Terlalu ingin rasanya mengalirkan segala yang ada di benak minda tapi tulisan seakan-akan menjadi kaku. Saya baru sahaja berumur 22 tahun tapi entah mengapa saya merasa penat dengan kehidupan. Terlalu penat. Saya mencari keindahan tapi semuanya seakan suram.
Saya terlalu ingin disiram. Penat sekali dengan kehidupan yang penuh rona ini. Saya penat melihat manusia dan hidup ini. Hari-hari di hospital menemukan saya dengan drama kehidupan. Saya renungi satu persatu semua drama itu dan saya temui hikmah, cuma mungkin sahaja saya tidak menemui diri saya.
Saya mahu keluar dari kebosanan ini. Duhai diri, insan yang merasai kebosanan adalah mereka yang tidak punya Allah dalam kehidupan mereka. Saya masih punya Allah lantas saya perlu bangkit.
--------------
Aku bermonolog. Usah jadi pesimis. Bukankah kau temui lelaki India yang terputus jari itu? Kau yang dulu takutkan darah sudah tidak punya perasaan melihat jari yang hancur itu.
Bukankah kau temui kes microcephaly hari ini? Kau menyangka mereka tidak mungkin hidup tapi Dia membuktikan kekuasaanNya dan budak itu sudah berusia 4 tahun. Badan yang sangat besar, kepala yang terlalu kecil, otak yang terkeluar, adakah kau sudah lupa kekuasaan Dia yang kau lihat itu?
Bukankah kau temui lelaki Cina yang tua itu? Kata doktor, itu kes IA. Kau bertanya, IA itu apa? IA adalah industrial accident. Kaki lelaki itu hancur kerana kemalangan di tempat kerja. Lupakah kau darah yang berceceran jatuh itu?
Kau lupa wanita kurus yang punya kepala besar itu? Katanya dia dihempap pokok. Mana mungkin boleh sebengkak itu? Rupa-rupanya dia didera suaminya.
Kau lupa wanita muda yang menggoda itu? Dia tidak malu bercerita hubungan luar nikahnya. Ada kata-katanya yang membuatkan kau malu tapi tidak sesekali dia menunjukkan tanda menyesal. Kemaluannya berbau dan penuh dengan cecair putih yang menggelikan. Rupa-rupanya dia menghidap STD. Kau tahu STD itu apa? Sexually Transmitted Disease.
Dunia terlalu penat untuk kau tangisi. Kau bertanya, bila dunia ini mahu berubah? Dunia ini akan berubah bila kau sendiri berubah. Ummah sudah terlalu menderita.
Bangkitlah diri. Kau tak boleh lelah. Seorang brother pernah disediakan dengan tempat tidur oleh sahabatnya. Tapi dia tidak teruja malah mengatakan bahawa dia hanya mahu tidur di kubur kelak.
Penat di dunia tiada apa kerana dunia hanyalah bangkai. Tidak punya apa. Kau perlu melihat dunia sana agar kau tidak lelah dengan dunia di sini. Dan yang pasti kau punya DIA dalam kehidupan ini.
No comments:
Post a Comment