Kadangkala terlalu cantik perjalanan hidup kita. Dalam hal ilmu pun, Allah sentiasa mengajar saya dengan cara yang paling cantik.
Saya tahu tentang retinoblastoma (kanser pada retina) melalui Reader’s Digest. Kisah yang sangat menarik. Sesiapa yang berminat boleh sahaja membacanya di sini. Kisahnya mengenai bagaimana satu gambar telah menyelamatkan seorang bayi.
Tadi saya jumpa seorang ibu dan anaknya. Tenang sangat tengok muka bayi itu meskipun dia sedang menangis. Saat melihat mata bayi tersebut, ada sesuatu yang tidak normal.
“Anak akak ada sakit pape ke sebelum ini?”
Si ibu pun mula membuka cerita. Anaknya menghidap retinoblastoma. Mata sebelah kanan adalah mata palsu. Masya Allah, dia menceritakan semua itu penuh perasaan.
“Allah sayang dia kak”.
“Betul dik. Semua orang yang jumpa akak kata dia anak syurga. Mula-mula akak tahu, akak tidak boleh nak terima. Tapi bila akak pergi Hospital Kuala Lumpur, melihat bayi lain dan berkongsi cerita dengan mereka yang berkongsi nasib yang sama, akak redha dengan ujian ini”.
“Allah berikan ujian untuk insan yang Dia sayang”.
“Ya dik”.
Entahlah. Saya lali melihat kematian di wad kecemasan. Saya juga telah lali melihat darah. Tapi air mata seakan bertakung mendengar kisah akak itu. Mungkin hal itu disebabkan wajah bayi tersebut terlalu menenangkan saya.
Kisah perjalanan si ibu mengetahui diagnosis penyakit tersebut juga punya pengajaran buat saya. Si ibu dah lama merasakan sesuatu mengenai mata anaknya. Bertemu doktor beberapa kali tapi jawapan yang diterima adalah ianya suatu yang biasa bagi bayi. Akhirnya sehinggalah mata bayi tersebut kelihatan merah ketika usianya 2 bulan. Si ibu membawa anaknya ke klinik swasta dan diberikan ubat mata. Tapi tiba-tiba mata si anak menjadi terlalu bengkak. Si bayi dikejarkan ke hospital dan disahkan menghidap retinoblastoma dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Dah 5 kali bayi tersebut menjalani kemoterapi.
Hebat kan naluri yang Allah campakkan pada seorang ibu? Pasal itu seorang doktor tidak boleh mengabaikan hal-hal berkenaan instinct ini.
Saya juga sepatutnya faham kerisauan ibu saya. Alhamdulillah, saya tenang setelah menangis dan meluahkan segalanya pada ibu.
Penyakit retinoblastoma itu pun saya rasa unik sebab selalunya hanya menyerang bayi. Sememangnya Allah pilih sesetengah insan untuk melalui sesetengah ujian.
Lama tak meluahkan rasa di sini, saya jadi kaku dengan bicara sendiri. Teringin nak luahkan banyak perkara tapi masa yang ada kian terbatas. Afeera, masa kan milik Allah? Dia akan beri pada insan yang Dia mahu. Mintalah masa dengan Pemberi masa.
Doakan segalanya akan berjalan lancar.
Akhir kata, saya kongsikan kata-kata yang indah dari tulisan seorang insan,
Allah will give the one who perseveres in this kind of fortitude to taste the sweetness of surrender and find rest in the serenity of contentment (redha).
No comments:
Post a Comment