Sunday, August 30, 2009

Darah dan nyawa..

Saad bin Abi Waqqash (seorang sahabat Rasulullah saw) mengatakan, "Kami ceritakan kepada anak-anak kami al-Maghazi (kesah-kesah peperangan) sebagaimana kami ajarkan mereka al-Quran...".

Inilah yang tiada pada diri kita. Sejarah adalah warisan yang hilang kerana tiada diperturunkan kepada kita.

31 Ogos. Ya, itu tarikh kemerdekaan negara kita. Saya sendiri masih belum habis menghadam sejarah nusantara. Yang pastinya jiwa kita merdeka di saat kita dijajah. Tapi jiwa kita terjajah di saat berlakunya detik 31 Ogos itu.

Dulu sebelum detik 31 Ogos, telah banyak nyawa-nyawa yang terkorban kerana mempertahankan kalimah Lailahaillallah. Jangan kamu sangka Islam yang kamu anuti adalah murah. Islam diukir dengan darah dan nyawa agar ia hidup subur dalam jiwa kita. Tanpa Tok Janggut, tanpa ribuan tentera dari Demak, tanpa Abdul Rahman Limbong, tanpa pejuang-pejuang Islam terdahulu, barangkali kita bukan seorang Muslim. Betapa mereka telah berjuang. Saya masih ingat kata-kata ustazah. Kota A'Famosa itu didirikan di atas darah dan tulang belulang ulama yang berjuang mempertahankan Melaka.

Tapi kita? Kita terjajah. Merdeka hanya kalimah tapi jiwa kita terusan terjajah. Hiburan, kezaliman, rasuah dan segalanya adalah buktinya. Kita terjajah. Moga kita mampu melakukan muhasabah terhadap apa yang berlaku.

Di kehangatan kemerdekaan ini, tontonlah cerita ini. Sebuah kisah benar mengenai kehebatan seorang pejuang Islam.



Sungguh kehebatan pejuang-pejuang wanita Aceh memang tidak asing lagi dalam sejarah perjuangan umat Islam di dalam menentang penjajahan. Terdapat satu kisah yang tercatat di dalam buku 'Ghirah (Maruah) dan tantangannya terhadap Islam' tulisan Al-Marhum Professor HAMKA. Di dalamnya beliau menyalin sebuah catatan peribadi seorang askar Belanda dari buka 'Ziesgraaf'. Satu platoon askar kompeni (Belanda) memasuki sebuah kampung di Aceh. Tiba di sebuah rumah terlihat seorang wanita sedang menjemur pakaian. Salah seorang dari askar tersebut bertanya, “Di rumah ada orang laki-laki?'

Wanita tersebut menjawab, 'Enggak...semua laki-laki pergi bermuslimin". ('muslimin' ialah istilah aceh untuk berjihad i.e. mereka memahami bahawa jihad is very much part of Islam). Askar-askar tadi tidak berpuas hati lalu mereka naik ke atas rumah dan mereka geledah rumah tersebut.

Mereka menemui seorang laki-laki yang sedang bersembunyi di bawah katil. Laki-laki tadi diheret ke tengah laman dan ditunjukkan kepada wanita tadi. "Tadi kamu kata tiada laki-laki... yang ini apa?".

Dengan selamba wanita itu menjawab, " Dia tidak pergi bermuslimin... maka dia bukan laki-laki!"

HAMKA mengatakan sekiranya masih ada wanita yang seperti ini di zaman ini maka itulah tandanya Islam akan menang.

Terdapat sebuah lagi kisah benar mengenai perjuangan dan jihad. Sepasang suami isteri bersama dua anaknya melarikan diri dari buruan askar-askar Belanda. Oleh kerana khuatir akan keselamatan anak mereka, kedua anak tadi ditinggalkan di dalam sebuah pondok buruk di pinggir hutan.

Si ibu memerahkan susu ke dalam sebuah bekas dan kemudian berpesan kepada si kakak, “Kalau adekmu menangis - berikan susu ini".

Kemudian kedua suami isteri menadah tangan ke langit dan berdoa, "Wahai Tuhan kami peliharalah anak-anak ini sepeninggalan kami dan besarkanlah mereka menjadi pejuang-pejuang agamamu".

Dengan pasrah mereka tinggalkan anak kesayangan dan masuk ke dalam hutan - sehingga hari ini tidak ketahuan apakah kesudahan mereka.

Masya Allah! Islam diukir dengan darah dan nyawa. Dapatkah kalian merasainya?

Saturday, August 29, 2009

Title..

Hari ini hari jadi sahabat baik saya. Saya amat berbangga dengan dirinya. Insya Allah, hari konvokasi beliau adalah pada bulan Oktober kelak. Moga ijazah yang ada di genggamannya kelak mampu membawanya memikul risalah yang agung.

Saat berbual dengannya di telefon di pagi tadi, saya sempat meluahkan keadaan sendiri. Masih ada dua tahun lagi sebelum saya bergraduasi. Tapi adakalanya hati seakan tidak mahu bergraduasi kerana merasai manisnya perjuangan dakwah dan tarbiah semasa bergelar pelajar. Moga Allah menjadikan saya dan sahabat-sahabat yang lain sentiasa istiqamah di jalanNya.

Sahabat saya kata bahawa setelah tamat dua tahun, saya bakal memiliki title ‘Dr’. Ada pape ke dengan title itu? Entahlah, hayat saya mengatakan bahawa saya masih biasa. Title itu tidak pernah sesekali membawa makna bagi saya.

Pelik juga saya melihat mereka yang terkejar-kejar dengan akademik dan segalanya. Saya agak hairan dengan ibu bapa yang mengejar puluhan A untuk anak-anaknya. Semalam pakcik saya telefon minta mak doakan anaknya dikurniakan 5A. Sebagai seorang yang pernah mencapai 5A, 9A, hari ini saya melihat kehidupan dengan pandangan yang jauh berbeza. Islam membuat saya melihat semua itu terlalu kerdil apatah lagi apabila semua itu gagal membawa seseorang kepada matlamatnya.

Ada orang tergila-gila nak anaknya jadi doktor. Ada orang tergila-gila mahu bergelar professor. Ada orang yang bagai nak mati kerana gagal peperiksaan.

Dalam tempoh elektif ini, saya pernah berjumpa seorang pelajar berumur 19 tahun yang mahu membunuh diri di hospital. Dia stress belajar. Bukannya belajar perubatan pun tapi hanya belajar bidang perhotelan. Itu pun diploma. Lama sangat saya membebel pada remaja tersebut. Saya bukan menafikan kursus perhotelan. Tapi macam tidak masuk akal apabila seseorang itu nak bunuh diri hanya disebabkan belajar. Makan panadol sampai 6 papan (60 biji) pulak itu. Lepas itu kena merasai kesakitan apabila tiub terpaksa dimasukkan ke dalam lubang hidung sehingga ke paras perut untuk proses gastric lavage. Kenapa agaknya manusia menyusahkan diri mereka? Apa yang mereka kejar? Pelik saya. Syukur di atas nikmat fikrah Islam yang Allah kurniakan buat saya yang membuatkan saya merasai akademik bukan segalanya di dunia ini.

Saya suka satu ayat Quran ini. Cantik sekali. Sebelum itu, ada satu soalan. Apakah dia pencapaian paling tinggi yang pernah dicapai oleh manusia? Mendaki Gunung Everest? Berenang di Lautan Atlantik? Berjalan kaki mengelilingi dunia? Tidak.

Jawapannya adalah pencapaian yang dicapai oleh Rasulullah SAW di dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Itulah satu kemualian yang Allah berikan kepada kekasih agungNya. Itulah pencapaian yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana manusia lain. Satu perjalanan yang terlalu agung. Apakah dia pula title yang Allah berikan kepada kekasihNya di dalam perjalanan yang agung ini? Nabi Muhammad? Rasulullah SAW? Doktor? Ir? Tidak. Jawapannya adalah di dalam Surah Isra’ ayat pertama.
"Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat".

Ya, Allah memanggil baginda dengan panggilan hamba. Inilah title yang perlu dicapai oleh setiap manusia. Satu title yang terlalu mulia. Title inilah yang perlu ada di dalam hati setiap manusia sebelum title-title yang lain. Title ini bukan kata nama tapi kata kerja. Betapa mulianya seseorang dengan adanya title ini. Moga Ramadhan ini membuatkan kita berjaya meraih title ini.

Friday, August 28, 2009

Dua zaman...


Hari-hari di hospital kadangkala menjengkelkan. Kata-kata lucah yang saya dengar benar-benar membuatkan saya tercekik. Lagu raya pula begitu membingitkan telinga. Halkum saya mahu menjerit, “Ini bulan Ramadhan!”. Tapi segalanya tersangkut di peti suara.

Entahlah, ramadhan kita dengan ramadhan di zaman para sahabat pastinya jauh berbeza. Biah Islam dan roh Ramadhan terlalu jauh. Biarlah 128 jam elektif yang perlu saya lalui ini cepat berakhir. Jam terlalu lambat bergerak bagi saya untuk memenuhkan 128 jam itu di hospital. Moga Allah permudahkan.

Lagu nasyid ini benar-benar membawa makna bagi saya.

ramadhan satu nasib tak serupa
peluangnya sama natijah berbeza

ramadhan mereka gembira cemerlang
mukmin berjasa diawal zaman
ramadhan kami malam terbuang
muslim berdosa di akhir zaman

mereka gembira kerana kedatangan mu
kami gembira dengan pemergian mu
malam mereka meriah disimbah nur al quran
tp malam kami muram bertemukan mu

mereka berlumba mengejar makrifat
tp kami lesu diburu nafsu
hati mereka bercahaya digilap takwa
jiwa kami gelap didera dosa

takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan ramadhan
takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga

Tuesday, August 25, 2009

Dekat...

Saya amat mengharapkan Allah menghiaskan iman yang ada di dalam hati saya di dalam Ramadhan ini dan seterusnya sebagai persediaan menghadapi bulan-bulan yang seterusnya.

Semalam Allah berikan saya dua hadiah Ramadhan yang amat bermakna. Saya ceritakan yang pertama dahulu.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Al Baqarah: 186)

Dalam ayat itu Allah berfirman bahawa Dia terlalu dekat. Saya merasai betapa dekatnya Dia dengan saya. Dia mendengar suara hati.

Ada sekali saya lihat seorang pesakit Cina meninggal dunia. Saya tidak merasakan apa-apa. Tiada juga perasaan empati pada si anak yang memberikan penghormatan terakhir pada ayahnya. Saya tidak merasakan apa-apa.

Pernah juga saya melihat satu keluarga India meratapi kematian ibu mereka. Paling teruk, saya tersenyum saat itu. Kenapa mereka perlu begini? Melihat hati yang terlalu lali dengan kematian, saya berbisik pada Allah.

“Ya Allah, saya tidak sepatutnya begini. Adakah hati saya sudah terlalu keras?”

Allah hadiahkan saya pengalaman semalam. Pagi itu ada seorang wanita muda disorong masuk ke Red Zone. Dia mengalami masalah sesak nafas. Dan doktor tidak melakukan active management kerana dia menghidap kanser. Tiada CPR, tiada apa-apa yang perlu dilakukan. Cuma dia dipakaikan alat untuk mengambil bacaan Sp02, tekanan darah, tiub di mulutnya, dan cardiac monitor di dadanya. Kemudiannya semua orang pergi. Semua orang tahu dia akan pergi jua akhirnya. Tinggal saya berseorangan bersamanya saat itu.

Degupan jantungnya beransur perlahan. Cardiac monitor juga menunjukkan bahawa degupan jantungnya semakin menurun. Allah kurniakan saya ilham saat itu untuk pergi dekat dengannya dan membacakan Lailahaillallah di telinganya. Prof pernah katakan bahawa seorang doktor amat memerlukan hikmah. Tidak cukup dengan ilmu tetapi juga hikmah supaya dia dapat melakukan hal yang betul di saat yang betul. Sejujurnya saya tidak pernah melihat orang naza’ dan itulah pengalaman saya yang pertama. Allah jualah yang mengurniakan ilham buat hambanya yang kerdil ini.

Apa yang terjadi? Meskipun wanita tersebut sudah tidak bergerak, pupil mata juga dah dilate tapi setiap kali bacaan Lailahaillallah itu dibacakan, degupan jantungnya akan bertambah, menjadi statik dan kemudian turun kembali. Hal itu berlaku beberapa kali. Seram sejuk saya dibuatnya. Air mata menitis tiada henti. Saya dapat merasakan wanita tersebut bergelut dengan sakaratulmaut. Saya juga merasakan bahawa malaikat maut terlalu hampir dengan saya. Saya tidak tahu explanation segala yang berlaku dari sudut medical. Doktor ada juga menyebut tentang PEA tapi entahlah, saya teruskan sahaja bacaan Lailahaillallah. Akhirnya degupan jantung turun menjadi 30 dan kemudiannya menjadi asystole (satu garisan lurus), menunjukkan bahawa dia sudah tiada.

Pengalaman tersebut adalah muhasabah buat saya. Menyedari hakikat kekurangan diri. Saya kemudiannya menolong menanggalkan segala peralatan yang ada pada tubuh pesakit. Saya cuba sedaya upaya menarik semua itu perlahan-lahan dan air mata terusan mengalir. Kemudian ibu pesakit masuk. Suara saya seperti tersangkut di halkum. Saya cuma mendengar cerita si ibu tanpa berbicara.

Pagi tersebut wanita tersebut mahu mandi, kemudian ternampak bayangan putih. Si ibu sempat membacakan Yassin . Itulah cerita dari si ibu. Usia 34 tahun terlalu muda untuk wanita tersebut pergi, tapi ajal tidak akan sesekali dilambatkan atau dicepatkan.

Setelah urusan saya selesai, saya meluru ke surau. Itulah solat Dhuha yang paling bermakna dalam hidup saya, mengharapkan rahmat dan keampunan Allah semata-mata.

Balik dari surau, saya meneruskan tugasan saya seperti biasa. Ada satu PC yang membuka bacaan AlQuran dan Allah memberikan saya sentakan yang kuat apabila bacaan Quran saat itu – kullu nafsin dzaiqatul maut – setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. Takut, seram sejuk, bercampur baur perasaan saya. Saya terasa bahwa Allah sungguh dekat.

Semalam adalah Ramadhan yang amat bermakna di dalam hidup saya.

Sunday, August 23, 2009

Lazat..

Ada sesiapa yang sudi berkongsi pengalaman Ramadhan mereka bersama saya? Pastinya tiada. Saya sering berbicara sendirian di sini. :(

Macam mana makanan berbuka puasa semalam? Pastinya lazat. Apa yang akan kamu lakukan kalau kamu dapat menikmati makanan yang paling lazat di dunia? Kalau perempuan, tanyakan sahaja andai mereka mendapat coklat kegemaran mereka. Pastinya coklat atau makanan tersebut dikemam begitu lama di dalam mulut sebelum ditelan supaya memberi kepuasan yang tiada kiranya kepada si pemakan.

Ummu Salamah ceritakan bahawa andainya Rasulullah SAW membaca AlFatihah maka beliau akan berhenti seketika selepas setiap ayat. Kenapa? Kerana baginda dapat merasakan kelazatan Al Fatihah yang tiada kiranya.

Moga-moga Allah berikan kita kelazatan AlQuran di dalam bulan ini. Target saya amat mudah untuk Ramadhan ini. Salah satu di antara target tersebut adalah mencari hikmah bagi satu ayat AlQuran setiap hari. Ada sesiapa nak kongsikan target mereka pula?

Seronok sebenarnya berkongsi target. Kelmarin saya kongsikan target saya dengan sahabat-sahabat seusrah. Semalam pula dengan anak-anak usrah. Alhamdulillah, target setiap sahabat dan anak usrah menjadi motivasi juga buat saya. Ada yang nak bersihkan hati, ada yang nak buang sikap yang tidak baik, ada yang nak banyakkan ibadat sunat dan banyak lagi.

Kalaulah seorang pesakit datang mengadu mengenai sakitnya, maka doktor akan prescribe ubat. Allah prescribe Ramadhan untuk kita. Apa outcomenya? Agar kita menjadi insan bertaqwa. Sememangnya Allah tahu betapa banyak masalah hati yang kita ada, maka Dia datangkan bulan ini. Ayuh jadi manusia bertaqwa. Sahabat saya yang kini di dalam posting surgery kata ini adalah bulan sterilization. Ayuh sterilize semua daki-daki yang ada.

O ye who believe! Fasting is prescribed to you as it was prescribed to those before you, that ye may (learn) self-restraint; (Surah AlBaqarah:183)

Saturday, August 22, 2009

AlQuds

Banyak kerja saya sehingga tidak berkesempatan untuk menulis. Pagi tadi mahu menulis tapi saya dah kena keluar. Lewat malam begini baru berkesempatan untuk berbicara sedikit.

Dalam banyak-banyak blog yang saya subcribe kat Google Reader, hanya beberapa blog sahaja yang berbicara tentang 21 Ogos. Insya Allah, semua yang lain berjuang di jalan Allah.

Apa yang ada dengan 21 Ogos? Hari ini adalah hari AlQuds sedunia.

Moga setiap kita mengingati Hari AlQuds Sedunia! Ramadhan Mubarak juga dari saya!

Palestina
Aku keluar kerana Allah
Kerana aku pasti jalan yang aku pilih
Akan membawa aku kepadamu

Palestina
Izinkan aku menghirup tanahmu
Benarkan aku meluahkan cinta padamu

Palestina
Aku tahu kau tidak pernah inginkan aku untuk ke sana
Yang kau mahu hanya melihat terwujudnya daulah Islam

Palestina
Entah bila daulah itu akan muncul
Daulah?
Ya, daulah yang akan membelamu
Walau nyawa perlu terkorban

Palestina
Entah bila ustaziatul alam akan tertegak
Aku tidak punya jawapan
Yang pasti aku mahu menjadi pejuang
Yang akan terus berjuang

Palestina
Mungkin sahaja aku tidak berpeluang melihat kebebasanmu
Tapi kau pasti tahu aku merinduimu
Allah pasti tahu cintaku itu

Palestina
Esok Ramadhan
Doaku sentiasa mengiringimu
Entah bagaimana kau menyambut Ramadhan
Maafkan aku Palestina
Atas dosa-dosaku mengabaikanmu

Palestina
Bukan warkah maya bukti cinta
Cinta punya aura
Cinta punya getaran
Cinta memerlukan kesaksian

Palestina
Tulisanku ini penuh caca merba
Tuhan yang menjagamu lebih mengetahui segalanya
Moga sinar Ramadhan
Membawa sinar buatmu juga

p/s – Kalau ada yang berminat mengenai Palestina, boleh sahaja scroll blog ini sehingga ke bawah. Saya sudah pun menyediakan sudut tulisan berkenaan Palestina.

Thursday, August 20, 2009

Sayang...

Kadangkala terlalu cantik perjalanan hidup kita. Dalam hal ilmu pun, Allah sentiasa mengajar saya dengan cara yang paling cantik.

Saya tahu tentang retinoblastoma (kanser pada retina) melalui Reader’s Digest. Kisah yang sangat menarik. Sesiapa yang berminat boleh sahaja membacanya di sini. Kisahnya mengenai bagaimana satu gambar telah menyelamatkan seorang bayi.
Tadi saya jumpa seorang ibu dan anaknya. Tenang sangat tengok muka bayi itu meskipun dia sedang menangis. Saat melihat mata bayi tersebut, ada sesuatu yang tidak normal.

“Anak akak ada sakit pape ke sebelum ini?”

Si ibu pun mula membuka cerita. Anaknya menghidap retinoblastoma. Mata sebelah kanan adalah mata palsu. Masya Allah, dia menceritakan semua itu penuh perasaan.

“Allah sayang dia kak”.

“Betul dik. Semua orang yang jumpa akak kata dia anak syurga. Mula-mula akak tahu, akak tidak boleh nak terima. Tapi bila akak pergi Hospital Kuala Lumpur, melihat bayi lain dan berkongsi cerita dengan mereka yang berkongsi nasib yang sama, akak redha dengan ujian ini”.

“Allah berikan ujian untuk insan yang Dia sayang”.

“Ya dik”.


Entahlah. Saya lali melihat kematian di wad kecemasan. Saya juga telah lali melihat darah. Tapi air mata seakan bertakung mendengar kisah akak itu. Mungkin hal itu disebabkan wajah bayi tersebut terlalu menenangkan saya.

Kisah perjalanan si ibu mengetahui diagnosis penyakit tersebut juga punya pengajaran buat saya. Si ibu dah lama merasakan sesuatu mengenai mata anaknya. Bertemu doktor beberapa kali tapi jawapan yang diterima adalah ianya suatu yang biasa bagi bayi. Akhirnya sehinggalah mata bayi tersebut kelihatan merah ketika usianya 2 bulan. Si ibu membawa anaknya ke klinik swasta dan diberikan ubat mata. Tapi tiba-tiba mata si anak menjadi terlalu bengkak. Si bayi dikejarkan ke hospital dan disahkan menghidap retinoblastoma dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Dah 5 kali bayi tersebut menjalani kemoterapi.

Hebat kan naluri yang Allah campakkan pada seorang ibu? Pasal itu seorang doktor tidak boleh mengabaikan hal-hal berkenaan instinct ini.

Saya juga sepatutnya faham kerisauan ibu saya. Alhamdulillah, saya tenang setelah menangis dan meluahkan segalanya pada ibu.

Penyakit retinoblastoma itu pun saya rasa unik sebab selalunya hanya menyerang bayi. Sememangnya Allah pilih sesetengah insan untuk melalui sesetengah ujian.

Lama tak meluahkan rasa di sini, saya jadi kaku dengan bicara sendiri. Teringin nak luahkan banyak perkara tapi masa yang ada kian terbatas. Afeera, masa kan milik Allah? Dia akan beri pada insan yang Dia mahu. Mintalah masa dengan Pemberi masa.

Doakan segalanya akan berjalan lancar.

Akhir kata, saya kongsikan kata-kata yang indah dari tulisan seorang insan,

Allah will give the one who perseveres in this kind of fortitude to taste the sweetness of surrender and find rest in the serenity of contentment (redha).

Pintu...

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”

(Bukhari & Muslim)

Ramadhan tiba lagi!

Saya suka sangat hadis itu. Hebatnya cinta Allah buat kita!

Cuba kamu bayangkan kalau kami pergi rumah orang dan orang itu telah bersedia dengan pintu terbuka. Apa maksudnya? Dia sangatlah mengalu-alukan kedatangan kamu. Tidak sabar-sabar nak suruh kamu masuk.

Hebat tak bulan Ramadhan? Allah dah membuka pintu syurga buat kita. Tak perlu ketuk, tak perlu memanggil-memanggil empunya pintu untuk membukanya. Masuk sahaja. Kamu tahu masuk apa? Masuk syurga. Adakah sesuatu yang lebih besar dari syurga? Tiada dan itulah nikmat yang tidak terkira.

Apa lagi yang bestnya tentang Ramadhan? Allah kata Allah tutup pintu neraka. Apa maksudnya? Allah tidak ingin langsung kita masuk neraka. Maksudnya kalau kita melalui Ramadhan ini dan masih lagi menjadi ahli neraka, pastinya kita adalah mereka yang cuba merobohkan pintu yang telah Allah bina. Nauzubillah…

Moga Ramadhan kali ini menjadi medan tarbiah buat kita.

Bilaku khabarkan padamu erti cinta
Mahukah kau untuk mahkotakan semula
Pada yang layak untuk memilikinya
Dan bertakhta selama-lamanya

Tuesday, August 11, 2009

Penat...

Terlalu ingin rasanya mengalirkan segala yang ada di benak minda tapi tulisan seakan-akan menjadi kaku. Saya baru sahaja berumur 22 tahun tapi entah mengapa saya merasa penat dengan kehidupan. Terlalu penat. Saya mencari keindahan tapi semuanya seakan suram.

Saya terlalu ingin disiram. Penat sekali dengan kehidupan yang penuh rona ini. Saya penat melihat manusia dan hidup ini. Hari-hari di hospital menemukan saya dengan drama kehidupan. Saya renungi satu persatu semua drama itu dan saya temui hikmah, cuma mungkin sahaja saya tidak menemui diri saya.

Saya mahu keluar dari kebosanan ini. Duhai diri, insan yang merasai kebosanan adalah mereka yang tidak punya Allah dalam kehidupan mereka. Saya masih punya Allah lantas saya perlu bangkit.
--------------

Aku bermonolog. Usah jadi pesimis. Bukankah kau temui lelaki India yang terputus jari itu? Kau yang dulu takutkan darah sudah tidak punya perasaan melihat jari yang hancur itu.

Bukankah kau temui kes microcephaly hari ini? Kau menyangka mereka tidak mungkin hidup tapi Dia membuktikan kekuasaanNya dan budak itu sudah berusia 4 tahun. Badan yang sangat besar, kepala yang terlalu kecil, otak yang terkeluar, adakah kau sudah lupa kekuasaan Dia yang kau lihat itu?

Bukankah kau temui lelaki Cina yang tua itu? Kata doktor, itu kes IA. Kau bertanya, IA itu apa? IA adalah industrial accident. Kaki lelaki itu hancur kerana kemalangan di tempat kerja. Lupakah kau darah yang berceceran jatuh itu?

Kau lupa wanita kurus yang punya kepala besar itu? Katanya dia dihempap pokok. Mana mungkin boleh sebengkak itu? Rupa-rupanya dia didera suaminya.

Kau lupa wanita muda yang menggoda itu? Dia tidak malu bercerita hubungan luar nikahnya. Ada kata-katanya yang membuatkan kau malu tapi tidak sesekali dia menunjukkan tanda menyesal. Kemaluannya berbau dan penuh dengan cecair putih yang menggelikan. Rupa-rupanya dia menghidap STD. Kau tahu STD itu apa? Sexually Transmitted Disease.

Dunia terlalu penat untuk kau tangisi. Kau bertanya, bila dunia ini mahu berubah? Dunia ini akan berubah bila kau sendiri berubah. Ummah sudah terlalu menderita.

Bangkitlah diri. Kau tak boleh lelah. Seorang brother pernah disediakan dengan tempat tidur oleh sahabatnya. Tapi dia tidak teruja malah mengatakan bahawa dia hanya mahu tidur di kubur kelak.

Penat di dunia tiada apa kerana dunia hanyalah bangkai. Tidak punya apa. Kau perlu melihat dunia sana agar kau tidak lelah dengan dunia di sini. Dan yang pasti kau punya DIA dalam kehidupan ini.

Sunday, August 09, 2009

Tuduh...


Dalam banyak-banyak artikel berkenaan H1N1 yang saya baca, saya amat berpuas hati dengan artikel Ustaz Zaharudin. Betapa pentingnya kepercayaan seorang Muslim bahawa hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa memberi mudarat kepada manusia.

Saya sebenarnya agak pelik dan aneh melihat segala teori konspirasi yang dikemukakan. Kagum juga dengan mereka yang sanggup untuk menulis semua itu. Semasa saya menghadiri kuliah Imam Suhaib Webb di MMU dulu, ada yang bertanya mengenai teori konspirasi. Kata imam tersebut, kita ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan. Ada sesiapa yang mempunyai bukti yang kukuh mengenai teori konspirasi ini? Atau kita membuang masa dengan semua ini? Entahlah..

Saya tinggalkan entri ini dengan sedikit coretan tafsir. Cuba perhatikan ayat dari surah as-Syu’ara (26:78-81)
[78] Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;

[79] Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum,

[80] Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku;

[81] Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku;

Dalam 3 ayat yang pertama, Allah menggunakan kalimah ‘huwa’. Tapi kenapa tiada ‘huwa’ dalam ayat yang terakhir itu? Sebab manusia percaya 100% Allah yang menghidupkan dan mematikan. Jadi, tidak perlu ada ‘huwa’ sebelum ‘yumituni’. Sedangkan dalam ayat yang sebelumnya diletakkan ‘huwa’ kerana ada manusia yang meragukan bahawa Allah yang memberikannya makanan, minuman, dan menyembuhkan penyakit. Masya Allah, terlalu agung AlQuran sehinggakan begitu halus sekali bahasanya dan tidak mampu ditandingi sesiapa. AlQuran itu memang dari zat yang agung.

Moga kita menjadi manusia yang percaya bahawa semua perkara adalah 100% dari Allah.

Thursday, August 06, 2009

Jawapan..

Ini adalah respons Syuhada berkenaan dengan entri Luahan Hati.

“Cuma saya nak respon bab zina mata, mulut, hati dan sebagainya itu. Saya pernah bertanya kepada sahabat tentang hukum jika seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim (couple) berbalas pandangan dan informasi (peribadi) melalui email. Katanya, nafsu (cinta) ini ibarat seorang pemandu, bergantung kepada macam mana kita mengendalikannya. Kalau kita kendali dengan bijak, maka kenderaan yang dipandu itu akan sampai ke destinasi dengan selamat. Tapi kalau tiada ilmu pemanduan, kita akan terkandas di tengah jalan. Jadi kesimpulan sahabat itu, bercinta dengan apa cara sekalipun termasuk sms dan email dibolehkan selagi kita mampu mengawalnya. Jadi saya mohon pendapat Afeera tentang isu ini.”

Pendapat ini amat menarik cuma pastinya diri ini pula bukanlah insan yang terbaik untuk menjawabnya. Tapi saya cuba menjawabnya dengan pandangan saya yang kerdil. Tanya mereka yang ahli ye. Saya bukan ahlinya. Jawapan saya ini berdasarkan pengalaman sendiri sahaja.

Saya bukanlah insan yang tidak pernah terlibat dengan komunikasi maya, sms dan yang sewaktu dengannya. Saya pernah dan banyak kali melakukan kesilapan. Kadangkala saya sudah tahu pun, tapi terlanjur juga. Rahmat Allah juga yang saya harapkan untuk mengampunkan dosa saya yang bertimbun itu. Setiap kali saya menulis, saya menulis untuk diri sendiri terlebih dahulu pastinya. Tulisan di sini lebih dekat dengan diri saya sendiri. Saya menegur kesilapan saya terlebih dahulu.

Saya kongsikan ayat Quran yang best, surah AlQasas ayat 23-25.

[23] Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: Apa hal kamu berdua? Mereka menjawab: Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.

[24] Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.

[25] Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu.

Pernah tak tertanya-tanya hikmah Allah ceritakan kisah ini? Perlu ke Allah nak ceritakan hal ambil air itu? Amatlah perlu untuk menerangkan kita etika yang perlu terjadi di antara lelaki dan perempuan.

Masa nabi Musa jumpa dua orang perempuan itu, Nabi Musa takdelah cakap, “Auzubillahi min fitnatinnisa”. Ya Allah jauhkanlah kami dari fitnah perempuan!

Dua perempuan itu pula takdelah cakap, “Auzubillahi min fitnatirrijal” Ya Allah, jauhkanlah kami dari fitnah lelaki!

Ayat Quran ini tidak cerita perihal golongan yang ekstrem sangat ataupun perihal mereka yang ambil mudah sangat.

Bila Nabi Musa tanya permasalahan perempuan itu, perempuan itu pun terus masuk point dia kan? Beritahu terus masalah dia. Takdelah terbabas ke tempat lain.

Bila perempuan itu ceritakan masalah dia, takdelah Nabi Musa pergi tanya, nama kamu siapa? Tinggal kat mana? Dah kahwin ke? Dah ada pasangan ke?

Tidak. Nabi Musa tidak cakap pun macam itu. Allah guna kalimah “fasaqa” yang dimulakan dengan ‘fa’. Buka Quran ye. Apa maksud ‘fa’? Dengan cepat. Apa beza ‘fa’ dengan ‘saufa’? Dua-dua membawa makna ‘selepas itu’. Tapi ‘fa’ ini cepat. “Saufa” boleh terkedek-kedek lagi. Allah guna kalimah ‘fa’, maksudnya dengan cepat je Nabi Musa selesaikan selesaikan urusan dia memberi minum haiwan ternakan dia.

Pendapat saya tentang perhubungan lelaki perempuan, janganlah ekstrem sangat atau mengambil mudah sangat.

La taqrabuzzina! Allah kata jangan dekati zina, bukan buat zina. Sebab Allah tahu kelemahan manusia.

Sejujurnya kalau hati dah suka, kalimah ‘salam’ di tetingkap YM juga boleh mengotorkan hati.

Saya suka kisah seorang sahabat yang selalu solat di saf yang hadapan. Satu hari dia sampai lambat ke masjid. Dia rasa nak pulang masa itu sebab dia bimbang orang akan cakap dia sampai lambat. Tapi itulah saat dan ketikanya dia sedar bahawa perbuatannya selama ini adalah kerana manusia dan bukan kerana Allah.

Kadangkala kita pernah melakukan kesalahan dan kesalahan itulah yang membuatkan kita sedar akan makna kekurangan. Kesalahan itulah yang membuatkan kita merintih padaNya. Kesalahan itulah yang mendekatkan kita padaNya. Andai pernah tersasar, bertaubatlah. Allah itu Maha Pengampun.

Tips: Bagi mereka yang teringin sangat nak kahwin, bolehlah amalkan ayat 24 Surah AlQasas itu. Bila Nabi Musa doa seperti yang ada di dalam ayat itu, terus ada salah seorang dari perempuan itu yang datang tersipu-sipu yang kemudiannya menjadi isterinya. Allah guna kalimah ‘fajaathu’. Allah guna kalimah ‘fa’ juga. Terus datang ituu..

Mungkin saya tidak menjawab soalan. Maaf ye. Ini sahaja yang dapat saya bantu.

Wabak...

"CLASS EBM [evidence based medicine] for batch 2006 is now DISMISSED!"

"You are advised to leave this college 30 minutes from now".

Itulah yang terjadi kelmarin. Kata-kata prof yang saya ingat lagi tapi tidak dapat mengingati ayatnya dengan tepat adalah apabila prof mengatakan bahawa apabila seseorang itu menjadi doktor dan adakalanya dia merasakan dirinya begitu bodoh, maka itu adalah harinya untuk prof. Saya kagum dengan prof apabila dia mengatakan demikian. Sungguh manusia itu terlalu kerdil di hadapan Penciptanya. Sukar sebenarnya mahu bercerita tentang H1N1. Hakikatnya terlalu sedikit pengetahuan manusia tentang penyakit tersebut. Kita masih tidak mengetahui dengan siapa sebenarnya kita sedang bersilat.

"There are no known instances of people getting infected by exposure to pigs or other animals".

"The place of origin of the virus is unknown".

Itu adalah kenyataan dari WHO.

Wabak ini adalah masa untuk kita sebagai manusia bermuhasabah. Semua orang terdedah pada virus ini tapi qadar Allah akan melaksanakan segalanya.

Mak saya cakap, "Kalau kita dah masuk dalam kepala singa sekalipun tapi belum saat dan ketikanya untuk kita mati, kita tidak akan mati". Segala urusan terletak di tanganNya. Namun sebagai manusia, kita perlulah berusaha.

Adik saya pernah tanya soalan, "Kalau seseorang itu tidak dapat anak setelah bertemu dengan 10 orang doktor, adakah itu adalah takdir?"

Saya tidak menjawab soalannya secara terus. Saya katakan bahawa manusia perlu berusaha dan hasilnya adalah di tangan Allah.

Dia berikan saya jawapan. Katanya itu bukan takdir. Kenapa dia tak jumpa doktor yang kesebelas, kelima puluh dan seterusnya?

Best kan kita tidak tahu akan perkara yang mendatang? Kalau kita tahu kita akan mati esok, mesti kita tidak makan. Kalau kita tahu kita akan gagal dalam exam esok, mesti kita tidak belajar. Kalau kita tahu aiskrim yang kita makan akan jatuh, mesti kita tidak beli aiskrim. Kalau kita tahu jodoh kita siapa, mesti kita tidak berusaha mencari atau menjadikan diri kita lebih baik. Ops, apa saya merepek lagi ini? Cuma nak cakap terlalu besar hikmah Allah merahsiakan sesuatu.

Ini kenyataan Dr Quek, artikel penuh boleh dibaca di sini.

At a recent briefing to the National Influenza Pandemic Task Force meeting (July 27), Datuk Dr Tee Ah Sian, director of communicable diseases of WHO, painted a possible scenario for the Malaysian H1N1 pandemic. While I do not wish to be alarmist, it is good to at least recognise the least impact scenario which has been projected.

For our 27.7 million population, if simply 20 per cent are at risk and exposed, then some 5.5 million people will contract the H1N1 flu. Based on other serious influenza statistics, if 2 per cent to 9 per cent require hospitalisation then, some 110,000 to 500,000, respectively, would need hospital care.

From these numbers, if we estimate the case fatality rate to be from 0.1 per cent to 0.5 per cent, then some 5,500 to 28,000 of infected patients would die, respectively. In the latest updates of the most seriously ill patients identified and confirmed infections, the global case fatality rate has risen from the 0.4 per cent to 0.66 per cent. So, the hardnosed reality is that it is more than likely that the worse is yet to come. We can only hope that this is the worst case scenario!

Kematian boleh mencecah sehingga 28000. Kalau manusia tahu dia akan mati, mesti tiada orang yang nak cipta vaksin, mesti tiada orang yang nak kaji pasal semua ini. Kalau dia tahu dia akan mati beramai-ramai, mesti dia cakap, jom mati beramai-ramai, tidak perlu buat apa-apa. Saya merepek lagi nampaknya.Dalam artikel itu, ada juga kerisauan andai virus ini bermutasi menjadi lebih berbahaya. Kalau manusia tahu dengan pasti virus itu akan bermutasi, jadi ganas mesti semua dah berputus asa. Bagus kita tidak tahu perkara yang mendatang.

Jom buat apa yang terdaya! Ada pahala buat semua itu. Saya kena meng'isolate'kan diri saya selama 7 hari sebab dah terdedah kepada virus itu. Kenapa 7 hari? Incubation period bagi H1N1 adalah 7 hari. Bergembira dengan cuti percuma ini dan saya akan membuat elektif hari Isnin ini di bahagian kecemasan, melihat manusia-manusia berceceran datang kerana takutkan kematian. Melihat kerisauan yang terpalit di setiap wajah. Sungguh kematian terlalu menakutkan. Andai sudah hidup di dunia, mahu atau tidak, manusia akan melalui apa yang dinamakan sebagai KEMATIAN! Itu janji yang pasti!

Kata prof, baca salamun qaulammirrabbirrahim 28x. Jangan tinggal mathurat! Semoga semua ini akan segera hilang. Wabak ini adalah peringatan dariNya!

Tuesday, August 04, 2009

Tipu...

Batch saya kena kuarantin. Ada kes positif H1N1. Kepala saya yang berpinar-pinar menyelesaikan research proposal bersama kawan-kawan yang lain diberi kerehatan. Moga Allah memberi kesembuhan buat yang sakit.

Untuk menghasilkan satu research proposal, saya sudah melihat ratusan journal sejak beberapa hari yang lalu. Ada rasa ingin termuntah. Kata teman yang lain pula, mereka nyaris sawan. Dan bagi setiap journal pula, critical appraisal perlu dilakukan. Sakit kepala dan jiwa. Apa saya merepek ini?

Sejujurnya saya mahu bercerita tentang wabak dan saya juga mahu menjawab soalan Syuhada, cuma saat ini saya masih pening-pening lalat sebenarnya. Mahu sahaja saya menukar bidang. Saya mahu jadi wartawan. Tulis sahaja apa yang ada di kepala. Fantasi pun boleh ditulis, tak perlu susah-susah mengkaji. Tipu pun tidak jadi masalah.

Dah baca paper hari ini? Baca di sini perihal satu kejadian.

Singapura puji langkah PDRM tangani perhimpunan haram
04/08/2009 12:36pm

SEPANG 4 Ogos – Kerajaan Singapura memuji pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan perhimpunan haram, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut beliau, Singapura menyifatkan cara Polis Malaysia menangani perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Sabtu lalu sebagai profesional kerana tidak menggunakan kekerasan fizikal.

Beliau baru pulang dari Singapura setelah menerima Darjah Utama Bakti Cemerlang Singapura daripada Presiden republik itu, S. R Nathan pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. – Utusan.

Kalau ye pun nak tipu, agak-agaklah. Teringat adik saya buat lawak translation peribahasa melayu. Like frog under the coconut shell betullah wartawan ini. Satu dunia tahu polis Malaysia guna KEKERASAN. Wartawan ini duduk kat bumi ke? Bohong pun agak-agaklah. Kalau ye pun kau tak pergi tempat scene, tengoklah youtube. Budak 2 tahun pun pandai bukak youtube.


Monday, August 03, 2009

Luahan hati...

Ini luahan hati saya di yahoogroup batch. Moga ada khairnya..

Boleh saya ambil kesempatan untuk meluahkan perasaan di sini buat sahabat-sahabat sesama Muslim?

Entahlah, saya tidak takut sangat dengan H1N1 tapi perasaan takut itu lebih disebabkan oleh takutkan kematian. Apabila saya baca berita semalam tentang kanak-kanak 11 tahun, terbayang macam mana adik itu sesak nafas. Saya takut. Mungkin juga saya takut sangat nak mati sebab pengalaman operation dulu. Rasa macam tidak hilang lagi trauma sesak nafas itu.

Bila Allah ceritakan tentang kematian di dalam AlQuran, Allah menggunakan kalimah yang tidak digunakan untuk mengaitkan hal lain pun. Allah gunakan kalimah ‘musibah’ untuk menerangkan kematian.

“faasabatkum musibatul maut” (5:106)

Allah gambarkan maut itu sebagai musibah, sebagai bencana yang sangat besar. Dan bila Allah yang menyebutnya, it was so scary. Saya tidak dapat menerangkan rasa takut itu pun. Memang takut sangat.

Sampaikan Rasulullah SAW mengetahui azabnya maut, Rasulullah SAW kata dalam hadis sahih, tidak patut ada seseorang di antara kamu meminta kematian untuk dirinya. Kalau desperate sangat, Rasulullah SAW kata berdoalah dengan doa, “Ya Allah, andainya kematian itu baik bagiku maka takdirkanlah kematian itu untukku”.

Sejujurnya masa second year, masa saya mula-mula tahu diagnosis saya, saya tertekan sangat. Saya tidak boleh nak fokus belajar pun. Saya tiada ilmu masa itu dan saya minta kat Allah yang saya nakkan kematian.

Mak saya tanya, “Dah cukup amal ke?” Saya kata sampai bila-bila pun amal tidak akan cukup dan saya nak mati sekarang.

Dan pengalaman masa operation itu adalah didikan Allah untuk saya. Sekarang ini walau sebesar mana pun masalah saya, saya tidak berani nak minta kematian lagi. Saya tahu mati terlalu menyakitkan.

“Kullu nafsin dzaiqatul maut” Tiap yang bernyawa akan merasakan mati! Masya Allah, takut sangat.

Tapi dalam ayat Quran, ada insan yang Allah rakamkan kisahnya meminta kematian dan sebab musabab insan tersebut meminta kematian membolehkan kita juga meminta kematian andai diuji dengan perkara yang sama. Insan ini Allah rakamkan sebagai insan yang paling benar. Dialah Maryam.

“Wauummuhu siddiqa”. (5:75) His mother was a women of truth. Dia menjadi ameerah, ketua bagi wanita yang benar. Dia melalui keadaan yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana wanita pun, mengandung dalam keadaan tidak disentuh oleh lelaki. Dan di saat dia perlu melahirkan bayinya, dia berkata:

(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! (Surah Maryam: 23)

Dia meminta sesuatu yang sangat aneh. Dia meminta kematian. Subhanallah! Apa yang membuatkan dia mengungkapkan kata-kata itu? Kenapa dia meminta kematian? Sebabnya dia tahu andai dia pulang kepada kaumnya dengan membawa bayi tersebut, mereka akan menuduhnya telah melakukan dosa. Dosa apa? Dosa zina. Dia sanggup mati dari mendengar sesiapa menuduhnya melakukan zina.

Ulama membicarakan juga ayat ini. Apa yang menjadi kerisauan Maryam? Adakah dia takut reputasi keluarganya akan tercemar kerana dia lahir dari keturunan yang mulia, keluarga nabi? Ada sesuatu yang lebih merisaukannya berbanding reputasi keluarganya. Hal itu adalah reputasi Islam itu sendiri. She would rather die rather than to tarnish the deen of Allah! Dan inilah saat seseorang itu dibolehkan meminta kematian, iaitu di saat dia terlalu risau seandainya dirinya mampu mencalarkan dan menghancurkan agama Allah. Maryam terlalu takut dia akan kehilangan imannya. Death was better for her than iman.

Sejujurnya saya rasa terlalu berat untuk berbicara mengenai hal ini. Tapi setiap hari, ada butir jernih air mata yang turun. Saya takut melihat suasana yang berlaku. I am bleeding inside. Saya tidak mampu menegur kalian yang bercouple. Kamu kawan-kawan saya sehinggakan bicara saya menjadi semakin kaku. Macam mana saya mahu menegur kamu di saat kamu keluar berdua, di saat kamu duduk berdua bersebelahan di dalam kelas? Berat hati saya memikirkannya. Dan hari ini saya perlu mengungkapkannya di sini kerana hati ini sudah terlalu berat memikirkannya. Believe me, zina is the disease with thousand of faces. Segala yang saya tulis di sini pastinya adalah peringatan buat diri sendiri terlebih dahulu.

Saya pasti kalian masih mengingati kisah Yusuf ketika dia sanggup melalui kesusahan dari melanggar perintah Allah untuk melakukan zina. Adakah Zulaikha tidak cukup cantik? Masya Allah, dia adalah wanita yang terlalu cantik. Tapi apa yang dikatakan oleh Yusuf?

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". (Yusuf: 33)

Yusuf memilih penjara dari melakukan sesuatu yang mengundang azab Allah.

Saya juga pasti kalian pernah dengar hadis mengenai 7 golongan yang dinaungi oleh Allah di mahsyar kelak. Setiap dari kita MESTI tergolong di antara salah satu dari 7 golongan yang disebutkan. Sebabnya di saat matahari hanya sejengkal dari kepala, di saat jutaan manusia bermandi peluh sendiri, hanya golongan ini yang mendapat naungan Allah.

"Ada 7 golongan yang akan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya. Pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya,yaitu:
• Pemimpin yang adil
• Pemuda yang senantiasa beribadah kepada Allah semasa hidupnya
• Seseorang yang hatinya senantiasa terpaut dengan Masjid
• Dua orang yang saling mencintai karena Allah, keduanya berkumpul dan berpisah karena Allah
• Seorang lelaki yang diajak oleh seorang perempuan cantik dan berkedudukan untuk berzina tetapi dia berkata, "Aku takut kepada Allah"
• Seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahasiakannya seolah-olah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya
• Seseorang yang mengingat Allah di waktu sunyi sehingga bercucuran air matanya."

Salah satu di antara golongan itu adalah mereka yang diajak untuk melakukan zina, tidak kira lelaki atau perempuan, mereka berkata, inni akhafullah. Sesungguhnya aku takutkan Allah.

Mungkin ada yang rasa keluar berdua bukan zina? Berbicara di telefon bukan zina. Saya kongsikan satu hadis lagi.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya dari zina. Dia mengetahui yang demikian itu tanpa dimungkiri. Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan. Lidah itu berupaya berzina, dan zinanya adalah perkataan. Kaki itu berupaya berzina dan zinanya adalah ayunan langkah. Tangan itu berubaya berzina dan zinanya adalah tangkapan keras. Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan. Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang demikian itu”. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasai dan Abu Daud).

Zina is the disease with thousand of faces. Andai pernah tersilap langkah, bertaubatlah dengan sepenuh jiwa pada Allah kerana dia mendengar permintaan hambaNya. Dia Maha Pengampun dan mengampunkan segala dosa.

Saya mohon maaf andai bicara ini mengguris hati sesiapa. Percayalah bahawa untuk menukilkan hal ini membuatkan saya menitiskan air mata. Tapi ana uhibbukum fillah, saya menyayangi kalian hanya kerana Allah. Insya Allah, inilah bukti kasih sayang kerana Allah, tidak membenarkan perlakuan sahabatnya, tapi berkata benar mengenai sahabatnya.

Saturday, August 01, 2009

Maaf..

Tidak sesekali saya menyangka bahawa langkah berterus terang itu membuatkan beberapa hati tercalar. Tapi saya perlu melakukannya. Saya perlu memilih dan membuat keputusan. Bukankah tiap-tiap masa kita berhadapan dengan persimpangan?

Jujur bahawa saya terlalu menyayangi mereka. Mereka telah bersama-sama saya sejak langkah pertama bermula. Saya tahu bahawa mereka tidak akan sesekali mampu melupakan segala kenangan dan begitu juga dengan saya. Saya hanya menyayangi mereka kerana Allah dan hanya kerana Allah.

Kisah Hatib seakan-akan menjelma saat ini. Maafkan saya atas segalanya.

"The most beautiful discovery true friends make is that they can grow separately without growing apart. " ~ Elisabeth Foley

Hadith : " A person's iman (belief) is not complete, until he loves his brother as much as he loves himself.".

"Many people will walk in and out of you life, but only true friends will leave footprints in your heart."

Jujur saya akui bahawa mereka telah meninggalkan jejak yang begitu mendalam dalam jiwa saya. Sekali lagi saya memohon maaf atas segalanya. Maafkan saya atas hak-hak ukhwah yang tidak pernah tertunai.
There was an error in this gadget