Satu perkara yang saya pelajari sewaktu misi membantu pelarian Rohingya tempoh hari adalah belajar dari kesilapan. Banyak perkara yang mampu saya ingati dan hargai hanya apabila saya telah melakukan kesilapan.
Saya ditugaskan untuk mengambil maklumat tekanan darah dan berat setiap ahli komuniti yang ada. Terjadi satu insiden yang agak melucukan namun cukup memberi pengajaran. Waktu saya memanggil nama seorang pelarian, datang seorang yang telah pun saya ambil maklumat darinya. Maklumatnya telah diisi di dalam kad milik kawannya rupanya. Dia telah datang sewaktu saya memanggil kawannya. Nama mereka lebih kurang sahaja. Wajah pelarian-pelarian ini juga tidak jauh berbeza. Kelam kabut juga jadinya kerana perlu mencari kad kawannya itu dan saya perlu mengambil maklumat kedua-duanya semula. Kesilapan saya adalah tidak melihat kad UNHCR (UN High Commissioner for Refugees) mereka dengan teliti kerana mahu cepat lantaran bilangan pelarian yang agak ramai.
Tapi cukuplah insiden tersebut memberikan pengajaran buat saya. Setelah itu, saya memanggil nama mereka dengan kuat, melihat kad UNHCR mereka berkali-kali dan mengesahkan maklumat tersebut dengan mereka berkali-kali.
Hakikatnya saya telah pun mempelajari hal berkenaan ketelitian di dalam kelas sewaktu subjek berkenaan darah (hematology) dahulu. Perlu teliti dalam melihat maklumat pesakit. Sebarang kesilapan boleh menyebabkan kesilapan dalam pemindahan darah dan pesakit akan mati. Tapi insiden di atas yang mengajar saya berkenaan ketelitian dengan sebenarnya. Alhamdulillah, insiden tersebut terjadi bukan dalam hal-hal yang kritikal.
Manusia belajar dari kesilapan. Terdapat satu kisah di dalam Islam yang cukup memberi pengajaran. Seorang sahabat telah solat selama 20 tahun di saf yang pertama. Namun satu hari dia datang lewat ke masjid dan terpaksa bersolat di saf yang terakhir. Dan saat tu sahabat ni terfikir nak pulang ke rumah dan tidak mahu bersolat di masjid. Tapi bila dia tanya semula hatinya, baru dia sedar selama 20 tahun ni amalannya adalah riya’. Dia sedar hal tersebut apabila dia ingin meninggalkan amalan solat berjemaah tersebut kerana malu pada manusia. Dan saat dia melakukan kesilapan tersebut barulah dia sedar akan kesilapannya dan belajar dari insiden tersebut. Dia sedar amalannya selama 20 tahun ini sia-sia setelah berlaku insiden tersebut.
Kesilapan yang dilakukan adalah tarbiah, pendidikan dari Allah. Terjadi juga satu insiden dalam hidup saya apabila saya bersangka buruk dengan sahabat sendiri. Insiden tersebut telah mengajar saya hakikat ukhwah dengan sebenarnya dan saya menghargai kesilapan yang saya lakukan. Saya bersyukur pada Rabb yang agung yang mengajar manusia dari segala aspek kehidupan.
Belajarlah dari kesilapan. Sabda Nabi SAW yang mafhumnya: Bukan daripada golonganku mereka yang dipatuk dalam satu lubang yang sama (iaitu melakukan kesalahan yang sama).
No comments:
Post a Comment