Hari ini hari jadi sahabat baik saya. Saya amat berbangga dengan dirinya. Insya Allah, hari konvokasi beliau adalah pada bulan Oktober kelak. Moga ijazah yang ada di genggamannya kelak mampu membawanya memikul risalah yang agung.
Saat berbual dengannya di telefon di pagi tadi, saya sempat meluahkan keadaan sendiri. Masih ada dua tahun lagi sebelum saya bergraduasi. Tapi adakalanya hati seakan tidak mahu bergraduasi kerana merasai manisnya perjuangan dakwah dan tarbiah semasa bergelar pelajar. Moga Allah menjadikan saya dan sahabat-sahabat yang lain sentiasa istiqamah di jalanNya.
Sahabat saya kata bahawa setelah tamat dua tahun, saya bakal memiliki title ‘Dr’. Ada pape ke dengan title itu? Entahlah, hayat saya mengatakan bahawa saya masih biasa. Title itu tidak pernah sesekali membawa makna bagi saya.
Pelik juga saya melihat mereka yang terkejar-kejar dengan akademik dan segalanya. Saya agak hairan dengan ibu bapa yang mengejar puluhan A untuk anak-anaknya. Semalam pakcik saya telefon minta mak doakan anaknya dikurniakan 5A. Sebagai seorang yang pernah mencapai 5A, 9A, hari ini saya melihat kehidupan dengan pandangan yang jauh berbeza. Islam membuat saya melihat semua itu terlalu kerdil apatah lagi apabila semua itu gagal membawa seseorang kepada matlamatnya.
Ada orang tergila-gila nak anaknya jadi doktor. Ada orang tergila-gila mahu bergelar professor. Ada orang yang bagai nak mati kerana gagal peperiksaan.
Dalam tempoh elektif ini, saya pernah berjumpa seorang pelajar berumur 19 tahun yang mahu membunuh diri di hospital. Dia stress belajar. Bukannya belajar perubatan pun tapi hanya belajar bidang perhotelan. Itu pun diploma. Lama sangat saya membebel pada remaja tersebut. Saya bukan menafikan kursus perhotelan. Tapi macam tidak masuk akal apabila seseorang itu nak bunuh diri hanya disebabkan belajar. Makan panadol sampai 6 papan (60 biji) pulak itu. Lepas itu kena merasai kesakitan apabila tiub terpaksa dimasukkan ke dalam lubang hidung sehingga ke paras perut untuk proses gastric lavage. Kenapa agaknya manusia menyusahkan diri mereka? Apa yang mereka kejar? Pelik saya. Syukur di atas nikmat fikrah Islam yang Allah kurniakan buat saya yang membuatkan saya merasai akademik bukan segalanya di dunia ini.
Saya suka satu ayat Quran ini. Cantik sekali. Sebelum itu, ada satu soalan. Apakah dia pencapaian paling tinggi yang pernah dicapai oleh manusia? Mendaki Gunung Everest? Berenang di Lautan Atlantik? Berjalan kaki mengelilingi dunia? Tidak.
Jawapannya adalah pencapaian yang dicapai oleh Rasulullah SAW di dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Itulah satu kemualian yang Allah berikan kepada kekasih agungNya. Itulah pencapaian yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana manusia lain. Satu perjalanan yang terlalu agung. Apakah dia pula title yang Allah berikan kepada kekasihNya di dalam perjalanan yang agung ini? Nabi Muhammad? Rasulullah SAW? Doktor? Ir? Tidak. Jawapannya adalah di dalam Surah Isra’ ayat pertama.
"Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat".
Ya, Allah memanggil baginda dengan panggilan hamba. Inilah title yang perlu dicapai oleh setiap manusia. Satu title yang terlalu mulia. Title inilah yang perlu ada di dalam hati setiap manusia sebelum title-title yang lain. Title ini bukan kata nama tapi kata kerja. Betapa mulianya seseorang dengan adanya title ini. Moga Ramadhan ini membuatkan kita berjaya meraih title ini.
2 comments:
Subhanaallah. saya mmg suka baca tulisan kamu.. Alhamdulillah... moga istiqamah dlm dunia penulisan dakwah. insyaallah. =)
doakan saya terus istiqamah ye:)
Post a Comment