Saturday, February 23, 2008

~Kupasan Hadis Ghulam~

Hadis Ghulam boleh dibaca di link yang diberikan:
http://www.dakwah.info/index.php/Kajian-Hadith/Kisah-Ghulam.html

Mungkin ada yang rasa biasa sahaja apabila membaca hadis ghulam yang diattachkan bersama email ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh hadis tersebut. Ada kaitan ke hadis tersebut dengan keadaan kita sebagai pelajar. Adakah hadis tersebut setakat sebuah cerita? Agak-agaknya, Rasulullah SAW suka-suka ke nak buang masa nak cerita dengan sahabat kisah tersebut yang serasanya sangatlah panjang?

Insya Allah kita berkongsi sedikit pengajaran dari hadis ini. Sekiranya ada kesilapan, teguran adalah dialu-alukan. Hadis ni sebenarnya terlalu bermakna setiap baris dan ayatnya. Menjadi taklif (tanggungjawab) untuk berkongsi meskipun ilmu yang ada terlalu sedikit.

Ghulam ni apa sebenarnya? Remaja lelaki. Kisah ni pernah disebutkan dalam Quran ke? Pernah. Dalam Surah Buruj. Kisah tentang parit. Bila satu kisah tu Allah sebut dalam AlQuran, kisah tu sangatlah penting. Macam orang yang menyusun buku teks, dia kenalah pastikan apa yang dia nak tulis dan susun dalam buku teks tu adalah benar-benar penting. Macam itu juga dengan AlQuran. Kitab dan pedoman sepanjang hayat. Maka setiap perkara yang Allah sebutkan tu memang sangat relevan dengan kita.

Allah sebut ke nama ghulam tu dalam AlQuran? Rasulullah sebut ke nama ghulam tu dalam hadis tersebut? Allah dan rasulNya sebut ke nama tempat itu? Tak. Sebab apa? Sebab nak tunjukkan kat kita betapa ‘evergreen’nya hadis ni. Rasulullah SAW nak tunjukkan kat kita betapa relevannya hadis ni meskipun kita duduk pada era 2020. Saya adalah ghulam. Awak adalah ghulam. Siapa sahaja adalah ghulam.

Kenapa agaknya hadis ni pasal ghulam? Seorang remaja. Kenapa bukan pasal seorang tua yang dah matang dengan pengalaman ke? Kenapa agaknya? Sebab remajalah penentu masa depan sesuatu bangsa kan? Remajalah golongan yang mempunyai semangat yang sangat kental. Punya misi dan visi. Tindakannya jauh lebih mencabar dan mungkin tak tercapai dek akal manusia biasa. Keputusannya membuat orang terpegun. Remajalah golongan yang sangat kreatif dan inovatif. Tapi apa yang jadi kat kebanyakan remaja sekarang? Mereka adalah golongan yang begitu hebat dengan perkara-perkara yang membinasakan. Hebat smoking, hebat clubbing, hebat cakap kosong, dan segala macam kehebatan yang menghancurkan ada dalam diri kebanyakan remaja dewasa ini.

Kita tengok hadis ini. Kisah ini dimulakan mengenai dialog di antara raja dan tukang sihir. Raja mempergunakan tukang sihir demi kepentingannya. Dan tukang sihir tahu sekiranya dia telah tiada, raja akan bermasalah. Maka dia meminta raja mencarikan seorang budak. Dalam riwayat Tarmizi disebut: “Carilah untukku seorang budak yang mudah memahami atau dia berkata: yang cerdik dan cepat faham” .

Kenapa budak yang cerdik dan pandai? Sebab kalau bodoh, kena ajar sihir berkali-kali. Menyusahkan. Maka raja pun mencari budak yang pandai. Macam mana raja cari? Tidak disebutkan dalam hadis ini. Mungkin raja buat peperiksaan SPM, tapis mana satu pelajar terbaik.

Lepas itu kita tengok tentang rahib. Bila budak itu sudah terpilih sebagai ahli sihir raja, maka popularlah dia. Terkenal. Semua orang kenal dia. Macam pelajar terbaik SPM, keluar di dada akhbar dan televisyen. Rahib pun kenal dia. Dan rahib ini pun berusaha untuk berkenalan dengan budak (ghulam) ini tadi. Tidak diceritakan macam mana rahib kenal budak itu. Zaman itu tiada boarding school. Maka ghulam ini berulang alik dari rumah ke tempat tukang sihir. Dalam perjalanan itu dia bertemu rahib. Dan rahib telah melakukan segala usaha untuk berkenalan dengan ghulam.

Kemudian ghulam pun syok dengan ilmu si rahib. Bermulalah episod baru dalam hidupnya, perkenalannya dengan Islam. Buat sahabat-sahabat sekalian, kisah ini adalah persis perjalanan hidup kita yang bukan kebetulan. Kisah ini adalah kisah perjuangan. Dan kisah ini akan terus berlaku sehingga hari akhirat. Ghulam akan terus hidup sehingga kiamat berlaku. Dan kitalah ghulam tersebut.


Mungkin sahabat-sahabat tertanya-tanya, jadi apa kaitannya hadis ni dengan kita? Hakikatnya, hadis ini nak ajak kita semua kembali menjadi ghulam atau remaja yang soleh dan musleh, yang baik dan cuba menjadikan manusia lain juga baik. Nak senang faham kaitan hadis ni dengan kita, dapatlah disimpukan:

1) ghulam – kita golongan remaja
2) ilmu sihir – macam ilmu duniawi yang kita pelajari seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain lagi
3) tukang sihir – macam pensyarah-pensyarah kita di universiti atau cikgu-cikgu di sekolah yang mengajar kita ilmu duniawi
4) ilmu yang dipelajari dari rahib – macam ilmu agama yang kita pelajari dalam usrah, atau dari guru-guru agama kita, ilmu yang benar..

5) rahib – macam ustaz atau ustazah, naqib dan naqibah

Kita tengok ghulam ni. Dia belajar ilmu medic sahaja ke? Atau dia belajar agama dalam usrah sahaja? Dia belajar dua-dua benda. Ada di kalangan kita yang hanya tahu score dalam exam sahaja, tapi tidak tahu langsung pasal agama. Bila ada yang ajak pergi usrah/ program agama, rasa malas. Ada pulak yang hebat sekali dalam ilmu agama sahaja, akademik hancur belaka. Maka jadilah macam ghulam, balance dalam aspek duniawi dan ukhrawi.

Kalau kita tengok hadis ini, pernah tak si rahib suruh ghulam berhenti belajar sihir? Tidak pernah. Dalam keadaan terdesak pun, si rahib suruh ghulam ‘menipu’ sahaja. Tidak suruh ghulam berhenti belajar sihir. Kenapa agaknya ghulam ni belajar ilmu sihir sedangkan tanggungjawab dia adalah khalifah kat muka bumi ni? Bukan ke dia kena buat kerja dakwah, kena ajak orang kepada Islam. Tapi kenapa dia belajar ilmu duniawi jugak, kenapa bukan ilmu ukhrawi sahaja? Kenapa tak belajar pasal islam sahaja? Macam kitalah jugak kan, kenapa buat perubatan, undang-undang, kejuruteraan dan lain-lain? Bukan kita kena jadi khalifah ke? Sebabnya ultimate goal kita bukanlah nak jadi doktor, jurutera atau peguam semata-mata. Tapi semua tu adalah cara kita nak ’menyihir’ hati manusia lain kepada Islam. Kan best kalau jadi doktor, 5 minit je rawat pesakit, tapi 10 minit adalah berdakwah. Best tak? Best kan. Patient percaya tak? Mesti percaya. Kenalah jadi macam ghulam, dia belajar ilmu sihir tu untuk menyihir hati orang lain. Bila dia sembuhkan orang buta tu, dia katakan kat orang buta tu, Allah yang sembuhkan. Dia dakwah kat orang buta tu. Best kan kalau dapat jadi macam ghulam?

Ghulam belajar ilmu sihir itu dengan matlamat yang benar. Matlamatnya apa? Perjuangan aqidah yang hak. Hatta sehingga akhir hayatnya. Kalau kita tidak faham matlamat hidup kita, jadilah kita tukang sihir selama-lamanya. Jadilah kita doktor yang tidak pernah tahu tujuan penciptaannya. Dan kita akan terus diperkudakan. Macam orang Indonesia yang tolong bina KLCC itu. Dia buat kerja susah-susah, tapi orang lain dapat nama. Dia dipergunakan.

Ghulam bukan begitu. Sihirnya menyebabkan dirinya hebat. Hatta memperkudakan sang raja. Dia arahkan raja buat macam-macam semata-mata nak membolehkan raja membunuh dirinya. Tapi bukan tujuannya nak mati sia-sia. Dia memperkudakan raja agar perjuangan aqidah itu sampai kepada matlamatnya. Di hadapan semua manusia, kalimah tauhid itu berjaya ditegakkan. Kita pun perlu begitu. Jadi doktor yang hebat. Tujuannya semata-mata agar perjuangan aqidah ini sampai kepada matlamatnya. Agar Islam ini mencapai ustaziatul alam.

Lepas tu, kita tengok lagi ghulam ni. Dia cuba test ilmu dia saat dia bertemu binatang di jalanan. Dan bila dia yakin yang ajaran rahib adalah betul, dia pun mengorak langkah. Cuba tanya kat diri kita? Kita yakin ke dengan Islam yang kita pikul? Kita malu tak nak cakap dengan orang lain pasal Islam? Kalau kita dah yakin, apa yang kita lakukan? Ghulam ni saat dia dipanah dan syahid, dia dah tinggalkan roh-roh iman dan Islam ke dalam hati rakyatnya. Kalau kita ditakdirkan meninggal dunia hari ini atau esok, apa yang kita dah tinggalkan? Adakah kita telah mengubah sesuatu? Adakah kita telah menyinari hati manusia lain dengan roh iman dan Islam? Atau kita juga sama dengan insan lain yang menjadi beban di muka bumi Allah ini tanpa melaksanakan apa-apa?

Dalam kisah ghulam ni jugak, Allah tetap menyempurnakan agamaNya sebagaimana Dia menolong ghulam dalam kisah ini. Kaum yang selama ini berada dalam kesesatan dan kezaliman mendapat hidayah Allah apabila melihat peristiwa yang berlaku kepada budak itu.Allah taala senantiasa membantu mereka yang menegakkan dan memelihara serta mempertahankan agamaNya. Dalam keadaan realiti di zaman ini yang penuh dengan hiruk pikuk Jahiliyyah, hanya kitalah harapan ummah. Manusia lain melihat kita seolah-oleh bermimpi dengan kemenangan Islam, tapi kita percaya Islam tetap akan gemilang. Kita berusaha ke arah tersebut agar kita layak di kaca mata Allah untuk dikurniakan kemenangan.

Apa lagi yang kita pelajari dari hadis ghulam ni? Allah mampu membangkitkan pendakwah pada agamaNya daripada kalangan orang yang mana pada mulanya dianggap pengukuh kepada kerajaan Thaghut sebagaimana ghulam di dalam kisah ini, pada mulanya ghulam itu menjadi murid kepada tukang sihir tetapi akhirnya beriman kepada Allah melalui pengajian yang di perolehi daripada rahib dan akhirnya dia menjadi penentang paling kuat kepada kerajaan yang zalim itu. Kadang kita lihat sahabat kita, dah macam tiada harapan. Kita tertanya-tanya, bolehkah dia berubah? Tapi hidayah milik Allah. Kita hanya berusaha. Kalau kita dah tak mampu dah nak ubah dia, perkara paling kecil yang kita lakukan adalah doa. Berapa kali kita doakan dia? Kita tidak pernah tahu takdir penentu titisan hidayah ke atas dirinya. Sekiranya Allah takdirkan dia bertemu seseorang, hatta mungkin seorang penzina sekalipun, mungkin sahaja dia berubah. Sepertimana kisah Imam Syafie yang belajar sesuatu dari pencuri. Sahabat kita itu mungkin hanya memerlukan satu saat sahaja untuk berubah. Dan berubahnya sahabat kita itu kelak mungkin sahaja menjadi batu locatan kepada perjuangan Islam itu sendiri.

Kisah ghulam ni juga mengajar kita bahawa iman tidak memerlukan masa yang panjang setelah diberi hidayat oleh Allah didalam hati manusia sebagaimana yang terjadi kepada kaum di dalam kisah ini. Tidak siapa tahu urusan hidayah dan iman ni. Kadangkala di saat akhir kehidupan seseorang itu, barulah dia menemukan cahaya keimanan sepertimana pengikut-pengikut ghulam. Ghulam tidak sempat pun ajar surah Fatihah, syariah kat pengikut-pengikutnya. Tapi berimannya pengikut-pengikut ghulam, mereka sanggup untuk dicampak dalam parit yang panasnya begitu menyakitkan.

Allah juga mengurniakan karamah (kemuliaan) kepada wali-waliNya didalam memperkukuhkan lagi keimanan dan keyakinan. Mungkin dalam realiti kita di zaman ini, mungkin Allah kurniakan kita lisan yang fasih dan segala macam kelebihan untuk menyentuh hati manusia. Menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan perjuangan dan menjadi mata-mata rantai perjuangan.

Kita juga belajar satu perkara yang sangat praktikal dengan kita. Orang kafir sentiasa bermusuh dengan orang beriman sebagaimana di gergaji rahib dan pegawai raja yang telah beriman kepada Allah. Dalam urusan perjuangan dan tarbiah ini, pasti ada onak diri. Semakin tinggi kefahaman, semakin tinggi ujian. Jalan dakwah ini tidak pernah dihampar dengan permaidani merah. Macam-macam cara musuh Islam bekerja untuk menghancurkan kita. Tapi kita wajiblah bersabar di dalam menempuh ujian sebagaimana sabarnya rahib, pegawai dan budak itu serta kaum yang telah dihumbankan ke dalam lubang api. Dapat kita bayangkan bagaimana rasanya kalau digergaji? Dapat kita rasakan bagaimana sakitnya kalau dihumban ke dalam api? Kadangkala kalau nak dibandingkan dengan ujian mereka, ujian yang kita lalui terlalu sedikit. Mudah sahaja kita mengeluh bila Allah uji dengan sedikit cubaan. Kita selalu sahaja meminta kat Allah dipermudahkan ujian. Kenapa kita tidak minta kat Allah agar dikurniakan hati, fizikal dan mental yang kuat untuk menghadapi ujian?

Apa lagi yang best pasal hadis ghulam ni? Pasal kes ‘tipu-tipu’.

Rahib berkata, ‘Jika tukang sihir ingin memukulmu katakanlah, aku terlambat karena keluargaku. Dan jika keluargamu hendak memukulmu maka katakanlah, aku terlambat karena (belajar dengan) tukang sihir’.


Ada yang salah guna hadis ni dan mengatakan Islam membenarkan kita menipu. Islam tidak sesekali membenarkan kita menipu. Tiada istilah bohong sunat dalam Islam. Cuma dalam kes ni, situasinya berbeza. Cuba bayangkan kalau si rahib tak suruh ghulam buat macam tu. Apa akan jadi? Ghulam dah tidak boleh belajar ilmu dari si rahib. Terputus ilmu. Islam tak ke mana. Tipu tidak pernah dibenarkan dalam Islam kerana keburukannya yang besar. Namun dalam situasi di mana keburukan akan menjadi lebih besar sekiranya tidak menipu, maka ketika itu hukumnya adalah wajib menipu.

Sama juga situasinya di zaman Rasulullah, berkenaan dengan kisah Ammar. Bila dia sudah nyaris dibunuh, dia mengatakan dia tidak beriman dengan Allah dan RasulNya, meskipun hatinya tidak mengiakannya. Rasulullah iktiraf perbuatan dan iman Ammar kerana dalam keadaan darurat.


Di dalam Islam, kita dibolehkan membuat helahan dalam peperangan dan perkara yang bertujuan menegakkan kebenaran. Contoh macam kita la kan, mungkin kalau nak pergi program agama, ayah dan ibu kita tidak beri izin. Apa kita nak buat? Jangan berbohong, tapi berdalih. Katakan pada ayah dan ibu kita, kita nak pergi program motivasi. Kita tak berbohong, bukan? Sebabnya kalau kita program agama, dengar kisah ghulam misalnya, kita akan termotivasi, bukan?

Macam jugak dalam kisah Rasulullah SAW. Rasulullah lihat ada seorang pemuda Mukmin yang dikejar oleh musuh. Musuh tersebut tidak mengenali Rasulullah dan bertanyakan Rasulullah, adakah Rasulullah melihat pemuda tersebut. Apa Rasulullah lakukan? Rasulullah ubah kedudukan dia dengan melangkah ke tempat lain dan Rasulullah mengatakan, ”Sewaktu aku berada di sini, aku tidak melihatnya”. Rasulullah menipu ke? Tidak, tetapi sebaliknya Rasulullah berdalih.

Macam jugak perjalanan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Bila ada yang bertanyakan Saidina Abu Bakar, siapakah Rasulullah, Saidina Abu Bakar mengatakan bahawa Rasulullah itu adalah ’penujuk jalan’ untuk menjaga keselamatan Rasulullah. Mungkin di mata orang yang bertanya, Rasulullah adalah orang yang tahu selok belok perjalanan ke sesuatu tempat, tetapi di hati Saidina Abu Bakar, dia tahu bahawa Rasulullah adalah ’penujuk jalan’ yang lurus. Saidina Abu Bakar berbohong ke? Tak, sebaliknya berdalih.

Dalam hadis ghulam ni juga ditekankan tentang kepentingan menjaga ’sirr’/ kerahsiaan.

Sang rahib berkata, ‘Wahai anakku, kini engkau telah menjadi lebih utama dari diriku. Kelak, engkau akan diuji. Jika engkau diuji maka jangan tunjukkan diriku”.

Kenapa rahib tidak benarkan ghulam menunjukkan diri si rahib? Sebab ni adalah perkara kerahsiaan. Ada perkara yang kita perlu jaga dalam perjuangan sebab musuh Islam sentiasa mencari jalan menghancurkan kita. Kerahsiaan (sirr) dan berhati-hati (hazar) ini adalah salah satu strategi dalam Islam.


Mereka yang benar-benar yakin, Istiqomah, sabar dan ikhlas dalam perjuangan sahaja yang akan mendapat kemenangan. Malah hadis ini diletakkan dalam bab sabar di dalam kitab Riyadhus Salihin. Moga kisah ini memberikan suntikan semangat buat kita untuk terus berada dalam perjuangan yang penuh onak dan duri ini.

Basi...

Tulisan ini dinukilkan sewaktu saya dan kawan-kawan yang lain akan bertolak ke Perak untuk program Le Tour de Perak. Saya ingin kongsikannya di yahoogroups, cuma tak berkesempatan. Tulisan ni sudahpun basi, tapi insya Allah ada manfaatnya. Saya tidak edit apa-apa pun. Anggap sahaja ia adalah perjalanan ke masa lampau :) Semoga ada khairnya..

---------

Alhamdulillah, Allah masih memberi saya peluang untuk bernafas di buminya dan merasai nikmat iman dan Islam yang rasanya terlalu berharga. Maafkan saya andai yahoogroup ini sepi tanpa sebarang berita. Saya masih mengharapkan kunjungan marsum maya sahabat-sahabat lain juga untuk dikongsikan bersama di dalam yahoogroup ini.

Sekadar berkongsi cerita yang membuatkan hati saya terasa dan tersentuh sebentar tadi. Saya benar-benar merasai kasih sayang Allah. Betapa Dia begitu memahami gejolak jiwa hambaNya. Allah memahami betapa hati ini begitu resah dan gelisah.

Hari ini bermula cuti semester saya dan rakan-rakan yang lain. Kami bersama-sama menganjurkan program Le Tour De Perak. Saya sudah memberikan nama sekian lama untuk turut serta di dalam program tersebut. Saya bersemangat untuk pergi bersama kawan-kawan yang lain sebelum ini. Namun seakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya sehari dua ini. Saya kira hati saya terlalu berat untuk pergi tiba-tiba. Dan saya nyaris memotong nama saya hari ini. Hingga ke saat akhir saya masih lagi terumbang-ambing membuat keputusan. Mahu pergi ataupun tidak?

Saya kongsikan perasaan saya dengan seorang kawan. Saya kira cuti saya lebih bermakna sekiranya saya bersama keluarga. Boleh mula belajar untuk Profesional Exam yang akan bermula akhir bulan Jun nanti. Tidak perlu susah-susah nak pakai t-shirt sehari suntuk di dalam program. Barangkali kerana saya benar-benar tidak selesa bekerja dengan t-shirt. Huhu.. Tapi kata-kata kawan saya ini tadi benar-benar membuat saya terpukul."Kau pergi untuk bantu orang. Dapat pahala. Tapi terpulang kat kau la," katanya. Ya, akhirnya saya membuat keputusan untuk pergi meskipun dengan hati yang berat kerana hati saya masih sukar menemukan ketenangan. Seakan bimbang akan terjadi sesuatu.

Saya menelefon ibu saya dan bertanyakan pendapatnya. Katanya, "Pergilah, cari pengalaman. Belajar pasal orang lain”. Ya, saya perlu pergi. Allah jua yang mengetahui perjalanan hambaNya. Keputusannya, saya pergi.

Hmm..pukul 8 malam tadi adalah pelancaran bagi program Le Tour De Perak. Saya kira saya terlalu malas untuk pergi ke program pelancaran. Saya berpuasa dan saya kira menikmati hidangan lebih baik dari menghadiri majlis pelancaran. Tapi benar sekali apa yang saya pelajari dahulu. Perjalanan hidup kita bukannya kebetulan kerana kebetulan bertentangan dengan aqidah kita, tapi ia adalah Sunnatullah yang akan terus berlaku.

Di saat saya sudahpun menempah makanan saya, berkali-kali kawan saya menelefon. Saya perlu pergi juga ke majlis pelancaran. Huhu..makanan dahpun saya order. Apa yang perlu saya lakukan? Dengan kehendak Allah, makanan yang saya order tiba dengan cepat dan saya hanya mengambil masa tidak sampai 5 minit untuk makan sekadarnya. Huhu..makanan tersebut berbaki kerana saya perlu bergegas ke program pelancaran.

Apabila saya tiba, program baru sahaja bermula dan saya sempat mendengar kata-kata aluan daripada Dean saya. Masya Allah, tazkirah tersebut seolah-olah ditujukan untuk saya yang gelisah tidak tentu hala ini.

Pertamanya, Prof tekankan tentang niat. Betulkan niat nak pergi program ni. Kalau tak ikhlas baik tarik diri. Amalan yang dilakukan tidak berguna kalau diri tak ikhlas. Sememangnya hati saya tidak ikhlas dan berat untuk pergi. Huhu..terkena nampaknya..

Keduanya Prof tekankan tentang sabar. Bila hati dah pun diniatkan untuk menolong orang, maka ujian pun akan datang dari segenap arah. Kena sabar. Huhu..saya tidak pun sabar berhadapan dengan ujian hati yang gelisah tidak tentu hala ini. Terkena lagi nampaknya..

Ketiganya Prof tekankan tentang adab. Adab dengan orang tua dan juga adab dengan kawan-kawan. Ya, saya sepatutnya lebih sedar berkenaan dengan adab saya dengan kawan-kawan saya. Barangkali hati mereka terguris kerana saya tiba-tiba membuat keputusan untuk tidak pergi. Maafkan saya, duhai kawan..

Seterusnya Prof tekankan tentang konsep Allah Maha Mengetahui. Tidak siapa tahu apa yang akan terjadi dalam perjalanan ini. Dan tiada siapa tahu bila tiba ajalnya seseorang. Kena yakin Allah yang terntukan perjalanan ni. Kena sabar bila diuji. Saya terkena lagi nampaknya. Sewajarnya saya tidak perlu bimbang memikirkan perjalanan ini kerana pastinya Allah lebih mengetahui mana yang lebih baik buat saya.

Benar kata Prof. Perjalanan ni perlu dilihat dan dinikmati dari kaca mata spiritual. Kalau tidak mungkin tidak ke mana. Kalau tidak ikhlas, kita akan balik dengan tangan kosong dan kesal. Kita akan balik dalam keadaan letih tapi tidak berbaloi bila segalanya bukan kerana Allah..

Syukur padaNya kerana membuatkan saya kembali yakin dengan pilihan saya untuk pergi. Kalau ikut logik akal semata, mungkin saya tidak sempat langsung nak dengar kata-kata Prof. Tapi Allah yang menetapkan perjalanan hambaNya. Dia memilih saya untuk mendengar kata-kata Prof. Seakan-akan Dia berbicara kepada saya. Benar, perjalanan hidup kita sememangnya bukannya kebetulan kerana kebetulan bertentangan dengan aqidah kita, tetapi adalah Sunnatullah (ketentuan Allah) yang akan terus berlaku.

Tapi jangan sesekali salah faham dengan kata-kata tersebut. Sunnatullah tetap perlu disesuaikan dengan Syariatullah. Sunnatullah ni macam ikan hidup di dalam air, ais membeku pada suhu 0°C, siapa yang berusaha sungguh-sungguh akan berjaya dalam kehidupannya dan bermacam-macam contoh lagi. Matahari yang berputar pada orbitnya dan semua makhluk Allah hidup dengan peraturan Sunnatullah. Tapi Allah turunkan Syariatullah untuk menjaga keseimbangan Sunnatullah. Syariatullah ini adalah segala yang tercatat dalam Al Quran dan hadis dan ianya perlu diikuti.

Ada yang berkata kepada saya, pertemuannya dengan kekasih pilihan hati (pecintaan yang tidak halal) sebagai Sunnatulllah. Pertemuannya dengan lelaki pilihan hatinya adalah ketentuan Allah dan bukannya kebetulan. Terkesima saya seketika. Ya,benar. Fitrah manusia untuk bercinta itu adalah Sunnatullah. Tetapi di sana Allah menurunkan syariatnya iaitu kita perlu bernikah. Adakah anda telah menjaga Syariatullah? Tepuk dada, tanyalah iman..

Kalau ada yang tidak faham atau sebarang kesilapan dalam tulisan saya, saya minta pembetulan dari sahabat-sahabat sekalian. Oh ye..bas kami ke Perak akan bertolak pada pukul 11.30 malam nanti..Doakan kami..

Friday, February 22, 2008

Ikhlas dan writer's block..


Saya baru sahaja selesai menghadiri majlis ‘Sunathon Appreciation Night’. Ada pengajaran bermakna yang saya perolehi dari majlis ini iaitu kata-kata yang keluar dari insan yang saya kagumi, Prof Latiff berkenaan keikhlasan.

Ya, ikhlas. Ikhlas sehingga tidak mengharapkan apa-apa. Saya memuhasabah diri saya sendiri terutamanya berkenaan syndrom Writer’s block yang saya alami. Saya berhenti menulis untuk blog dan yahoogroups kerana konon-kononnya ingin menulis novel. Apabila saya mula memikirkan ingin mendapat sesuatu dari tulisan saya, terlalu sukar untuk menulis hatta sebaris ayat. Keikhlasan itu hilang. Ya Allah, kini saya menyedarinya.

Bila kita mula bertanya, apa yang akan kita perolehi dari sesuatu pekerjaan yang kita lakukan, bermakna keikhlasan telah mula hilang. Ya, benar. Dan saya benar-benar memahaminya kini. Allah memberikan semula ilham untuk menulis apabila saya telah membetulkan niat saya kembali. Terima kasih Allah atas teguran ini.

Keikhlasan, saya mula memahaminya kini.

Thursday, February 21, 2008

Riya' dan ujub...

Riya’ dan ujub. Dua dosa yang sukar untuk dilihat. Riya’ ni apa? Riya’ ni bila kita buat sesuatu kerana orang dan meninggalkan sesuatu kerana orang. Kita buat sesuatu kerana orang contohnya adalah kita rajin bila si dia ada. Kita tinggalkan sesuatu kerana orang contohnya adalah apabila kita nak buat solat sunat dan kita takut orang akan cakap kita wara’, maka kita pun tinggalkanlah solat sunat tersebut.

Ujub ni pula adalah bangga diri. Kita rasa bangga dapat bercakap. Kita rasa bangga dapat mengalirkan air mata insan lain.

Dua-dua dosa ni adalah dosa hati. Susah sangat nak nampak.

Ujub misalnya, kadang kita seorang pun boleh berlaku. Contohnya kita bangun qiam, mak ayah kita tak tahu, kawan-kawan kita pun tak tahu, dan kita pun rasa bangga dapat bangun malam ni even orang lain tak bangun.

Dua dosa ni terlalu bahaya dan kadangkala kita tidak sedar pun. Apa nak buat bila dua perasaan ni menyerang? Istighfar banyak-banyak sehingga hati terasa tenang. Selain tu, cuba lihat alam ni. Terlalu luas bukan? Bayangkan kita dengan bumi ini. Bayangkan kita pula dengan alam semesta yang luas. Bukan satu sahaja matahari, ada jutaaan lagi matahari di angkasa luar sana. Bayangkan galaksi bima sakti. Terlalu luas bukan. Berdirinya kita di bumi Allah ini hanyalah menyedarkan kita bahawa kita ini adalah terlalu kecil sebenarnya. Tidak kira kita ni doktor, ahli farmasi, professor atau siapa sahaja. Kita terlalu kecil sebenarnya. Insya Allah, dengan merasakan kekerdilan seorang hamba, akan terhapuslah perasaan ni tadi. Sama-samalah kita melawan dua perasaan ni. Moga Allah memberikan kekuatan. Tulisan ini adalah peringatan buat diri ini.

Motivasi...

Saya mohon Allah jauhkan saya dari sifat riya’ dan ujub sewaktu menulis tulisan ini. Nikmat kesenangan juga adalah ujian dariNya, cuma manusia jarang menyedarinya. Berdepan dengan nikmat kesenangan lebih sukar dari berhadapan dengan nikmat kesusahan. Kesusahan seringkali menyedarkan, tetapi kesenangan seringkali melalaikan.

Tulisan ini cuma suntikan semangat buat saya dan juga mungkin buat mereka yang pernah merasakan kesukaran dalam hidup. Saya cumalah insan yang merangkak dalam bidang perubatan ini, bukannya berlari. Tetapi saya ingin sekali melakukan yang terbaik sebelum saya pergi meninggalkan dunia ini.

Saya bercita-cita nak jadi DR (Daie Rabbani). Apa bestnya jadi daie? Sebab seorang daie ingin sekali setiap perbuatannya menjadi manifestasi dakwah. Sewaktu berjongging pun dia nak berdakwah, sewaktu berbicara pun dia nak berdakwah, sewaktu makan pun dia nak berdakwah, berhadapan dengan penyakit juga ingin dijadikan dakwah. Segalanya dakwah. Dia ingin setiap insan yang melihat dirinya merasai kehadiran Allah dalam hidup mereka. Tinggi sekali cita-cita tersebut, moga Allah mengabulkannya.

Sepanjang 3 minggu course Behavioral Science, satu subjek yang bersangkut paut dengan psikologi manusia, saya rasa gembira sekali. Sebab saya belajar mengenali diri saya sendiri. Dalam subjek ini, setiap hari akan ada ‘best presenter’. Allah memilih saya, hambaNya yang kerdil ini untuk menjadi ‘best presenter’ pada suatu hari. Dan dalam 5 calon yang terpilih sepanjang course ini, Allah memilih saya untuk mejadi ‘best presenter’ keseluruhannya. Secara zahirnya, mungkin manusia yang memilihnya tetapi secara maknawinya Allah yang memilih saya sebagai ujian buat saya.

Sewaktu setiap calon perlu mempromosikan diri masing-masing, saya katakan di hadapan kelas, “I don’t want to become the best presenter in front all of you, I just want to become the best presenter in front Allah”. Saya benar-benar maksudkannya. Tiada maknanya mendapat sanjungan manusia, tetapi jauh dari pandangan dan rahmatNya. Di saat saya melalui kesukaran dalam pelajaran saya, saya katakan pada diri saya, bukan A yang saya kejar tetapi markah yang hanya Allah sahaja menilainya. Tidak kisah gagal sekalipun, tetapi biarlah Allah menilainya sebagai kejayaan. Biar Allah sahaja yang memahami kesukaran saya meneruskan kehidupan ini. Syukur padaNya, saya tidak gagal dalam mana-mana subjek sepanjang melalui 3 semester di sini.

Allah jua tidak ingin saya bermegah-megah atau terlalu gembira sehingga saya melupakanNya. Hari yang sama, saya juga tahu saya perlu ke hospital lagi minggu depan. Meskipun saya tahu seharian kerjaya saya kelak adalah di hospital, saya tidak sukakan hospital. Hanya setelah bergelar pesakit, saya mula bencikan hospital. Terlalu benci barangkali. Insya Allah, saya akan menulis kisah hospital dalam siri yang lain.

Berkenaan dengan kejayaaan tersebut, saya yakin kejayaan itu bukan milik saya sebenarnya. Saya masih lagi ingat kisah yang pernah diceritakan oleh ayah saya. Kisah 2 orang nelayan. Seorang ini selalu sahaja mendapat ikan, manakala yang seorang lagi tidak mendapat ikan. Si nelayan yang sering mendapat ikan merasakan bahawa Allah mengabulkan permintaannya. Tetapi sebenarnya Allah mengabulkan permintaan nelayan yang tidak mendapat ikan itu kerana nelayan tersebut berdoa agar Allah memberikan rezeki yang terbaik buat sahabatnya sehingga terlupa berdoa untuk dirinya sendiri.

Saya pasti di luar sana pasti ada insan yang sering mendoakan saya tanpa saya ketahui. Dia mungkin sahabat saya yang tidak dapat belajar dalam bidang perubatan. Dia mungkin juga anda yang membaca blog ini. Dia mungkin juga guru-guru saya. Dan dia mungkin sahaja ahli keluarga saya. Allahu A’lam. Allah lebih mengetahuinya. Moga kejayaan ini terus memotivasikan saya melalui kehidupan ini.

Tuesday, February 05, 2008

Hippocampus...


Setelah lama meninggalkan addmath, akhirnya saya menyentuhnya kembali apabila adik saya meminta bantuan. Saya kira saya sudah terlalu jahil mengenai addmath apabila terlibat dengan pelajaran yang melibatkan perubatan sehari-hari. Saya silap perkiraan sebenarnya. Hippocampus saya yang digunakan untuk menyimpan maklumat jangka masa panjang masih berfungsi lagi nampaknya. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya rafa'kan kepada Allah yang mencipta otak saya dengan segala kesempurnaan. Alhamdulillah, setelah lama tidak menggunakan kalkulator, saya masih lagi mengingati cara mencari punca (root) dengan menggunakan kalkulator.

Hebat bukan Allah yang mencipta hippocampus untuk menyimpan maklumat jangka masa panjang (long term memory)? Cuma saya tertanya-tanya, adakah saya mengingati ISK (Inilah Sejarah Kita) yang saya pelajari dari akak-akak yang begitu bersemangat menceritakannya?Ingatkah saya akan luka ummah? Ingatkah saya tentang pembunuhan 1 juta umat Islam yang dibunuh oleh tentera Tartar? Ingatkah saya akan Palestina? Ya Allah, biarlah hippocampus saya berfungsi dengan baiknya dan mengingatkan saya tentang semua ini. Biarlah hippocampus saya mampu mengembalikan kembali semangat saya yang sirna.

Thursday, January 31, 2008

Resah dan gelisah..

Siapa yang mampu hidup tanpa tarbiah? Saya kira saya tidak mampu hidup tanpanya. Seakan saya berada dalam kesakitan yang amat. Seolah-olah sesuatu yang paling berharga hilang dari atma jiwa. Keresahan yang sukar dimengerti. Saya terseksa. Saya tidak kuat. Saya inginkan daurah. Saya inginkan pengisian bagi jiwa saya sendiri. Jiwa yang seolah-olah lapar hingga mahu menerkam segala macam karat jahiliah yang membara di sekelilingnya. Jiwa ini begitu lemah. Jiwa ini lalai. Bilakah keresahan ini akan berakhir?

Adakah saya mengingati Palestin dengan seluruh jiwa saya? Atau ia hanya ungkapan di bibir semata? Adakah saya mengingati mereka saat saya begitu bahagia di samping keluarga? Adakah saya memahami keperitan mereka di saat saya hanyut dengan karat jahiliah yang ada? Adakah saya mengingati mereka di saat saya tidur di atas katil yang empuk? Maafkan saya, Palestina. Di saat kalian bersusah payah inginkan oksigen, saya tiada di sisi kalian. Di saat kalian dibantai, saya bahagia di sini. Ke mana perginya saya, diri yang begitu hina dengan bertan-tan dosa ini. Ya Allah, di manakah saya tika itu?

Saya seakan sukar menulis. Saya tidak ingin menulis di saat jiwa saya sendiri begitu lemah. Saya tidak ingin menulis bait-bait yang lahir dari hati yang kotor. Saya kehilangan diri saya sendiri saat ini.

Kadangkala bila saya fikirkan kembali, bukan tiada insan yang mendamba tentang Islam. Yahoogroup generasi juga mencecah 189 orang yang inginkan pengisian tentang Islam. Tapi di sana tiada daie. Tiada yang ingin menulis. Tiada yang ingin memberi. Malah saya sendiri dalam konflik sendiri. Saya rasa bersalah sekali. Lebih-lebih lagi memikirkan tentang Syahadatul Haq, penyaksian saya. Ya Allah, dosa hambaMu ini tidak mampu dinukilkan, tidak mampu difikirkan. Bilakah semua ini akan berakhir??

Thursday, January 10, 2008

Palestina..


Di mana dirimu, Fira? Apa perasaanmu saat menyaksikan semua ini? Masih terasa ujian dirimu adalah berat? Ingin kematian tanpa berusaha di dunia?? Maafkan diriku, Ya Rabb..

Buat akhawat Brunei, moga tabah menghadapi segalanya..

Salam Maal Hijrah..

Salam Maal Hijrah buat semua. Hari ini mengingatkan kita bahawa usia kita telah pun berkurang sehari. Hari ini mengingatkan kita bahawa kematian itu begitu hampir. Adakah kita bersedia melaluinya pada bila-bila masa?

Sekadar untuk berkongsi cerita. Semalam Allah memberi saya peluang untuk mendengar pengisian berkenaan Maal Hijrah. Saya tidak mengenali penceramah dan tidak dapat menatap wajahnya kerana tirai yang memisahkan di antara lelaki dan perempuan. Namun, cukuplah untuk saya katakan bahawa peringatan tersebut amat bermanfaat untuk diri saya dan begitu terkesan di hati.

Penceramah tersebut bercerita mengenai pengalamannya sewaktu belajar di UK. Beliau bertemu dengan seorang pakar psikiatri terkenal di sana. Saya tidak pasti nama sebenar doktor tersebut. Samar-samar kedengaran namanya seperti Dr Mubayyan. Dr Mubayyan ini begitu fasih berbicara dalam bahasa Inggeris dan Arab. Dia pernah dihantar untuk mengetuai misi di Palestin bagi membantu mangsa-mangsa yang saban hari melalui keperitan peperangan.

Setibanya Dr Mubayyan di Palestin, dia ingin berehat di hotel. Saat dia melelapkan mata, kedengaran suara mengatakan, “Adakah kamu ke Palestin sejauh ini hanya untuk tidur?”. Lantas Dr Mubayyan ini bangun dari tidurnya dan pergi bersolat di Masjidil Aqsa.

Di Masjidil Aqsa, seusai solat, dia melihat segolongan manusia sedang berkerumun di satu tempat. Hatinya tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Rupa-rupanya mereka sedang mendengar ucapan dari Assyahid Sheikh Ahmad Yassin. Dr Mubayyan memasang azam untuk bertemu dengan Sheikh Ahmad Yassin keesokan harinya.

Siapa Assyahid Sheikh Ahmad Yassin ini? Dia adalah seorang insan yang mana imannya begitu digeruni oleh Israel. Dia seorang yang lumpuh, tak mampu untuk menggerakkan dirinya sendiri tapi jasadnya ini begitu ingin dimamah oleh peluru berpandu Israel. Dia berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan kerusi roda yang perlu ditolak oleh pengikut ataupun anaknya. Tapi insan ini, namanya sahaja sudah cukup untuk menggentarkan kawan dan lawan.

Dia membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dari Mesir ke Palestin dan mengasaskan HAMAS. Dia mengetuai semangat jihad Palestin. Dia mengobarkan semangat pemuda-pemuda Palestin.


Keesokan harinya Dr Mubayyan dapat bertemu dengan Syeikh. Setelah memperkenalkan diri, Syeikh memintanya datang ke rumahnya selepas solat Subuh. Mereka akhirnya bertemu dan berdiskusi. Kata-kata Sheikh yang tidak dapat dilupakan oleh Dr Mubayyan adalah, “Aku bersedia untuk mati pada bila-bila masa sahaja. Aku bersedia untuk kematian”. Masya Allah, imannya membuatkan dirinya mengungkapkan kata-kata tersebut.

Dan pada 22 Mac 2004, seperti kebiasaannya sehari-hari, di hujung malam menjelang Subuh, Sheikh Ahmad Yassin khusyuk bermunajat untuk kemerdekaan Palestin. Dia tidak pernah membayangkan hari itu adalah hari yang telah lama diimpikan dan dirinduinya. Dalam keadaan bersih dan berwudhu’ itu, dia membaca beberapa lembar ayat Al Quran dan bermunajat kepada Allah untuk pembebasan Palestin dari cengkaman Israel.

Setelah itu, pemimpin Hamas yang lumpuh ini, dibantu oleh dua pembantunya menuju Masjid Mujamah Al Islami, sejauh 200 meter dari rumahnya.

Di masjid itu, Sheikh Yassin menunggu hingga azan subuh. Seusai menunaikan solatnya, para jama’ah seperti biasa, berkerumun untuk menyalaminya. Kemudian menanyakan tentang kesihatan beliau, seakan para jama’ah ingin mengucapkan salam perpisahan kepada pemuda yang tak pernah kenal menyerah kepada penjajah Zionis itu.

Ketika dua pembantunya menolong mendorong kerusi rodanya keluar, lalu kira-kira hanya berjarak 40 meter dari pintu masjid, sebuah helikopter Apache buatan AS menghujamkan 3 pelurunya ke arah tubuh yang lumpuh itu. Salah satunya tepat menimpa langsung ke tubuh Sheikh Yasin. Seketika itu juga Yasin menemui syahidnya, suatu momentum yang sesungguhnya telah lama dinanti-nanti oleh pemuda yang lumpuh seluruh tubuh itu.

Segera setelah pengeboman itu, sejumlah ambulans menghambur ke lokasi kejadian dengan membunyikan sirennya. Bunyi raungan siren lalu ditingkahi kesibukan para jama’ah masjid, semuanya menyatu di lokasi pengeboman. Tubuh Sheikh Yassin dan 8 jasad lainnya, serta cairan putih otak pemimpin spiritual Hamas itu, kelihatan tercecer di jalan.

Walaupun menderita lumpuh total seumur hidup (akibat kemalangan yang dialami pada masa kanak-kanaknya), Sheikh Yasin telah mencurahkan seluruh hidupnya untuk membangkitkan perlawanan bangsa Palestin terhadap penjajah Zionis.

Dia memang tinggal jauh di Palestin, bahkan kini lebih jauh lagi (setelah dia menemui syahid), Sheikh Yasin sesungguhnya sangat dekat di hati seluruh kaum Muslimin dan Arab, serta para pejuang kebebasan di seluruh dunia. Selamat jalan wahai mujahid agung nan perkasa!

Masih terbayang-bayang detik-detik pemergian Assyahid. Saat itu, di Malaysia baru sahaja diumumkan keputusan pilihanraya. Keputusan yang menggoncang jiwa mereka yang berjuang di jalannya. Dan kesyahidan Assyahid seolah-olah memujuk hati, bahawa itulah Sunnah orang yang berjuang. Perjuangan Hamas tidak pernah padam dengan pemergian Assyahid malah semakin harum. Sewajarnya kita juga begitu.




Dan saat ini, kisah ini seolah-oleh menjadi peringatan yang bermanfaat buat saya. Bila Allah uji dengan sakit yang terlalu kecil, lebih kecil dari sebutir debu ujian yang pernah ditimpakan kepada Nabi Ayub, saya sudah mengeluh. Tidak mampu sabar menunggu doktor selama 5 jam. Tertinggal dua kelas sudah tertekan. Apabila terasa berat melakukan sesuatu, begitu mudah saya berputus asa. Tapi Assyahid, beliau begitu tabah mengharungi kehidupan meskipun dalam keadaan lumpuh. Beliau mampu mengobarkan semangat jihad insan lain. Mampu mengasaskan HAMAS dan mengukuhkannya. Dan dia menjadi insan yang dirindui oleh Rasulullah SAW.

Terharu rasanya mendengar kisah ini yang juga diceritakan oleh penceramah. Saya jumpai tulisan ini lewat maya. Di saat mana Rasulullah mengatakan dia merindui saudara-sauadaranya, suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.


"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.


"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:
"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas

Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.

Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.

Salam Maal Hijrah. Moga hari ini lebih baik dari semalam.

Sunday, January 06, 2008

Sel darah merah...

Ya Allah, mampukah aku menjadi seperti sel darah merah itu? Aku kagum dengannya. Aku kagum dengan ciptaanMu yang unik itu.

Ya Allah, sel darah merah itu hanya hidup selama 120 hari sahaja, tapi dia telah berjalan sejauh 480 km untuk mengangkut hemoglobin dan memastikan proses pertukaran gas berlaku dengan baik. Dia telah berusaha sebaiknya semasa hayatnya. Dia telah berjihad dan berjuang sehingga saat-saat penghabisan. Sukar untuk aku bayangkan bagaimana dia sanggup meredah 480 km untuk memastikan tugasnya dilaksanakan dengan baik.

Ya Allah, adakah aku mampu menjadi seperti sel darah merah itu? Mampukah aku untuk hidup berjuang dan berjihad sepertinya selama hayatku? Mampukah aku mengangkut beban dakwah ini seperti mana dia telah mengangkut hemoglobin? Mampukah aku memastikan manusia lain menerima sentuhan iman sepertimana dia telah memastikan sel-sel di dalam tubuhku menerima sentuhan oksigen? Mampukah aku berjalan jauh seperti dirinya untuk memastikan proses dakwah dan tarbiah berjalan?

Ya Allah, saiznya begitu kecil. Diameternya hanya 8 mikrometer. Tapi dia mampu melalui dan meredah laluan-laluan sempit sekecil 3.5 mikrometer untuk memastikan keseimbangan hemoglobin. Bagaimana mungkin dia melakukannya? Ya Allah, rupanya Kau tidak menjadikannya bersaiz bulat dan ‘cute’ seperti bola. Kau memberikannya kelebihan. Kau menciptanya dengan bentuk ‘biconcave disc’, sempit dan leper di tengah agar dia mampu menjadi fleksibel seperti ‘transformer’ untuk melalui laluan yang begitu kecil. Masya Allah, sungguh agung ciptaanMu.

Ya Allah, bagaimana dengan diriku? Aku tidak sekecilnya. Tapi apa yang telah aku lakukan? Kau juga telah memberikan aku kelebihan. Tapi apa yang telah aku lakukan dengan kelebihan itu? Mampukah aku merentasi jalan dakwah yang penuh onak dan duri ini seperti dirinya yang sanggup melalui laluan yang begitu sempit? Mampukah aku melaluinya agar keseimbangan dakwah dan tarbiah menyinari hati manusia sepertimana dia telah memastikan keseimbangan hemoglobin di dalam badanku?

Ya Allah, mampukah aku menjadi fleksibel dengan mad’uku seperti dirinya? Ya Allah, aku malu dengan dirinya. Dan aku bertambah malu padaMu yang mencipta diriku dengan seribu satu kelebihan. Aku punya tangan, tapi aku malas menulis untuk agamaMu. Aku punya kaki, tapi kakiku ini malas berjalan untuk menyebarkan dakwah. Aku punya mulut, tapi jarang sekali aku bercerita tentang deenMu. Aku malu, Ya Allah..Ampunkan diriku yang lemah ini, wahai Rabb yang Agung..

"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (QS. Ali 'Imran:191)

Saturday, December 22, 2007

Surah Al Mukminun 1-11...

Saya kongsikan catatan usrah online bersama sahabat-sahabat lain yang dikelolakan oleh seorang akak yang saya kenali..Nama sebenar dirahsiakan untuk kemaslahatan..

Kak Lin: Agenda kita.. Insya-Allah tadabbur surah al-mukminun ayat 1-11..tadi Kak Lin dah bacakan ayat-ayat tersebut.. sekarang kita lihat maksudnya..

Ulfa: ok

Kak Lin: ok.. 2 minit.. then.. setiap orang kena tuliskan pengajaran yang paling best untuk diri masing-masing..

Nurul: baik..

Kak Lin: kesimpulan la kiranya..

Ulfa: ok

Kak Lin: ok? dah 2 min... insya-Allah boleh tulis kan ?

Alia: ok.. kat dalam ayat ni..Allah ada sebut..antara ciri-ciri orang yang akan mendapat syurga..antaranya orang yang sentiasa menjaga solat, amanat-amanat, janji-janji, tunaikan zakat, mereka yang khusyuk dalam solat..jadi.. kita sebagai insan muslim kena patuhi perkara-perkara ni..cuba buat..eh bukan ..memang kena buat pun ...dan Allah ada cakap juga orang-orang yang khusyuk dalam solat.. honestly.. memang susah untuk kita dapat khusyuk sepenuhnya dalam solat tapi Allah dah kata.. ini ciri-ciri orang yang akan dapat syurganya.. so.. apa-apa pun kita kena berusaha untuk mncapai setiap ciri-ciri yg dinyatakan..insya Allah..

Nurul: Betul...

Kak Lin: Amin..

Alia: itu apa yang Alia faham la..

Kak Lin: haa.. Nurul nak sambung atau comment atau tambah?

Nurul: Nurul nak tambah kat sini ,bleh?

Kak Lin: tafaddhal masykura..

Nurul: berdasarkan ayat-ayat ni juga.. Allah dah kata kejayaan sebenar adalah mendapat
syurganya..

Kak Lin: Nurul nak elaborate lagi? tentang kejayaan sebenar tu..

Nurul: jadi,kita kena jelaskan dalam hidup kita bahawa itulah gulungan ijazah yang perlu dicapai iaitu jemputan masuk ke syurgaNya..

Kak Lin: insya-Allah

Nurul: insya Allah..

Kak Lin: Hana atau Ulfa?

Hana: may i? Ok ..untuk mencapai gulungan ijazah tu..Allah dah tuliskan guideline macam mana nak mencapainya..dan pada manusia sendiri pun semuanya mengikut fitrah semulajadi manusia jadi apa yang perlu kita lakukan adalah mengikutinya sahaja.. insyaAllah..

Nurul: bagaimana yang dikatakan mengikut fitrah tu? kurang faham..

Hana: bukan ke fitrah manusia suka kepada kebaikan??.. salah satunya.. Allah sarankan kena jaga amanat dan janji..kalau pada manusia.. semua sukakan orang yang menjaga amanat dan janji, kan? itu sebagai satu contoh..

Nurul: Betul..lagi??

Kak Lin: betul tu..haa Hana.. Nurul tanya tu.. ada lagi?

Hana: orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan atau perkataan yang tidak berguna..

Kak Lin: Ulfa.. nak give any idea?

Ulfa: pengajaran paling best bagi saya adalah ayat 11 tu..sebab syurga firdaus ni macam magical word untuk sahabat..bila dengar syurga je..terus pergi jihad..lupa pada anak isteri..tak rasa susah nak qiam..tak susah nak buat pape pun..hmm..bestnya kalau saya ada kefahaman macam sahabat pasal syurga..huhu..

Hana: insya Allah..

Kak Lin: insya Allah.. lagi? Alia rasa ok tak tu? senyap je ..

Alia: ok..hehe..

Ulfa: sehingga tenggelam dalam cintaNya..tak rasa down..always motivated...tak rasa berat nak buat sumthing..

Nurul: subhanallah...masyaAllah..

Kak Lin: alhamdulillah... Kak Lin pasti adik-adik semua dah dapt the gist of these magnificent 11 ayats from Allah s.w.t

Nurul: yes..we’re ,insyaAllah...

Alia: insya Allah..

Kak Lin: mukminun.. falah (kejayaan).. solat.. khusyu'.. away from lagha.. zakat.. these are amongst what Allah has ordained for us to do.. macam yang di listkan oleh Alia awal-awal tadi.. Kak Lin agree dengan Hana tentang fitrah manusia..secara fitrahnya.. bukan sahaja manusia malahan semua makhluk dalam dunia ini tunduk dan patuh kepada Allah

Nurul: em..tidak terfikirpun pasal itu at the first place..

Kak Lin: jantung kita.. buah pinggang.. sistem badan semua gerak otomatik..

Alia: kat sini kita dah boleh nampak betapa bijaksananya Allah..

Kak Lin: semua ikut kehendak Allah.. dan lihatlah hasilnya.. menakjubkan.. kan? tak payah kita nak ukur banyak mana kita minum... buah pinggang tahu mana nak buang, mana nak simpan..

Hana: masyaAllah..

Alia: subhanallah..

Hana: kebesaran Allah..

Kak Lin : yup.. so, sebenarnya manusia ni memang kalau ikut apa yang Allah suruh akan falah..berjaya..cuma agak-agaknya kenapa banyak manusia tak nak ikut suruhannya?

Nurul: ikut ajakan nafsu, syaitan, godaan dunia..

Alia: lupakan Allah..

Kak Lin: ada lagi?

Nurul: tak kenal Allah..

Hana: kejahilan..

Alia: tak nak terima kebenaran..

Kak Lin: yup.... gabungkan jawapan-jawapan Nurul, Hana dan Alia... dapat apa?

Alia: terlampau asyik dngan dunia..

Kak Lin: Ulfa? nak simpulkan?

Ulfa: tak tahu Kak Lin..

Kak Lin: jahil= tak tahu... tak kenal Allah tu maknanya tak tahu kan? ..... kenapa zaman
sebelum Rasulullah dikenali zaman Jahiliyah?

Nurul: sebab tak ikut ajaran Allah...

Hana: sebab diorang tak kenal Allah..

Kak Lin: sebab mereka jahil.. tak tahu Allah. sebab tu Allah utuskan rasul untuk kenalkan manusia kepada penciptaNya..

Nurul: bagaimana dengan zaman nabi-nabi yang lain?

Kak Lin: dah kenal baru cinta... sesungguhnya awwalud-din makrifatullah ... awal-awal agama ialah mengenal Allah... sama la zaman nabi-nabi lain.. nabi itu diutuskan untuk membawa manusia mengenal Allah..betul tak? dah kenal baru boleh ikut suruhan dan laranganNya..

Alia: ya..

Hana: betul..

Nurul: kenapa tak dipanggil zaman jahiliyah gak?

Alia: tapi masih ramai yang tak kenal Allah..

Kak Lin: dan suruhan yang paling pertama sekali ialah.. mengesakan Allah.. akui bahawa Tuhan itu SATU..

Nurul: esakan Allah yang pertama..jadinya,itu part of makrifatullah ke?

Kak Lin: ok... jap Kak Lin rephrase soalan..... nabi-nabi dah diturunkan pada zaman dahulu.. kenapa masih ramai manusia masih tak kenal Allah?

Kak Lin: sebab point yg kedua.. lupa..

Alia: dan mereka sengaja tak nak kenal Allah..tak nak terima kebenaran..

Kak Lin: sengaja tak nak kenal.... point yang ketiga... ego..

Nurul: pelik...masyarakat jahiliyah tahu Allah..

Kak Lin: teruskan Nurul..

Nurul: tapi tak nak ikut apa yang Allah sampaikan melalui rasulNya..

Kak Lin: sekarang kita define tahu..adakah masyarakat Jahiliyah tahu Allah dengan sebenar-benar tahu? manusia ni...jahil.. lupa.. ego..

Nurul: mereka hanya tahu Allah sebagai pencipta alam tapi tak berusaha nak mengenalinya..

Kak Lin: yes... that's right! Allah itu Maha Besar, Maha Agung.. sedangkan kita kena hidup bertahun-tahun dengan mak ayah kita baru kenal hati budi.. apatah lagi Allah swt..

Nurul: oh..jadi sama la masyarakat sekarang yang tak nak kenal Allah dengan orang zaman jahiliyah..??

Kak Lin: yes siti.. sama!

Nurul: kita boleh refer perkara nie kepada orang islam sendiri.. kesemua orang islam tahu Allah.. tapi tak semua yang cuba untuk mengenalinya.. thats why..banyak orang islam sendiri.. walaupun dah berada di jalan yang betul.. tapi still melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah..

Hana: lebih menyedihkan.. orang yang tahu tentang Allah tapi buat-buat tak tahu.. ego la kan?

Nurul: bagaimana tu??

Hana: rasa diri lebih hebat dari Allah.. rasa kehidupannya dah dalam tangan..padahal Allah yang aturkan segalanya..

Kak Lin: subhanallah... adik-adik dah huraikan dengan baik..dan sebenarnya Kak Lin pilih surah ini ada kaitannya dengan asas-asas Islam yang cuba Kak Lin nak perbincangkan..fasal pertama.. huraian tentang Islam.. apa itu Islam? Kenapa Allah yang Maha Agung memilih Islam.. tidak yang lain. huraian itu membawa kepada fasal yg kedua..Iman..apa itu Iman...macam mana iman itu ada kaitannya dengan ilmu? adakah perlu ilmu itu untuk kita beriman? apa gunanya iman itu? untuk suka-suka? kenapa al-maududi huraikan Iman dan Taat? apa kaitannya dengan Islam? So, insya-Allah... Kak Lin harap kita sama-sama digestkan Fasal pertama dan Kedua..ok tak? insya-Allah kita bincangkan isu-isunya next week

Ulfa: ok

Hana: insyaAllah

Kak Lin: Alia dan Nurul?

Alia: ok

Nurul: isu?

Kak Lin: yup... isu-isu dalam fasal islam dan fasal Iman, taat dalam asas-asas Islam..

Nurul: dah nak habis ke ni?

Kak Lin: apa yang adik-adik faham dan apa yang adik-adik tak faham.. ha'ah.. macam dah nak habis..dah lebih 1 jam setengah ni ..Nurul tak jangka eh?

Nurul: ala..rasa macam baru nak panas enjin...

Alia: hehe..

Nurul: boleh tak nak tanya?

Kak Lin: hehehe.. nak teruskan lagi? nanti habis pening-pening lalat..

Kak Lin: nak tanya, boleh..kita masuk sesi soal jawab.. but before that.. surah al-mukminun tadi clear ye?

Nurul: insya Allah..

Hana: yes.. insyaAllah..

Nurul : insya Allah..

Kak Lin: so, rajin-rajin hafaz ye.. boleh sentiasa di dalam dada.. jadi reminder ..

Ulfa: insya Allah..hmm..nak tanya..kalau iman kita tu turun naik..maksudnya kita tak kenal Allah lagi ye? macam akak cakap tadi ..nak kenal mak ayah pun ambil masa...nak kenal Allah ni..ambil masa berapa lama agaknya??

Kak Lin: iman turun naik? ... manusia ni, bak hadith Rasulullah s.a.w. memang ada turun naik.. tapi selagi turun atau naiknya iman masih dalam sunnah rasulullah, masih ummatnya..

Kak Lin: nak kenal Allah? sumaiyah kenal Allah berapa lama sebelum dia syahid?

Alia : sangat sekejap..

Ulfa: masih dalam sunnah Rasulullah tu camane??

Kak Lin: yup... sunnah Rasulullah tu maksudnya.. buat apa yang Allah wajibkan (at least) dan tinggalkan apa yang haram(at least)... ada hadith lain.. contohnya 3 org sahabat yang tak nak makan, tidur dan kahwin semata-mata nak ibadat... tak boleh tu.. sebab nabi pun tidur, puasa berbuka dan kahwin... tapi ibadat dia yang paling best.. tak bolehlah masa rasa iman tu turun buat je apa-apa yang haram.. memang rasa down.. normal.. tapi kena cuba untuk naikkan balik..

Kak Lin: ok?

Nurul : Kak Lin.. still tak berapa nak faham..

Kak Lin: mmm..

Nurul: macam Ulfa cakap tadi..kiranya bila iman kita turun dan naik.. kita masih belum kenal Allah lagi la kan? Tak sepenuhnya..

Kak Lin: masih dalam sunnah.. maksudnya BAIK - tak terover sampai tinggalkan fitrah manusia..... DOWN- tak sampai buat dosa, tinggal wajib...bila iman turun naik.. ok.. memang tak kenal Allah satu hal..tapi dah kenal pun boleh iman turun naik..contoh macam sahabat, hanzalah yang pergi jumpa Abu Bakar mengadu rasa munafik sebab bila dengan nabi iman macam tinggi.. tapi balik rumah.. main dengan anak isteri.. iman turun..Abu Bakar pun kata.. kalau camtu dia pun munafik la jugak..diorang pun pergi jumpa nabi..nabi cakap.... kalau la iman kamu maintain je... malaikat pun akan turun respect habis..tapi.. kamu tu manusia.. so, walau iman turun naik.. selagi masih dalam sunnahku... ok..

Kak Lin: ok?

Nurul : hmm...rasanya kat situlah kita boleh rasa indahnya iman..

Alia: ok

Ulfa: ok

Kak Lin: wallahu 'alam tu yang Kak Lin boleh jawab..

Nurul: ok..

Kak Lin: tentang kenal Allah... bukanlah maksudnya kena tunggu bertahun-tahun.. sumaiyah
kenal pun sekejap je kan? tapi kenal dia tu sampai boleh korbankan hidup dia...so.. insya-Allah Kak Lin rasa it's about effort dan kesungguhan kita..peringatan untuk Kak Lin juga.. insya-Allah kita kena bersungguh-sungguh nak kenal Allah, rasul, Islam, umat Islam.. semuanya. bukan sahaja membaca quran, hadith, buku-buku.. malahan dengan kita berfikir.. tengok alam.. berkenalan dengan manusia..subhanallah.. there are so many ways if you want to name it ...segala 'ilm yg ada di muka bumi ni kan milik Allah.. jadikanlah ia untuk membawa kita dekat dengan penciptaNya.. pengalaman Kak Lin.. bile Kak Lin deliver baby.. one thing yg Kak Lin sedar.. macam mana hebatnya Allah boleh kasi baby tu pusing kepala dan badannya sendiri on the way nak keluar dari faraj..subhanallah.. faraj yang kecil tu boleh mengembang jadi besar untuk melahirkan..

Alia: huh? serious? Masya Allah..

Nurul: baby tu role herself ke?

Kak Lin: yup.. kadang-kadang kena buat 'cut' sket utk baby tu keluar.. tapi subhanallah .. it's still a miracle..

Alia: mmg baby tu pusing sendiri ke?

Kak Lin: yup.. mula-mula face akan facing down.. then rotate 90 degree until anterior shoulder keluar.. sebab perlu diameter yang kecil untuk keluar..ya.. baby tu pusing sendiri kepala dia.. ni nak kena visit wad bersalin ni ..

Ulfa: tak pun tengok youtube..hehe..

Alia: hehe

Hana: huhu menarik juga..

Nurul: tengok movie...

Kak Lin: eh... oklaaa dah nak dekat pukul 3 ni...jap Nurul... apa nak tanya tadi?

Nurul: kita ni sebenarnya ada perjanjian dengan Allah kan?

Kak Lin: ya..kita sebenarnya ada perjanjian dgn Allah.. sebelum kita dilahirkan ke bumi..so.. setelah dilahirkan kita kena tunaikan perjanjian tu..

Nurul: apa dia janji tu?

Kak Lin: apa yang kita belajar dalam ISK? apa dua tugas kita?

Nurul: khalifah?

Hana: hamba

Kak Lin: yes.. wa ma khalaqtul jinna wal ins illa liya'budun (51:56)

Ulfa: alastu birabbikum..adakah kamu menyaksikan bahawa aku ini TuhanMu.. ..bala syahidna..bahkan kami menyaksikan..(7:172)

Kak Lin: wa iz qa la rabbuka lilmalaika inin ja;'ilun fil ardhi khalifah (2:30)

Kak Lin: kita adalah hamba dan melaksanakan tugas khalifah..

Kak Lin: so, Nurul.. perjanjian tu bukan sahaja yang sebelum kita lahir.. malahan yang kita buat sekarang ni...insya-Allah dah kenal Islam.. dah janji nak tegakkannya.. itu juga perjanjian dengan Allah..

Nurul: oho...

Kak Lin: kita kena usaha yang terbaik ..yang termampu untuk penuhinya..wallahu 'alam

Kak Lin: okla ..Kak Lin really have to go..pakcik Kak Lin dah sampai..assalamualaikum ..

Lain-lain: Waalaikumussalam..

Thursday, December 20, 2007

Sedih..

Mungkin saya sedih. Sedih kerana kata-kata. Kadangkala kata-kata membunuh saya dalam diam. Mengapa daie asyik dipersalahkan? Mungkin ia hanya teguran kepada golongan daie tetapi hairan sungguh, mengapa tidak selembut teguran kepada mad’u?

Apabila mad’u tidak betul, katanya kerana latar belakang keluarganya yang tidak faham Islam. Tapi apabila daie cuba mencegah kemungkaran dan mungkin caranya tidak sesuai, katanya ‘daie is making a silly thing”. Nape ye begitu?? Saya tidak faham. Mungkin juga gagal untuk memahami.

Mungkin juga daie itu baru berjinak dalam dunia dakwah. Dia tidak tahu banyak perkara. Usah katakan daie tahu serba serbi. Mungkin dia perlu diajar. Saya kira sentuhan kepada daie perlu diperbetulkan. Bukan hanya menyalahkan daie semata. Daie juga perlukan ilmu. Sentuhlah hati daie juga dengan hikmah kerana daie juga manusia.

Tuesday, December 18, 2007

Benci...

Sukarnya untuk memahami manusia. Apa yang dia suka? Apa yang dia benci? Kelihatan suka tapi benci. Kadangkala saya terus-terusan bertanya, apa salah saya sebenarnya. Kalau benci, katakan sahaja benci..

Mungkin benar kata Makcik Maznah, buat solat hajat khas untuk dia. Tapi sudah dilakukan. Saban waktu doa rabitah dititipkan dengan membayangi wajahnya. Apa salah saya sebenarnya?

Ada juga yang begitu bersangka baik dengan saya. Kalaulah dosa itu diibaratkan tahi, barangkali saya la orangnya yang begitu busuk sekali kerana mengangkut jutaan dosa. Manusia, semakin saya cuba memahami, semakin sukar saya mendekati.


Insan adalah sesuatu yang paling kompleks untuk difahami. Saya ingin mendekati. Tapi saya tidak pasti adakah tindakan saya itu sebenarnya kebodohan belaka. Saya sayangi dia kerana Allah. Saya berharap sekiranya dia tidak memahaminya kini, dia akan memahaminya di masa lain.

Kehidupan di sini banyak sekali cabarannya...

Wednesday, December 05, 2007

Kesimpulan Kisah Nabi Sulaiman..

Apa pengajaran yang dapat kita ambil agak-agaknya dari kisah Nabi Sulaiman ni? Allahu A’lam, semua tertakluk pada diri sendiri. Masing-masing dari kita punya idea tersendiri. Cuma satu sahaja pesanan saya, berilah komitmen sepenuhnya pada Islam.

Macam kami kat sini ni, sibuk sangat. PBL, SCL, projek, program-program hujung minggu, study group, lab, dan macam-macam lagi. (Huhu..mungkin alasan semata-mata) Tapi apa Prof cakap? Lagi sibuk, lagi kena buat kerja dakwah tu. Lagi perit, lagi kena berdakwah. Sebab bila lagi susah, barulah kita dapat merasai kemanisan iman tu.

Sejujurnya ramai sangat yang gugur bila lagi sibuk. Kalau kami ni, ramai yang gugur waktu klinikal sebab lagi sibuk. Dan makin ramai yang gugur waktu houseman sebab lagi sibuk. Nanti waktu houseman, konon-kononnya nak berhenti dari dakwah seketika. Lepas tu nak sambung balik. Tapi lepas tu ada sahaja alasan. Kalau yang perempuan pula nak berhenti sebab mengandung. Dah habis tu, nak bersalin, lepas tu nak menyusukan anak. Dan lepas tu nak mengandung anak yang lain. Dan selamanya memberi alasan sibuk sampaikan gugur selamanya dari dakwah.

Kalau dulu, orang faham kalau doktor tak datang usrah. Sebab on call. Tapi sebenarnya masih boleh sahaja kalau kita pandai bahagikan masa. Dan pensyarah kami adalah contohnya. Mereka mengubah teori lama mengenai doktor dan sejarah buruk mengenai doktor tidak datang usrah. Dan kami juga perlu mengambil mereka sebagai suri tauladan kami.

Prof ceritakan juga mengenai Assyahid Imam Hassan Al Banna dan kisah tersebut benar-benar menyentuh hati saya. Seorang sheikh berusia 80 tahun menceritakannya kepada Prof dan Prof pula menyampaikannya kepada kami. Dan insya Allah, saya cuba nukilkan di sini.

Kisah ni nak menceritakan bagaimana Assyahid Imam Hassan Al Banna ni begitu komited pada dakwah. Suatu hari, saat dia berdakwah, seseorang datang padanya dan mengatakan bahawa anaknya sakit. Kata Assyahid, anaknya itu masih mempunyai ibunya lagi untuk menjaganya. Dan kemudian,datang seorang lagi dan berkata padanya, bahawa anaknya itu sakit begitu teruk sekali. Kata Assyahid, anaknya itu masih mempunyai saudaranya yang lain untuk menjaganya. Dan kemudian datang seorang lagi dan mengatakan bahawa anaknya telah meninggal dunia, kata Assyahid, masih ada saudaranya untuk mengembumikan anaknya dan mengetahui segalanya tentang kubur anaknya. Masya Allah, sukar nak bayangkan bukan? Tapi Assyahid tahu, kalau dia bersama anaknya, anaknya tetap akan pergi juga. Tapi tiada siapa untuk ummahnya. Dan dia tahu peranannya di mana.

Dan sheikh yang menceritakan hal ini begitu komited sekali dalam dakwah meskipun telah berusia 80 tahun. Kalau orang lain hafal Alquran dalam usrah, sheikh ni juga akan menghafaz AlQuran. Tiada alasan baginya untuk lari meskipun beliau kian dimamah usia.

Kadang rasa sedih jugak. Sebab ada yang join jemaah sebab nak cari bakal isteri atau suami. Ada yang hanya ingin menerima tapi tidak ingin memberi. Hanya dia saja yang nak jadi muslim yang baik. Seolah-olah menjadi begitu ekslusif. Allahu A’lam. Segalanya berdasarkan apa yang diniatkan.

Sememangnya kita akui bahawa kita di saat ini berada di bawah sekali. Tapi janji Allah benar. Islam akan menang kembali. Tapi kita perlu buktikan kat Allah bahawa kita layak untuk kemenangan tersebut. Berilah komitmen pada dakwah. Moga kita tetap thabat pada jalannnya..

Tuesday, December 04, 2007

Kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman...

Saya rasa saya perlu kongsikan sesuatu yang terjadi kepada saya semalam. Sesuatu yang mengubah pegangan saya dan rakan-rakan ahli usrah (‘circle’ atau study group yang berbicang tentang Islam) yang lain. Saya seorang yang agak ‘inferior’ untuk ke hadapan. Selalu merasakan bahawa saya tidak memiliki ilmu yang cukup. Tapi apa yang terjadi semalam mengubah ‘tasawwur’ dan penilaian saya.

Saya ceritakan benda ni. Meskipun agak memalukan tapi saya yakin ada iktibar darinya. Allahu A’lam, tapi saya ingin sahabat-sahabat juga merasai perkara yang sama seperti apa yang saya rasai.

Semalam seperti selalu, saya dan sahabat-sahabat yang lain ada usrah mingguan. Tapi naqibah(ketua) kami tidak dapat datang. Dan kami bersepakat bahawa tiada usrah hari ini lantaran kerana sibuknya kehidupan seorang pelajar perubatan. (Huhu..alasan semata-mata). Lantas seorang pensyarah kami, Prof L memanggil kami dan bertanya dengan sedalamnya, siapa yang membatalkan usrah hari ini? Akhirnya Prof L mengajak kami untuk bersama dengan kumpulan usrahnya.

Insya Allah, dalam siri yang akan datang, saya akan cuba berkongsi mengenai usrah. Tapi apa yang terjadi semalam merupakan titik tolak di mana saya dan rakan-rakan yang lain merasakan bahawa kami tidak boleh ponteng usrah lagi. Dan kami rasa malu sekali mengapa kami tidak meneruskan usrah meskipun naqibah kami tiada.

Hmm..kalau nak digambarkan, usrah ni lebih penting dari mana-mana ceramah. Lebih penting dari mana-mana pengajian agama. Sebab apa? Sebab berada dalam usrah, bermakna berada dalam jemaah. Satu jemaah yang akan memastikan ahli-ahlinya diberikan ‘hidangan’ yang mencukupi untuk komited dalam perjuangan Islam. Kenapa kita nak memastikan kebersamaan? Sebab dengan jemaah sahaja kita akan memastikan kemenangan Islam. Tiada dalam mana-mana sejarah, Islam menang dalam keadaan berjuang secara sendirian.

Dalam sejarah manusia, dari dulu sampai sekarang, manusia hidup dalam berjemaah. Dan dalam AlQuran, Allah merakamkan kisah bagaimana seorang hero kalah.. menang.. kalah...Tapi yang pasti akhirnya si hero tetap menang juga. Kisah yang berlainan, tapi temanya tetap serupa. Macam cerita Hindustan, walau macam mana jalan cerita pun, akhirnya hero dan heroin tetap berkahwin. Macam gitu juga kisah dalam Al Quran. Macam kisah Nabi Nuh, mula-mula dakwah dia ditolak hatta oleh anak sendiri, tapi akhirnya banjir berlaku dan Nabi Nuh menang. Dan kisah ini berlaku dalam hampir kesemua kisah yang diceritakan dalam AlQuran. Dan dalam semua kisah akan diceritakan bagaimana Rasul mengumpulkan umat manusia dan memimpin mereka di bawah satu jemaah.

Apa yang telah mengubah saya dan rakan-rakan yang lain? Kisah Nabi Sulaiman yang dirakamkan dalam Surah AnNaml. Masya Allah. Kisah yang benar-benar menyentuh hati saya. Kalau selama ni bila ada yang bercerita kepada saya kisah Nabi Sulaiman, mungkin ianya terlalu biasa bagi saya. Tapi tidak semalam. Kisah ini adalah kisah yang paling luar biasa pernah saya dengar.

Apa yang best sangat tentang kisah Nabi Sulaiman? Sebab Nabi Sulaiman ni adalah seorang pemimpin (leader) yang baik dan menpunyai pengikut yang baik. Dan Nabi Sulaiman ni memimpin satu jemaah yang sangat besar. Lebih besar dari umat Nabi Muhammad SAW sebab dalam jemaah Nabi Sulaiman ada burung, jin, ifrit, manusia dan lain-lain. Dan tiada siapa pun yang dapat membayangkan kehebatan teknologi di zaman itu dan tiada mana-mana teknologi di zaman ini yang dapat menandingi teknologi Nabi Sulaiman. Bagaimana Nabi Sulaiman ni memimpin satu jemaah yang besar? Insya Allah, kita sama-sama akan melihat tafsir Surah AnNaml bermula dari ayat 20. Kisah ni dimulakan bagaimana nabi Sulaiman bertemu dengan kumpulan semut dan Nabi Sulaiman dapat memahami bahasa haiwan. Saya cuba menceritakan kembali kisah ini dan saya mohon pembetulan sekiranya ada kesilapan dalam catatan ini.Pastinya catatan ini terlalu jauh dari sifat kesempurnaan.

[19] Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Doa yang Nabi Sulaiman baca ni adalah antara doa yang boleh diamalkan. Ayat ni merakamkan bagaimana Nabi Sulaiman ni bila dapat nikmat, dia akan bersyukur dan tidak takbur. Dan dia minta kat Allah supaya dia menjadi orang yang tetap bersyukur.

[20] Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah dia dari mereka yang tidak hadir?

Hebat sekali bagaimana seorang ketua ni begitu sensitif dengan ahli di bawahnya. Begitu sensitif bila mana ahlinya tidak datang. Dan menunjukkan betapa tersusunnya sebuah jemaah yag besar sampaikan Nabi Sulaiman ni tidak perlu ada buku kehadiran, tapi dia tahu mana ahli dia yang tidak hadir. Dan sekiranya kita hendak menjadi seorang pemimpin yang baik, kita perlu sensitif dalam hal-hal sebegini.

[21] Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali dia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab dia tidak hadir).

Dalam hal jemaah, Nabi Sulaiman tidak bersangka baik dengan burung Hud Hud. Nabi Sulaiman berjanji sekiranya burung Hud Hud tidak datang dengan alasan yang nyata, Nabi Sulaiman akan menjatuhkan hukuman yang berat dan akan menyembelihnya. Nak gambarkan betapa dahsyatnya hukuman dalam ayat ni sampaikan Nabi Sulaiman ni sanggup nak sembelih burung Hud Hud. Dan alasan yang perlu diberikan oleh burung Hud Hud adalah alasan yang benar-benar nyata. Dalam ayat ni, perkataan yang digunakan adalah Sultan. Kalau guna Sultan dalam bahasa Arab tu adalah betul-betul nak menggambarkan alasan yang jelas. Tak boleh remeh temeh.

Sebab apa tak datang usrah atau tak datang meeting jemaah ni adalah sesuatu yang besar? Sebab meskipun seorang tidak datang, dia akan membawa bencana yang besar pada jemaah. Dia akan membenarkan jemaah tersebut untuk hancur perlahan-lahan (disintegrate). Dan jemaah yang hancur ini tidak akan sesekali dapat menang ke atas musuh Islam.

Kita sangat-sangat perlukan kerja secara berjemaah (Amal Jamaie). Sebab apa? Sebab saat ini kita adalah ummah yang paling hina sekali. Kita berada di bawah sekali. Kalau ada rakyat Iraq yang syahid, ianya tidak bernilai di mata dunia, tetapi sekiranya ada seekor panda di China mati ianya akan menjadi ‘headline’ berita dunia. Sekiranya ada kanak-kanak Palestin yang dibunuh, ianya bukanlah sesuatu yang besar, tetapi kisah Britney Spears adalah lebih penting di mata dunia. Sebab apa? Sebab saat ini, kita berada di bawah dan dalam keadaan yang begitu hina.

Banyak lagi ayat-ayat lain yang bercerita mengenai pentingnya kehadiran kita di dalam mana-mana mesyuarat jemaah, usrah dan lain-lain seperti kisah 3 orang sahabat yang tidak pergi menyertai perang Tabuk. Allah rakam kisah tersebut dalam AlQuran sebagai pengajaran buat kita.

Kenapa AlQuran rakamkan semua kisah ni? Cuba fikirkan. Kalau kita ni kena tulis buku teks untuk pelajar UPSR, pasti kita akan hanya mengambil isi-isi penting sahaja untuk dimuatkan dalam buku tersebut, bukan? Macam gitu jugak dengan AlQuran. Sebuah kitab yang lengkap sampai kiamat. Kiranya setiap ayat di dalam Al Quran tu semuanya adalah perkara yang benar-benar penting. Allah meletakkan perkara-perkara penting sahaja dalam kitab ini, dan setiap ayatnya amat bermanfaat untuk orang yang beriman.

[22] Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.

[23] Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan dia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan dia pula mempunyai singgahsana yang besar.

[24] Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk;

[25] (Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.

[26] Allah! Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar.

Burung Hud Hud selepas seketika kembali bertemu dengan Nabi Sulaiaman. Dan dia pun membawa satu alasan yang nyata seperti yang diterangkan dalam ayat tersebut. Dia ceritakan kisah sebuah umat yang menyembah matahari. Dan syaitan membuatkan mereka memandang indah perbuatan tersebut.

Banyak pengajaran dalam ayat ni. Bila burung Hud-Hud ni datang, dia tidak cakap saya tidak datang sebab bla..bla..bla..Tapi burung Hud Hud ni cerita dengan detail sekali. Maksudnya, kalau kita ni nak buat sesuatu atau nak berikan pendapat, pastikan kita bawa hujah yang diyakini. Jangan cakap, saya rasalah kan kalau buat macam gini..kita boleh dapat cam gini..Tolonglah jangan sebut sekali-kali mengatakan- “saya rasalah...”. Jangan hanya mengikut persangkaan belaka. Pastikan kita ada dalil-dalil mengapa kita bercakap begitu.

Tapi bila burung Hud Hud membawa berita ni dengan bukti-bukti yang nyata, apa Nabi Sulaiman buat? Kita tengok ayat selepas ini..

[27] Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu ataupun engkau dari golongan yang berdusta.

Nabi Sulaiman tidak percaya lagi. Nabi Sulaiman benar-benar nak mengesahkan perkara tersebut sebab ketidakhadiran ke dalam perhimpunan adalah sesuatu yang sangat besar. Kalau kitalah, kawan kita cakap dia tak datang usrah sebab dia buat kerja dakwah kat satu ceruk kampung, mesti kita percaya kan? Dan yang lain pun, mesti..wah, hebatnya budak ni..Tapi dalam kisah Nabi Sulaiman, dia tidak mudah nak mempercayai sesuatu. Dia nak kaji sedalam-dalamnya. Ni contoh seorang pemimpin yang baik. Mengkaji sesuatu sedalamnya.

[28] Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka.

Lepas tu, Nabi Sulaiman pun kasi assignment kat burung Hud Hud. Suruh campakkan surat dan berundur dengan secepatnya. Kenapa kena berundur dengan secepatnya?? Sebab kalau kita ni lama-lama dalam biah (suasana) yang tidak soleh, kita pun akan tenggelam juga. Dan Nabi Sulaiman pastikan yang burung Hud Hud ni tidak sesat kerana mengikut ajaran penduduk Saba’ dan dia meminta burung Hud Hud untuk kembali secepatnya.

[29] (Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': Wahai ketua-ketua kaum! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.

Kenapa agaknya dalam surah ni Allah cerita pasal musuh? Dan Allah cerita detail pasal perbualan raja perempuan negeri Saba’ ni. Sebab kita dapat belajar sesuatu daripada musuh. (Dalam AlQuran tak sebut pun nama raja ni sebagai Balqis, nama Balqis ni cuma pendapat ulama’). Kerajaan Saba’ ni adalah antara kerajaan yang begitu hebat. Sehinggakan dalam AlQuran, ada satu surah istimewa dinamakan sebagai Saba’. Dalam surah tersebut, Allah cerita dengan begitu mendalam teknologi kaum Saba’ ni antaranya dalam bidang pertanian. Pastinya ada sesuatu yang hebat berkenaan kaum Saba’ ni sehingga menjadi sebuah kerajaan yang begitu hebat dalam peradaban manusia. Apa kehebatan dia? Pemimpin dia melakukan syura (permesyuaratan) dalam apa-apa masalah yang timbul.

[30] Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,

Ayat ni adalah satu-satunya ayat di dalam AlQuran yang mana Basmalah berada di tengah-tengah ayat.

[31] Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).

[32] Raja perempuan itu berkata lagi: Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya.

Dalam ayat ni pun, ditekankan prinsip syura. Betapa pandangan setiap orang itu begitu penting dalam satu-satu perkara.

[33] Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.

[34] Raja perempuan itu berkata: Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.

[35] Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita

Ini adalah antara ayat-ayat yang menujukkan apa yang kita lakukan apabila kita merasa takut. Kita suka memberi hadiah. Bahasa mudahnya, RASUAH. Dan ini adalah realiti yang berlaku di zaman ini. Apabila kita gerun dengan mana-mana negara, kita memberi hadiah. Dan selalunya hati manusia mudah lebur apabila diberikan hadiah.

[36] Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).

[37] Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.

[38] Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?

Sebab apa Nabi Sulaiman nak pindahkan singgahsana dan bukannya benda lain? Sebab singgahsana ni lambang kekuasaan. Kalau dapat mengalahkan singgahsana, bererti dapat menawan kerajaan tersebut. Dan pada akhir ayat tersebut, Nabi Sulaiman yakin bahawa dakwahnya pasti akan berjaya. Dan seterusnya kita akan melihat apa yang dilakukan pleh pengikut Nabi Sulaiman.

[39] Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.

Inilah contoh pengikut yang baik. Pengikut sebuah kerajaan yang hebat. Dia tidak pernah rasa ‘inferior’. Malah cuba untuk vounteer. Tak sabar-sabar nak melakukan tugas. Sebab dia tahu kekuatan sesuatu kerajaan tersebut bergantung pada dirinya juga meskipun dia hanya orang bawahan.

[40] Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.

Pengikut Nabi Sulaiman ni berebut-rebut untuk melakukan sesuatu dengan cara yang paling baik. Sebagai Muslim, kita juga perlu melakukan sesuatu dengan cara yang paling baik sebab kita nak syurga Jannatul Firdaus, kita nak syurga yang tertinggi . Ada beza ke syurga yang paling bawah dan syurga yang paling atas? Bezanya terlalu jauh. Cuba kita bermusafir dengan Air Asia. Dan satu hari yang lain kita bermusafir dengan Malaysia Airline. Ada beza tak? Destinasinya sama, tapi nikmat perjalanan tersebut pastinya berbeza. Begitu juga dengan syurga. Terlalu jauh bezanya. Pasal tu Rasulullah SAW meminta kita apabila berdoa, mintalah syurga yang paling tinggi.

Dan sekiranya suatu hari kita ditakdirkan menjadi pemimpin yang baik, jangan sekali-kali bongkak. Nabi Sulaiman bimbang semua itu adalah ujian Allah buatnya.

[41] Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah dia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau dia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian.

[42] Maka ketika dia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu? Dia menjawab: Boleh jadi inilah dia dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah).

Ni adalah pusingan pertama kekalahan raja perempuan kerajaan Saba’. Dan dia sudahpun mula percaya kepada Allah apabila melihat singgahsananya sendiri di dalam pemerintahan nabi Sulaiman.

[43] Dan dia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu ialah) apa yang dia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah dia (pada masa itu) dari puak yang kafir.

[44] (Setelah itu) dikatakan kepadanya: Dipersilakan masuk ke dalam istana ini. Maka ketika dia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca. (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Selepas itu, Nabi Sulaiman pun menunjukkan pula kekuasaannya. Dan dalam ayat ni detail sekali Allah cerita bagaimana raja perempuan ini menyingsingkan pakaiannya. Sebab pakaian ni adalah lambang kekuasaan di zaman itu..Dan ini adalah kekalahan kedua raja perempuan tersebut dan dia beriman dengan sebenarnya kepada Allah. Betapa kerajaan Nabi Sulaiman dapat mengubah pendirian sebuah kerajaan yang tidak kurang hebatnya juga untuk menyembah Allah. Moga kita mengambil pengajaran daripada kisah ini. Insya Allah, saya akan menulis kesimpulan kisah ini dalam email yang seterusnya. Doakan saya diberi kekuatan.