Saya mohon pada Allah agar dikurniakan kemudahan dan kekuatan untuk menulis berkenaan kembara ilmu ke Sungai Congkak pada hari Selasa dan Rabu lepas. Perjalanan ini merupakan satu latihan untuk mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari dalam subjek Disaster and Relief Medicine. Terlalu banyak hikmah yang saya kutip dalam kembara ilmu ini. Mungkin tulisan ini bersiri, mungkin juga tulisan ini akan berakhir di sini. Hakikat pena juga adalah ilham dariNya. Meskipun kebanyakan tulisan ini lebih bersifat pengalaman peribadi, namun saya berharap agar tulisan dan yahoogroups ini mampu merealisasikan kata-kata Muaz bin Jabal, “Marilah kita duduk untuk beriman sejenak”. Kata-kata ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya, “Marilah kita beriman sejenak, sesungguhnya hati lebih cepat berbolakbalik daripada isi periuk yang sedang menggelegak”. Izinkan saya meminjam kata-kata tersebut semula. Moga pertemuan lewat tulisan ini mampu membawa kepada hakikat kata-kata tersebut.
Kami telah mula berkumpul di kolej seawal 7 pagi. Sepanjang perjalanan, rasa gusar di hati semakin menjadi-jadi. Mampukah diri menemui ketenangan di sebalik hakikat ‘disaster’ yang bakal tercipta di sana? Mampukah diri melalui latihan ini? Bimbang penyakit lama berulang kembali. Hakikatnya ia hanya ‘bencana jadian’, bukan bencana sebenar. Kami hanya diberikan koordinat lokasi sahaja sebenarnya. Kami perlu mencari tempat bencana dengan menggunakan GPS (Global Positioning System). Kami tidak diberitahu bahawa tempat bencana adalah di Sungai Congkak.. Cuma bila rahsia tersebut diketahui oleh beberapa orang, khabar angin pun bertiup dan menambah keyakinan kami bahawa lokasi kejadian adalah di Sungai Congkak.
Sangat indah kawasan tersebut. Sepanjang perjalanan sempat diri melihat kekuasaan Allah yang ada di kiri dan kanan jalan. Kadangkala diri sendiri terlalu sibuk sehingga tidak sempat melihat kekuasaan Allah yang ada di depan mata.
Masih teringat lagi analogi yang diberikan oleh seorang pensyarah. Kalau tiba-tiba ada kerusi yang boleh terbang di langit, apa yang akan seeokor anjing lakukan? Anjing itu pastinya melalui jalan tersebut tanpa berasa apa-apa. Pensyarah tersebut bertanya lagi, dah berapa lama kita melihat langit yang Allah cipta? Langit yang wujudnya tanpa tiang. Langit yang terlalu luas ini. Kadangkala kita juga seperti anjing yang berlalu tanpa berasa apa-apa. Nauzubillah.
Alam yang Allah ciptakan ini terlalu indah. Pastinya jiwa yang sarat dengan masalah menemukan ketenangan dengan melihat alam ciptaanNya. Alam yang Allah ciptakan ini berzikir sepanjang masa.
...Dan tidak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. [al-Israa 17:44]
Memang itulah hakikatnya manusia. Tidak pernah sesekali mengerti zikir dan tasbih alam ini. Kadangkala diri sendiri malu betapa diri ini senang melupakan hakikat Pencipta, sedangkan alam yang diciptakanNya buat kegunaan kita saban waktu mengingatiNya.
Teringat satu insiden yang melucukan yang terjadi di sana. Kawan-kawan saya membaling batu ke sungai berkali-kali dan bergembira. Mereka cuba menunjukkan sesuatu cuma saya tidak memahaminya. Saya benar-benar tidak faham simbolik kegembiraan mereka dengan membaling batu pada sungai yang sedang mengalir itu. Rupa-rupanya mereka cuba membuat balingan pada beberapa sudut dan cuba melihat bilangan lantunan batu itu pada sungai yang mengalir. Sekiranya batu dibaling pada 45 darjah, batu tersebut akan melantun sebanyak tiga kali. Saya hanya memahami gelagat mereka bila ada yang menjelaskan. Ooo..begitu rupanya...Menarik =)
Sambil melihat batu itu, saya teringat kata-kata seorang sahabat yang begitu jauh dari saya, namun terasa dekat di hati. Batu itu juga berzikir semenjak dia diciptakan selama 24 jam sehari. Teringat gema wahyu dalam Surah AlBaqarah ayat 24 - “Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan”. Batu itu takut padaNya. Saya? Allah tidak pernah lalai akan segala perkara yang saya lakukan.
Memori saya juga mengimbas kembali slide yang saya pelajari di dalam kelas mengenai pembahagian bencana ini.
Ada yang semulajadi, ada juga yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia. Namun saya tertarik dengan kata-kata pensyarah saya, hakikatnya kedua-dua bencana ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia seperti yang terakam di dalam AlQuran.
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Arrum : 41)
Bumi ini hanya memuntahkan onar yang dicipta manusia. Dia meluahkannya dalam rupa yang tidak disangka. Benarlah hakikat bahawa survival alam ini bergantung pada Mukmin.
Biarlah sungai yang mengalir, pokok yang melambai-lambai, semut yang berjalan di bumi Allah dan segalanya menambah iman kita. Sekali sekala, berbicaralah dengan alam kerana di sana terkandung sejuta khazanah rahsia.
Moga Allah memberi kekuatan untuk berkongsi hikmah yang lain pula..Ameen Ya Rabbal Alamin..
2 comments:
Assalamualaikum...
amat bagus andai dalam setiap kejadian alam ini diambil pengajaran darinya...berfikir pada penciptaak Allah..tapi tidak sampai memikirkan zatNya...
Bukankah berfikir itu dapat mencambahkan neuron dalam otak..membina sel2 baru?
Betullah,berfikir adalah lebih baik dari solat sunat..Dengan berfikir,kita dapat mengenali Allah..MasyaAllah..Moga hari ini lebih baik dari semalam
waalaikumussalam warahmatullahi taala wabarakatuh
betul zan..dengan melihat alam..kita melihat kekuasaanNya..
dengan melihat alam..insya Allah otak kita tunduk padaNya kerana merasa kerdil padaNya...
ya, moga hari ini lebih baik dari semalam..
Post a Comment