hujan sukar menggugah lena akak. Namun kini, gambar post mortem bonda adik terus mengakrabi sehingga akak sukar tidur. HIV positif membuat dirinya kehilangan ketabahan yang panjang dan kesabaran yang agung buat menyusur rencam onar dunia ini. Sabarlah adik. Usah terusan berlagu sendu. Bukankah Dia sama sekali tidak akan menguji hambaNya di luar keupayaan?

Adik, akak hanya mengulang tingkah memori pertama membaca kisah yang melatarbelakangi berdirinya Islamic Centre di Brussel, Belgia. Ianya terasas apabila sekelompok mahasiswa muslim melihat permandangan yang amat menghiris hati mereka, yakni permandangan yang terjadi di sebuah stesen kereta api di Brussel. Pada saat itu, mereka melihat gerobong kereta api yang dipenuhi oleh anak-anak, sementara di pinggir rel kereta api berdiri beberapa pastur, biarawati, dan keluarga-keluarga berwarga negara Belgia melambaikan tangan melepas pemergian anak-anak tersebut. Setelah permasalahannya jelas, barulah pemuda-pemuda itu mengetahui bahawa anak-anak tersebut adalah dari keluarga Arab muslim yang tinggal di wilayah muslim di daerah Perancis bahagian utara, yang kebanyakannya adalah para buruh.

Anak-anak itu seusia adik. Tahukah adik apa yang berlaku pada mereka? Dengan alasan bahawa anak-anak tersebut terlantar, maka gereja menawarkan kesediaannya untuk menerima mereka di hari-hari cuti dan memberi mereka apa yang diperlukan. Yang lebih menyedihkan, anak-anak tadi melambaikan tangan dengan deraian air mata. Ini bererti bahawa anak-anak tersebut sudah merasa berat untuk berpisah dari para gerejawan gerejawati itu. (Majalah Al-Ummah, no 16 tahun keempat)

Adik, permandangan ini dapat kita saksikan di setiap jengkal bumi Islam, khususnya di Afrika. Kita juga menyaksikan ratusan anak Palestina yang orang tuanya menjadi syuhada pada pembantaian Shabra dan Shatila diangkut ke tempat-tempat penampungan dan gereja-gereja Eropah, dan tak seorang pun pemimpin negara Islam yang berusaha menyelamatkan mereka. Namun akak bagai tersedar dari mimpi tika pertama kali akak mengetahui kejadian serupa berlaku di bumi Malaysia ini. Adik, akak tahu adik menjadi mangsa pebuatan zina yang durja. Ya, akak tahu adik menghidap HIV positif. Akak tahu adik adalah anak yang lahir dari ikatan yang tidak halal. Tidak sesekali akak ingin menghukum adik atas kesilapan manusia lain. Tapi adik, dunia sekitar memberi hukuman yang tidak dapat adik pikul. Adik dipulaukan. Namun apa yang terjadi di penghujungnya membuat tulang-tulang akak seakan sudah berkecai dan berselerakan lantaran terpana dengan segala yang diberitakan. Adik disusukan akhirnya dengan kepahitan Kristianisasi dan diselimutkan dengan kasih Missionary.

Adik, siapa yang perlu akak persalahkan? Cukuplah akak katakan bahawa akak sendiri terasa bersalah. Ya, akak tidak menjalankan kerja dakwah. Akak tidak memberitakan kepada yang lain apa yang telah berlaku kepada adik. Dakwah tidak pernah kedengaran di cuping telinga bonda dan ayahanda adik, lantas mereka berzina. Dan kini akak melihat sendiri kesannya. Akak melihat sendiri dengan lensa indera keadaan adik-adik lantaran sikap akak yang mengabaikan dakwah. Teringat akak dalam satu pesannya, Imam Hassan Al Banna mengatakan, “Seandainya dapat, saya ingin sekali menyampaikan dakwah ini kepada setiap anak yang dilahirkan”.

Adik, mendidik anak dengan manhaj islami merupakan fondasi berdirinya sebuah masyarakat yang islami, kerana mendidik anak dengan manhaj islami bererti mempersiapkan generasi yang siap untuk mengembangkan lagi risalah dakwah dan menegakkan bendera Islam.Anak merupakan batu pertama bagi pembentukan sebuah masyarakat islami. Dia terlahir dalam keadaan fitrah. Seorang anak bagaikan lembaran kertas putih yang masih bersih. Menjadi tanggungjawab akak dan yang lainnya untuk bersegera menuliskan ketaqwaan dan akhlak islami pada kertas itu sebelum didahului dan ditulisi dengan tulisan yang menyesatkan. Seorang anak akan tetap terpikat kepada orang yang memperlakukannya sesuai dengan tabiatnya sebagai anak. Ia akan merasa bahawa ia berada dalam naungan kasih sayang orang tuanya sendiri. Adik pasti bersetuju dengan kata-kata akak itu, bukan?

Adik, diceritakan bahawa jika Rasulullah bertemu dengan anak kecil, beliau berhenti dan menunduk seraya menyapanya dengan lembut serta mengusap kepalanya dengan penuh kasih sayang. Perhatian ini diberikan oleh Rasulullah kerana beliau mengetahui bahawa seorang anak sangat memerlukan perlakuan semacam ini, sebagaimana titisan embun yang menyirami taman bunga, sehingga bunga-bunga itu merasakan kesegaran dan “kebahagiaan”, serta merekah dengan pesona keindahan.

Pasti adik tertanya-tanya, mengapa ini yang akak ceritakan? Adik, bertolak dari sinilah sebenarnya kaum misionaris sangat memerhatikan anak-anak. Kita masih ingat akan apa yang dilakukan oleh Soviet, mereka mengambil anak-anak mujahidin yang menjadi syuhada dan mendidik mereka dengan kekafiran. Dan kini kejadian serupa itu berlaku di sini. Terasa pijar hati akak memikirkan semua.

Adik, bicara maya ini sudah hampir ke penghujungnya. Kesendatan masa yang akak ada membataskan akak untuk terus berbicara. Maafkan akak atas segalanya. Yakinlah bahawa kesendatan masa yang akak alami kini adalah impian akan datang untuk terus membantu adik kelak. Yakinlah, sinar hikmah yang didamba pasti muncul seindah pijarnya mentari petang. Segala yang terjadi bukan untuk melemahkan kita, malah ia mematang dan melengkapkan kita sebagai hamba-Nya. Akak memohon padaNya agar adik dipanjangkan usia agar akak dapat menyalurkan secangkir kasih buat adik. Akak tidak ingin HIV positif merampas bahtera kasih yang telah terbina. Hanya Dia penentu segalanya.

Ummu Afeera Zainulabid
Taman Puteri Wangsa, Johor
10.45 malam

Sunday, February 04, 2007

Kekuatan...

Terima kasih, Kak Khoir kerana sudi bertanyakan khabar saya. Kita tidak pernah bertemu, tapi Allah menanamkan erti ukhwah ke dalam hati kita. Ana uhibbuki fillah wa fil islam.

Penyakit saya menjadi lebih serius Jumaat lalu. Sakit tekak saya menjadi-jadi sehingga saya tidak mampu menelan air liur sendiri. Keperitan menjalar sehingga telinga dan kepala saya juga merasakan kesakitan yang tidak terperi. Saya pergi ke klinik akhirnya kerana tidak mampu menahan lagi kesakitan.

Rupa-rupanya, sakit saya berpunca dari telinga. Telinga saya bernanah di sebelah kanan. Saya tidak merasakan kewujudan nanah itu pada mulanya. Sememangnya hebat perancangan Allah kerana sekiranya saya bertemu doktor sebelum saya merasakan sakit telinga, pastinya saya akan mengambil rawatan untuk demam dan sakit tekak sahaja. Doktor mengesyorkan saya mengambil ubat tidur. Saya menolak pada mulanya. Tapi doktor tersebut mengatakan bahawa sakit ini akan melarat lagi dan meminta saya berehat. Akhirnya, saya bersetuju untuk mengambil ubat tidur tersebut.

Tiada siapa bersama saya sewaktu saya di klinik. Cukuplah Allah untuk menemani saya. Saya gagahkan diri untuk menaiki bas dan kemudian berjalan dari Cyberia ke apartment. Saya hampir pengsan saat itu kerana kesakitannya sangat luar biasa. Tapi Alhamdulillah, Allah memberikan kekuatan untuk saya berjalan lagi malam itu. Tiba sahaja di rumah, saya makan sedikit roti dan mengambil ubat. Saya tidak mampu membuka stokin sendiri saat itu. Apa yang bermain di fikiran saya saat itu, bagaimana sakitnya Sakaratul Maut? Saya tidak mampu meneguk hatta seteguk air saat itu. Saya tidak mampu mengambil wudhu’ atau bertayamum untuk solat Isya’. Saya solat Isya’ dengan bahasa isyarat sahaja.

Teringat kata-kata seorang ulama’, orang beriman ni sikapnya sama sahaja apabila dia menerima RM 10000 dan kehilangan RM 10000. Yang pasti, sikap saya begitu berbeza di saat saya sihat dan sakit. Di kala saya sakit, bibir tidak sudah-sudah mengungkapkan “Allah ! Allah!”. Berbeza di saat sihat, saya banyak melupakanNya. Ya Allah, maafkan hambaMu ini di atas kelalaiannya.

Tiada siapa mengetahui betapa sakitnya kesakitan yang saya alami saat itu melainkan Allah. “Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan dan rahsiakan), dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?” (Surah AlMulk: 14). Housemate saya memberitahu bahawa degree of pain (tahap kesakitan) yang paling tinggi adalah ketika sakit gigi, seterusnya sakit telinga dan ketiga barulah sakit bersalin. Ini adalah disebabkan sakit gigi dan sakit telinga berhampiran dengan otak yang merupakan sebahagian dari CNS (Central Nervous System). Saya tidak mengetahui sejauh mana kebenaran fakta tersebut. Allahu A’lam. Allah lebih mengetahui segalanya.

Teringat saya sebuah kisah mengenai seorang lelaki dari kalangan Bani ‘Abs yang pergi mencari sejumlah untanya yang hilang. Tiga hari lamanya dia tidak pulang kerana mencari untanya itu. Padahal dia seorang kaya yang memiliki segalanya. Harta dan keluarganya berada di sebuah rumah yang mewah dekat aliran air di daerah Bani ‘Abs. Mereka hidup enak, aman dan tenang. Tidak pernah terfikir oleh mereka bahawa sebuah bencana boleh saja menimpa mereka, musibah boleh sahaja mengancam mereka.

Pada suatu malam semua keluarganya tidur lelap, baik yang dewasa mahupun yang kecil, sedang harta mereka berada bersama mereka di tempat yang datar, sementara bapa mereka tiada, mencari barangnya yang hilang. Pada saat itulah Allah mengirimkan air bah yang menerjang bukit-bukit seperti debu. Dan itu terjadi di akhir malam. Semuanya hanyut, rumah-rumah mereka hanyut dibawa arus yang deras, harta mereka musnah, dan semua anggota keluarganya ikut dibawa air. Kini semuanya hanya tinggal bekas, seakan-akan mereka tidak pernah ada.

Setelah tiga hari mencari, si bapa ini pulang bersama unta yang kembali dijumpainya ke lembah tempat tinggalnya. Tetapi dia tidak merasakan kehadiran seseorang, tidak terdengar suara, tidak ada apa yang dinamakan hidupan, tidak ada orang untuk berbicara dan tidak ada keceriaan. Tempat itu datar sama sekali. Ya Allah, sungguh sebuah bencana yang sangat berat, tak ada lagi isteri, tak ada lagi anak-anak, tak ada lagi kambing, tak ada lembu, tak ada dirham, tak ada dinar dan tak ada pakaian. Tak ada apa-apa. Sungguh sebuah musibah yang menghancurkan.

Selanjutnya, musibah tambahan yang lain menerpa. Seekor unta jantan yang baru dijumpainya terlepas. Dikejarnya unta itu. Ketika sudah hampir tertangkap, unta itu menendang wajah si bapa itu, yang membuatnya buta. Si bapa pun berteriak-teriak dengan harapan ada orang yang akan membawanya ke tempat yang dapat dia jadikan untuk berteduh. Selang beberapa hari kemudian, suara itu didengar oleh seorang Arab Badwi. Dihampirinya orang itu dan dituntunnya. Kemudian si bapa buta ini dibawa menghadap Al-Walid bin Abdul Malik, khalifah di Damsyik. Si bapa itu pun menceritakan kejadiannya seluruhnya. Kata Al-Walid: “Lalu bagaimana sikapmu?” Jawab si bapa itu: “Saya redha kepada Allah”.

Saya kagum dengan kisah tersebut. Meniti kalimah agung pada bibir si bapa. Redha, bukan mudah untuk mempraktikkannya. Moga Allah mengurniakan saya kesabaran dan redha dalam menghadapi segalanya. Saya mohon maaf kepada kedua ibu bapa saya kerana membuat mereka risau. Hanya mereka sahaja yang saya rasakan menyayangi saya dan menerima saya seadanya. Sakit ini menyedarkan saya mengenai hakikat manusia. Saya sudah berputus asa mengemis kasih dari manusia lain. Moga doa mathurat yang saya amalkan menjadi kekuatan saya – “Kami mohon (Ya Allah) kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami (Ya Allah) iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri”.

Ala kulli hal, Alhamdulillah sakit saya sudah berkurangan saat ini, namun saya menghadapi masalah pendengaran. Terasa betapa nikmatnya pendengaran yang Allah kurniakan selama ini. Saya perlu bertemu dengan doktor lagi esok untuk mengeluarkan nanah tersebut. Doakan saya.

“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku”. ( Surah Assyuara : 80)

Thursday, February 01, 2007

Demam..


Semalam saya baru menyudahi continuous assessments bagi pharmacology. Saya menghadapi kertas tersebut dalam keadaan demam. Sememangnya saya teruji dengan sebenar-benarnya semalam. Segalanya yang saya baca tidak dapat dihadam oleh minda saya. Air mata berguguran tanpa dipinta. Saya tidak pasti mengapa saya merasakan block pharmacology begitu sukar berbanding block lain. Block lain juga sukar tetapi saya tenang. Namun block pharmacology begitu menggelisahkan saya.

Bila hati gelisah, pasti ada dosa yang saya lakukan. Cukuplah ujian itu untuk saya melakukan muhasabah terhadap apa yang telah saya lakukan selama ini. Allah tidak pernah mendedahkan keburukan hambaNya, maka tidak perlulah saya sebagai hambaNya menukilkan debu-debu dosa yang telah saya lakukan.

Saya bersyukur di saat saya begitu teruji, ayah dan ibu sudah kembali dari menunaikan haji. Saya menangis dan meluahkan segalanya kepada mereka. Infiniti kesyukuran ke hadrat Allah kerana mengurniakan ayah dan ibu yang begitu memahami. Kata ayah, saya perlu selalu berinteraksi dengan hati. Pastikan hati berinteraksi dengan Allah. Saya akur. Barangkali saya lupa bahawa Allah yang mengurniakan saya ujian demam. Saya lupa kisah yang pernah saya kongsikan bersama kawan-kawan saya yang terjadi di antara Imam Syahid Hassan AlBanna dan Abbas As Sissi.

Setelah Abbas mendapat diploma dari Sekolah Menengah Teknik pada tahun 1939, beliau berangkat ke Kaherah untuk mencari kerja. Beliau pergi menemui al fadhilah al mursyid am Hassan Al Banna r.a di Markas Am Ikhwan di Al-Hilmiyah Jadidah. Setelah almursyid mengalu-alukan kedatangannya, almuryid bertanyakan sebab-sebab kehadiran beliau di kota Kaherah itu.

Abbas: Untuk mencari kerja.

Almursyid: Tidakkah kau terfikir untuk bekerja secara sukarela di Sekolah Teknik/ Mekanik Peperangan?

Abbas: Sesungguhnya keluarnya aku dari sekolah teknik ini adalah semata-mata untuk membebaskan aku dari perkhidmatan tentera.

Almursyid: Akan tetapi risalah kita mewajibkan kita berkhidmat di dalam jurusan ini (jurusan ketenteraan) .

Abbas: Itu tidak ada halangan, tetapi aku tidak akan berjaya di dalam pemeriksaan Doktor kerana sebelah dari mataku kabur (rabun).

Almursyid: Bertawakallah kepada Allah s.w.t supaya berjaya.

Abbas: Bagaimana aku akan berjaya di dalam pemeriksaan Doktor padahal mataku dalam keadaan yang demikian.

Almursyid: Justeru kerana itulah aku berkata bertawakallah kepada Allah kerana jika matamu sejahtera, kamu akan bertawakal kepada matamu.

Pengertian ini benar-benar menggoncangkan kewibawaan Abbas sekaligus beliau merasakan iman menyelinap ke dalam perasaaannnya. Beliau berangkat menuju ke Sekolah Teknik Peperangan di Al Abbasiyah dengan bertawakal kepada Allah s.w.t. Beliau diiringi oleh seorang pegawai tentera menuju rumah sakit tentera dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t, berserah sebulat-bulatnya kepadaNya dengan harapan mendapat kejayaan. Setelah melalui pemeriksaan Doktor secukupnya, beliau termasuk di kalangan orang-orang yang berjaya. Lantaran itu, beliau memasuki sekolah tersebut dan bermulalah hidupnya di dalam jurusan yang baru dan di luar dari perhitungan awalnya.

Beliau juga tidak lupa, bagaimana apabila meletus sahaja perang dunia kedua, kementerian telah menyegerakan penamatan kursus(graduation) bagi membolehkan mereka berangkat ke medan perang di padang pasir sebelah Barat. Beliau beserta rakan-rakannya seramai sekitar 100 orang pergi ke Dharbu An Nar, medan tempat ujian menembak (sebelum lulus). Beliau berasa sangat dukacita kerana bimbang akan gagal di dalam latihan menembak itu kerana kelemahan mata kirinya. Spontan beliau teringat kata-kata AlImam - tawakallah kepada Allah, kamu akan berjaya. Serentak dengan itu meresaplah pengertian tawakal ke dalam jiwanya dan beliau benar-benar yakin akan hakikat bertawakal itu. Beliau melakukan latihan menembak itu dengan sepenuh kepercayaan dan ketenangan walaupun hanya menggunakan sebelah matanya yang terang. Akhirnya Husin Ahmad, panglima yang melatih mereka mengisytiharkan bahawasanya pemenang yang pertama ialah Abbas Al Sisi. Keputusan ini memeranjatkan mereka yang mengetahui hakikat ini tetapi inilah satu daripada hakikat kebenaran bertawakal kepada Allah s.w.t.

Sememangnya besar peranan tawakal dalam hidup seorang muslim yang mukmin. Tawakal itu ialah berusaha bersungguh-sungguh menurut batas-batas kemampuan manusia, kemudian menyerahkan tadbir segala urusan kepada Allah s.w.t, yang menjadi kunci segala kebaikan, segala berkat serta pemeliharaan dan perlindungan dari segala kejahatan.

Saat saya duduk di dalam dewan peperiksaan, kisah ini berlegar-legar di dalam minda saya. Allah tidak mahu saya bertawakal dengan kesihatan, lantas dia mengurniakan saya demam. Kerana demam inilah, saya bertawakal padaNya.

Semalam juga keputusan ujian keluar. Ujian ini menyumbang 30% dari jumlah markah keseluruhan. Alhamdulillah, saya gagal dalam ujian ini. Saya hanya memperolehi 46/ 100. Saya sudah cukup bersyukur dengan markah ini. Saya menemukan ketenangan dalam kegagalan ini. Ketenangan yang tidak saya temukan sebelum ini. Insya Allah, saya akan berusaha lagi untuk peperiksaan akhir.

Alhamdulillah, hari ini saya bercuti. Perancangan Allah begitu hebat. Saya demam di saat-saat yang bersesuaian dengan cuti umum. Allah mengingatkan saya bahawa telah begitu lama saya mengabaikan hak kepada tubuh badan saya yang Allah ciptakan.Cuti ini adalah masanya untuk tubuh saya berehat.

Every night brings in new day,
Allah alleviates all pain,
Everything has its end,
Allah is enough for me!!

Sunday, January 21, 2007

Mengapa ini yang terjadi?



Bercakap mengenai tahun baru, saya teringat kata-kata Papa Roslan (ayah kepada kanak-kanak di PERNIM) mengenai manusia yang enggan berubah. Zaman dulu, orang yang nak menunaikan solat Jumaat, akan membawa pisang ke masjid untuk disedeqahkan. Semiskin-miskin orang pun akan membawa pisang untuk disedeqahkan.

Hari ini, orang kaya yang memakai kereta mewah juga akan membawa pisang ke masjid untuk disedeqahkan. Kenapalah agaknya manusia ini sukar untuk berubah? Apalah salahnya kalau menyedeqahkan epal pula.

Begitu juga dengan anak-anak yatim yang saya temui. Majoriti dari kita akan menyedeqahkan baju yang telah dipakai. Agak-agaknya itulah mindset kita. Anak yatim mesti berpakaian lusuh untuk menarik simpati masyarakat. Tapi saya kagum dengan PERNIM. Anak-anak di sana terurus dengan baik. Pakaian mereka adalah baru. Saya tiba di sana pada waktu maghrib dan kesemua anak-anak ini telah memakai baju tidur masing-masing. Mereka kemudiannya solat maghrib bersama dan membaca AlQuran.

Papa Roslan menerima segala macam pakaian lusuh yang disedeqahkan. Tidak pernah sesekali dia menolak. Namun keesokan harinya, dia akan menghantar pakaian tersebut ke pusat kitar semula. Timbul satu masalah pula dengan manusia-manusia yang berkunjung ke pusat ini. Mereka merasakan kanak-kanak ini hidup mewah dan mereka tidak memerlukan bantuan. Sukar rupanya nak memahamkan manusia. Terlalu sukar untuk mengajar mereka apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Saya juga pernah berkunjung ke rumah anak-anak yatim Darul Izzah. Terus terang saya katakan, realiti di PERNIM dan Darul Izzah adalah terlalu berbeza. Kanak-kanak di Darul Izzah terlalu degil dan sukar dibentuk. Berbeza dengan kanak-kanak di PERNIM. Sekali lagi, saya mendengar alasan masyarakat yang terlalu skeptical. Mereka akan mengatakan bahawa sukar mendidik anak yatim. Nak marah pun tak boleh. Tapi perkara ini tidak terjadi di PERNIM. Papa Roslan memberitahu kami, mendidik anak yatim lebih mudah dari mendidik anak sendiri.

Anak-anak di Darul Izzah juga tidak terurus. Kanak-kanak ini berbau hamis. Bukan ingin menceritakan keburukan, tetapi realiti yang berlaku. Anak-anak ini terlalu kecil. Ada yang masih di Darjah 1 dan mereka terpaksa membasuh baju mereka sendiri. Jumlah mereka hampir sama dengan kanak-kanak di PERNIM. Dengan kawasan yang lebih besar berbanding PERNIM, saya kira Darul Izzah perlulah lebih terurus. Saya benar-benar di dalam dua dimensi yang berbeza sewaktu berkunjung ke kedua-dua tempat ini.

Anak-anak di PERNIM ada yang menghidap HIV, ada yang buta matanya, tapi mereka terurus. Anak-anak di Darul Izzah adalah kanak-kanak normal tapi berhadapan dengan mereka akan membuatkan anda terasa mereka ini menghidap penyakit kronik. Dengan kuku yang kotor, kaki yang penuh dengan masalah kulit, cacing yang keluar dari kemaluan membuat saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku? Tilam mereka berwarna hitam dan langsir mereka adalah selimut yang kotor. Tempat tersebut terlalu kotor pada saya. Saya tidak mampu untuk bersolat asar di sana. Saya pulang ke rumah untuk bersolat Asar kerana ingin membersihkan diri terlebih dahulu.


Satu perkara lagi yang saya gagal fahami adalah mengenai sumbangan yang disalurkan oleh masyarakat. Di Darul Izzah, terlalu banyak makanan yang disedeqahkan. Ubahlah mentaliti. Kanak-kanak ini memerlukan banyak lagi perkara untuk hidup di dunia ini, bukan sekadar makanan semata-mata. Mereka perlukan langsir, selimut, tilam, alat tulis, buku pelajaran, ubat-ubatan dan lain-lain lagi. Mereka juga mendambakan kasih sayang. Barangkali saya tidak adil di dalam tulisan saya, dan mungkin anda akan mengatakan bahawa saya tidak memahami pihak pengurusan. Nasihat saya buat anda, berkunjunglah sendiri ke sana. Satu perkara yang diberitahu kepada saya, Darul Izzah menerima banyak sumbangan dari masyarakat, namun saya gagal memahami mengapa ini yang terjadi?

p/s – Gambar-gambar di atas diambil di Darul Izzah.

Saturday, January 20, 2007

Maal Hijrah..


Hati saya amat mudah terusik sejak akhir-akhir ini. Pertemuan saya dengan anak-anak yatim, anak-anak luar nikah yang diserang penyakit AIDS menjadikan saya seorang yang begitu setia dengan apa yang dinamakan air mata. Saya ingin menulis setiap hikmah yang saya petik. Saya dalam proses menulis mengenai mereka sekarang ini. Insya Allah, saya akan berkongsi sedikit sebanyak di dalam blog ini kelak.

Kadangkala saya cemburu melihat sahabat-sahabat yang memiliki masa yang panjang. Saya inginkan masa. Bergelar pelajar perubatan, membuatkan saya terkejar-kejar. Hari ini sahaja misalnya, saya keluar dari rumah seawal 9.30 pagi dan hanya pulang ke rumah pada pukul 11.30 malam. Minggu-minggu peperiksaan lebih memenatkan. Alhamdulillah, kini saya sudah lali untuk tidur lewat.

Selamat menyambut Maal Hijrah buat semua. Detik-detik waktu yang berlalu tidak terasa buat saya. Rupanya sudah hampir satu semester saya di sini. Kadangkala saya bimbang dengan diri saya. Persoalan dakwah membelenggu saya. Saya tidak boleh berhenti dari bekerja sebagai daie. Berehat kerana tuntutan menuntut ilmu adalah suatu yang tidak masuk akal pada pemikiran saya kerana selamanya saya akan sibuk. Dunia kerja dan rumahtangga kelak lebih menjanjikan kesibukan.

Secara jujur saya katakan, tahun baru ini mengajar saya banyak perkara. Terlalu lama rupanya saya berada dalam zon syok sendiri. Saya selesa dengan zon saya tanpa memikirkan horizon yang ada di luar sana. Horizon yang memperlihatkan bahawa terlalu ramai manusia yang terlalu jauh dari Islam sebenarnya.

Sebenarnya ramai manusia menantikan Islam untuk membebaskan mereka dari dunia yang penuh tipu daya ini. Tadi semasa saya melawat kanak-kanak yang menghidap penyakit AIDS, saya sempat menatap gambar salah seorang ibu kanak –kanak di sini yang membunuh diri minggu lepas. Dia seorang Muslim. Gambar post mortemnya cukup mengerikan. Melihat gambar tersebut, saya rasa bersalah. Dakwah tidak sampai kepadanya hingga dia mengambil jalan membunuh diri. Cukuplah untuk saya katakan gambar mayat tersebut merobekkan fuad saya. Lamanya saya berada dalam zon syok sendiri selama ini.

Belajarlah tentang manusia yang lalu lalang di hadapan anda. Kelak anda akan sedar bahawa terlalu ramai yang jauh dari apa yang dinamakan sebagai Islam. Kadangkala sinar Islam tidak pernah terpercik kepada mereka kerana kebanyakan daie yang sudah menikmati nikmat Islam berada dalam zon selesa dengan kelompok mereka.

Tariklah tangan-tangan manusia di luar sana. Terlalu ramai anak-anak luar nikah, anak-anak yang diserang AIDS di luar sana. Lebih sadis dan menyedihkan hanya ada dua pusat kebajikan sahaja di Malaysia untuk kanak-kanak ini yang berada di bawah pantadbiran Muslim, lainnya adalah Kristian. Tahukah anda, bahawa telah ramai anak-anak luar nikah yang diserahkan kepada pusat kebajikan Kristian ini? Terlalu ramai dan mereka yang Muslim membesar sebagai seorang Kristian di pusat-pusat kebajikan ini. Memikirkan ini semua, saya rasa bersalah. Bersalah sekali. Zina bermaharajalela. Anak-anak luar nikah di sana sini.

Pesan saya, bangkitlah wahai daie sekelian. Keluarlah dari zon selesa. Buka dan pandang horizon yang tersirat di sebalik yang tersurat. Dan kelak anda akan sedar bahawa tanggungjawab yang tergalas di bahu anda adalah terlalu berat. Selamat menyambut Maal Hijrah. Moga kita mampu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Thursday, January 18, 2007

Trichomonas vaginalis


Ngeri tak? Inilah salah satu penyakit yang menimpa manusia-manusia yang melakukan zina. Penyakit ini disebabkan oleh parasit bernama Trichomonas vaginalis. Awak nak tahu satu perkara tak? Parasit ni hanya menyerang manusia. Parasit ni tak akan menyerang haiwan. IA HANYA AKAN MENYERANG MANUSIA. Vector (pembawa) parasit ini adalah manusia juga. Parasit ini tidak akan menyerang awak melalui haiwan. Nasihat saya, hati-hatilah dengan zina. Usah melawan Allah. Parasit ini hanya mematuhi perintah Allah untuk menyerang manusia yang melakukan zina. Itulah Sunnatullah (peraturan Allah) untuk manusia yang melakukan zina. Pasti awak tertanya-tanya kenapa manusia yang bernikah tidak terkena penyakit seperti ini. Saya tiada jawapannya. Awak ada jawapannya? Pastinya Allah mengetahui setiap hikmah di sebalik perintahnya.

Wednesday, January 17, 2007

Kematian...

Sekarang ini saya sedang bergelumang dengan segala macam nota mengenai virus, mikrob, parasit dan segala macam makhluk halus yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Tertekan sekali rasanya menunggu saat-saat akhir peperiksaan.. Saat ini saya begitu rindukan bonda yang masih berada di Mekah dan akan bertolak ke Madinah esok. Saya rindukan bicaranya. Saya rindukan segala-galanya tentang dia.

Inilah jangka masa paling panjang saya tidak mendengar suaranya. Saya tidak puas dimanjai. Saya menghitung hari untuk bertemu dengannya. Barangkali saya begitu merinduinya kerana saya tertekan dengan segala macam masalah. Terlalu sukar rasanya menjaga hubungan dengan manusia. Saya penat melayan karenah manusia namun selagimana saya melayari bahtera kehidupan di dunia ini, saya perlu belajar mengenai manusia. Tidak cukup dengan struktur anatominya, saya perlu belajar segala-galanya mengenai mereka.

Tadi saya berchatting dengan seorang sahabat saya yang kini berada di Sabah. Saya meminta nasihat daripadanya. Jawapannya mudah namun membuatkan saya tersentak dan berfikir panjang. Katanya, “Cukuplah kematian sebagai nasihat”. Kadangkala saya ingin sekali merasai apa yang dinamakan sebagai kematian. Perasaan itu hadir tanpa diminta. Amal saya belum cukup pastinya, tapi itu bukanlah alasan untuk tidak merindui apa yang dinamakan sebagai kematian. Kematian yang memisahkan saya dengan segala-galanya dari dunia. Perjalanan dunia yang berwarna warni rencamnya, peperiksaan yang akan saya lalui, renik-renik kesusahan semuanya adalah untuk berdepan dengan kematian yang menjanjikan sebuah pertemuan. Pertemuan yang menjanjikan suatu nikmat. Pertemuan dengan Allah yang telah mencipta saya.

Belajar mengenai makhluk halus seperti mikrob,virus, parasit dan bacteria ini juga adalah suatu perjalanan untuk menghubungkan saya dengan Pencipta saya. Makhluk yang begitu halus ini, mampu memberikan mudarat kepada manusia yang bermilion kali lebih besar daripadanya. Raja Namrud yang memiliki segala kekayaan mati hanya kerana seekor nyamuk. Cukuplah kisah itu kepada mereka yang mahu berfikir.

Banyak sekali STD (Sexually Transmitted Disease) yang saya pelajari. Penyakit yang disebabkan zina. Saya tidak perlu menggunakan istilah yang berlapis seperti seks rambang untuk menggantikan istilah zina..Rasuah tetap rasuah. Tidak perlulah nak guna istilah politik wang. Zina tetap zina – haram di sisi Allah. Kebanyakan penyakit yang disebabkan zina adalah asymptomatic (tiada tanda) pada mulanya. Setelah bertahun baru anda akan menyedarinya.Saat itu anda akan menderita. Menderita dengan apa yang dinamakan sebagai sebenar-benar derita. Kebanyakan penyakit ini tiada ubatnya. Dan anda yang melakukan zina akan mati dalam keadaan yang begitu menakutkan dan mengaibkan. Ikutilah perintah Allah, jauhilah zina.

Saya ingin meneruskan pelajaan saya. Meneruskan hari-hari saya untuk bertemu dengan Pencipta saya. Doakan saya dikurniakan syahid di jalannya…

Tuesday, January 09, 2007

Ihsan..

Satu perkara yang saya pelajari dari Kak Maryam adalah berkenaan ihsan – melakukan sesuatu seolah-olah Allah melihat kamu. Kadangkala sesuatu perkara sudah diketahui begitu lama, namun hati hanya tersentak untuk berfikir apabila diberitahu oleh insan tertentu. Saya terkesan dengan penerangan Kak Maryam.

Ihsan ni lebih terasa dalam dunia tanpa sempadan ini. Chatting, friendster dan banyak perkara lainnya memerlukan ihsan - berfikir sepanjang masa bahawa Allah melihat kita. Segalanya akan dipersoalkan kembali oleh Allah.

Dalam kesempitan waktu yang saya ada sebagai pelajar perubatan, saya bertatih mengasaskan sebuah yahoo groups. Masih banyak kelemahan di sana sini pastinya. Dan saya menemukan karenah manusia yang berwarna warni ragamnya. Maka, ihsan perlulah dititik beratkan agar segalanya masih dalam batasan agama.

Dunia tanpa sempadan ini terlalu banyak durinya. Berhati-hatilah. Kita akan menemukan kebaikan dan kadangkala menemukan kejahatan. Usah terpedaya dengan manusia yang anda temui menerusi dunia ini. Usah percaya saya juga. Pertemuan sahaja yang akan membuktikan segalanya.

Satu perkara yang saya pelajari dari dunia ini adalah peri pentingnya niat. Segala yang anda temukan bergantung pada niat. Saya pernah menginginkan kebaikan. Dan saya pernah bertemu dengan manusia jahat yang bertopengkan kebaikan, namun melalui dirinya juga saya menemukan kebaikan akhirnya. Niatkan segala-galanya kerana Allah. Pasti anda akan menemukannya.

Sunday, January 07, 2007

Hanya ISLAM!!!


Alhamdulillah, setelah lama saya mencari, akhirnya saya menemukannya. Hidup yang selama ini kosong kembali terisi. Terima kasih Kak Maryam kerana membantu saya kini. Seronok sekali rasanya hari ini. Meskipun terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan, namun pengisian yang saya hadiri selama dua hari ini benar-benar memotivasikan saya. Saya belajar banyak perkara dalam dua hari ini.

Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan. Insya Allah, saya akan cuba menulis di dalam blog ini sedikit demi sedikit. Sememangnya Islam tu fitrah bagi setiap manusia. Hidup ini akan terasa kosong sekiranya kita cuba lari dari fitrah.

Benar kata Kak Maryam, saya adalah seorang yang amat sukakan analogi. Tadi Kak Hakimah memberi analogi. Lihat alam ini. Semuanya mengikut fitrah kejadiannya. Kalau penyu bertelur, anak penyu yang akan menetas. Itukan fitrah. Cuba bayangkan sekiranya, penyu bertelur, tetapi anak harimau yang keluar. Haru biru jadinya dunia ini.

Dan bumi ini adalah Islam. Itulah fitrahnya. Namun tiada sehektar tanah pun di dunia ini yang mendaulatkan Islam. Mana mungkin dunia ini aman apabila sudah lari dari fitrahnya. Pelik bukan melihat alim ulama kini. Isu yang remeh temeh dikatakan bidaah. Bukankah satu bidaah yang besar apabila tiada satu hektar tanah pun di muka bumi ini yang ada di dalamnya Islam sebagai deen, cara hidup yang syumul dan lengkap? Aduh, peliknya..

Jom sama-sama membaca buku Ayyuha Syabab tulisan Assyahid Imam Hassan Al Banna. Ketahuilah hanya fikrah Islam sahaja satu-satunya fikrah yang dapat membebaskan manusia dari kegelapan ini. Hanya ISLAM!! TIADA YANG LAIN!!!