Friday, May 30, 2008

Berat hati...

Saya akan ke Sabah hari ini. Berat tak rasa hati ini untuk melangkah? Sejujurnya terlalu berat. Saya terlepas banyak perkara pastinya. Saya terlepas study group yang akan menghabiskan 2 sistem hujung minggu ini. Saya terlepas membuat revisi peperiksaan OSPE. Saya pulang hari Selasa. Peperiksaan akhir Reproductive System hari Khamis dan peperiksaan akhir Nervous System hari Jumaat. Profesional Exam pula kian menjelma. Berat hati ini memikirkan semua.

Berat juga hati ini untuk pergi apabila memikirkan tangisan seseorang semalam. Serasanya mahu sahaja saya mengambil tiket bas dan bertemunya semalam juga. Namun rasional akal mengatasi hati. Saya berdoa dengan doa yang pernah dikirimkan oleh seorang sahabat. Saya tidak meminta kebersamaan bersama dia, cukuplah Allah bersamanya. Moga dia tenang semula. Saya tahu dia cukup tertekan. Apakan daya saya tidak berupaya melukis takdir sendiri. Saya perlu ke Sabah hari ini.

Saya tidak ke Sabah dengan niat untuk bercuti. Di saat saya memberikan nama, hanya tanggungjawab yang bermain di mata. Prof mahu mereka yang benar-benar komited sahaja untuk belajar ilmu sunathon itu. Dan di saat saya mempelajarinya, saya berjanji pada Allah bahawa ilmu ini untuk ummah. Lantas saya berikan nama. Saya perlu menunaikan janji itu.

Mungkin saya perlu merenungi kisah peperangan Hunain.

" ....dan ingatlah peperangan Hunain iaitu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak tidak memberi faedah kepada kamu sedikit pun dan bumi yang luas terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai.” (Surah Attaubah:25)

Saya tidak sewajarnya bergantung pada usaha, pada study group semata, saya perlu mengharap sepenuhnya pada Dia. Bukan kerana bilangan yang banyak rahsia kejayaan tentera Islam. Saya perlu berusaha kerana Sunnatullah kejayaan pada usaha, namun saya perlu yakin bahawa Dia akan memberikan saya yang terbaik. Andai gagal, ia adalah yang terbaik dariNya. Andai berjaya juga, itu adalah pemberianNya. Hanya Dia penentu sebaiknya.

Saya bukan genius. Mungkin juga saya takut dengan peperiksaan. Manusia pasti diuji. Tentera Islam juga pernah teruji di dalam peperangan Ahzab sehinggakan rasa takut itu seolah-hati hati (jantung) sudah sampai ke kerongkong.

“(Yaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan(mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke tenggorokan dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. Di situlah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat.”[QS33:10-11]

Teringat kata-kata seorang akak sewaktu berusrah. Ikhlas itu ada tiga. Pertamanya, kita memang ikhlas sebelum, semasa dan selepas melakukan kebaikan. Keduanya, ikhlas ni hanya hadir sewaktu melakukan amal tersebut meski hati berat untuk ikhlas sebelum melakukan pekerjaan itu. Dan ketiga, Allah kira juga kita ikhlas andai selepas melakukan pekerjaan tersebut, baru hati melahirkan keikhlasan. Kata akak tersebut, kalau rasa berat macam mana pun nak buat kebaikan, cuba buat juga. Mudah-mudahan dengan kebaikan tersebut, Allah mencampakkan rasa ikhlas.

Saya mohon Allah memberikan ketetapan hati untuk meniti jalan ini.

Teringat kembali perjalanan ke Perak dahulu.

Thursday, May 29, 2008

Kena tag...

Saya telah ditag buat pertama kalinya. Saya menjadi mangsa tag Kak Maryam dan Alia=) Sejujurnya menarik sekali permainan tag berkenaan usrah ini. Tag berkaitan usrah ini mungkin sahaja kecil di mata manusia tapi insya Allah sungguh besar di hadapan Allah. Masih teringat lagi kata-kata ustaz tempoh hari pasal lagu ’Anak Nabi Kita”. Saya mempelajarinya sewaktu di tadika Taski Abim. Ingat tak kawan-kawan pasal lagu tu? Liriknya – Anak nabi kita ada 7 orang. Tiga lelaki, empat perempuan. Kassim, Abdullah, Ibrahim, Fatimah, Zainab, Ruqayyah, dan Ummi Kalthum. Mahu mempelajarinya? Tengok sahaja video di bawah ini.





Hmm...mungkin di mata manusia lagu tu macam ’bodoh’. Apalah sangat lagu tu nak dibandingkan dengan lagu-lagu ‘maksiat’ yang diminati oleh manusia hari ini atau lagu ‘Anak Pak Mat’ yang dinyanyikan kebanyakan kanak-kanak. Tapi selagi mana ada manusia yang terkesan dan terhafal nama anak nabi dengan mendengarkan lagu tu, insya Allah besar lagu tu di mata Allah. Faham ke? Kalau tidak faham, doakan agar Allah beri saya kekuatan untuk menulis berkenaan hal-hal kecil di mata manusia tapi besar di mata Allah ini. Perlu satu entri khas berkenaan itu. Ok, berbalik semula berkenaan tag.

Peraturan Tag:


1. Setiap blogger mesti letakkan peraturan ini di hujung entri
2. Blogger yang ditag per
lu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan
3. Blogger yang ditag perlu meletakkan jawapan di dalam entri blog masing-masing
4. Jangan lupa untuk tag rakan-rakan blogger yang lain
5. Jangan lupa untuk maklumkan bahawa mereka telah ditag dan perlu membaca blog anda
6. Blogger yang ditag dikehendaki untuk tag lima orang blogger yang lain

Soalan – soalannya:
[1*] Berapa lama anda dah sertai usrah?

[2*] Bagaimana anda boleh sertai usrah?

[3*] Kenapa anda menyertai usrah?

[4*] Tiga perasaan anda setelah menyertai usrah

[5*] Lima perkara yang anda dapat selama menyertai usrah

Jawapan saya adalah seperti di bawah. Hmm..usrah yang saya maksudkan di bawah ini merujuk pada usrah formal yang saya rasai.

[1*] Berapa lama anda dah sertai usrah?

Sejak di matrikulasi.

[2*] Bagaimana anda boleh sertai usrah?

Saya dalam pencarian diri. Bila ditawarkan usrah, saya join sahaja.


[3*] Kenapa anda menyertai usrah?

Pencarian diri. Mengenali tujuan hidup saya.


[4*] Tiga perasaan anda setelah menyertai usrah?

-Tiap saat saya berusrah, saya merasakan seolah-olah Allah berbicara dengan saya. Saya merasakan Allah begitu hampir, terlalu hampir sehingga saya sukar menterjemahkan perasaan itu.

-Saya merasakan ketenangan yang amat kerana Allah menjawab setiap keluh kesah dan segala macam masalah saya sewaktu saya berusrah.

-Saya merasakan kebahagiaan kerana menemukan tujuan penciptaan saya. Saya mohon agar Allah menetapkan saya dalam jalan ini sehingga saat bertemuNya.

[5*] Lima perkara yang anda dapat selama menyertai usrah?

-Ilmu. Tersenyum saya bila baca jawapan yang lain. Ramai yang jawab dapat belajar hal-hal berkaitan perkahwinan. Ya, betul. Tapi saya mahu tambah satu lagi perkara – Saya diajar juga hal ehwal kalau tidak berkahwin. Bestnya usrah sebab ideal. Positif dan negatif. Ujian dan bahagia. Dua-dua ada. Macam-macam ada.

-Merasakan nikmat ukhwah. Best bangat..

-Jadi baik sedikit berbanding dulu. Jahat lagi, tapi kurang jugalah kejahatan tu. Kalau tiada usrah, lagi jahat rasanya...

-Merasakan nikmat yang paling besar, nikmat mengenali pencipta yang agung, Allah SWT

-Syahadatul Haq...

Ini mangsa tag saya. Mungkin pertama kali saya tag orang.

Atikah

Munirah

Umira

Saya tiada ramai kawan blogger. Ramai pembaca senyap blog ini. Saya mengenali Munirah dan Umira menerusi Yahoo 360. Atikah pula pembaca blog ini. Lagi dua orang tu..hmmm...sesiapa yang merasakan nikmat usrah dan mahu menceritakannya di blog masing-masing. Katakan sahaja saya tag anda=)

Sunday, May 25, 2008

Nak pergi mana?

Kau nak pergi mana ni?

Aku nak pergi usrah.

Usrah? Apa tu? Nama tempat ke?

Bukan nama tempatlah usrah tu...usrah tu macam satu program pengisian. Istilah ’usrah’ tu diperkenalkan oleh Assyahid Imam Hassan AlBanna, tapi intipati ’usrah’ tu sendiri dah pun dimulakan oleh Rasulullah SAW..boleh je kalau kau nak panggil usrah tu dengan apa sahaja panggilan yang kau suka...study circle ke? Bulatan ke? Apa-apa sahaja...

Rasulullah SAW yang memulakan usrah?

Ya..macam apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, menghimpunkan para sahabat yang beriman dengannya di peringkat permulaan dakwahnya di rumah Al Arqam bin Abi Al Arqam...hmmm...kau ingat tak kisah pengislaman Saidina Umar?

Ingat...Umar marah adiknya Fatimah memeluk Islam...

Betul..betul...waktu Saidina Umar bertemu dengan adiknya , dia dengar adiknya membaca AlQuran kan?

Ya...

Sebenarnya waktu tu adik dia macam sedang berusrah la.. Fatimah dan suaminya sedang belajar mengaji al-Quran bersama seorang lagi sahabat mereka, Khabbab al-Arati…macam aku cakap tadi…benda yang diajar dalam usrah ni dah pun bermula di zaman Rasulullah SAW sebenarnya…

Ooo ..penting ke usrah ini?

Hmm...aku pernah cerita kat kau kan yang Islam ni pernah menguasai dunia?

Ya..pernah...

Pemerintahan Islam yang pernah menguasai dunia itu telah tumbang saat ni...Pemerintahan tersebut tumbang secara rasminya pada tahun 1924....Menjadi tanggungjawab kita sebagai Muslim nak bina semula khilafah Islam tu..kita perlu menjadi khalifah di atas muka bumi Allah ini..Itulah sebenarnya tujuan penciptaan kita..

Aku tanya kat kau penting ke usrah ni, apasal kau cerita pasal Khilafah Islam pulak?

Hmm...itulah sebabnya ramai yang cakap Assyahid Hassan Al Banna ni genius orangnya...Selepas kejatuhan Khilafah, ulama Azhar pun tak tahu nak buat apa...tapi Assyahid ni selepas melihat dunia sekelilingnya berfikir bagaimana caranya nak kembalikan semula Islam tu...Dia adalah seorang syabab (pemuda) yang membesar dengan ajaran Islam. Dia teliti sirah Rasulullah SAW...dia terilham untuk mengasaskan usrah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di rumah Al Arqam bin Abi Al Arqam..kira pentinglah usrah ni...

Ooo..Menarik...menarik...

Memang menarik...hmm..nak bina kembali islam kenalah belajar sirah...kena ikut maratib amal...

Maratib amal? Kau ni ...cakaplah bahasa yang aku boleh faham...aku tahulah aku tak belajar bahasa Arab dulu kan...

Maaf...ok..ok..aku terangkan..macam ni...mula-mula sekali kita pergi usrah kan? Hmm...tujuannya nak bina fardul muslim (individu muslim). Lepas dah ada ramai individu muslim yang faham Islam..kita binalah keluarga Muslim..kahwin dengan orang yang faham tentang Islam tu jugak dan bila dah ada ramai keluarga muslim...terasaslah masyarakat Muslim ...bila dah ada ramai masyarakat Muslim..bolehlah kalau kita nak bina negara Islam...negara-negara Islam berkumpul membentuk kerajaan Islam...kerajaaan Islam pulak membentuk empayar Islam dan insya Allah akhirnya Islam akan memimpin dunia..Ustaziatul Alam..Islam menjadi world order....

Aku dah faham...Hmm..Aku kan ada seorang kawan ni...Dia suka cakap benda-benda macam gini bidaah..sesat..apa pendapat kau?

Bidaah? Sesat? Kenapa pulak? Ada dalilnya dalam AlQuran pasal Usrah ni..Ayat 151 Surah AlBaqarah..”Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul (Muhammad) dari (kalangan) kamu yang membacakan ayat-ayat Kami , menyucikan kamu, dan mengajarkan kepadamu Kitab (AlQuran) dan Hikmah (Sunnah) , serta mengajarkan apa yang belum kamu ketahui”. Benda-benda ni la yang diajar di dalam usrah..Ada tilawatul Quran (membaca AlQuran), ada tazkiyatunnafs (menyucikan diri untuk membina keperibadian Muslim), belajar AlQuran , belajar hikmah dengan cara bijaksana untuk mengajak orang memahami Islam dan belajar benda yang tidak kita ketahui...Semua ni ada dalam usrah. Itulah sebabnya usrah menjadi salah satu wasilah (cara) tarbiyah (pendidikan)...

Oooo ...usrah tu salah satu cara mendidik? Salah satu wasilah? Maksudnya ada lagi wasilah/cara yang lain ke?

Ya..ada lagi..contohnya daurah..kalau usrah ni program mingguan..daurah ni bulanan..kita akan bincang dan mengkhatam satu-satu topik sekaligus...kemudiannya kita ada katibah..katibah ni macam program qiam..khas untuk mendidik hati...di dalam katibah, kita didedahkan dengan azab kubur, dosa pahala, maksiat dan ketaataan dan macam-macam lagi...lepas tu ada rehlah...bermusafir dan bercuti bersama-sama...lepas tu ada mukhayyam..mukhayyam ni pulak macam camping..dan ada jugak program muktamar ...macam konvensyen...

Ok..aku faham...hmm...kenapa ada banyak wasilah tarbiyah ni?

Sebabnya manusia ni ada tiga komponen yang penting – akal, hati dan jasad. Kita tak naklah kalau orang tu asyik pergi camping je..jasadnya sahaja yang besar...tapi ilmunya (akal) kecil...kita jugak tak nak orang yang akalnya sahaja besar sebab asyik pergi usrah...tapi jasadnya kecil..kita nak manusia yang seimbang, seimbang ketiga-tiga komponen tu...dan wasilah-wasilah ni tadi adalah untuk memastikan kita menjadi manusia yang seimbang.. Faham tak?

Faham...maaf sebab banyak tanya...

Tiada masalah...nak tak pergi usrah ni?

Hehe...rugi tak kalau tak pergi?

Rugilah jugak..sebabnya usrah ni satu unit kecil Khilafah...usrah ni satu benda kecil yang nak membentuk benda yang besar...Rugilah kalau tak datang sebab tak sumbang saham untuk khilafah, seakan-akan tak memahami tujuan penciptaan...

Ok..ok..aku pergi...

Hmm..jom..tapi kena ingatlah usrah ni bukan benda main-main...usrah ni satu benda yang serius...Jalan ni susah, panjang dan lambat...Kena sabar...Ingat ganjaran Allah buat hambaNya...

Ok...aku faham...jom pergi usrah!!!

Jom!!!

Saturday, May 24, 2008

Saidatina Khadijah...



Satu lagi pengisian ustaz yang menggamit hati adalah berkenaan dengan Saidatina Khadijah. Ustaz ceritakan kembali saat-saat sakarat yang dilalui Saidatina Khadijah. Kehebatan wanita agung ini tiada tandingannya. Dia bersama Rasulullah SAW melalui onak dan duri dalam perjuangan dakwah.

Dia melalui saat-saat sakarat ditemani suami tercinta, Rasulullah SAW. Dalam keadaan kesakitan yang amat itu, dia mengungkapkan kata-kata yang menyebabkan Jibril juga teruja. Katanya, ”Wahai rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini”. Rasulullah SAW berasa sayu mendengar semua itu. Jibril naik bertemu Allah. Jibril bertanyakan Allah, adakah Allah mendengar kata-kata Saidatina Khadijah itu? Allah menjawab pertanyaan Jibril – bukan hanya kata-katanya sahaja yang Allah dengari malah bisikannya juga. Allah meminta Jibril menyampaikan salam buat Saidatina Khadijah.


Jibril turun dan memberitahu Rasulullah SAW akan hal itu. Rasulullah SAW menyampaikan salam tersebut kepada isteri tercinta. Ustaz turut menceritakan bahawa dalam sesetengah riwayat tangan Saidatina Khadijah seakan bersilang saat menyambut salam itu dan Saidatina Khadijah melafazkan bacaan yang begitu masyhur yang sering kita lafazkan selepas solat.

Allahumma antassalam- waminkassalam
Wa ilaika ya’uudussalam
Fahayyina rabbana bissalam
Waadkhilnal jannataka daarassalam
Tabaa rakta rabbana wa ta’alaita ya dzal jalali wal ikraam

Ya Allah, Engkaulah kesejahteraan, dariMulah asal kesejahteraan dan kepadaMu pula kembali kesejahteraan, maka hidupkanlah aku dengan kesejahteraan dan masukkanlah aku ke dalam syurga kampung kesejahteraan. Maha Mulia Engkau ya Allah yang memiliki kemegahan dan kemuliaan.

Dan pergilah Saidatina Khadijah menghadap Allah SWT, kekasih yang dirindui. Terlalu hebat wanita ini. Dialah insan pertama yang mengimani Rasulullah SAW. Tidak cukup dengan harta, tulang-tulangnya juga ingin digunakan untuk membantu perjuangan Rasulullah. Tulisan ini masih jauh untuk mengungkapkan kehebatan ummul mukminin itu. Tulisan Ustaz Halim mengungkapkan pengorbanan wanita agung ini. Klik sini.

Sumayyah...



Terlalu sedikit pengetahuan saya mengenai wanita agung ini. Semalam saat ustaz menceritakannya semula sebagai refleksi buat kaum wanita, hati saya tersentuh. Terlalu hebat wanita ini.

Berimannya dia di saat syariat Islam yang ada belum lengkap semua. Berimannya dia di saat pensyariatan solat, menutup aurat dan lainnya belum lengkap sempurna. Tapi imannya terlalu sempurna sehingga menjadi wanita pertama yang syahid. Dialah Sumayyah. Dialah wanita yang dijanjikan syurga bersama suami dan anaknya oleh Rasulullah SAW.

Dia ditarik dan digilis dengan dadanya menghadap ke tanah. Mengalir darah dari tubuhnya lantaran ketajaman batu dan pepasir yang merobek dengan puas. Terkoyak bajunya dan darah ada di mana-mana. Dia kemudiaanya dipalingkan menghadap Abu Jahal dengan menggunakan kaki. Dia diugut bahawa anak dan suaminya bakal dibunuh. Dia tidak gentar sama sekali. Islam lebih utama dari anak dan suami.

Lantas dia ditusuk dengan tombak yang tajam. Jeritannya membuatkan burung-burung berkeliaran lari. Seakan hari itu bumi bergoncang dengan hebatnya menyaksikan iman Sumayyah. Tombak itu ditarik keluar. Berselerak daging-daging Sumayyah saat itu. Dia ditusuk kembali di kemaluannya dan dia syahid akhirnya, pergi menghadap kekasih hati yang dirinduinya.

Saat Rasulullah SAW dan sahabat bertemu dan membuka ikatan Ammar (anak kepada Summayah), berlari Ammar memeluk ibunya. Saat itu Rasulullah SAW mengatakan kepada para sahabat, “Sesiapa yang menyakiti Ammar, seolah-olah menyakitiku”. Keluarga itu diuji dengan sebenarnya kerana keislaman mereka.

Kata-kata ustaz menggamit hati. Sejauh mana kasihnya kita kepada Islam? Adakah seperti Sumayyah? Adakah terlalu sukar untuk menutup aurat? Adakah kita teruji ditusuk tombak atau diacukan pistol untuk menutup aurat? Adakah kita dihalang untuk terus berdakwah seperti Sumayyah? Apa yang menghalang kita untuk menjadi solehah di abad ini?

Sumayyah, cintanya tumbuh di kala hari-hari berdarah...

Boleh baca kisah Sumayyah ini di link yang diberikan..

http://muslimah.mmu.edu.my/artikel8.htm

Tuesday, May 20, 2008

Jahil...

Sejujurnya saya terasa begitu bodoh sewaktu kelas pagi tadi. Ooops..mungkin perkataan bodoh kurang sesuai..Saya terasa begitu jahil sekali sebenarnya di dalam kelas fisiologi Nervous System pagi tadi.

Saya akui ilmu Allah terlalu luas. Sejujurnya sistem saraf manusia ini begitu kompleks. Semakin saya menuntut ilmu perubatan ini, saya rasakan kekerdilan yang amat. Hakikatnya begitu banyak yang perlu saya renungi. Cuma saat ini saya rasakan diri saya seperti Ishaan di dalam filem Taare Zameen Par. Ya Allah, kurniakan saya kekuatan untuk menuntut ilmu. Jangan hadirkan kalimah putus asa dalam kehidupan saya. Ampunkan dosa saya yang menghalang ilmu dari memasuki kamar hati ini.


Saturday, May 17, 2008

Persamaan...

Siapa empat wanita yang terlalu hebat kat dunia ni?

Kalau tak silap - Asiah, Maryam, Saidatina Fatimah dan Saidatina Aisyah? Betul ke?

Hmm...tiga itu betul...yang keempat tu salah, bukan Saidatina Aisyah? Siapa lagi seorang?Saidatina Khadijah ke?


Ya, betul..berdasarkan hadis Rasulullah SAW, 4 wanita ini adalah wanita yang paling hebat kat dunia ni...Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia. "Mereka ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun, Maryam binti Imran, ibunda Isa, Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad," (Riwayat Bukhari) Kenapa bukan Saidatina Aisyah?

Hmm...kenapa agaknya bukan Saidatina Aisyah?

Cuba kamu sendiri fikir-fikirkan? Saidatina Aisyah ini begitu hebat perjuangan dakwahnya. Dia tidak dikurniakan anak, tapi ilmunya mengalir hebat. Zainab AlGhazali juga persis seperti dirinya. Mereka adalah insan yang telah mewaqafkan diri mereka di jalan dakwah. Zainab Al Ghazali sendiri pernah berkata pada suaminya, "Apabila kepentingan perkahwinan bertembung dengan kepentingan dakwah kepada Allah, maka perkahwinan akan terhenti dan kepentingan dakwah akan terus berlanjut dalam semua kegiatan dan kehadiranku…" Mereka begitu hebat dalam perjuangan dakwah. Lantas mengapa Saidatina Khadijah yang dipilih dan bukannya Saidatina Aisyah sebagai salah seorang wanita yang terhebat di dunia?

Hmm..salah ke kalau kami dalam jihad menuntut ilmu perubatan ini? Adakah salah sekiranya kami juga ingin mewaqafkan diri pada jalan dakwah? Adakah kami perlu berkahwin sahaja dan menumpukan didikan pada anak-anak seperti Saidatina Khadijah?

Hmm..cuba lihat semula kesemua empat wanita itu. Adakah perkahwinan merupakan persamaan bagi mereka sehingga mereka terpilih menjadi empat wanita terhebat dan teragung di dunia ini? Suami Asiah adalah Firaun yang kejam itu. Lantas apa persamaan di antara mereka berempat?

Apa agaknya persamaan mereka? Saya masih tidak dapat melihat persamaan mereka.

Persamaan di antara mereka adalah mereka ini merupakan 'protector' (pelindung) kepada empat lelaki terhebat di dunia. Asiah melindungi Nabi Musa. Maryam melindungi Nabi Isa. Saidatina Khadijah dan Saidatina Fatimah pelindung Rasulullah SAW di saat mana islam baru sahaja bertatih. Saidatina Fatimah berusaha sedaya upaya membantu dan melindungi ayahnya saat ayahnya dihina oleh kafir Quraisy. Saidatina Khadijah kehilangan segalanya dalam usahanya melindungi lelaki agung itu. Dia bersama Rasulullah SAW di saat mana Rasulullah berseorangan. Dia mengimani Rasulullah SAW di saat mana tiada siapa pun bersama Rasulullah SAW.

Masya Allah..Bagaimana kami boleh mengikut jejak langkah empat wanita teragung ini? Adakah perkahwinan solusinya kerana kami tidak punya anak seperti Maryam? Bagaimana kami mampu mencari lelaki terhebat seperti Rasulullah SAW, Nabi Musa, mahupun Nabi Isa? Apa yang boleh dilakukan oleh seorang wanita yang dikurniakan penyakit sehinggakan gugur tanggungjawab perkahwinan dari dirinya? Apakah dia masih tidak boleh mengikut jejak langkah wanita-wanita yang agung itu? Bagaimana dengan mereka yang ditakdirkan tidak dikurniakan suami lantaran dunia akhir zaman ini menyaksikan bahawa bilangan lelaki melebihi bilangan perempuan?

Hmm...masih banyak yang boleh dilakukan. Berdoalah agar dikurniakan suami yang mampu membawa ke syurga. Andai telah berkahwin, jadilah sayap kirinya. Jadilah pelindungnya. Allah itu adil. Andai punya anak, jadikan anak itu seorang pejuang yang menjadikan dakwah dan jihad segalanya dan lindungi mereka.Bagi mereka yang tidak dikurniakan suami atau tidak mampu berkahwin, mereka masih boleh sahaja menjadi pelindung kepada lelaki yang hebat. Ambillah anak angkat dan didiklah anak tersebut. Ataupun membiayai anak-anak ini dan mereka yang berjihad fisabilillah. Percayalah Allah itu sangat adil. Dia pasti memahami niat dan hasrat hati kalian.

Pengajaran:

Tulisan ini mungkin kelihatan signifikan buat kaum wanita. Namun secara tersiratnya juga ditujukan buat lelaki. Boleh sahaja perkongsian ini digunakan untuk memotivasikan isteri, anak perempuan, ibu mahupun adik beradik perempuan.

Buat wanita, berusahalah mengikut jejak langkah wanita agung ini. Peluang terhampar dengan luasnya di hadapan kalian. Andai punya suami, kalianlah penggerak dan pelindung mereka. Andai punya anak, kalianlah yang akan membentuk batu-batu perjuangan Islam yang seterusnya.

Buat mereka yang tidak dikurniakan suami mahupun anak, usah bimbang. Allah itu adil. Infaqlah duit kalian untuk membiayai perjuangan mereka yang berjuang di jalan Allah. Seorang ukhti bercerita bagaimana anak-anak di Indonesia disusukan dengan kepahitan Kristianisasi di laman web www.iluvislam.com. Pengalaman saya sewaktu mengunjungi PERNIM (Persatuan Anak-Anak HIV Nurul Iman) mendedahkan hakikat bahawa ada anak-anak yatim di Malaysia yang turut disusukan dengan kasih Misionary dan kepahitan Kristianisasi. Allah masih memberi peluang untuk kita membiayai dan membantu mendidik mereka. Buat mereka yang mempunyai wang dan harta yang lebih, kalian boleh membiayai anak-anak yatim Palestin. Hanya perlu menghubungi pihak AMAN Palestin.

Moga tulisan ini memberi motivasi untuk mengikut jejak langkah empat wanita agung itu.

Thursday, May 15, 2008

5 minit dan 60 tahun...

Rayhana, rinduku padamu terubat saat menitip hasil penamu. Mungkin juga aku cemburu saat kau menceritakan padaku pengalaman musafirmu ke bumi Jordan. Aku pasti kau menghirup aroma ilmu yang tiada penghujungnya sejak kau bergelar thalibah di sana. Memori lalu beraja kembali. Teringat saat kita berdua dikhabarkan tawaran belajar di bumi anbiya’ itu. Kau pergi dan aku pula menurut kemahuan keluargaku yang mahu aku belajar di istana ilmu di bumi Malaysia ini sahaja.

Rayhana, perpisahan bukan mudah. Kupujuk hati bahawa manusia tidak pernah memiliki tetapi hanya diberi pinjam. Ku harap andai kita ditakdirkan tidak lagi bersua, Allah menemukan kita di kamar syurgaNya. Kau berpesan, harapkan tarbiah hanya dariNya. Usah mengemis tarbiah manusia. Sesiapa yang memperoleh tarbiah dariNya pasti mendapat tarbiah insani juga. Rayhana, aku akur dengan kata-katamu lantas aku memohon agar Dia menemaniku dalam rona kehidupan yang punya seribu rencam ini.

Rayhana, benar sekali alunan wahyu di dalam Surah AlBaqarah yang pernah kau titipkan padaku dulu. Usah membenci sesuatu kerana hal itu mungkin baik bagiku. Benar Rayhana, kebencianku pada istana ilmu ini dulunya kian membuahkan bunga-bunga cinta dalam hatiku. Pengalamanku di sini bagai menjalurkan sebuah kisah yang mungkin sahaja terlalu berharga buat diriku. Pastinya Allah tahu dan mentakdirkan yang terbaik buat kita berdua.

Rayhana, ingin kukhabarkan padamu sesuatu yang merasuk kepalaku beberapa hari ini. Ingin sekali aku berusaha untuk menemukan muara bagi persoalan ini namun aku tewas. Bayangan memori latihan yang kuhadiri selama dua hari bagi madah Disaster and Relief Medicine seakan bergentayangan di kasus mindaku.

Sahibahku yang aku kasihi kerana Allah, pengalaman cemas sewaktu latihan ‘evacuation process’ itu tidak sesekali mampu aku lupakan. Kau pastinya mengingati latihan kebakaran sewaktu kita bersama mengutip dedaunan ilmu dahulu. Latihan ‘evacuation process’ itu juga seperti itu. Cuma serasanya pengalaman kali ini lebih mencemaskan. Kami di’bom’ di khemah-khemah kami pada pukul 5 pagi. Hadaf latihan ini untuk menguji persediaan kami menghadapi bencana. Aku sendiri tidak bersedia menghadapi latihan itu. Aku terlupa bahawa selipar rupanya perlu dipusingkan saat masuk ke khemah agar senang untuk menyarungnya kelak andai bencana terjadi. Sejujurnya Rayhana, terlalu banyak lagi persediaan yang perlu dilakukan. Mungkin kau boleh menghadam buku SPHERE yang boleh dimuat turun secara percuma di laman sesawang yang ada untuk mengetahui hal lainnya.

Rayhana, salah satu ‘bom’ itu meletup di hadapanku. Aku seakan mengalami gangguan pendengaran buat seketika. Seorang kawanku juga menerima tempias cebisan ‘bom’ itu dan tangannya terluka. Namun syukur padaNya, kami berjaya melalui latihan itu dalam masa 5 minit. ‘Bom’ itu hanyalah mercun bola sahaja sebenarnya. Kau pastinya tersenyum sinis mendengarkan hal itu. Namun mungkin sahaja tiada siapa yang sanggup membuat kerja gila untuk meletupkan hatta mercun bola di hadapan dirinya sendiri.

Rayhana, saat aku melalui semua itu yang ada di atmaku hanyalah Palestin. Bagaimana mereka melalui derita yang disebabkan dendam yang penuh kesumat ini? Rayhana, kau pasti lebih arif dariku akan makna Nakbah. Penguasaan lughah Arabku kian merudum akhir-akhir ini lantaran kerana sibuk menghadami buku-buku perubatan yang kesemuannya dalam bahasa Inggeris itu. Kufahami bahawa Nakbah itu membawa makna malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Nilai Palestin itu begitu difahami oleh Yahudi Zionis yang bangsat itu. Mereka tahu untuk menguasai dunia, Palestin perlu dikuasai. Rom berkuasa di saat mereka menguasai Palestin. Zionis juga berkuasa saat ini di saat mereka menguasai bumi milik umat Islam itu. Adakah umat Islam terlupa bahawa mereka juga pernah menguasai dunia di saat mana bumi anbiya’ itu berada di dalam genggaman mereka? Bagaimana untuk aku memahamkan umat akan hakikat ini?
Rayhana, hari ini genap sudah 60 tahun Nakbah Palestin. Pengalamanku saat melalui latihan ‘evacuation process’ itu tidak sedikitpun mampu mengungkapkan hatta setitis bencana yang mereka lalui. Ilmu hisabku juga seakan tidak mampu meneruskan hisabnya. 60 tahun dikalikan dengan 360 hari, dikalikan dengan 24 jam, dikalikan dengan 60 minit....aku tidak punya jawapan sahibahku..

Rayhana, peluru dan bom yang mengasak mereka pastinya tidak mampu dibayangkan oleh minda benak sesiapa sahaja. Seorang penceramah pernah mengungkapkan bahawa peluru yang ada di sana begitu spesifik untuk membakar kulit manusia. Tidak membakar baju, hanya kulit. Rayhana, saat ini derita itu bernanar dengan necrosis yang lebih hebat lagi. Pada hari Sabtu, 29 Mac 2008 para khakham (ulama besar) Yahudi telah meluluskan fatwa menghalalkan darah warga Arab Palestin (Islam dan Kristian) sebagai balasan kepada pembunuhan kader-kader mereka di bandar al-Quds melalui majalah rasmi kumpulan ultra ortodoks Yahudi itu bertajuk ‘Darah Yahudi lebih mahal dari emas’. Tahukah umat Islam yang lainnya akan hakikat ini?
Perasaan resah dan gelisah tidak mampu aku tempis saat aku perlu mencerna buku SPHERE yang digunakan sepenuhnya dalam madah Disaster and Relief Medicine ini. Andai kau berpeluang menghadaminya pastinya kau akan menemui istilah ’minimum standard’ berkali-kali. Terlalu banyak garis panduan piawaian minimum dari segala macam aspek. Namun kukira semua standard minimum yang dibicarakan dalam buku itu hanya fantasi belaka. Realiti yang ada di Palestin terlalu jauh dari hakikat mematuhi standard minimum yang ditetapkan. Sememangnya benar naluriku. Mengikut data dari WHO, kebersihan bekalan air disana jauh lebih rendah dari standard minimum yang ditetapkan badan dunia itu. Titis jernih yang mengalir dari tubir mata seakan mengiktibari segala yang terjadi. Di mana ummahku di saat kebiadapan ini berlaku?
Rayhana, seorang sahibahku pernah membawa rohku menerobos derita Palestina melalui tulisannya. Diajaknya aku untuk berkelana seketika memikirkan Palestin. Bagaimana jika ayah yang kita sayangi ditangkap hanya kerana mempertahankan kebun Zaitun miliknya? Dengan kebun Zaitun itu si ayah menyara hidup keluarganya. Dengan secebis rezeki itu, anak-anaknya mampu belajar, punya makan dan pakai yang lengkap. Kini, ayah ada di penjara dan diseksa kejam Israel, kebun keluarga dirampas, dan si anak pula terpaksa berhenti universiti untuk membantu ibu mencari sesuap makan. Sedangkan hakikatnya si ibu pula menderita sakit kanser dan tidak dapat menerima bantuan yang wajar kerana hospital tidak dapat beroperasi akibat tiada bekalan elektrik.Ambulans-ambulans tersadai kerana tiada petrol untuk menggerakkan. Saudara mara ramai yg meninggal dunia akibat tidak dirawat dengan sepenuhnya.Hatta pembedahan juga dilakukan tanpa sedikit bius pun kerana sesetengah ubatan dan bius disekat di sempadan. Tidak mungkin sahibahku yang satu ini bercerita sesuatu yang bukan benar. Kuakui dia bercerita dengan imannya. Syed Qutb pernah berpesan, kuatnya kata-kata kerana iman yang berkata. Iman sahibahku yang menyayangi Palestin ini membuatkan dirinya berupaya menyoroti derita ummah di sana.

Rayhana, segalanya yang diceritakan oleh sahibahku itu benar belaka sepertimana yang tercatat di dalam buku Rakyat Palestin Bersuara tulisan saudari Alijah Gordon. Buku itu tidak mampu aku khatami. Saudaraku di Palestin ada yang kudung kaki kirinya ditembus peluru sesat Zionis, ada yang hilang kedua-dua tangan, malah ada yang syahid tika berjuang melawan Yahudi laknatullah.Ada juga yang kehilangan sebelah mata akibat serpihan bom ketika operasi tanpa belas dikawasan perumahan mereka. Pemuda-pemuda ramai yang menjadi penganggur kerana tidak dibenarkan bekerja oleh penjajah Yahudi. Kanak-kanak di sana melumurkan patung mainannya dengan cat merah dan meminta dibelikan senapang sebagai hadiah ulang tahun. Malah jiran-jiran seusia mereka juga bermain dengan peluru, darah dan senjata. Kegembiraan zaman kanak-kanak mereka telah lama dirampas. Mereka tidak kenal apa itu chess, sahibba atau computer games, tapi mereka di’sajikan’ dengan darah dan air mata. Akan kuingati kata-kata mahsyur Nahr Al Barid di Kem Pelarian Palestin, “Kuwarnai salji hitam kerana kami takut pada hari-hari yang menjelang”.

Benar kata-kata sahibahku. Kebenarannya melebihi segala kebenaran yang ada. Kakak-kakakku di Palestina yang baru melahirkan dan bayinya menggigil kesejukan dalam selimut nipis. Suami mereka telah lama syahid setelah diburu Zionis kerana terlibat dalam brigade al-aqsa.Tiada bekalan elektrik, tiada pemanas udara dalam pekat malam dibawah paras beku musim sejuk.Hanya lilin dan beberapa botol air bersih yang ada meskipun mereka juga telah bertukar menjadi biru didalam dingin malam itu. Apakah rasanya andai semua itu terjadi padaku? Apakah rasanya hidupku? Dapatkah aku merasakan?
Rayhana, sejujurnya aku cemburu dengan sahibahku itu. Dia berpeluang menghadiri sesi TOT (training for trainers) di Putrajaya. Rasa cemburu yang membakar terubat saat membaca tulisanya. Dia sempat bertemu empat mata dengan Abu Hisyam dan Isa Al Imad. Abu Hisyam dalam ucapannya membawa khabar:

Di gaza pada masa ini, 105 orang pesakit meninggal dunia setiap hari kerana kekurangan bantuan perubatan akibat catuan dan penutupan sempadan

Serangan berterusan di kawasan awam dan perumahan. 3-10 penduduk awam meninggal setiap hari akibat serangan.”


“Sempadan yang dibom tempohari telah ditutup kembali. Kita hanya mampu berdoa moga sempadan itu kembali dibuka dan dapatlah rakyat Palestin menerima bantuan dan keperluan asas”

“Dan ini pula adalah 3 keadaan di Quds sekarang..


1) Masjid al-Aqsa disekat sepenuhnya dari penduduk. Telah dibina tembok yang sangat tinggi yang menghalang dari orang islam untuk memasuki masjid Aqsa

2) Israel telah membawa lebih banyak rakyat mereka ke kawasan Al-Quds dan setakat ini telah ada 700 penempatan baru dibina Israel disekitar Al-Quds.

3) Penduduk asal yang berada disana dihalau secara paksa dan rumah- rumah-rumah orang islam telah dihapuskan."

Aku bersetuju dengan kata-kata sahibahku ini. Kalaulah kita mendengar semua ini, kemudian masih berpeluk tubuh, periksalah hati dan jiwa...benarkah kita mengaku sebagai orang islam?”

Isa al-imad dengan jelas menegaskan:

Al-Quds adalah akidah.kalau kamu beriman kpd Allah tiada ada pilihan bagi kamu. Tidak sempurna iman selagi kita tidak berusaha membebaskan Aqsa!!!”

Katanya, umat islam sekarang lebih tertumpu pada kelemahan. Bila ditanya kelemahan, berjela-jela dapat dijawap. Bila ditanya kekuatan, semua tersipu-sipu malu menjawap. Mengapa harus malu? Mengapa? Mengapa tidak kita gunakan kekuatan kita??? Usir rasa malu itu, bina kekuatan dan jadikannya sbg senjata!!

“Tidak boleh bekerja berseorangan untuk membantu Aqsa. Perlu bekerjasama, lebih ramai, lebih baik. Jadikan perbezaan diantara kamu sebagai satu kekuatan. Apabila semua yang memiliki keistimewaan dan anugerah yang berbeza digabungkan, maka akan wujudlah suatu kuasa yang besar dan dapat membantu menyelamatkan Aqsa”

Rayhana, aku kongsikan kata-kata yang diucapkan oleh Isa al-Imad yang dicoretkan oleh sahibahku itu di penghujung pena ini.

“Susahkah wahai saudaraku untuk kamu meluangkan hanya 5 minit dalam sehari, menadah tangan, berdoa untuk kesejahteraan dan dipermudahkan urusan saudara-saudara di Palestin? Banyakkah andai kamu setiap hari hanya mengeluarkan RM1 untuk membantu mereka yang berjuang bermati-matian disana? Dan banyakkah masa selama 5 minit setiap hari untuk kamu membicarakan soal Palestin kepada mereka-mereka yang masih belum mengetahui? Saudaraku, HANYA 10 MINIT & RM1 SETIAP HARI, adakah kamu tidak mampu?”
Moga Allah memberikan kita kekuatan untuk berjuang demi AlQuds yang tercinta...

Musafir –perjalanan
Thalibah – palajar perempuan
Bumi anbiya’ - bumi para nabi
Tarbiah – pendidikan
Sahibah – sahabat perempuan
Hadaf – objektif
Nakbah – bencana / malapetaka
Evacuation – proses berpindah ke tempat yang lebih selamat
Necrosis - istilah patologi yang digunakan oleh pelajar perubatan membawa makna kematian sel. Dalam tulisan ini, digunakan untuk menggambarkan luka yang dalam.
Ilmu hisab - ilmu matematik
Madah - subjek
Lughah - bahasa

AlJabbar...



Ini adalah secebis catatan 'chatting' saya dengan seorang kawan..

Kawan: Afeera, salin tak apa yang prof cakap malam jumaat lepas?

Saya: Salin..tapi pointyer sahaja...saya banyak mengelamun...pointnyer bla.. bla.. bla... AlJabbar.. AlMuntaqim...

Ya, catatan saya sewaktu program pada malam Jumaat lepas terhenti saat prof bercerita tentang AlJabbar yang termasuk dalam Asma Allah. Prof bercerita mengenai kisah hidupnya sendiri. Di saat dia berdebar-debar mahu menyambut kehadiran cucu kembarnya, Allah menguji dirinya bilamana seorang dari cucunya meninggal dunia dan seorang lagi merupakan anak istimewa.

Saya sendiri baru mengetahui tentang Asma Allah ini. Ya Qahhar dan Ya Jabbar adalah dua Asma Allah yang memiliki erti hampir sama. Qahhar bererti Maha Memaksa (kehendaknya pasti terjadi, tidak bisa dihalangi oleh siapapun) dan Jabbar hampir memiliki erti yang sama, tetapi ada pula yang mengertikan Jabbar dengan Maha Perkasa (tidak bisa dihalangi/dikalahkan oleh siapapun).

Saya mengelamun. Tidak mudah rupanya saya menerima ujian. Mungkin kini saya sedar akan AlQahhar, yang Maha Memaksa. Saya hanya hambaNya. Tidak akan sesekali saya mampu mengubah kehendakNya. Allah mentakdirkan penyakit itu buat saya dan saya sewajarnya redha sebagai hambaNya.

Benar sekali doa seorang lagi prof di akhir program...Ya Allah, berikanlah kami kejayaan dalam setiap ujian yang kami lalui..

Wednesday, May 07, 2008

Mengubah...

Saya tinggalkan catatan berkenaan pengalaman di Sungai Congkak buat sementara. Sejujurnya terlalu banyak yang ingin saya catatkan. Saya tidak ingin semua kenangan saya hilang begitu sahaja. Sekiranya saya tidak menulis, fikiran saya begitu terganggu. Saya akan berfikir dan terus berfikir. Saya tidak mampu tidur lena. Saya rela melukis tulisan di kanvas blog ini untuk melepaskan segala kekusutan dalam fikiran saya meskipun kerja yang menanti begitu banyak pada hakikatnya. Saya teringat kata-kata di blog alang - Penulis yang jiwanya memberontak akibat fenomena di sekelilingnya akan menumpahkan segala keluh kesahnya ke dalam karya.

Air mata begitu murah hari ini. Tangisan tiada hentinya. Saya menangis di waktu pagi kerana suatu hal dan saya menangis di waktu petang kerana hal yang lain. Saya jalurkan luahan butir-butir air mata yang tumpah di waktu pagi terlebih dahulu. Saya tidak mengharapkan manusia lain memahami bicara yang satu ini. Tulisan ini lebih pada refleksi diri sendiri sahaja.

Kelas pagi tadi meninggalkan kesan yang mendalam. Kelas tersebut diberikan oleh tetamu undangan dari MERCY. Tersedu sedan saya menangis seperti si kecil. Kawan-kawan sekumpulan sangkakan saya menangis kerana gambar ini.



Saya kira gambar ini sudah terlalu popular. Fotografer gambar ini namanya Kevin Carter. Gambar ini memenangi anugerah Pullitzer karena fotonya yang berobjekkan fenomena kelaparan di Sudan pada 1993. Kepingan gambar tersebut begitu dramatis menggambarkan seorang kanak-kanak yang cuba berjalan tertatih menuju tempat pembahagian makanan. Seekor burung pemakan bangkai berada berhampiran dengan kanak-kanak yang separuh mati akibat kelaparan itu. Burung tersebut memiliki firasat bahawa kanak-kanak ini akan mati. Beberapa bulan setelah mendapat anugerah Pullitzer yang berprestij dalam dunia jurnalistik, Kevin membunuh diri di Johannersburg Afrika Selatan. Dia amat menyesal meninggalkan kanak-kanak tersebut setelah mengambil gambar. Ramai pihak yang turut mengecam tindakannya meninggalkan kanak-kanak tersebut.

Entahlah, saya tidak menangis kerana gambar itu. Saya berfikir dan terus berfikir. Tetamu dari MERCY Malaysia itu kemudianya menanyakan soalan. Mengapa ingin menyertai misi kemanusiaan? Pastinya jawapan yang kedengaran adalah untuk membantu manusia lain. Tiba-tiba kawan-kawan saya yang lain melontarkan nama saya untuk menjawab soalan tersebut. Mereka ingin mengetahui pendapat saya pula. Alhamdulillah, saya tidak dipanggil oleh penceramah. Saya tidak ingin menjawab soalan tersebut.

Saya tidak pasti mengapa saya tidak punya jawapan bagi soalan itu. Saya sepertinya tidak ingin menyertai misi kemanusiaan. Saya kira saya mahu menjadi seorang manusia yang mengubah keadaan. Saya tidak kisah andainya perlu terlibat dalam misi kemanusiaan di dalam bencana semulajadi seperti banjir, tsunami dan lainnya. Tapi saya terfikir mengapa saya tidak ingin mengubah dalam hal-hal bencana yang melibatkan tangan manusia sendiri. Tiba-tiba semacam ada perasaan mahu menjadi ahli politik.

Saya tanyakan pada kawan yang duduk di sebelah saya. Mengapa mereka ini tidak ingin mengubah? Mengapa hanya membantu? Tidak sia-sia ke kerja mereka? Tanpa mengubah, selama puluhan tahun peperangan akan berterusan. Tanpa mengubah, puluhan tahun manusia akan terus melarat.

Menarik hujah kawan saya. Katanya tidak semua manusia mampu mengubah. Politik itu kotor. Saya teringat filem Hindustan Rang De Basanthi. Remaja dalam filem tersebut juga berhujah dengan hal yang sama. Politik itu kotor. Lantas siapa yang mahu membersihkannya? Kata kawan saya lagi, kadangkala kita dah ada jawatan, tapi untuk merealisasikan segala manifesto seakan mustahil. Akan tiba saat masa kita merasakan kita tidak punya kekuatan lagi. Dia memberi contoh filem Constant Gardener. Wanita ini mahu mengubah dan dia dibunuh akhirnya.

Lama saya berfikir setelah mendengar hujahnya. Saya akui kadangkala kita sudah memegang jawatan tetapi untuk merealisasikan segalanya terasa sukar. Saya menangis kerana hal ini sebenarnya. Saya sendiri sukar bergerak meski saya punya jawatan di sini. Saya tidak mampu membina individu muslim.

Saya tersedu sedan merindui kenangan di matrikulasi dahulu. Saya dan sahabat saya, Qilah bersama menghidupkan surau blok. Surau yang sepi pada awalnya akhirnya punya tetamu. Saya rindukan kenangan itu. Kenangan di matrikulasi seakan mengakar di dalam jihat atma. Sukar saya luputkan semua kenangan itu. Saya punya jawatan juga saat itu namun seakan mudah saya bergerak dalam serba serbi urusan kerana punya sahabat yang baik. Seakan-akan saya memahami permintaan Nabi Musa pada RabbNya agar dia dikurniakan seorang sahabat.

[29] Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.

[30] Iaitu Harun saudaraku;

[31] Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,

[32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,

[33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,

[34] Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;

[35] Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami.

(Surah Thaaha:29-35)

Saya merindui sahabat-sahabat saya ini. Rindu yang mungkin tidak mampu saya luahkan lagi. Saya perlukan mereka agar mereka menjadi kekuatan saya. Saya perlukan mereka agar saya sentiasa mengingatiNya. Entahlah, kadangkala saya perlu tanyakan pada diri sendiri sebenarnya, di mana Allah dalam kekuatan saya bila saya lemah begini.

Saya juga dulu bukanlah mereka yang bercita-cita mahu mengubah. Saya dahulunya ingin menjadi doktor kerana mahu ke Palestin. Menjadi doktor hanyalah tiket agar saya mampu merentasi Palestin. Saya mahu membantu saudara saya di Palestin dan saya berharap agar saya dikurniakan syahid di sana. Dulu saya bercita-cita mahu menjadi Assyahidah Dr Ummu Afeera Zainulabid. Alhamdulillah, Allah temukan saya dengan Kak Maryam. Kak Maryam membantu saya mencari hakikat diri. Baca sahaja catatannya mengenai saya di sini dua tahun dahulu. Kak Maryam membetulkan segala macam salah faham yang ada dalam benak minda saya.

Terima kasih Kak Maryam. Moga Allah membalas segala kebaikan. Saya ingat lagi kata-kata Kak Maryam mengenai sahabatnya, seorang rakyat Palestin. Rakyat Palestin mengharapkan agar terwujudnya satu daulah islamiah yang mampu membela mereka. Bantuan semata-semata bukan penyelesaian kepada persoalan Palestin juga.

Kemudiannya saya meniti jalan tarbiah ini. Saya mula memahami bahawa ummah ini hanya mampu diubah dengan cara yang sama ummah dahulu diubah. Individu Muslim perlu dibentuk. Islam jawapan kepada semua persoalan yang ditimbulkan.

Ya Rabb, berikan saya kekuatan dalam meniti perjalanan ini. Kadangkala saya tewas Ya Rabb dengan mainan perasaan sendiri. Saya punya cita-cita yang menggunung demi Islam namun saya lemah. Ya Rabb, kurniakan juga sahabat buat diri yang serba lemah ini sepertimana Kau mengurniakan Nabi Harun kepada Nabi Musa...

Saturday, May 03, 2008

Survival Alam...

Saya mohon pada Allah agar dikurniakan kemudahan dan kekuatan untuk menulis berkenaan kembara ilmu ke Sungai Congkak pada hari Selasa dan Rabu lepas. Perjalanan ini merupakan satu latihan untuk mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari dalam subjek Disaster and Relief Medicine. Terlalu banyak hikmah yang saya kutip dalam kembara ilmu ini. Mungkin tulisan ini bersiri, mungkin juga tulisan ini akan berakhir di sini. Hakikat pena juga adalah ilham dariNya. Meskipun kebanyakan tulisan ini lebih bersifat pengalaman peribadi, namun saya berharap agar tulisan dan yahoogroups ini mampu merealisasikan kata-kata Muaz bin Jabal, “Marilah kita duduk untuk beriman sejenak”. Kata-kata ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya, “Marilah kita beriman sejenak, sesungguhnya hati lebih cepat berbolakbalik daripada isi periuk yang sedang menggelegak”. Izinkan saya meminjam kata-kata tersebut semula. Moga pertemuan lewat tulisan ini mampu membawa kepada hakikat kata-kata tersebut.

Kami telah mula berkumpul di kolej seawal 7 pagi. Sepanjang perjalanan, rasa gusar di hati semakin menjadi-jadi. Mampukah diri menemui ketenangan di sebalik hakikat ‘disaster’ yang bakal tercipta di sana? Mampukah diri melalui latihan ini? Bimbang penyakit lama berulang kembali. Hakikatnya ia hanya ‘bencana jadian’, bukan bencana sebenar. Kami hanya diberikan koordinat lokasi sahaja sebenarnya. Kami perlu mencari tempat bencana dengan menggunakan GPS (Global Positioning System). Kami tidak diberitahu bahawa tempat bencana adalah di Sungai Congkak.. Cuma bila rahsia tersebut diketahui oleh beberapa orang, khabar angin pun bertiup dan menambah keyakinan kami bahawa lokasi kejadian adalah di Sungai Congkak.

Sangat indah kawasan tersebut. Sepanjang perjalanan sempat diri melihat kekuasaan Allah yang ada di kiri dan kanan jalan. Kadangkala diri sendiri terlalu sibuk sehingga tidak sempat melihat kekuasaan Allah yang ada di depan mata.

Masih teringat lagi analogi yang diberikan oleh seorang pensyarah. Kalau tiba-tiba ada kerusi yang boleh terbang di langit, apa yang akan seeokor anjing lakukan? Anjing itu pastinya melalui jalan tersebut tanpa berasa apa-apa. Pensyarah tersebut bertanya lagi, dah berapa lama kita melihat langit yang Allah cipta? Langit yang wujudnya tanpa tiang. Langit yang terlalu luas ini. Kadangkala kita juga seperti anjing yang berlalu tanpa berasa apa-apa. Nauzubillah.

Alam yang Allah ciptakan ini terlalu indah. Pastinya jiwa yang sarat dengan masalah menemukan ketenangan dengan melihat alam ciptaanNya. Alam yang Allah ciptakan ini berzikir sepanjang masa.

...Dan tidak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. [al-Israa 17:44]

Memang itulah hakikatnya manusia. Tidak pernah sesekali mengerti zikir dan tasbih alam ini. Kadangkala diri sendiri malu betapa diri ini senang melupakan hakikat Pencipta, sedangkan alam yang diciptakanNya buat kegunaan kita saban waktu mengingatiNya.

Teringat satu insiden yang melucukan yang terjadi di sana. Kawan-kawan saya membaling batu ke sungai berkali-kali dan bergembira. Mereka cuba menunjukkan sesuatu cuma saya tidak memahaminya. Saya benar-benar tidak faham simbolik kegembiraan mereka dengan membaling batu pada sungai yang sedang mengalir itu. Rupa-rupanya mereka cuba membuat balingan pada beberapa sudut dan cuba melihat bilangan lantunan batu itu pada sungai yang mengalir. Sekiranya batu dibaling pada 45 darjah, batu tersebut akan melantun sebanyak tiga kali. Saya hanya memahami gelagat mereka bila ada yang menjelaskan. Ooo..begitu rupanya...Menarik =)

Sambil melihat batu itu, saya teringat kata-kata seorang sahabat yang begitu jauh dari saya, namun terasa dekat di hati. Batu itu juga berzikir semenjak dia diciptakan selama 24 jam sehari. Teringat gema wahyu dalam Surah AlBaqarah ayat 24 - Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan”. Batu itu takut padaNya. Saya? Allah tidak pernah lalai akan segala perkara yang saya lakukan.

Memori saya juga mengimbas kembali slide yang saya pelajari di dalam kelas mengenai pembahagian bencana ini.


Ada yang semulajadi, ada juga yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia. Namun saya tertarik dengan kata-kata pensyarah saya, hakikatnya kedua-dua bencana ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia seperti yang terakam di dalam AlQuran.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Arrum : 41)

Bumi ini hanya memuntahkan onar yang dicipta manusia. Dia meluahkannya dalam rupa yang tidak disangka. Benarlah hakikat bahawa survival alam ini bergantung pada Mukmin.

Biarlah sungai yang mengalir, pokok yang melambai-lambai, semut yang berjalan di bumi Allah dan segalanya menambah iman kita. Sekali sekala, berbicaralah dengan alam kerana di sana terkandung sejuta khazanah rahsia.

Moga Allah memberi kekuatan untuk berkongsi hikmah yang lain pula..Ameen Ya Rabbal Alamin..

Thursday, May 01, 2008

Belajar dari kesilapan...

Satu perkara yang saya pelajari sewaktu misi membantu pelarian Rohingya tempoh hari adalah belajar dari kesilapan. Banyak perkara yang mampu saya ingati dan hargai hanya apabila saya telah melakukan kesilapan.

Saya ditugaskan untuk mengambil maklumat tekanan darah dan berat setiap ahli komuniti yang ada. Terjadi satu insiden yang agak melucukan namun cukup memberi pengajaran. Waktu saya memanggil nama seorang pelarian, datang seorang yang telah pun saya ambil maklumat darinya. Maklumatnya telah diisi di dalam kad milik kawannya rupanya. Dia telah datang sewaktu saya memanggil kawannya. Nama mereka lebih kurang sahaja. Wajah pelarian-pelarian ini juga tidak jauh berbeza. Kelam kabut juga jadinya kerana perlu mencari kad kawannya itu dan saya perlu mengambil maklumat kedua-duanya semula. Kesilapan saya adalah tidak melihat kad UNHCR (UN High Commissioner for Refugees) mereka dengan teliti kerana mahu cepat lantaran bilangan pelarian yang agak ramai.

Tapi cukuplah insiden tersebut memberikan pengajaran buat saya. Setelah itu, saya memanggil nama mereka dengan kuat, melihat kad UNHCR mereka berkali-kali dan mengesahkan maklumat tersebut dengan mereka berkali-kali.

Hakikatnya saya telah pun mempelajari hal berkenaan ketelitian di dalam kelas sewaktu subjek berkenaan darah (hematology) dahulu. Perlu teliti dalam melihat maklumat pesakit. Sebarang kesilapan boleh menyebabkan kesilapan dalam pemindahan darah dan pesakit akan mati. Tapi insiden di atas yang mengajar saya berkenaan ketelitian dengan sebenarnya. Alhamdulillah, insiden tersebut terjadi bukan dalam hal-hal yang kritikal.

Manusia belajar dari kesilapan. Terdapat satu kisah di dalam Islam yang cukup memberi pengajaran. Seorang sahabat telah solat selama 20 tahun di saf yang pertama. Namun satu hari dia datang lewat ke masjid dan terpaksa bersolat di saf yang terakhir. Dan saat tu sahabat ni terfikir nak pulang ke rumah dan tidak mahu bersolat di masjid. Tapi bila dia tanya semula hatinya, baru dia sedar selama 20 tahun ni amalannya adalah riya’. Dia sedar hal tersebut apabila dia ingin meninggalkan amalan solat berjemaah tersebut kerana malu pada manusia. Dan saat dia melakukan kesilapan tersebut barulah dia sedar akan kesilapannya dan belajar dari insiden tersebut. Dia sedar amalannya selama 20 tahun ini sia-sia setelah berlaku insiden tersebut.

Kesilapan yang dilakukan adalah tarbiah, pendidikan dari Allah. Terjadi juga satu insiden dalam hidup saya apabila saya bersangka buruk dengan sahabat sendiri. Insiden tersebut telah mengajar saya hakikat ukhwah dengan sebenarnya dan saya menghargai kesilapan yang saya lakukan. Saya bersyukur pada Rabb yang agung yang mengajar manusia dari segala aspek kehidupan.

Belajarlah dari kesilapan. Sabda Nabi SAW yang mafhumnya: Bukan daripada golonganku mereka yang dipatuk dalam satu lubang yang sama (iaitu melakukan kesalahan yang sama).