Bercakap mengenai tahun baru, saya teringat kata-kata Papa Roslan (ayah kepada kanak-kanak di PERNIM) mengenai manusia yang enggan berubah. Zaman dulu, orang yang nak menunaikan solat Jumaat, akan membawa pisang ke masjid untuk disedeqahkan. Semiskin-miskin orang pun akan membawa pisang untuk disedeqahkan.
Hari ini, orang kaya yang memakai kereta mewah juga akan membawa pisang ke masjid untuk disedeqahkan. Kenapalah agaknya manusia ini sukar untuk berubah? Apalah salahnya kalau menyedeqahkan epal pula.
Begitu juga dengan anak-anak yatim yang saya temui. Majoriti dari kita akan menyedeqahkan baju yang telah dipakai. Agak-agaknya itulah mindset kita. Anak yatim mesti berpakaian lusuh untuk menarik simpati masyarakat. Tapi saya kagum dengan PERNIM. Anak-anak di sana terurus dengan baik. Pakaian mereka adalah baru. Saya tiba di sana pada waktu maghrib dan kesemua anak-anak ini telah memakai baju tidur masing-masing. Mereka kemudiannya solat maghrib bersama dan membaca AlQuran.
Papa Roslan menerima segala macam pakaian lusuh yang disedeqahkan. Tidak pernah sesekali dia menolak. Namun keesokan harinya, dia akan menghantar pakaian tersebut ke pusat kitar semula. Timbul satu masalah pula dengan manusia-manusia yang berkunjung ke pusat ini. Mereka merasakan kanak-kanak ini hidup mewah dan mereka tidak memerlukan bantuan. Sukar rupanya nak memahamkan manusia. Terlalu sukar untuk mengajar mereka apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Saya juga pernah berkunjung ke rumah anak-anak yatim Darul Izzah. Terus terang saya katakan, realiti di PERNIM dan Darul Izzah adalah terlalu berbeza. Kanak-kanak di Darul Izzah terlalu degil dan sukar dibentuk. Berbeza dengan kanak-kanak di PERNIM. Sekali lagi, saya mendengar alasan masyarakat yang terlalu skeptical. Mereka akan mengatakan bahawa sukar mendidik anak yatim. Nak marah pun tak boleh. Tapi perkara ini tidak terjadi di PERNIM. Papa Roslan memberitahu kami, mendidik anak yatim lebih mudah dari mendidik anak sendiri.
Anak-anak di Darul Izzah juga tidak terurus. Kanak-kanak ini berbau hamis. Bukan ingin menceritakan keburukan, tetapi realiti yang berlaku. Anak-anak ini terlalu kecil. Ada yang masih di Darjah 1 dan mereka terpaksa membasuh baju mereka sendiri. Jumlah mereka hampir sama dengan kanak-kanak di PERNIM. Dengan kawasan yang lebih besar berbanding PERNIM, saya kira Darul Izzah perlulah lebih terurus. Saya benar-benar di dalam dua dimensi yang berbeza sewaktu berkunjung ke kedua-dua tempat ini.
Anak-anak di PERNIM ada yang menghidap HIV, ada yang buta matanya, tapi mereka terurus. Anak-anak di Darul Izzah adalah kanak-kanak normal tapi berhadapan dengan mereka akan membuatkan anda terasa mereka ini menghidap penyakit kronik. Dengan kuku yang kotor, kaki yang penuh dengan masalah kulit, cacing yang keluar dari kemaluan membuat saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku? Tilam mereka berwarna hitam dan langsir mereka adalah selimut yang kotor. Tempat tersebut terlalu kotor pada saya. Saya tidak mampu untuk bersolat asar di sana. Saya pulang ke rumah untuk bersolat Asar kerana ingin membersihkan diri terlebih dahulu.
Satu perkara lagi yang saya gagal fahami adalah mengenai sumbangan yang disalurkan oleh masyarakat. Di Darul Izzah, terlalu banyak makanan yang disedeqahkan. Ubahlah mentaliti. Kanak-kanak ini memerlukan banyak lagi perkara untuk hidup di dunia ini, bukan sekadar makanan semata-mata. Mereka perlukan langsir, selimut, tilam, alat tulis, buku pelajaran, ubat-ubatan dan lain-lain lagi. Mereka juga mendambakan kasih sayang. Barangkali saya tidak adil di dalam tulisan saya, dan mungkin anda akan mengatakan bahawa saya tidak memahami pihak pengurusan. Nasihat saya buat anda, berkunjunglah sendiri ke sana. Satu perkara yang diberitahu kepada saya, Darul Izzah menerima banyak sumbangan dari masyarakat, namun saya gagal memahami mengapa ini yang terjadi?
p/s – Gambar-gambar di atas diambil di Darul Izzah.
1 comment:
mudah-mudahan perkara ni jadi lonjakan paradigma buat feera.
Post a Comment