Saturday, May 24, 2008

Sumayyah...



Terlalu sedikit pengetahuan saya mengenai wanita agung ini. Semalam saat ustaz menceritakannya semula sebagai refleksi buat kaum wanita, hati saya tersentuh. Terlalu hebat wanita ini.

Berimannya dia di saat syariat Islam yang ada belum lengkap semua. Berimannya dia di saat pensyariatan solat, menutup aurat dan lainnya belum lengkap sempurna. Tapi imannya terlalu sempurna sehingga menjadi wanita pertama yang syahid. Dialah Sumayyah. Dialah wanita yang dijanjikan syurga bersama suami dan anaknya oleh Rasulullah SAW.

Dia ditarik dan digilis dengan dadanya menghadap ke tanah. Mengalir darah dari tubuhnya lantaran ketajaman batu dan pepasir yang merobek dengan puas. Terkoyak bajunya dan darah ada di mana-mana. Dia kemudiaanya dipalingkan menghadap Abu Jahal dengan menggunakan kaki. Dia diugut bahawa anak dan suaminya bakal dibunuh. Dia tidak gentar sama sekali. Islam lebih utama dari anak dan suami.

Lantas dia ditusuk dengan tombak yang tajam. Jeritannya membuatkan burung-burung berkeliaran lari. Seakan hari itu bumi bergoncang dengan hebatnya menyaksikan iman Sumayyah. Tombak itu ditarik keluar. Berselerak daging-daging Sumayyah saat itu. Dia ditusuk kembali di kemaluannya dan dia syahid akhirnya, pergi menghadap kekasih hati yang dirinduinya.

Saat Rasulullah SAW dan sahabat bertemu dan membuka ikatan Ammar (anak kepada Summayah), berlari Ammar memeluk ibunya. Saat itu Rasulullah SAW mengatakan kepada para sahabat, “Sesiapa yang menyakiti Ammar, seolah-olah menyakitiku”. Keluarga itu diuji dengan sebenarnya kerana keislaman mereka.

Kata-kata ustaz menggamit hati. Sejauh mana kasihnya kita kepada Islam? Adakah seperti Sumayyah? Adakah terlalu sukar untuk menutup aurat? Adakah kita teruji ditusuk tombak atau diacukan pistol untuk menutup aurat? Adakah kita dihalang untuk terus berdakwah seperti Sumayyah? Apa yang menghalang kita untuk menjadi solehah di abad ini?

Sumayyah, cintanya tumbuh di kala hari-hari berdarah...

Boleh baca kisah Sumayyah ini di link yang diberikan..

http://muslimah.mmu.edu.my/artikel8.htm

2 comments:

Azlin Halim said...

Subhanallah.. mengalir deras air mata ini sewaktu ustaz Kautsar menceritakan kembali kisah Sumayyah semalam..
Imannya begitu kukuh didalam dirinya

Ummu Afeera said...

yup...kak...best kan kalau kita tidak disibukkan dengan study? rasa macam nak tulis semua perkongsian ilmu itu sahaja...agar manusia lain juga menikmati dan merasai segala macam perkara yang kita rasai..