Friday, July 31, 2009

Solat...

“Ahmad! Pergi solat! Kalau tak mak pukul!”

“Diyana, kamu tidak faham bahasa ke? Pergi solat! Dah pukul berapa dah ni?”

Itulah dua scenario yang berlaku di dalam kehidupan kita sehari-hari. Betapa perintah solat yang sangat indah menjadi sesuatu yang berat dalam kehidupan anak-anak dan adik-adik kita.

Kita sendiri barangkali mungkin pernah merasa tertekan dengan perintah solat. Nauzubillah, moga Allah mengurniakan kita hati-hati yang ikhlas untuk taat kepada perintahNya.

Ayuh kita lihat bagaimana Rasulullah SAW mengajak sahabat-sahabatnya untuk solat.

Dalam Perang Khandak, ketika kaum Muslimin penat menggali parit, Rasulullah berkata kepada Bilal bin Rabah, "Ya Bilal! Akim as-salah wa arihna biha", maksudnya, "Hai Bilal! Dirikanlah solat dan rehatkan kami dengannya".

Masya Allah! Betapa indahnya kata-kata Rasulullah SAW. Arihna biha bissolah, arihna biha bissolah, arihna biha bissolah. Ya Bilal, rehatkan kami dengan solat! Masya Allah! Kekasih Allah itu mengajak untuk mendirikan solat dengan kata-kata yang indah. Seolah-olah memujuk para sahabatnya untuk meninggalkan segala urusan dunia yang sangat memenatkan ini dan bertemu Allah, kekasih hati yang dirindui.

Di saat komputer dihubungkan dengan internet menggunakan modem, di saat Johor Bahru dihubungkan dengan Melaka menggunakan lebuhraya, maka hati manusia dihubungkan dengan Allah dengan perantaraan solat.

Alangkah indahnya andai kita dapat berbicara dengan anak-anak dan menyeru mereka dengan panggilan yang indah ketika solat.

“Ahmad, ayuh solat. Jom berbicara seketika dengan Allah yang mengurniakan Ahmad pelbagai nikmat”.

“Diyana ada masalah? Mari umi tunjukkan jalannya. Diyana ambil wudhu’ dan berbicaralah dengan Allah di dalam solat. Allah akan dengar permintaan Diyana”.

Alangkah indahnya andai kita dapat berbicara dengan anak-anak dengan panggilan yang begitu indah agar mereka sentiasa merindui saat dan ketika untuk solat. Ayuh kita lihat Surah Fatir ayat yang pertama:

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Fatir:1)

Masya Allah, betapa indahnya membaca ayat-ayat Allah.

Seorang ulama’ di Azhar saat berbicara mengenai ayat ini berkata bahawa Allah mengurniakan malaikatNya 2, 3 dan 4 sayap agar mereka berubudiah kepadaNya. Apa yang telah Allah berikan kepada manusia? Allah memberikan mereka 2 rakaat Subuh, 3 rakaat Maghrib, 4 rakaat Zohor, Asar dan Isya’ agar mereka bertambah akrab denganNya. Itulah solat, nikmat yang tidak terhingga buat hambaNya.

Moga Allah memberikan kita kemanisan untuk terus beribadat kepadaNya.

Sabar...

Sejujurnya aku sedang sakit dan sejujurnya juga aku merasa bahagia menulis di sini tanpa ada yang mengetahui diri ini kecuali Allah SWT. Aku tahu di saat ujian menerpa, itulah saat yang paling baik untuk menulis kerana saat itu hati terasa sungguh akrab dengan Allah SWT. Saat ini kisah seorang nabi Allah menerpa fikiranku.

Dialah nabi Allah yang disebut di dalam AlQuran bukan berkaitan dengan dakwah. Dialah nabi Allah Ayub a.s dan Allah menceritakan perihal kesabarannya di dalam dua tempat di dalam AlQuran. Bila mana kita mahu menceritakan kesabaran, kita bercerita mengenai kesabaran Ayub.

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: " Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)". (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): " Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu " (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): " Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin) ". Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya - keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang). Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): " Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu ". Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya). (Surah Assad: 41-44)

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani". Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik). (Surah Al Anbiya’:83-84)

Bukan mudah untuk sabar menerima ujian. Sesungguhnya kisah nabi Ayub a.s adalah kisah yang terlalu hebat. Dia bukan menerima ujian secara beransur-ansur tapi dia kehilangan segalanya dalam sekelip mata. Tapi dalam ujian yang tersangat berat itu, dia mampu bersabar.

Ujian kesabaran sentiasa berbeza di antara setiap manusia. Apabila seorang pensyarah mahu menulis soalan, dia pasti menulis soalan yang mampu dilalui oleh semua calon. Kemudian ada soalan-soalan sukar yang berbeza tahap kesukarannya untuk menguji dan mencari calon pelajar yang terbaik. Begitulah juga ujian-ujian Allah untuk mencari hambaNya yang terbaik.

Teringin sungguh rasanya aku untuk berkata pada Allah bahawa aku pasti mampu melepasi ujianNya tapi ternyata aku sungguh lemah.

Di dalam akhir ayat 84 Surah Al Anbiya’, Allah menyebut bahawa kisah Nabi Ayub adalah ‘zikra lil’abidin’, peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Allah SWT.

Tidak mudah untuk taat kepada Allah. Hari ini mungkin bersabar menghadapi ujian tapi mungkin esok tidak. Hari ini mungkin sabar dan taat dalam beribadah tapi esok mungkin tidak. Menunaikan perintah Allah itu mudah tapi untuk taat dan sabar mengerjakannya sepanjang masa adalah terlalu sukar. Dan sungguh aku yang lemah ini tahu bahawa hal itu adalah terlalu sukar dan tiadalah aku mampu melakukan semua itu tanpa pertolongan Allah.

Ya Allah, aku ingin menjadi orang yang sabar dalam ujian-ujian yang aku lalui dan dalam menunaikan ketaatan kepadaMu.

Zikir...

Perutku ini terasa lapar. Aku teringat kata-kata seorang ulama yang diajukan soalan mengenai perihal aktivitinya yang suka berzikir dari fajar sehingga matahari memuncak di dada langit. Katanya, dengan zikir tersebut dia sepertinya sudah sarapan dan makan tengahari. Moga zikrullah menjadi azimat untuk melupakan rasa lapar ini.

Ibnu Taimiyah pernah berkata bahawa zikir adalah seperti lautan buat ikan. Mana mungkin ikan mampu hidup tanpa lautan, tanpa air? Mana mungkin manusia mampu hidup tanpa zikrullah?

Ketenangan hidup adalah apabila kita dapat merasai bahawa Allah sentiasa berada bersama kita dan merasai manisnya kehadiran Allah apabila melihat alam ciptaannya. Langit yang menjadi ciptaan Allah mampu menampung kapal terbang yang berat itu. Air yang ringan di mulut itu mampu menampung kapal yang bertan-tan beratnya di lautan. Maha suci Allah yang menjadikan sesuatu tanpa sia-sia.

Moga zikrullah menjadi makanan amalan harian kita.

Doa...

Aku terlalu rindukan bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi. Sungguh aku terlalu rindukan bulan itu. Keterujaan yang tiada taranya. Tidak sabar rasanya hati ini untuk berpuasa. Bukankah ada dua kegembiraan bagi insan yang berpuasa? Pertama, mereka merasakan kegembiraan di saat mahu berbuka dan keduannya adalah di saat mereka bertemu RabbNya. Sungguh aku teringin untuk bertemu dengan Rabb yang agung. Adakah kegembiraan yang lebih besar jika mahu dibandingkan dengan hal itu?

Adakalanya aku merasa tidak layak untuk bertaqarrub padaNya. Namun saat aku membaca kalamNya, aku merasakan sentuhan bayu yang tidak terkira.

Benar kata-kata Syed Qutb di dalam muqaddimah Fi Zilalil Quran:

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini. Ya, Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab süci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?

Aku yang kecil ini merasa besar saat membaca AlQuran. Aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan segala doa-doaku. Kurenungi kembali kalam Allah dan hatiku terpaut pada beberapa ayat.

Iblis menjawab: "Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh." (QS.Al-Araf : 14-15 )

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya ". (QS.Shaad : 79-81 )

Saat aku menghadam ayat-ayat ini, aku memahami bicara ulama' yang berbicara mengenai ayat tersebut. Allah mendengar permintaan makhluk yang paling hina iaitu Iblis, malah Allah mengabulkan permintaannya.

Pastinya Allah Maha Mendengar dan akan mengabulkan doaku, hamba yang hina ini.

Usah kau ragu untuk memohon padaNya kerana dia mengabulkan permintaan setiap insan. Usah kau ragu akan belas kasihNya. Usah kau kecewa dengan dosa-dosa yang mengikat dirimu. Rungkaikan sahaja ikatan-ikatan itu dengan menangis dan berbicara padaNya.

Thursday, July 23, 2009

Prioriti...

Kepala saya sudah mula berpinar. Angka-angka, statistik, medical informatik, biostatistik, critical appraisal, EBM, kesemua istilah itu membuatkan saya merenungi kembali sejarah.

Perlukah saya berada di sini? Soalan-soalan itu terus-terusan bermain di fikiran. Lantas saya membuat keputusan untuk mengkhatami dahulu 5 tahun ini baru bercerita tentang rancangan seterusnya.

Sejarah? Ada apa dengan sejarah? Pada saya, sejarah menghubungkan masa lalu dan masa kini. Faham sangatkah saya dengan sejarah? Entahlah tapi jutaan persoalan seakan-akan berenang di jalur-jalur otak saya kini.

Setiap zaman akan mempunyai tuntutan prioriti yang tersendiri mengikut keadaan dan suasana tertentu. Sekiranya Ibnu Sina dilahirkan pada era Makkah, adakah dia akan belajar perubatan dengan gila-gila? Atau dia berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan dakwah sepertimana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah lakukan ketika itu?

Begitu juga, jika Imam As-Syafie hidup di era daulah, pastinya beliau akan turut sama dalam usaha perluasan kuasa kerajaan Islam.

Kepala saya akur bahawa rata-rata manusia keliru dalam meletakkan kepentingan kepada sesuatu perkara.

Lantaran itu, mereka mula berfikir di luar realiti dan merancang mengikut angan-angan dan imaginasi.

Persoalannya, adakah saya juga keliru? Kamu keliru? Buatlah sesuatu dengan kefahaman yang jelas. Kefahaman yang ‘clear crystal’.

Tuesday, July 21, 2009

Biasa-biasa...

Pernah lihat graf taburan normal? Kamu biasa melihatnya semasa belajar matematik tambahan di sekolah dulu. Saya pernah bercerita tentang graf taburan normal ini di sini.

Graf taburan normal adalah Sunnatullah. Ada satu kata-kata - God must always love average person as He created so many of them.

Saya bangga menjadi manusia average sahaja. Saya tidak expect manusia menjadi luar biasa.

Graf ini saya kira paling wajar untuk difahami oleh setiap guru. Tidak semua anak murid itu pandai dan faham akan hal yang diperkatakan. Kadangkala expectation seorang guru yang luar biasa terlalu luar biasa untuk anak muridnya yang hanya biasa-biasa sahaja.

Saya berpendapat tidak semua orang mampu menjadi guru. Ada manusia-manusia yang pakar dan terlalu hebat dalam bidang mereka tapi belum tentu mampu menjadi guru. Semua orang tenganga mendengar bicara mereka tanpa memahami apa-apa.

Saya percaya seorang guru yang hebat pastinya adalah manusia yang biasa-biasa sahaja dahulu. Hal itu menyebabkan dia mampu memahami kemampuan manusia-manusia yang biasa sahaja.

Yang benar,

Saya yang biasa-biasa sahaja…

Sunday, July 19, 2009

Berharaplah...

Lama sungguh saya tidak update blog. Ada kerja lain. Dan sejujurnya mungkin blog ini akan saya tinggalkan.

Hari itu saya sempat mendengar kuliah dari Imam Suhaib Webb di MMU, Cyberjaya. Dia tanya satu soalan, apa ayat AlQuran yang paling Rasulullah SAW suka? Sahabat saya dapat menjawabnya. Ayatnya ialah ayat 53 dari Surah Azzumar:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Azzumar: 53)

Allah berkuasa mengampunkan semua kesalahan kita. Bertaubatlah dengan menitiskan air mata. Insya Allah, rahmat Allah itu terlalu luas.

Ada perbandingan pasal air mata ini. Pernah tengok kebakaran tak? Berapa banyak air yang kita perlukan untuk memadamkan kebakaran itu? Terlalu banyak kan? Tapi setitis air mata insan yang menangis kerana takutkan Allah berupaya memadamkan api neraka yang terlalu dahsyat itu. Subhanallah!

Dia kata tabiat syaitan suka memujuk hati manusia melakukan maksiat. Bila kita nak lakukan maksiat, syaitan suka cakap, “Buatlah, Allah itu Maha Pengampun”. Tapi bila kita nak bertaubat, syaitan akan cakap, “Kau ingat Allah nak ampunkan dosa kau itu?”

Tapi kita kena yakin Allah akan ampunkan seluruh dosa kita macam apa yang disebut oleh ayat Al Quran itu.

Allah sentiasa memberi harapan buat hamba-hambaNya. Allah Maha Pengampun.

Contohnya kalau ada orang miskin boleh beri kat kita RM1, adakah kita expect seorang raja yang kaya raya hanya akan bagi RM1 juga? Kita expect raja itu kasik million ringgit kan?

Macam itu juga dengan Allah. Kalau mak ayah kita boleh ampunkan kesalahan kita, darjat Maha Pengampun Allah itu tidak terkira.

Buat semua, berharaplah padaNya dengan penuh rasa hamba! Andai setiap majikan memandang pekerjanya dengan rasa hina, tapi Allah memandang hambanya dengan penuh rasa belas. Berharaplah kerana harapan membuatkan kita terasa kuat untuk meneruskan kehidupan.

Buat Nollie yang bertanya mengenai tips mentadabbur ayat AlQuran, saya tidak dapat menulis panjang kerana kesuntukan masa. Boleh je Nollie dengar kuliah Understanding the Quran oleh Imam Anwar Awlaki. Boleh juga baca muqaddimah fi zilalil quran, insya Allah ada yang berguna di sana. Best kalau boleh jumpa Nollie dan ceritakan secara terus sebab saya tiada masa untuk menulis. Maaf ye…

Friday, July 03, 2009

Semut...

Saya mahu pergi dan ‘berpuasa’ dari laptop buat beberapa hari, cuba menguji diri sendiri sama ada saya meletakkan laptop di tangan atau di hati. Sebelum pergi, saya tinggalkan dahulu satu entri.

Pernah tak kamu terfikir mengapa ada surah di dalam AlQuran dinamakan bersempena nama semut iaitu Annaml? Apa specialnya semut ini? Mengapa Allah rakamkan kisah semut dengan Nabi Sulaiman di dalam AlQuran?

Macam saya pernah cakap dulu, apabila satu kisah itu Allah sebut dalam AlQuran, kisah itu sangatlah penting. Macam orang yang menyusun buku teks, dia kenalah pastikan apa yang dia nak tulis dan susun dalam buku teks tu adalah benar-benar penting. Macam tu juga dengan AlQuran. Kitab dan pedoman sepanjang hayat. Tidak akan ada kitab lain yang lebih bermanfaat sehingga hari kiamat selain Al Quran. Maka setiap perkara yang Allah sebutkan itu memang sangat relevan dengan kita. Allah ceritakan kisah yang paling baik dan penting di dalam AlQuran.

Allah pernah sebutkan juga, “Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu,” (Yusuf: 3)

Kisah yang Allah ceritakan di dalam AlQuran adalah kisah yang terbaik, tiada yang lebih baik dari kisah-kisah tersebut untuk kita mentadabburnya. Kalau kamu rasa ada novel yang best di pasaran, percayalah bahawa kisah di dalam Al Quran itu lebih best dari novel-novel itu.

Ok, kita sambung kisah mengenai semut.

Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Surah AnNaml:17)

Kerajaan Nabi Sulaiman adalah kerajaan yang terlalu agung. Kekuasaannya menguasai jin, manusia dan juga burung. Dan dia mengatur setiap pasukannya dalam keadaan yang amat teratur agar tiada yang tertinggal semasa perjalanan. Dapat bayangkan tak bagaimana besarnya bala tentera Nabi Sulaiman? Akal kita juga mungkin tidak dapat memikirkan kekuasaan yang sebesar itu. Lalu berangkatlah pasukan yang amat besar ini sehingga mereka sampai ke sarang-sarang semut.

(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". (Surah AnNaml:18)

Semut yang ada di dalam sarang ini adalah sangat banyak sehinggakan Allah merakamkan bahawa nama sarang semut tersebut ialah “Waadin-Naml”.Tidak terkira berapa banyak semut yang tinggal di dalam sarang tersebut. Nabi Sulaiman pada mulanya tidak sedar bahawa ini adalah sarang semut dan pasukannya akan melintasi sarang semut tersebut.

Apabila betul-betul dah nak sampai kat sarang semut tersebut seperti yang dikisahkan di dalam ayat tersebut, mereka terdengar suara. Rupa-rupanya ada seekor semut yang mula-mula melihat kemaraan bala tentera Nabi Sulaiman. Apa natural reaction kita apabila melihat sepasukan tentera yang amat besar yang terdiri daripada manusia, jin dan burung datang menuju ke arah kita sedangkan kita adalah makhluk yang begitu halus iaitu seekor semut? Natural reactionnya adalah kita akan lari dari mara bahaya tersebut.

Kita expect itulah natural reaction semut-semut tersebut tapi bukan itu yang terjadi. Subhanallah, Allah mengajar kita melalui semut-semut tersebut. Allah tidak merakamkan sesuatu di dalam AlQuran tanpa sebab. Apabila kita belajar dari ayat ini, kita akan sedar betapa jauhnya kita sekiranya hendak dibandingkan dengan makhluk-makhluk yang Allah ciptakan itu. Jauh sungguh nilai-nilai murni yang ada di dalam pasukan semut itu sekiranya hendak dibandingkan dengan kita.

Semut ini tahu bahawa sekiranya dia melarikan diri, dia tidak akan selamat. Dia tahu dia adalah sebahagian dari ummah semut-semut itu. Survival dan kemandirian hidup semut tersebut begantung kepada survival dan kemandirian ummahnya. Sekiranya ummahnya hancur maka tiada kebaikan baginya meskipun dia hidup. Dia tahu bahawa dia akan mati juga akhirnya sekiranya ummahnya hancur. Inilah asas penting yang perlu ada di dalam setiap muslim. Your survival is based on survival of your ummah! Jangan sesekali berfikir bahawa kamu akan berjaya dengan berseorangan. Kamu perlu ada sokongan dari ummah. Kamu perlu mengambil berat tentang ummahmu. Kamu perlu prihatin tentang ummah. Sekiranya kamu tidak sedar mengenai apa yang menimpa ummahmu, kamu sudah pun mati. Sekiranya kamu tidak ada secebis perasaan yang ada pada semut ini, ketahuilah bahawa kamu telah mati sebelum kamu mati lagi.

Semut ini kata, Ya Ayyuhannaml, udhulu masakinakum. Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing. Dia memberi nasihat untuk seluruh ummahnya. Dia menyempurnakan tanggungjawabnya pada ummah. Sudah ke kita menyempurnakan tanggungjawab pada ummah? Apa yang terjadi pada ummah? Tahukah apa yang terjadi di Thailand? Apa yang terjadi di Palestina?

Dan ada lagi pengajaran di akhir ayat ini, “..jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".

Apa yang semut ini cakap? Dia kata Nabi Sulaiman tidak tahu dan tidak sedar perbuatannya. Dia tidak kata Nabi Sulaiman sengaja melakukan semua itu. Kamu tahu bila semut itu cakap macam itu? Semut tersebut beritahu hal tersebut di saat kemuncak hidupnya, di antara hidup dan mati. Dia bersangka baik dengan Nabi Sulaiman dan bala tenteranya di saat dia perlu menemui ajalnya sendiri.

Peringatan buat diri sendiri terlebih dahulu. Kadang ada perkara kecil sahaja yang terjadi di antara kita, terlalu kecil sahaja isunya tapi kita sudah berkecil hati. Kadang kita tidak mencari 70 sebab pun untuk menjatuhkan hukuman salah terhadap sahabat kita sendiri. Tapi semut ini, di saat persimpangan di antara hidup dan mati masih mampu bersangka baik. Malu sungguh rasanya membaca kisah semut ini.

Ya Allah, malu sungguh rasanya saya mentadabbur kisah semut ini. Ampunkan kami di atas kesalahan yang kami lakukan di kala sedar dan juga lupa…

….Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”(Surah Ali Imran:191)