Thursday, February 21, 2008

Motivasi...

Saya mohon Allah jauhkan saya dari sifat riya’ dan ujub sewaktu menulis tulisan ini. Nikmat kesenangan juga adalah ujian dariNya, cuma manusia jarang menyedarinya. Berdepan dengan nikmat kesenangan lebih sukar dari berhadapan dengan nikmat kesusahan. Kesusahan seringkali menyedarkan, tetapi kesenangan seringkali melalaikan.

Tulisan ini cuma suntikan semangat buat saya dan juga mungkin buat mereka yang pernah merasakan kesukaran dalam hidup. Saya cumalah insan yang merangkak dalam bidang perubatan ini, bukannya berlari. Tetapi saya ingin sekali melakukan yang terbaik sebelum saya pergi meninggalkan dunia ini.

Saya bercita-cita nak jadi DR (Daie Rabbani). Apa bestnya jadi daie? Sebab seorang daie ingin sekali setiap perbuatannya menjadi manifestasi dakwah. Sewaktu berjongging pun dia nak berdakwah, sewaktu berbicara pun dia nak berdakwah, sewaktu makan pun dia nak berdakwah, berhadapan dengan penyakit juga ingin dijadikan dakwah. Segalanya dakwah. Dia ingin setiap insan yang melihat dirinya merasai kehadiran Allah dalam hidup mereka. Tinggi sekali cita-cita tersebut, moga Allah mengabulkannya.

Sepanjang 3 minggu course Behavioral Science, satu subjek yang bersangkut paut dengan psikologi manusia, saya rasa gembira sekali. Sebab saya belajar mengenali diri saya sendiri. Dalam subjek ini, setiap hari akan ada ‘best presenter’. Allah memilih saya, hambaNya yang kerdil ini untuk menjadi ‘best presenter’ pada suatu hari. Dan dalam 5 calon yang terpilih sepanjang course ini, Allah memilih saya untuk mejadi ‘best presenter’ keseluruhannya. Secara zahirnya, mungkin manusia yang memilihnya tetapi secara maknawinya Allah yang memilih saya sebagai ujian buat saya.

Sewaktu setiap calon perlu mempromosikan diri masing-masing, saya katakan di hadapan kelas, “I don’t want to become the best presenter in front all of you, I just want to become the best presenter in front Allah”. Saya benar-benar maksudkannya. Tiada maknanya mendapat sanjungan manusia, tetapi jauh dari pandangan dan rahmatNya. Di saat saya melalui kesukaran dalam pelajaran saya, saya katakan pada diri saya, bukan A yang saya kejar tetapi markah yang hanya Allah sahaja menilainya. Tidak kisah gagal sekalipun, tetapi biarlah Allah menilainya sebagai kejayaan. Biar Allah sahaja yang memahami kesukaran saya meneruskan kehidupan ini. Syukur padaNya, saya tidak gagal dalam mana-mana subjek sepanjang melalui 3 semester di sini.

Allah jua tidak ingin saya bermegah-megah atau terlalu gembira sehingga saya melupakanNya. Hari yang sama, saya juga tahu saya perlu ke hospital lagi minggu depan. Meskipun saya tahu seharian kerjaya saya kelak adalah di hospital, saya tidak sukakan hospital. Hanya setelah bergelar pesakit, saya mula bencikan hospital. Terlalu benci barangkali. Insya Allah, saya akan menulis kisah hospital dalam siri yang lain.

Berkenaan dengan kejayaaan tersebut, saya yakin kejayaan itu bukan milik saya sebenarnya. Saya masih lagi ingat kisah yang pernah diceritakan oleh ayah saya. Kisah 2 orang nelayan. Seorang ini selalu sahaja mendapat ikan, manakala yang seorang lagi tidak mendapat ikan. Si nelayan yang sering mendapat ikan merasakan bahawa Allah mengabulkan permintaannya. Tetapi sebenarnya Allah mengabulkan permintaan nelayan yang tidak mendapat ikan itu kerana nelayan tersebut berdoa agar Allah memberikan rezeki yang terbaik buat sahabatnya sehingga terlupa berdoa untuk dirinya sendiri.

Saya pasti di luar sana pasti ada insan yang sering mendoakan saya tanpa saya ketahui. Dia mungkin sahabat saya yang tidak dapat belajar dalam bidang perubatan. Dia mungkin juga anda yang membaca blog ini. Dia mungkin juga guru-guru saya. Dan dia mungkin sahaja ahli keluarga saya. Allahu A’lam. Allah lebih mengetahuinya. Moga kejayaan ini terus memotivasikan saya melalui kehidupan ini.

No comments: