Hati saya amat mudah terusik sejak akhir-akhir ini. Pertemuan saya dengan anak-anak yatim, anak-anak luar nikah yang diserang penyakit AIDS menjadikan saya seorang yang begitu setia dengan apa yang dinamakan air mata. Saya ingin menulis setiap hikmah yang saya petik. Saya dalam proses menulis mengenai mereka sekarang ini. Insya Allah, saya akan berkongsi sedikit sebanyak di dalam blog ini kelak.
Kadangkala saya cemburu melihat sahabat-sahabat yang memiliki masa yang panjang. Saya inginkan masa. Bergelar pelajar perubatan, membuatkan saya terkejar-kejar. Hari ini sahaja misalnya, saya keluar dari rumah seawal 9.30 pagi dan hanya pulang ke rumah pada pukul 11.30 malam. Minggu-minggu peperiksaan lebih memenatkan. Alhamdulillah, kini saya sudah lali untuk tidur lewat.
Selamat menyambut Maal Hijrah buat semua. Detik-detik waktu yang berlalu tidak terasa buat saya. Rupanya sudah hampir satu semester saya di sini. Kadangkala saya bimbang dengan diri saya. Persoalan dakwah membelenggu saya. Saya tidak boleh berhenti dari bekerja sebagai daie. Berehat kerana tuntutan menuntut ilmu adalah suatu yang tidak masuk akal pada pemikiran saya kerana selamanya saya akan sibuk. Dunia kerja dan rumahtangga kelak lebih menjanjikan kesibukan.
Secara jujur saya katakan, tahun baru ini mengajar saya banyak perkara. Terlalu lama rupanya saya berada dalam zon syok sendiri. Saya selesa dengan zon saya tanpa memikirkan horizon yang ada di luar sana. Horizon yang memperlihatkan bahawa terlalu ramai manusia yang terlalu jauh dari Islam sebenarnya.
Sebenarnya ramai manusia menantikan Islam untuk membebaskan mereka dari dunia yang penuh tipu daya ini. Tadi semasa saya melawat kanak-kanak yang menghidap penyakit AIDS, saya sempat menatap gambar salah seorang ibu kanak –kanak di sini yang membunuh diri minggu lepas. Dia seorang Muslim. Gambar post mortemnya cukup mengerikan. Melihat gambar tersebut, saya rasa bersalah. Dakwah tidak sampai kepadanya hingga dia mengambil jalan membunuh diri. Cukuplah untuk saya katakan gambar mayat tersebut merobekkan fuad saya. Lamanya saya berada dalam zon syok sendiri selama ini.
Belajarlah tentang manusia yang lalu lalang di hadapan anda. Kelak anda akan sedar bahawa terlalu ramai yang jauh dari apa yang dinamakan sebagai Islam. Kadangkala sinar Islam tidak pernah terpercik kepada mereka kerana kebanyakan daie yang sudah menikmati nikmat Islam berada dalam zon selesa dengan kelompok mereka.
Tariklah tangan-tangan manusia di luar sana. Terlalu ramai anak-anak luar nikah, anak-anak yang diserang AIDS di luar sana. Lebih sadis dan menyedihkan hanya ada dua pusat kebajikan sahaja di Malaysia untuk kanak-kanak ini yang berada di bawah pantadbiran Muslim, lainnya adalah Kristian. Tahukah anda, bahawa telah ramai anak-anak luar nikah yang diserahkan kepada pusat kebajikan Kristian ini? Terlalu ramai dan mereka yang Muslim membesar sebagai seorang Kristian di pusat-pusat kebajikan ini. Memikirkan ini semua, saya rasa bersalah. Bersalah sekali. Zina bermaharajalela. Anak-anak luar nikah di sana sini.
Pesan saya, bangkitlah wahai daie sekelian. Keluarlah dari zon selesa. Buka dan pandang horizon yang tersirat di sebalik yang tersurat. Dan kelak anda akan sedar bahawa tanggungjawab yang tergalas di bahu anda adalah terlalu berat. Selamat menyambut Maal Hijrah. Moga kita mampu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment