Friday, February 16, 2007

Saya dan PERNIM..

Tulisan ini saya dedikasikan buat adik-adik yang saya temui di PERNIM, Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/ AIDS Nurul Iman.

------------------------------------------------------------------

Adik, permukiman akak sudah hamper satu semester di pusat pengajian ini. Terlalu lama akak berkelana memikirkan segalanya. Betapa suatu ketika dahulu, akak tertanya-tanya keberadaan akak di sini. Ini bukanlah tempat yang akak idam-idamkan. Cita-cita akak terlalu menggunung dan yang pasti segalanya bukan di sini. Hati tidak ingin sesekali untuk berada di sini. Hari pertama akak menjejakkan kaki di sini, seorang senior bertanyakan perasaan akak. Excited? Gembira? Mudah sahaja jawapan yang akak tuturkan – tiada perasaan. Akak merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan. Rencana Allah itu sangat unik, perjalanan hambaNya ini diacu dengan baik sekali, dan akak memahaminya kini.

Adik, tiap yang terjadi punya hikmah. Punya kemanisan sekalipun ianya pahit untuk ditelan.Wujudnya akak di sini menjadi asbab pertemuan kita.Bidang yang akak ceburi kini memerlukan akak untuk bertemu adik-adik. Pertemuan dua mata antara kita membuatkan manik-manik jernih mengalir. Akak cuba menahan air mata yang bertakung dari mengalir, tapi akak tewas. Kenapa mata akak berair? Akak nangis? Kantoi? Soalan-soalan tersebut masih bermain di penjuru jiwa dan fuad akak. Akak tewas berhadapan dengan realiti, yang selama ini tidak pernah akak mimpikan, khayalkan, hatta untuk menjadi fantasi. Realiti yang akak temui begitu pahit. Tidak mampu akak terjemahkan segalanya dengan bicara madah dan kata-kata. Cukuplah untuk akak katakan ia adalah ibrah yang mentarbiyah akak.

Sewaktu akak bermuqim, menggilap sisa-sisa perjuangan di matrikulasi suatu ketika dahulu, akak pernah hadir ke suatu program. Fasilitator mengajukan soalan yang begitu mudah, “Siapa Perdana Menteri Singapura?”. Terlalu mudah soalan yang diajukan. Namun kami sebagai peserta gagal menjawabnya dengan tepat. Konklusi dari soalan tersebut membuatkan akak terpukul. “Sekiranya kalian gagal menjawab soalan ini, cuba fikirkan, adakah kalian mengetahui rancangan musuh-musuh islam? Negara jiran sendiri tidak diketahui, adakah kalian dapat menyelami apa yang terjadi kepada saudara-saudara seaqidah di Palestin, Pakistan dan lainnya?” Pasti adik tertanya-tanya, apa yang ingin akak sampaikan. Putaran masa silam sebenarnya mengajar akak kehidupan hari ini, mengiktibari bilahan hari yang berlalu,. Melihat adik, akak tertanya-tanya, di mana saudara seagama. Baru kini akak tersedar kelemahan diri akak sendiri. Andai nasib adik sendiri tidak akak ketahui, apakah mungkin akak menyelami hati saudara seislam di Palestin, Iraq dan lainya.

Adik, gambar yang dihulurkan oleh penjaga adik begitu menyentuh hati. Kepingan tidak berbingkai itu adalah gambar bonda adik. Dia sama seperti adik. Seorang muslim. Namun dia mengambil tindakan untuk membunuh diri. Dahulu, tiupan kencang dan tempias hujan sukar menggugah lena akak. Namun kini, gambar post mortem bonda adik terus mengakrabi sehingga akak sukar tidur. HIV positif membuat dirinya kehilangan ketabahan yang panjang dan kesabaran yang agung buat menyusur rencam onar dunia ini. Sabarlah adik. Usah terusan berlagu sendu. Bukankah Dia sama sekali tidak akan menguji hambaNya di luar keupayaan?

Adik, akak hanya mengulang tingkah memori pertama membaca kisah yang melatarbelakangi berdirinya Islamic Centre di Brussel, Belgia. Ianya terasas apabila sekelompok mahasiswa muslim melihat permandangan yang amat menghiris hati mereka, yakni permandangan yang terjadi di sebuah stesen kereta api di Brussel. Pada saat itu, mereka melihat gerobong kereta api yang dipenuhi oleh anak-anak, sementara di pinggir rel kereta api berdiri beberapa pastur, biarawati, dan keluarga-keluarga berwarga negara Belgia melambaikan tangan melepas pemergian anak-anak tersebut. Setelah permasalahannya jelas, barulah pemuda-pemuda itu mengetahui bahawa anak-anak tersebut adalah dari keluarga Arab muslim yang tinggal di wilayah muslim di daerah Perancis bahagian utara, yang kebanyakannya adalah para buruh.

Anak-anak itu seusia adik. Tahukah adik apa yang berlaku pada mereka? Dengan alasan bahawa anak-anak tersebut terlantar, maka gereja menawarkan kesediaannya untuk menerima mereka di hari-hari cuti dan memberi mereka apa yang diperlukan. Yang lebih menyedihkan, anak-anak tadi melambaikan tangan dengan deraian air mata. Ini bererti bahawa anak-anak tersebut sudah merasa berat untuk berpisah dari para gerejawan gerejawati itu. (Majalah Al-Ummah, no 16 tahun keempat)

Adik, permandangan ini dapat kita saksikan di setiap jengkal bumi Islam, khususnya di Afrika. Kita juga menyaksikan ratusan anak Palestina yang orang tuanya menjadi syuhada pada pembantaian Shabra dan Shatila diangkut ke tempat-tempat penampungan dan gereja-gereja Eropah, dan tak seorang pun pemimpin negara Islam yang berusaha menyelamatkan mereka. Namun akak bagai tersedar dari mimpi tika pertama kali akak mengetahui kejadian serupa berlaku di bumi Malaysia ini. Adik, akak tahu adik menjadi mangsa pebuatan zina yang durja. Ya, akak tahu adik menghidap HIV positif. Akak tahu adik adalah anak yang lahir dari ikatan yang tidak halal. Tidak sesekali akak ingin menghukum adik atas kesilapan manusia lain. Tapi adik, dunia sekitar memberi hukuman yang tidak dapat adik pikul. Adik dipulaukan. Namun apa yang terjadi di penghujungnya membuat tulang-tulang akak seakan sudah berkecai dan berselerakan lantaran terpana dengan segala yang diberitakan. Adik disusukan akhirnya dengan kepahitan Kristianisasi dan diselimutkan dengan kasih Missionary.

Adik, siapa yang perlu akak persalahkan? Cukuplah akak katakan bahawa akak sendiri terasa bersalah. Ya, akak tidak menjalankan kerja dakwah. Akak tidak memberitakan kepada yang lain apa yang telah berlaku kepada adik. Dakwah tidak pernah kedengaran di cuping telinga bonda dan ayahanda adik, lantas mereka berzina. Dan kini akak melihat sendiri kesannya. Akak melihat sendiri dengan lensa indera keadaan adik-adik lantaran sikap akak yang mengabaikan dakwah. Teringat akak dalam satu pesannya, Imam Hassan Al Banna mengatakan, “Seandainya dapat, saya ingin sekali menyampaikan dakwah ini kepada setiap anak yang dilahirkan”.

Adik, mendidik anak dengan manhaj islami merupakan fondasi berdirinya sebuah masyarakat yang islami, kerana mendidik anak dengan manhaj islami bererti mempersiapkan generasi yang siap untuk mengembangkan lagi risalah dakwah dan menegakkan bendera Islam.Anak merupakan batu pertama bagi pembentukan sebuah masyarakat islami. Dia terlahir dalam keadaan fitrah. Seorang anak bagaikan lembaran kertas putih yang masih bersih. Menjadi tanggungjawab akak dan yang lainnya untuk bersegera menuliskan ketaqwaan dan akhlak islami pada kertas itu sebelum didahului dan ditulisi dengan tulisan yang menyesatkan. Seorang anak akan tetap terpikat kepada orang yang memperlakukannya sesuai dengan tabiatnya sebagai anak. Ia akan merasa bahawa ia berada dalam naungan kasih sayang orang tuanya sendiri. Adik pasti bersetuju dengan kata-kata akak itu, bukan?

Adik, diceritakan bahawa jika Rasulullah bertemu dengan anak kecil, beliau berhenti dan menunduk seraya menyapanya dengan lembut serta mengusap kepalanya dengan penuh kasih sayang. Perhatian ini diberikan oleh Rasulullah kerana beliau mengetahui bahawa seorang anak sangat memerlukan perlakuan semacam ini, sebagaimana titisan embun yang menyirami taman bunga, sehingga bunga-bunga itu merasakan kesegaran dan “kebahagiaan”, serta merekah dengan pesona keindahan.

Pasti adik tertanya-tanya, mengapa ini yang akak ceritakan? Adik, bertolak dari sinilah sebenarnya kaum misionaris sangat memerhatikan anak-anak. Kita masih ingat akan apa yang dilakukan oleh Soviet, mereka mengambil anak-anak mujahidin yang menjadi syuhada dan mendidik mereka dengan kekafiran. Dan kini kejadian serupa itu berlaku di sini. Terasa pijar hati akak memikirkan semua.

Adik, bicara maya ini sudah hampir ke penghujungnya. Kesendatan masa yang akak ada membataskan akak untuk terus berbicara. Maafkan akak atas segalanya. Yakinlah bahawa kesendatan masa yang akak alami kini adalah impian akan datang untuk terus membantu adik kelak. Yakinlah, sinar hikmah yang didamba pasti muncul seindah pijarnya mentari petang. Segala yang terjadi bukan untuk melemahkan kita, malah ia mematang dan melengkapkan kita sebagai hamba-Nya. Akak memohon padaNya agar adik dipanjangkan usia agar akak dapat menyalurkan secangkir kasih buat adik. Akak tidak ingin HIV positif merampas bahtera kasih yang telah terbina. Hanya Dia penentu segalanya.

Ummu Afeera Zainulabid
Taman Puteri Wangsa, Johor
10.45 malam

No comments: