Monday, September 28, 2009

Rezeki...

Saya ke kedai alat tulis hari Sabtu yang lepas. Sedang asyik mencari kertas, saya tercicir kunci kereta. Saya mula mencari-cari kunci tersebut. Badan saya sudah mula berpeluh. Kedai tersebut pula sudah mahu tutup.

Dalam tekanan yang amat itu saya bernazar untuk memberikan RM10 kepada anak yatim seandainya saya menjumpai kunci tersebut. Alhamdulillah dengan pertolongan nyonya kedai, saya akhirnya berjaya menjumpai kunci kereta kembali.

Dalam perjalanan balik ke rumah, kepala saya ligat berfikir. Dari mana saya mahu mencari anak yatim? Saya takut akan terlupa dengan janji saya pada Allah.

Dipendekkan cerita, malam tersebut ada seorang anak yatim datang berhari raya ke rumah dan saya memberinya RM10 sebagai duit raya.

Apa pengajaran yang saya perolehi dari secebis pengalaman ini? Allah menjamin rezeki hambaNya. Allah menjamin rezeki anak kecil itu. Hebat perancangan Allah. Saya kehilangan kunci dan dalam keadaan yang amat memerlukan itu saya bernazar. Dan takdir Allah, anak kecil itu memperolehi rezekinya.

Dalam hidup ini, sesetengah manusia tidak cukup beriman bahawa Allah yang menjamin rezekinya. Pelajar menyangka bahawa JPA, MARA atau PTPTN yang memberikannya makan minum. Seorang tentera merasakan bahawa kerajaan yang menjamin rezekinya di hari tua dengan duit pencennya.

Saya pernah terjumpa seorang tentera yang tidak mahu menjaga ibunya, menyambung kontraknya dengan kerajaan semata-mata kerana jaminan duit pencen, merasakan duit pencen yang akan menjaganya di hari tua kelak. Alahai manusia..

Ayah saya ada ceritakan satu kisah. Ada seorang lelaki yang suka merenung dan memerhatikan seekor burung. Setiap hari dia melihat burung tersebut singgah ke satu dahan pokok tetapi tidak membuat sarang. Hatinya tertanya-tanya mengenai pekerjaan sehari-hari burung tersebut. Satu hari dia memanjat pokok tempat persinggahan burung tersebut untuk mengintip aktiviti si burung. Apa yang dilihatnya? Dia ternampak seekor ular yang buta. Rupa-rupanya burung tersebut singgah untuk memberikan makanan kepada ular yang buta ini. Meskipun burung dan ular bermusuh, tapi seandainya Allah mentakdirkan sesuatu, itulah yang akan terjadi. Allah sentiasa menjamin rezeki hambaNya. Percayalah. Dan berimanlah bahawa pena sudah terangkat dan dakwat sudah pun kering. Takdir kamu telah tertulis…

Friday, September 25, 2009

Istiqamah...

Saya tersentuh membaca tulisan Kak Aisyah. Jahiliah itu membidikkan pelurunya dari segenap arah sehingga kadangkala kekuatan yang ada hilang entah ke mana. Hendak membina iman begitu sukar tapi menghancurkannya begitu mudah. Saya petik sebahagian tulisannya sebagai muhasabah buat diri yang terlupa.

Kita masih ikut usrah.

Tapi melayan movie setiap hari.

Kita masih lagi bawak usrah/membina manusia.

Tapi kita ber’couple’ dengan seseorang, bersms dan berchatting yang kononnya untuk lebih kenal sebelum kahwin atau menanamkan rasa cinta, tapi kita tertipu dengan tipu daya syaitan!

Kita pergi daurah, sampai kene marah-marah dengan mak asyik lenyap je time weekend..

Tapi otak, fikiran kita, semuanya kepada nak beli bag baru, gaya baru, dan sebagainya.

Atau membaca buku sekadar untuk hiburan, bukan menambahkan tsaqafah dan iman!

Beratnya ujian ini!

Saya akui tulisan Kak Aisyah. Istiqamah itu sukar dan terlalu sukar. Istiqamah itu berat hatta untuk kekasih agung Rasulullah SAW.

“Apa yang telah menjadikan engkau tua beruban?” tanya sahabat kepada baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma.

Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati disentuh iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman.

Kamu pernah tengok Tony Blair? Dia kelihatan tampan saat mula-mula memegang jawatan. Tapi kemudian rambutnya mula beruban hanya setelah beberapa tahun.

Dan sesungguhnya yang menjadi beban yang berat sehingga memutihkan rambut Rasulullah SAW adalah istiqamah.

Hari ini mungkin kita tidak menonton televisyen tapi setelah dihidang berhari-hari dengan televisyen, mampukah diri untuk terus mengekalkan momentum?

Saat melihat insan yang menjelekkan kerana dia derhaka pada ibunya, saat melihat keadaan saudara mara yang penuh sarat dengan masalah, mampukah diri untuk tidak mengumpat?

Mampukah solat malam terus dijaga? Bagaimana dengan puasa sunat? Bagaimana dengan Quran? Istiqamah itu sangat berat, berat dan terlalu berat.

Ya Rabb, jadikan aku hambaMu yang istiqamah di jalanMu. Aku tidak akan mampu melakukannya tanpa pertolonganMu. Aku lemah dan aku amat mengharapkan tarbiahMu.

Wednesday, September 23, 2009

Asing...


Pernah rasa asing dengan Islam yang kamu bawa? Pernah rasa asing menjadi seorang muslimah? Saya merasainya saat raya begini.

Tudung saya bukan cantik. Hanya kain ela 60 inci yang dibeli di kedai dan kemudian dibakar hujungnya. Kadangkala ada juga sesekali mengenakan tudung bercorak lerang 60. Tudung saya tiada labuci dan manik. Mata saya tidak biru atau coklat. Kulit saya tiada solekan.

Tapi yang hadir berkunjung ke rumah atau sanak saudara saya tidak semua begitu. Majoritinya bukan begitu. Akhirnya saya kelihatan begitu asing dengan imej saya.

Seorang anak kecil juga bertanyakan saya mengapa tudung yang saya pakai begitu panjang. Mungkinkah segala yang terjadi kerana terlalu ramai ‘ustazah’ yang bersolek sakan di media sehinggakan wanita hari ini terlibat dalam salah faham yang panjang?

Apa pengertian hijab sebenarnya? Bukanlah hijab hanya menutup segala yang perlu semata-mata. Peranan hijab lebih dari itu. Menutup segala ruang-ruang fitnah bagi seorang wanita. Wanita yang baik tidak suka dilihat dan dipuji.

Hari ini, hijab jauh dari maknanya. Hari ini wanita yang berhijab jauh lebih cantik dan menarik hati. Hijab yang ada hari ini tidak dapat memaknakan makna hijab sendiri. Lelaki yang ada hari ini terlalu dayus melihat anak dan isteri berdandan untuk dinikmati oleh manusia lain.

Asing dan terasing. Kata Khalid Yassin, adakalanya meskipun kita di jalan yang benar, mungkin sahaja kita ragu dengan apa yang kita pegang. Menjadi asing memerlukan kekuatan. Katanya lagi, sewajarnya kita berdoa pada Allah agar kita dan keluarga kita menjadi manusia yang asing di zaman ini.

Berbanggalah andai diri kamu asing. Kobarkan semangat untuk terus menjadi asing. Yakinlah bahawa pandangan Allah dan pandangan manusia jauh berbeza. Justikasi Allah dan justifikasi manusia adakalanya menjadi neraca yang tidak seiring.

Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada tubuh dan rupa paras kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu, (H.Muslim)

Sunday, September 20, 2009

Eid Mubarak!



Eid Mubarak! Moga kita tergolong dalam golongan Al Ai’din dan AlFaizin. Andai Ramadhan yang baru berlalu ini adalah Ramadhan yang terakhir, moga ianya adalah yang terbaik.

Di kesempatan ini, saya Ummu Afeera Zainulabid memohon maaf atas segala kesilapan yang dilakukan. Terima kasih buat yang sudi membaca catatan hamba yang hina ini. Terima kasih buat semua yang menyokong dan juga yang mengkritik blog ini. Tanpa disedari, blog ini sudah mencecah usia 3 tahun. Dan pastinya banyak khilaf yang dilakukan. Dengan itu, saya memohon maaf atas segala kesilapan saya buat semua yang mengenali diri ini, baik di alam realiti mahupun di alam maya ini.

Saya dedikasikan lagu ini buat semua.

Celebrate – Aashiq Al ARasul

He sent us His Beloved to show us
Ways of contentment and goodness
So that we may live our lives to our fullness
With joy and happiness

Celebrate ALLAH's endless favours
Celebrate ALLAH's never ending Mercy
Oh Oh ALLAH's endless favours
Oh Oh ALLAH's never ending Mercy

With food of all types we eat and live
Our greatest thanks we must give
Friends and family, our health
He gave us abundance of wealth
We read, we see, all we know
Thinking of Him makes our hearts glow
To remember Him our greatest treasure
All we seek is His pleasure

All that His Beloved Nabi taught
Endless happiness they brought
His teachings simple and pure
Easy to follow and adore
All you have to do is trust and submit
Keep following and don't resist
Blessings surround and cover you
Angels assist you through and through

Allah gave us life to worship Him
To seek eternal blessings
He wants us to be full of happiness
Not to chase dunya and darkness
Showing us ways back to Him
To eternity and bliss

Lyrics: A.Ellahi
Melody: A.Ellahi

Thursday, September 17, 2009

Pecut...

Saya ceritakan satu kisah yang amat menyentuh hati ini di hari-hari terakhir Ramadhan. Satu kisah yang diceritakan oleh seorang akak semasa Sister's Talk baru-baru ini.

Pernah di zaman Rasulullah SAW, ada seorang anak yatim yang ingin membina sebuah tembok di kawasan kebunnya. Namun proses pembinaan kebun ini tidak dapat nak diteruskan kerana ada sebatang pokok yang menghalangnya. Maka anak kecil ini pergi meminta pada empunya pokok agar memberikan pokok tersebut padanya.

Empunya pokok tidak mahu. Berkali-kali anak kecil ini merayu tetapi jawapan pemilik pokok tersebut tetap adalah tidak. Lantas anak kecil ini membawa hal ini kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW merayu kepada pemilik tersebut agar memberikan pokok tersebut terhadap anak kecil yang kematian ayah itu. Kata pemilik pokok tersebut, itu adalah haknya. Berkali-kali rayuan dibuat, jawapannya tetap adalah tidak. Akhirnya anak kecil ini mula menitiskan air matanya. Dan Rasulullah SAW berkata andainya dia memberi pokok tersebut, Allah akan menggantikannya dengan pokok di syurga.

Mungkin kerana marah dan bengang hal sebegitu dibawa kepada Rasulullah SAW, pemilik pokok tersebut menolak tawaran tersebut. Apatah lagi yang membawa isu tersebut adalah seorang anak kecil. Kemarahannya membuatkan dia pergi.

Di kalangan yang hadir mendengar isu tersebut ada seorang sahabat. Dan nama sahabat ini adalah Abu Dahdah. Abu Dahdah bertanya Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, andainya aku membeli pokok tersebut dan memberikannya pada anak kecil ini, adakah aku akan beroleh hal yang sama?” Rasulullah berkata, “Ya”.

Lantas Abu Dahdah bergegas bertemu dengan pemilik pohon tersebut. “Tahukah kamu mengenai kebunku?” Kebun Abu Dahdah adalah kebun yang subur. Ada 600 pokok di dalamnya. Kebunnya adalah kebun yang terbaik. Rumahnya juga di dalam kebunnya.

Tiada siapa yang tidak mengenali kebun Abu Dahdah. Lantas pemilik pokok tersebut berkata, “Ya”.

“Mahukah kau kebun tersebut untuk digantikan dengan pokok yang satu itu?”

Terkejut pemilik pokok tersebut. Adakah Abu Dahdah sudah gila? 600 pokok untuk 1 pokok? Abu Dahdah meminta orang sekeliling menjadi saksi akad jual beli itu. Terjadilah perjanjian itu.

Dengan tersenyum Abu Dahdah melihat anak yatim tersebut, “Ambillah pokok itu”. Anak kecil itu begitu gembira.

Abu Dahdah kembali ke kebunnya yang telah dijual itu. Abu Dahdah menunggu di luar sambil memanggil isterinya.

“Ummu Dahdah! Ummu Dahdah! Cepat keluar dari kebun ini! Aku sudah meminjamkan kebun ini kepada Allah!”

Cuba bayangkan kalau kita adalah Ummu Dahdah. Suami kita telah menjual segalanya. Kosong dan tiada apa lagi untuk kita. Apa perasaannya?

Tapi Ummu Dahdah tahu bahawa suaminya melakukan jual beli yang terlalu agung dengan Allah SWT. Segala harta itu untuk sepohon pokok di syurga. Lantas Ummu Dahdah berkata, “Engkau tidak rugi, suamiku, engkau beruntung, engkau sungguh beruntung!”

Masya Allah betapa mulianya kata-kata yang keluar dari mulut Ummu Dahdah. Saat itu juga di tangan anak Abu Dahdah ada sebutir kurma. Abu Dahdah membuka tangan anaknya dan mencampakkan kembali kurma itu ke kebun. “Ayahmu sudah meminjamkan kebun ini kepada Allah.” Masya Allah.

Ibnu Mas'ud menceritakan bahwa Rasulullah bersabda, “Berapa banyak pohon sarat buah yang kulihat di surga atas nama Abu Dahdah.” Ertinya, Allah memberi Abu Dahdah pohon-pohon yang berbuah lebat di surga sebagai ganti atas pemberiannya kepada-Nya di dunia. Bila Rasulullah SAW mengungkapkan kata-kata ini? Di saat dia melihat mayat Abu Dahdah yang syahid di dalam peperangan Uhud. Subhanallah.

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW melihat dunia dari jendela akhirat. Berebut-rebut mengejar pahala. Tinggal dua hari sahaja lagi Ramadhan akan meninggalkan kita. Ayuh pecut selajunya untuk mengejar kebaikan di akhir waktu ini. Sesungguhnya pintu syurga di buka di bulan ini.

Kisah Abu Dahdah ini boleh juga diikuti di sini.

Tuesday, September 15, 2009

Pagi - semangat...

Ada sekali itu kami semua tertidur selepas kuliah subuh sebab penat sangat. Saya dah pening dengar kuliah subuh. Tidak faham apa-apa. Program pula di kawasan yang dingin dan begitu kondusif untuk tidur. Melihat keadaan kami pagi itu, murabbi memulakan pengisian seterusnya dengan satu kisah dan kisah ini selalu memotivasikan saya di pagi hari yang seterusnya. Ceritanya berkenaan dengan seorang remaja bernama Harith. Adik saya bernama Zaid Harithah. Kadang panggil dia Haris. Dah berbulan-bulan tidak jumpa.

Huhu, saya dah lari topik. Cerita kita pasal apa? Pasal Harith Ibn Malik. Rasulullah SAW sangat suka duduk dan berbual dengan remaja atau ghulam. Ingat tak hadis ghulam? Boleh baca di sini. Dipanjangkan cerita, satu hari Rasulullah SAW terjumpa Harith Ibn Malik. Rasulullah SAW pun tanya Harith, “Kaifa asbahna ya Harith?” (Bagaimana pagimu wahai Harith)

Kita remaja kan? Cuba bayangkan kalau Rasulullah SAW tanya kita soalan itu. Agak-agaknya apa jawapan kita? Paling baik pun jawapan yang saya boleh beri, “Alhamdulillah, ya Rasulullah”. Tahu tak apa jawapan Harith? Para sahabat Rasulullah SAW akan beri jawapan yang fantastik untuk setiap soalan yang ditanya. Harith jawab, “Asbahna mukminan haqqan” (Aku berpagi-pagian dalam keadaan aku adalah mukmin yang sebenar)

Rasulullah SAW taajub mendengar jawapan Harith. Rasulullah SAW pun tanya lagi, “Li kulli syai’in haqiqah, fama haqigatul iman?” (Bagi setiap perkara ada hakikatnya, maka apa hakikat imanmu ya Harith?)

Jawapan Harith super fantastik lagi. Dia kata, “Aku mengasingkan diriku dari dunia. Aku berpuasa di pagi hari dan aku menghidupkan malam-malamku. Aku melihat Arsy Allah bercahaya. Aku melihat orang yang di dalam syurga saling berziarah dan aku melihat orang menjerit di neraka”.

Rasulullah SAW pun kata kat Harith, “Kau adalah pemuda yang telah diterangkan oleh Allah hatimu. Kau benar maka beriltizamlah”.

Best kan cerita ini? Harith melihat dengan pandangan yang sangat jauh . Teringat kata-kata arwah Ammar. Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat, melihat dunia dari jendela akhirat.

Hmm, jauh kan pagi kita dengan pagi Harith? Setiap pagi bila sebut kata-kata Harith itu, terasa macam ada aura sahaja. Asbahna mukminan haqqan!

Saya jealous sangat dengan murabbi saya yang ceritakan kisah ini. Kalau dia cerita pape, mesti saya nangis. Dahlah hebat dalam akademik, lepas itu hebat dalam perjuangan. Setiap kali dia cakap, saya rasa macam tidak pernah dengar pun. Saya cemburu sangat dengan dia sebab hati saya yang keras ini boleh lembut dengan penerangannya. Pastinya biiznillah, dengan izin Allah semata-mata. Dua jenis manusia sahaja yang boleh kita cemburui. Pertama orang yang ada ilmu dan dia ajarkan pada orang lain. Dan keduanya orang yang ada harta dan dia gunakan hartanya untuk berinfaq di jalan Allah. Dua-dua kualiti ada kat murabbi saya ini.

Oklah, moga kamu semangat juga mendengar kisah ini. Selepas ini bila orang tanya saya, macam mana pagi saya, apa saya nak jawab ye? Asbahna ala fitratil islam. Saya baca mathurat terus. Gurauan semata-mata. Tapi kalau kita menghayati mathurat, itulah janji dan ikrar kita. Aja-aja fighting! Aja-aja jihad yok!

Saya terjumpa kisah ini di sini dalam bahasa Inggeris.
There is a hadith in Hayat al-Sahabah in the Chapter Regarding the Reality of Faith from Sayyiduna Anas Ibn Malik (may Allah be pleased with him), who narrates: “The Prophet of Allah (may Allah bless him and grant him peace) said: ‘What state did you awake in the morning O Harith Ibn Malik?’ He said: ‘I woke, O Prophet of Allah, as a true believer.’ The Prophet of Allah (may Allah bless him and grant him peace) said: ‘Certainly, every truth has a reality, so what is the reality of what you say?’ He replied: ‘I have turned away from the world; I have made thirsty my days and awoken my nights. It is as if I see the throne of my Cherisher and it is as if I see the people of paradise meeting each other in it and the people of the screaming.’ So the Prophet of Allah (may Allah bless him and grant him peace) said to him: ‘You are a man whose heart Allah has enlightened. You have known the truth, so remain firm on it.’” (Ibn ‘Asakir has produced this hadith, and Al-’Askari has mentioned it in Jamharat al-Amthal and so has Ibn al-Mubarak in Kitab al-Zuhd)

Monday, September 14, 2009

Struggle...

Alhamdulillah hari ini hati terasa dan basah dengan Quran. Mungkin kerana ditempelak semalam oleh seorang chatter membuatkan saya menghayati ayat-ayat yang dibaca. Jalan yang saya pilih bukan jalan yang mudah. Dicaci, dihina dan disergah pasti menjadi dugaan apabila berada di jalan ini.

Bukan sukar untuk mengenali manusia hatta di dunia maya. Hati akan memberitahu dan fatwa dari Quran menambahkan keyakinan. Hanya Allah sebaik-baik penunjuk dan hanya Allah sebaik-baik penjaga diri ini.

Katanya saya bersangka buruk dengan pasangan couple berdasarkan tulisan saya yang lama. Jujur saya membenci setiap perbuatan maksiat tapi bukan pelakunya. Adakah saya perlu menulis bahawa gambaran couple itu indah dan baik di sini? Benda yang fasiq perlu juga disebut fasiq.

Keduanya perihal daie sukar didekati. Sudah pasti sukar didekati oleh mereka yang berlawanan jantina. Itu adalah common sense. Afeera, sabar! Common sense is not common anymore. Salah ke seandainya seorang perempuan mengambil langkah berhati-hati terhadap mereka yang berlawanan jantina? Jangan bermain api, besar bahayanya. Alhamdulillah Allah memberi saya peluang belajar perubatan. Saya belajar mengenali manusia.

Nak tanya mereka yang skeptical dengan daie, kamu rasa orang jadi best tiba-tiba ke? Orang jadi baik tiba-tiba ke? Hatta di permulaan bicara sendiri saya sudah memberitahu saya ini teruk orangnya. Baru merangkak nak jadi baik. Tarbiah itu panjang dan saya masih lagi struggle dalam dunia ini.

Tidak semua orang jadi sempurna tiba-tiba dalam dunia ini. Dan Islam adalah deen untuk manusia. Islam adalah fitrah. Sahabat-sahabat nabi pun struggle nak jadi baik. Misalnya, sahabat nabi struggle nak jaga pandangan mata. Kamu ingat kisah al-Fadhl bin Abas r.a? Dia dalam ihram, dalam keadaan mahu menunaikan haji, dan dalam keadaan ibadah melakukan ketaatan kepada Allah. Dan dia menaiki unta bersama Rasulullah SAW. Naik unta lain ke? Tak. Naik unta sekali dengan Rasulullah SAW. Apa al-Fadhl buat? Dia ternampak seorang wanita dan ulama’ ungkapkan al-Fadhl seakan mabuk dengan wanita tersebut. Tengok tak berkelip. Lalu Rasulullah memegang kepala al-Fadhl dan memalingkannya ke arah lain. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun struggle nak jadi baik.

Ingat kisah Zainab bint Jahsy? Isteri Rasulullah SAW? Dia adalah ummahatul mukminin, ibu orang-orang beriman. Dia berasal dari keturunan yang sangat mulia. Ayahnya terlibat dalam meletakkan batu hajarul aswad ke tempatnya. Suatu hari Zainab pergi kepada Rasulullah SAW dan melamar Rasulullah SAW. Apa Rasulullah SAW kata? Kahwinilah Zaid bin Harithah. Zainab seakan-akan tidak mampu menerima kata-kata itu. Dia kata dia sayyidah, seorang wanita mulia. Mana mungkin dia berkahwin dengan Zaid yang miskin dan tidak punya apa. Tapi akhirnya dia berkahwin dengan Zaid sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW. Ulama membicarakan perihal perkahwinannya dengan Zaid. Satu kerana Zaid adalah alim dan mampu mengajarnya. Keduanya adalah tarbiah untuk menyucikan Zainab dari perasaan bangga diri sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW. Senang ke bagi Zainab nak kahwin dengan Zaid? Hal itu amat sukar. Dia pun struggle nak meruntuhkan sifat-sifat yang tidak baik yang ada di dalam dirinya. Akhirnya dia dimuliakan Allah.

Islam agama fitrah. Semua orang struggle nak jadi baik. Saya sendiri struggle nak menulis di sini. Tulisan saya yang kini dengan yang dulu pasti berbeza. Saya mengambil masa yang lama untuk memahami jalan dakwah. Saya struggle di dalam bulan Ramadhan ini. Saya struggle nak jadi anak yang baik. Saya struggle nak jadi akak yang baik. Saya struggle nak jadi akak naqibah yang baik. Semalam adik-adik usrah saya dah menguap berkali-kali dengar saya membebel. Allah tahu saya struggle nak jadi penyampai yang baik. Saya bukan orator yang baik tapi saya struggle. Saya bukan orang yang tidak hanyut dengan Jahiliah. Baru ini saya dengar lagu Dhadkan, lagu Hindi. Saya nangis kat Allah sebab saya rasa nak dengar sangat lagu itu. I’am struggling almost everytimes in my life to become a better person. Saya struggle nak mengaji. Saya struggle nak infaq. Semua itu sukar bagi saya dan terlalu sukar. But I’am struggling. Nobody perfect. Please understand that first!

Tarbiah ini jalannya panjang. Dan satu lagi perkara yang saya nak sebut, jangan mengadili manusia melalui blog. Kalaulah dosa itu macam tahi dan berbau, mesti saya ini manusia paling busuk kat dunia ini. Allah kenal saya. Dan saya sendiri tahu saya tidak boleh tipu Allah.

Moga Allah temukan kamu dengan manusia yang baik dan sesuai dengan kamu.

Saturday, September 12, 2009

Setahun yang lalu..

Terlalu banyak idea yang ada cuma tidak berkesempatan menulisnya di sini. Bilakah saya mampu merealisasikan segala perkara yang dicita-citakan? Saya setuju dengan tulisan Rebecca Ilham mengenai novel cinta islami. Adakah di sana terdapat kemungkinan bahawa saya akan menamatkan tulisan saya yang telah bermula? Allahu A'lam.

Setahun yang lalu setelah tamat tahun dua, saya membuat elektif di dalam bidang penulisan. Ada 16 bab sinopsis novel yang telah disiapkan. Sehingga hari ini saya tidak berkesempatan untuk menyambung tulisan tersebut. Tadi saya belek kembali laporan elektif Bahagian pengenalannya membuat saya teringat cita-cita saya yang dulu. Cuma hari ini saya mungkin bukan saya yang dulu.

"Alhamdulillah, I manage to complete my elective in writing. For me, writing is about the relationship with Allah. I can write easily whenever my soul is content with the consciousness of Allah. But whenever I was away from Allah, I felt that I can’t write. I am facing Writer’s Block whenever I run away from Allah. It is really difficult to write whenever my own soul was emptied. I would like to thanks Allah in the first place for helping me in doing my elective".

"I would like to thanks my family for giving me idea and always be there for me. They support me in writing. They wish that I can do something for the ummah. Even though my writing is not complete, I wish to pursue it whenever I have time. I hope that I can become a good Muslimah novelist in the future that helps the youth to see their potential and future through the perspective of Islam".

Moga satu masa nanti akan ada sesuatu yang mampu saya tinggalkan untuk ummah yang sangat saya cintai ini.

Thursday, September 10, 2009

Mimpi...



Lagu ini menyentuh hati saya. Lagu ini tentang mimpi. Mimpi kamu apa? Nak dapat 5A dalam UPSR? Nak dapat keputusan yang baik di dalam peperiksaan? Nak dapat pasangan yang menawan? Nak beli kereta idaman? Nak bina banglo? Nak dapat anak-anak yang comel dan berjaya? Kamu ada jawapannya.

Saya kongsikan mimpi saya. Mimpi saya adalah melihat kemenangan Islam. Dulu saya tidak berani bermimpi sebab tidak sihat. Saya hanya mahu memikirkan kerja dan terus bekerja. Gambaran masa hadapan tiada dalam fikiran saya.

Baru-baru ini mak saya menangis kat saya. Sebabnya dia mengambil berat berkenaan kesihatan saya. Dia nak saya ambil berat mengenai kesihatan saya sama seperti saya mengambil berat mengenai Islam. Dia tidak menyertai usrah. Anak-anak yang memberi kefahaman buat dirinya.

Saya rasa terharu mendengar luahan hatinya. Katanya, dulu semasa hendak berkahwin, ayah ada memberitahu cita-citanya untuk melahirkan rijal-rijal deen ini. Dia tidak tahu pun makna rijal masa itu. Tapi dia kata mimpi ayah saya menjadi kenyataan. Mak nak lihat cucu-cucu dia pula memecut demi dakwah, lebih laju lagi, Saya rasa terharu apabila seorang ibu yang tidak menerima tarbiah secara langsung mengungkapkan semua ini.

Saya rasa terharu juga apabila baru-baru ini Prof cakap di dalam satu program yang dia menginginkan Allah mengurniakan usia yang panjang buatnya supaya dia dapat membantu agama Allah. Dia nak melihat kemenangan Islam. Saya tidak pernah minta semua itu kat Allah. Saya cuma minta nak mati di jalan Allah.

Mendengar semua kata-kata ini, saya mula bermimpi. Mimpi yang bukan fantasi tapi realiti. Mimpi yang akan memecut kita pastinya.

Kan ada cerpen bertajuk Darul Taqwa dan Datuk Johar? Best sangat cerpen itu. Siapa yang berminat boleh membacanya di sini. Cerpen itu tentang kehidupan di bawah lembayung Islam. Cerpen itu mengenai mimpi setiap insan yang berjuang di jalan Allah.

Best tak kalau Islam perintah? Best sangat. Semua orang kaya raya. Tidak perlu bayar bil air, bil elektrik. Tidak ada orang miskin. Negara ini bersih. Perempuan boleh jalan dengan selamat. Tiada pencuri. Orang tidur dengan nyenyak. Orang sekeliling kita mengagungkan Allah. Alam ini menyanyikan zikrullah bersama-sama dengan penduduk bumi. Manusia-manusia hebat dilahirkan tetapi mengagungkan Allah. Wah, bestnya…

Semua orang Islam kena yakin sistem Allah adalah yang terbaik. Sedih kan bila orang Islam sendiri yang mempertikaikan hukum Allah? Kerja kita banyak kan? Jom kerja untuk memastikan mimpi hari ini adalah kenyataan hari esok.

Monday, September 07, 2009

Anjing...

Minggu lepas saat sedang berjogging, ada seekor anjing yang tiba-tiba datang seakan mahu menerkam. Alhamdulillah, saya terkejut tapi anjing tersebut tidak mengapa-apakan saya. Alhamdulillah, saya masih cool.

Banyak pengalaman saya dengan haiwan. Semasa di Terendak, saya pernah berlawan dengan lebih 10 ekor lipas pagi-pagi buta. Tidak tahu dari mana datangnya lipas-lipas itu. Alhamdulillah air yang keluar dari pili shower begitu laju untuk saya bersilat pagi itu dengan lipas.

Semasa saya kecil pula, saya pernah dikejar dengan ayam belanda saat mahu membuang sampah. Allah nak latih saya agar jadi lebih cool. Huhu..

Saya bukan nak cerita tentang lipas atau ayam belanda sebenarnya. Saya nak cerita pasal anjing.

Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka. (Surah AlKahfi: 18)

Pernah baca Surah Kahfi? Banyak sangat kisah yang ada dalam itu. Semuanya adalah kisah yang amat berat. Antaranya berkenaan perihal dakwah, perjuangan menyelematkan iman, kisah roh, kisah seorang pemimpin dunia yang hebat dan banyak lagi.

Pernah tak terfikir, kenapa dalam kisah-kisah yang begitu berat itu, tiba-tiba Allah menyebutkan perihal anjing di dalam ayat yang ke 18? Apa yang ada kat itu anjing sampai Allah rakamkan dalam Quran? Boleh je Allah tidurkan pemuda-pemuda itu sahaja, biarkan sahaja anjing itu mati jadi tengkorak dan tidak perlu pun nak dirakamkan di didalam AlQuran. Tapi kenapa anjing itu juga diberikan kelebihan disebut di dalam Quran sama seperti yang dialami oleh pemuda-pemuda Kahfi tersebut? Lepas itu kita ini semua membaca ayat Quran berkenaan anjing ini dan semua orang akan membacanya sehingga hari kiamat. Wah, hebat kan anjing itu? Apa yang menjadikannya hebat?

Allah mengurniakan anjing ini rahmat. Apa sebabnya? Ini adalah kerana anjing tersebut memperolehi saham lantaran kerana bersama dengan orang-orang yang soleh.

Hebat kan? Saya sendiri merindui setiap pengalaman saya dengan sahabat-sahabat saya yang soleh. Mereka begitu hebat. Melihat mereka membaca Quran, saya juga mahu membaca Quran. Melihat mereka melakukan solat-solat sunat, saya juga jadi bersemangat untuk beribadah kepada Allah.

Best kan kalau kat dunia ini semua orang adalah orang soleh? Itulah sebabnya kita tidak boleh berhenti bermimpi melihat kemenangan Islam di mana akan tibanya hari semua orang di sekeliling kita adalah orang soleh. Kita kena terus bekerja.

Setiap hari adalah mimpi dan mimpi ini bukan hanya setakat mimpi. Mimpi ini adalah kenyataan. Kemenangan Islam adalah aqidah. Saya merindui zaman kemenangan Islam yang dahulu meskipun saya tidak berpeluang mengecapinya

Islam akan kembali sepertimana tunas berbunga, berbuah dan akhirnya menjadi ranting. Itu adalah kenyataan meskipun musuh-musuh Islam tidak menyukainya.

Friday, September 04, 2009

Karat...

Sejak akhir-akhir ini, saya merasakan pena tidak lagi menarikan rentaknya mengikut arus hati. Mudah-mudahan tulisan yang ini mampu membuatkan saya kembali.

Membaca coretan Kak S berkenaan Andalusia membuatkan saya tersentak seketika. Adakalanya hati hanyut kembali tapi Allah saban waktu memberi teguran. Adakalanya secara langsung dan adakalanya melalui medium yang lain. Allah lebih tahu mana yang baik untuk hambaNya,

Sudah lama saya tidak mengutus khabar buat Kak S meskipun sudah agak lama di Johor. Saya cuma di Johor setiap hari Isnin hingga Khamis. Hari Jumaat saya sudah ke Cyberjaya.

Kadangkala penat juga apabila sudah seharian di hospital, saya perlu menghadiri program dan seterusnya mendidik adik-adik saya. Sedih bukan apabila dunia menyedut segala tenaga dan seterusnya tenaga yang berbaki itu pula perlu digunakan untuk agama. Sadis bukan apabila sakit datang berkunjung dan saya perlu merampas hari-hari tarbiah untuk untuk mengganti cuti-cuti saya. Ya Allah, ampunkan insan yang terlalu lemah ini.

Kak S adalah insan pertama yang mengajar saya perihal meletakkan sesuatu di hati atau di tangan. Dan Allah jualah yang menarbiah hati manusia seterusnya menjadikan ilmu itu meresap ke tangkai hati.

Seharian melalui kehidupan, saya dapat merasai tarbiah Allah. Hal-hal yang tidak pernah saya letakkan di hati begitu mudah saya perolehi. Hairan melihat manusia mengejarnya sedang saya memperolehinya dengan jalan yang mudah. Laptop, handphone, pakaian dan setiap hal yang tidak pernah ada di hati datang bergolek.

Sedang setiap perkara yang ada di hati terlalu sukar Allah berikan. Adakalanya diuji dengan hal-hal yang ada di hati dengan sebenarnya.

Duit adalah contoh perkara yang saya letakkan di hati, sukar untuk menginfaq di jalan Allah. Lantas Allah mengajar saya berkali-kali. Dompet saya hilang pertama kalinya di hospital. Bagai mahu gugur jantung saya saat itu kerana di dalamnya ada kad bank saya. Kata laluannya adalah no kad pengenalan diri saya. Saya tidak menukar kata laluan tersebut. Kawan saya pernah sahaja kehilangan seluruh duit miliknya kerana kesilapan yang sama. Alhamdulillah, akhirnya setelah diuji dengan perasaan yang begitu berkecamuk itu, Allah temukan kembali dompet tersebut. Ada jururawat yang terjumpa dompet tersebut dan menyimpannya.

Saya punya perancangan dengan duit simpanan saya. Bercita-cita mahu mencapai financial freedom dalam usia yang muda. Tapi Allah tidak sekali-kali mahu menjadikan saya hamba kepada duit tersebut. Lantas datang ujian seterusnya. Saya mahu pulang ke Johor. Saat itu saya di Putrajaya. Minyak kereta sudah hampir kekontangan. Saat mahu mengeluarkan duit di stesen minyak, kad bank saya tiada. Dompet, wang dan yang lain-lain semuanya masih ada. Kad bank sahaja yang tiada.

Di stesen minyak itu jugalah saya membuka laptop, memeriksa simpanan saya dan seterusnya mancari nombor telefon bank. Talian internet bagai kura-kura saat itu seolah-olah menguji rasa tawakal saya pada Allah. Begitu takut sehingga air mata menitis tanpa disedari. Pada saat itulah saya berjanji akan berulang alik dari Johor ke Cyberjaya kepada Allah. Adik-adik usrah saya adalah tanggungjawab saya dan tidak akan saya berikan kepada orang lain. Alhamdulillah, duit saya masih ada. Seterusnya saya harus ke bank untuk membuat kad baru dan menyelesaikan hal lainnya.

Mahu memikirkan logik, tidak semuanya adalah logik belaka. Bagaimana kad bank tersebut hilang? Saya tidak memperolehi jawapan kecuali mengatakan bahawa hal itu adalah tarbiah dari Allah semata-mata.

Saya tidak berani mengatakan bahawa hal duit tiada lagi di hati saya. Saya percaya ujian seterusnya masih ada untuk membersihkan karat-karat yang masih ada.

Hebatnya tarbiah bagai mereka yang melentuk emas dan gangsa. Haba yang tinggi membuang segala kotoran agar yang tinggal hanyalah emas dan gangsa semata-mata. Hati sudah lama kotor dan berdebu. Lantas ujian Allah datang berkali-kali untuk membersihkan diri agar kembali suci kepada fitrahnya.

Moga sebuah hadis qudsi yang indah ini menjadi renungan kita bersama terutamanya buat diri yang begitu kerdil ini.

Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman, 'Siapa sahaja yang memusuhi kekasihku, Aku umumkan perang terhadapnya. Tidaklah hambaKu mendekatkan diri dengan sesuatu yang paling Aku cintai kepada-Ku kecuali dengan sesuatu yang aku wajibkan padanya. Tidaklah hambaKu mendekatkan diri dengan nawafil (ibadah sunah) kecuali Aku mencintainya. Jika aku telah mencintainya, Aku menjadi telinganya untuk mendengar, menjadi matanya untuk melihat, menjadi tangannya untuk memukul, dan menjadi kakinya untuk berjalan. Jika ia meminta, Aku kabulkan. Jika ia meminta perlindungan, Aku lindungi'." (HR IMAM BUKHARI)

Thursday, September 03, 2009

Sirna...

Terjumpa e-book yang menarik - A message to every youth oleh Assyahid Abdullah Azzam. E-book yang amat menarik. Sape yang berminat, boleh sahaja tinggalkan email. Nanti saya emailkan. Kata-kata aluan buku tersebut menyentap hati.

"...if you are too stingy with Allah to give Him some of your time at such an early age, in the coming times you will be even stingier..".

Nauzubillahi min zalik...

Saya terjumpa juga satu nasheed yang memugar semangat yang kian sirna. Moga Allah menjadikan kita hambaNya yang istiqamah di jalanNya.

It blew like the strong wind;

It burst like a bright flame;

It became like a youth in its determination;

It flew like a hawk, with pride;

Welcome, my caravan;

My caravan of wisdom;

O generation of the future, lets go;

Lets exert ourselves and work hard;

Lets always rise to the top;

And never accept to be less than the best;

My friends, lets go about;

And learn different fields of knowledge;

Lets excel in five or six;

And help a brother or sister;

Leave your laziness and slumber;

The lazy person has never succeeded;

And stop criticizing and blaming;

As Allah is the Helper of people;

Revive the glory of this Ummah;

When it was at its peak;

And brush this dark cloud away from it;

With your high aspirations

[Sung by Abu 'Ali]