Friday, September 04, 2009

Karat...

Sejak akhir-akhir ini, saya merasakan pena tidak lagi menarikan rentaknya mengikut arus hati. Mudah-mudahan tulisan yang ini mampu membuatkan saya kembali.

Membaca coretan Kak S berkenaan Andalusia membuatkan saya tersentak seketika. Adakalanya hati hanyut kembali tapi Allah saban waktu memberi teguran. Adakalanya secara langsung dan adakalanya melalui medium yang lain. Allah lebih tahu mana yang baik untuk hambaNya,

Sudah lama saya tidak mengutus khabar buat Kak S meskipun sudah agak lama di Johor. Saya cuma di Johor setiap hari Isnin hingga Khamis. Hari Jumaat saya sudah ke Cyberjaya.

Kadangkala penat juga apabila sudah seharian di hospital, saya perlu menghadiri program dan seterusnya mendidik adik-adik saya. Sedih bukan apabila dunia menyedut segala tenaga dan seterusnya tenaga yang berbaki itu pula perlu digunakan untuk agama. Sadis bukan apabila sakit datang berkunjung dan saya perlu merampas hari-hari tarbiah untuk untuk mengganti cuti-cuti saya. Ya Allah, ampunkan insan yang terlalu lemah ini.

Kak S adalah insan pertama yang mengajar saya perihal meletakkan sesuatu di hati atau di tangan. Dan Allah jualah yang menarbiah hati manusia seterusnya menjadikan ilmu itu meresap ke tangkai hati.

Seharian melalui kehidupan, saya dapat merasai tarbiah Allah. Hal-hal yang tidak pernah saya letakkan di hati begitu mudah saya perolehi. Hairan melihat manusia mengejarnya sedang saya memperolehinya dengan jalan yang mudah. Laptop, handphone, pakaian dan setiap hal yang tidak pernah ada di hati datang bergolek.

Sedang setiap perkara yang ada di hati terlalu sukar Allah berikan. Adakalanya diuji dengan hal-hal yang ada di hati dengan sebenarnya.

Duit adalah contoh perkara yang saya letakkan di hati, sukar untuk menginfaq di jalan Allah. Lantas Allah mengajar saya berkali-kali. Dompet saya hilang pertama kalinya di hospital. Bagai mahu gugur jantung saya saat itu kerana di dalamnya ada kad bank saya. Kata laluannya adalah no kad pengenalan diri saya. Saya tidak menukar kata laluan tersebut. Kawan saya pernah sahaja kehilangan seluruh duit miliknya kerana kesilapan yang sama. Alhamdulillah, akhirnya setelah diuji dengan perasaan yang begitu berkecamuk itu, Allah temukan kembali dompet tersebut. Ada jururawat yang terjumpa dompet tersebut dan menyimpannya.

Saya punya perancangan dengan duit simpanan saya. Bercita-cita mahu mencapai financial freedom dalam usia yang muda. Tapi Allah tidak sekali-kali mahu menjadikan saya hamba kepada duit tersebut. Lantas datang ujian seterusnya. Saya mahu pulang ke Johor. Saat itu saya di Putrajaya. Minyak kereta sudah hampir kekontangan. Saat mahu mengeluarkan duit di stesen minyak, kad bank saya tiada. Dompet, wang dan yang lain-lain semuanya masih ada. Kad bank sahaja yang tiada.

Di stesen minyak itu jugalah saya membuka laptop, memeriksa simpanan saya dan seterusnya mancari nombor telefon bank. Talian internet bagai kura-kura saat itu seolah-olah menguji rasa tawakal saya pada Allah. Begitu takut sehingga air mata menitis tanpa disedari. Pada saat itulah saya berjanji akan berulang alik dari Johor ke Cyberjaya kepada Allah. Adik-adik usrah saya adalah tanggungjawab saya dan tidak akan saya berikan kepada orang lain. Alhamdulillah, duit saya masih ada. Seterusnya saya harus ke bank untuk membuat kad baru dan menyelesaikan hal lainnya.

Mahu memikirkan logik, tidak semuanya adalah logik belaka. Bagaimana kad bank tersebut hilang? Saya tidak memperolehi jawapan kecuali mengatakan bahawa hal itu adalah tarbiah dari Allah semata-mata.

Saya tidak berani mengatakan bahawa hal duit tiada lagi di hati saya. Saya percaya ujian seterusnya masih ada untuk membersihkan karat-karat yang masih ada.

Hebatnya tarbiah bagai mereka yang melentuk emas dan gangsa. Haba yang tinggi membuang segala kotoran agar yang tinggal hanyalah emas dan gangsa semata-mata. Hati sudah lama kotor dan berdebu. Lantas ujian Allah datang berkali-kali untuk membersihkan diri agar kembali suci kepada fitrahnya.

Moga sebuah hadis qudsi yang indah ini menjadi renungan kita bersama terutamanya buat diri yang begitu kerdil ini.

Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman, 'Siapa sahaja yang memusuhi kekasihku, Aku umumkan perang terhadapnya. Tidaklah hambaKu mendekatkan diri dengan sesuatu yang paling Aku cintai kepada-Ku kecuali dengan sesuatu yang aku wajibkan padanya. Tidaklah hambaKu mendekatkan diri dengan nawafil (ibadah sunah) kecuali Aku mencintainya. Jika aku telah mencintainya, Aku menjadi telinganya untuk mendengar, menjadi matanya untuk melihat, menjadi tangannya untuk memukul, dan menjadi kakinya untuk berjalan. Jika ia meminta, Aku kabulkan. Jika ia meminta perlindungan, Aku lindungi'." (HR IMAM BUKHARI)

No comments: